Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 22 Disember 2014

CERITERA AKU & CINTA : BAB 5



AKU berjalan kaki melewati blok taman perumahan itu. Aku di dalam perjalanan ke perhentian bas. Kaki melangkah tetapi fikiran di dalam kepala sudah melayang entah ke mana. Kepala terasa memberat dengan masalah keluarga yang entah bila akan selesai. Kalau umi terus dengan sikap keras kepalanya dan kak long tetap tak nak mengalah, masalah ini takkan ada penghujungnya. Aku mengeluh.
Aku rindukan waktu-waktu dulu. Ketika kami bersama sebagai sebuah keluarga yang lengkap. Yang tak pernah bergaduh. Yang tak pernah berselisih faham. Aku rindu. Tapi masa tak boleh diputar kembali. Masa indah yang berlalu akan terus berlalu pergi.
Pin… pin… pin…
Tiba-tiba bunyi hon itu menyentakkan aku. Fikiran kembali kepada tempat di mana aku berdiri tika itu. Aku pandang kiri dan kanan. Aku masih di tepi jalan. Ingatkan dah nak kena langgar tadi. Manalah tahukan, bila dah berjalan kaki ni kaki tiba-tiba terpesong melangkah ke jalan raya. Aku pusing ke belakang. Kereta Toyota Vios? Tanpa berfikir panjang, aku meneruskan langkah. Semakin lama, semakin laju kaki melangkah. Dalam masa yang sama hon kereta masih dibunyikan.
Ya Allah! Bosannya aku dengan mamat ni. Aku merungut di dalam hati.
“Isya,” Firash menurunkan tingkap kereta dan memanggil nama aku. Malangnya nasib dia, aku hanya buat bodoh. Bagai tak ada yang memanggil pun.
“Isya,” tiba-tiba terasa lenganku ditarik dan suara itu! Aku toleh ke kanan. Ya Allah. Kenapa mamat ni tak pernah baham bahasa?
“Apa ni?!” Aku menengking. Pantas aku tepis tangan dia yang suka hati pegang lengan aku. Paling pantang aku kalau orang buat macam tu.
“Okey, okey. Sorry.” Firash lepaskan pegangan tangannya pada lengan aku.
“Huh!” aku mendengus dan mahu menyambung kembali langkah ke perhentian bas.
“Jomlah saya hantar awak pergi kerja,” dia mempelawa.
Thanks but no thanks,” jawabku sambil berjalan.
Firash sekali lagi pegang tangan aku. Lagilah buat aku tambah bengang. Aku cuba rentap tanganku dari pegangan tangan dia. Tapi tenaga perempuan manalah setanding dengan tenaga lelaki.
“Kenapa awak ni tak pernah-pernah faham bahasa? Saya dah cakap sebulan lepas dan apa yang saya cakapkan tu jelas sekali. Atau pun awak nak saya ulang balik?” aku geram!
“Awak ugut saya?”
“Terpulang. Kalau awak rasa itu satu ugutan, maka ia akan jadi ugutan.” Aku rimas dengan tanganku masih dalam pegangan tangan dia. Menyakitkan. “Lepaskan tangan saya,” pintaku.
“Awak pergi kerja dengan saya baru saya lepaskan tangan awak.”
“Saya tak nak pergi dengan awak!” Ton suaraku naik.
Aku pandang ke kiri dan kanan. Tak pasal-pasal adegan sebabak dua itu menjadi perhatian orang ramai yang lalu-lalang. Memalukan!
“Sampai bila awak nak mengelak dari saya?”
Apa punya soalan dia ni? Aku menyoal di dalam hati. Tersangat geram!
“Selagi awak dengan keputusan awak, selagi itu saya akan mengelak dari jumpa awak. Saya bukannya bola, yang boleh ditendang ke sana ke mari sesuka hati. Saya ni manusia, ada perasaan. Bukannya patung bernyawa!”
Tiba-tiba ada sebuah kereta berhenti mengejut. Hummer! Si pemandu keluar dari kereta dan melangkah ke arah kami. Penyelamat sudah datang!
“Kenapa ni Isya?” Fayyadh menyoal aku. Kaca mata hitam yang menutup sepasang matanya ditanggalkan dan disangkut pada poket baju. Handsome tau!
Aku rentap tanganku dari pegangan tangan Farish. Aku meluru ke arah Fayyadh. Spontan aku pegang lengan Fayyadh. Farish terlopong melihat aksi itu.
“Dia ganggu saya,” aku buat suara sedih dan mengadu dengan Fayyadh.
Fayyadh melangkah ke arah Farish.
“Kau ni siapa?” Farish menyoal dengan amarah.
“Siapa aku, tu tak penting. Bro, tak malu ke ganggu perempuan kat tepi jalan?” Fayyadh cuba berlembut.
“Kau siapa nak masuk campur hal aku? Perempuan tu hak aku!”
“Hak kau? Dia isteri kau ke? Bukan kan? Mimpilah kau ni!” Fayyadh balas balik.
“Melampau!”
Farish angkat tangan, mahu hadiahkan penumbuk kepada Fayyadh tapi Fayyadh lebih laju mempertahankan diri. Fayyadh tahan dengan lengannya. Dia pulas lengan Farish. Aku terjerit kecil kerana terkejut.
“Jangan!” Aku cuba leraikan mereka.
“Jangan sesekali ganggu bakal tunang aku. Kau tak ada hak nak kacau Isya!” keras suara Fayyadh memberikan amaran.
Bakal tunang? Aku terkaku. Keras macam patung. Muka Farish sedang menahan sakit. Beberapa minit Fayyadh buat begitu sebelum melepaskan tangan Farish. Dalam tak sedar, perlakuan mereka menjadi perhatian orang ramai. Tak pasal-pasal kami menjadi tontonan umum. Bagaimana kalau Gina tahu? Hatiku terdetik.
“Kalau kau nak rasa yang lebih teruk lagi, teruslah kacau Isya. Teruk aku kerjakan kau nanti!” Fayyadh memberikan amaran sebelum menarik tanganku.
Aku menurut dalam terkejut. Pintu kereta dibuka dan Fayyadh mengarahkan supaya aku masuk. Menderu bunyi kereta akibat henjutan kuat pada pedal minyak. Aku gerun. Ruang antara kami diisi dengan kebisuan. Aku tak berani bertanya dengan Fayyadh. Dan dia pula dengan muka seriusnya. Perihal bakal tunang itu memenuhi ruang kepalaku. Sejak bila kita diisytiharkan sebagai bakal tunang?
Kereta berhenti betul-betul di hadapan pintu pasaraya. Aku masih mematungkan diri. Tak tahu nak kata apa.
“Tak nak keluar ke?” Fayyadh menyoal. Aku bagai terjaga dari mimpi yang panjang.
“Err… Terima kasih,” ungkapku perlahan, cukup untuk didengari oleh telinganya dan tanganku mendarat pada pembuka pintu kereta.
“Sama-sama. Jangan dilayan lagi lelaki tu,” Fayyadh berpesan, masih dengan muka serius.
Jangan dilayan? Aku ulang kembali bait kata itu. Kenapa? Untuk apa? Sebab apa? Bertimpa-timpa soalan membanjiri ruang fikiranku. Aku tolak pintu kereta. Minta-minta janganlah Gina atau kawan-kawan Gina yang nampak aku keluar dari kereta Fayyadh. Aku berdoa di dalam hati. Tak pasal-pasal aku kena serang nanti.
Keluar saja dari perut kereta, Fayyadh terus memecut keretanya. Dan aku terus masuk ke dalam ruang pasaraya. Sepanjang hari itu aku seperti manusia tak berperasaan. Banyak termenung dan semestinya kejadian pagi itu bagai diulang-ulang seperti tontonan drama di dala kepalaku.

BAKAL tunang? Fayyadh kembali memikirkan apa yang telah dia sebut tadi. Berkasih pun tidak, macam mana nak bertunang. Dia berkasih dengan Gina tapi depan orang yang tak dikenali, dia mengaku yang Delisya itu tunangnya. Tapi yang pasti niatnya hanya mahu menyelamatkan Delisya dari gangguan lelaki tadi tu.
Niat di hati mahu ke bengkel dah melencong ke lain. Kerana hati yang berserabut, dia ke sini. Ke rumah kakaknya, Fifi. Kereta diparkir diluar pagar dan loceng sebelah pintu pagar ditekan. Kurang lima minit menunggu, barulah pintu pagar terbuka dan muncul kelibat kakaknya di depan pintu utama sambil senyum.
“Mimpi apa sampai ke sini?” Fifi menegur Fayyadh.
“Kena tunggu mimpi dulu ke baru boleh datang rumah akak? Kalau macam tu, Syah baliklah.” Fayyadh bersuara seperti berjauh hati. dia yang tadinya mahu menbuka kasut di kaki, terus menyarungkan kembali kasut itu.
“Ololo…. Apasal dengan adik akak ni? Merajuk?” Fifi mengusik. Suka sungguh dia mengusik adik lelaki yang seorang itu. Kadang Fayyadh ni manja tau dengan dia.
“Siapa merajuk? Tak ada makna nak merajuk bagai.” Fayyadh menafikan kata-kata kakaknya buat Fifi senyum lebar.
“Dah, dah, jangan nak mengada. Jom masuk.” Fifi malas nak layan angin Fayyadh. Bukan okey sangat pun.
Fayyadh buka kembali kasut di kakinya dan melangkah masuk ke dalam rumah Fifi. Matanya melilau memandang ruang dalam rumah kakaknya. Fifi memang tak menggunakan khidmat pembantu rumah. Dia tahu pasal tu. Selepas banyak kes melibatkan pembantu rumah warga asing, Fifi takut nak guna khidmat mereka.
“Tak payah nak pandang-pandang sangatlah. Akak sorang-sorang aje kat rumah ni,” Fifi melaung dari dapur. Dia tengah masak tadi sewaktu Fayyadh sampai. Dah nak masuk tengah hari ni. nanti nak kena ambil anak-anak kat sekolah pula. “Kalau nak minum, kau ambil sendirilah. Macam tak biasa pula. Kalau nak tunggu akak masak, lambat sikit kut. Akak baru nak masak ni.” Sambung Fifi lagi.
“Beres kak.” Balas Fayyadh sambil daratkan belakang badan pada sofa. Tangan laju mencapai alat kawalan TV.
Tapi sayangnya, tak ada satu pun saluran TV yang berjaya memikat seleranya. Lalu dia bawa keluar sebuah majalah yang telah Fifi susun elok di bawah meja kopi. Majalah perihal dunia wanita dan keluarga. Sudah rumah itu rumah Fifi, haruslah ada majalah begitu. Bukannya rumah Fayyadh ni.
“Hei, apa hal kau dengan mummy?” Fifi yang tiba-tiba datang mendekati Fayyadh terus menyoal. Mereka berdua memang begitu sejak kecil. Kadang berkau dan aku saja. Bukan tak menghormati tapi itulah cara mereka bermesra.
“Akak ni! Huh! Masalah apa pulak?” Fayyadh buat-buat tak tahu. Makin difikir makin menyerabutkan kepalanya.
“Jangan nak pusing-pusinglah. Pasal mummy marah-marah kat kau tu.”
“Kalau akak tahu, kenapa nak tanya lagi?”
“Akak tak tahu cerita penuh. Akak dengar sekerat aje. Sebab tu akak tanya kau. Itu pun susah nak cerita.” Fifi mengomel. Macam tak puas hati dengan Fayyadh.
“Kak, kenapa mummy tu susah sangat nak faham Syah?”
Kening Fifi terjongket. Kepalanya sibuk mencerna setiap bait kata adiknya.
“Susah nak faham? Maksudnya macam mana tu?”
“Kenapa setiap kali Syah perkenalkan pilihan Syah, mummy mesti tolak? Apa kurangnya pilihan Syah? Mummy buat syah ni anak kecil, yang mahu suruh ikut setiap telunjuk dia.” Fayyadh mengeluh. Mujur ada Fifi, boleh juga dia menumpahkan apa yang terbeban di dalam kepalanya. Terasa ringan sedikit kepalanya.
“Syah, bukan mummy suka-suka menolak semua pilihan Syah tu. Mummy buat bersebab.”
“Bersebab? Macam tak nak Syah bahagia aje,” komen Fayyadh.
Haip. Apa cakap macam tu. Setiap emak mahu melihat anak-anak mereka bahagia. Akak pun macam tu. Akak nak anak-anak akak dan adik-adik akak bahagia. Syah tak boleh hanya fikirkan perasaan Syah saja. Perasaan mummy juga perlu dijaga. Kita dah tak ada daddy, jadi tanggungjawab mummy jadi berat. Mummy tak nak orang permainkan anak dia.” Terang Fifi.
“Maksudnya, semua yang rapat dengan Syah sebabkan nak harta Syah, begitu maksud akak?”
Fifi pandang Fayyadh. Susah dia nak terangkan kepada Fayyadh. Darah muda begitu sukar mahu menerima nasihat orang.
“Tak, akak tak kata begitu.”
“Tapi akak maksudkan macam tu tadi kan? Akak dengan mummy sama aje!” Fayyadh bangun dan mahu berlalu keluar dari rumah Fifi.
“Syah!” Fifi memanggil Fayyadh. “Apa yang akak tahu, Gina tu bukan budak elok. Dah banyak kali mummy terserempak dia dengan lelaki lain. Itu belum termasuk cerita-cerita yang kawan-kawan mummy sampaikan. Perempuan macam tu ke yang Syah nak buat isteri? Mummy nak yang terbaik untuk anak-anaknya. Tinggal Syah seorang saja lagi. Amanah arwah daddy perlu mummy laksanakan. Lagi pun, Gina tu bukan dari keturunan yang elok-elok. Mummy tak nak cucu mummy nanti mewarisi darah keturunan Gina.” Fifi ulang kembali apa yang Puan Irdina sampaikan kepada dia dulu.
Tapi Fayyadh tetap melangkah pergi. Dan Fifi hanya memerhati. Ya Allah, Kau lembutkanlah hati adik aku. Fifi berdoa di dalam hati.