Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 4 November 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB14

TANPA aku sedar, hari berlalu berganti hari. Minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan. Cuma tahun aje tak bertambah lagi. Sudah empat bulan masa berlalu. Empat bulan penuh dengan pelbagai cerita dan sepanjang empat bulan itu aku amat-amat sibuk. Sibuk menyiapkan tempahan baju pengantin untuk bakal menantu Aunty Ida, Cellicia.
Aku sangat-sangat teliti dan cerewet saat menjahit baju itu. Jika tersilap sedikit, habislah rosak baju orang. Jika rosak, di mana aku nak cari kain serupa dengan kain itu? Di mana pulak aku nak cekau duit beribu-ribu hanya untuk membeli sepasang kain tersebut?
Akhirnya hasil kerjaku siap juga. Sekarang sedang tergantung di ruangan khas dalam butikku ini. Hatiku puas setiap kali terpandangkan baju tersebut. Puas mengenangkan hasil kerja kerasku selama empat bulan itu tidak sia-sia.
“Cik Sya, kami balik dulu, ya.” Lamunanku dicantas oleh suara Miza.
Pantas aku memusingkan tubuh menghadap mereka.
“Okey. Bawa motor tu hati-hati.”
Sempat aku menitipkan pesan kepada mereka. Sebaik Miza dan Saira melangkah keluar dari butik, aku terus mencapai beg tangan dan mengunci pintu butik. Waktu urusniaga sudah tamat.

KERETA aku parkir elok di dalam garaj. Sebaik alarm kereta berbunyi menandakan yang kereta telah dikunci, aku melangkah masuk ke dalam rumah. Aku memandang pelik ke arah ruang tamu. Kusyen sofa juga elok tersusun. Seperti di pagi raya pula aku rasa. Mataku memandang pula ke arah meja kopi yang berada di hadapan set sofa. Ada set cawan tembikar di atas meja itu. Aku jadi bertambah pelik.
Biasanya emakku hanya akan menggunakan set cawan tersebut jika menerima kehadiran tetamu istimewa. Tapi, siapa tetamu emak yang istimewa sangat tu? Hatiku tertanya-tanya.
Aku mengkah ke dapur. Mancari kelibat emak tetapi emak tiada pula di situ. Aku melangkah lagi hingga ke belakang rumah. Aku terpandangkan kelibat abah yang sedang ‘bermesra’ dengan ayam-ayam seramanya. Hobi yang amat abah gemari selepas memancing.
“Abah, ada orang datang ke tadi? Saudara kita ke?” tanpa sabar aku terus bertanya dengan abah.
“A’ah. Ada orang datang tadi. Bukan saudara kita, bakal saudara kita, Insya Allah.”
Aku pelik dengan jawapan abah. Bakal saudara? Siapa? Hatiku masih tertanya-tanya.
“Bakal saudara kita? Siapa, bah?” aku menyoal lagi.
“Kalau nak tahu, tunggu lepas makan malam nanti abah bagitahu.” Tenang abah manjawab.
“Alah abah ni. Orang nak tahu sekarang, ni kena tunggu pulak.” Aku mengomel sendirian sebelum berlalu masuk ke dalam rumah.
Hubungan aku dan abah sangat akrab. Sebab itu abah hadiahkan kereta Perodua Kenarinya itu kepadaku. Aku boleh bercerita apa saja dengan abah. Tetapi tidak dengan emak. Aku akan berfikir berkali-kali jika hendak memberitahu apa-apa perkara kepada emak. Emak suka membebel. Perkara kecil akan diperbesarkan. Pernah juga aku terfikir, emak tak malu ke bercerita tentang keburukkan anak sendiri ke pada orang lain?
Sekali emak nampak kesilapanku, seribu kali dia akan mencanang kepada saudara-maranya. Sampaikan aku naik malu. Nampak sangat aku ni tak pandai buat apa-apa. Malas berfikir lagi, aku meneruskan langkah mendaki tangga ke bilikku.

AKU menuruni tangga setelah siap mandi dan menunaikan solat. Baju kelawar sudah tersarung elok di tubuhku. Kepala pulak dah berbungkus dengan tuala kerana rambutku masih basah lagi. Mataku memandang ke arah ruang tamu. Televisyen sedang terpasang tapi aku tak nampak lagi kelibat orang.
“Lebih baik tutup. Siapa punya kerja ni? Membazir aje tau.” Aku mengomel sendirian sambil tangan mencapai alat kawalan jauh TV. Tetapi belum pun sempat tanganku mencapai alat kawalan jauh, ada suara menegur.
“Eh, nak buat apa tu? Orang nak tengok TV ni.”
Aku mengangkat kepala. Adik bongsuku, Muhaizad yang menegurku tadi. Dia sedang duduk di sofa yang paling hujung. Patutlah aku tak perasankan dia tadi. Di tangannya menggenggam telefon bimbit. Aku baru perasankan satu sikap baru Muhaizad, suka mengusung telefon bimbitnya itu walau ke mana dia pergi. Ke tandas dia bawak jugak kut.
“La, akak ingat tak ada orang tengok. Akak nak tutuplah. Eh, kau yang tengok TV ke TV yang tengok kau? Akak tengok dari tadi mata kau kat skrin handphone aje. Sikit pun tak tengok TV. Akak tutuplah macam ni, membazir aje.” Aku baru perasan yang matanya tidak pada TV tapi lebih terarah kepada telefon bimbitnya itu.
“Eh, janganlah. Okey, Jad tengok.” Balas Muhaizad sambil meletakkan telefon bimbit di atas meja kopi.
Jad adalah nama manjanya di rumah. Tapi emak aku masih lagi panggil dia Adik. Adiklah sangat! Aku kemudiannya berlalu ke dapur. Mahu menjenguk apa yang sedang emak lakukan. Nanti tak jenguk, lagi panjang dia membebel.
“Mak, dah nak hidang ke?” tegurku sepatah.
“Hmm..” hanya itu sahutan emak.
Aku tanpa menunggu lama terus mencedok lauk yang telah siap dimasak ke dalam bekas sebelum dibawa ke meja makan. Malam ni mak tak masak banyak lauk. Hanya asam pedas ikan gelama, sambal udaang bersama kacang, sedikit sambal tempoyak, ikan goreng dan timun batang yang di hiris sebagai ulam. Jangan pelik tau kalau ada asam pedas, ada sambal tempoyak. Asam pedas Terengganu amat berbeza dengan asam pedas negeri pantai barat.
Air pula hanya air masak kerana sejak abah disahkan mempunyai penyakit jantung dan kencing manis akhir tahun lepas, emak mula menjaga pemakanan abah. Jika diikutkan abah tak boleh makan nasi pada waktu malam. Tapi abah tu degil. Yang orang larang tulah yang dia buat. Kalau aku dan adik-beradik atau emak yang larang abah makan melebihi had, dengan selamba abah menjawab.
“Hidup sekali aje. Kalau rasa nak makan, makan ajelah. Nanti dah mati, semua tak boleh makan.” Hisy, abah ni! Suka cakap macam tu. Kami hanya mampu menggelengkan kepala mendengarkan kata-kata abah.
Sedang elok aku selesai menghidang makan malam, kedengaran bunyi orang membuka pintu utama. Abah dah balik dari surau rasanya.
“Assalamualaikum,” suara abah menghulurkan salam.
Aku dan emak menjawab salam itu perlahan.
“Abah, jom makan.” Aku mengajak abah.
“Kamu makanlah dengan emak dan adik kamu tu. Abah rasa nak makan roti aje malam ni.” Balas abah perlahan. Tangannya perlahan menanggalkan kopiah dari kepala.
“Aik? Abah tak nak makan nasi ke? Selalunya abah makan nasi, malam ni tak nak makan pulak?” aku menyoalnya pelik.
“Nanti kalau kerap sangat makan nasi, naik pulak kencing manis abah tu. Nanti ada pulak yang terlebih catu makanan. Sebelum apa-apa terjadi, baik abah kawal dari sekarang.” Mendatar abah bersuara.
Alhamdulillah jika abah sedar sendiri. Tak perlu emak dan aku adik-beradik bising-bising nasihatkan abah agar menjaga makan. Aku mengucap syukur di dalam hati. Malam itu abah juga makan di meja bersama aku, emak dan Jad Cuma menu sahaja yang lain. Abah makan roti kosong dicicah dengan air milo kosong. Manakala aku, emak dan Jad makan nasi bersama lauk-pauk yang  telah aku hidangkan tadi.
Aku mengangkat pinggan ke dapur setelah selesai makan dan pinggan itu dicuci bersih. Kemudian, selepas emak dan Jad selesai makan, tanpa lengah aku terus membawa semua lebihan lauk yang terhidang tadi kembali semula ke dapur.
Selesai mengemas semuanya aku mengatur langkah ke ruang tamu. Abah telah berpesan semasa sebelum makan tadi agar terus ke ruang tamu sejurus selesai makan kerana ada perkara yang ingin dia bincangkan denganku. Aku lihat abah sudah tersedia menunggu di hadapan TV. Emak juga ada di situ, cuma Jad saja entah menghilang ke mana.
“Err… ada perkara apa abah nak bincangkan dengan Fiza?” aku menghulurkan soalan sebaik saja punggungku mencecah kusyen sofa.
“Fiza jangan terkejut bila dengar apa yang abah nak beritahu ni dan abah nak Fiza banyak-banyakkan bersabar. Fiza dan bersedia nak dengar?” mukadimah abah begitu lembut sekali.
Aku jadi berdebar-debar mendengarkan setiap bait kata yang keluar dari mulut abah. Aku menganggukkan kepala sebagai jawapan kepada soalan abah itu. Aku lihat abah memandang emak seketika sebelum membuka mulut.
“Lewat petang tadi ketika Fiza sampai di rumah, Fiza ada bertanyakan abah, siapa yang datang siang tadi. Sebenarnya siang tadi abah dan emak ada menerima kunjungan sebuah keluarga. Mereka datang dengan hajat besar mahu mengeratkan hubungan sesama umat Islam.” Kata-kata abah mati di situ.
Mengeratkan hubungan sesama umat Islam? Apa maksudnya tu? Aku tertanya-tanya sendiri. Aku mengambil peluang bertanya apabila melihatkan abah senyap.
“Mengeratkan hubungan sesama umat Islam? Boleh abah terangkan dengan lebih jelas? Fiza tak berapa faham dengan ayat tu.”
“Begini, mereka tu datang bertanyakan Syu. Mereka dah bawa sebentuk cincin sebagai cincin tanda.”
“Bertanyakan Syu? Jadi, mereka tu datang mahu merisik Syu, begitu bah?”
Saat abah menuturkan mereka datang bertanyakan Syu, aku sudah tidak sedap hati. Dan apabila abah mengatakan yang mereka ada bawa sebentuk cincin tanda, aku merasakan bagai ada petir yang sedang memanah! Beraninya Syu ada hubungan dengan lelaki. Dia sedar tak emak tu jenis yang bagaimana? Dan lagi satu, jika emak dan abah bersetuju, maka Syu sudah langkah bendul! Dalam keluarga kami tiada yang langkah bendul!
Aku lihat abah mengaggukkan kepala perlahan.
“Tapi emak dan abah tak beri jawapan lagi dan kalau jadi pihak lelaki nak adakan majlis pertunangan dahulu. Lepas Syu dah habis belajar nanti baru dinikahkan.” Abah menyambung lagi.
“Jadi, untuk apa abah beritahu Fiza semua ni?” aku jadi tawar hati untuk mengetahui cerita selanjutnya.
“Abah bagi tahu Fiza sebab abah tak nak Syu langkah bendul. Abah bukan mahu memaksa Fiza berkahwin tapi tapi jika boleh abah nak Fiza dulu yang kahwin, lepas tu baru giliran Syu. Keluarga kita tak ada sejarah langkah bendul dan abah tak nak memecah tradisi dengan ada langkah bendul dalam keluarga kita.” Akhirnya abah berterus-terang dengan niatnya.
Aku pandang abah tak berkelip. Ayat abah buat aku pening kepala. Di mana aku nak cari teman lelaki yang boleh dijadikan suami sedangkan aku langsung tiada kekasih! Disebabkan Syu yang gatal nak kahwin, aku pulak yang jadi mangsa?
“Abah, dengan siapa Fiza nak kahwin? Kekasih pun Fiza tak ada.” Ujarku tegas sambil memandang wajah abah.
“Takkan tak ada langsung? Sepupu-sepupu kamu yang sebaya dengan kamu tu dah beranak-pinak semuanya. Kamu tu bila lagi?” emak yang hanya membisu dari tadi tiba-tiba mencelah.
“Kalau boleh, sebelum abah menutup mata, abah nak tengok Fiza kahwin. Umur Fiza dah banyak, tak elok perempuan kahwin lambat. Atau pun ada sesiapa yang Fiza tunggu?” sayu aku mendengar kata-kata abah.
Mukaku merona merah tiba-tiba mendengarkan soalan abah. Abah seakan dapat menbaca setiap apa yang aku fikirkan. Aduh, macam mana ni? Aku pula yang terbeban dengan masalah ini.
“Abah, boleh tak kalau abah beri tempoh untuk Fiza fikirkan dulu. Bila dah ada jawapannya nanti, Fiza beritahu abah.” Aku sekadar memberi jawapan selamat. Selamat untuk sementara waktu, bukan untuk selamanya.
“Fiza boleh fikirkan tapi pihak lelaki cuma beri tempoh sebulan sahaja.” Tenang abah memberikan persetujuan bersyarat.
What? Sebulan? Ya Allah, mana sempat! Mana aku nak cekau kekasih a.k.a bakal suami palsu ni? Kepalaku sudah memberat. Aku hanya menganggukkan kepala kepada abah. Kemudian, tanpa lengah aku mengangkat punggung dan berlalu ke tingkat atas. Aku masih bingung lagi.
Di dalam bilik, aku merapati meja tulis. Telefon di atas meja itu aku capai. Konsol papan pemuka telefon aku tekan, mencari-cari nama Syu. Apabila jumpa, terus aku dail dan telefon ditekap ke telinga.
“Syu, apa semua ni?” tanpa salam seperti biasa, aku menyoal Syu dengan nada tinggi. Aku memang tak puas hati dengan berita yang abah khabarkan.
“Apa kak?” Syu soal aku balik. Ya Allah budak ni! Sempat lagi nak buat tak tahu!
“Syu jangan nak buat tak tahu! Rombongan merisik yang datang siang tadi tu apa?” kesabaranku semakin menipis.
“Err… pasal rombongan tu, Syu baru aje tahu. Syu tak sangka mereka bersungguh nak hantar rombongan merisik. Syu ingatkan lambat lagi rombongan tu akan datang ke rumah. Err… kak, apa reaksi mak dan abah?” Syu menjawab teragak-agak. Aku tahu, dari nada suaranya itu, dia sedang serba salah sekarang ni.
“Ha, pasal reaksi emak dan abahlah yang buat akak naik angin ni! Kau tahu tak, abah cakap abah tak akan terima pinangan mereka selagi akak tak kahwin. Abah tak nak Syu langkah bendul. Gila! Mereka tu nak ikat Syu dengan majlis pertunangan aje. Bukannya terus kahwin. Sebabkan Syu, akak yang jadi mangsa. Tahu tak, abah bagi tempoh sebulan kat akak untuk mencari pasangan jika nak abah terima pinangan mereka. Mana akak nak cekau seorang lelaki untuk dijadikan sebagai suami dalam masa sesingkat tu?” panjang lebar aku terangkan kepada Syu. Ada juga sesekali terkeluar nada geram.
Syu di hujung talian senyap tak terkata. Mungkin terkejut dengan apa yang aku luahkan.
“Syu, ada lagi ke tak ni?” soalku selepas lama Syu membisu.
“Iya, ada ni.” langsung tak ada nada bersalah si Syu ni! makin buat aku geram ni.
“Dah tu, kenapa senyap aje? Akak telefon kau bukannya nak tunggu kau membisu begini. Akak nakkan jalan penyelesaian!” dahlah mood aku tak elok. Boleh pulak adik macam ni! Tahu buat masalah aje, tak tahu nak selesaikan. Tak pasal-pasal aku kena heret sama!
“Err.. Syu tak tahu kak.” Lama dia senyap, tu aje yang dia jawab. Haih, berapi aku ni!
“Apa? Tak tahu? Kau ni tahu buat masalah aje. Tapi tak tahu nak selesai! Habis macam mana sekarang? Mana akak nak cari seorang lelaki ni?” semburku melepaskan geram.
Akhirnya perbualan kami terputus begitu saja tanpa menemui jalan penyelesaian. Dia juga tidak dapat menolongku kerana masalah ini sangat rumit.

p/s: salam semua.. lamanya blog ni sunyi tanpa n3 baru... akhirnya blh jgk sy publish smbungan KYKS.. so, happy reading...:)

1 ulasan: