Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Rabu, 27 Mac 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 11



“EHEM!” Suriya pantas angkat muka. Matanya bertembung dengan Noraini. Ni mesti nak korek pasal pagi tadi. Ah, malaslah nak layan. Suriya buat muka bodoh. Dia pandang kembali skrin komputer. Konon-konon sedang sibuk buat kerja.
“Amboi, buat-buat sibuk pulak kau ni ye. Saja nak mengelaklah tu.” Noraini letak tangan di atas meja Suriya. Tau tak apa, sahut hati Suriya.
“Su!” panggil Noraini apabila Suriya tak endahkan kata-katanya.
“Apa Kak Ani ni? Su banyak kerjalah.”
“Orang lain pun banyak kerja jugak. Kak Ani pun banyak kerja jugak. Tapi takkanlah tak nak keluar makan tengah hari,”
Tengah hari? Suriya pantas pandang ke bahagian bawah skrin PC nya. Sudah pukul 1.00 lebih. Macam mana tak perasan ni. Suriya tarik laci meja dan mengeluarkan dompet.
Sorry Kak Ani, tak perasanlah. Kak Ani tapaukan saya nasi ayam ye, saya malas nak keluar hari ni.” Suriya hulur duit kertas warna merah kepada Noraini.
“Hmm… pertolongan ni akak nak caj upah ye,” Noraini kenyit mata.
“Upah? Berapa akak nak?”
“Eh, eh. Bukan duit yang akak maksudkan. Su hutang dua cerita dengan akak, so balik nanti, nak tak nak Su kena ceritakan kat akak. Tak ada alasan nak mengelak lagi. Wajib!” Jelas Noraini. Mencicip dia berlari anak mendapatkan rakan sekerja yang lain.
Kak Ani suka mendera aku! Huh! Suriya mendengus. Paling tak suka kena paksa macam ni.

TENGAH hari itu, Suriya hanya membancuh air Milo. Sempat dia termenung sementara menanti makanan tengah hari sampai. Fikirannya berputar ke arah gelagat Iddin sejak akhir-akhir ini. Selepas menumpangkan dia balik malam itu, diikuti dengan paksaan berjumpa client dan pagi tadi. Iddin datang menjemputnya di rumah. Apa makna semua ni?
“Pelik, memang pelik.” Suriya bercakap sendirian.
Haip. Apa hal cakap sorang-sorang ni?” Noraini yang tiba-tiba muncul, terus tegur Suriya. Bungkusan berisi nasi ayam dia letak di atas meja, berhadapan dengan Suriya.
Terkejut Suriya dengan sergahan Noraini. Nasib baik tak tersembur air dari mulut Suriya. Suriya pandang makcik mulut kepoh kat depan dia yang sedang jongket kening, tanda mahukan jawapan.
“Tak ada apa-apalah kak, tak penting pun.” Balas Suriya. Dia bangun mendapatkan mangkuk kecil. Nak letak sup nasi ayam.
“Su, cepatlah.”
“Cepat nak pergi ke mana?” Suriya buat-buat tak faham. Sedangkan dia dah agak, akan terkeluar juga soalan itu dari mulut kecoh Noraini.
“Eh, eh. Buat-buat lupa pulak. Su berhutang dua cerita dengan akak.” Dua batang jari Noraini naik bermaksud dua cerita yang dia sebutkan itu.
Suriya membisukan diri. Berpura-pura sedang sibuk menjamu selera. Perut tengah lapar. Wajib isi perut dahulu. Soalan Noraini tu tak wajib jawab pun.
“Su, cepatlah cerita.” Melihat Suriya terus menyudu nasi ke dalam mulut tanpa menghiraukannya, Noraini merengek.
“Nak cerita apa Kak Ani? Tak ada yang menarik pun,” balas Suriya sambil terus menyudu nasi ke dalam mulut.
“Ala… biarlah tak menarik. Yang penting akak nak dengar,” Noraini terus merayu. Kedua-dua keningnya terjongket sama membalas pandangan Suriya.
“Hmm… akak nak dengar yang mana satu?” Akhirnya, selepas bermain tarik tali, Suriya bersetuju juga. Letih dia tadah telinga dengar Noraini merengek. Meremang bulu roma pun ya juga. Suriya teguk Milo sekali sebelum membuka mulut.
“Yang minggu lepas tu, tak ada apalah. Encik Iddin ajak Su pergi jumpa client. Hari tu Bad cuti. Jadinya terpaksalah Su ikut. Encik Iddin cakap projek tu Su yang akan urus.” Lebih baik dia ceritakan yang ini sahaja. Tak payah nak berpanjang lebar cerita satu demi satu. Nanti apalah pula kata Noraini.
“Projek tentang apa?”
“Sistem perumahan atas talian. Untuk syarikat Mewah Padu Holdings. Akak pernah dengar ke pasal syarikat ni?”
“Mewah Padu? Syarikat besar tu. Eh, tapi biasanya Encik Iddin akan pass projek besar kat Maria atau Huzair. Kenapa kali ni Su yang kena handle?” Dahi Noraini berlapis, lagaknya seperti sedang memikirkan masalah besar.
“Itu saya tak tahu. Tapi rasanya Maria ada satu projek besar dengan Muslimah Anggun. Kedai atas talian terbesar kat Malaysia tu. Huzair pulak sibuk dengan projek syarikat perumahan jugak. Yang dekat Semenyih tu. Entah apa nama syarikat Su tak tahu pulak.” Baki nasi terakhir dia sudu masuk ke dalam mulut. “Tapi… saya pun ada projek yang tengah handle dalam tangan ni. Aduh! Hari-harilah balik lewat macam ni.” Suriya mengeluh. Dia bangun dan berlalu ke arah singki. Peralatan pantri yang baru digunakan tadi dia cuci bersih-bersih.
“Kira rezeki Su lah tu. Dapat projek dari syarikat besar masyuk tau!” Sahut Noraini sambil senyum lebar.
Masyuk tu masyuk la jugak tapi letihlah Kak Ani. Sekarang pun saya dah rasa kurang rehat. Saya rindu nak macam dulu-dulu. Bebas tidur lama-lama.” Suriya meluahkan rasa hati. Dia mengeluh perlahan.
“Kesian adik akak ni. Okey, stop cerita tu. So, kes pagi tadi macam mana pulak?” Noraini mengalihkan topik perbualan.
Allah! Ingat juga makcik ni. Ingatkan bila aku dah beralih topik, siap cerita pasal rehat yang tak cukup ni, makcik ni lupalah cerita pagi tadi. Isy!
“Cerita apa?”
“Ha… nak mengelak lagilah tu! No! Jangan cuba-cuba nak tukar topik. Ceritalah, akak nak dengar.” Keluar sudah Noraini versi yang suka merayu-rayu.
“Perlu ke?” Suriya pandang wajah mengharap Noraini.
“Wajib!” Bersemangat suara Noraini.
“Yalah, yalah. Su pun tak tahu nak cerita macam mana dengan akak pasal yang pagi tadi tu. Masa tu Su tunggu Pak Mail datang ambik Su. Dengar saja bunyi hon, Su apa lagi, kelam-kabutlah keluar dari rumah. Su dah lewat sangat masa tu. Sampai depan pintu pagar, Su tengok kereta lain yang tercongok depan pagar. Bukannya teksi Pak Mail. Jadi, asalnya Su nak masuk balik dalam rumah. Along Su ada kat rumah, ingatkan nak mintak tolong dia aje. Tapi, bila bos besar akak tu tekan hon sekali lagi, nak tak nak terpaksalah saya naik kereta dia. Siap paksa-paksa lagi.” Dia mendengus di hujung ayatnya.
Melopong mulut Noraini mendengar cerita Suriya. Pertama kali pekerja perempuan di pejabat itu menerima pelawaan Encik Iddin. Terasa dunia berhenti berputar untuk beberapa saat.
“Akak!” Panggil Suriya sambil tepuk bahu Noraini.
“Hah? Apa dia?” Terpinga-pinga Noraini di situ.
“Akak ni kenapa? Akak suruh saya cerita, saya dah cerita. Tapi akak macam mengelamun panjang aje, akak dengar ke tak cerita Su?”
“Akak dengar,” pendek balasan Noraini.
So?”
“Su tahu tak, Su ni pekerja perempuan pertama yang datang ke pejabat dijemput oleh Encik Iddin tau. Alahai, bertuahnya badan.” Noraini senyum meleret.
Pekerja perempuan pertama yang datang dengan pakcik ais tu? Suriya cuak.
“Betul ke akak ni?” Suriya gusar. Manalah tahu kalau-kalau Noraini saja nak kenakan dia.
“Apa pulak tak betulnya. Su ingatkan yang akak pernah cakap orang cop Encik Iddin tu gay,”
Suriya anggukkan kepala. “Ada. Tapi saya tak pernah nampak pun dia keluar dengan lelaki,” Suriya musykil juga. Cerita Noraini seperti tak sama dengan apa yang dia lihat. Kalau keluar dengan lelaki pun dia keluar dengan Badrul. Tapi Badrul tu dah kahwin. Takkanlah Badrul masih buat perkara terkutuk macam tu lepas dah kahwin. Suriya berfikir-fikir.
“Sekarang pun akak dah jarang nampak dia keluar dengan lelaki. Orang cakap sepupu dia si Shahrul tu la pasangan dia. Dulu selalu sangat nampak berkepit,”
“Shahrul?”
“Yang berselisih dengan Su kat depan pintu bilik Encik Iddin tu. Alah, masa hari pertama Su kerja kat sini tu.” Ujar Noraini lagi.
Masa hari pertama? Aku ada berselisih dengan siapa-siapa ke? Suriya bingung sekejap.
“Ada ke kak?”
“Ada. Takkan dah lupa kut,”
Aiseh! Memang dah lupalah kak. Ah, abaikan aje. Kak, tak nak sambung kerja ke? Waktu rehat dah nak habis ni.”
“Haah la. Lupa terus bila dah bersembang,”
Mereka beriringan keluar dari ruang pantri itu menuju ke meja masing-masing. Tanpa mereka berdua sedari, ada seseorang sedang memasang telinga, mendengar setiap patah kata yang Noraini dan Suriya bualkan. Gay? Sudah banyak kali dia mendengar bisik-bisik orang menggelarkannya begitu. Sudah kalih benar. Kebenarannya hanya dia sahaja yang tahu.

“EHEM.”
Suriya terkejut. Pantas kepalanya berpusing ke belakang. Oh, tuan besar. Suriya tak tahu sama ada nak senyum atau tidak.
“Awak balik dengan apa?”
“Kapal terbang,” selamba Suriya membalas. Dah nampak dia tercongok kat perhentian teksi, takkan tengah tunggu LRT pulak!
Kapal terbang? Mata Iddin tajam memandang Suriya yang sedang buat-buat bodoh. Minah ni bergurau ke sedang buat lawak bodoh?
“Oh, saya tak tahu pulak kapal terbang pun landing kat sini. Dah lama ke perhentian teksi ni jadi airport?” Iddin menyindir sinis!
“Dah tahu perhentian teksi, kenapa tanya lagi?” Bisik Suriya perlahan.
What?” Iddin seperti terdengar Suriya mengatakan sesuatu.
“Apa, apa encik? Saya tak kata apa pun,” pantas Suriya berdalih.
“Jomlah saya hantar awak balik.” Pelawa Iddin.
“Terima kasih sajalah encik,” Suriya bangun dari duduknya. Dia sudah terpandangkan kereta abangnya menghampiri mereka. “Abang saya dah sampai. Saya minta diri dulu, assalamualaikum.” Suriya terus masuk ke dalam perut kereta Rozairul sebaik saja kereta itu berhenti di hadapannya.
Iddin hanya pandang kosong kereta Nissan Latio yang semakin menjauh. Iddin menundukkan kepala. Hampa. Melepas…

Rabu, 20 Mac 2013

SELEPAS SCA, INI YANG AKAN AMBIL TEMPAT


ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA...

Entry ini saya buat untuk memberitahu semua pembaca e-novel dan pengunjung blog ini bahawa selepas selesai saya post entry e-novel SEWANGI CINTA ANGGERIK(SCA), e-novel ini pula yang akan mengambil tempat. Harap anda semua akan sukakan jalan cerita e-novel ini. Oh ya, untuk e-novel ini, saya akan kembali menggunakan POV1(kata ganti nama pertama). Sementara itu, jom tengok cover yang saya buat. just simple. tak adalah lawa sangat. ^_^

terima kasih.



Isnin, 18 Mac 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 10



“ADIK, adik.” Rozairul tepuk lengan Suriya.
“Hah?” Terkapai-kapai Suriya. Bagai orang yang baru terjaga dari tidur.
“Duduk dulu,” suruh Rozairul.
Dan Suriya duduk. Mereka masing-masing diam seketika. Rozairul faham. Adiknya sekarang ini sedang berperang dengan perasaan sendiri. Perut Suriya yang tadinya berkeroncong hebat, sekarang sudah tak terasa lagi. Bagai lenyap dibawa pergi oleh berita yang Rozairul sampaikan. Perutnya tiba-tiba kenyang!
Rozairul gigit sedikit burger yang Suriya belikan untuknya. Dia pandang pinggan Suriya yang berisi set nasi ayam. Hanya terusik sedikit sahaja. Tadi bukan main lapar lagi. Sampai cara bercakap macam nak makan orang! Tiba-tiba Suriya berdiri. Tercengang Rozairul. Apa kes pulak ni?
“Su nak pergi mana?”
“Su nak balik!” Mendatar dan tanpa nada suara itu bertutur.
Tanpa pamitan, Suriya terus melangkah meninggalkan Rozairul. Terkejar-kejar Rozairul mengejar langkah Suriya. Tingkah adiknya ni memang tak boleh dijangka. Berubah mendadak kerana sebaris nama MAMA.
“Kenapa ni?” Rozairul bertanya sejurus mereka berada di dalam kereta.
Enjin dihidupkan tapi kereta tak berganjak dari tempat parkir. Dia bertanya seperti tak tahu jawapan Suriya. Suriya kekal membisukan diri. Along ni, tanya macam tak tahu pulak. Dengus Suriya di dalam hati.
“Sampai bila Su nak macam ni? Mama tak pernah salah.”
“Habis, siapa yang salah? Su?” Laju mulut Suriya membalas. Kalau ikut hati, dia nak bertempik ketika itu.
Rozairul hela nafas perlahan. “Mama berniat baik. Mama nak kita kenal ibu kandung kita.”
“Lepas apa yang dia dah buat kat kita dulu? No! Su tak boleh terima dia!” Suriya tekup kedua-dua belah telinga dengan tangan. Dia tak nak dengar!
Rozairul mengeluh sambil menggelengkan kepala. Tanpa menunggu lama, Rozairul masukkan gear dan mula berlalu dari petak parkir itu. Berlama di situ pun bukan dia dapat apa. Suriya tetap keraskan hati

PUAN Jamilah merenung lama telefon yang telah bisu itu. Dia sudah buntu. Tak tahu cara bagaimana lagi yang boleh diguna pakai untuk memujuk dua anak angkatnya itu. Si abang tak ada masalah sangat. Tapi si adik yang tak makan pujuk. Sudah berkali-kali dia pujuk. Namun, semuanya tak jalan. Kerana peristiwa lama, Suriya tak bertegur sapa dengannya.
“Amboi, ralitnya tenung telefon tu. Awak baru sudah bergayut dengan pakwe mana?” Sergahan satu suara dari belakang mengejutkan Puan Jamilah. Sampai terhinjut bahunya.
“Abang ni. Tak boleh ke tegur elok-elok? Terperanjat saya.”
“Saya tengok awak asyik sangat tenung telefon tu, sebab tu saya tegur. Awak ingatkan siapa? Awak telefon siapa tadi?” Encik Razak kembali mengulang soalannya. Dia labuhkan punggung di atas sofa berhadapan dengan TV. Melepaskan lelah seketika di situ. Kipas yang sedang berputar di atas kepala bagai tak terasa apa.
“Saya telefon Wan tadi. Bagi tahu dia pasal majlis anak kak long tu,” Puan Jamilah labuhkan punggung di sebelah suaminya. Dia mengeluh di akhir ayatnya.
“Dia nak balik?”
Puan Jamilah menggelengkan kepala penuh kehampaan. “Wan cakap nak tengok jadual dia dulu. Takut masa tu dia kena terbang,” suara Puan Jamilah lemah sekali.
“Tak apalah. Biar marah Su reda dulu. Dia masih marah kat kita tu,” Encik Razak cuba mententeramkan perasaan isterinya. Dia gosok perlahan belakang isterinya. “Dari awal lagi abang sudah pesan, awak janganlah berharap sangat. Kita tahu marah Su belum surut lagi,” ujar Encik Razak lagi.
“Tapi saya rindukan Su.” Luah Puan Jamilah. Air matanya hampir-hampir menitis di tubir mata.
“Abang tahu, abang pun rindukan dia. Tapi, apa boleh buat. Kita kena banyakkan sabar, banyak berdoa.” Pujuk Encik Razak. Melihat muka isterinya yang mendung, pantas dia bersuara. “Hei, kenapa menangis pulak ni? Dah-dah, tak payah nak fikir sangat. Insya-Allah satu hari nanti dia akan terima semuanya dengan baik.” Encik Jamilah memeluk bahu isterinya.
Puan Jamilah kesat air mata yang mengalir membasahi pipi. Tiap kali berasa sedih dengan Suriya, hanya kata-kata itu yang dapat Encik Razak hidangkan kepada isterinya supaya tidak terus berasa sedih.
“Ma, kenapa ni?” Rabiatul, anak bongsu Puan Jamilah yang baru balik dari kerja tiba-tiba menegur mamanya.
“Tak ada apa-apalah. Mama aje yang tetiba sedih.” Jawab Encik Jamilah bagi pihak isterinya.
“Ke papa ada usik mama ni?” Serkap Rabiatul.
“Eh, apa papa pulak. Adik ni suka-suka aje tuduh papa. Dahlah, papa nak mandi,” Encik Razak bangun dan berlalu ke biliknya.

SURIYA kelam-kabut sekali. Mana lagi nak siapkan sarapan, nak tunggu Pak Mail lagi. Walaupun biasanya Rozairul yang akan hantar dia ke tempat kerja jika ada di darat. Tapi hari ni dia tak nak susahkan alongnya. Biarlah dia berdikari sendiri. Yang paling penting dia terlewat bangun hari ni! Adoi!
“Along, Su dah siap buatkan air Nescafe untuk along. Sarapan hari ni Su sempat buat roti bakar aje, kalau rajin along cari makanan kat kedailah ye.” Pesan Suriya sebaik ternampak kelibat Rozairul menuruni tangga. Dia menggelengkan kepala melihat telatah adiknya yang sangat kelam-kabut pagi itu.
Suriya mendapatkan beg tangan dan beg kerjanya. Serentak dengan itu bunyi hon kereta kedengaran dari luar rumah. Pak Mail dah sampai, ujar hatinya. Segera dia salam dan cium tangan Rozairul sebelum keluar ke pintu pagar. Tapi, langkah kakinya semakin perlahan apabila melihat bukan sebuah teksi milik Pak Mail yang menunggunya pagi itu. Sebuah kereta Mini Cooper S tersadai elok di depan pintu pagar.
Siapa pulak ni? Suriya sudah berkira-kira mahu masuk kembali ke dalam rumah. Mahu meminta pertolongan Rozairul menghantarnya ke tempat kerja. Namun, langkah kakinya mati apabila hon kereta itu berbunyi sekali lagi. Cermin di bahagian penumpang diturunkan sedikit.
“Anggerik,”
Suriya kembali menoleh memandang kereta warna biru itu. Suara itu! Dia kenal suara itu. Dan panggilan nama itu. Anggerik! Tiada orang lain lagi.
“Masuk.” Arah lelaki itu. Suriya teragak-agak. Tak tahu sama ada dia patut masuk atau tidak. Kepala kembali tertoleh ke arah pintu rumah yang sudah tertutup rapat. Nak naik dengan bos sendiri atau minta tolong dengan Rozairul? Kalau Rozairul tahu ni, pasti kena ceramah panjang! “Tunggu apa lagi tu? Cepatlah!” Gesaan Iddin mematikan lamunan Suriya.
Dalam kata terpaksa, Suriya ikut juga arahan bos besarnya ini. Dan kereta buatan Britain itu terus meluncur laju di atas jalan raya.
Tanpa Suriya sedari, Rozairul asyik sekali memerhatikan gelagat Suriya dan pemilik kereta biru itu. Hatinya sebagai abang terbakar. Adik yang selama ini dikawal rapi, dijaga batas pergaulan sudah berani keluar dengan lelaki hari ni. Sejak diberi kebebasan bekerja, Suriya semakin panjang kaki. Adik, along kawal adik bersebab. Along tak nak adik jadi macam ibu. Adik tak ingat ke peristiwa lama? Hati Rozairul berkata-kata.

DI DALAM kereta comel itu, mereka mengambil langkah berdiam diri. Iddin dengan tumpuan ke atas jalan raya, Suriya dengan berpeluk tubuhnya. Dia nak tunjuk tanda tak puas hati dan mahukan penjelasan tapi Iddin sikit pun tak layan. Bukan mereka tak ada modal untuk berborak, tapi Suriya sibuk menunjukkan tanda protes. Dalam kepala Suriya penuh dengan persoalan yang memerlukan jawapan.
“Ehem,” mamat sebelah Suriya tiba-tiba berdehem. Suriya buat-buat tak dengar. “Awak ni kenapa?” Iddin jeling Suriya. Dia berdehem, tak ada yang nak layan!
“Kenapa apa?” Laju mulut kecil itu menjawab!
“Senyap aje,”
Eh, memang selama ni aku tak mesra dengan dia. Dia yang dingin macam ais tu boleh pulak tanya aku kenapa senyap? Dia yang mulakan dulu, apa kes pulak tanya aku macam tu? Huh!
“Dia bukan pernah bercakap mesra-mesra dengan aku pun.” Bisik Suriya perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.
“Apa awak cakap?”
“Saya cakap apa pulak, mana ada saya cakap apa-apa.” Dalih Suriya. Alamak! Macam mana dia dengar pulak ni? Mati aku!
Hurm…” Iddin curious. Aku belum pekak lagi okey, aku dengar setiap patah kata dia tadi. Hatinya berkata.
“Alamak!” Suara Suriya yang mendadak mengejutkan Iddin.
“Kenapa?” Iddin toleh pandang Suriya.
“Jalan dah jam!” Keluh Suriya sambil pandang jam di tangan. Dah lewat ni!
“Biasalah waktu-waktu macam ni,” selamba Iddin membalas.
Dia memanglah tak apa masuk pejabat lewat. Tak masuk pun tak apa. Tapi aku ni kuli aje. Adoi! Mata Suriya sudah melilau memandang ke kiri dan kanan jalan raya.
“Awak ni kenapa? Gelisah semacam,” Iddin pandang Suriya tak ubah seperti kera kena belacan.
“Sampai bila nak terperangkap dalam traffic jammed ni? Saya dah lewat.” Buat-buat tanya pulak!
“Kalau awak lewat, saya pun lewat jugak. Kita sama-sama ada dalam kereta ni. Tak payah risaulah. I’m your boss. Remember that.” Selamba lagi Iddin menjawab.
Aduh! Macam manalah aku boleh lupa. Kerana kelam-kabut, Suriya terlupa dengan siapa dia berada ketika itu. Spontan dia tepuk dahi. Macam manalah aku boleh lupa siapa orang sebelah ni.
Sejam lebih mereka terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Pemandangan biasa di ibu kota besar. Shah Alam kan ibu negeri Selangor. Sejurus kereta Iddin berhenti di petak parkir bawah tanah, Suriya pantas mahu meloloskan diri dari perut kereta.
“Eh, sabarlah.” Iddin berlari anak mengejar langkah Suriya.
Dia cuba paut lengan Suriya tapi sempat ditepis wanita itu. Kali kedua dia buat begitu selepas kes diajak jumpa client tempoh hari. Mencerlung mata Suriya pandang Iddin. Ah, tak kiralah kau bos aku ke rakan sekerja ke, ada aku kisah. Jangan suka-suka nak ambik kesempatan! Dengus Suriya di dalam hati.
“Err… kita jalan sekalilah. Nanti kalau orang tanya, awak cakaplah awak pergi jumpa client dengan saya,” Iddin mengajar Suriya menipu.
“Encik ajar saya berbohong?” Langkah kaki Suriya terhenti mendadak.
“Bukanlah macam tu. Tipu sunat aje. Ataupun awak nak berterus-terang tentang perkara sebenar apabila orang tanya? Boleh, dipersilakan. Tapi… awak kena terima sebabnya nanti. Dan jangan marahkan saya jika tersebar kencang gosip kita bercinta.” Iddin selamba memberikan peringatan. Dia kembali dingin seperti sebelum-sebelum ni. Menonong dia berjalan mendahului Suriya.
Dia ni memang suka buat aku sakit hati! Suriya terasa nak hempuk aje kepala mamat ni. Kalau tak kerana pangkat yang lebih tinggi, memang dah lama beg tangannya sampai ke kepala Iddin! Sedar atau tak. Cara Iddin ni memaksa Suriya ikut cakapnya. Memaksa dalam diam. Huh!
Melangkah masuk ke dalam ruang pejabat, berpasang-pasang mata asyik memandang ke arah mereka. Apa main pandang-pandang ni? Tak pernah tengok orang ke? Suriya tak sukakan cara semua rakan sekerja pandang dia. Macamlah dia ada buat salah besar. Dia kegelisahan.
“Ehem… Dari mana ni Su, Encik Iddin?” Berani sungguh Kak Ani bertanya. Suriya bulatkan mata ke arah Noraini. Ni soalan perangkap ni! Pandai betul Noraini buat muka bodoh. Grr… geramnya hati!
“Erm… saya dengan Suriya pergi jumpa client pagi tadi.” Iddin menjawab sambil pandang wajah Suriya. Suriya pulak dah tak tahu nak letak kat mana muka tu. Dia pandang aku buat apa!
“Saya masuk bilik dulu kak,” ujar Iddin dan berlalu ke biliknya. Manakala Suriya cepat-cepat menapak ke mejanya. Malas dia nak main mata dengan Noraini. Bukan dia tak tahu. Ada makna pandangan mata Noraini tu.
Noraini angkat dua batang jari dan tunjuk kepada Suriya. Penuh makna! Suriya pulak tayang muka pelik. Apa entah Kak Ani ni!

Rabu, 13 Mac 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 9


“ADIK, nak masak apa untuk makan malam?” Rozairul bertanya sambil tangan kiri menggosok mata. Sah baru bangun tidur!
Suriya panggung kepala. Matanya memandang si abang yang tampak selekeh sekali.
“Kan tadi adik dah cakap, barang kat dapur dah habis. Nak masak apanya along oi.”
“Okey, kita keluarlah nanti, cari barang dapur. Selepas tu kita makan kat luar terus,” putus Rozairul.
Orait, set!” Girang Suriya menyambut. Siapa tak suka, tak payahlah dia masak hari ni. Dari pagi sibuk mengadap kerja aje. Ni baru siap sikit. Banyak lagi yang tak siap. Kadang rasa macam nak nangis sorang-sorang. Huhuhu…
“Eh, pagi tadi abang ada jumpa sorang mamat kat masjid,” Rozairul kembali berkata-kata. Eh, tadi along bukan dah nak masuk bilik dia ke? Suriya garu kepala yang gatal tiba-tiba.
“Eh, chop, chop! Bukan along dah cakap ke perkara ni pagi tadi?” Apa motif along sebenarnya? Pasal perkara ni dia dah cakap pagi tadi, kenapa ulang balik petang ni? Suriya tertanya-tanya sendiri. Rozairul yang tadinya berhajat mahu kembali ke bilik sendiri telah menapak masuk ke dalam bilik Suriya. Pintu bilik dia biarkan ternganga luas-luas. Dia duduk di atas katil Suriya.
“Eh, along dah cakap ke? Along bukan apa, along nampak dia alim aje tapi anak orang berada. Kan best kalau dia jadi ahli keluarga kita,” Suriya pantas pusing kepala pandang Rozairul.
“Jadi ahli keluarga kita? Maksud along?” Suriya mencerunkan matanya memandang Rozairul. Terasa sangat ngeri pula. Dia bukan bodoh sampai tak faham maksud kiasan alongnya ini.
“Hmm… you know what I mean, right?” Rozairul balas pandangan adiknya sambil jongket kedua-dua belah kening.
“Huh!”
What?”
I don’t want to married yet!” Berangin nada Suriya.
“La… Siapa suruh kahwin? Along tak cakap pun macam tu,”
“Tapi niat along tu ke arah situ kan?” Suriya tekankan suaranya. Entah apa yang terancang di dalam kepala yang sangat bergeliga milik alongnya, dia sendiri tak tahu.
“Mana ada, along cakap kan best kalau dia jadi ahli keluarga kita. Tak ada niat apa-apa pun,” dengan muka tak bersalah Rozairul membela diri sendiri. Dia bangun, mahu kembali ke biliknya.
“Tapi…”
“Dah la. Along nak mandi,” pintas Rozairul laju. Malas dah dia nak dengar adiknya membebel sedangkan dia sendiri yang mulakan topik ini.
Suriya pandang belakang Rozairul dengan rasa tak puas hati. Dia berperasangka alongnya punya muslihat tersembunyi di sebalik ceritanya tentang seorang lelaki yang langsung Suriya tak kenal. Huh! Curious!

IDDIN menyanyi kecil sambil menyembur air ke arah kereta Mitsubishi ASX miliknya. Untuk kegunaan harian, dia memandu kereta itu. Tapi jika untuk tujuan bersiar-siar, dia akan bawa kereta Porcshe 911 Carera 4S yang tersadai elok di dalam garaj. Ataupun dia akan guna Mini Cooper S. Kalau terasa bosan, dia akan pandu Audi R8. Sekali-sekala nak juga dia bertukar angin. Dalam banyak-banyak kereta, hanya BMW 740i yang dia takkan usik. Itu adalah kereta rasmi kegunaan Tuan Ikmal.
“Amboi, sukanya dalam hati. Siap menyanyi lagi,” Mak Yam menegur. Beberapa minit juga dia berdiri tegak di depan pintu utama, memerhatikan gelagat tuan muda ini mencuci kereta.
“La… Mak Yam rupanya. Hati tengah gembira, takkan nak menangis pula,” Iddin kenyit mata ke arah Mak Yam.
Mak Yam senang sekali melihat telatah pemilik nama penuh Iddin Amsyar ini gembira. Dia memang perasan yang sejak akhir-akhir ini, kegembiraan semakin terpancar di mata Iddin. Balik dari kerja, asyik menyanyi-nyanyi saja. Dulu, sangat susah mahu melihat anak muda ini menyanyi. Jangan kata menyanyi, nak senyum pun susah. Sebab itu Mak Yam musykil. Perubahan Iddin seperti didorong oleh seseorang. Siapa orang itu tidak pula dia tahu. Mak Yam merapati Iddin.
“Kamu nak sarapan di luar ini atau di dalam?” Mak Yam menyoal. Di luar tu maksudnya di meja kecil di taman bunga hasil air tangan Mak Yam sendiri. Jika tiada dia, memang tak akan wujud taman bunga itu.
“Kat dalam ajelah, Mak Yam. Saya nak mandi dulu lepas ni,”
“Okey.” Mak Yam sibuk memerhatikan Iddin yang ligat membasuh keretanya. Dan mulut itu masih lagi menyanyi-nyanyi. “Din, kalau Mak Yam tanya sikit boleh tak?”
“Hmm… apa dia Mak Yam?” Mulut bertanya tapi tangan masih ligat pada kereta.
“Sejak akhir-akhir ni, Mak Yam nampak Din happy sangat. Gembira, menyanyi-nyanyi. Apa yang buat Din rasa happy sangat tu? Tak nak kongsi dengan Mak Yam ke?” Mak Yam meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya.
“Kenapa? Tak boleh ke?” Iddin jongket kening sambil pandang Mak Yam. Dia saja-saja nak mengusik sebenarnya.
“Err… Mak Yam tanya saja. Tak apalah kalau Din tak nak jawab,” serba-salah pula Mak Yam rasa. Manalah tahu kalau-kalau pertanyaannya mengundang rasa tak selesa anak majikannya ini.
“Laa… Mak Yam ni. Saya tak cakap pun tak nak jawab. Baru aje tanya, Mak Yam dah menggelabah.” Iddin ketawa perlahan. Sambil itu mata Iddin meliar memandang sekeliling halaman rumah. Manalah tahu kalau-kalau ada mata yang memerhatikan tingkah mereka berdua.
“Hmm… Manalah tahu kalau kamu tak suka Mak Yam tanya macam tu,” lembut wanita pertengahan lima puluhan itu membalas.
Iddin sudah anggap Mak Yam macam emaknya sendiri. Sejak uminya menyahut panggilan Ilahi, Mak Yamlah yang membesarkan dia. Banyak jasa wanita itu dalam hidupnya. Dia punya seorang lelaki bergelar ayah yang dipanggil abi tapi dia langsung tak pernah merasai nikmat kasih sayang seorang ayah. Mereka tinggal serumah tapi sebenarnya mereka jauh. Tersangat jauh.
“Mak Yam nak dengar satu cerita tak?”
“Cerita? Cerita apa?”
“Pasal sorang perempuan ni. Nama dia unik sangat. Mak Yam nak tahu apa nama dia?” Mak Yam yang sedang fokus mahu dengar cerita Iddin pantas menganggukkan kepala. “Nama dia Anggerik. Masa mula-mula Din dengar nama dia pun Din dah rasa nak gelak. Mana lagi ada orang guna nama-nama macam tu. Klasik sangat!” sambung Iddin. Dia ketawa lepas. Dia yang bercerita dan dia juga yang tergelak. Mak Yam hanya senyum.
“Siapa dia?” Penuh minat Mak Yam bertanya. Pertama kali selepas bertahun-tahun, bibir anak muda itu kembali basah dengan nama makhluk bergelar perempuan.
“Dia pekerja baru kat pejabat Din tapi kan Mak Yam, di mata Din, dia comel sangat. Kalau suruh buat kerja sikit pasti muka dia tercengang. Ha… dua hari lepas, Din paksa dia ikut Din pergi jumpa client. Bad cuti hari tu, jadi Din paksa dia ikut Din dengan alasan jadi peneman Din aje. Sedangkan Din tahu, itu semua bukan bidang kerja dia.” Iddin berjeda seketika. Tangan yang tadi laju mengelap kereta juga turut terhenti. Kain pengelap di tangan dia lipat membentuk lipatan yang lebih kecil. Dia pandang Mak Yam yang setia mahu mendengar ceritanya. Dia senyum.
“Lepas tu apa jadi?”
“Mulanya memang dia protes. Dia berani cakap yang dia tak kata pun nak ikut sebab Din yang paksa dia. Bila Din ugut nak buat kecoh kat pejabat barulah dia ikut. Masuk aje dalam kereta, mulut dia dah tayang muncung pandang. Din memang tak tegur apa-apalah sebab nanti kalau Din tegur takut jadi lagu lain pulak.” Riak muka Iddin sangat-sangat menggambarkan perasaan tika itu. “Mak Yam, muka dia comel sangat walaupun sedang marah.” Bersinar mata Iddin tatkala memuji perempuan yang masih Mak Yam tak tahu asal usulnya lagi.
“Itu yang buat Din gembira sangat tu?”
Laju Iddin menganggukkan kepala.
“Din sudah jatuh cinta?” Tiba-tiba terpacul soalan itu dari bibir Mak Yam.
Cinta? Sudah bertahun perkataan yang terdiri dari lima perkataan itu tidak muncul di dalam hidupnya. Sejak dia habis belajar di universiti dulu. Iddin angkat bahu. Sungguh! Dia memang tak tahu.
“Mak Yam kan tahu Din ni macam mana, dengan kenangan dulu tu. Ikut hati Din dah tak nak pandang perempuan lagi tapi…” Iddin berjeda. Hilang senyuman yang tadinya mekar menguntum di bibirnya.
“Din, Mak Yam faham perasaan Din. Mak Yam kenal Din sejak Din baby lagi. Mak Yam tahu kenangan lama itu. Dan Mak Yam tahu, Din tak nak ulang lagi kenangan itu. Tapi, siapa kita nak menidakkan fitrah Allah? Setiap yang bernyawa di bumi Allah ini inginkan pasangan. Kerana Allah mencipta kita saling berpasangan. Jangan hanya kerana peristiwa dulu, Din tutup pintu hati untuk seorang insan yang tak pernah tahu apa-apa tentang kenangan silam Din.” Mak Yam usap bahu Iddin bagai seorang ibu sedang memujuk anak kecil yang sedang menangis.
“Din, berilah peluang untuk diri Din sendiri kenal dan nikmati rasa bahagia. Jangan terus-terusan seksa diri begini.” Ujar Mak Yam lagi.
“Tapi, patut ke Din bagi tahu dia pasal kenangan dulu?”
“Din, pertama sekali Din kena faham perasaan Din tu. Din tanya hati Din. Betul ke Din cintakan dia? Sungguh ke perasaan tu. Ataupun hanya sekadar rasa suka-suka sahaja. Din tanya Mak Yam, tapi Mak Yam tak boleh bagi apa-apa jawapan. Bukan Mak Yam yang rasa semua perasaan tu. Din yang rasa.” Ujar Mak Yam. “Selepas Din dah faham hati Din, Din tahu apa yang hati Din inginkan barulah Din mulakan satu demi satu langkah. Ingat, jangan gelojoh. Kaum Hawa tak suka seorang lelaki yang gelojoh dan pengongkong. Mereka nak juga rasa bebas.” Sambung Mak Yam.
Iddin diam. Otaknya sedang mencerna setiap bait kata pembantu rumah yang sudah dianggap lebih daripada saudara sendiri. Yang berlegar di dalam kepalanya adalah perkataan CINTA. Mak Yam menyuruh dia tanya hatinya. Dia… Dia tak tahu.
“Fikirlah ya. Nanti masuk sarapan kat dalam ye,” Mak Yam tepuk bahu Iddin perlahan sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Iddin hanya memandang langkah Mak Yam. Kepalanya masih ligat berputar, memikirkan setiap nasihat Mak Yam.

SURIYA mengikut langkah Rozairul melewati satu demi satu kedai makan. Entah kedai yang mana mereka nak berhenti makan pun dia tak tahu.
“Along, nak makan kat mana ni?” Akhirnya Suriya menyoal.
Perut lapar, kaki lenguh. Aduh! KFC dah lepas. Pizza Hut pun dah terlepas ke belakang. Perut Suriya berkeriuk sekali lagi. Pantas tangannya menekup perut.
“Entah.”
“Along! Adik dah lapar ni. Tolonglah!” Suara Suriya meninggi. Melawan sama bunyi bingit lagu yang dipasang oleh pihak pusat membeli-belah. Entah lagu apa entah. Makin berserabut kepala aku yang tukang dengar ni. Desis hati Suriya.
“Hmm… Along tak tahu nak makan apa,” selamba Rozairul menjawab. Langsung tak hiraukan perut Suriya yang dah bergendang semacam ni.
“Ah!” Berangin Suriya mendengar jawapan Rozairul. Nampak saja papan tanda Marrybrown, pantas dia tarik tangan Rozairul. Ah, tak kiralah along nak cakap apa pun. Yang penting perut aku tersangatlah lapar sekarang ni.
“Along duduk! Jangan suka-suka hati nak pergi mana-mana.” Suriya mengeluarkan arahan kepada abangnya. Suriya beratur di kaunter.
Telefon pintar jenama iPhone 4S yang bergetar di dalam poket seluar dia bawa keluar. MAMA. Itu sebaris nama yang terpampang diskrin telefon. Lantas dia layangkan ibu jari ke atas skrin telefon pintar itu.
“Assalamualaikum, ma.” Sapa Rozairul memulakan bicara.
“Wa’alaikumussalam Wan. Kamu kat mana ni? Kenapa bising aje mama dengar ni?” Suara di hujung talian milik Puan Jamilah pantas menyoal.
 “Oh, ni. Wan ada kat shopping complex ni. Adik ajak makan.”
“Mama apa khabar? Papa mana?”
“Mama dan papa sihat walafiat. Papa ada kat laman tu. Entah apa yang dikerjakan pun mama tak tahu. Kamu sihat?”
“Sihat, alhamdulillah.”
“Adik mana Wan?”
“Adik tengah beratur kat kaunter, ma.” Balas Rozairul sambil pandang belakang adiknya yang sedang beratur.
“Hmm… Wan, bila nak balik sini?” Soalan Puan Jamilah buat Rozairul bisu sekejap.
Bukan Wan tak nak balik, ma. Tapi adik… Bisik hati kecil Rozairul. Hati kecilnya memang rindukan kampung halaman yang satu itu. Banyak kenangan zaman kecil di sana. Ada pahit, manis, masam, masin dan payau. Semuanya bergabung menjadi satu. Mencipta dia pada hari ini.
“Wan,” apabila hujung talian senyap tak berbunyi, lantas Puan Jamilah memanggil nama anak bujangnya.
“Ya, ma.” Gugup Rozairul membalas. Habis terbang segala yang dia angankan tadi.
“Bila Wan dan Su nak balik sini?” Puan Jamilah ulang kembali soalannya yang belum dijawab oleh Rozairul.
“Wan kena tanya adik dulu. Oh ya, adik dah dapat kerja, ma.” Beritahu Rozairul. Hampir-hampir dia terlupa nak maklumkan perkara baik tersebut.
Ye ke? Kat mana?”
“Di Shah Alam. Adik baru lagi mula kerja.”
“Wan, dua minggu lagi kak long nak buat majlis cukur jambul untuk anak ketiganya. Mama harap Wan dan Su dapat balik,” beritahu Puan Jamilah.
“Hari apa, ma?”
“Jumaat,”
“Oh.” Kepala Rozairul ligat berfikir tentang jadual kerjanya. Dia ingat-ingat lupa pasal jadual tu. Entah dia bertugas atau tidak waktu tu. “Ma, Wan confirm balik dengan mama lepas ni. Wan lupa nak tengok jadual bertugas. Manalah tahu kalau-kalau masa tu Wan kerja.”
“Tak apa. Kalau Su balik sorang pun tak apa. Mama cuma nak anak mama ada sama,” sayu suara Puan Jamilah.
“Insya-Allah, nanti Wan bagi tahu adik. Kalau tak terikat dengan jadual, Wan pun nak turut serta.” Rozairul menyatakan kesungguhannya.
“Hmm… nanti kirim salam sayang mama kat Su ya, assalamualaikum.”
“Insya-Allah, wa’alaikumussalam.”
Rozairul tenung skrin telefon yang sudah gelap. Perasaan serba-salah semakin membanjiri hati. Kesian mama.
“Ha… bergayut dengan siapa tadi?” Suriya yang tiba-tiba muncul terus menyergah Rozairul. Tersentak si abang.
“Mama.” Tangan Suriya berhenti menghulurkan piring berisi set burger kepada Rozairul. Sempat Rozairul sambut piring itu sebelum jatuh ke lantai.
“Mama kirim salam kat adik,” ujar Rozairul lagi. Dan Suriya kaku tak berganjak. 

Isnin, 4 Mac 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 8



MASUK saja ke dalam ruang pejabat, Noraini terus menerpa ke arah Suriya.  Senyuman semanis gula dia hadiahkan untuk Suriya. Dahi Suriya berkerut melihat cik kak sorang ni. Melihat cara Noraini senyum, Suriya dah boleh baca. Senyum ada makna tu.
“Adik manis, adik manis pergi mana? Kelam-kabut mengalahkan menteri.” Noraini mula memainkan peranan. Menyoal itu, ini.
Suriya senyum dengan soalan Noraini. Dia duduk di kerusinya sambil memasukkan beg tangan ke dalam laci. Butang on pada PC dia tekan kembali, menyambung kerjanya yang tergendala sejak empat jam yang lepas.
“Su, akak tanya Su ni.” Berangin pula Noraini apabila Suriya tak mengendahkan soalannya.
“Bos akak paksa saya jumpa client, puas hati?” Tanpa nada Suriya memberitahu.
“Dia ajak jumpa client? Tapi kenapa dia ajak Su?” Dahi Noraini berkerut tanda sedang memikirkan persoalan itu. Cara fikir tu macamlah sedang fikir masalah dunia!
“Oh akak sayang. Tolong jangan tanya saya soalan tu. Saya tak ada jawapan untuk soalan akak tu.” Mata Suriya tekun memandang skrin PC.
“Tapi kan, Su ni pekerja perempuan pertama yang dia bawa jumpa client tau. Selalunya Bad la yang teman dia walau ke mana aja dia pergi.” Noraini berjeda seketika. “Ke Su dengan bos ada apa-apa?” Noraini menyerkap jarang. Keningnya tergerak-gerak tanda mahukan jawapan.
“Ada apa-apa pulak akak ni?” Suriya tak senang dengan tekaan Noraini. Kak Ani suka betul kenenkan dia dengan bos besar tu. Bisik hati kecilnya.
“Apa-apalah. Ala yang ehem-ehem tu,” Noraini sengih.
“Ehem-ehem apa akak ni? Akak jangan cuba buat gosip liar. Dosa tau!”
“Eh, akak bukan saja-saja buat gosip tau. Ada orang nampak Su naik kereta Encik Iddin tengah hari tadi. Kalau tak sungguh, orang tak mengata tau. Eleh, mulut cakap lain. Dalam hati orang lain tak tahu. Mesti tengah ada taman dalam hati tu.” Noraini sengih lagi. Tak lenguh ke cik kak oi!
Erk! Ada orang nampak ke? Jari-jemari yang tadinya ligat mengetuk papan kekunci komputer terhenti mendadak. Pantas dia pandang Noraini. Mata mereka tepat beradu.
“Sungguh kak? Siapa yang nampak?” Menggelabah sekali Suriya menyoal Noaini.
“Ada la…” Noraini nak main teka-teki pula. Dia berlalu dari meja Suriya ke mejanya.
“Akak, cepatlah!” Suriya berdiri spontan. Suaranya sedikit menjerit. Sampaikan Maria yang sedang berbincang dengan Yusof turut sama tercengang dan pandang Suriya pelik. Suriya tekup mulut. Tak sangka pulak masih ada orang kat pejabat ni. “Sorry,” ucap Suriya tulus, menyedari kesilapan diri.
“Akak sambung minggu depan ya, bye-bye.” Selamba bibir Noraini berkata. “Oh, sebelum terlupa. Su hutang dengan akak satu cerita. Aku tuntut minggu depan tau!” Noraini memberikan peringatan. Sempat dia ketawa kecil dengan tingkah Suriya tadi. Noraini melenggang berlalu ke arah lif dengan beg tangan tersangkut di bahu. Siap lambai tangan lagi.
Kak Ani dah nak balik ke? Suriya pandang jam di skrin komputer. Patutlah Kak Ani dah balik, dah hampir pukul 6.00 petang rupanya. Bisik hati kecilnya. Suriya kembali henyak punggung di atas kerusinya. Mata kembali memandang PC. Aduh! Macam mana nak teruskan kerja kalau hati tak sudah-sudah tak tenang. Ni Kak Ani punya pasallah ni!

TEPAT pukul 5.00 pagi, tangan Iddin meraba-raba sisi sebelah kirinya. Dia mencari telefon bimbit yang memang diletakkan di bawah bantal. Mata dibukakan sedikit dan tangan ligat menutup penggera yang membingitkan telinganya. Samsung Galaxy Note II dibiarkan bisu di sebelah bantalnya.
Lima minit dia termenung di atas katil. Peristiwa semalam kembali terlayar di ruang matanya. Spontan senyum dilorekkan di bibir. Teringat kembali peristiwa dia memaksa gadis naïf bernama Suriya Anggerik. Dia tahu Suriya sepatutnya tak terlibat langsung dalam perbincangan itu. Tapi sengaja dia heret Suriya atas tiket sebagai peneman.
Masih terbayang di ruang mata riak mencuka wajah yang comel itu. Muka masam, mulut memuncung. Bagi dia, wajah itu sangat cantik dengan reaksi yang sebegitu. Masih teringat lagi dibenak Iddin. Kalau ikut hatinya, mahu dia melambakkan ketawa di situ juga. Namun dia sedar, jika dia ketawa, seperti sengaja menempah maut sendiri!
“Anggerik!” Dalam suara parau, bibirnya menyebut perlahan.
Tok… Tok… Tok…
Bersama dengan itu pintu biliknya diketuk dari luar. Itu mesti Mak Yam. Agak hatinya.
“Din, dah bangun ke belum? Hari ni kamu bertugas tak?” Suara Mak Yam menampan telinga.
“Dah bangun Mak Yam, macam biasa aje.” Balas Iddin.
Lantas dia bangun dari pembaringan. Telinganya menangkap derap tapak kaki Mak Yam yang semakin menjauh. Tuala di rak dia capai dan terus berlalu ke bilik air. Dia tak boleh berlama-lama. Kalau nak termenung lama-lama, dia kena cari hari dan waktu lain. Hujung minggu ni ada tugas yang menantinya di rumah Allah. Apa tugasnya? Rahsia!

SURIYA terjaga dari lenanya. Seperti ada yang memanggil namanya. Sebab itu dia terjaga. Dia toleh ke kiri dan ke kanan. Sekeliling masih gelap-gelita. Tapi siapa yang memanggilnya? Rozairul? Bukan rasanya. Rozairul ada di Perth sekarang ni. Baru petang semalam dia berbual-bual dengan alongnya. Suriya kebingungan.
Dia bergolek ke kiri. Telefon bimbit jenama Blackberry hadiah pemberian Rozairul, dia ambil dari atas meja sisi.
“Baru pukul 5.30 pagi. Awal lagi!” Dengus Suriya perlahan.
Kepala kembali disembamkan ke atas bantal. Malas weh! Dia ni jenis kalau dah bangun memang susah nak tidur balik. Matanya sudah terkebil-kebil di sebalik bantal. Sepuluh minit jugak dia berkelakuan begitu. Badan diterbalikkan. Mata mengadah siling. Ni la padahnya apabila terjaga. Lepas tu tak tahu nak buat apa. Boring!
Allahuakbar Allahuakbar…
Laungan azan subuh dari masjid berhampiran mengejutkan Suriya dari lamunan panjang. Dia menghayati setiap bait azan yang berkumandang. Terasa sangat nyaman dipendengarannya. Dia kaku di atas katil sambil menghayati alunan memanggil umat Islam mengerjakan suruhan kepadaNya. Sungguh suara itu sangat merdu hinggakan Suriya terpaku.
Suriya pantas membaca doa sejurus laungan ayat terakhir azan yang membawa maksud Tiada Tuhan Melainkan Allah. Dia merajinkan diri bangun dari pembaringan. Tak boleh malas-malas. Nanti syaitan lagi suka kalau anak Adam malas. Dia melangkah longlai masuk ke dalam bilik air selepas mencapai tuala.

“ASSALAMUALAIKUM,” sapaan salam dari belakang mematikan langkah Iddin. Dia berpusing. Seorang lelaki yang lengkap berbaju Melayu berdiri tegak di hadapannya kini. Wajah lelaki itu sama-samar di pandangan mata Iddin. Masih awal pagi, matahari pun tak muncul-muncul lagi. Lebih-lebih lagi sekarang ni cuaca tak menentu. Sering saja hujan walau bukan musim tengkujuh.
“Wa’alaikumussalam,” Iddin sambut huluran salam Rozairul.
“Lama tak nampak kau? Ops… sorry, aku ni lebih senang berkau aku aje. Tak selesa nak bersaya awak.” Lelaki di hadapan Iddin ramah berterus-terang.
Sudah lama sebenarnya Rozairul nampak lelaki itu setiap kali solat berjemaah di sini. Sebelum-sebelum ni dia memang tak sempat nak menegur. Sebabnya sejurus saja menunaikan solat, bayang lelaki itu pasti hilang begitu sahaja. Hari ini sempat pula dia kejar lelaki itu.
“Oh, tak apa. Aku Amsyar. Kebiasaannya aku sibuk kerja. Biasalah, kerja office hour. Masuk pagi baik malam. Cuma hari minggu macam ni saja boleh aku meriahkan masjid.” Ramah Iddin membalas.
“Aku Azwan. Oh, macam tu. Kau tinggal kat mana?” Mereka berbual sambil berjalan. Iddin merapati keretanya, Mitsubishi ASX.
“Aku tinggal dengan ayah aku kat taman Country Height tu.” Balas Iddin sambil menekan penggera kereta.
Anak orang ‘ada-ada’ juga dia ni. Desis hati Rozairul. Dari pada gaya, kereta yang dipakai dan cara pembawakan diri, Rozairul awal-awal sudah mengagak tentang hal ini. Tambah lagi apabila Iddin mengatakan tinggal di taman Country Height. Memang tak syak lagi. Hanya orang yang mempunyai pendapatan menjangkau lima angka sebulan sahaja yang mampu tinggal di sana.
“Kau pulak?” Iddin tiba-tiba menyoal.
“Taman Puncak Saujana,”
Taman Puncak Saujana? Kawasan perumahan Anggerik. Mereka berjiran ke? Hati pantas Iddin terdetik sendiri. Ah, ada banyak rumah kat sana. Nama taman aje yang sama pun.
“Err… Maaf aku bertanya. Kau ni memang selalu jadi muazzin kat masjid ni?” Rozairul menyoal kemudiannya.
“Taklah selalu. Cuma kalau ada kelapangan saja,”
“Senang pulak kau diterima bekerja kat sini,”
Iddin senyum segaris.
“Aku tak kerja kat masjid ni tapi aku lakukan semua tu kerana Allah. Bukan sebab bayaran. Aku tak minta bayaran dunia. Tapi aku cuma mahukan bayaran akhirat. Alhamdulillah, aku mahu kejar yang di sana,” jujur dan mendalam tutur kata Iddin. Sejujurnya itulah yang dia kejar.
“Oh, macam tu,” Rozairul berjeda seketika. Kunci dari dalam poket baju Melayu dia keluarkan. “Okeylah, aku gerak dulu. Senang-senang kita boleh jumpa lagi,” ujar Rozairul meminta diri. Usai bersalaman, dia melangkah ke arah Nissan Latio miliknya.
Iddin masuk ke dalam perut kereta. Dia sempat memandang kereta milik Azwan, lelaki yang baru dikenalinya berlalu pergi. Hon dibunyikan tanda meminta diri. Iddin anggukkan kepala sambil senyum. Kemudian giliran dia pula perlahan-lahan berlalu pergi dari perkarangan masjid.

SELESAI menunaikan solat subuh, Suriya turun ke tingkat bawah. Ruang tamu tempat pertama yang dia tuju. Kalau hari tak bekerja seperti hujung minggu begini, dia wajib membukakan tingkap supaya udara segar bebas masuk ke dalam rumah. Barulah terasa selesa. Cadangnya pagi ni dia nak sudahkan kerja yang amat-amat banyak itu. Hmm… Kalau ada Rozairul, boleh disuruh pergi beli sarapan kat warung hujung taman tu. Kat dapur tak ada barang basah untuk dimasak. Sekadar minuman tu ada lagi. Tapi Rozairul tak ada kat sini pula. Haih!
Ketika kakinya melewati sofa berangkai tiga, matanya terpandangkan susuk tubuh seseorang di situ. Teragak-agak dia merapati sofa tersebut. Manalah tahu jika penyangak yang tumpang tidur di situ. Eh, ada ke? Merepek betul aku ni! Apabila kaki semakin hampir dengan sofa barulah dia nampak dengan jelas wajah yang menghuni sofa. Dia tundukkan sedikit tubuh dan tangan kanan menyentuh bahu lelaki tersebut.
“Along, along.” Dua kali dia memanggil tapi panggilannya tak diendahkan. Tidur mati ke apa ni?
“Along,” dia cuba memanggil sekali lagi.
“Hmm…”
“Kenapa tidur kat sini?” Suriya menyoal.
Dia bangun dari duduknya dan berlalu ke arah tingkap. Tingkap dibuka dan langsir disisir ke tepi. Membiarkan udara bebas keluar masuk. Bukan semua tingkap yang dia buka. Hanya sebilangan saja. Dia berpaling kembali ke arah sofa.
“Along? La… sambung tidur balik.” Gumam Suriya.
Dia berlalu ke dapur. Tangan ligat mengisi air ke dalam cerek elektrik. Sementara menanti air masak, dia kembali ke ruang tamu. Penyapu dan penyodok di dalam stor sempat dia capai. Okey, misi mengemas rumah dahulu ye tuan-tuan, puan-puan. Sebelum dia diterima kerja dulu, semasa dia menyandang jawatan penganggur tetap, hati-hari dia bersihkan rumah ni. Tapi sekarang, jangan kata nak kemas rumah, nak tengok TV pun dia tak ada masa. Sibuk sangat dengan kerja.
“Along, along.”
“Ada apa?” Rozairul kalihkan badan ke kiri. Sikit lagi nak tergolek jatuh ke bawah.
“Nanti along pergi beli breakfast kat warung Cik Mas ya, adik tak masak. Dapur dah kosong,” ujar Suriya sambil membetulkan kedudukan karpet di depan almari TV.
“Hmm…”
Mendengar sahutan Rozairul, Suriya diam. Dia tekun dengan kerjanya. Selesai mengemas, dia ke dapur. Masa untuk membancuh air pula. Siap sejag air Milo, Suriya tatang dulang berisi jag dan dua biji muk ke meja makan.
“Along, cepatlah bangun. Nanti habis pula makanan kat warung Cik Mas.” Suriya gerakkan kembali Rozairul.
“Hmm…” Malas Rozairul menyahut.
“Along!” Ton suara Suriya sudah naik kerana Rozairul yang macam sengaja buat bodoh. Geramnya!
“Yalah, yalah.” Rozairul bangkit malas. Sempat lagi tu dia termenung seketika di atas sofa.
“Pukul berapa sampai? Semalam cakap tak sempat balik,” Suriya pandang sisi Rozairul yang masih lengkap dengan sepersalinan baju Melayu itu. Cuma songkok kat kepala aje yang dah terbang. Ni mesti baru balik dari masjid. Rozairul memang selalu berjemaah di masjid kalau dia ada kat sini.
“Along silap tengok jadual,”
“Oh, macam tu.” Melihat alongnya seperti mahu melabuhkan kembali kepala di atas sofa, Suriya cepat-cepat bersuara. “Along! Hisy, macam mana nak ada isteri kalau macam nilah gayanya. Adik suruh sikit dah susah nak bangun…” Suriya sudah mahu memulakan sesi membebel di pagi hari.
Haip! Sudah! Jangan nak start membebel. Bingit telinga ni,” sebelum Suriya meneruskan sesi memberi ceramah secara percuma, adalah lebih baik dia cepat-cepat hentikan. Rozairul bingkas bangun dan menapak ke tangga.
“Orang baru cakap sikit.” Protes Suriya perlahan. Muncung itik sudah terbentuk di bibir itu.
“Dik,” Rozairul tiba-tiba memanggil. Kakinya berhenti melangkah di anak tangga. Suriya pandang alongnya. Kening turut terjongket sama.
“Tadi along jumpa seseorang kat masjid,”
“Siapa?”
“Entah. Dah lama along perhatikan dia ni. Dah beberapa kali along nampak dia jadi muazzin kat masjid tu tapi bukan selalu. Maksudnya macam cuti hujung minggu ke, along mesti nampak dia kat masjid. Lepas dah lama perhatikan dia, pagi tadi along sempat sapa dia. Muda lagi orangnya,” beria-ia Rozairul bercerita. Sedangkan part muda ke tua tu Suriya tak tanya pun.
So?”
“Along sempatlah berborak dengan dia sekejap. Along tanya dia, dia memang jadi muazzin kat situ ke? Along nak kepastian aje sebab jarang-jarang nampak dia. Su tau tak dia jawab apa?” Bersinar mata itu bercerita.
“Apa dia?” Along ni pun satu. Kalau nak cerita tu, cerita ajelah sampai habis. Tak payahlah nak tanya-tanya. Macamlah adik dia ni rajin sangat nak fikir.
“Dia jawab, aku tak kerja kat masjid ni tapi aku lakukan semua tu kerana Allah. Bukan sebab bayaran. Aku tak minta bayaran dunia. Tapi aku cuma mahukan bayaran akhirat. Alhamdulillah, aku mahu kejar yang di sana. Wow! Meremang bulu roma along bila dengar dia cakap macam tu. Dari cara dia along dah dapat agak, dia ni mesti anak orang kaya.” Rozairul ulang kembali jawapan yang dikatakan oleh Iddin.
“Kalau dia anak orang kaya pun, apa kaitan dengan kerja dia jadi muazzin tu?” Dahi Suriya berlapis. Dia tak dapat tangkap lagi maksud kata-kata alongnya.
“Dik, mana ada orang buat kerja untuk free dalam dunia ni? Cuba bagi tahu along. Yang jadi sukarelawan kat luar sana pun ada yang ditaja tau. Tambah lagi pakai kereta mewah. Apa lagi. Sah-sah dia anak orang berada.” Dengan yakinnya Rozairul mengeluarkan usulnya sendiri.
“Hmm… Apa-apalah along. Eh, cepatlah pergi beli sarapan. Banyak cerita pulak along ni,” Suriya mematikan niat Rozairul yang masih mahu bercerita lagi.
“Yalah, yalah.”