Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 30 April 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB11

PERUT Arlyssa sedang elok berdondang sayang. Tangannya laju menekup perut. Kenapalah kau berbunyi? Dah tengah lapar, memanglah dia berbunyi. Rungut hati Arlyssa. Soalan bodoh pula yang terkeluar dari mulutnya kalau perut tengah kosong. Dengan rambut yang masih berbalut dengan tuala, Arlyssa menyelongkar setiap inci dapur. Makanan memanglah ada. Tapi macam mana nak masak? Kang kalau aku masak, habis terbakar satu rumah, siapa nak jawab? Hatinya berkira-kira sendiri.

Dia berjalan ke ruang tamu. Sofa yang menjadi tempat tidur Harith dia duduk. Kepalanya ligat berfikir macam mana cara nak makan. Nak makan pun kena fikir. Itulah susahnya hidup Arlyssa. Susah hidup jauh dari keluarga sendiri. Dahlah di tempat asing. Sedang dia berfikir, matanya terpaku pada kunci-kunci yang bergantungan di sebelah suis lampu. Jarinya menggaru-garu dagu.

“Hmm… keluar pun okey jugak.”

Lantas tanpa menunggu lama, Arlyssa terus berlalu ke biliknya. Nak bersiap-siap dulu. Berkobar-kobar dia nak keluar bersiar-siar sambil mencari makanan untuk mengisi perut yang sedang kosong. Siap menukar baju, dia mendapatkan kereta Honda CR-V yang sangat dirinduinya itu. Dah lama betul dia tak memandu. Enjin kereta dia hidupkan dan beg tangan siap-siap dia sembunyikan di bawah kerusi pemandu, tempat biasa untuk beg tangannya.

Arlyssa memandu keretanya perlahan sehingga masuk ke jalan besar. Dia sangat berhati-hati kerana pertama kali memandu di kawasan baru. Dia ingat-ingat lupa jalan yang Harith bawa dia lalui semalam. Semalam kan dah gelap, jadi memanglah tak berapa ingat. Tapi dia redah aje. Tawakal aje. Sambil memandu sambil itu matanya melilau mencari kedai makan. Kurang-kurang kalau jumpa Secret Recipe ke, Killiney ke, okey jugak.

Hampir dua jam Arlyssa memandu tapi satu kedai makan pun dia tak jumpa. Perutnya pulak makin berlagu pelbagai rentak. Kerana tak tahan dengan bunyi dari perutnya, Arlyssa memberitak isyarat ke tepi dan kereta berhenti. Gear ditukar kepada N dan brek tangan dia tarik. Sebelah tangan memegang perut, manakala sebelah tangan lagi tercari-cari beg tangan.

“Ya Allah, mana pulak beg tangan ni,” omel Arlyssa.

Apabila berjaya mencapai tali beg tangan, Arlyssa terus menyelongkar isi dalam beg, mencari telefon bimbit. Telefon bimbit dia genggam. Hasrat hati nak telefon Harith terbantut apabila kepalanya tiba-tiba terfikir, aku mana ada nombor telefon Harith. Macam mana nak telefon dia? Mintak dengan along? Hatinya memberikan cadangan. Mintak dengan along? Memang taklah! Lepas along campak aku dengan Harith kat tempat jin bertendang ni, aku tak akan nak tebal muka telefon along. Rasa marah dulu tak hilang lagi! Tiba-tiba Arlyssa berangin bila dicadangkan supaya menelefon Syed Yusri.

Habis, kalau tak telefon along, aku nak call siapa? Mama? Tapi mama ada ke nombor telefon Harith? Arlyssa keraguan. Kalau telefon Puan Aini, sah-sahlah orang tuanya itu akan dapat hidu hubungannya dengan Harith yang masih tak baik-baik. Kecuali sebuah ciuman pagi tadi. Tapi setakat itu sahaja.

Arlyssa memegang perutnya kembali apabila bunyi keriukan semakin kuat bergema. “Aduh!” Dia mengaduh. Dalam kesakitan, dia menyelongkar isi beg tangan. Manalah tahu takut-takut terjumpa sesuatu yang boleh menolongnya. Sedang dia menyelongkar beg jenama Gucci itu, tangannya tak semena-mena terpegang sesuatu. Lantas dia bawa keluar sekeping kertas itu.

“Alhamdulillah.” Ucapnya syukur bersama senyuman yang melebar di bibir.

HARITH berjalan beriringan dengan Malik keluar dari kamar mahkamah. Telefon yang ditutup dia bawa keluar dari dalam poket seluar. Usai menghidupkan telefon, dia menyibukkan diri menyimpan segala fail yang digunakan di dalam kes tadi. Telefonnya tiba-tiba menjerit minta diangkat. Songkok di kepala dia tanggalkan dan letak di atas kerusi belakang. Skrin telefon dia pandang lama. Siapa ni? Nombor yang tak dikenali tertera di skrin. Nombor Kuala Lumpur ni, htinya membuat telahan berdasarkan nombor yang terpapar. Ah, jawab ajelah.

“Helo,” Harith tidak menyapa dengan salam kerana bimbang jika orang yang menelefonnya itu bukan seagama dengannya.

“Awak, awak ada kat mana ni? Kenapa lambat sangat angkat phone? Dah naik lenguh jari-jari saya ni dail nombor awak.” Tanpa salam, tanpa sapaan, Harith terpaksa menadah telinga mendengar rungutan si pemanggil. Berkerut dahi Harith. Skrin telefon dia pandang seketika sebelum menyoal kembali.

“Err.. Awak ni siapa?” Ragu-ragu Harith menyoal.

I’m your wife! Takkan suara isteri sendiri pun dah tak kenal.” Selamba Arlyssa menjawab. Tiba-tiba perutnya mencucuk lagi. “Aduh!” Spontan dia mengaduh hingga menggusarkan Harith. Pertama kali Arlyssa mengaku sebagai isteri Harith.

“Lys, awak kat mana ni? Kenapa dengan awak? Awak sakit ke? Awak jangan buat saya susah hati.” Bertalu-talu soalan Harith. Dari suaranya sudah dapat diagak yang dia memang sedang susah hati.

“Awak, saya ada kat luar ni. Saya lapar. Tapi saya tak tahu saya ada kat mana. Kiri kanan saya ni ada pokok-pokok aje. Awak, tolonglah. Saya tak tahu nak pergi mana ni,” rayu Arlyssa sengan suara sayu.

“Takkan awak tak tahu langsung kat mana awak berada sekarang ni? Takkan awak tak jumpa langsung signboard kat tepi jalan tu?” Harith pelik dengan jawapan Arlyssa.

“Tak, saya tak tahu.” Mendayu suara Arlyssa.

“Tak tahu, tak tahu. Habis, apa yang awak tahu? Boleh tak awak bagi tahu kat mana sebenarnya tempat awak berada sekarang ni? Bagilah tempat yang specific sikit,” tekan Harith. Nak suruh aku pergi ambik, bagilah clue yang boleh aku teka tempat tu. Ni tak, takkan pokok-pokok aje? Punyalah berlambak papan tanda kat tepi jalan tu, boleh pulak dia cakap tak tahu nama tempat tu. Sangat tak logik!

Harith masuk ke dalam kereta. Jam tangan dia pandang sekilas. Dah masuk waktu makan tengah hari. Manakala di hujung talian, Arlyssa melilaukan pandangan ke sekitar kawasan itu. Alah, mana signboard ni? Susah-susah. Rungut Arlyssa. Mata Arlyssa menangkap satu papan tanda. Dia membaca papan tanda itu. Wakaf Tembesu. Lantas dia mendapatkan kembali telefon bimbit.

“Awak, saya dah dah jumpa signboard. Wakaf Tembesu. Itu aje yang tertulis kat situ. Tapi kat mana saya tak tahu,” ujar Arlyssa satu persatu. Dia berharap sangat Harith dapat datang ke situ. Dia dah tak tahan menanggung bunyi di dalam perut yang sedang berirama kencang ni.

“Okey, okey. Awak tunggu kat situ. Jangan pergi mana-mana. Duduk aje kat situ,” pesan Harith. Telefon dia campak ke tempat duduk sebelah dan kereta Myvi hitam itu meluncur laju di atas jalan raya.

HARITH memberikan isyarat ke kiri sebelum berhenti. Dia lantas bergegas keluar mendapat Arlyssa yang duduk di dalam kereta. Tingkap di sebelah pemandu dia ketuk perlahan. Arlyssa pantas menurunkan cermin sebaik ternampak wajah Harith. Dia hampir tak kenal wajah suami sendiri. Mungkin kerana Harith sedang mengenakan cermin mata saat ini.

“Awak ikut saya. Ingat, tu kereta saya. Jangan hilang jejak pulak.” Ujar Harith sambil jari telunjuknya terarah pada keretanya.

“Ha? Okey, okey.” Laju Arlyssa menjawab bersama dengan anggukkan kepala. Harith kembali semula ke arah keretanya.

Beberapa saat kemudian, kereta Harith mula bergerak perlahan-lahan sambil diekori oleh Arlyssa di belakang.

“Awak nak ke mana sebenarnya?” Soal Harith selepas meneguk perlahan air jus epal yang dia pesan sebentar tadi. Arlyssa yang sedang enak menjamu selera dia pandang tanpa jemu. Macam tak makan setahun! Komen hati Harith.

“Saya nak cari kedai makan. Lapar. Tapi tak sangka boleh sampai ke tempat tu. Apa nama dia? Err.. Wakaf Tembesu ek? Ha, tulah nama tempatnya.” Arlyssa menjawab dengan mulut yang penuh dengan makanan. Hisy, hilang terus sifat kewanitaannya.

“Kalau cari kedai makan pun takkanlah sampai ke sana. Sebelum sampai ke Wakaf Tembesu tu, awak sepatutnya dah jumpa banyak kedai makan. Kat sini berlambak kedai makan tepi jalan.” Jawapan Arlyssa seakan tak logik langsung. Takkan tak jumpa waima satu kedai makan. Nak menipu tu agak-agaklah.

Kata-kata Harith buat dia tersedak perlahan. “Uhuk.. Uhuk..” Arlyssa menggosok dada yang terasa pedih. Tangan Harith laju mencapai gelas berisi air laici dan dihulurkan kepada Arlyssa. Gelas di tangan Harith Arlyssa sambar dan diteguk rakus. Kalaulah aku beri jawapan betul kang, dia kutuk aku pulak. Getus hati Arlyssa. Sebabnya dia tak ingin dan tak pernah pun makan kat warung-warung tepi jalan. Kalau bukan tempat yang ada penghawa dingin, dia memang tak akan makan. Tapi sekarang, kerana perut yang semakin mencucuk, dia turutkan juga langkah kaki Harith. Dalam hatinya cuma satu, asalkan dapat makan. Dia dah tak kira di mana pun. Kalau bawah pokok pun jadi!

“Awak ni, makan tu perlahanlah sikit.” Spontan tangannya laju menggosok belakang Arlyssa. Selepas seketika, Arlyssa melepas nafas lega apabila hilang rasa sakit di dada.

“Macam mana? Dah okey?” Harith menyoal. Serba sedikit hatinya gusar juga melihat keadaan Arlyssa tadi. Nasib baik tak teruk.

Arlyssa mengangguk perlahan dan meneruskan suapan hingga licin nasi di dalam pinggan itu. Harith tergeleng-geleng melihatkan tingkah Arlyssa.

“Awak nak apa-apa lagi tak?” Soal Harith. Dia sudah siap sedia berdiri, nak pergi bayar makanan Arlyssa.

“Err.. Boleh bungkus ke?” Arlyssa bertanya bagai orang tak pernah makan kat kedai. Kening Harith terjongket. Hamboi! Takkan lapar lagi? Ni makan ke melantak?

“Awak nak apa lagi?” Harith malas bersoal banyak. Waktu rehatnya tinggal beberapa minit saja lagi. Dengan solat zohor tak lagi. Hisy!

Arlyssa menjawab dengan gerakan bahasa tubuh. Jari telunjuknya lurus menunjuk ke arah deretan gerai yang menjual kuih-muih. Mata Harith terarah ke sana seketika sebelum memandang kembali ke arah Arlyssa. Dahinya sudah mempamerkan kerut seribu. Hisy, nak isi kat mana entah perempuan ni. Rungut Harith sebelum berlalu ke kaunter pembayaran.

Kira-kira 15 minit kemudian, kereta Harith bergerak perlahan meninggalkan warung kecil itu. Dan Arlyssa masih setia mengekori di belakang. Kalau tak ikut belakang kereta Harith, nanti dia sesat lagi. Selepas beberapa minit memandu, Arlyssa akhirnya selamat sampai di rumahnya. Harith tak ikut masuk sama ke dalam rumah sebaliknya dia merapati Arlyssa.

“Nah, makanan yang awak nak. Lepas ni jangan keluar lagi. Ingat, masuk dalam rumah, kunci pintu tu. Nanti takut ada perompak ke apa ke, susah pulak nanti.” Pesan Harith sambil menghulurkan bungkusan kuih-muih yang dibeli tadi.

“Okey,” balas Arlyssa perlahan. Dia sedar dengan silap sendiri. Tanpa menunggu lama, Harith terus mengangkat kaki.

“Err.. Awak.” Panggil Arlyssa. Langkah kaki Harith mati. Kepala dipusing memandang Arlyssa. Keningnya terjongket menghantar pertanyaan. Wajahnya sengaja diseriuskan.

“Err.. Awak balik pukul berapa?” Arlyssa memberanikan diri menyoal.

“Kenapa?” Harith pelik dengan soalan Arlyssa. Tak pernah-pernah tanya, hari ni tiba-tiba tanya. Apa kes?

“Err…” Arlyssa tak tahu nak jawab apa.

“Huh!” Aku ni dah lewat, boleh pulak tanya aku tapi diam. Omel hati Harith. Tanpa pamitan, Harith terus angkat kaki.

“Aku tanya sikit pun tak boleh!” dengus Arlyssa sebaik kereta Harith berlalu pergi. Dia masuk ke dalam rumah.

KERETA Harith parkir sedikit jauh dari pejabatnya. Nak buat macam mana, terlewat sedikit pasti petak pakir tiada yang kosong. Nak tak nak terpaksalah dia menapak.

“Wei, kau pergi ke mana? Lewat macam ni baru masuk ofis,” Malik yang sedang berbual dengan salah seorang staf mereka menegur Harith. Mereka sama-sama keluar dari mahkamah tadi tapi Harith masuk lambat darinya. Dia pergi ke mana sebenarnya? Ligat kepala Malik berfikir.

“Hah? Eh, aku cerita kat kau lepas nilah. Aku nak solat dulu, tak solat lagi ni.” Kelam-kabut Harith meminta diri. Tapi memang dia sedang mengejar masa sekarang ni. Lambat-lambat nanti takut terlepas pulak waktu zohor.

Malik menggelengkan kepala melihatkan tingkah Harith. “Dia pergi mana sampai tak sempat nak solat?” Malik berbisik perlahan.

“Apa dia Encik Malik?” Kamalia bertanya selepas terdengar majikannya itu seperti sedang bercakap. Mungkin menyoal.

“Hah? Eh, tak ada apa-apalah.” Malik tak sangka pulak apa yang dia cakapkan tadi didengari oleh Kamalia, kerani bawahan di syarikat kecil itu. Malik berlalu ke biliknya, meninggalkan Kamalia yang masih diselubungi tanda tanya.

KETUKAN di pintu bilik mengejutkan Harith yang sedang enak melayan perasaan. Siapa pulak ni?

“Masuk!” Laung Harith. Sebuah fail yang berada di penjuru meja dia capai.

“Wah, rajin betul kawan aku ni. Sejak bila kau jadi rajin semacam ni? Eh, eh. Aku tahulah kau ni rajin sangat tapi janganlah kau baca fail tu terbalik.” Suara Malik menegur Harith.

Terbalik? Harith pantas melihat kulit hadapan fail itu. Ya Allah! Macam manalah aku tak perasan tadi, kan dah tak pasal-pasal malu.

“Kau nak apa ni?” Harith menyoal, sengaja mahu mengalihkan topik perbualan.

“Kau ni, kurang-kurang jemputlah aku duduk.” Malik berkata seperti orang tak puas hati. Kerusi di hadapan meja Harith dia tarik. Alah, bilik kecil aje. Pejabat kecil, bilik pun kecillah.

“Tak payah nak jemput bagai. Aku tak pelawa pun kau duduk jugak kan. Kau nak apa ni?” Bidas Harith. Malas dia nak layan si Malik ni. Banyak sangat cekadaknya.

“Eleh, buat-buat tanya pulak. Tadikan kau janji nak cerita kat aku. Kau jangan nak pusing-pusing pulak.” Pen di hadapan Harith dia capai. Bukan dia tak kenal si Harith ni. Sejak di universiti lagi mereka rapat. Boleh dikatakan semua rahsia Harith dalam poketnya. Tambah lagi mereka datang dari negeri yang sama. Jadi, lagi mudah untuk mereka masuk.

“Hmm.. pasal aku masuk lambat tu?” Soal Harith, pura-pura tak tahu apa-apa.

“Eh, kau jangan nak buat pura-pura tak tahu pulak. Pasal tulah. Pasal apa lagi.” Laju aje Malik dapat menghidu taktik sahabat serta rakan kongsinya itu.

Harith menarik nafas perlahan. Memang sejak tadi kepalanya sedang ligat mencari punca untuk memulakan cerita depan Malik. Nak beritahu perkara sebenar ke tak? Itulah yang hatinya sibuk pertimbangkan dari tadi. Kalau beritahu perkara sebenar, pasti terbeliak punya mata mamat ni. Seorang peguam syarie’ ditangkap basah dan terpaksa berkahwin. Macam tak logik tapi itulah hakikatnya. Wajah Malik dia pandang dengan rasa gelisah yang menghantui dirinya. Kening Malik dah terjongket menantikan jawapan. Ah, aci redah ajelah.

Ahad, 29 April 2012

SEWANGI CINTA ANGGERIK-PROLOG(NOVEL BARU)

MALAM semakin gelap. Sesekali kedengaran bunyi guruh dan kilat saling sahut menyahut. Dua orang kanak-kanak yang sedang ketakutan saling berpelukan menenangkan diri antara satu sama lain.

“Along, adik takut.” Luah si adik kecil.

“Sabar dik, along ada kat sini. Adik tak usah takut,” si abang cuba mententeramkan adiknya. Dia betul-betul kasihan dengan rasa takut adiknya itu. Tapi dia tak boleh buat apa-apa selain mententeramkan dan memujuk adiknya.

“Ibu mana along?” soal si adik tiba-tiba.

“Ibu kerja, dik.”

Dan hujan lebat turun membasahi bumi. Dua beradik yang sedang ketakutan kebasahan di dalam rumah usang itu. Hanya itu sahaja yang mereka ada untuk berteduh walaupun atap rumah sudah banyak yang bocor. Hujan beserta angin kencang membuatkan mereka berpelukan kerana kesejukkan. Menggigil badan si abang cuba melindungi adik nan seorang itu. Tiba-tiba pintu rumah mereka diketuk bagai mahu roboh rumah itu. Siapa pulak yang datang malam-malam buta dan di tengah-tengah hujan begini? Hati si abang sudah berlagu sumbang. Janganlah yang tidak elok. Hatinya bermohon.

Perlahan-lahan dia menghampiri pintu dan di buka dari dalam.

“Hei budak! Emak kau mana?” tanpa salam, tanpa sapaan yang lebih enak didengar, beberapa orang lelaki dewasa itu terus menyoal si abang. Melilau mata mereka mencari orang yang dicari. Bagai punya masalah yang sangat besar dengan mereka.

“Emak... emak kerja.” Tergagap-gagap si abang menjawab. Dia ketakutan melihat riak muka lelaki-lelaki di hadapannya ini seperti mahu telan orang lagak mereka.

“Kerja? Kerja sebagai perempuan kelab malam? Menyundal dengan lelaki hidung belang, itu yang kau cakap kerja?!” tengking lelaki itu lagi.

Si abang yang memahami ketakutan si adik terus memeluk erat adiknya. Si adik yang sedang menangis cuba ditenangkan oleh abang.

“Kita halau je mereka berdua ni. Ada kat kampung ni pun buat semak je!” cadang salah seorang dari mereka.

“Setuju!” sepakat mereka berkata.

“Hei budak, berambus kau dari rumah ni! Kami tak nak tengok muka kau lagi kat kampung ni! Berambus!”

Tubuh si abang dan adiknya dicampak keluar dari rumah kayu usang itu bersama dengan pakaian mereka yang tak banyak mana. Ditambah pula di tengah-tengah hujan lebat. Si adik yang masih tak tahu apa-apa asyik menangis dari tadi. Sangat kejam mereka semua.

Si abang dan adiknya meredah hujan yang semakin menggila walaupun kesejukan semakin mencengkam hingga ke tulang hitam. Tangannya tidak lepas dari memegang erat tangan adiknya. Rasa sayangnya untuk si adik amat-amat mendalam. Langkah si abang berhenti di bawah sebatang jambatan.

“Adik, kita duduk kat sini. Tempat ni mungkin boleh jadi rumah kita,” ujar si abang. Si adik menggigil kesejukkan. Bibirnya sudah bertukar warna dan bergetar perlahan.

“Adik, kenapa ni?” soal si abang.

“Adik sejuk along,” perlahan si adik menjawab. Dia rasa sejuk sangat. Macam ais.

“Tak apa, along ada.” Pujuk si abang sambil memeluk tubuh kecil adiknya.

Di bawah jambatan itulah rumah mereka kini selepas mereka dihalau dari rumah lama mereka. Dan juga mereka terpisah dengan ibu mereka.

P/S: salam semua... prolog ni pendek je, just nak ceritakan serba sedikit kisah mereka sblum brjya hari ni.. :)

Selasa, 24 April 2012

EPISOD CINTA HarLys BAB 10


“YANG ni nak tak?” Soal Harith. Huh! Arlyssa pandang Harith macam orang tak ada perasaan. Dia dah cakap yang dia tak pandai masak. Buat apalah membazir beli semua ni?! Beli makanan dah siap kan senang. Dia hanya angkat bahu tanda tak tahu.
Harith letak balik sepaket daging import ke tempat asalnya. Ni yang susahnya kalau bertanya dengan orang yang tak tahu apa-apa tentang barang dapur. Rungut Harith. Hai, dah mula merungut nampak. Suara hatinya menegur. Harith menolak troli yang masih belum terisi apa-apa barang basah sambil diekori Arlyssa. Dia berjalan, Arlyssa berjalan. Dia berhenti, Arlyssa turut berhenti.
Sampai di bahagian makanan laut, Harith berhenti. Dia perhatikan ikan yang berada di situ. Nampak macam tak segar. Plastik yang disediakan dia capai dan mula mengisi udang ke dalam plastik itu. Udang ni okeylah. Tak lembik dan busuk sangat. Harith pandang pula ke arah sotong. Hmm.. nampak macam best aje sotong ni. Kalau goreng pun sedap. Harith berkira-kira di dalam hati. Sebenarnya dia memang hantu dengan makanan laut. Tapi tak boleh makan selalu sebab dia ada resdung. Puan Hasnah selalu berleter panjang kalau nampak dia makan sotong dengan udang ni. Tapi sekarang Puan Hasnah tak ada. Yang ada cuma dia dan Arlyssa aje.
Arlyssa perhati setiap gerak-geri Harith. Di dalam kepalanya sedang tertanya-tanya. Banyaknya barang-barang yang dia beli. Siapa yang nak masak ni? Arlyssa awal-awal dah mengaku. Dia memang tak pandai memasak. Jangan kata memasak, nak jerang air pun dia tak pernah! Semuanya bibik yang uruskan.
“Hei, Rith! Kau buat apa kat sini?” Harith berpaling. Terkejut jugak dia apabila tiba-tiba ada yang memanggil namanya.
“Eh, kau Aidil. Aku beli barang dapur sikit,” jawab Harith. Dia berjabat tangan dengan Aidil, salah seorang kawannya ketika di universiti dulu. Matanya menjeling Arlyssa sekilas.
“Beli barang dapur? Sejak bila pulak kau pandai beli barang dapur ni? Hai, dah berubah ke kawan aku ni.” Aidil ketawa kecil. Kalau ikut hati dia nak ketawa besar tapi disebabkan tempat mereka yang terlalu terbuka, dia simpan ketawa itu di dalam hati.
Harith hanya tersenyum. Dia berlalu ke kaunter penimbang. Arlyssa yang buat-buat pandang ke arah lain langsung dia tak hiraukan. Arlyssa yang bosan dengan situasi itu perlahan-lahan angkat kaki. Baru dia terfikir ada beberapa barang peribadinya yang telah kehabisan stok.
“Kau tu macam mana boleh sampai ke Terengganu ni? Ada kerja ke?” soal Harith, mengalihkan topik perbualan. Sambil itu dia mengucapkan terima kasih kepada pekerja pasar raya yang menimbang barang basah yang dia pilih. Harith pandang pada troli yang sudah tiada pemilik. Mana Arlyssa ni? Ah sudah kalau hilang. Hati Harith gusar. Anak orang hilang, apa dia nak jawab dengan mak mentua dan abang iparnya?
“Aku? Aku kahwin dengan orang sinilah. Sebab tu yang aku terpacak depan kau ni,” ujar Aidil. Tapi Harith tak nampak pun pasangan Aidil, dari tadi dia berjalan sorang diri aje.
“Iya? Habis, apa cerita kekasih kau masa kat universiti dulu tu?” Harith menyoal dan tangannya turut ligat bekerja. Satu-persatu paket makanan segera dia lihat dan pegang. Di dalam kepala terfikir-fikir sama ada nak beli ke tak. Makanan macam ni boleh dibeli tapi tak boleh amalkan sangat. Tak baik untuk kesihatan.
“Tak ada jodoh, dia dah kahwin dengan orang lain. Kau pulak macam mana? Takkan masih sorang-sorang lagi?” Aidil sudah perasankan perempuan yang berada berhampiran Harith tadi tapi dia rasa serba-salah nak tegur. Takkan perempuan tak bertudung itu pasangan Harith, seorang peguam syarie’. Terasa tak padan pula. Desis hatinya.
“Aku? Aku macam nilah. Tak ada sesiapa-siapa lagi. Orang tak handsome, susah nak dapat jodoh, bukan macam kau.” Ujar Harith berselindung.
“Eh, macam-macamlah kau ni. Okeylah, aku gerak dulu,” mereka bersalaman sebelum Aidil berlalu pergi. Dan mata Harith ligat bekerja mencari kelibat Arlyssa. Haih, perempuan ni. Nak pergi mana-mana tu bagi tahulah dulu. Janganlah buat aku susah hati. Rungut Harith.
“Awak nak beli apa lagi ni?” Pertanyaan dari arah belakang mengejutkan Harith. Pantas dia memusingkan badan.
“Awak pergi mana? Kalau nak pergi bahagian lain tu, bagi tahulah saya dulu.” Harith betul-betul cemas kalau Arlyssa melarikan diri. Orang macam Arlyssa ni tak boleh diagak setiap gerak-gerinya. Suka ikut kepala dia aje.
“Saya pergi ambil ni. Dah awak tu sibuk sangat berbual dengan kawan awak tu.” Malas Arlyssa menjawab. Bila lagi nak balik ni? Aku dah bosan tengok barang-barang basah ni. Dengus Arlyssa.
Harith mencuri lihat barang apa yang Arlyssa sibukkan itu. Harirt mengerutkan dahi apabila terlihat sepaket bungkusan plastik bewarna biru. Apa bendanya tu? Nak kata lampin pakai buang, rasanya tak. Gambar pada bungkusan itu dia pandnag lagi. Maxi wing? Dia membaca tulisan yang tertulis di situ. Sayap? Benda apa yang siap ada sayap? Nak terbang ke siap ada sayap bagai. Harith menyoal diri sendiri.
Ni kenapa pulak duk sibuk perhatikan paket ‘roti kering’ aku ni? Arlyssa pelik dengan tingkah Harith. Semerta muka kemerahan apabila melihat Harith semakin khusyuk perhatikan barang yang baru dia letak dalam troli tu.
“Banyak lagi ke barang yang awak nak beli?” Arlyssa menyoal untuk mematikan kelakuan pelik Harith. Tapi nasib baik Harith tak tanya apa benda tu. Kalau tak, apalah yang dia nak bagi alasan. Arlyssa pandang ke arah isi dalam troli. Banyaknya barang. Macamlah ramai sangat yang nak makan. Yang paling penting, siapa nak masak semua ni? Aku ke? Kalau dia rasa nak tidur kat ‘hotel tinggi’, cubalah suruh aku masak!
“Hah? Oh, tak ada apa. Jomlah pergi bayar,” gelabah Harith menjawab. Troli terus dia sorong ke kaunter bayaran.
Kereta Myvi milik Harith perlahan-lahan berlalu keluar dari petak parkir. Arlyssa begitu khusyuk sekali memandang ke luar tingkap kereta. Dia terpegun sebenarnya. Tak disangka yang pemandangan malam di bandar kecil ini cantik juga. Dulu dia tak suka pulang ke sini sebab sangat membosankan. Tambah lagi sepupu-sepupu sebelah abahnya sangat kolot di matanya. Tapi sekarang, pandangannya berubah serta-merta.
Harith sengaja memilih jalan jauh untuk pulang ke rumah sebab dia nak bawa isteri tercinta yang sudah seperti orang bisu di sebelahnya ini bersiar-siar sekitar bandar Kuala Terengganu yang dicintai ini. Orang luar termasuk Arlyssa melabel bandar Kuala Terengganu suatu tempat yang mundur, tak ada hiburan, bandar yang membosankan dan macam-macam lagi tanggapan buruk. Hinggakan ketika belajar di universiti dulu, rakan-rakannya pasti memperlekehkan dia kerana dia berasal dari Terengganu, sebuah negeri yang tak maju dan tak moden di fikiran mereka.
Arlyssa bertambah terpegun apabila kereta Harith melalui pesisir sebuah pantai. Dia tak tahu pulak apa nama pantai tu. Tapi yang pasti pantai itu dikunjungi oleh ramai orang macam malam ni malam hujung minggu. Malam ni bukan malam hujung minggu. Pemandangan di situ tak ubah seperti di depan Padang Merdeka jika malam hujung minggu. Kemudian, pemandangan pantai diganti dengan kerlipan lampu yang pelbagai warna di tepi-tepi jalan. Rindu Arlyssa pada bandar besar Kuala Lumpur sedikit terubat.

“LYS, Lys. Bukalah pintu ni.” Panggil Harith sambil mengetuk pintu bilik Arlyssa. Di tangannya sedang memegang sehelai kemeja dan seluar slack. Dia nak suruh Arlyssa gosokkan sebab dia tak sempat nak buat semalam. Lagi pun, inikan kerja seorang isteri.
“Apa lagi ni!” bentak Arlyssa sambil menggaru-garu kepala. Bentakkan itu hanya didengari oleh dirinya saja. Macam orang mamai baru bangun tidur bercakap sendirian.
“Lys, cepatlah buka pintu ni. saya dah lewat nak pergi kerja ni.” Suara Harith kedengaran lagi.
Lambat-lambat Arlyssa bangun dari atas katil. Pintu bilik dia renggut kasar. “Awak nak apa?” Terjengul muka Arlyssa dengan reaksi menahan kantuk. Huh, buruk betul! Bini siapalah ni?
“Awak tolong gosokkan baju dan seluar ni, boleh?” Harith menyoal sambil menghulurkan baju dan seluar kepada Arlyssa. Mata Arlyssa membulat sebaik mendengar permintaan Harith. Penampilan Harith tika ini lagi buat hatinya bergetar hebat. Dada bidang Harith tak berbaju dan hanya mengenakan kain tuala di pinggang. Huh! Ni fesyen apa ni? Lagi satu, dia nak aku gosok baju? Seumur hidup aku mana pernah gosok baju!
“Gosok baju? Awak nak saya rosakkan baju awak tu ke apa? Saya tak pernah gosok baju! Jangankan baju orang, baju sendiri pun saya tak pernah gosok!” Agak tinggi nada Arlyssa. Mana tak tinggi kalau terkejut bercampur dengan perasaan tak puas hati.
“Tak pandai kenalah belajar. Takkan selamanya awak nak berada di takuk lama. Mari sini, saya ajarkan macam mana nak gosok baju. Senang aje la,” lembut Harith mengajak.
Gulp! Ajar gosok baju? Arlyssa telan liur yang terasa pahit dicelah kerongkong. La, kenapalah aku pergi jawab tak pandai gosok baju. Kalau aku jawab tak nak, kan senang. Tak payah nak kena belajar gosok baju bagai ni. Gerutu Arlyssa di dalam hati. Itulah orang cakap, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, nilah padahnya.
“Cepatlah, saya dah lewat ni.” Gesa Harith.
“Eh, siapa pulak setuju nak belajar menggosok baju dengan awak? Saya tak ada kata pun nak belajar.” Selamba Arlyssa menjawab. Tangannya ringan mahu menutup kembali pintu biliknya dan mahu menyambung kembali lena yang terbantut.
Harith yang menyedari tingkah Arlyssa cepat-cepat menghalang pintu dari terus tertutup. Daun pintu dia tolak sedikit dan tangannya pantas menyambar pergelangan tangan Arlyssa. Ah, dia ingat dia aje yang tahu nak protes. Aku pun ada angin juga. Bisik hati Harith.
“Eh, apa ni?! Awak nak bawa saya pergi ke mana?” protes Arlyssa. Dia cuba menarik tangannya tapi tak berjaya. Genggaman Harith memang kemas.
Pintu bilik Arlyssa dia tolak. Lengan Arlyssa dia tarik sama dan dikunci dari dalam. Pegangan pada pergelangan tangan Arlyssa masih tak berganjak.
“Seterika mana?” Harith menyoal Arlyssa tapi Arlyssa mematungkan diri. Membiarkan soalan itu berlalu bagai angin lalu.
“Huh!” Harith pandang Arlyssa tapi Arlyssa pandang ke tempat lain. Tak kuasa aku nak jawab soalan kau!
Melihatkan reaksi Arlyssa, Harith meliarkan mata mencari seterika. Ha, kat situ kau rupanya. Sebaik jumpa, Harith terus membentangkan kain batik di atas sebuah meja seakan meja tulis. Dia tak tahu pun kain batik siapa tu, nampak aje depan mata, dia terus rembat. Yang pasti bukan milik Arlyssa. Heh, orang bandar macam dia manalah nak pakai kain-kain batik ni. Low class!
“Mari sini,” panggil Harith dan menarik tangan Arlyssa. Tak berganjak sekali lagi Arlyssa mengeraskan tubuh. Ni memang nak tunjuk perangai ke apa? Kerana geramkan perangai Arlyssa yang tak ubah seperti budak-budak, Harith menarik kasar tangan Arlyssa. Mencerlung mata Arlyssa memandang wajah Harith. Huh, besar sangat dengan cerlungan kau tu? Ada aku kisah?
Dengan kedudukan Arlyssa di depan meja dan Harith di belakang Arlyssa. Kalau sekali tengok, kedudukan mereka seperti sedang berpeluk. Baju sudah terbentang di atas meja. Arlyssa dah tak selesa dengan kedudukan mereka tu.
“Nak menggosok ni senang aje, kena pandai kawal suhu iron ni. Kalau suhu kuat sangat, memag berlubang la baju ni. Kalau awak dah lama iron tapi kedut kat baju tu tak jugak hilang-hilang, awak guna spray air ni. Tapi jaga-jaga sikit dengan suhu iron ni. Masa menggosok lepas spray dengan air jangan lama sangat sebab nanti makin cepat baju berlubang sebab terlalu panas. Okey, macam mana? Faham tak?” Tanya Harith di tepi telinga Arlyssa. Betul-betul di tepi telinga Arlyssa. Seram sejuk Arlyssa dibuatnya.
“Awak, dengar tak ni?” Soal Harith. Dia pelik apabila Arlyssa senyap, bisu tanpa suara.
“Hah?” Arlyssa terperanjat. Soalan Harith bagai menyedarkan dia dari lena yang panjang. Apasal pulak dengan minah ni?
Harith terpandangkan kedudukan mereka. Err… Huh! Dekatnya! Baru dia perasan, kedudukan mereka terlalu rapat. Pantas Harith bergerak menjauh. Tak pernah lagi dia berdiri serapat ini dengan mana-mana perempuan.
“Err.. awak buatlah macam yang saya ajar tadi.” Harith bersuara dengan rasa gelabah yang menebal di dalam hatinya.
Wajah Arlyssa sudah memerah. Yang peliknya, dia tak pula marah-marah macam selalu. Kerana terlalu terkejut, tubuhnya dikeraskan. Lambat-lambat Arlyssa mencapai seterika dan mula menggosok baju di hadapannya ini seperti mana yang Harith ajarkan sebentar tadi. Manakala Harith berdiri agak jauh dari Arlyssa sambil berpeluk tubuh. Setiap lenggok pergerakkan Arlyssa dia perhati hingga buat dia ralit. Sampaikan tak sedar Arlyssa dah siap menggosok.
“Nah,” hulur Arlyssa. Tangannya ligat mahu menyimpan kembali sterika ke tempatnya. Agak lama Arlyssa hulur tapi tak bersambut. Dia pantas memusingkan tubuh menghadap Harith.
“Sampai bila saya nak jadi penunggu setia kat sini? Awak!” jerit Arlyssa tanpa sabar. Harith terpinga-pinga akibat jeritan Arlyssa.
“Hah? Oh! Terima kasih,” ucap Harith sambil menyambut huluran Arlyssa.
Arlyssa mengemas dan menyimpan kembali seterika serta kain batik yang telah digunakan tadi. Dia nak sambung tidur pulak. Mengantuk lagi ni. bagai dirasuk, Harith merapati Arlyssa dan menghadiahkan ciuman di pipi kiri Arlyssa. Dia pantas berlalu keluar dari bilik itu bersama dengan senyuman lebar. Arlyssa terkesima dengan tindakan Harith. Laju dia memusingkan tubuh tapi batang tubuh Harith sudah tiada. Perlahan jarinya menyentuh pipi, di tempat Harith menciumnya tadi. Di luar sedar bibirnya mengukir senyum lebar.

Jumaat, 13 April 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB9

HARITH parkir kereta mahal milik Arlyssa di sebelah kereta Myvi hitamnya. Sebuah kereta murah berganding dengan kereta mewah. Sangat tak sepadan! Sengaja dia minta perlepasan awal dari Malik untuk pulang awal. Kesian pulak bila tinggalkan Arlyssa seorang diri di rumah. Anak manjalah katakan. Segala fail-fail kerja dia bawa keluar dari dalam kereta. Sebaik berpusing untuk melangkah menghampiri pintu, batang tubuh Arlyssa sudah sedia menanti di situ dengan berpeluk tubuh. Riak tak puas hati jelas terukir di wajah itu.

“Awak pergi mana?” Soal Arlyssa selepas puas menayang muka tak sudah. Dia buat muka pun bukannya orang tu nak tanya. Huh, tak ambil kisah langsung!

Soalan Arlyssa, Harith biarkan sepi tanpa jawapan. Dia tak ada mood nak bergaduh sekarang ni. Kerja-kerja yang bertimbun lagi penting dari melayan soalan tak masuk akal Arlyssa. Dah nama pun hari ahad, maknanya pergi kerjalah. Sengal punya soalan! Sini Terengganu, bukannya Kuala Lumpur.

“Hei! Awak pekak ke? Saya tanya ni!” jerit Arlyssa.

“Apa dia?! Saya tak pekak lagi! Yang awak duk terpekik terlolong ni kenapa?!” Sembur Harith dengan nada yang tinggi. Kesabarannya ada had juga. Kalau hari-hari dipekik, dijerit begitu, ego lelakinya tercabar juga!

Arlyssa terpempam. Tidak dia sangka Harith akan menengkingnya sebegitu sekali. Dia ingat Harith ni tak pandai melawan sebab sejak semalam lagi sudah pelbagai amarah yang dia hamburkan tapi tiada reaksi dari Harith. Namun, hari ni, apabila jauh dari keluarga Arlyssa, sudah terlihat belang Harith. Jadi, dia hanya berlakon di depan along dan mama? Hati Arlyssa sedih. Dia tak penah kena tengking macam tu. Selama ni semua yang dia buat dia rasakan betul belaka. Dia tak kisahkan hati orang lain yang terasa. Pintu rumah dia hempas kuat dan berlalu masuk ke dalam biliknya. Sekali lagi pintu bilik mendapat nasib yang sama. Arlyssa menjeruk rasa. Bantal di atas katil dia capai dan dilempar ke dinding. Ibaratnya dia sedang membaling ke arah Harith.

Harith duduk di atas sofa. Astaghfirullahalazim…. Dia beristighfar panjang. Kedua belah tangan meraup muka. Dia juga manusia biasa. Siapa tak marah kalau penat-penat balik dari kerja terus kena sembur, kena tengking? Kalau disambut dengan hidangan segelas air, tak adalah angin dia naik. Sejuk hatinya jika begitu tingkah isteri yang menyambut kepulangan. Setelah anginnya reda, Harith ke dapur dengan lauk-pauk dan nasi yang telah dia beli tadi. Dia tak boleh lama. Dia perlu ke rumah keluarganya pula petang ni sebab tak mahu Puan Hasnah risaukan dia.

Lauk dan nasi Harith hidang di atas meja makan yang boleh memuatkan 8 orang itu. Kakinya diatur ke arah bilik Arlyssa pula. Kaku dia berdiri di situ. Hatinya berbelah bahagi sama ada mahu mengetuk atau tidak pintu bilik itu. Nak ketuk ke tak? Hatinya tertanya-tanya. Lepas marah-marah dan tinggikan suara kepada Arlyssa, dia rasa serba-salah pula untuk megetuk pintu bilik itu. Ah, ketuk ajelah. Makin lama aku macam ni, makin banyak masa yang terbuang. Sahut hatinya.

“Awak, awak.” Panggil Harith beserta dengan ketukan di pintu bilik itu.
Senyap! Bisu! Tak ada satu pun bunyi sahutan.

“Awak, Arlyssa. Awak dengar tak ni?” Harith masih tak putus asa. Telinga dia tekap pada pintu. Senyap juga. Harith mengeluh. Arlyssa dah mula mogok. Harith mundar-mandir di hadapan pintu bilik itu. Takkan sampai ke malam Arlyssa nak tunjuk perangai macam ni? Tak lapar ke dia? Dalam diam Harith bimbang juga dengan kelakuan Arlyssa.

Arlyssa membatukan diri. Matanya tajam memandang pintu bilik yang sudah senyap tanpa ketukan. Pandai pulak nak lembutkan suara tu. Tadi bukan main lagi nak marah, tinggi suara dengan aku! Dengus Arlyssa. Badan dia lentangkan di atas katil. Dia bebas untuk bergerak di dalam bilik itu tanpa ada batasan. Bilik itu dia yang punya! Puas dia kalihkan ke kiri dan ke kanan tapi masih juga tak dapat lelapkan mata. Dia bangun kembali. Tiba-tiba matanya terliht sekeping kertas di hadapan pintu bilik. Kertas? Tadi tak ada rasanya. Desis Arlyssa.

Perlahan-lahan dia menapak menghampiri kertas itu. Kertas yang berlipat dua itu dia buka.

Makanan dah ada atas meja. Kalau awak nak makan, ambillah.

Arlyssa mencebik. Kertas di tangan dia renyukkan dan dicampak ke dinding. Huh! Telingannya menangkap bunyi kereta yang berlalu keluar dari laman rumah. Dia keluar lagi ke? Ah, lantaklah! Arlyssa tak ambil kisah setiap patah perkataan yang tertulis di atas kertas itu.

“ASSALAMUALAIKUM mak,” sapa Harith sambil melangkah keluar dari perut Myvinya. Puan Hasnah yang sedang membelek anak pokok cilinya pantas berpaling.

“Wa’alaikumussalam,” Harith menyalami tangan tua emaknya.

“Baru sampai ke long?” Soal Puan Hasnah.

“Dah sampai semalam, mak. Tapi tumpang tidur rumah kawan semalam,” jawab Harith berselindung. Bukan masanya lagi untuk berterus-terang dengan Puan Hasnah. Kalau dia mahu memberitahu perkara itu, emak dan ayahnya perlu duduk semeja dan dia tak mahu ada orang luar yang turut serta. Keadaan akan jadi lebih buruk jika ada orang luar. Tapi yang pasti bukan dalam masa terdekat. Dia masih tak bersedia.

“Ayah ada tak mak?” Soal Harith, matanya melilau mencari kelibat Haji Ahmad.

“Ayah ke masjidlah. Dah nak masuk waktu asar kan ni,” Puan Hasnah berlalu masuk ke dalam rumah.

Harith menuruti langkah Puan Hasnah. Dia masuk ke dalam bilik dan keluar bersama-sama tuala di tangan. Badannya sudah melekit sebab sudah seharian tak mandi. Rumah orang tuanya memang begini, bilik air tidak disediakan sekali dalam bilik. Rumah pusaka lama.

“KENAPA along? Along tak suka ke duduk kat sini?” Tenang Puan Hasnah menyoal. Dia tahu, anaknya itu ada membeli rumah tapi kenapa nak pindah mengejut? Macam ada benda yang cuba disembunyikan oleh anak lelakinya itu. Hati tuanya mula berfikir yang tak elok.

“Bukan tak suka, mak. Tapi along rasa nak duduk sendiri. Lagi pun along bukan duduk sorang, along duduk dengan kawan.” Harith cuba menyedapkan hati emaknya.

“Alah awak ni. Dia bukannya nak pergi jauh. Cuma nak pindah duduk dengan kawan dia aje. Kat mana rumah kamu tu?” Tanya Haji Ahmad. Dia tak kisah dengan keputusan anak sulungnya itu. Harith sudah besar panjang, sampai bila nak berkepit bawah ketiak emak ayah?

“Err.. Chendering, yah,” agak gugup Harith menjawab. Dia terpaksa memberikan alasan untuk tinggal di rumah yang dibeli sedangkan rumah itu masih belum siap lagi. Dia kekeringan alasan untuk dipersembahkan kepada emaknya. Reaksi Haji Ahmad dia tak kisah sangat sebab ayah tak terlalu menyekat pergerakkan anak-anak.

“Hmm.. Lagi dekat dengan pejabat kami. Kalau dari sini ulang-alik memang jauh juga. Kalau dari Chendering boleh jimat duit minyak. Ayah tak ada apa nak bangkang. Ikut suka kamulah,” ujar Haji Ahmad. Cawan yang telah berisi air dia bawa ke bibir.
Haji Ahmad sudah bagi lampu hijau. Cuma Puan Hasnah yang masih lagi keberatan mahu melepaskan Harith. Wajah Puan Hasnah dia pandang. “Mak….” Meleret Harith panggil emaknya. “Along bukannya dah tak balik sini. Along janji, tiap-tiap minggu along balik jenguk mak dan ayah. Boleh ya mak?” Harith memujuk Puan Hasnah.

Puan Hasnah melepaskan nafas sambil menuang air teh ke dalam cawannya. Puan Hasnah bukan apa. Dia risaukan Harith. Jika Harith pindah keluar dari rumah ini, peluang untuk dia perkenalkan anak-anak teman baiknya tak akan menjadi. Di dalam kepalanya sudah ligat merangka perancangan tapi begini pulak yang jadinya. Hisy, macam mana ni?

“Mak…” Panggil Harith lagi apabila melihat emaknya membisu seribu bahasa. Kenapa dengan emak ni? Sakit ke?

“Awak ni, along tu bukannya nak pindah jauh. Kat Chendering tu aje. Awak telefon aje dia kalau awak rindukan dia,” Haji Ahmad menyampuk. Fiil isterinya tu bukan boleh diikut sangat. Puan Hasnah memuncung. Abang ni buat-buat tak tahu pulak. Rungut Puan Hasnah di dalam hati.

Harith tak putus-putus memandang wajah emaknya. Kalau ikutkan hati memang dia tak nak pun berpindah ke sana. Dahlah kena menipu pula. Tapi disebabkan kasihan dengan Arlyssa, Harith terpaksa juga buat begitu. Jika dia tinggalkan Arlyssa sorang diri di sana, memang makin hancur perempuan tu. Orang yang dah sebati dengan kehidupan sosial akan kembali juga ke kehidupan lama jika tak berjumpa dengan orang yang boleh membimbing kembali ke jalan yang betul. Ya, mungkin dia orang itu.

“Yalah, yalah. Tapi setiap minggu along kena balik ke sini. Boleh?”

“Okey, along janji. Terima kasih, mak.” Persetujuan dari emaknya buat matanya bersinar girang. Pantas dia mencium pipi tua itu.

“Hisy, apa ni! Lemaslah mak macam ni,” rungut Puan Hasnah. Dia terkejut juga dengan tindakan spontan Harith.

Ketawa Haji Ahmad dan Harith bersatu. Mereka tahu sangat yang Puan Hasnah memang tak suka diperlakukan begitu. Geli katanya.

HARITH parkir keretanya di belakang kereta Arlyssa. Dia merancang untuk keluar lagi nanti kerana mahu membeli segala barang-barang basah dan kering. Kat dapur tu tak ada satu pun makanan. Rumah yang tak ada orang tinggal, memang macam tu. Beg pakaian dia bimbit masuk ke dalam rumah. Harith pandang ke sekeliling ruang tamu. Sunyi sepi. Sama seperti ketika dia pulang awal petang tadi. Macam tak orang dalam rumah tu. Matanya terpaku pada meja makan. Tak ada bungkusan nasi yang dia hidang tadi. Lantas dia ke dapur. Nak pastikan sama ada Arlyssa makan atau buang nasi tu. Dan ternyata Arlyssa makan bukan buang.

“Alhamdulillah,” Harith mengucap syukur. Senyuman tersungging di tepi bibirnya.

Dia kembali ke arah bilik Arlyssa. Pintu bilik Arlyssa dia ketuk.

Arlyssa terpisat-pisat di atas katil. Bunyi bising mengganggu lenanya. Dia tak sedar pulak bila masa dia tertidur. Sebab terlalu kenyang kut! Dia makan tadi bagai sudah berbulan tak makan. Kalau bakal mak mentua tengok, sah tak lepas jadi menantu. Eh, kau dah jadi isteri oranglah. Mana pulak datang istilah bakal mak mentua ni? Hati kecilnya menyoal. Opss!!

“Siapa pulak yang bising-bising ni?!” Dalam mamai dia menyoal. Arlyssa cuba menegakkan badan tapi kepalanya berpinar-pinar pula. Tangan kiri laju memicit dahi.

“Apa?” Jerit Arlyssa. Dia dah tahu siapa yang sedang buat bising tu. Siapa lagi kalau bukan Harith. Hanya mereka berdua aje yang tinggal kat rumah tu.

Tombol pintu Harith pulas. Eh, tak berkunci rupanya. Buat letih aje ketuk dari tadi. Rungut Harith.

“Awak tidur ke?” Soal Harith. Muka Arlyssa dia pandang. Kusut-masai rambut, komen Harith di luar sedar.

“Hmmm…”

“Awak, bangunlah. Dah malam ni,” panggil Harith. Dia lihat Arlyssa masih tak mahu bergerak. Arlyssa pula buat-buat tak dengar. Dia paut bantal dan dipeluk kemas. Kata-kata Harith ibarat angin lalu. Rasa marahnya makin berbuku di dalam hati. Marah-marah orang bukan pandai nak mintak maaf! Dengus Arlyssa.

Harith buntu. Marah lagi ke? Kena pujuk ke? Hadoii! Macam mana nak pujuk perempuan ni? Harith garu kepala yang tak gatal. Dia mana ada pengalaman nak pujuk-pujuk orang ni. tambah lagi orang perempuan. Sepanjang dia belajar dulu, tak ada pun ilmu pujuk-memujuk ni diperturunkan. Gawat macam ni.

“Err.. kalau pasal petang tadi, saya minta maaf. Saya tak dapat nak kawal perasaan saya,” tutur Harith lembut.

Huh! Maaf?! Senangnya minta maaf. Masa tengking-tengking tak sedar! Dengus Arlyssa di dalam hati. Dia masih mengeraskan diri. Mata juga masih terpejam. Tak mahu langsung memberikan reaksi ke atas kata maaf Harith. Ah, hatinya masih sakit dengan kata-kata itu.

Aduh, nak pujuk macam mana lagi ni? Kata maaf tak jalan juga. Harith pening memikirkan cara lain yang boleh meredakan amarah Arlyssa. Ah, redah ajelah.

“Awak, saya minta maaf. Saya sedar saya salah. Awak janganlah buat saya macam ni,” rayu Harith. Suaranya terpaksa dilembutkan. Nak memujuk punya pasal.

Terbeliak mata Arlyssa apabila terasa tangannya disentuh dan ditarik. Sepantas kilat dia bangun dari pembaringan.

“Apa ni?!” Jerit Arlyssa. Dia cuba menarik tangannya dari genggaman Harith. Tapi tak berjaya. Tangannya terkunci di situ.

“Ni apa hal pulak melutut ni? Heh, bangun!” Melolot mata Arlyssa memandang Harith.

“Selagi awak tak maafkan saya, saya akan terus macam ni, saya tak akan bangun.” Sengaja Harith berkata begitu. Mana tahu hati Arlyssa boleh cair.

“Huh!” Dengus Arlyssa. Tak ada sorang pun kawan lelaki yang pernah melutut macam tu depan dia. Dia tak suka!

“Yalah, yalah. Bangunlah, saya tak suka!” Arlyssa terpaksa mengalah. Dia bukan siapa-siapa sampai kena berlutut segala.

“Betul ni? Macam tak ikhlas aje,”

“Ikhlas! Dah, dah. Bangunlah! Tanya macam nak saya tarik balik keputusan tu aje. Nak saya tarik balik?” Ugut Arlyssa. Nampak sangat Harith macam nak main-main.

“Eh, tak. Saya tanya aje,” Harith terus bangun. Angin Arlyssa dah elok sikit. Nanti kalau datang angin puting beliung dia tu, aku jugak yang susah. Desis Harith.

“Awak mandi, lepas tu kita keluar cari barang sikit.” Beritahu Harith. Dia sudah berkira-kira mahu ke depan sebab dia dah mandi kat rumah orang tuanya tadi. Cuma tunggu tuan puteri tu bersiap aje.

Mata yang tadinya mahu tertutup kembali, dia celikkan. Rasa mengantuk yang membelenggu diri terus hilang dibawa pergi.

“Keluar? Nak pergi mana?!” Soal Arlyssa. Ada nada tak puas hati di situ.

Harith memusingkan kembali tubuh, menghadap Arlyssa. “Keluar pergi beli barang dapur. Kat dapur tu kan tak ada makanan. Esok-esok kalau awak lapar senanglah nak masak. Semua barang dapur dah ada.” Tenang Harith menjawab. Dia sedar. Jika sorang jadi api, sorang lagi perlu jadi air. Sorang panas dan sorang lagi perlulah jadi penyejuknya. Tak boleh dua-dua panas. Runtuhlah rumah tangga kalau macam tu gayanya!

Barang dapur? Masak?! Woo wo wo… Aku mana pandai masak! Semua bab masak-memasak ni kerja Bibik Nor! Apa kelas aku nak masak! Jerit Arlyssa di dalam hati.

“Saya tak pandai masak! Tak payahlah beli barang dapur.” Protes Arlyssa. Sambung tidur lagi elok.

“No, no! Awak kena pergi jugak. No more excuses!” Kali ni giliran Harith pula membalas. Ton suaranya sedikit tinggi tapi tidak setinggi ton suara Arlyssa. Dan secara spontan ayat bahasa inggeris terkeluar. Harith menarik tangan Arlyssa.

“Tak nak lah!” Arlyssa masih tak mahu berganjak.

“Okey, fine! Awak nak saya dukung awak?” Agak nakal Harith menyoal. Suaranya sudah bertukar. Lagak macam penggoda nombor satu! Dia sudah menunjukkan tanda mahu mengangkat Arlyssa dengan sepasang tangannya semakin mendekati tubuh Arlyssa.

“Tak payah! Saya boleh bangun sendiri!” Laju Arlyssa membalas. Nampaknya semakin hari, semakin terserlah perangai sebenar lelaki di hadapannya ini. Dan Arlyssa perlu lebih berhati-hati lagi selepas ni. Ada saja tindakan di luar sedar yang akan lelaki ni buat!

Arlyssa menapak ke bilik air dengan rasa marah yang terbuku di dalam dada. Tajam matanya menjeling Harith. Harith pula buat-buat bodoh. Siap senyum lagi. Makin buat hati Arlyssa geram!

Isnin, 2 April 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB8

ARLYSSA mengetatkan muka sejak duduk di dalam kereta. Hatinya tiada langsung mahu senyum. Ah, buat menambahkan kedutan kat muka aje! Dengus Arlyssa. Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu, itulah muka yang dia pamerkan. Muka macam tapai basi!

Dia melangkah masuk ke dalam rumah yang sememangnya sangat klasik di ruang matanya. Huh! Rumah apa ni mama?! Biasalahkan bila dah terbiasa hidup di rumah batu yang mewah segala-galanya dan mula rasa tak senang bila terpaksa duduk di rumah kayu yang kurang serba-serbi. Rumah pusakalah katakan. Walaupun kurang di mata Arlyssa, bagi Harith pula, dia dah bersyukur sangat-sangat sebab ada tempat berteduh.

Arlyssa menapak masuk ke dalam biliknya. Walau dia sudah lama tak balik ke rumah itu, tapi dia masih ingat yang mana satu biliknya kerana mereka adik-beradik tak ramai, jadi setiap orang dapat bilik sendiri. Kain putih yang menutupi ruang katil dia tarik rakus dan bersepai debu berterbangan memenuhi ruang udara dan….

“Hachumm..” Arlyssa terbersin.

“Bilik ni ke bilik kita?” Pantas Arlyssa berpusing kerana terkejut sangat dengan suara yang tiba-tiba menyapa. Harith yang sedang membimbit beg pakaian mereka terus meletak beg tersebut di tepi dinding. Sekali lagi matanya mencerlung memandang lelaki itu. Siapa nak kongsi bilik dengan kau?!

“Apa dia? Bilik kita? Sejak bila pulak ada istilah bilik kita?!” Arlyssa sangat-sangat tak sukakan lelaki itu. Tambah lagi dengan istilah yang baru keluar dari mulut lelaki itu. Huh, geli rasanya dengan istilah ‘bilik kita’!

Harith terkejut dengan suara memetir Arlyssa. Rasanya sejak dia dipertemukan dengan Arlyssa, tak pernah sekali pun perempuan itu bercakap dengan nada yang lembut. Asyik nak tengking orang, jerit-jerit suka hati dia aje. “Err.. kalau bukan bilik kita, bilik siapa?”

“Ni bilik saya! Kalau awak nak tidur, awak boleh tidur saja di mana-mana pun tapi bukan di bilik ni dan bukan di bilik yang lain sebab bilik-bilik tu semua dah ada orang punya!” Harith mengeluh. Tangannya tergaru-garu kepala. Susahlah kalau macam ni, desis Harith. Kalau dia balik ke rumah emak dan ayahnya serta meninggalkan Arlyssa seorang diri di sini, apa yang akan jadi nanti? Nanti tak pasal-pasal kena bersoal-jawab dengan Puan Aini dan Syed Yusri.

“Kalau macam tu saya kena tidur di ruang tamu?”

“Terpulang!”

Arlyssa menghempas tubuhnya di atas katil. Ah, leganya apabila dapat meluruskan segala urat-urat yang lenguh. Dia tak menghiraukan Harith yang sedang termanggu-manggu tanpa hala tuju. Nampaknya terpaksalah dia tidur kat ruang tamu. Nak buat macam mana, dah nasib diri menumpang. Dia melangkah perlahan ke ruang tamu. Kain putih yang menutupi sofa dia tarik perlahan-lahan. Dia merebahkan tubuh di atas sofa empuk itu.

“Haih, nasib kaulah badan. Penat-penat memandu jauh tapi terpaksa pulak tidur di atas sofa,” keluh Harith. Harith tak nak memberatkan otaknya sekarang ni. Dia cuma mahu tidur saja sementara menanti masuk waktu maghrib.

HARITH menggelengkan kepala melihat cara Arlyssa tidur. Buruk betul! Kaki kat kepala katil, kaki pula terlentang hampir jatuh. Huh, buasnya tidur! Getus hati kecil Harith. Perlahan-lahan dia menarik selimut yang sudah jatuh bergumpal di atas lantai. Cadar juga sudah tidak seperti cadar. Dah macam kain buruk! Bergumpal di hujung katil.

“Lys, Lys.” Panggil Harith untuk mengejutkan Arlyssa. Waktu subuh cuma tinggal hujung-hujung aje lagi. Namun Arlyssa sedikit pun tak berganjak. Malah makin lena pula.

“Lys, bangunlah. Solat subuh,” gerak Harith lagi. Dia tak tahu Arlyssa ni amat-amat payah untuk bangun tidur. Selagi matahari tak meninggi, selagi itulah dia akan lena dibuai mimpi. Sudah berbuih mulut Puan Aini menasihati Arlyssa tapi dia tetap begitu. Macam orang tak ada perasaan.

“Amboi, ni tidur ke dah mati?” Rungut Harith. Selimut di tangan dia lipat dan letak di tepi katil.

“Awak, bangun!” Jerit Harith sambil menggoncangkan bahu Arlyssa. Tapi Arlyssa tetap begitu. Kebal betul telinga perempuan ni.

Ligat kepala Harith berfikir cara yang boleh dia kejutkan Arlyssa apabila cara biasa tak jalan. Aha! Tiba-tiba dia mendapat idea. Harith ke dapur, mencari barang yang mungkin boleh membantunya. Dia kembali semula ke bilik Arlyssa dengan sebiji periuk dan sebatang sudip. Seulas senyuman tersungging di pinggir bibirnya. Tak nak bangun sangatkan. Rasalah irama lagu baru ni!

Harith mengetuk bontot periuk dengan sudip di tangan. Bergema dan bingit bunyi yang terhasil. Arlyssa bingkas bangun dar pembaringan kerana terdengar bunyi yang membingitkan telinga.

“Hoi! Apa bising-bising ni? Kacau orang nak tidur betul!” Tengking Arlyssa. Dia memang tak pernah nak hormat Harith sebagai suami.

“Dah tau bising, bangunlah! Solat subuh!” Kesabaran Harith juga ada hadnya. Jika di Kuala Lumpur dia masih bersabar lagi kerana di hadapan keluarga mertua. Tapi apabila jauh dari rumah keluarga sendiri pun sikap Arlyssa masih begitu, itu yang buat dia naik angin. Orang dah tolong kejut pun dah kira baik, sepatutnya ucap terima kasih, bukannya tengking orang sesuka hati.

“Saya cuti!” balas Arlyssa sambil menghempas kembali badan ke katil.

Betul ke cuti? Ke saja-saja cakap cuti? Hati Harith kurang percaya dengan jawapan Arlyssa. Dia berlalu ke dapur, menghantar kembali periuk dan sudip ke tempat asalnya. Matanya terpandangkan jam di dinding ruang tamu. Ya Allah, sudah pukul 7.30! kelam-kabut dia ke bilik Arlyssa kembali kerana beg pakaiannya masih ada di sana dan bilik air juga ada di situ.

Selesai mandi, Harith terus menyarung kemeja yang masih lagi berkedut seribu. Ah, dah tak sempat nak gosok! Nak suruh Arlyssa, memang taklah lepas dia ‘mainkan’ lagu yang sangat best tadi. Nanti kalau suruh, entah apa jadi dengan kemeja aku ni, desis Harith. Usai bersiap, Harith berkira-kira sendiri. Sama ada nak suruh Malik menjemputnya di sini atau dia menggunakan kereta Arlyssa. Tapi apabila melihatkan waktu makin pantas berjalan, nampaknya Harith terpaksa memilih pilihan kedua. Kalau nak suruh Malik ke sini takut dah tak sempat.

Harith menyelongkar beg pakaiannya. Sebaik terjumpa dengan sebatang pen dan sehelai kertas, dia terus menulis sesuatu di atas kertas itu dan diletakkan di sebelah Arlyssa. Kemudian, dia bergegas keluar dari rumah pusaka itu. Harapnya jalan tak sibuk lagi. Dia tak mahu terperangkap di dalam kesesakkan lalu-lintas yang boleh membuang masanya begitu sahaja.

“LAWA kereta kau. Takkan baru pergi ke KL dah bawak balik kereta sebijik. CR-V tu. Weh, kereta siapa ni?” Sapa satu suara ketika Harith sedang mengunci kereta. Harith berpusing, Malik rupanya.

“Ada la..” Meleret jawapan Harith. Dia seboleh mungkin tak mahu memberitahu apa-apa. Nanti kang, keluar satu cerita, habis terburai semuanya. Lepas tu mulalah jadi buah mulut.

“Hek eleh, nak rahsia pulak! Eh, kenapa baju kau ni? Berkedut semacam. Kau ada kes tak hari ni? Takkan nak pergi mahkamah macam ni?” Kalau masuk mahkamah macam ni memang habislah. Tak pasal-pasal kena halau keluar. Rungut Malik di dalam hati.
Harith pandang baju yang tersarung di tubuhnya. Aduh, macam mana nak sorok ni. “Aku tak ada kes hari ni. Kau ada kot tak? Ni baju spare aje, nanti masuk dalam ofis aku tukarlah.” Dengan baju yang berkedut ni, pasti banyak pula soal Malik nanti.

“Hisy, macam-macamlah kau ni,” Malik berlalu ke keretanya dan kembali semula dengan kot di tangan. “Nah. Kau dari mana ni?” Soal Malik, masih tak puas hati. Biasanya kalau Harith ke Kuala Lumpur, dialah orang pertama yang Harith hubungi, menyuruh mengambil dia di stesen bas. Tapi sejak semalam, Harith tak telefon pun dia. Malik tertunggu-tunggu juga. Dan pagi ni tiba-tiba bawa kereta mahal ni. Aku pakai Vios aje, tapi Harith ni tiba-tiba bawa balik CR-V! Desis Malik.

Harith biarkan sepi tanpa jawapan soalan dari Malik. Dia bergegas masuk ke dalam pejabatnya selepas menyarung kot di tubuh. Kemeja spare yang memang ada di dalam laci almari kerjanya dia bawa keluar dan berlalu ke tandas pejabat.

“Nah, terima kasih,” ucap Harith di muka pintu pilik Malik. Kot kepunyaan Malik dia kembalikan.

“Sama-sama.”

“Kau ada kes tak pagi ni? Kalau ambik pagi ni boleh tak? Lepas tu aku hantar kau balik.” Malik memandang jam di pergelangan tangannya seketika.

“Okey, jomlah.” Ujar Malik. Kunci kereta Harith dia bawa keluar dari dalam beg. Dan mereka berlalu keluar dari ruang pejabat.

ARLYSSA terjaga dari tidur. Terasa sangat tak selesa! Mungkin sebab bertukar tempat tidur. Yang pasti katil di rumah mama lagi selesa, desis Arlyssa. Sekejap-sekejap kepalanya di pusing ke kiri. Sekejap ke kanan. Kenapa bilik ni gelap aje? Dia bangun dari pembaringan. Matanya dipejam celikkan. Persekitana bilik dia perhati satu-persatu. Dah siang ke? Soal Arlyssa pada diri sendiri.

Langsir yang menutupi tingkap dia tolak ke tepi. Cahaya matahari yang menyilaukan mata menerjah ke dalam bola matanya, pantas dia menarik kembali langsir. Kalau dapat ronda-ronda ni best jugak. Bisik hati Arlyssa. Pantas dia mengambil tuala dari dalam beg bajunya. Usai mandi, dia mendapatkan kembali beg bajunya, mahu mencari baju yang sesuai. Satu-persatu baju yang masih berlipat itu dia belek. Yang pasti baju yang ada cuma stok-stok baju kurung!

“Mama!” jerit Arlyssa tak puas hati.

Semalam mamanya yang kemaskan semua pakaiannya ini. Dia langsung tak ambil kisah sebab sibuk melayan perasaan. Tapi tak sangka Puan Aini akan meletak baju-baju sebegini saja. Dia tak suka! Apa kelas pakai baju stok-stok alim-ulama ni! Dengus Arlyssa. Terus pudar rasa nak keluar jalan-jalan. Dengan rasa berat hati, Arlyssa sarungkan juga salah satu baju kurung itu ke tubuh. Habis, kalau tak pakai baju ni, takkan seharian dia kena pakai tuala ni. Nak tak nak terpaksalah pakai apa yang ada.
Perut Arlyssa sudah berlagu pelbagai rentak. Dia tersangat lapar sekarang. Tulah, semalam sibuk duk tunjuk protes. Orang ajak makan, jual mahal sangat. Padanlah dengan muka. Sekarang bising cakap lapar pulak. Arlyssa menjengah ke dapur. Manalah tahu kut-kut ada makanan. Tapi hampa. Dapur tu dah terang-terang nampak dapur yang sudah lama di tinggal. Dan peluang untuk ada makanan amat tipis! Arlyssa mengeluh. Belakang badan dia sandarkan pada dinding yang menjadi pemisah antara ruang dapur dan ruang makan. Sampai bila kena tahan lapar ni? Muka Arlyssa sudah bertukar sedih. Mulalah wajah mamanya terbayang di ruang mata.

“Mama,” sebutnya spontan.

Masa susah barulah ingat Puan Aini. Haih, apa punya anaklah Arlyssa ni.

“ASSALAMUALAIKUM Pak Cu,”

“Wa’alaikumussalam. Yusri, kamu datang ke pejabat Pak Cu petang ni boleh?”

“Petang ni? Sekejap ya Pak Cu, saya nak tengok jadual kerja dulu,” pinta Syed Yusri. Tangannya ligat membelek buku yang tercatat segala jadual kerjanya. Maklumlah sekarang ni dia sudah dilantik menjadi doktor pakar. Jadi jadual kerja tak menentu walaupun kerja semakin berkurang.

“Emm.. bolehlah Pak Cu,” Syed Yusri menyatakan persetujuan selepas membisu seketika. Apabila Haji Jamal menyuruh dia ke pejabat, maknanya ada perkaralah yang ingin orang tua itu bincangkan atau maklumkan kepadanya.

“Okey, datang ya nanti. Ada perkara yang Pak Cu nak bincang dengan kamu,”

“Baiklah,”

Seperti yang dijanjikan, Syed Yusri melangkah masuk ke dalam pejabat Hajra Travel Holdings. Dia berhenti seketika di hadapan meja setiausaha Haji Syed Jamal.

“Kak Aisyah, tuan haji ada kat dalam?” Syed Yusri menghulurkan senyuman kepada Aisyah. Aisyah sudah lama berkhidmat di pejabat itu. Sejak arwah Haji Syed Zakaria lagi.

“Ada, tuan haji dah tunggu dari tadi lagi. Yus ketuk pintu tu ya,” jawab Aisyah. Senyuman manis terukir indah di pinggir bibirnya. Dia terfikir juga, siapalah yang akan duduk di kerusi pengarah urusan itu nanti? Haji Jamal cuma sementara saja menjadi pengganti kerana Haji Syed Jamal juga punya syarikatnya sendiri yang perlu diuruskan. Syarikat arwah abangnya ini hanya sesekali saja dia datang jenguk.
Syed Yusri mengucapkan terima kasih kepada Aisyah. Yus merupakan panggilan rakan-rakan dan pekerja lama syarikat ini untuknya. Dia mengetuk pintu bilik Haji Jamal perlahan. Daun pintu dia tolak perlahan selepas mendengar laungan masuk oleh Haji Jamal.

“Assalamualaikum, Pak Cu.” Sapa Syed Yusri.

“Wa’alaikumussalam,” mereka berjabat tangan dan Haji Jamal mempersilakan Syed Yusri duduk.

“Ayie nak minum?” Tanya Haji Syed Jamal. Ayie adalah panggilan kepada Syed Yusri di dalam keluarga.

“Tak apalah, Pak Cu. Err.. perkara apa yang Pak Cu nak bincangkan dengan saya?” Syed Yusri terus kepada topik yang ingin mereka bincangkan. Memang sikap Syed Yusri begitu, tak suka melengah-lengahkan masa.

“Okey, sebenarnya ada perkara tentang syarikat yang Pak Cu nak bincangkan dengan Ayie,” satu fail biru dia buka dan dibelek sehelai demi sehelai.

Syed Yusri melepas nafas perlahan. Kalau bab-bab berniaga ni dia memang lemah. Sejak dari dulu minatnya bukan di bidang ini. Sebab itu dia memilih bidang kedoktoran. Dia lebih suka memandang jarum dan darah daripada berdepan dengan nombor-nombor yang banyak tu. Haji Jamal membentangkan fail yang dia belek tadi di depan Syed Yusri.

“Cawangan kita di Terengganu mempunyai masalah yang agak besar. Cuba Ayie tengok graf ni. Pelanggan yang menggunakan khidmat kita memang ramai tapi dari segi wang masuk, semakin lama, duit masuk semakin berkurang. Ini graf wang masuk dan ini graf wang keluar. Cuba kamu perhati betul-betul,” fail biru itu Haji Jamal serahkan kepada Syed Yusri untuk dibuat perbandingan.

Syed Yusri perhatikan kedua-dua graf yang Pak Cunya nyatakan. Memang betul. Nampak sangat perbezaan antara kedua-dua graf itu. “Pak Cu ada syak sesiapa ke?”

Haji Jamal menarik nafas dan dilepaskan sambil bersandar pada kerusinya. “Pak Cu tak nak tuduh sesiapa. Tapi Pak Cu rasa ini mungkin kerja orang dalam juga. Walau macam mana pun, kita perlu hantar orang untuk pantau cawangan di sana.”

“Biasanya siapa yang pantau cawangan di sana?”

“Biasanya pegawai di sini yang akan ke sana. Nama dia Zainal. Tapi Pak Cu tak berapa percayakan dia. Bukan Pak Cu nak tuduh dia yang seleweng duit syarikat tapi kemungkinan ke arah itu tu ada. Kalau boleh kali ni Pak Cu nak hantar orang lain. Mungkin kita boleh suruh orang yang kita hantar ni menyamar. Menyamar sebagai pegawai yang baru di tukar ke sana. Macam mana?” Walaupun sudah menginjak ke umur 60-an tapi cadangan Haji Jamal masih boleh diguna pakai.

“Cadangan Pak Cu tu bernas juga. Tapi kita nak hantar siapa ke sana?”

“Apa kata kita hantar Lys ke sana. Orang sana tak kenal Lys tu siapa. Jadi, ini akan jadi satu tiket untuk Lys memantapkan lakonan.” Bersinar mata tua itu mengeluarkan cadangan.

“Sekarang ni Lys sudah ada di sana. Tapi elok juga cadangan Pak Cu tu.”

“Lys dah ada kat sana? Dia buat apa kat sana?” Haji Jamal pelik dengan jawapan Syed Yusri.

“Lys ikut kawan dia,” jawab Syed Yusri cuba berselindung. Sebenarnya semua saudara-mara mereka masih tak tahu yang Arlyssa sudah berkahwin. Perkara yang telah menconteng arang ke muka keluarga mereka di simpan kemas tanpa dapat dihidu oleh sesiapa pun. “So, Pak Cu serius nak hantar Lys ke sana?”

Selepas kelakuan Arlyssa di pejabat itu baru-baru ini, buat kepercayaan Syed Yusri kepada adiknya semakin tipis. Tambah lagi sikap Arlyssa yang hanya mahu ikut kepala sendiri, cakap orang langsung tak nak dengar.

“Dia bagus dalam bidang ni, why not kita bagi dia peluang. Cuma dari segi cara berpakaian tu yang kena ubah.” Haji Jamal melepaskan nafas panjang.

“Dah lama ke masalah ni berlaku dan berapa anggaran kerugian yang kita alami?”

“Daripada siasatan awal, anggaran kerugian sekitar 200 ribu hingga 500 ribu. Perkara ni dah lama berlaku. Tapi kita baru dapat kesan. Lagi cepat Lys masuk kerja di sana, lagi senang kita tahu siapa dalangnya.” Terang Haji Jamal satu-persatu.

200 ribu hingga 500 ribu? Banyak jugak tu! Syed Yusri mengeluh sambil bersandar pada kerusi yang sedang dia duduki. Kalau untuk jumlah sebegitu memang besar untuk sesebuah cawangan. Kalau di pejabat utama taklah terasa sangat.

“Macam nilah, saya cuba cakap elok-elok dengan Lys. Pak Cu bukan tak tau angin dia tu macam mana. Minggu lepas dah lancar perang dengan saya sebab saya tegur cara dia berpakaian tu,” ujar Syed Yusri satu persatu selepas merenung seketika fail di tangan. “Pak Cu ada satu salinan lain untuk dokumen ni tak?” Bukan apa, senang untuk dia terangkan kepada Arlyssa nanti.

“Kalau kamu nak yang tu, ambillah. Pak Cu dah ada satu salinan lain,”

“Okey, terima kasih Pak Cu. Kalau tak ada Pak Cu tak tahulah saya. Nak harapkan saya memang taklah. Aliran saya dan perniagaan ni tak selari.”

“Sama-sama. Pak Cu hanya menjalankan amanat arwah abah kamu. Tapi tak selamanya Pak Cu akan duduk di kerusi ini. Pak cu dah tua, Ayie. Sudah sampai masanya kamu adik-beradik pula yang uruskan syarikat ni,” mendatar suara Haji Jamal. Sebetulnya dia sudah penat dengan sepak terajang dunia perniagaan. Anak-anak juga sudah bising. Mereka selalu tanya, bila lagi papa nak bersara? Tak letih ke dari muda hingga ke tua sibuk uruskan syarikat orang? Tiada jawapan yang boleh dia berikan selain, menjalankan amanat arwah abangnya.

Serba sedikit, hati Syed Yusri terkesan juga dengan kata-kata bapa saudaranya. Tapi nak buat macam mana. Nak harapkan dia memang gelap masa depan syarikat ni. Si Mellina pula entah bila akan balik ke sini, dia pun tak tahu. Cuma Arlyssa yang boleh diharapkan sekarang ni.

“Insya Allah, Lys harapan kami semua. Okeylah Pak Cu, saya pergi dulu. Nak balik rehat dulu sebab sejak dari semalam lagi on call di hospital.” Pinta Syed Yusri sambil menghulurkan tangan untuk berjabat dengan Haji Jamal.

Hal ini akan dia bincangkan dengan Puan Aini kerana baginya, Puan Aini patut tahu setiap perjalanan syarikat.