Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 22 Februari 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 7



SURIYA berpeluk tubuh. Tubuh disandarkan pada kerusi penumpang. Muka masam mencuka. Tanda dia sedang menunjukkan rasa protes. Okey, siapa suka kena paksa? Dia sangat-sangat tak suka! Walaupun selama ni Rozairul mengongkong hidupnya, tapi Rozairul tak pernah paksa dia macam ni. Sikit lagi dia hampir-hampir kena heret depan semua pekerja IMIA Technology Sendirian Berhad. Peristiwa setengah jam yang lalu kembali terimbau di fikiran.
Suriya sedang sibuk menyiapkan kerjanya. Bunyi deringan telefon betul-betul mengganggu kelancaran kerja-kerjanya. Ni siapa pulak yang call ni? Tak tahu ke aku tengah busy gila ni. Nak tak nak, ganggang telefon dia bawa juga ke tepi telinga. Kalau biarkan terus, bunyi deringan itu benar-benar membingitkan telinga. Tambah menyerabutkan otak!
“Helo!” Kasar Suriya menyapa si pemanggil.
“Helo cik Anggerik. Awak dah lupa ke janji kita?” Suara di hujung talian menyapa telinga. Siapa ni? Bos besar ke? Wait a minute! Dia sorang je yang panggil aku Anggerik. Orang lain panggil Su atau Suriya aje.
“Janji kita? Bila pulak saya berjanji?” Berani dia menyoal balas.
“Kan tadi saya ajak awak jumpa client tengah hari ni. Takkan dah lupa kut.”
Jumpa client? Tengah hari ni? Pap! Suriya tepuk dahi sendiri. Macam mana aku boleh lupa ni. Aiseh! Tangan di angkat separas bahu dan matanya membulat memandang jam dipergelangan tangan. Sudah pukul 12.10 tengah hari.
“Err… tapi saya tak cakap pun nak ikut encik. Encik yang buat keputusan sendiri,” entah dari mana datang angin nak menjawab kata-kata Iddin. Betul apa. Suriya tak berjanji pun nak ikut serta tapi Iddin yang memaksa dia ikut serta.
“Saya dah cakap tadi, no more excuses! Di sini saya bos dan awak pekerja. Awak wajib patuh setiap arahan saya selagi awak bergelar pekerja IMIA Technology Sendirian Berhad. Ada faham? Atau awak nak saya heret awak dari meja awak ke parking lot ni? Awak pilih mana satu yang awak nak. Yang saya tahu, sepuluh minit, awak dah terpacak kat sini.” Iddin sedang menggunakan kuasa vetonya sebagai majikan.
“Tapi…”
“Lima minit. No more excuses!” Tegas kata-kata Iddin.
“Yalah, yalah.” Dengan rasa bengang, ganggang telefon dia letakkan kembali ditempatnya. Tangannya ligat mencapai sebuah buku seakan diari serta beg tangan. Dia pun tak tahu nak bawa apa. Sebab ini bukan tugasnya.
“Eh, eh, Su nak ke mana ni?” Noraini tiba-tiba menyoal
“Hah? Su ada hal sekejap.” Kelam-kabut Suriya menjawab.
“Hal? Hal apa?”
“Alah, banyak pulak soalan akak. Balik nanti saya cerita ya. Lagi satu lunch nanti saya tak join. Bye kak.” Tergesa-gesa Suriya menjawab soalan Noraini dan berlalu dari ruang kerja itu.
“Hal apa yang penting sangat budak ni?” Noraini garu kepala yang tak gatal. Ah, balik nanti, aku korek sampai ke lubang cacing. Hehehe… Noraini memasang tekad.

“WAHAI tuan puteri, sampai bila nak mengelamun kat dalam kereta ni?” Teguran suara orang sebelah menerbangkan semua peristiwa tadi yang baru menjengah benak Suriya.
Tanpa cakap banyak, Suriya tolak pintu kereta dan terus meloloskan diri dari perut kereta. Iddin menyerahkan kunci kereta kepada pekerja hotel sebelum dia berlari anak mengejar langkah kaki Suriya. Lajunya dia ni jalan, tak pandang kiri kanan langsung!
“Anggerik! Nanti dulu. Awak nak ke mana laju sangat ni?” Selamba Iddin paut lengan Suriya.
“Eh, apa ni?!” Kerana terkejut, Suriya renggut kasar lengannya dari cengkaman Iddin. Matanya mencerlung memandang Iddin. Ah, tak kiralah kau ni tuan besar ke bos besar, sikit pun aku tak heran. Batas bersama perempuan jagalah sikit. Ini tak, suka-suka hati pegang orang! Mana Suriya tak berangin.
“Jom,”
Malas melayan Suriya yang memang berangin sejak masuk dalam kereta tadi, Iddin mempercepatkan langkah kakinya masuk ke dalam kafe yang diberi nama Borak-Borak. Ruang dalaman kafe yang ringkas tapi cantik menarik perhatian Suriya. Serius, ini pertama kali dia jejak masuk ke dalam kafe hotel yang sangat mewah di matanya.
Kafe Borak-Borak terletak di lobi hotel dan mampu memuatkan seramai 60 orang pengunjung dalam satu-satu masa. Hidangan di dalam kafe ini lebih kepada pastri dan kek. Pertama sekali, mata Suriya memandang ke arah deretan makanan yang terhidang bersebelahan dengan kaunter. Makanan ringan-ringan aje? Nasi-nasi tak ada ke? Sudahlah perut tengah berkeroncong ni!
“Duduk.” Iddin mengarah. Terperanjat Suriya. Asyik sangat dia meneliti menu dalam kafe sampai tak sedar mereka sudah sampai ke meja yang dituju.
Dia duduk. Tapi, mana client yang dikatakan itu? Meja yang mereka duduk masih kosong tak berpenghuni. Atau bos besar ni sengaja tipu aku, cakap nak jumpa client. Tapi mahu keluar lunch dengan aku. Mana tahu ada agenda tersirat. Kepala Suriya terfikirkan perkara yang bukan-bukan.
Sorry Encik Iddin, kami terlewat sedikit. Jalan jammed teruk tadi, ada accident atas highway.” Tiba-tiba satu suara asing menyapa telinga Suriya.
Kepala mendongak ke atas, mahu melihat siapakah client yang dikatakan itu. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Suriya ukir senyum segaris.
“Tak apa, saya pun baru sampai jugak. Oh, lupa pulak. Ni Suriya, web developer syarikat kami,” perkenal Iddin. Tercengang Suriya seketika. Tangan menyambut salam si perempuan.
“Oh, ingatkan secretary baru you. Hai, I Emma,” kata Emma selamba. Apa muka aku ni macam secretary si Iddin ni ke? Protes Suriya di dalam hati.
“Syamsul.”
Suriya menundukkan kepala ke arah Syamsul yang menghulurkan tangan untuk bersalam. Kelat wajah lelaki itu sambil menarik kembali tangannya yang terbiar disambut angin lalu.
“Apa kata kita order minum dulu sebelum kita proceed kepada projek ni,” kata Iddin sambil menggamit pelayan ke meja mereka.
Kemudian, mereka meneruskan perbincangan yang dinyatakan itu. Suriya hanya bertindak sebagai pemerhati. Dia tak ubah seperti patung cendana di tengah-tengah perbualan itu. Nak menyampuk, rasa macam tak kena aje. Dia bukan orang bisnes.

“OKEY, dah settle semua. Sebarang perbincangan nanti bolehlah dilakukan dengan cik Suriya,” Suriya terpinga-pinga. Dia bagai baru terjaga dari lena. Apa hal pulak sebut nama aku ni?
“Itu sudah semestinya,” sambut Syamsul. Syamsul dan Emma bersiap-siap untuk bangun. “Kami minta diri dahulu,” mereka berjabat tangan dengan Iddin.
“Dah lama I tak nampak you kat kelab. Apa kes sayang?” Emma melunakkan suara menyoal Iddin. Dah nak balik tu sempat lagi menggoda bos besar aku ni. Bisik hati kecil Suriya. Tapikan dari gaya Emma ni, mereka berdua macam ada apa-apa aje. Siap bersayang-sayang bagai lagi.
“Err… lately I busy sangat. Maklumlah, projek tengah banyak sekarang ni.” Iddin memberikan jawapan selamat. Sempat dia kerling sisi wajah Suriya dari ekor mata.
Sebelum berlalu, Syamsul sempat kenyit mata ke arah Suriya. Tersentak Suriya. Erk! Apa kes pulak main kenyit-kenyit mata ni? Suriya pantas kalih pandangan mata ke arah lain. Dasar lelaki miang! Gatal!
“Awak nak makan apa-apa lagi?” Iddin menyoal selepas kelibat Emma dan Syamsul tak lagi kelihatan di ruang mata mereka.
Nope.” Suriya pandang sekilas jam tangannya. “Allah! Encik, boleh tak kita balik terus ke pejabat? Saya banyak kerja ni. Sekarang dah pukul 4.00 petang.” Menggelabah Suriya bertutur. Sejujurnya kepalanya tidak lepas dari memikirkan perihal kerjanya yang masih belum surut. Secara zahirnya jasadnya memang berada di hotel mewah ini. Tapi fikirannya masih kekal di pejabat.
“Hei, relaks la. Baru pukul 4.00, bukan dah nak maghrib.” Balas Iddin selamba.
Dia bos besar, senanglah cakap. Tak terasa apa pun. Tugas dia arah pekerja macam aku ni buat semua projek syarikat. Rungut hati Suriya.
“Dah sampai ke mana? Ke bulan? Ke dah sampai ke Marikh?” Iddin menyergah sambil memetik jarinya di hadapan muka Suriya.
“Hah!” Reaksi spontan Suriya. Kepalanya terangkat sama.
“Tak payah nak hah-hah sangatlah. Jom.”
Suriya tolak sedikit kerusi ke belakang dan bangun. Mereka membisu sepanjang perjalanan balik ke pejabat. Sama seperti mahu datang tadi juga. Kepala Suriya terfikirkan kembali kata-kata Iddin tadi. Iddin cakap sebarang perbincangan nanti mestilah dengan dia. Apa fungsi aku dalam projek tu? Mulut ringan mahu bertanya orang sebelah. Tapi takut kena sergah pulak.
“Err….” Suriya tak tahu nak mulakan dari mana.
Iddin menoleh ke kiri.
“Ada apa?”
“Err…” Isy, apasal dengan aku ni? Dalam hati sibuk sangat nak tanya tapi tergagap-gagap.
“Awak ni kenapa, Anggerik? Dari tadi duk err aje. saya tak makan orang okey,” bidas Iddin selamba.
Aku ni dahlah gugup. Dia pulak cakap macam tu. Suriya tarik nafas dalam-dalam. Nafas kemudian dihembus perlahan-lahan. Bagai sedang mengumpul kekuatan lagaknya.
“Err… tadi encik ada cakap dengan mereka, sebarang perbincangan selepas ni boleh dilakukan dengan saya. Kenapa saya? Apa fungsi saya dalam projek ni?” Akhirnya, terkeluar juga soalan itu dari mulutnya.
“Awak tak dengar ke apa yang kami bincangkan tadi?” Soalan berbalas soalan.
Bincang? Suriya gelengkan kepala. Serius. Dia tak fokus langsung dalam perbualan antara Iddin bersama Emma dan Syamsul tadi.
“Mana nak dengar, asyik mengelamun aje,” balas Iddin perlahan. “Syarikat Mewah Padu Holding mahu syarikat kita buat satu sistem atas talian yang mana sistem ni berfungsi sebagai bilik pameran bergerak. Seperti kita sedia maklum, syarikat Mewah Padu Holding adalah sebuah syarikat perumahan yang sangat terkenal dalam Malaysia. Jadinya mereka mahukan sebuah sistem penjualan rumah atas talian yang sistematik dan yang paling penting menjimatkan masa para pembeli rumah yang biasanya tidak mempunyai masa unuk melihat rumah contoh. Sistem begini memang agak rumit kerana melibatkan barang yang besar dan tak boleh bergerak. Apa-apa pun, saya nak awak study dulu tentang perjalanan sistem begini. Sebarang perkembangan terkini saya akan inform terus kepada awak,” panjang lebar Iddin menerangkan letak duduk perkara sebenar.
“Jadi, saya yang akan handle sistem ni?” Sistem pembelian rumah atas talian? Dengar tajuk sudah buat kepala Suriya berpusing-pusing. Tu belum buat lagi. Adoyai!
“Hmm…”
“Tapi kenapa saya? Kenapa tidak Huzair atau Maria?” Suriya bukan apa. Dia bimbang pekerja senior akan boikot dia kerana dia dapat projek besar. Projek dari Mewah Padu Holding, siapa tak nak? Pasti lumayan upahnya.
“Kenapa awak? Sebab awak bukan Huzair dan Maria.” Spontan sebaris ayat itu meluncur keluar dari ulas bibir Iddin. Suriya pelik. Apa punya jawapan tu?
“Err…”
Suriya tak tahu. Iddin ada rancangan lain di sebalik arahannya menyuruh Suriya uruskan projek baru ni. Nak tau apa rancangan dia? Kalau Suriya yang uruskan projek ni, maknanya terpaksalah Suriya stay sampai ke malam kat ofis. Makanya, dapatlah dia lihat Suriya hari-hari. Silap-silap, dia boleh tumpangkan Suriya macam semalam. Hehehe…
“Awak tak nak turun ke? Dah lebih dari lima minit kita tak bergerak-gerak lagi ni,” Iddin memesongkan topik.
Dah sampai pejabat ke? Lantas Suriya keluar dari kereta mewah Iddin. Dia berjalan menonong masuk ke dalam perut lif. Langsung tak hiraukan bos besarnya yang terkial-kial menapak di belakang.

Rabu, 13 Februari 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 6



“EHEM, ehem…”
Sampai-sampai saja di pejabat pagi itu, Noraini tak habis-habis berdehem dengannya. Hingga Suriya naik pelik. Beg tangan diletak di tempat biasa. Matanya bertentangan dengan Noraini, dengan dahi berkerut seribu.
“Ehem…” Sekali lagi Noraini berdehem. Dia tayang senyum sampai nampak gigi kat Suriya.
“Akak ni kenapa? Sakit tekak ke? Saya ada Strepsil ni.” Suriya bawa keluar sepaket Strepsil dari beg tangannya. Dia memang sentiasa ada stok Strepsil dalam beg tangan. Sekarangkan cuaca tak menentu. Tengah-tengah panas pun boleh hujan. Mana kita ni tak jatuh sakit. “Nah!”
“Eh, siapa pulak sakit tekak ni?” Tiada lagi senyuman di bibir Noraini. Suka-suka hati cakap aku sakit tekak. Huh! Protesnya di dalam hati.
“Habis tu, dari saya sampai tadi akak sibuk duk ehem, ehem. Saya ingatkan akak sakit tekak.” Suriya membalas selamba.
“Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pulak.” Noraini berkias pula.
“Ya Allah, apa akak nak cakap dengan saya ni? Apa pulak kura-kura ni? Saya tak fahamlah kak. Saya ni student aliran IT, bukannya sastera.” Kata Suriya sambil on PC dan sebuah fail dari atas rak dia capai.
“Hmm… ni yang susah ni. Akak nak bercakap kias sikit pun tak boleh,” rungut Noraini tiba-tiba. Eh, dia jugak yang cakap berbelit, alih-alih aku yang terkena. Bebel Suriya di dalam hati.
“Habis, akak jugak yang cakap berbelit-belit. Kalau cakap straight to the point kan senang. Tak adalah pening saya nak faham soalan akak.”
“Okeylah, okeylah. Semalam kan,” kata-kata Noraini terhenti. Suriya pandang Noraini. Mata Noraini melilau memandang sekeliling ruang pejabat. Macam pencuri aje matanya itu. Liar semacam.
“Hah, semalam apa?”
“Sekejap. Okey, confirm tak ada orang. Kita-kita aje. Macam ni, semalam, akak ternampak ada sorang pekerja sini balik dengan bos besar. Akak ternampak, bukan akak saja-saja nak mengintai, okey.” Laju Noraini meluahkan kata.
Suriya terkejut. Mukanya pucat tak berdarah. Kak Ani nampak? Kecohlah satu ofis kalau macam ni. Habislah! Gerutu Suriya di dalam hati.
“Err… siapa?” Gugup Suriya bertanya.
“La, siapa lagi. Yang duduk sebelah akak ni la. Buat-buat tanya pulak.” Noraini tayang senyum kambing.
Dush! Dah terkena aku! Nak cakap apa kat akak sorang ni? Berterus-terang ke tipu akak ni? Haih, serba salah pulak aku rasa. Suriya berkata-kata di dalam hati.
“Saya? Akak buat apa kat sini semalam? Akak mengendap saya ye?” Suriya nak mengelak dari jawab pertanyaan Noraini. Sengaja dia pusing soalan ke lain.
“Eh, tak ada maknanya akak kau ni nak mengendap. Akak lalu kat depan pejabat ni semalam sebab nak pergi ambil cik abang akak kerja. Kau bukan tak tahu cik abang akak tu kerja apa. Ada faham? Hmm… so, apa cer semalam?” Mulut Noraini sudah bising. Bagai murai tercabut ekor. Yang paling tak tahan tu, soalan terakhir Noraini buat Suriya gerun. Dalam nak lari, terkena jugak dia jawab soalan tu. Haiya, nak kencing apa ni? Suriya garu pelipis yang tak gatal.
“Err… macam mana eh nak cakap. Okey, macam ni. Semalam teksi yang biasa saya naik tu tak dapat ambil saya sebab Pak Mail tak sihat. Semalam pulak saya terpaksa stay kat pejabat. Banyak sangat kerjalah akak. Mula-mula tu saya ingat awal lagi, so tak hirau sangatlah nak tengok jam. Last-last bila Kak Liza nak balik, dia tanya kenapa saya tak balik lagi. Masa tulah saya baru sedar hari dah lewat malam. Saya apa lagi, kelam-kabutlah nak balik. Keluar dari ofis, saya tunggu teksi kat bus stop kat bawah tu. Tunggu punya tunggu batang hidung teksi tak nampak. Dahlah ada sorang mamat gian kat belakang saya. Memang kecut perut masa tu. Nasib baiklah ada tuan besar tu. Kalau tak ada dia, entah pukul berapa baru saya dapat balik semalam. Macam tu je kisahnya. Tak ada apa sangat pun.” Panjang lebar Suriya bercerita. Hanya sekadar cerita yang penting-penting aje. Gila nak penuh dari A sampai Z, ada jugak yang cop dia perasan.
Wow, macam hero yang datang menyelamatkan heroin pulak. Lepas tu apa jadi?” Amboi cik kak ni, dah melebih-lebih excited!
“Apa jadi lagi? Tak ada apa-apalah kak. Dia hantar saya balik, tu aje.”
“Ala… takkan sepanjang perjalanan tu kau orang tak sembang apa-apa? Takkan senyap aje,” Noraini menyatakan rasa musykilnya. Dia memang, selagi tak puas hati selagi itu dia akan korek.
Suriya pandang tepat mata Noraini. “Kak, memang itu realitinya. Akak bukan tak kenal bos besar akak tu macam mana, dingin macam ais! Macam mana dia di dalam ofis, macam tulah dia di luar ofis,” habis memberikan jawapan, Suriya kembali menumpukan perhatian kepada kerja-kerjanya.
“Ehem, kau orang cakap pasal apa ni?” Satu suara mengejutkan mereka. Badrul!
“Tak ada apa-apalah.” Noraini cepat-cepat berlalu ke mejanya.
Mahu terhambur ketawa Suriya melihat telatah Noraini seperti lipas kudung. Suriya hanya lempar senyum segaris ke arah Badrul sebelum kembali memandang failnya. Badrul hanya menggelengkan kepala. Dia tak sempat dengar semua perbualan antara Noraini dan Suriya. Hanya hujung-hujung perbualan saja yang sempat dia dengar.

IDDIN masuk ke pejabat seperti biasa. Sejurus masuk ke dalam pejabat, insan pertama yang dia lihat ialah wajah Suriya Anggerik. Setiap kali memandang wajah itu hatinya bergetar hebat. Adalah ini cinta? Cinta? Sudah lama hidupnya sepi dari perasaan yang terdiri dari lima huruf itu. Kenangan lama tentang cinta sentiasa menggamit hati. Kenangan dikecewakan ketika menuntut di universiti dahulu benar-benar memberi tampahan hebat buatnya.
Sampai satu tahap orang menggelarnya ‘gay’ kerana melihat dari gaya dia yang langsung tak layan perempuan. Bukan dia tak nak melayan tapi dia tak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah sekali disakiti. Dia tak nak menanggung kesakitan untuk kedua kalinya.
Iddin menghenyak punggung di atas kerusi di dalam biliknya. Serentak dengan itu bunyi ketukan di pintu bilik.
“Masuk!” Laungnya. “Yes, Bad?” Nampak saja kelibat Badrul yang menapak masuk perlahan-lahan, Iddin terus menyoal.
“Bos, saya nak ambil EL hari ni. Ada emergency kat rumah.” Tanpa duduk, Badrul hulur sehelai kertas kepada Iddin.
“Hal apa pulak ni?” Iddin belek kertas itu.
“Err… isteri saya tak sihat,”
“Oh. Tak sihat? Ke pregnant?” Iddin jongket kening. Tak salah tekaannya ini. Adatlah orang berkahwin. Tak sihat mungkin petanda untuk berita baik.
“Err… tak pasti lagi. Saya nak bawa dia check kat klinik dulu.”
Orait,” Iddin turunkan tanda tangan pada kertas itu.
“Terima kasih bos.” Ucap Badrul girang. Dia berkira-kira mahu melangkah keluar dari bilik itu.
“Eh, eh, nanti dulu. Apa appoiment saya hari ni?” Tak menyempat-nyempat! Sambung Iddin di dalam hati.
Langkah kaki Badrul yang mahu keluar dari bilik bosnya terhenti mendadak. “Err… Sekejap bos, saya ambil planner saya.”
Laju kaki Badrul merapati mejanya. Iddin menggelengkan kepala. Teruk penangan orang dah kahwin ni. Planner di atas meja, Badrul sambar rakus. Dia berlari anak, kembali ke bilik Iddin. Dia berdiri tegak di hadapan meja Iddin sambil tangan ligat membelek planner.
“Err… Bos, hari ni bos tak ada meeting penting. Cuma tengah hari nanti bos ada lunch dengan wakil dari syarikat Mewah Padu Holdings berkenaan sistem baru untuk syarikat mereka yang akan diguna pakai nanti.  Pihak mereka decide nak jumpa di Hotel Grand Bluewave. Selain dari tu tak ada,” ujar Badrul.
“Hmm… okey. Dah-dah, pergilah kat isteri kesayangan tu. Nanti lama pulak si dia menunggu.” Sempat Iddin mengusik Badrul.
Orait bos!” Badrul tayang sengih seperti kerang busuk sebelum bergegas keluar dari bilik majikannya.
Iddin menggelengkan kepala. Fail dari hujung meja dia capai dan dibelek. Meeting tengah hari ni? Takkan nak pergi sorang-sorang. Kebiasaannya dia pergi dengan Badrul. Tapi Badrul pulak ambil EL hari ni. Sedang dia berfikir-fikir, terlintas bayang satu wajah di kepalanya. Senyuman terukir di bibir. Lantas ganggang telefon dia capai. Kita ada misi penting hari ni. Misi memaksa seseorang mengikut arahannya.

DERINGAN telefon di atas meja Suriya mengganggu konsentrasinya pada kerja yang sangat-sangat banyak itu. Siapa pulak yang mengacau ni? Tak boleh ke call esok ke, petang nanti ke. Cadangan mengarut telah menjelma dibenaknya. Lambat-lambat telefon ditekap ke telinga.
“Helo,”
“Helo. Ehem. Awak sibuk tak tengah hari nanti?” Suara tuan besar menyapa telinga. Dengar saja suara Encik Iddin, badan Suriya terus tegak.
“Err… agak sibuk.” Tergagap-gagap Suriya membalas. Sambil itu matanya terpaku pada timbunan fail yang hampir-hampir memenuhi mejanya. Dia jugak yang bagi semua kerja ni, boleh pulak tanya aku sibuk ke tak. Huhu… rungut Suriya di dalam hati.
“Hmm… tak kiralah kerja awak banyak mana pun, tengah hari ni ikut saya jumpa client. Pukul 12.00 saya tunggu awak di parking lot. No more excuses. Titik.”
Klik!
Iddin pantas meletakkan ganggang telefon. Dia senyum segaris. Misinya menjadi. Hanya tunggu waktu tengah hari saja. Badan disandarkan pada belakang kerusi. Kepalanya bukan ligat memikirkan perihal kerja sekarang ni. Tapi fikirannya sudah sampai di Hotel Grand Bluewave. Berangan!
Suriya tak lepas dari memandang ganggang telefon yang telah membisu itu. Apa kes pulak pakcik ni? Demam ke? Tetiba ajak aku jumpa client. Tu bukan kerja si Badrul ke? Tapi, kenapa dia nak heret aku sama? Tu bukan kerja aku! Haila. Ganggang diletakkan kembali di tempatnya.
“Kak Ani, Bad mana ek?” Suriya pantas menyoal Noraini.
“Bad? Tadi ada je kat meja dia,” Noraini dan Suriya sama-sama pandang meja Badrul. “Eh, ke mana pulak mamat ni lesap?” Noraini menyoal pelik.
“Laa… saya tanya akak, akak tanya saya balik. Ada pulak macam tu,” Suriya menggelengkan kepala. Macam-macamlah Kak Ani ni.
Suriya menyambung kembali kerjanya. Membiarkan persoalan yang tadinya menghurung kepalanya tergantung begitu sahaja. Ah, kenapa pulak aku nak beratkan kepala dengan hal si Badrul ni?  Suriya gelengkan kepala. Fokus pada kerja, Suriya Anggerik!

Khamis, 7 Februari 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 5



**SALAM.... N3 DI POST MALAM-MALAM PULAK HARI NI.... JOM LAYAN, SEMOGA TERHIBUR...

SUDAH hampir sebulan Suriya bekerja di situ. Hurm… Kerja semakin bertimbun. Minggu pertama dulu, dia merungut tak ada kerja. Sekarang, tak menang tangan dia nak buat semuanya. Mana lagi kejar deadline. Aduh! Memang tak terkejar kalau semua nak cepat. Hari ni seperti juga minggu lepas. Suriya terpaksa pulang lambat lagi. Jam sudah menginjak ke pukul 8.00 malam. Nasib baik dia sedang bercuti dari solat. Jadi tak adalah rasa terkejar-kejar nak ke bilik solat. Sesekali matanya meliar memandang sekeliling ruang pejabat itu. Selain dia, ada dua orang lagi rakan sekerja yang turut membuat kerja lebih masa sepertinya. Paliza dan Yusof. Paliza bertugas di bahagian akaun, manakala Yusof di bahagian pembangunan sistem.
Suriya capai muk yang berada di tepi skrin PC. “La… dah habis pulak,” kalau ikut rasa hatinya, memang dia malas nak ke pantri. Tak buat air, dahaga pulak tekak ni. Akhirnya dia akur. Lambat-lambat dia menapak ke pantri.
Sementara menanti air masak, Suriya mengelamun seketika di kerusi yang tersedia di situ. Kerja banyak lagi tak siap. Satu saja yang dia fikirkan. Nanti nak balik dengan apa? Pak Mail tak dapat datang ambil hari ni sebab kurang sihat. Kawasan syarikat ni pulak susah nak dapat teksi. Kalau siang tu banyaklah teksi. Tapi sekarang sudah malam. Mintak tolong pada Nini? Sudah dua hari Nini ke Melaka kerana berkursus. Haih. Kan susah kalau tak ada lesen dan tak pandai pandu kereta. Semuanya kena bergantung dengan orang.
Ting!
Air sudah masak. Pantas tangan Suriya mencapai cerek elektrik dan air Nescafe dikacau di dalam muk. Sambil menatang muk di tangan, sambil matanya melilau memandang ruang pejabat. Yusof tiada di mejanya. Hanya lampu bilik Paliza saja yang masih terpasang. Yusof dah balik ke? Hatinya berdetik. Spontan kepalanya tertoleh ke kiri, ke arah bilik bos besar. Melalui cermin bilik, dia nampak ada biasan lampu dari dalam bilik itu. Dia tak balik lagi ke? Sekali lagi hatinya berdetik.
Biasanya Suriya balik pukul 7.00 malam. Itu waktu yang paling lewat sepanjang dia kerja kat pejabat tu. Tapi sekarang dah pukul 8.30 malam, dan bilik itu masih lagi terang. Memang selalu dia balik lewat ke? Soalan itu muncul dibenaknya.
“Kak Liza, Yusof dah balik ke?” Suriya pantas menyoal sebaik nampak kelibat Paliza.
“Haah, dah balik tadi. Su kenapa tak balik lagi?”
“Banyak kerja ni. Deadline dah dekat.”
“Oh macam tu. Akak dah nak balik ni, tak apa ke Su duduk sorang-sorang kat dalam pejabat ni?” Paliza gusar juga mahu biarkan Suriya seorang diri menyiapkan kerja di dalam pejabat itu.
“Tak apa kak, Su okey je duduk sorang-sorang kat sini. Hmm… Su cuba siapkan sikit lagi kerja ni. Lepas tu baru Su balik,” ujar Suriya, sekadar menyedapkan hati Paliza. Sedangkan hatinya hanya Allah saja yang tahu.
“Okeylah kalau macam tu. Akak balik dulu ya,”
Suriya menganggukkan kepala. Mata kembali memandang skrin. Dia tenggelam di dalam dunia kerjanya. Kerana terlampau asyik dengan kerja, dia tak sedar masa yang semakin pantas berjalan. Dia pandang jam diskrin PC.
“Allah! Dah hampir pukul 10.00 malam!”
Lantas dia capai segala barang-barangnya dan disumbat masuk ke dalam beg kerja. Kalau larat, dia akan sambung kat rumah nanti. Buru-buru dia bawa keluar beg tangan dari laci. Dia takut semakin lama di pejabat, semakin susah dia nak dapatkan khidmat teksi. Sejurus menutup semua lampu, dia bergegas  keluar dari bangunan itu.
“Lambat balik cik?” Pak Wahid yang bertugas sebagai pengawal bangunan menegur Suriya.
“Haah, banyak kerja pak cik. Saya pergi dulu ya pak cik,”
“Baiklah.”
Suriya perlu menapak ke perhentian bas kerana teksi dan bas hanya akan berhenti di situ sahaja. Lima minit Suriya berdiri tegak di situ. Tak ada sebuah pun teksi yang berhenti. Matanya tak berkelip memandang jalan dan jam di tangan bersilih ganti. Hatinya sudah berdetak tak enak. Tambah lagi ada sorang mamat mana entah kat belakang dia ni. Aduh! Mana pulak teksi ni?
Berdentum guruh di langit mengejutkan Suriya. Kepala laju mendongak ke atas. Kilat sedang memanah di atas sana. Allah! Nak hujan ke? Ya Allah, Kau janganlah turunkan hujan sekarang. Kalau nak turun pun, biarlah lepas aku dapat teksi. Suriya berdoa di dalam hati. Teksi ni pun satu, kat manalah sebanyak-banyak teksi kat Selangor ni sampai tak nampak satu pun malam ni. Dia orang mogok ke apa? Jam sudah hampir ke pukul 11.00 malam.
Pin, pin, pin.
Bunyi hon buat Suriya tersentak. Laju kepala diangkat. Sebuah kereta mewah berhenti di hadapannya. Siapa pulak ni? Sudahlah seluruh cermin kereta gelap, manalah nak nampak orang kat dalam tu. Sebabkan tak kenal pemandu itu, Suriya buat tak tahu ajelah. Beg kerja dia peluk rapat ke dada. Dalam hati tak sudah berdoa. Bimbang jika berlaku perkara yang bukan-bukan. Entah-entah orang jahat. Mana tahu kalau orang jahat ke.
Pin, pin, pin.
Eh, apa pulak duk main hon-hon ni? Rungut Suriya di dalam hati.
Tiba-tiba tingkap kereta diturunkan.
“Awak nak balik ke? Cepatlah masuk. Hari nak hujan ni,” wajah lelaki itu masih samar-samar di mata Suriya. Siapa pulak ni? Tak kenal batang hidung, tiba-tiba ajak naik kereta dia.
“Anggerik.” Kepala Suriya kembali menegak. Dia panggil aku ke? Rasanya tak ada orang lain lagi yang panggil aku dengan nama tu. “Cepatlah!” Gesa lelaki itu lagi. Hujan renyai-renyai mula membasahi bumi.
“Err… Siapa ni?”
“Ni sayalah, takkan dah tak kenal kut.” Iddin siap bukakan pintu lagi untuk Suriya. “Jom masuk.” Lambat-lambat Suriya menurut.
Sejurus punggungnya mencecah kusyen kerusi penumpang, Iddin terus memecut kereta membelah jalan raya. Dan hujan lebat mula turun menyembah bumi.
“Awak tinggal kat mana?” Sambil mata memandang jalan raya, sambil itu dia menyoal Suriya.
“Err… Kat Kajang,”
“Oh, sejalanlah kita. Saya pun tinggal kat Kajang jugak.”
“Oh,” balas Suriya pendek. Kalau ikutkan hatinya, dia nak jugak tahu kat mana bos dia ni. Tapi… ah, biarkan ajelah.
Ruang antara mereka kembali senyap. Suriya lebih suka melayan perasan sendiri. Manakala Iddin pula menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap jalan raya. Entah apa mimpi Iddin tidak pulak dia tahu. Mendadak ajak dia tumpang sekali. Sebelum ni mana pernah bos besar dia ni ajak tumpang bagai. Bercakap pun jarang-jarang. Ada tak ada pun masa nak serahkan tugasan kat Suriya. Itu pun dengan nada dingin yang amat. Tak pernah lagi mereka berbual mesra. Mungkin dia kasihan kut sebab Suriya sorang-sorang je tengah tunggu teksi kat situ. Malam pulak tu.
Jangan ditanya kenapa Iddin menumpangkan Suriya malam ini, Iddin tak punya jawapan untuk soalan itu. Hatinya tiba-tiba saja tergerak untuk menumpangkan Suriya. Kelibat Suriya menunggu teksi atau bas seorang diri di tengah-tengah malam begitu buat dia bimbang. Takut terjadi apa-apa ke atas Suriya. Bukan dia pinta tapi segala macam boleh berlaku. Tambah lagi ditempat sunyi dan di tengah malam.
Hujan lebat mula turun membasahi bumi sebaik saja kereta Iddin berhenti di simpang lampu isyarat. Kalau aku terus tunggu tadi, mau basah kuyup! Sah-sah esok terpaksa ambik MC. Desis hati Suriya. Guruh berdentum di langit.
“Rumah awak kat mana ni?”
“Hah?”
“Saya tanya, rumah awak kat mana? Kajang ni besar.”
“Err… Taman Puncak Saujana,”
Lima belas minit kemudian, Iddin kembali menyoal.
 “Hmm… yang mana satu rumah awak ni?”
Eh, dah masuk taman perumahan aku ke? Serius, Suriya masih bingung.
“Yang depan tu encik, yang pintu pagar kayu tu,” beritahu Suriya.
Iddin turuti kata-kata Suriya. Dia berhenti betul-betul di depan pintu pagar yang dikatakan itu. Tanpa menunggu lama, Suriya capai pemegang pintu kereta dan bersiap untuk keluar dari perut kereta.
“Awak tinggal dengan siapa kat rumah ni?” Iddin menyoal sambil memandang ruang dalam rumah yang gelap-gelita. Langkah kaki Suriya yang baru sebelah berada di luar kereta terhenti mendadak.
“Err… dengan abang saya.”
“Oh, ingatkan dengan suami,” gumam Iddin perlahan, lebih kepada diri sendiri.
“Apa dia encik?” Laju mulut kecil Suriya menyoal. Dia dengar apa yang bosnya katakan tadi.
“Apa, apa pulak? Tak ada apa-apalah,” gugup Iddin berselindung.
“Oh, okey. Terima kasih encik.” Ucap Suriya sambil melepaskan pintu kereta.
Suriya baru saja mahu melangkah merapati pintu pagar, tingkap kereta dibuka oleh Iddin.
“Esok awak pergi kerja dengan apa?” Ringan aje mulutnya menyoal.
“Saya naik teksi,”
“Oh. Okeylah saya gerak dulu, selamat malam.” Pamit Iddin. Dalam hati sudah membuak-buak mahu memberikan tawaran supaya Suriya menumpangnya esok. Tapi… sabar Iddin, sabar. Jangan gelojoh!
Suriya hanya memandang belakang kereta majikannya berlalu pergi. Terasa macam mimpi pula bos yang selama ni dingin macam ais tu, hantar dia balik hari ni. Walaupun masih terasa kedinginan itu tapi sekurang-kurangnya tidaklah sedingin ketika di dalam bilik pejabatnya. Ah, biarlah dia. Apa kes pulak aku asyik duk ingat pasal dia? Rungut Suriya di dalam hati. Dia cepat-cepat bergegas masuk ke dalam rumah. Tak boleh lama-lama kat luar rumah. Takut ada yang sedang perhatikan dia.

SEPANJANG perjalanan balik ke rumah abinya di Country Heights Kajang, senyuman tak lekang di bibir Iddin. Hatinya kembang setaman. Dia sendiri tak tahu untuk apa senyuman itu. Tapi apa yang dia rasakan adalah perasaan gembira yang amat. Gembira yang tak boleh digambarkan dengan kata-kata.
“Lalalala…” Spontan Iddin menyanyi kecil, menggambarkan rasa hatinya yang sangat gembira. Sehinggakan dia tak perasan ada sepasang mata yang asyik memandangnya.
“Amboi, gembiranya hati! Siap menyanyi bagai. Apa yang digembirakan sangat tu?” Suara orang bertanya tiba-tiba menyapa telinga Iddin. Pantas dia berpaling.
“Laa… Mak Yam rupanya. Nasib baik tak gugur jantung saya. Suka sungguh Mak Yam terkejutkan saya.” Sungut Iddin. Mak Yam ketawa kecil. Sebetulnya dia sangat suka melihat Iddin gembira begitu. Sudah lama dia tak melihat Iddin versi ini. Yang ada cuma Iddin versi masam, cemberut dan seangkatan dengannya.
“Dah kamu berjalan tak pandang kiri kanan, mana tak terkejut. Mak Yam dah lama berdiri kat pintu ni. Apa yang kamu gembirakan sangat tadi tu?” Mak Yam sengih.
“Oh, tak ada apalah Mak Yam. Kisah budak-budak,” Iddin senyum dan kenyit mata ke arah Mak Yam sebelum berlalu masuk ke dalam rumah.
“Isy, budak ni. Selalu nak berahsia,” Mak Yam menggelengkan kepala. Lantas dia turut sama masuk ke dalam rumah dan pintu utama dikunci.
Tanpa Mak Yam dan Iddin sedari, ada sepasang mata ralit memerhatikan tingkah mereka dari sebalik jendela kaca di tingkat atas rumah agam itu. Entah sampai bilalah hubungan mereka akan terus renggang begini. Iddin anaknya. Tapi jurang yang tercipta antara mereka sejak berbelas tahun lalu amat susah dipulihkan kembali. Sudah pelbagai usaha telah Tuan Ikmal lakukan tapi semuanya menemui jalan buntu.
Akhirnya dia menarik kembali langsir jendela dan badan direbahkan di atas katil.