Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 26 April 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 4

Ariff Zulkarnain mundar mandir berjalan di dalam biliknya. Betulkah apa yang aku dengar tadi? Apa ibu dan abah ni. Buat keputusan sendiri. Tak tanya langsung pendapat aku, setuju ke tak. Hisy, susah macam ni. Rungut Ariff Zulkarnain.
Sedang dia enak berehat depan tv sebentar tadi, ibu dan abahnya telah mengkhabarkan berita yang sungguh memeranjatkannya.
“Ariff, ibu dan abah ada perkara yang nak cakapkan dengan Ariff.” Encik Abdul Rahman mula duduk dikerusi yang bertentangan dengan Ariff Zulkarnain.
Ibunya, Puan Junaidah juga turut serta. Rumah sunyi sepi. Adik-adiknya entah hilang ke mana.
“Perkara apa, bah?” Ariff Zulkarnain bertanya sambil membetulkan kedudukan badannya di atas sofa panjang yang menghadap tv itu. Rancangan kartun Spongebob Squarepants bersiaran, tidak dihiraukan.
“Sebenarnya dua minggu lepas, ibu dan abah ada pergi merisik seorang gadis. Masa tu Ariff masih lagi berada di atas kapal.” Perlahan Encik abdul Rahman berkata.
“Merisik? Merisik apa pulak ni?” Ariff Zulkarnain bersuara antara terkejut dan berang, bercampur baur.
“Kami pergi merisik budak yang dulu abah memang berkenan dengannya. Dia ni dulu budak sesekolah dengan kamu. Kamu ingat tak, masa kamu sekolah cina dulu, ada seorang budak Melayu yang juga sekelas dengan kamu..” terang abahku.
“Mana pulak abah tahu ni yang budak tu satu sekolah dan satu kelas dengan Ariff?” Ariff Zulkarnain terasa dia dibelakangkan oleh kedua ibu dan abahnya.
Aduhlah… parah aku macam ni… kalau aku terima budak yang aku tak kenal batang hidung tu, Hani aku nak buang ke mana. Kenapalah malangnya nasibku.. entahlah.. ibu dan abah macam tak faham-faham perasaan aku. Takkanlah jodoh zaman moden macam sekarang ini masih ditentukan oleh orang tua. Tensionnya…
“Ariff ingat tak dulu masa Ariff tingkatan lima, abah ada sekali tu datang jemput Ariff kat sekolah sebab masa tu Pak Atan cuti. Tengah abah tunggu Ariff habis waktu persekolahan, abah ternampak budak ni tengah tunggu orang datang ambilnya. Sejak dari itu, abah mula berkenan dengan budak ni. Walaupun sekolah kat sekolah cina yang mejoriti dari kaum cina tetapi tudung di kepala tidak dibuang. Ibu dan abah lihat baik budak tu.”
Aku tak ingat la… lagi pun masa aku tingkatan lima dulu. Lama tu… entah anak siapa entah… aku pun tak tahu.. tengok sekali dah kata budak tu baik… pelik aku…
“Siapa nama dia?”
Encik Abdul Rahman tersenyum dan memandang Puan Junaidah. Puan Junaidah membalas senyuman suaminya. Emm, berminat jugak nak tahu pasal bakal isteri dia, Encik Abdul Rahman berkata di dalam hati.
“Nama dia Nur Maisarah Ernieza bt Mohd Roslan,” Balas Encik Abdul Rahman.
“Tapikan ibu, abah, sebenarnya Ariff dah ada pilihan sendiri. Hani nama dia. Hani ni pun baik. Ariff kenal dia dah lama, sejak Ariff belajar di USM dulu.”
“Ooo, budak yang pakai baju nampak pusat dan pakai seluar seperti sarung nangka tu Ariff kata baik.. dahlah tergedik-gedik macam cacing kepanasan. Ibu yang lihat ni pun dah naik malu. Perempuan macam tu Ariff nak buat isteri. Entah sembahyang ke tak kita tak tahu. Ariff yang dah nampak tak sempurna ni nak bimbing dia? Silap hari bulan Ariff yang terikut dengan cara hidup dia.” Lantang ibu Ariff Zulkarnain membidas.
Terdiam Ariff Zulkarnain dengan kata-kata yang baru keluar dari mulut ibunya. Selama hari ini, ibunya tidak pernah bercakap dengannya menggunakan nada seperti hari ini.
“Tapi ibu, abah…”
“Tak ada tapi-tapi lagi… keputusan kami muktamad. Abah tak nak dengar lagi pasal perempuan lain. Titik.” Pintas Encik Abdul Rahman tanpa kompromi.
Terkulat-kulat Ariff Zulkarnain mendengar arahan dari Encik Abdul Rahman. Kata-kata itu seperti sudah tidak boleh dibantah lagi. Ariff Zulkarnain lantas berlalu ke biliknya di tingkat atas tanda memprotes keputusan yang baru sahaja diucapkan oleh abahnya.
Tuk.. tuk.. tuk..tuk..
Hilang semua khayalan yang dikhayalkan sebentar tadi. Ketukan di pintu bertalu-talu tanda pintu bilik perlu dibuka. Ariff Zulkarnain pula malas nak membukanya. Lebih-lebih lagi ketika ada masalah sekarang ini. Dia cuba memejamkan mata. Lantaklah, tak kuasa aku nak layan.
Ketukan yang tadinya dibiarkan tidak bersambut sudah tidak kedengaran lagi. Ariff Zulkarnain yang tadi berpura-pura memejamkan mata terus memejamkan matanya. Dia berharap bunyi bingit yang datang dari luar biliknya tidak lagi. Dia juga ingin terus tidur kerana tidak mahu memikirkan tentang permintaan orang tuanya.

Pejam celik, pejam celik sudah sebulan peristiwa orang datang merisikku berlalu. Aku masih lagi tidak memberi jawapan kepada emak dan ayahku. Aku tak tahu macam mana nak mulakan untuk memberitahu kepada kedua orang tuaku. Terasa berat pulak mulut ini. Akhirnya, aku membiarkan setiap detik terus berlalu. Aku tidak mahu terus-terusan menyerabutkan kepalaku yang sudah tersedia serabut.
Hari ini aku sekali lagi terpaksa balik lambat kerana banyak akuan yang perlu di kemaskini. Aku lebih suka membuat kerja tanpa bertangguh kerana semakin aku bertangguh semakin banyak kerja dari sehari ke sehari. Kepulanganku yang lambat hari ini, sudah kumaklumkan kepada emakku.
Emakku memang tidak begitu menyukai jika aku terpaksa kerja lebih masa kerana katanya anak dara tidak elok pulang jauh-jauh malam. Lebih-lebih lagi dengan zaman sekarang yang ramai kutu rayau, mat rempit dan tak kurang juga peragut. Begitulah bimbang seorang emak kepada anaknya.
Pukul 11.00 malam, aku sudah beransur pulang. Mataku sudah tidak mampu lagi menampung kelopak mataku. Sudah terlalu layu. Kalau pada masa ini aku disorongkan dengan bantal dan selimut, alamatnya tak balik ke rumahlah aku malam ni.
Setelah berada di atas motor, aku terus memecut motorku kearah Jalan Tengku Ampuan Mariam sebelum menghala ke Jalan Sultan Omar. Nampaknya jalanraya pada waktu ini sangatlah lengang. Jika nak dibandingkan dengan kota metropolitan Kuala Lumpur jauh sangat. Rasanya di Kuala Lumpur ketika ini orang awam masih ramai di atas jalanraya. Kuala Lumpur, kota yang tak pernah tidur dan tak pernah kenal erti sunyi.
Tepat pukul 11.15 malam, aku selamat sampai di perkarangan rumahku. Keadaan sekeliling sunyi sepi. Hanya enjin motorsikalku sahaja yang berbunyi. Aku memasukkan motor dibawah rumah dan setelah menguncinya, aku berlalu pula ke tangga. Tiba-tiba kelihatan lampu di ruang tamu menyala. Mungkin emakku yang terjaga dari tidur bila terdengar bunyi motorsikal.
“Baru balik, Sarah?” emakku terjengul di muka pintu utama.
“Emm, ye mak. Sarah nak masuk dalam bilik dulu. Mata ni dah layu dah.”
“Yelah, pergilah masuk. Mandi dulu sebelum tidur.”
Aku terus masuk ke dalam bilikku. Aku meletakkan tas tangan di atas meja solek. Tanpa menunggu lama, aku terus merebahkan badan di atas tilam empuk yang sudah sekian lama menantiku. Tanpa menghiraukan pesanan emakku supaya mandi dahulu sebelum tidur, mataku terus terpejam rapat. Aku mula belayar dan terus belayar.

Aku terjaga dari lena pada pukul 6.20 pagi. Cepat-cepat aku bangkit dari pembaringan. Takut tak sempat menunaikan solat subuh. Kalau tak sempat alamatnya masuk waktu syuru’ dan aku kena qada’ solat subuhku pula. Langkahku terus menghala ke arah bilik air.
Setelah membersihkan badan dan siap berpakaian, lalu aku membentang sejadah untuk bersujud kepada ALLAH Yang Esa. Selesai menunaikan solat subuh, aku menyambung kembali tidur. Hari ni hari jumaat. Cuti hujung minggu bagi negeri Terengganu. Aku berhajat bila jam melewati pukul sembilan lebih-lebih aku ingin ke kebun ayahku. Mana tahu boleh tolong sikit. Dah lama aku tak ke sana.
Aku terjaga ketika jam di meja solek menunjukkan pukul 9.00 pagi. Kelam kabut aku bangun menuju ke bilik air. Aku membasuh muka dan berlalu keluar menuju ke arah dapur pula. Rumah sunyi sepi. Emak dan ayahku mungkin sudah ke kebun. Manakala adik bongsuku mungkin sudah ke sekolah. Walaupun cuti hujung minggu, kebiasaannya ada kelas tambahan. Maklumlah PMR dah tak lama lagi.
Juadah yang terhidang di atas meja tidak membuka seleraku. Aku mencapai dua keping roti bakar dan menyapu kaya di atasnya sebelum di kapit. Roti tadi aku bawa ke mulut. Sambil makan, aku menyarung tudung ke kepala. Selesai mengunyah suapan terakhir, aku keluar dari rumah setelah memastikan semua pintu berkunci.
Aku tidak menggunakan motorsikal. Aku putuskan untuk berjalan kaki sahaja. Alah.. bukannya jauh sangat. Lima belas minit berjalan, aku sampai juga di kebun milik ayahku. Kelihatan emak dan ayahku tengah sibuk memunggah buah ke stu tempat.
Buah dilonggokkan di satu tempat kerana seketika nanti lori Pak Mahat akan datang mengambil hasil-hasil tersebut. Aku juga menolong mana yang patut. Kebun yang dimiliki oleh ayahku adalah kebun pusaka yang diwarisi daripada atukku yang juga ayah kepada ayahku. Kami bukanlah berketurunan dari keluarga yang kaya-kaya. Hidup kami hanyalah sekadar untuk dibuat makan.
Mengikut sejarah masyarakat Melayu Terengganu, tidak ramai yang kaya dengan duit ringgit tapi kami disini kaya dengan tanah. Tanyalah kepada mereka yang merupakan anak jati negeri ini, walau semiskin mana pun mereka, sebidang tanah pasti berada dalam genggaman. Dari dulu lagi bila dijalankan bancian oleh kerajaan, sukar untuk menemui rakyat dari negeri ini yang miskin hinggakan tiada tapak rumah.
Bukan mahu bermegah tetapi aku bersyukur kerana dilahirkan dinegeri yang mendapat jolokan negeri yang kaya dengan minyak. Syukur juga dilahirkan ditengah-tengah keluarga yang sederhana. Jika aku katakana keluargaku ini adalah sebuah keluarga miskin adalah tak patut kerana diluar sana masih ramai yang miskin hinggakan untuk sesuap makanan mereka perlu meminta sedekah.
Aku bersyukur kerana melalui hasil kebun inilah ayah membesarkan kami empat beradik. Dengan hasil kebun inilah kedua abangku memasuki maktab perguruan. Dan sekarang mereka sudah bergelar guru sekolah rendah. Dengar-dengar cerita, mereka hendak menyambung ke peringkat ijazah pula. Bertuah mereka.
Setelah sudah kerja-kerja melonggokkan hasil tanaman, kami berehat seketika di atas pondok kecil yang didirikan ayah suatu waktu dulu. Sementara menunggu Pak Mahat datang mengambil hasil kebun yang sudah dilonggokkan tadi.
Tidak lama kemudian, kelibat lori Pak Mahat mula kelihatan. Pak Mahat meletakkan lorinya ke posisi yang sesuai untuk memudahkan para pekerjanya mengangkut hasil kebun ini.
“Hah Sarah… lama Pak Mahat tak nampak kamu..” tegur Pak Mahat.
“Ada Pak Mahat, sibuk sikit. Banyak kerja kat pejabat. Lebih-lebih bila awal bulan atau akhir bulan, biasalah bank.”
“Macam mana nak nampak Mahat ooi, kalau turun kerja pagi-pagi.. balik pulak lewat malam. Kalau ada suami, aku tak tahulah. Takde orang tahan kalau kerja macam tu,” sampuk ayahku.
Merah mukaku bila ayah menyebut tentang suami. Teringat aku tentang rombongan merisik yang masih menunggu jawapan dariku.
“Alah, orang kerja bank. Sibuklah. Asyik duk kira duit je.. hehehe,” Pak Mahat pula berkata sambil senyum meleret.
Itulah mentaliti orang kampung. Asal tahu kerja bank pasti fikir kerja kira duit je. Tu tak tambah lagi kalau dia kata “mesti gaji pun banyak, tak kisahlah kalau kerja balik lewat malam.” Aduh…pelik betul aku. Asal kerja bank mesti kaya, banyak duit dan kerja pula kena kira duit. Boleh dikatakan kerja bank je mesti pegang duit banyak-banyak. Menyimpang betul fikiran orang kampung ni.
Walaupun orang kata kerja bank mesti gaji mahal tetapi aku hanya mendapat dalam RM 900.00 sahaja. Itu tidak termasuk dengan overtime. Dari duit gaji inilah, aku hulurkan sedikit untuk ayahku, sedikit untuk keperluan diri sendiri dan sebilangan lagi untuk simpanan jika terjadi perkara yang tidak diingini.
Setelah para pekerja Pak Mahat selesai memunggah hasil kebun, Pak Mahat member wang bayaran atas pengambilan hasil tadi. Sesudah selesai urusan jual beli dijalankan, Pak Mahat meminta diri untuk beredar. Ayahku pula terus mendapatkan motorsikalnya untuk pulang ke rumah. Tidak lama lagi dia akan pergi ke masjid pula untuk menunaikan solat Jumaat.
Ayahku juga membonceng emakku sekali. Aku pula memutuskan untuk berjalan kaki sahaja. Sambil berjalan, boleh juga mencuci mata. Selepas ayahku memulakan perjalanan, aku mula melangkah perlahan-lahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan