PENGGERA
telefon berbunyi mengejutkan Suriya dari lenanya. Terpisat-pisat dia bangun.
Cerahnya! Matanya dibuka sedikit. Cahaya lampu menerangi ruang bilik. Sampai
silau matanya. Aku tidur dalam cerah ke semalam? Seperti orang bingung dia
menyoal diri sendiri. Memang dia tak suka kalau tidur dalam cerah. Boleh sakit
kepala. Tangan meraba-raba telefon bimbit tapi tak jumpa. Eh, kat mana aku
letak kau ni? Hatinya tertanya-tanya.
Semalam,
lepas bergaduh dengan Rozairul, dia terus naik tidur. Oh, masih dalam beg
tanganlah tu. Fikirnya. Matanya ligat mencari kelibat beg tangan. Sejurus
nampak, kakinya bersedia mahu memijak lantai.
“Ouch!” Tiba-Tiba kakinya mencucuk
kesakitan. Lalu spontan punggungnya kembali menyembah tilam.
Suriya
pandang kaki yang sedang berbalut. Dan peristiwa semalam kembali menerjah kotak
memorinya. Terasa seperti baru sebentar tadi aje dia bergaduh dengan alongnya. Seperti
baru lima minit sudah Rozairul dengan selambanya memberikan tawaran gila kepada
bosnya. Suriya tenung baju yang tersarung di tubuhnya. Masih baju semalam.
Langsung tak bersalin. Layan jiwa sangat semalam sampai tak hirau langsung
badan yang berbau ni.
Dia
bangun perlahan-lahan ke bilik air. Nak mandi. Walau kaki terhincut-hincut
sewaktu melangkah, dia gagahkan juga. Hari ni dia nak juga pergi kerja. Duduk
kat rumah pun bertembung dengan Rozairul. Buat tambah sakit hati pulak.
Siap
mandi, solat dan berpakaian, dia turun ke tingkat bawah sambil bawa beg tangan.
Beg kerja tersadai kat ruang tamu. Semalam terlupa dia nak bawa masuk ke dalam
bilik. Proses mempersiapkan diri sedikit lambat hari ni sebab kaki yang sakit.
Nak berjalan pun susah. Sanggup dia seksa diri gara-gara tak nak bertembung
muka dengan Rozairul.
“Su,
jom sarapan sekali. Along dah siap masak ni,” ajak Rozairul sebaik ternampak
kelibat adiknya.
Suriya
buat-buat tak dengar. Menonong dia mendapatkan beg kerja di tepi almari hiasan
dan berlalu ke pintu utama. Nasib baik Pak Mail sudah menunggu di depan pintu
pagar.
“Su,”
cepat-cepat Rozairul tanggalkan apron di leher dan mendapatkan Suriya. Tak
pernah-pernah Suriya marah kat dia sampai macam ni sekali.
Suriya
yang mahu menyarung sandal comfort
yang biasanya dia pakai untuk santai terasa tangannya ditarik dari belakang.
Sudah dia tahu siapa yang menarik tangannya. Dia buat macam tak ada apa yang
berlaku. Belum pun sempat Rozairul berkata apa-apa, dia tarik tangannya dari
cengkaman Rozairul. Dia dah malas nak dengar patah kata Rozairul. Dia bosan!
Suriya
masuk ke dalam perut teksi tanpa pandang langsung wajah Rozairul. Sekarang
bukan waktu yang sesuai untuk dia balas segala permintaan Rozairul. Biarkan dia
sejuk dahulu. Takut nanti lagi teruk perkataan yang akan keluar dari mulutnya
jika Rozairul terus-terusan memaksa dia bercakap.
Rozairul
pandang cara adiknya berjalan. Terhincut-hincut dan kaki itu berbalut. Allah!
Macam teruk saja. Tak sempat dia menghalang, teksi sudah pun hilang dari
pendangan mata.
“EH,
Su! Kenapa ni?”
Masuk
saja dalam pejabat pagi tu, Noraini terus menerpa ke arah Suriya. Dia pelik
melihat Suriya berjalan lambat-lambat. Macam orang sedang tanggung sakit yang
amat. Lantas dia pandang kaki Suriya. Sepasang kaki itu hanya mengenakan sandal
dan kaki kanan berbalut. Berbalut? Accident
ke? Hatinya menyoal.
“Tak
ada apalah kak,” dalih Suriya.
Alhamdulillah,
ucap Suriya penuh syukur. Dapat sampai ke mejanya dan duduk di atas kerusi ini,
dia rasa sangat bersyukur. Lega kakinya kerana dapat berehat dari bergerak.
“Tak
ada apa-apanya kalau kaki tu berbalut. Cepat cakap, kenapa dengan kaki tu?”
Tersangat perihatin Noraini mengorek cerita sebenar dari mulut Suriya.
Cik
kak ni, selagi aku tak cakap perkara sebenar, selagi tulah dia sibuk nak
mengorek rahsia orang. Geram pulak Suriya rasa.
“Luka
kena kaca je sikit,”
“Sikit?
Akak tak nampak luka sikit. Nampak macam teruk aje. Kalau sikit, Su takkan
terhincut-hincut macam ni. Dah-dah, sekejap akak ambilkan borang EL. Hari ni Su
pergi klinik.” Selamba Noraini mengarah. Lantas dia berlalu ke mejanya, mahu
mengambil borang EL.
Ala,
kerja banyaklah. Protes Suriya di dalam hati. Asal dia dapat duduk dan jangan
suruh dia banyak bergerak, insya-Allah kakinya takkan apa-apa.
“Nah,
borang EL.” Suriya pandang Noraini.
“Tapi
kak, saya tak apa-apa.”
“Cuba
jangan degil. Sakit tu buatlah cara orang sakit. Jangan nak mengada-ada.” Tegas
suara Noraini. Dia bimbang luka itu akan melarat jika dibiarkan begitu tanpa
rawatan.
“Kerja
banyaklah kak,” Suriya cuba lagi. Manalah tahu kalau-kalau hati Noraini berubah
arah. Tapi nampak gaya macam tak aje.
“No more excuses! Cepat isi borang ni dan
pergi klinik.” Noraini letak borang di tangan di atas meja Suriya apabila
hulurannya tak bersambut. Memuncung mulut Suriya tanda sedang tunjuk protes.
Kemudian
Noraini berlalu ke ruang depan pejabat itu. Dia ligat mencari rakan sekerja
yang boleh menolongnya menghantar Suriya ke klinik. Tak sanggup dia nak biarkan
Suriya naik teksi ke klinik. Sudahlah tengah sakit begitu.
“Kak
Ani, tengah cari apa ni?” Iddin menegur. Pelik betul dia lihat Noraini melilau sekeliling
ruang pejabat. Macam kucing hilang anak pulak.
“Encik,
nasib baik ada encik.” Noraini kelegaan.
“Kenapa
kak?”
“Eh,
sebelum tu. Encik sibuk tak pagi ni?”
“Pagi
ni? Tak sibuk sangat. Cuma tengah hari nanti ada appoiment dengan client.
Kenapa kak?” Dalam masa yang sama kepala Iddin berfikir. Mengingati kembali
jadual kerjanya untuk hari ni.
“Encik,
boleh tak hantar Suriya ke klinik?”
“Hantar
Suriya ke klinik? Kenapa kak?” Pelik Iddin. Tiba-tiba Noraini suruh hantar
Suriya ke klinik.
“Kaki
dia cedera. Tertusuk kaca katanya tapi degil jugak nak kerja hari ni. Akak
bimbanglah nak biarkan dia pergi sorang-sorang ke klinik. Naik teksi pulak tu,”
terang Noraini.
“Oh.
Mana dia? Jom, saya bawa ke klinik.” Laju Iddin menyahut. Menggelabah pun ya
jugak. Sampai Noraini senyum melihat Iddin begitu. Dia dah banyak makan garam,
dah faham sangat dengan tingkah begini.
“Su
ada kat meja dia,”
Mereka
beriringan ke arah meja Suriya.
“Su,
Encik Iddin yang akan hantar Su ke klinik. Dah, tak payahlah buat kerja tu.”
Suriya
yang sedang memandang skrin PC tersentak. Dia pandang Noraini. Iddin pula dia
hanya jeling dengan ekor mata. Dia bagi isyarat mata dengan Noraini. Kak, tak
ada orang lain ke? Cubalah cari orang lain. Yang penting bukan dia! Suriya
berasa mahu menjerit aje.
“Su,
cepatlah.” Gesa Noraini. Dia buat-buat bodoh aje dengan isyarat mata dari
Suriya. Nak tak nak, terpaksalah Suriya bangun. Langkah diatur perlahan-lahan.
Dia yang tak mahu banyak berjalan, terpaksa juga berjalan.
“Akak
bawa Suriya ke bawah, saya nak keluarkan kereta sekejap.” Arah Iddin. Lantas
dia berlalu ke ruang parkir, meninggalkan Suriya yang macam susah sangat nak
berjalan.
“Jom,”
Noraini paut lengan Suriya, membantu cik adik itu berjalan.
MEREKA
diam tak berkutik sejak masuk ke dalam kereta. Masing-masing sibuk melayan
perasaan sendiri. Jarak klinik dengan bangunan pejabat IMIA Technology hanya lima
kilometer sahaja. Jadi, Suriya tak sempat nak rasa bosan. Tup-tup, dah sampai
di klinik.
Kereta
berhenti di petak parkir. Suriya buka pintu di sebelah kirinya.
“Boleh
jalan tak ni?” Soalan pertama keluar dari bibir Iddin. Dia sudah berdiri di
sebelah pintu kereta. Kalau ikutkan hatinya, mahu aje dia dukung cik adik ni.
Tapi, mereka belum halal. Kalau Suriya ni isterinya, dah lama dia dukung.
Nampak seksa sangat setiap kali kaki itu mahu melangkah.
Suriya
diam. Selagi dia boleh melangkah, selagi itu dia akan berusaha melangkah
sendiri. Selepas peristiwa semalam, rasanya dia memang tak nak jumpa lelaki ini.
Terasa malunya berinci-inci. Ini semua angkara Rozairul. Tak pasal-pasal dia
yang tanggung malu.
Melihat
Suriya yang kekal senyap begitu, Iddin akhirnya paut lengan Suriya. Suriya cuba
menolak. Tapi cepat Iddin bersuara.
“Jangan
nak melawan. Kalau awak jatuh, lagi sakit kaki tu.” Penuh rasa bimbang dalam
nada lelaki itu.
Akhirnya
Suriya berdiam diri. Sudah malas dia nak melawan lagi.
“Keluarkan
IC awak.”
“Nak
buat apa?” Pertama kalinya pagi itu mulut Suriya bersuara.
“Nak
daftar kat kaunterlah.”
Lambat-lambat
Suriya keluarkan purse dari beg
tangannya. Purse bertukar tangan. Dia
duduk di kerusi menunggu, manakala Iddin ke kaunter untuk pendaftaran. Usai
mendaftar, Iddin duduk di sebelah Suriya. Sementara menanti nama Suriya
dipanggil, sempat lagi dia membelek kad pengenalan Suriya. Comelnya gambar pada
kad pengenalan tu.
Belum
pun sempat Iddin tenung lama-lama wajah itu, Suriya pantas menyambar kad
pengenalannya dari tangan Iddin. Iddin pandang Suriya. Mencerlung sepasang mata
itu pandang Iddin. Alah, tengok aje pun. Bukannya dia usik tuan gambar tu.
Bisik hati Iddin.
“Cik,
dah boleh masuk sekarang.” Panggil petugas di kaunter.
Dengan
susah payahnya Suriya bangun dan melangkah ke bilik doktor. Iddin setia
mengekori dari belakang.
“Sila
duduk. Sakit apa ni?” Doktor yang memakai tag nama Intan Zahara itu menyoal
Suriya.
“Kaki
dia terkena kaca,” laju mulut Iddin menjawab. Doktor tanya Suriya, dia pulak
yang sibuk-sibuk menjawab. Iddin turut duduk di kerusi bersebelahan Suriya.
Lagak mereka tak ubah seperti pasangan kekasih. Suriya jeling orang sebelah.
Sibuk aje! Rungut hatinya.
“Oh,
awak duduk di atas katil ni. Saya nak tengok luka tu,” arah Doktor Intan
Zahara.
Suriya
patuh. Dia melangkah ke arah katil yang dimaksudkan itu. Doktor Intan Zahara
mula menjalankan kerjanya. Iddin hanya bertindak sebagai pemerhati. Balutan di
kaki dibuka perlahan-lahan. Dahi Suriya berkerut menahan kesakitan.
“Nasib
baik encik cepat bawak isteri ni ke klinik. Dah nak melarat luka ni. Nasib baik
tak bernanah luka ni.” Ujar doktor muda itu sambil membersihkan luka Suriya.
Isteri?
Suriya berasa air liurnya tersekat di kerongkong. Payah sekali untuk ditelan.
Aku dikatanya isteri kepada mamat ni? Heh!
Doktor ni betul-betul tak pandai tengok orang. Rungut Suriya. Dia pandang Iddin
di sebelah. Amboi, lebarnya senyum. Senyum ada makna tu! Suriya gigit bibir
bawah.
Iddin
tak sudah-sudah senyum. Siapa tak senyum kalau orang cakap Anggerik tu isteri
dia. Sudahlah si Anggerik tu pujaan hatinya. Kembang rasa hati.
“Okey,
dah siap. Nanti ambil ubat kat kaunter ya. Oh ya, luka tu encik kena
tengok-tengokkan juga.” Pesan Doktor Intan Zahara.
“Baiklah,
doktor. Terima kasih,” balas Iddin sambil senyum. Dia cuba paut lengan Suriya.
Kononnya mahu membantu Suriya berjalan. Sudah diberi gelaran ‘suami’ makanya
dia perlulah berlagak sebagai seorang suami yang sangat bertanggungjawab.
“Err…
Dah lama ke kahwin?” tiba-tiba Doktor Intan Zahara menyoal. Di matanya pasangan
ini sangat serasi. Bagai pinang dibelah dua.
“Baru
lagi,” selamba badak Iddin menjawab. Muka Suriya pula sudah berbahang. Dah tak
tahu nak sorok kat mana lagi muka tu. “Kami minta diri dulu, doktor.” Sambung
Iddin kemudiannya. Doktor Intan Zahara
anggukkan kepala.
“KENAPA
encik cakap saya ni isteri encik kat doktor tu?” Rasa marah yang membuak-buak
di dalam hati yang dia tahan sejak di klinik tadi dia hamburkan keluar.
“Saya
tak cakap tapi doktor tu yang cakap.” Iddin membela diri.
“Yang
encik pergi iakan aje tu kenapa?”
“Kalau
saya tak iakan, saya nak mengaku awak ni sebagai apa? Kawan? Kita tak pernah
pun berkawan.” Kening Iddin terjongket menanti jawapan Suriya.
“Saya
cuma pekerja encik, tak lebih dari tu. So
mengaku ajelah sebagai pekerja. Bukan susah pun.” Not suara Suriya naik
sedikit.
“Tapi
saya tak anggap awak sekadar pekerja saya. Saya anggap awak lebih dari tu.”
Balas Iddin perlahan.
“What?!” Woo… Suriya sudah naik angin.
“Saya
nak terima cadangan abang awak semalam.” Spontan ayat itu keluar dari mulut
Iddin.
“No!” Berombak dada Suriya menahan marah.
Ini semua betul-betul kerja gila! “Kalau encik nak kahwin, jangan libatkan
saya! Kahwinlah dengan perempuan lain tapi bukan dengan saya!” Tinggi nada
suara Suriya. Dia tak dapat berfikir dengan betul tika itu.
“Kenapa?”
“Saya
tak nak!”
“Tapi
saya nak.”
“Saya
kata saya tak nak, maksudnya saya tak naklah!”
“Tapi
saya tetap cakap nak.”
“Huh!”
Suriya hilang kata-kata.
Iddin
bawa keluar telefon pintarnya dan terus mendail nombor pejabat.
“Kak,
bawa turun beg kerja Suriya. Lagi lima minit saya sampai. Akak bawa turun ke
lobi ya, saya dah tak naik ke atas.” Iddin mengeluaran arahan. Sejurus mendapat
balasan dari pihak sana, telefon kembali diletak di tepi tempat duduknya.
“Kenapa
pulak dengan beg kerja saya?” Nada Suriya masih sama seperti tadi. Angin puting
beliung tak surut-surut lagi.
“Saya
hantar awak balik,”
“Saya
tak nak balik. Kerja saya berlambak kat opis tu. Saya nak sambung buat kerja.”
Separuh merayu Suriya membalas.
“Nak
buat kerja dengan keadaan macam ni? Biar kaki awak baik dulu baru awak boleh
sambung kerja.”
“Yang
sakit kaki, bukan tangan saya. Saya masih boleh buat kerja saya,” Suriya cuba
berdegil.
“Boleh
tak jangan degil. Ikut aje arahan saya, susah ke?” Suara Iddin meninggi
sedikit. Tersenyap Suriya. Ambik kau! “Orang bagi cuti tu suruh rehat, ini tak,
sibuk nak buat kerja dia.” Omel Iddin sendirian.
Sehinggalah
tiba di pejabat dan Iddin menyambung kembali perjalanan ke rumah Suriya,
keadaan mereka kekal begitu. Dua-dua membisu. Suriya nak memprotes tapi
akhirnya dia juga yang kalah. Segala keputusan terletak di bahu encik bosnya.
Huh! Macam ni nak kahwin? Sah-sah nanti aku kena ikut telunjuk dia! Omel hati
Suriya kegeraman.
wow Iddin tak sejuk beku lg, very gentleman!
BalasPadamkalau sejuk beku lg, maknanya terlepas la Suriya... hehehe
BalasPadambest2
BalasPadamHmmm ... best, cepat sambung plzzzzzz
BalasPadam