Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 26 Disember 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB20

DUA kali aku mendirikan solat istikharah, meminta jawapan daripada Yang Maha Esa tentang permasalahan ini. Akhirnya cadangan daripada teman-teman di Facebook dapat dicerna olehku. Alhamdulillah, sejurus menunaikan solat istikharah aku dapat jawapan yang merupakan jalan keluar kepada masalah aku ni.

Sama ada suka atau tidak, aku perlu memberitahu jawapan aku kepada Aunty Ida. Masa makin suntuk. Aunty Ida pula hanya beri tempoh yang sangat singkat untuk aku berfikir masak-masak. Dan petang itu aku ke rumah Aunty Ida untuk memberitahu jawapanku. Jika hanya memberitahu melalui telefon aku rasa tak berapa manis. Jadi, lebih baik  bercakap secara berhadapan.

Sebelum berangkat keluar dari butik, awal-awal lagi aku berpesan kepada Miza dan Saira agar menutup butik seperti biasa sekiranya aku tidak kembali semula ke butik pada pukul 5 petang. Ketika aku keluar melangkah keluar dari butik, jam sudah menunjukkan ke pukul 3.30 petang. Dan sebab itulah aku meninggalkan pesanan kepada Miza dan Saira kerana aku berasakan aku tidak akan kembali semula ke butik.

Kereta aku parkir bersebelahan dengan pintu pagar rumah agam itu. Selepas mengunci kereta, aku menekan loceng yang terletak bersebelahan dengan pintu pagar, berdekatan dengan pintu kecil. Dan pintu pagar terbuka secara automatik. Aku melangkah masuk ke halaman rumah sambil mataku meliar mencari tuan rumah.

“Sya,” pantas kepalaku terangkat, mencari pemanggil yang memanggil namaku. Aku tersenyum apabila terpandangkan tubuh milik Aunty Ida yang sedang berjalan mendapatkan aku.

“Kenapa tak telefon dulu nak datang. Kalau tak boleh aunty sediakan sedikit makanan.” Ujar Aunty Ida sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku menyambut hulurannya itu.

“Tak apalah aunty. Saya datang bukan nak makan.” Sahutku.

“Jom masuk.” Ajak Aunty Ida ramah. Cuma aku saja naik segan.

“Err.. aunty, kita kat luar ajelah. Dah tak panas kat luar ni.” pintaku pada Aunty Ida. Aku bukan apa, aku lebih suka jika bercakap di tempat terbuka begini. Lebih selesa dan nyaman dengan hiasan taman bunga milik Aunty Ida ini.

“Okey, aunty ke dalam buat air dulu. Sya duduk kat kerusi tu dulu, ya.”

Aunty Ida meminta diri sebelum berlalu ke dalam rumah. Aku berjalan ke arah set kerusi taman yang Aunty Ida tunjukkan. Mataku tak habis-habis meneliti setiap inci halaman rumah itu. Halaman rumah yang dilengkapi dengan sebuah taman yang sangat cantik dan kemas. Juga dilengkapi dengan sebuah kolam mandi yang besar dan air yang sangat jernih.

Kalaulah dapat mandi kat sini, mesti best! Aku memasang angan sendiri. Tanpa sedar bibirku tersungging sebuah senyuman. Alahai, kuat betul berangan aku ni. Anganku terbang melayang apabila terdengarkan bunyi kereta dipandu masuk ke dalam garaj. Pantas mataku terarah pada garaj. Kereta Audi A5! Dan kemudiannya tuan empunya kereta keluar dari tempat pemandu. Semestinya dia! Anak Aunty Ida yang paling aku tak suka.

Sorry Sya, aunty lambat skit. Jemput minum, Sya.” Kemunculan Aunty Ida secara tiba-tiba membuatkan aku berpaling kembali ke arahnya. Aunty Ida juga turut duduk di kerusi berhadapan denganku. Tangan Aunty Ida ligat menyusun minuman dan sepiring kuih seri muka di atas meja itu.

“Tak apa,” jwabku telus. Senyuman masih lagi terukir di bibirku.

“Ha, baru balik Aril?” tegur Aunty Ida pada anaknya yang melintas di hadapan meja yang sedang kami duduki.

“Hmm,” sahut anaknya.

Huh, sombong! Ini ke yang nak jadi suami aku? Macam manalah kalau duduk serumah dengan orang begini? Mahu haru-biru rumah tangga nanti. Spontan hatiku menggumam.

Aku pandang dia, pandangan kami bertaut. Aku selamba aje tapi mata dia tajam merenung aku. Macamlah aku ni banyak buat dosa dengan dia. Kemudiannya aku mengalihkan pandangan dan dia berlalu masuk ke dalam rumah.

“Oh ya, Sya datang ke rumah aunty ni ada apa? Macam penting aje.” Aunty Ida mula bertanya.

Cawan yang telah berada di bibir aku minum perlahan isinya. Soalan Aunty Ida mengundang debaran di hatiku. Usai minum, aku meletakkan kembali cawan di atas meja berlapikkan piring kecilnya. Nafas kutarik perlahan, mencari sedikit kekuatan sebelum memberitahu tujuan utamaku datang ke rumahnya ini.

“Err.. tujuan saya datang ke sini sebenarnya.. err.. sebenarnya nak beritahu aunty pasal keputusan saya.” Tergagap-gagap aku menjawab soalan Aunty Ida.

“Oh, pasal lamaran aunty dua hari lepas tu ke? Sya dah ada jawapan ke?” tak sabar Aunty Ida bertanya. Berterus-terangnya aunty ni hinggakan aku jadi serba salah pulak.

“Err… saya setuju dengan lamaran aunty.” Lambat-lambat aku menuturkan kata dengan hati yang penuh dengan debaran.

“Ya Allah, terima kasih Sya. Alhamdulillah, aunty bersyukur sangat. Inilah jawapan yang aunty tunggu-tunggu. Terima kasih Sya sebab sudi menjadi penyelamat maruah keluarga aunty.” Ucapnya sambil matanya bersinar terang. Spontan tangannya meraih tanganku dan digenggam erat jari-jemariku.

Begitu besar harapan Aunty Ida sekeluarga terhadapku. Tiba-tiba nafasku terasa sesak. Beban di bahuku terasa berat untuk memikul harapan Aunty Ida yang sangat besar. Aku takut jika aku tidak dapat melaksanakan harapan besar Aunty Ida ni. Bagaimana jika rumah tangga yang dibina ini berakhir dengan penceraian? Sesuatu yang tidak aku ingini terjadi tiba-tiba terlintas dibenakku.

“Sya tak perlu risau tentang hantaran dan majlis kenduri sebab semuanya pihak aunty dah siapkan. Kalau ikut perancangan asal, majlis akad nikah akan dijalankan di dalam Masjid Kristal pada sebelah pagi. Kemudian, pada sebelah malamnya pulak akan diadakan majlis kenduri sebelah pihak lelaki dan juga majlis persandingan. Aunty rasa elok kita ikut perancangan asal aje, boleh Sya?” soalan Aunty Ida beserta dengan tepukkan pada tanganku telah mengembalikan aku ke alam nyata. Jauhnya aku mengelamun. Terpinga-pinga aku mencari punca asal kata-kata Aunty Ida.

“Err.. apa yang boleh aunty? Maaf, saya tak berapa dengar.” Bukan tak dengar tapi tak fokus kerana fikiran dah melayang jauh.

“Aunty cakap kalau kita ikut aje plan awal boleh tak?” ulang Aunty Ida.

“Err… plan awal? Err… saya ikut aje aunty. Lagi senang kalau aunty bincang dengan emak saya. Saya tak pandai nak uruskan majlis begini.” Jawabku berterus-terang. Memang aku tak pandai dan tak ada pengalaman langsung nak uruskan majlis kahwin begini.

“Hmm.. okey jugak cadangan Sya tu. Tak apa, lepas ni aunty akan hubungi emak Sya. Bolehlah kami plan untuk majlis tu nanti. Eh, jemputlah minum lagi. Makanlah kuih ni, sedap ni.” pelawa Aunty Ida.

Teragak-agak aku mencapai piring yang telah terisi kuih seri muka. Ketika kepalaku didongak ke atas, secara tidak sengaja aku terpandangkan kelibat seseorang yang sedang berdiri di balkoni rumah agam itu. Tetapi kemudiannya aku hanya nampak bayang-bayang orang dan alunan langsir balkoni yang ditiup angin petang.

Entah siapa entah, bisik hatiku. Kepala aku alihkan ke meja taman itu, menikmati minum petang yang telah Aunty Ida sediakan. Kira-kira tiga puluh minit kemudian, aku sudah berada di atas jalan raya, dalam perjalanan balik ke rumah orang tuaku.

TELEFONKU berdering minta diangkat. Aku yang ketika itu sedang memandu dan tidak membawa alat bebas tangan, aku terus memberikan isyarat ke tepi dan berhenti di pinggir jalan. Pantas tanganku menyeluk beg bimbitku mencari telefon bimbit. Hah, jumpa! Aku tarik keluar telefon yang masih berdering. Skrin telefon memaparkan nama Aunty Ida. Pantas butang hijau aku tekan dan telefon dibawa ke telinga.

“Assalamualaikum, aunty.” Aku menghulurkan salam, memulakan perbualan.

“Wa’alaikumussalam. Sya tengah buat apa ni? Masih di butik ke? Sorry kalau aunty ganggu.”

“Eh, tak sibuk pun. Err.. saya tengah memandu ni. Ada apa aunty call saya ni?”

“Oh, iya ke? Sorry, aunty call semulalah kalau macam tu.”

“Eh, tak apalah aunty. Saya dah berhenti kat tepi jalan ni. Macam penting aje perkara yang aunty nak cakapkan kepada saya ni.”

Aunty call ni sebab nak tanyakan pasal baju untuk majlis akad nikah dan majlis sanding nanti. Sya dah ada ke baju-baju tu?” terkeluar jugak soalan yang ingin Aunty Ida tanyakan.

Baju? Kepalaku ligat berfikir sama ada aku ada atau tidak baju yang sesuai untuk majlis itu. Sepasang baju rona putih yang pernah aku jahit dulu mendadak terlintas di kepalaku.

“Err… Aunty ada kerja tak petang ni? Boleh tak datang ke butik saya? Rasanya ada sepasang baju yang saya rasa mungkin sesuai untuk majlis tu. Tapi apa-apa hal aunty datang dulu ke butik, boleh?”

“Okey, petang ni aunty ke sana. Jumpa nanti, ya. Assalamualaikum, bye.” Aunty Ida memberikan salam, menamatkan perbualan.

“Wa’alaikumussalam,” jawabku perlahan sebelum menekan butang merah pada papan kekunci telefon.

Tanganku laju menggantikan gear dan pedal minyak ditekan kuat. Nampaknya aku perlu berpatah balik ke rumah semula sebelum ke butik. Kena ambil baju yang telah aku ceritakan pada Aunty Ida.

DI BUTIK, aku sedang sibuk menyiapkan baju tempahan pelanggan pada petang itu. Tempahan baju untuk raya sudah aku tutup sebulan yang lepas. Ini pun aku bagaikan sudah tidak terkejar nak menyiapkan tempahan-tempahan tersebut. Itu tak termasuk lagi nak menyiapkan jahitan manik pada baju-baju tersebut. Nasib baik aku mempunyai dua pembantu yang setia, ringan sedikit kerjaku.

“Cik Sya, ada regular customer nak jumpa.” Beritahu Saira ketika aku sedang sibuk menggunting kain.

“Okey, bawa dia ke sini.” Jawabku sambil mataku masih lagi terarah pada kain yang terbentang di hadapanku.

Bahagian badan dan kain sudah dipotong. Kain yang berbaki ni untuk bahagian pesak, lengan, kekek dan leher pula. Badan pelanggan ni boleh tahan besar jugak. Harap-harap cukuplah kain ni. Kalau tak cukup susah aku nanti. Di mana nak cari kain yang sama? Omelku sendirian. Pita ukur yang disangkut di leher aku tarik dan kapur penanda berwarna biru aku capai. Tanganku ligat mengukur dan menanda ukuran yang betul.

“Assalamualaikum, Sya. Sibuk ke?” sapaan suara yang sangat aku kenal membuatkan tubuhku pantas berpusing.

“Wa’alaikumussalam, aunty. Biasalah aunty, dah nak puasa ni. Tempahan raya banyaklah yang masuk, sampai ak menang tangan saya.” Aku menjawab salamnya sambil menghulurkan salam untuk bersalam. Adab yang satu ini tidak aku lupa.

“Alhamdullilah, rezeki tak putus nampaknya sekarang. Oh ya, mana baju yang Sya cakapkan tu?”

“Ada. Saya ambik sekejap, sementara tu, aunty duduk dulu.” Jawabku sambil menghulurkan senyuman.

Aku mengatur langkah ke ruang belakang butik, tempat aku meletak baju yang aku bawa dari rumah pagi tadi. Baju ni lain dari yang lain sebab tu aku kena sorokkan sedikit daripada perhatian pengunjung butik.

“Aunty, ni bajunya. Harap-harap sesuailah dengan majlis tu.” Ujarku sambil menghulurkan sepasang baju yang masih berbungkus dengan plastik ke arah Aunty Ida.

Aku lihat bersinar matanya saat aku mengeluarkan baju itu dari bungkusannya. Lama dia membelek baju tu. Satu-persatu bahagian baju dia tilik.

“Sya, siapa yang jahit baju ni?” soal Aunty Ida.

Aku tercengang. Kenapa? Tak cantik ke? Hatiku digaru kerisauan. Hanya baju ni saja yang aku rasa sesuai.

“Err.. kenapa aunty? Tak cantik ke baju ni?” soalku perlahan. Ada nada kecewa di situ.

“Eh, aunty tak cakap baju ni tak cantik. Baju ni cantik sangat sebab tu aunty tanya siapa yang jahitkan baju ni.”

Mendengarkan penerangan pendek Aunty Ida, rasa kecewa yang tadinya singgah di hati terbang menjauh. Mataku disapa sinar yang sangat bergemerlapan. Hatiku teramat girang apabila dipuji begitu. Siapa tak suka dipuji? Orang gila pun suka.

“Err.. cantik ke baju ni, aunty?” aku menyoal soalan yang telah diberi jawapan oleh Aunty Ida.

“Cantik, cantik sangat! Sya ke yang jahit baju ni?” teka Aunty Ida sambil tangannya sibuk membelek baju itu.

“A’ah, baju ni saya yang jahit. Baju pertama saya sejak saya pandai menjahit. Boleh terima ke baju ni?” hatiku masih lagi ragu-ragu. Takut baju tu tak diterima sebagai baju majlis akad nikah.

“Hmm… rasanya baju ni sesuai untuk majlis akad nikah. Rekaan yang sangat sopan, sesuai sangat dengan lokasi majlis akad nikah tu.” Puji Aunty Ida lagi. “Tapi ni baru baju untuk majlis akad nikah, baju untuk majlis sanding macam mana? Sya ada tak sepasang lagi baju yang ala-ala glamor gitu?” soal Aunty Ida kemudiannya.

“Hmm.. tak pastilah pulak. Saya cuba cari sekejap.” Aku bangun dan menghala ke arah deretan baju yang telah siap berjahit. Satu-persatu baju di situ aku belek.

“Aunty, tema majlis tu warna apa?” aku bertanya dari tempat aku berdiri yang hanya beberapa langkah saja dari tempat Aunty Ida duduk.

“Majlis tu nanti kami sepakat pilih warna gold. Ada tak warna tu?”

Warna gold? Ada ke tak warna tu? Rasa macam tak ada aje. Tanpa sedar aku menggaru kepala yang tidak gatal. Dua kali aku membelek deretan baju itu dan memang sah, tak ada warna yang diingini.

“Aunty, warna gold tak ada la.” Aku kembali duduk di sebelahnya.

“Hmm.. kalau nak jahit memang dah tak sempat. Tapi nak cari kat mana? Hmm… ha! Aunty rasa ada satu tempat. Sya ada kerja tak petang ni?” entah apalah yang terlintas di benak Aunty Ida aku tak tahu.

Kalau ikutkan kerja memanglah tak pernah habis. Tambah-tambah lagi sekarang ni tengah musim raya dah dekat. Aku pandang meja tempat aku menggunting kain yang masih berselerak dengan alat-alat menggunting dan kain-kain yang masih belum terusik. Aku memang tangah banyak kerja sekarang. Tak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

“Kenapa aunty?”

“Kalau Sya ada kerja, Sya kena jugak buat-buat tak ada kerja. Aunty nak bawak Sya ke satu tempat petang ni. Lagi cepat kita pergi, lagi cepat kita selesaikan masalah baju ni. Boleh, kan?”

“Okeylah, tapi aunty tunggu sekejap. Saya nak jumpa pekerja saya sebentar.”

Aku bangun mendapatkan Miza dan Saira. Pada mereka aku berpesan supaya menutup butik seperti biasa kerana aku berasakan yang aku mungkin tidak kembali semula ke butik. Tambah lagi ketika ini jam sudah menunjukkan angka 4.15 petang. Kemudian aku mendapatkan Aunty Ida dan kami berangkat keluar ke destinasi yang aku masih belum tahu lagi ke mana.

p/s: salam.. x smpai seminggu dh ada 2 bab... hehehehe..:)
okey, bg yg dah baca.. sila komen ye.. sama ada OK or KO.. thanks krna baca..:)

Khamis, 22 Disember 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB19

HUJAN gerimis sedang turun perlahan menyembah bumi. Suasana sejuk menguasai tengah malam yang gelap dan sunyi. Namun itu semua tidak menghalang Syazril daripada duduk di balkoni rumahnya. Dia hanya memandang hujan itu tanpa perasaan. Cuma dia berharap hujan itu dapat mengurangkan bebanan masalah yang dia tanggung walaupun dia sedar hujan tersebut tidak dapat berbuat apa-apa.
Matanya memang terarah pada hujan yang turun tapi fikirannya tidak di situ. Dibenaknya masih terngiang-ngiang setiap patah kata yang keluar dari ulas bibir mamanya ketika dia singgah di rumah keluarganya semalam. Dia terkejut sebenarnya apabila dia melangkah masuk saja ke ruang tamu, dia sudah nampak dulang hantaran bersusun di ruang itu. Dia benar-benar hairan kerana majlis perkahwinan yang mamanya yang rancang tidak akan dilangsungkan kerana pengantin perempuannya sudah lari. Tetapi susunan dulang ini semua untuk apa? Pantas dia mendapatkan mamanya, inginkan penjelasan.
“Mama, kenapa dulang hantaran ni disusun di sini? Majlis kahwin tu kan tak jadi.”
“Siapa pulak cakap majlis tu tak jadi? Majlis tu akan dilangsungkan jugak walaupun Cellicia tak ada.” Selamba Datin Sharida menjawab.
“Ma, biar betul? Siapa yang akan jadi pengantin perempuannya nanti? Menggantikan Cellicia?” tidak sabar Syazril menyoal. Suaranya sudah sedikit meninggi.
“Adalah tu. Nanti kamu tahulah.” Datin Sharida masih berselindung.
“Siapa, ma?” tekan Syazril.
Namun, Datin Sharida mengambil langkah berdiam diri. Malah, dia pura-pura menyibukkan diri dengan menguruskan isi hantaran yang sudah disusun elok di kaki sofa, cuma tidak diletakkan di atas dulang hantaran saja.
“Huh!” Syazril melepaskan geram apabila melihat mamanya senyap, tak mahu menjawab soalan yang diajukan. “Okey, kalau mama tak nak beritahu siapa yang akan jadi pengantin perempuan nanti, mama jangan terkejut kalau Aril tak datang ke majlis tu!” ugut Syazril kemudiannya. Hatinya jadi geram melihatkan mamanya membisu seribu bahasa.
Pucat Datin Sharida mendengar ugutan yang baru keluar dari mulut anak lelakinya itu. Pantas dia berpaling ke arah Syazril. Membulat matanya merenung Syazril. Terus dia meninggalkan kerjanya.
“Kamu jangan buat hal. Kalau kamu nak susah, kamu buatlah! Jangan ingat mama nak berdiam diri. Walau apa pun ugutan kamu, walau apa pun yang kamu nak kata, mama tak akan berganjak dari keputusan mama!” ujar Datin Sharida lantang.
“Okey, fine!” putus Syazril sebelum berlalu keluar dari rumah agam itu. Rimas pula jika berlama-lama di situ.
“Huh!” Syazril melepaskan keluhan keras sambil matanya memerhatikan hujan yang semakin menggila di luar sana.
Bunyi telefon bimbit yang minta diangkat mengejutkan Syazril yang sedang enak melayan perasaan. Namun sedikit pun dia tidak berganjak dari duduk di balkoni. Dia tidak punya hati untuk menjawab panggilan tersebut. Apatah lagi jika panggilan itu daripada mamanya. Akhirnya bunyi deringan telefon terhenti sendiri.

“KAU ni kenapa? Sejak akhir-akhir ni aku tengok kau muram aje, kenapa? Kau ada masalah ke?” Sham bertanya pada sahabat baiknya itu ketika mereka sedang lepak-lepak di Dataran Syahbandar. Tempat riadah yang paling terkenal di Terengganu ini antara tempat lepak yang menjadi pilihan mereka lepak-lepak pada masa senggang.
“Huh,” hanya keluhan yang keluar dari bibir Syazril.
“Kenapa mengeluh pulak? Macam orang putus asa aje kau ni. Mengeluh bagai.” tanya Sham lagi. Dia mendepakan tangannya di belakang kerusi yang sedang dia duduki itu. Matanya asyik memerhatikan orang ramai yang sedang lalu-lalang.
“Kau tahu tak, Cellicia dah melarikan diri. Entah ke mana dia menghilang pun aku tak tahu,” ucap Syazril malas.
“Hah? Cellicia lari? Wow, berita gembira tu. Tapi kenapa kau bermuram durja ni? Kan kau yang nak sangat majlis perkahwinan tu tak jadi, sekarang ni kenapa pulak kau muram aje ni?” Sham jadi pelik. Kata tak setuju dengan pilihan Datin Sharida. Tapi bila Cellicia menghilangkan diri, muram pulak.
“Memang aku tak nak majlis tu terjadi. Dan aku ingatkan mama aku akan batalkan majlis tu apabila Cellicia lari. Tapi kau tahu tak apa kata mama aku? Dia nak teruskan jugak majlis tu dan dia tak bagitahu pun kat aku siapa pengantin perempuannya. Ni yang buat aku tambah bengang. Mama aku ingat aku ni apa? Boneka? Yang boleh ikut semua kehendaknya tanpa perasaan, begitu?” Syazril melepaskan rasa hatinya.
Mengucap panjang Sham sejurus mendengarkan luahan hati Syazril. Tidak disangka sampai begitu jadinya masalah sahabat baiknya ini. Dia ingatkan apabila pengantin perempuan bertindak melarikan diri, maka majlis yang mama Syazril rancangkan tu akan terbatal secara automatik! Tapi mama si Syazril ni mahu juga meneruskan majlis tu walaupun pengantin perempuannya bertukar.
‘Entah anak siapa pulak yang jadi pilihan mamanya kali ni? Haih.’ Desis hati Sham.
“Dah tu, macam mana sekarang?” soal Sham.
“Macam mana apa? Macam tulah. Kalau ikut hati aku, tak nak aku hadir pada majlis tu. Biar mama aku malu. Rancangannya untuk menyatukan aku dengan pilihannya tak jadi. Biar padan muka mama aku! Baru dia tahu langit tu rendah ke tinggi. Puas hati aku!” lepas mulut Syazril berkata.
“Sanggup ke kau buat macam tu?” laju bibir Sham mengutarakan soalan. Tersungging senyuman sinis di bibir itu. Dia bertanya sebab dia kenal sangat dengan perangai dan sikap Syazril. Tidak mungkin Syazril akan buat seperti apa yang dia ucapkan.
Syazril diam. Membisu seribu bahasa. Terasa tersindir dengan kata-kata Sham. Tapi memang itu kenyataannya. Syazril jenis yang di mulut cakap lain tapi dalam hati sebenarnya tak sanggup. Di mulut saja dia berani tak nak teruskan perkahwinan yang mamanya aturkan. Sedangkan dalam hati, dia memang tak akan sanggup buat begitu. Kerana Syazril bukan seorang anak yang suka menghampakan harapan mamanya, apatah lagi menderhaka.
“Huh,” sekali lagi keluhan keluar dari ulas bibirnya.
“Hmm… mulut memanglah senang cakap tapi nak buat tu yang payah.” Ujar Sham kemudiannya. Tambah lagi lama temannya itu membisu. Tiada jawapan untuk soalannya itu. 

p/s: bab 19 dah ada.. jemput baca.. tp x panjang la.. hehehe... so mcm biasa, komen2 anda, sangat di alu-alukan... tq..:)

Rabu, 14 Disember 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB18

HARI-hari yang mendatang aku tempuhi dengan hati yang berdebar-debar. Hari-hari yang berlalu terbuang begitu sahaja tanpa ada apa-apa tindakan untuk mencari calon bakal suami. Bukan aku tidak mahu mencari tapi aku tak tahu nak cari bagaimana. Aku ni bukannya pernah bercinta bagai nak rak macam orang lain.
Ketika belajar dulu pun, boleh dibilang dengan jari aje bilangan kawan lelakiku. Ada tak ada pun cuma Amirul, Sharul, Zulfikri, Nick dan Naizul yang menjadi teman lelaki aku. Itu pun aku kenal mereka ni ketika sama kelas atau pun sebab perlu buat tugasan secara berkumpulan. Selain tu tak ada.
‘Aduh! Mana nak cari ni? Kalau ada jual kat pasar malam kan senang, tak perlu aku penat-penat fikir!’ idea tak masuk akal tiba-tiba terlintas di fikiran.
‘Amboi! Kau ingat nak cari calon suami ni macam ayam goreng, yang ada jual kat pasar malam. Dua ketul seringgit!’ sahut suara lain dari dalam hatiku.
‘Kau ni pun, macam Mail dalam kartun Upin & Ipinlah pulak! Dua seringgit bagai.’
Hisy! Sudah! Duk bertengkar pulak kau orang kat dalam. Aku dahlah tengah pening, boleh pulak kau orang duk lancar perang. Tiba-tiba aku teringatkan perbualan antara aku dan Syu ketika kenduri cukur jambul anak Abang Din dulu.
“Kak, kalau Syu kahwin dulu dari akak macam mana?” tiba-tiba Syu menyoal.
“Amboi! Dah ada calon ke? Gatalnya!” bidasku pantas. Syu tidak dididik sepertiku. Emak mendidikku dengan pantang larang yang keras. Tetapi dengan Syu, emak punya kelonggaran. Kadang-kadang aku berfikir sendiri, tak adilnya mak dengan aku.
“Emm.. kalau Syu cakap dah ada macam mana?” duganya lagi.
“Eh, jangan gatal-gatal nak kahwin. Belajar dulu sampai habis. Lepas tu kerja. Bila dah ada duit sendiri dalam tangan, baru fikir nak kahwin ke apa ke.” Bidasku lagi.
Nampaknya apa yang Syu tanyakan dulu, mungkin benar-benar akan terjadi jika aku masih tiada calon bakal suami untuk waktu yang terdekat ni. Masa yang tinggal kurang seminggu aje lagi. Haih, pening, pening!
Ketukan di pintu bilik mengembalikan aku ke alam nyata.
“Kak,” suara Jad memanggil dari luar bilik.
“Hmm… ada apa?” dengan malas aku menyahut. Aku masih melingkar di atas katil lagi tika itu.
“Mak panggil turun,” Jad menjawab perlahan.
Aku pelik. Nak buat apa pulak turun? Aku malas nak bergerak ke mana-mana hari ni. Berkurung dalam bilik lagi best daripada berpanas kat luar tu. Buat sakit kepala aje.
“Kenapa pulak? Ada apa kat bawah?” aku bertanya lagi.
“Turun ajelah. Banyak tanya pulak akak ni.” Kemudian, aku dengar bunyi tapak kaki yang semakin menjauh. Memang sah, Jad dah berlalu dari depan pintu bilik aku.
“Nak buat apa pulak kena turun ni? Aku dahlah malas nak buat apa-apa hari ni. Ada-ada aje.” Aku mengomel sendiri.
Sepuluh minit berlalu. Aku masih jugak tak berganjak dari atas katil. Makin best tergolek-golek atas katil adalah. Selimut entah ke mana jatuh pun aku tak sedar. Ketukan mengejut di pintu bilik betul-betul memeranjatkan aku yang sedang syok-syok mengelamun.
“Fiza, turun sekarang. Ada orang nak jumpa.” Arahan dari emak beserta dengan ketukan yang kuat membuatkan aku terpaksa akur. Nak tak nak kena turun jugak. Kalau tak nanti, tak pasal-pasal kena tadah telinga mendengar emak aku membebel.
Dengan malas, aku bangun dan berdiri tegak di hadapan cermin besar yang memang tersedia di almari baju. Aku perhatikan penampilan diriku ketika itu. Seluar trek, baju kemeja T lengan tiga suku tersarung elok di tubuhku. Emm, tak payah tukarlah. Lantas, tudung ekspress yang tersangkut di belakang pintu bilik aku capai dan sarungkan ke kepala.
Tombol pintu bilik aku pulas perlahan. Terjengul kepalaku mengintai tetamu di ruang tamu. Ah, tak nampak pulak! Dengusku di dalam hati. Aku menjengketkan sedikit kaki dan perlahan-lahan keluar dari bilik. Panjang kepalaku terintai-intai dari anak tangga paling atas. Nak tengok tetamu yang hadir punya pasal. Tapi masih jugak tak nampak. Mana tetamu yang emak cakap tadi tu?
“Fiza, cepatlah turun.” Laungan suara emak dari bawah mengejutkan aku sekali lagi. Haih, mak ni. Boleh sakit jantung aku kalau macam ni!
Dengan langkah yang malas dan sememangnya aku sedang malas pun, aku melangkah turun ke bawah. Dari anak tangga terakhir mataku memerhatikan tetamu yang hadir. Rasa macam kenal, tapi siapa? Aku menghampiri ruang tamu.
“Ni, aunty nak jumpa kamu.” Ujar emak yang sedang melayan tetamu itu.
Mataku asyik memandang tetamu yang sedang membelakangi aku. Sampai di hadapan sofa yang tetamu itu duduki barulah aku dapat melihat rupa paras tetamu tersebut. Aunty Ida rupanya. Desis hatiku perlahan.
Aku tunduk menghulurkan tangan untuk bersalam sambil seulas senyuman terukir di bibirku. Kemudian aku duduk di atas sofa berhadapan dengan Aunty Ida. Aku pelik. Untuk apa Aunty Ida datang ke rumah keluargaku? Macam ada hal penting aje. Mesti berkaitan dengan aku, kalau tak emak tak akan panggil aku bersungguh begini.
“Fiza, Aunty Ida ni datang ada hajat sebenarnya.” Emak memulakankan kata.
“Hajat? Macam orang nak merisik aje. Hehehe…” mulutku laju bersuara sebelum akalku dapat menahan. Tanganku laju menutup mulut apabila terpandangkan mata tajam emak yang sedang merenungku. Isy, lajunya mulut ni! Tak pandai langsung nak control!
“Kalau betul aunty datang ni nak merisik Sya, bagaimana?” ujar Aunty Ida bersahaja.
“Hah?” reaksi spontanku menjawab pertanyaanya itu.
Aunty Ida ni biar betul! Diakan dah ada bakal menantu untuk anak lelakinya tu, dia nak merisik aku untuk anak dia yang mana lagi? Berapa ramai lagi anak bujang dia? Haih! Pening-pening.
“Macam ni, sebenarnya aunty datang ni nak beritahu sesuatu. Sya, baju pengantin yang aunty tempah untuk bakal menantu aunty empat bulan lepas, boleh tak kalau aunty nak cancel?”
“Hah? Cancel? Aunty, baju tu direka khas untuk bakal menantu aunty. Lagi pun baju tu dah siap, aunty. Jadi tak boleh cancel macam tu aje. Kenapa aunty nak cancel baju tu? Aunty dah ada baju lain ke?” aku benar-benar terkejut dengan permintaan Aunty Ida tu. Nasib baik aku boleh kawal suaraku agar tidak terlalu tinggi. Haih, kenapa pulak dia nak cancel baju tu? Dia dah ada baju lain ke? Dalam masa yang sama, pelbagai soalan berlegar di dalam kepalaku.
“Tak, aunty tak ada baju lain. Err… sebenarnya aunty nak cancel baju tu sebab majlis perkahwinan anak aunty mungkin dibatalkan. Aunty mintak maaf banyak-banyak ya Sya. Macam nilah, berapa semua harga baju tu? Aunty bayarkan dan ikut Syalah nak buat apa dengan baju tu. Nak jual ke apa ke.” Ada getaran pada nada suara Aunty Ida. Aku dapat lihat mukanya yang sedang bermuram.
Batal? Ya Allah. Kenapa batal pulak ni? Haih, dengan aku pening. Aku tak kisah sangat dengan baju tu sebab aku boleh jual balik. Mesti ramai yang nak beli baju pengantin yang sangat cantik tu. Ketika aku menjahit baju tu, sudah ramai pelanggan yang bertanya. Sampaikan ada yang nak beli sedangkan bukan saiz dia pun. Tetapi yang dia kisahkan, kenapa majlis baik untuk membina masjid dibatalkan pada saat-saat akhir? Kenapa tidak lima bulan dulu, semasa masih lagi dalam proses perancangan? Ini menjatuhkan air muka kedua-dua belah pihak. Eh, aku pulak yang terlebih. Hehehe…
“Err.. lagi satu aunty datang ni ada bawa hajat seperti yang aunty cakap tadi. Err.. macam mana ya aunty nak mulakan.” Riak serba-salah jelas terpancar di wajah Aunty Ida. Aku pandang wajahnya lama. Aku pun tak tahu nak kata apa. Aku masih terkejut dengan berita majlis perkahwinan anaknya itu dibatalkan pada saat-saat akhir.
“Cakap aje macam yang akak nak cakap tadi tu. Kalau Fiza setuju, insya Allah, semuanya akan berjalan lancar.” Sambut emak yang hanya menjadi pemerhati dari tadi. Emak sebenarnya mungkin sedang mententeramkan Aunty Ida yang sedang serba-salah.
Aunty Ida menarik nafas perlahan dan dihembus sedikit demi sedikit. Mencari sedikit kekuatan. Tangan kanannya diseluk ke dalam handbagnya yang berada disisinya. Kemudian bibirnya perlahan-lahan mengatur bicara.
“Sya, apa yang aunty nak cakapkan ni mungkin akan mengejutkan Sya. Sebenarnya aunty datang ni nak merisik dan meminang Sya untuk anak aunty, Aril.” Ujar Aunty Ida tenang sambil tangan kanannya menghulurkan sebuah kotak kecil yang biasa orang letak cincin.
Aku terkejut. Tanpa sedar mulutku ternganga tanda yang aku betul-betul terkejut.
“Ha?” reaksi spontanku terkeluar. Pantas tangan kananku menekup mulut apabila terpandangkan pandangan tajam emak. “Err… aunty silap cakap ke? Atau pun saya yang salah dengar ni.” sambungku selepas dapat bertenang sedikit. Aku pura-pura mengorek lubang telingaku tanda yang mungkin telingaku tersumbat sampaikan tersilap dengar apa yang Aunty Ida cakapkan. Padahal aku tahu telingaku memang tidak ada apa-apa masalah pendengaran.
Aku benar-benar terkejut dengan apa yang keluar dari mulut Aunty Ida. Dengan bahasa mudahnya, aku kena kahwin dengan anak lelakinya yang sombong, angkuh dan ego tu untuk menyelamatkan maruah keluarga Aunty Ida. Ya Allah! Tapi kenapa aku? Kan ramai lagi anak-anak kenalan Aunty Ida yang berpangkat tinggi. Aunty Ida cuma perlu pilih aje.
Aunty Ida menggelengkan kepalanya.
“Tak, Sya. Sya tak silap dengar dan aunty tak silap cakap. Apa yang Sya dengar, itulah yang keluar dari mulut aunty.” Ujar Aunty Ida tenang.
Aku terlopong. Tergamam. Terkaku. Aku tak tahu nak cakap apa. Diam lebih baik.
“Okey, macam ni. Sya fikir dulu tapi jangan lama sangat. Kalau boleh lusa aunty nak jawapannya dan aunty harap sangat jawapannya positif ya.” Besar harapan Aunty Ida.
Aku masih diam. Langsung tak membalas apa yang Aunty Ida cakap. Aku hanya tahu kepalaku semakin memberat. Aku dah tak boleh fikir apa-apa sekarang ni. Macam orang bingung aje aku jadi tengah hari tu. Kenapa aku? Itu soalan yang berlegar-legar dibenakku. Tanpa memandang wajah emak atau wajah Aunty Ida, aku bangun dari duduk di atas sofa. Lemah aku mengatur langkah ke arah tangga. Aku langsung tak hiraukan pandangan tajam yang emak lemparkan padaku. Kalau boleh aku nak lari jauh-jauh dari masalah baru ni. Aku tak nak hadapi ini semua. Aku masih tak sedia!
“Habis, kalau kau masih tak sedia, bila kau nak kahwin? Macam mana pulak dengan Syu? Tempoh yang diberikan oleh keluarga kekasih Syu cuma tinggal beberapa hari aje lagi. Kalau kau tak ambil peluang ni, maknanya pinangan keluarga kekasihnya tu akan ditolak. Kau sanggup ke tengok Syu bersedih?” suara hatiku bersuara membantah.
“Dah tu, aku kena terima lamaran Aunty Ida supaya jadi pengantin perempuan untuk anaknya yang sombong, ego dan angkuh tu? Ini bukan lamaran untuk sekadar jadi kekasih tapi lamaran untuk jadi pasangan hidup untuk seumur hidup! Eii…. Tak sanggup aku! Belum jadi suami pun dah berlagak semacam. Kalau dah jadi suami, tak tahulah aku macam mana.” Balasku laju.
Sekarang aku berada di atas katil di dalam bilikku. Aku benar-benar buntu. Berpusing ke kanan tak kena, ke kiri lagilah tak kena. Haih, nak buat macam mana ni? Lusa Aunty Ida dah nak jawapan. Apa jawapan yang aku nak beri? Kusut, kusut!

PADA sebelah malam, sesudah mandi. Aku memulakan rutin wajibku seperti malam-malam yang sudah, melayari internet. Aku buka akaun Facebookku. Sudah lama rasanya aku tak update apa-apa kat laman sembang ni dan malam ni terasa nak letak status baru aje. Tapi nak tulis apa? Hmm… ha, apa kata kalau aku letak tentang masalah baru aku ni, aku pun nak tahu jugak apa reaksi mereka-mereka yang online.
Lantas, jari-jemariku laju menaip patah demi patah perkataan di atas papan kekunci laptop dan butang share diklik. Tetingkap Mozilla Firefox aku sembunyikan seketika, aku beralih pada Google Crome. Butik onlineku perlu dibuka juga walau aku ditimpa masalah sebesar mana pun kerana itulah sumber rezekiku.
Setelah menjawab segala pertanyaan pelanggan tentang produk yang aku jual, aku membuka kembali tetingkap Mozilla Firefox. Terbeliak mataku melihatkan komen dari sahabat-sahabatku. Berderet-deret! Baru beberapa minit aku tinggal, dah macam-macam komen dari pelayar internet. Satu persatu komen tersebut aku lihat dan baca.
Manisha; buat solat istikharah…J
Jun; iyalah Fiza! Aku rasa kau perlu buat solat istikharah… insya Allah, kau akan dapat jawapannya…J
Azlira; Fiza, kau terima ajelah. Senang! Tak payah pening-pening kena fikir…hehehe
Amboi, Azlira ni! Ini bukan membantu. Makin buat aku pening adalah! Komen seterusnya aku baca.
Zulfikri; Fiza, siapa yang malang tu? Hahahaha..
Huh! Mamat ni lagi satu. Langsung tak membantu! Buat sakit hati aje.
Naizul; iyalah Fik! Aku nak tahu jugak, siapalah lelaki malang yang masuk meminang si Fiza ni. hahaha
Ni pun sama. Suka aje cari pasal dengan aku! Aku sedarlah aku ni tak cantik macam kekasih korang!
Umaira; aku setuju dengan Azlira. Fiza, tak payah kau pening-pening fikir. Terima ajelah! Peluang dah depan mata tu, rebut ajelah. Kau bukan makin muda!
Pedasnya kata-kata si Umaira ni! aku tahulah umurku makin bertambah dari sehari ke sehari. Tapi janganlah perli macam tu. Sedih tau!
Jariku laju menaip balasan pada semua pendapat teman-temanku itu. Kemudian, aku menutup laptopku. Aku tiada hati untuk lama-lama di laman sembang itu. Buat sakit hati aje. Kita mintak pendapat tapi kena kutuk pulak. Memang ada yang beri jalan penyelesaian ke arah kebaikan tapi yang mengutuk lagi ramai.

PAGI itu aku bangun dengan mood yang masih lagi tak elok. Masih macam semalam. Mood tak nak bercakap dengan orang, tak nak tegur orang. Pukul 10.00 baru aku melangkah turun ke tingkat bawah dengan lengkap mengenakan jeans dan kemeja T. Gaya yang sangat ringkas kerana aku langsung tak rasa nak ke butik pun pagi tu. Aku sudah menelefon Saira dan memaklumkan padanya yang aku tak akan ke butik hari ni.
Aku melewati meja makan, tak ada orang. Sunyi sepi menyelubungi ruang tamu dan ruang makan. Abah mungkin ada di belakang rumah. Biasalah, abah suka sangat belai ayam serama dia tu. Emak pulak entah hilang ke mana. Mataku memandang sarapan pagi yang hidang di atas meja makan. Hanya dipandang tapi tidak diusik. Sejak semalam, seleraku mati dan sejak semalam juga tak ada sebutir nasi atau sebarang makanan pun masuk ke dalam perutku. Aku langsung tak rasa lapar.
Dari meja makan aku berlalu ke arah pintu utama. Kakiku menyarung sandal yang memang berada di atas rak bersebelahan dengan pintu utama. Kemudian aku merapati Kenari hitamku dan alat penggera kereta ditekan. Kurang lima minit kemudian, aku sudah pun berada di atas jalan raya. Aku memandu tanpa arah tujuan, tak tahu nak ke mana.
Pedal minyak ditekan kuat. Aku menekan pedal brek apabila melalui simpang lampu isyarat. Stering dipulas apabila jalan yang dilalui berbengkak-bengkok. Aku terus memandu tanpa arah tuju. Destinasi yang ingin aku tuju masih lagi kabur sedangkan aku sedang memandu di atas jalan raya.
Akhirnya aku memberikan isyarat ke tepi dan kereta dibelok memasuki sebatang jalan kampung. Kereta dipandu perlahan sebelum berhenti di tepi jalan, bersebelahan dengan pokok rhu. Aku mencapai beg tangan lalu melangkah keluar dari perut kereta. Alat penggera kereta aku tekan. Beberapa langkah aku melangkah, aku dihidangkan dengan pemandangan laut yang luas di hadapan mataku.
Inilah yang aku suka. Aku sukakan pemandangan laut yang terbentang luas di hadapanku ini dan ini juga tempat yang aku selalu tujui. Tidak kira jika aku sedang mempunyai masalah atau sedang gembira. Bagiku laut membuatkan aku tenang, membuatkan aku merasa damai. Walaupun tika itu aku sedang menghadapi masalah yang besar. Seperti sekarang.
Mataku asyik sekali memerhatikan nelayan-nelayan yang sedang memunggahkan kotak-kotak berisi hasil laut dari atas bot laut dalam yang besar ke daratan. Berhampiran dengan situ, terdapat sebuah jeti kecil yang mana telah ada beberapa peraih ikan yang sedang setia menunggu hasil tangkapan di punggah.
Aku melabuhkan punggung di atas pasir pantai. Matahari semakin terik di atas kepala membuatkan kulitku terasa perit dibakar matahari. Namun itu semua tidak menganjakkan aku dari situ. Mataku tepat memandang lautan yang terbentang luas. Angin laut menampar lembut pipiku membuatkan aku khayal di dalam duniaku sendiri. Dunia yang hanya ada aku dan laut ini.
“Fiza, buat apa kat sini?” pertanyaan suara seseorang mengejutkan aku dan mengembalikan aku ke dunia nyata. Pantas aku mengangkat kepala, memandang empunya suara.
“Oh, abang.” Tenang reaksiku. Soalannya aku biarkan tanpa jawapan. Orang yang menegurku itu adalah Abang Jan, sepupuku di sebelah abah yang menetap di kampung ini. Kampung Gong Balai, Merchang adalah sebuah kampung yang terletak di dalam daerah Marang. Kampung ini adalah tempat abah dibesarkan dan tempat arwah datuk dan nenekku disemadikan.
“Buat apa kat sini?” Abang Jan mengulangi soalannya yang aku tidak jawab.
“Saja. Jalan-jalan ambik angin pantai.” Jawabku berselindung. Aku tak nak dia tahu sebab utama aku ke sini. Bagiku memberi alasan adalah lebih baik.
“Jalan-jalan? Pada hari bekerja? Tengah panas terik ni? Jangan nak tipulah. Abang kenal sangat dengan kamu. Dari kecil lagi abang kenal dengan kamu. Kalau orang lain kamu bolehlah tipu, tapi bukan dengan abang.” Sindir Abang Jan. Aduh!
“Err…” aku kematian kata.
“Dah, tak payah nak kata apa. Jom ke rumah abang, angah ada kat rumah.” Ajak Abang Jan. Angah adalah isterinya. Kami semua memanggil isterinya angah kerana Abang Jan adalah anak kedua dalam adik-beradiknya tetapi Abang Jan kami panggil Abang Jan saja dan bukannya abang ngah. Pelik kan.
“Okey, nanti saya menyusul. Abang baliklah dulu.”
“Baiklah. Tapi sebelum balik, singgah rumah nanti ya. Jangan balik terus.” Pesan Abang Jan sebelum berlalu.
Aku menganggukkan kepala dan memandang Abang Jan melangkah pergi. Kemudian aku kembali memandang lautan. Memandang ombak ganas membadai pantai.

p/s: salam semua.. malam ni saya terasa sedikit murah hati n rajin.. so sy publish bab 18 di sini, kat pu2 xde lg ni.. happy reading..:)

Selasa, 6 Disember 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB17

“MASUK!” Syazril melaung kuat mendengarkan pintu biliknya diketuk dari luar. Pintu dibuka dari luar dan muncul Wadia, setiausahanya melangkah masuk.
“Err… Encik Syazril, ni ada sepucuk surat berdaftar untuk encik.” Wadia menghulurkan surat yang berada di tangannya kepada Syazril.
“Okey. Terima kasih, kak. Ada apa-apa lagi kak?” tanpa mengangkat muka, Syazril bertanya.
Wadia membelek buku berkulit hitam yang dipegangnya sejak melangkah masuk ke dalam bilik bosnya itu.
“Emm… hari ni encik perlu jumpa dengan Encik Malik dari ElectroMegah Sdn Bhd pada pukul 3 petang di Mayang Resort. Untuk hari ni, satu tu sahaja.” Ujar Wadia.
“Okey, terima kasih kak.” Syazril berterima kasih untuk kali kedua kepada Wadia.
Selepas itu, kelibat Wadia hilang di balik pintu biliknya. Dia terleka menyemak laporan pertengahan tahun yang baru sahaja dihantar oleh pekerjanya. Ketika dia mengangkat kepala sedikit, dia terpandangkan sepucuk surat yang dibawa masuk oleh Wadia tadi. Hatinya musykil. Siapa pulak yang hantar surat tersebut?
Tangannya pantas mencapai surat itu. Matanya melihat depan dan belakang sampul surat tersebut. Tiada nama penghantar. Hanya tercatat namanya sebagai penerima. Haih! Siapa pulak yang main hantar surat ni? Hatinya masih lagi tertanya-tanya.
Perlahan-lahan tangannya mengoyak sampul surat itu. Surat yang berlipat elok itu dia tarik keluar. Pelik aje nampak surat ni. Hatinya menelah sendiri. Dia baru sahaja ingin membuka lipatan surat itu, namun terhenti apabila interkomnya berbunyi. Lantas, diletakkan kembali surat itu dan butang pada interkom dia tekan.
“Ya, kak?” Tanya Syazril.
“Encik, Encik Mazlan ingin berjumpa dengan encik sekarang, boleh dia masuk?”
“Okey, benarkan dia masuk.”
Syazril terus terleka dengan kerjanya selepas itu. Perihal surat yang telah menimbulkan tanda tanya sebentar tadi, dia tolak ke tepi dahulu. Tuntutan kerjanya lebih penting saat ini.

PINTU rumah Syazril tolak perlahan. Badannya benar-benar penat kerana seharian perlu meneliti laporan pertengahan tahun dan sebelah petang pula berjumpa client di Mayang Resort. Beberapa keping fail yang masih belum habis disemak dia letak di atas meja kopi di ruang tamu rumahnya itu. Manakala briefcasenya disandarkan pada kaki sofa. Kemudian dia menekan suis lampu sebelum duduk di sofa. Badannya disandarkan pada sofa. Mata terpejam rapat. Lama dia berkeadaan begitu. Melayan rasa penat.
Tiba-tiba matanya terbuka. Badannya secara automatik bangun dari sandaran. Sesuatu terlintas di fikiran. Tangannya laju mencapai briefcase dan isi dalam briefcase dia selongkar. Hah, jumpa! Girang hatinya bersuara. Dia metarik keluar sepucuk surat dari briefcase itu. Ligat jari-jemarinya membuka surat yang masih berlipat itu. Syazril terpempam melihatkan isi kertas yang sederhana panjang itu. Akhirnya perlahan-lahan isi surat itu dia baca.

Dear Syazril;
Pertama sekali I nak minta maaf kat you sebab kedatangan surat ini akan menyebabkan you dan keluarga you akan marahkan I. Dan I sedar, kehadiran I dalam keluarga you sangat-sangat tidak disenangi.
Okey, straight to the point. Tak payah I membebel panjang-panjang. Sebenarnya I tak pernah pun masuk Islam macam yang mama you tulis di atas kad kahwin tu. Dan I nak tarik diri dari jadi pengantin you. I tahu you tak sukakan I. So, daripada I dan you terseksa di kemudian hari, lebih baik I tarik diri awal-awal. You jangan buat-buat terkejutlah sebab I tahu you memang tak suka dan tak cintakan I.
So, dengan kata mudahnya, you carilah pengganti I(kalau sempat dan kalau you nak majlis tu jadi majlis perkahwinan). Emm… kalau tak, you boleh aje tukar majlis tu jadi kenduri arwah. Hehehe…
Okeylah, bye!
Cellicia.

Sehabis membaca surat itu, Syazril terus menyambar kunci kereta dan berlalu keluar dari rumahnya itu. Dia tidak kira jam sedang menunjukkan pukul berapa pun. Kalau sudah menginjak pagi pun, dia perlu juga ke rumah mamanya. Isi surat yang baru dia baca tu betul-betul membuatkan dia naik angin dan hatinya membara. Namun, dalam marah, ada rasa suka. Suka kerana Cellicia telah membatalkan perkahwinan mereka.
Tapi hatinya masih berapi saat membaca ayat berbaur sindiran dari Cellicia.
So, dengan kata mudahnya, you carilah pengganti I(kalau sempat dan kalau you nak majlis tu jadi majlis perkahwinan). Emm… kalau tak, you boleh aje tukar majlis tu jadi kenduri arwah. Hehehe…
Siapa tak berapi apabila membacakan ayat tu. Ini bukan gurauan tapi dah menghina! Dia bertambah rasa berapi bila teringatkan kata-kata Cellicia yang dia kata dia tak pernah pun masuk Islam seperti mana yang mamanya tulis di atas kad kahwin. Perkara masuk Islam bukan perkara mainan!
Kereta yang Syazril pandu membelok masuk ke dalam perkarangan rumah Datuk Nawawi. Dia memandu terus dan berhenti betul-betul di hadapan pintu utama. Kereta tidak dimasukkan ke dalam garaj seperti kebiasannya. Sebaik kereta berhenti, dia terus meluru keluar.
“Mama, mama!” tanpa salam, Syazril memanggil mamanya keras. Kasar dia membuka pintu utama. Matanya melilau ke arah ruang tamu. Tak ada orang.
“Mama, mama!” laung Syazril lagi apabila panggilan pertamanya tidak bersahut. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan mencari kelibat mamanya.
“Apa kamu ni, terpekik panggil mama. Macamlah mama ni dah pekak!” Datin Sharida yang baru sahaja ingin lena, terkejut mendengar laungan Syazril. Meluru dia keluar dari bilik. Rasa kantuk yang tadinya menguasai diri terus hilang.
Syazril pantas memusingkan kepala, mencari kelibat mamanya. Apabila berjumpa, dia mengatur langkah ke arah mamanya yang masih terpaku di atas tangga. Surat yang hampir renyuk di tangan dihulurkan kepada Datin Sharida. Riak muka mamanya jelas terperanjat dan tertanya-tanya.
“Surat apa ni Aril?” soal Datin Sharida. Syazril memandang mamanya sekilas sebelum menjawab.
“Mama baca apa yang bakal menantu kesayangan mama tu tulis!” sinis dia menjawab.
Tanpa menunggu lama, Datin Sharida membuka surat yang berlipat itu. Matanya membulat ketika membaca isi surat tersebut. Usai membaca, dia mengangkat wajahnya. Matanya dan mata Syazril bertentang.
“Mana kamu dapat surat ni? Kamu jangan mereka-rekakan cerita. Mama tahu kamu tak sukakan Cellicia tapi janganlah kamu buat rancangan sebegini. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kamu dan dia nak bernikah. Kamu jangan buat begini. Kesian dia!” tinggi nada Datin Sharida.
Membuntang mata Syazril memandang mamanya. Panas telinganya mendengarkan tuduhan tanpa bukti mamanya itu. Orang lain yang buat salah, aku pulak yang dipersalahkan. Mama ni memang sudah menganaktirikan aku! Desis hati Syazril, geram.
“Mama, mama sedar apa yang mama cakap ni. Cuba mama baca elok-elok surat tu. Dah memang sah-sah tertulis nama Cellicia, tandatangan pun Cellicia yang punya. Itu yang mama cakap Aril mereka-rekakan cerita. Come on, mama. Kalau Aril yang nak buat semua ni, dari dulu lagi Aril buat. Kenapa perlu tunggu sekarang? Aril pun ada maruah! Aril tak akan jatuhkan air muka sendiri dengan membatalkan pernikahan last minute macam ni.” Bidas Syazril. Dia melepaskan geram sebenarnya.
Datin Sharida terkaku. Tidak berganjak dari tempat dia berdiri sejak tadi. Matanya tidak putus-putus merenung surat di tangan. Perasaan tidak percaya masih menyelubungi diri. Dia tidak percaya yang Cellicia sanggup melakukan ini semua. Tambah-tambah lagi hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi majlis pernikahan itu akan berlangsung.
Melihatkan mamanya membisu seribu bahasa, Syazril terfikirkan sesuatu. Rasanya inilah waktu yang paling baik untuk menyuruh mamanya membatalkan pernikahan ini.
So, mama. Kiranya majlis pernikahan ni batallah ya. Dan keluarga kita tak akan ada ahli keluarga baru untuk waktu terdekat ni.” Ujar Syazril dengan perasaan gembira.
“Siapa yang cakap majlis pernikahan tu akan batal? Majlis tu tetap akan diadakan walaupun pengantin perempuannya akan bertukar dan rumah kita akan menerima ahli baru walau apa pun yang terjadi!” tegas Datin Khalida meningkah kata-kata anaknya. Tanpa menunggu reaksi Syazril, Datin Sharida berlalu masuk ke dalam biliknya.
Syazril yang mendengar setiap patah kata yang keluar dari mulut mamanya bagai petir yang sedang sambar-menyambar. Hatinya yang tadi sedang berbunga riang tiba-tiba bertukar mendung. Sampainya hati mama! Kejamnya! Hatinya memberontak dari dalam.
Dia tidak sangka yang mamanya akan bersikap begitu. Teramat keras dan degil. Fikirnya, dia boleh bertolak ansur dengan mamanya namun hati mama memang bulat. Bulat seperti mana kata-kata yang dia ucapkan. Melihatkan mamanya berlalu dari situ, dia juga mengambil langkah untuk keluar dari rumah itu. Dia berasakan lebih membahang jika lama-lama berdiri di dalam rumah itu.

DATIN Sharida gelisah. Dari tadi dia duk berjalan ke hulu ke hilir. Datuk Nawawi yang melihat pun dah naik pening. Datin Sharida memang tidak puas hati setelah membaca isi surat yang Syazril beri kepadanya dua hari yang lalu. Sudah dua hari berlalu membuatkan Datin Sharida makin gelisah. Dua hari yang terbuang tanpa apa-apa tindakan.
“Awak ni kenapa? Dari tadi duk berjalan ke kiri, ke kanan. Sampaikan saya ni naik pening kepala.” Tegur Datuk Nawawi. Dia rimas tengok isterinya itu tidak senang duduk.
“Abang, abang jangan buat-buat tanya pulak. Ni, mana saya nak cari pengganti Cellicia. Tak sampai 6 hari sahaja lagi majlis tu. Semua dah sedia. Takkan saya nak batalkan saja majlis tu. Malulah kita nanti!” sedikit tinggi suaranya membalas teguran suaminya.
Datuk Nawawi menggelengkan kepala. Dia kenal sangat dengan perangai isteri yang sudah 36 tahun dinikahi itu. Isterinya memang begitu. Dia mahukan semua orang mengikut setiap kata-kata dan arahannya. Sebagai bukti, anak-anak telah menjadi mangsa. Daripada menentukan tempat belajar, kursus semasa belajar hinggalah kepada pasangan hidup. Semuanya tindakannya dirasakan betul.
Tetapi perkhabaran anak bongsunya, Mariana Azeera yang menukar kursus belajar daripada kursus perniagaan kepada kursus komunikasi maklumat. Isterinya amat-amat marah ketika itu. Sampaikan isterinya sanggup memutuskan ikatan keluarga dengan anak sendiri. Begitu juga dengan bantuan kewangan yang diberhentikan serta-merta. Namun, dalam diam dan tanpa pengetahuan Datin Sharida, dia masih berhubung dengan Mariana.
Dan ini adalah tamparan kedua untuk isterinya. Perkhabaran Cellicia menarik diri daripada menjadi pengantin perempuan kepada Syazril benar-benar membuatkan Datin Sharida runsing. Ini baru buku bertemu dengan ruas! Bisik hati Datuk Nawawi.
“Awak yang aturkan begitu. Jadi jika keadaan bertukar jadi kelam-kabut begini, ikut awaklah nak buat apa pun. Ini semuakan rancangan awak.” Bidas Datuk Nawawi.
Sehabis berkata, dia terus mengangkat punggung dan beredar dari situ. Inilah akibatnya jika cakap orang lain tak mahu dengar. Hanya nak ikut hati sendiri sahaja. Nah, rasakan akibatnya! Dengus Datuk Nawawi.
Terpempam Datin Sharida mendengar setiap butir kata yang keluar dari mulut suaminya. Tidak disangka yang suaminya akan berkata begitu.

DATIN Sharida meneliti buku kecil di tangannya. Dia baru sahaja menulis beberapa nama anak kenalannya. Kepalanya ligat memikirkan nama-nama lain yang boleh disenaraikan lagi di dalam buku itu.
Maria, anak Datin Maimun.
Serra, anak Tengku Salina
Juju, anak Datuk Khaty.
Fareeda, anak Datin Fawziah.
Liyana, anak Puan Sri Juwahir.
“Emm… siapa lagi, ya? Hmm…” Datin Sharida berfikir-fikir sambil pen di tangan mengetuk buku memo perlahan.
Dirasakan semua anak kenalannya sudah disenaraikan tapi macam masih ada yang tertinggal aje. Tapi siapa lagi? Tanyanya pada diri sendiri.
“Ma, tengah buat apa tu?” suara Mellisa yang bertanya mengejutkan Datin Sharida daripada lamunan panjangnya.
“La, Mel rupanya. Terkejut mama.” Ujar Datin Sharida sambil memandang wajah anaknya itu.
“Mama tengah buat apa tu?” soalan yang tadinya tidak bersahut Mellisa ulang lagi.
“Emm.. ni, mama duk tulis senarai nama ni.” Jawab Datin Sharida sambil menghulurkan buku memo di hadapannya itu kepada Mellisa. Mellisa menyambut dan matanya membaca satu persatu senarai nama yang tercatat di situ.
“Mel rasa siapa lagi yang mama tak tulis?” Datin Sharida bertanya apabila melihatkan yang menantunya itu diam tanpa suara.
“Entahlah, ma. Err.. Mel pun tak kenal sangat dengan anak kawan-kawan mama ni.” Teragak-agak Mellisa menjawab sambil menghulurkan kembali buku memo di tangan kepada mamanya.
“Huh, mama pun dah naik pening dengan pilihan-pilihan yang ada ni. Kalau ikutkan memang ramai yang boleh disenaraikan tapi bila mama ingat balik perangai mereka tu, tak sanggup rasanya mama nak bermenantukan mereka. Bukan elok pun perangai. Cuma beberapa orang saja yang mama nampak elok sikit perangai mereka.” Datin Sharida meluahkan rasa di hati.
Mellisa hanya mampu memandang. Nak memberi cadangan pun bukannya dia kenal dengan kawan-kawan mamanya. Sekarang ni mamanya sibuk mencari pengganti calon pengantin perempuan untuk adiknya, Syazril yang telah melarikan diri. Mendengarkan kisah ini dari A hingga Z, dia menggelengkan kepala. Perjalanan kisahnya sungguh rumit. Dirasakan kejam juga si Cellicia tu. Sanggup menjatuhkan maruah keluarga ini. Di saat-saat akhir baru beritahu tak nak kahwin dengan Syazril. Kalau bagitahu awal-awal kan senang pihak kami nak mencari pengganti atau membatalkan saja majlis itu. Ni tak, lagi beberapa hari majlis nak berlangsung, baru cakap tak nak kahwin. Siapa tak bengang kalau macam ni!
Mengenai pengganti pula, di mana nak cari pengganti pengantin perempuan dalam masa tak sampai seminggu ni? Memang masalah besar kalau begini. Sampaikan ibu mertuanya naik pening mencari pengganti. Pengganti? Hmmm… secara tak langsung dia turut sama berfikir mencari bakal isteri Syazril. Ha, rasanya macam ada calon aje.
“Ma, dulu mama ada jemput seorang perempuan datang makan tengah hari kat sini, siapa dia ma?” tanya Mellisa pada Datin Sharida.
Soalan daripada anaknya membuatkan kepala Datin Sharida ligat berfikir. Siapa yang Mellisa maksudkan? Pernah makan kat rumah ni? Hmm… siapa ni?
“Oh, yang datang makan tengah hari dulu tu? Nama dia Sya, pemilik butik yang selalu mama tempah baju. Kenapa Mel?” Datin Sharida masih tak dapat menangkap apa yang ingin Mellisa beritahu. Dia memandang Mellisa yang juga sedang memandangnya dengan seulas senyuman yang sangat manis. Datin Sharida pelik dengan maksud senyuman anak sulungnya itu. Sampaikan berkerut dahinya memandang Mellisa.
La, kenapalah mama aku ni tak dapat tangkap maksud senyuman aku ni? Soal Mellisa di dalam hati.
“Sya tu belum berpunya lagi kan?” soal Mellisa, berkias.
“Entahlah. Mama tak ambil tahu sangat sama ada dia dah ada kekasih ke belum. Kenapa Mel?” mendatar Datin Sharida menjawab, masih lagi tidak dapat menangkap maksud kiasan Mellisa.
Ish mama ni, takkan tak faham-faham lagi!
“Mama, apa kata mama tanyakan Sya. Mana tahu kut-kut dia boleh tolong mama selesaikan masalah majlis Aril.” Akhirnya tanpa berkias, Mellisa berterus-terang. Berkias pun bukannya Datin Sharida faham.
“A’ah la. Kenapalah mama tak terfikir sampai ke situ, ya? Hisy, okey, okey. Sekarang jugak mama telefon dia.” Ujar Datin Sharida teruja. Matanya memancarkan sinar gembira.
Lantas, telefon di tepi buku memo dia capai. Tak sabar-sabar nak bercakap dengan Sya. Mellisa hanya memandang wajah gembira mamanya itu. Harap-harap Sya dapat tolong keluarga kami, doa Mellisa di dalam hati. Mellisa berlalu ke halaman rumah banglo itu, meninggalkan Datin Sharida yang sedang berbual di telefon.