Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Ahad, 29 Januari 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB28

NASI dah masak, sambal petai bersama udang juga sudah siap. Cuma ikan tenggiri masak lemak cili api saja yang kurang menjadi, dah pecah minyak. Tulah, akibat terkejut dan ralit menilik wajah suami sendiri. Huh, teruk betul kau Fiza! Ah, jadi ke tak jadi, janji aku dah masak dan lauk ni tetap akan aku hidang. Itu terpulang pada dia sama ada nak makan atau tidak. Dan lagi satu tak ada masakan berasaskan sayur. ‘Pak cik’ tu tak makan sayur. Alergik sangat dengan sebarang jenis sayur. Macamlah sayur tu bawa penyakit. Lagi menyihatkan badan adalah.

Siap menghidangkan juadah di atas meja, aku berlalu ke bilik Aril. Tuan besar rumah ni memang kena panggil setiap kali masuk waktu makan. Macamlah aku ni dayang tak bergaji! Kadang-kadang naik angin jugak aku dengan perangai dia ni. Perlahan-lahan tangan kanan aku angkat dan mengetuk perlahan pintu bilik yng diperbuat dari kayu jati.

“Apa?” Tinggi suara orang di dalam bilik menyoal.

Amboi, aku dah panggil makan ni dah kira elok! Kalau aku biarkan macam tu aje, tak panggil makan, lagi bising mulut ‘pak cik’ ni. Macam burung murai tercabut ekor.

“Waktu berbuka dah nak masuk, tak nak berbuka ke?” Balasku sinis sebelum berlalu kembali ke dapur.

Aku dah tak larat nak berlawan cakap dengan dia. Tenaga aku dah hampir tahap sifar ni. Dari pagi tadi sampai ke petang dah berkejar kat butik. Petang ni nak kena masak lagi. Siapa tak penat! Kalau beli aje kan senang. Pada hal bukan ramai yang nak makan, cuma kami berdua aje. Tapi siapa pulak nak pergi beli? Aril tu kalau tak pukul 6.00 lebih tak akan nampak batang hidung kat rumah ni. Huh! Memang tak boleh harap.
Aku menatang dulang berisi jag air dan dua biji gelas. Air sirap sudah. Senang. Tak payah nak demand air sedap-sedap. Ni pun dah kira sedap bagi orang hidup susah. Aku lihat dia sudah duduk di atas kerusi. Radio sudah aku buka siap-siap sebab laungan azan dari radio lebih tepat kerana azan Maghrib masjid tak sampai ke rumah ni. Mana nak dengar kalau masjid paling dekat terletak dalam 3 kilometer dari rumah ni. Tak macam kat rumah abah, boleh dikatakan setiap kampung ada masjid. Surau pulak sangat banyak. Sampaikan dalam sebuah kampung ada 4 buah surau.

Lagi 5 minit azan akan berkumandang. Aku turut duduk di kerusi meja makan. Aku lihat dia memandang pelik mangkuk berisi ikan tenggiri masak lemak cili api. Apa kes pulak tengok ikan tu macam ikan tu ada buat salah besar.

“Ni lauk apa? Pelik aje saya tengok.” Dia bertanya akhirnya.

“Ikan tenggiri masak lemak cili api. Kenapa pulak pelik? Biasa-biasa aje saya tengok.” Jawabku cuba berlagak selamba.

“Pelik sebab mama masak lauk ni jadi warna kuning tapi kenapa yang awak masak ni jadi warna keperang-perangan?” Pasal warna pun jadi masalah besar dia ni.

Belum pun sempat aku menjawab, azan Maghrib berkumandang dari corong radio. Spontan kami mengangkat tangan dan mengaminkan doa yang dibaca oleh Aril. Gelas berisi air sirap aku hulurkan padanya dan kemudiannya aku mengambil sebiji kurma.

“Makan ajelah, kalau nak makan. Kalau rasa pelik sangat, jangan makan!” Balasku sedikit keras. Aku pun bukannya nak sangat dia makan masakan aku.
Nasi aku sendukkan ke pingganku. Sebelum bertanya kepada Aril. “Awak nak makan tak?” Sengaja aku bertanya. Nak tahu jugak reaksi dia lepas komen masakan aku.

Dia menghulurkan pinggan. Ha, nak makan jugak! Aku tahu, kalau dia tak hulur pinggan tadi, laparlah dia. Sebab aku ni jenis kalau orang tak suka makan masakan aku, aku tak akan simpan. Aku akan habiskan jugak sampai licin. Lagi pun masakan untuk dua orang banyak manalah sangat. Setakat lekat celah gigi aje.

Sunyi-sepi mengisi ruang semasa kami menjamu juadah berbuka. Aku sudah makan dia tak sudah lagi. Haih, sedap sangat ke? Tadi bukan main jual mahal. Komen macam-macam. Tapi nampak gaya makin laju aje tangan dia menyuap nasi masuk ke dalam mulut. Orang macam ni pun ada rupanya. Mulut cakap tak suka tapi makan nasi berpinggan-pinggan.

Aku berlalu ke dapur membawa pinggan yang sudah licin. Kemudiannya aku mula mengemas meja makan dan membawa pinggan yang sudah licin ke dapur. Tapi belum pun sempat aku mencuci semua pinggan mangkuk yang baru diguna, aku terdengar bunyi telefon bimbit menjerit minta diangkat. Macam penting aje. Tanpa menunggu lama, aku bergegas ke bilik, pinggan yang ingin dicuci aku biarkan dahulu di dalam singki.

Telefon yang berada di dalam beg bimbit aku capai dan skrin telefon aku tatap. Abang Din. Itu nama yang terpapar pada skrin.

“Helo, assalamualaikum.” Aku menghulurkan salam.

“Wa’alaikumussalam. Fiza, dah solat ke?” Soal Abang Din. Aku pelik dengan soalannya itu.

“Belum lagi. Kenapa bang?”

“Fiza pergi solat dulu lepas tu Fiza ke hospital. Abah masuk wad. Sekarang abah ada di wad kecemasan.” Luah Abang Din.

Aku tergamam. Terkaku. Berdiri tak berganjak. Aku terasa telefon seperti terlucut daripada tangan tapi tak dengar pulak telefon aku jatuh.

“Abah kenapa bang?” Ada suara asing bertanya. Aku tak sedar sejak bila Aril ikut aku masuk ke dalam bilik aku.

“Okey, kami akan ke sana seberapa segera.” Suara Aril memberi persetujuan kemudiannya.

Setelah salam bersambut, dia menghulurkan kembali telefon kepadaku. “Awak pergi solat dulu lepas tu kita ke hospital.” Dia memberi arahan.

“Abah kenapa?” Aku bertanya, tak sabar.

“Abah kena serangan jantung.”

“Allah!” Sebaik mendengar jawapannya, pandanganku gelap tiba-tiba.

AKU terjaga kerana terasa titisan air mengenai wajahku. Perlahan-lahan aku membuka mata. Silau cahaya lampu menjadikan pandanganku berbalam kembali. Aku ingin memejam mata kembali tapi aku mendengar suara seseorang menahan niatku itu.

“Awak, awak.” Panggilan seseorang membuatkan aku mencelikkan mata kembali.
Aku mencari suara itu, pandanganku terpaku pada batang tubuh Aril yang sedang memandangku.

“Alhamdulillah, awak dah sedar.” Ujarnya lega.

“Abah mana? Saya nak pergi kat abah.” Tiba-tiba aku jadi tak tentu arah apabila teringatkan khabar berita yang baru Abang Din maklumkan. Aku sudah bersiap-siap bangun dari pembaringan.

“Eh, awak pergi solat dulu. Waktu dah tinggal hujung-hujung ni. Lepas tu baru kita ke hospital.” Dia menahanku dari terus bertindak terburu-buru.
Aku memandangnya. Aku masih keliru dan terpinga-pinga sebenarnya.

“Cepatlah. Awak tak nak qada’ solat ke?” Sergahan beserta tepukan di bahuku mengembalikan aku ke alam nyata.

Pantas aku masuk ke dalam bilik air. Tengah berkobar-kobar nak ke hospital ni. Apabila aku masuk kembali ke dalam bilik, kelibat Aril sudah tiada. Tanpa membuang masa, aku terus membentangkan sejadah menunaikan solat Maghrib.

Siap bersolat, aku terus menyarung tudung ekspres dan mencapai beg duit serta telefon bimbit sebelum keluar ke ruang tamu. Dua barang tu paling penting dalam hidupku. Kiranya tanpa dua barang ni hidup aku rasa tak sempurna, rasa kekok. Mataku meliar mencari kelibat Aril. Puas kepala dipusing ke kiri dan ke kanan tapi tak nampak pun batang tubuh Aril.

“Hisy, dia buat apa pulak berkurung dalam bilik tu?” Gerutuku sambil menghampiri pintu biliknya. Tanpa sabar, aku mengetuk pintu bilik itu agak kuat.

“Awak nak pergi pukul berapa? Cepatlah.” Gesaku tanpa sabar.
Aku baru aje nak ketuk pintu bilik tu sekali lagi dan pintu terbuka. Nasib baik tak terketuk kepala dia. Pantas aku menurunkan tangan. Dia memandangku pelik. Dari atas ke bawah, dari bawak ke atas. Baju aku terkoyak ke? Aku jadi tak selesa dengan tingkahnya itu.

“Awak nak pakai macam ni aje ke?” Soal Aril akhirnya.
Kenapa? Okey aje baju aku ni. Tak ada cacat-cela pun. Skirt labuh dan baju T lengan panjang. Okeylah tu. Bukannya aku pakai baju yang mencolok mata yang boleh buat orang juling.

“Apa yang tak kenanya? Okey aje ni. Cepatlah.” Aku malas nak layan soalan yang bukan-bukannya tu. Aku melangkah ke pintu utama. Sandal yang biasa aku pakai aku sarungkan ke kaki.

KAMI bergegas masuk ke perkarangan hospital dengan langkah yang laju. Ketika kaki ingin membelok masuk ke bahagian kecemasan, Aril pulak sibuk mendail nombor telefon siapa entah. Masa tengah gawat ni boleh pulak nak telefon orang.

“Okey.” Tanpa salam, tanpa ucap helo, Aril mematikan telefon.

“Abah dah tak ada kat bahagian kecemasan, abah baru aje dimasukkan ke wad 7 sebentar tadi. Jom naik lif.” Ucapnya kemudian. Aku hanya mengikut tanpa bantahan.

Walaupun abah sudah dimasukkan ke wad, kami tidak boleh masuk menggunakan pintu biasa yang boleh digunakan oleh pelawat. Tapi kami boleh masuk melalui pintu bahagian kecemasan kerana pintu bahagian itu dibuka 24 jam sehari. Jika melalui pintu utama, kami tak akan dapat masuk kerana para pengawal keselamatan yang bertugas di situ tidak akan memberi kami masuk melainkan jika kami mempunyai sijil menjaga pesakit.

Aku tak tahu abah diletakkan di bahagian mana kerana wad 7 mempunyai empat bahagian. Aku hanya mengekori langkah Aril yang seperti arif sangat dengan selok-belok hospital. Sebaik terpandangkan kelibat Kak Jiha di hadapan pintu yang terletak di hujung wad 7, aku terus merapatinya.

“Abah mana kak?” Aku terus menyoal tanpa menunggu lama.

“Abah ada kat dalam. Tapi tak boleh masuk ramai-ramai. Emak dan Abang Din ada kat dalam.” Beritahu Kak Jiha.

Mendengarkan yang abah tak boleh menerima ramai pelawat seperti yang diberitahu oleh Kak Jiha, perasaan tidak sedap hati melanda hatiku. Aku gelisah selagi tidak dapat melihat sendiri keadaan abah.

“Habis tu bila Fiza boleh masuk?” Aku menyoal lagi.

“Doktor cakap hanya 2 orang sahaja yang boleh masuk melawat abah dalam satu-satu masa. Keadaan abah tak mengizinkan untuk menerima ramai pelawat.” Beritahu Kak Jiha lagi.

Ya Allah, selamatkanlah abahku. Panjangkanlah umurnya. Tidak putus-putus hatiku berdoa memohon kesejahteraan ke atas abah. Tiba-tiba aku terasa sangat takut. Takut melalui proses kehilangan abah yang sangat aku sayang. Yang menjadi tulang belakangku selama ini. Yang menyokong setiap hasil kerjaku.

Sedang kami bertiga berteleku menanti di luar wad, tiba-tiba pintu wad ditolak dari dalam. Pantas aku berpusing, memandang empunya diri yang keluar.

Pergilah Fiza dan Aril masuk tengok abah. Kita cuma boleh tengok aje sebab doktor dah masukkan ubat tidur dalam badan abah semasa sampai di bahagian kecemasan tadi. Tapi sekejap aje, nanti doktor nak check abah.” Terang Abang Din. Mataku sudah berkaca mendengarkan kata-kata Abang Din.

Ya Allah, jangan kau ambil abahku. Aku masih belum puas berbakti padanya. Hatiku terus-terusan merayu pada Sang Pencipta. Kakiku berat melangkah masuk ke dalam wad. Hatiku juga turut ikut berat. Tiba-tiba aku terasa tangan kananku diraih seseorang. Aku pandang ke sisi kananku. Dia ada di situ. Tautan tangannya yang bercantum erat dengan tanganku seakan memberi aku semangat, menyalurkan kekuatan supaya aku tabah menghadapi musibah yang melanda ini.

Kami beriringan melangkah merapati katil yang menempatkan abah. Air mata yang tadinya bertakung di tubir mataku luruh setitik demi setitik membasahi pipi. Kesedihanku tak dapat dibendung lagi apabila melihat badan abah penuh berselirat dengan wayar. Jasad abah terbaring lemah di atas katil. Hanya dadanya saja yang berombak sekali-sekala.
Tanpa sedar, aku teresak-esak perlahan di situ dan ketika itu juga aku terasa bahuku dipegang dan dipaut rapat ke dadanya. Kerana terlalu sedih, aku menghamburkan tangisan di dada bidang itu. Aku sedih melihat abah terbaring kesakitan. Ya Allah, betapa terseksanya abah. Aku seakan mahu meraung di situ tapi aku masih waras.
Kemudian keadaan menjadi kelam-kabut. Secara tiba-tiba dada abah berombak kencang. Sebilangan doktor dan jururawat meluru ke arah katil abah. Aku dan Aril diminta beredar dari wad. Aku terpinga-pinga tanpa tahu apa tujuan mereka semua berkerumun di keliling katil abah.

Belum pun sempat aku bertanya, aku diheret keluar oleh Aril. Aku mengeraskan tubuh dan tubuhku terkulai kemudiannya. Pandanganku yang kabur menjadi gelap-gelita. Aku sudah tak tahu apa terjadi selepas itu.

6 ulasan:

  1. nice but pendek sangtla.huhuhu next n3 lpeaseee

    BalasPadam
  2. xsbar tggu nxt n3.. tq..

    BalasPadam
  3. fiza ni asyik nk pengsan kot lemah semangat!
    aril keep accompanying her k ..... dat will make u close to her
    hope with wat happen mase ni akan merapatkn lagi perhubungan aril n fiza
    nk tengok dorang mesra as wife n hsband!

    -easylife

    BalasPadam
  4. ruby n tanpa nama; sabar k.. nanti ada lg next n3... hehehe
    easylife; fiza mmg lemah kalau bab2 abahnya sbb dia mmg rapat dengan abahnya sejak dr kecil lg.. saat kemesraan akan ada nanti..:)

    BalasPadam
  5. kak,cepat smbung n3...x sabar ni nak tau ape jadi pas ni....hehehehe

    BalasPadam