Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 28 Januari 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 4


~BAB 4~
salam.... bajet asal nak letak bab ni lepas balik dr KL... tp malam ni berubah hati pulak.. so sy up naik bab ni malam ni.. hehehe.. harap suka n enjoy.. permulaan cerita ni sedikit slow.. huhuhu

SURIYA bersiap-siap mahu ke pejabat. Sejurus jam menunjukkan pukul 5.30 pagi, matanya sudah celik. Tindakan refleks akibat bunyi jam yang diset di telefon bimbit. Kalau dulu, dia akan terus sambung tidur selepas mematikan bunyi penggera. Kini, dia akan merenung siling seketika, menantikan azan subuh berkumandang. Selepas itu barulah dia bangun dan bergerak ke bilik air.
Siap segala-galanya, tepat pukul 6.30 pagi, dia akan berangkat ke pejabat. Pak Mail memang sudah terpacak di depan pintu pagar waktu-waktu macam ni. Sengaja dia keluar awal kerana tak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Keluar awal, sempatlah dia sampai kat pejabat dalam pukul 8.00 pagi. Waktu bekerja bermula pukul 9.00 pagi.
Suriya tarik sedikit tudung agar kemas di kepala. Okey, siap! Selepas puas menilik wajah sendiri di cermin, dia berlalu ke tingkat bawah. Jam dipergelangan tangan dia pandang sekilas. Sudah pukul 6.35 pagi. Mesti Pak Mail dah tunggu kat luar. Getus hati kecilnya.
“Su,” langkah kaki Suriya mati. Dia mengeraskan tubuh, menanti bicara Rozairul seterusnya. “Jom, along hantar Su pergi kerja.” Sambung Rozairul, ditangannya sudah menggenggam kunci kereta.
“Tak payahlah, Su naik teksi saja,” tolak Suriya. Jelas, masih ada nada berjauh hati di situ.
Driver teksi tu dah balik. Along yang suruh dia balik.” Mendatar suara Rozairul.
What?!” Spontan Suriya meninggi suara. Matanya bersinar garang membalas pandang mata Rozairul.
“Sepanjang along ada kat sini, along yang akan hantar Su. Nanti, bila along dah start terbang, Su pergi kerja dengan teksi tu.” Selamba Rozairul berkata. Dia sudah menekan penggera keretanya. “Jomlah,”
Along memang suka buat keputusan sendiri! Dengus Suriya. Hatinya berdongkol geram.
“Nak pergi ke tak ni? Pintu tu jangan lupa kunci.” Rozairul masih macam tadi.
Huh! Dalam marah, dalam geram, Suriya turutkan juga arahan Rozairul. Pintu kereta dia tarik kasar. Bertentum bunyinya.
“Oit, along tahulah Su tengah marah. Tercabut pintu tu nanti siapa nak tanggung?”
Gantilah sendiri! Tak kuasa aku nak tanggung! Sahut hati Suriya. Hatinya kalau sudah panas, janganlah nak usik ke nak pujuk ke, memang tak jalan. Sepanjang perjalanan ke tempat kerja Suriya, tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulut mereka. Baik Suriya mahu pun Rozairul. Dua-dua ambil langkah membisu seribu bahasa.
“Dah sampai,” suara Rozairul mencantas lamunan Suriya.
Suriya tersentak sekejap. Dia membuka kereta dan menolak pintu kereta.
“Eh, dah lupa ke?” Rozairul menyoal sambil hulur tangan untuk bersalam. Nak jugak? Cepat-cepat Suriya capai hujung jari dan dicium sekilas. Tak kuasa nak berlama-lama. Dia sibuk melayan rajuk di hati.
Rozairul menggelengkan kepala melihat telatah Suriya. Kalau dah merajuk, memang macam tu. Suka tunjuk protes bagai. Bukan baru sehari dua dia kenal Suriya tapi dah bertahun-tahun. Dah masak sangat dengan perangai adiknya ini. Gear dimasukkan dan kereta mula bergerak, meninggalkan bangunan IMIA Sendirian Berhad.

IDDIN tercengang. Terhenti langkahnya seketika kerana adegan itu. Siapa lelaki itu? Adakah Suriya sudah berkahwin? Tapi, seingat aku dalam resume dia tak ada pun status sudah berkahwin. Yang ada hanya status bujang. Kalau masih bujang, siapa lelaki itu pada Suriya? Tunang? Takkan baru bertunang dah cium tangan bagai, kalah suami isteri! Suriya pakai tudung. Sangat tak berpadanan status dengan tingkahnya.
“Eh, bos. Apasal tercegat bagai ni?” Badrul menegur. Tetiba bos aku jadi tiang elektrik kat tengah-tengah lobi syarikat. Apa kes? Hati Badrul tertanya-tanya.
“Hah? Tak ada apa-apalah. Hmm… Macam mana holiday? Enjoy? Opss… silap, bukan holiday. Honeymoon right?” Iddin sengaja mengalihkan topik. Pandangannya juga sudah tertumpu pada Badrul di sebelah. Kaki juga kembali menyambung langkah, menghala ke lif.
Apa punya soalan bos aku ni? Macam perli aku aje. “Hmm… bolehlah.” Sepatah Badrul menjawab.
“Bolehlah aje? Apa kes pulak? Gaduh ke?” Mereka kini di dalam lif. Hanya mereka berdua saja kerana jam baru menginjak ke angka 7.40 pagi. Waktu kerja bermula pukul 9.00 pagi.
“Oit, mulut cabul betul! Apa gaduh-gaduh? Mintak simpanglah bos! Kalau nak tahu macam mana rasanya, cuba bos kahwin dulu. Baru tahu.” Badrul sudah mengeluarkan cadangan gila-gila. Konon cadangannya tu sangat-sangat bergeliga. Dia siap tayang sengih lagi.
“Kahwin mana boleh cuba-cuba. Macam nak main-main pulak.” Sanggah Iddin. Sejahil-jahil dia, tak pernah lagi terlintas nak buat semua tu.
“Dah tu, bos tanya sangat. Saya jawablah.”
“Ah, sudahlah. Kerja, kerja.” Mereka terpisah diruangan depan pintu bilik Iddin. Iddin masuk ke dalam biliknya dan Badrul merapati mejanya.
Di dalam biliknya, Iddin masih tak lepas memikirkan siapakah gerangan lelaki yang menghantar Suriya itu. Kepala dia sandarkan pada kerusinya. Eh, kejap. Suriya ni budak MSU. Aku belajar kat sana jugak dulu. Maknanya kami satu universiti. Tapi dia ni intake tahun bila eh? Hmm… ha! Resume dia! Tangannya ligat membelek timbunan fail di atas mejanya. Mana tahu kalau-kalau ada kat atas meja tu.
Eh, resume semua pekerja mestilah ada dengan HR? Apasal ngok sangat aku ni! Iddin tepuk dahi. Ganggang telefon dia capai dan nombor bilik Mimi, HR di syarikat itu. Kurang sepuluh minit kemudian, fail berisi resume pekerja baru bernama Suriya Anggerik sudah berada di atas mejanya.
Fail yang bertimbun di atas mejanya sikit pun dia tak pandang. Ada hal yang lagi penting dari semua fail itu.

“KAK, Su nak tanya sikit boleh tak?” Suriya merapati meja Noraini. Kerusi dari meja sebelah dia tarik dan terus duduk.
“Hmm… apa dia?” Mata Noraini tak berkalih dari sebuah fail. Tengah banyak kerja ni.
“Tapi akak macam sibuk aje,” tangan Suriya gatal mengusik salah satu fail yang bertimbun.
“La, biasalah. Tak apa, tak ganggu pun. Ha, apa yang Su nak tanya tadi tu?” Noraini memang kaki kepoh. Mana tahu soalan Suriya ni akan bawa satu cerita baru.
“Tak ada. Saya konfius ni. Setiausaha Encik Iddin tu memang lelaki ke?” Suriya tayang muka keliru.
“La, imgatkan apalah tadi. Hmm… betullah tu. Memang si Bad tu setiausaha Encik Iddin. Bukan setiausaha aje tau tapi merangkap PA jugak. Dia baru masuk hari ni lepas cuti dua minggu.” Beritahu Noraini.
“Oh,” setiausaha lelaki? Patutlah Kak Ani cakap orang dalam ofis ni cop dia gay! Desis hati Suriya. Dia senyap sambil melihat Noraini siapkan kerjanya. “Lamanya dia cuti.”
“Cuti kahwin, Su.” Balas Noraini pendek. Erk! Kelu lidah Suriya sekejap.
“Eh, tapi…” ayat Suriya mati kerana ada suara yang tiba-tiba mencelah.
“Kak Ani, siapkan dokumen ni. Encik Iddin nak hari ni jugak.” Meja Noraini dihampiri seseorang. Pantas kepala Suriya mendongak, mahu melihat siapa si empunya diri.
“Alahai Bad sayang, akak tak tahulah sempat siap ke tak ni. Yang tengah tunggu giliran pun dah berlambak ni.” Ujar Noraini lemah.
“Lisa mana kak?” Mata Badrul melilau mencari kelibat Lisa yang dia sebutkan itu.
“Lisa MC hari ni, tu yang akak kelam-kabut sangat ni. Semua nak cepat, haih.” Noraini mengeluh di hujung kata-katanya. “Eh, lupa akak nak kenalkan. Bad, ni Suriya. Su, ini Badrul. Badrul ni setiausaha merangkap PA kepada Encik Iddin. Su ni pulak web developer baru. Korang kenal-kenallah ye,” Badrul dan Suriya hanya berbalas anggukkan kepala.
“Selamat datang ke IMIA Technology Sendirian Berhad.” Ucap Badrul sambil senyum manis. Kalau aku tak kahwin lagi, memang dah lama aku rembat minah ni. Hati kecilnya berkata-kata.
“Terima kasih,” Suriya lempar senyuman kepada Badrul.
“Oh ya kak, tolonglah kak. Kalau boleh siapkan hari ni ya. Kalau tak, takut Encik Iddin tu mengamuk. Akak kenalkan dia macam mana. Haih, kalau tak siap hari ni susah kerja saya. Saya nak tolong akak pun kerja saya sendiri berlambak kat atas meja tu.” Kata-kata Badrul tertuju kepada Noraini.
“Yalah, yalah.” Balas Noraini. Dia dah malas nak berbalas cakap dengan Badrul. Akhirnya bukan dia yang menang.
“Terima kasih akak sayang!” Girang suara Badrul sebelum berlalu ke mejanya. Suriya pulak memang menjadi pemerhati tak bergaji kat situ. Sudah dia bosan, nak buat kerja, tak ada kerja. Setelah dipastikan Badrul benar-benar jauh dari meja Noraini, Suriya terus mengajukan soalan. Tak menyempat!
“Kak, akak cakap orang cop Encik Iddin tu gay, macam mana tu?” Suriya berminat sangat nak tahu pasal Iddin dan gelaran yang diberikan orang itu. Hmm…
“Kalau akak jawab, apa yang akak dapat? Su nak tolong akak siapkan semua kerja ni ke?” Haa… tu dia. Dah keluar ayat minta pengeras!
“Eh, taklah macam tu…” Ayat Suriya terhenti kerana namanya dipanggil Badrul. Tak sedar langsung Badrul merapati tempat duduknya. Agak-agak Badrul dengar tak perbualan dia dengan Noraini tadi? Kalau Badrul dengar, masak aku! Desis hati kecil Suriya.
“Err… Suriya, big boss nak jumpa awak.”
Big boss?” Kening Suriya sudah terjongket sama.
“Encik Iddin tu ha, dia nak jumpa awak.”
“Sekarang ke?”
“Eh, taklah. Semalam! Apa punya soalanlah awak ni, mestilah sekarang.” Ada aura merungut nada Badrul tu. Habis, Suriya banyak tanya sangat!
“Hmm… yalah.”
Suriya anggat punggung dan berlalu ke bilik Iddin. Terlupa terus soalan yang dia ajukan kepada Noraini tadi. Pintu bilik di ketuk. Sejurus mendengar laungan penghuni dalam bilik, terus dia memulas tombol pintu dan menapak perlahan masuk ke dalam bilik besar itu.
“Err… Encik nak jumpa saya?”
“Hmm…” Mata dan tangan Iddin masih tertumpu pada sebuah fail. “Saya nak awak uruskan pelanggan ini,” fail yang dia belek tadi dia hulurkan kepada Suriya.
“Hah?”
“Saya tahu awak tak ada pengalaman kerja. Tapi ini tugas pertama awak di sini. Anggap ini sebagai cabaran pertama awak di dalam dunia IT.” Dingin seperti ais suara lelaki tu. Macam orang tak ada perasaan!
Dia tengah nak uji kau tu. Tak apa, kau ambil aje tugasan dia. Kau buktikan pada dia yang kau boleh buat! Jangan biarkan dia pandang kau sebelah mata. Hei, ini Suriyalah! Suara hatinya menyuruh. “Okey, saya sahut cabaran encik. Ada apa-apa lagi?”
“Dah tak ada apa-apa. Segala maklumat tentang syarikat tersebut dah ada dalam fail tu. Nombor telefon pegawai yang patut berurusan dengan awak pun dah ada kat dalam tu. Awak boleh mulakan kerja sekarang. Selamat bekerja!”
“Terima kasih,” Suriya angkat punggung dan berlalu keluar dari bilik itu. Tidak betah dia berlama-lama di dalam sana. Silap-silap, dia bertukar jadi ais! Sejuk sangat!
“Apa kes?” Laju Noraini menyoal. Kalau dah mulut kepoh tu, memang akan selamanya kepoh! Hahaha…
“Eh, akak kan banyak kerja. Ada masa pulak nak dengar kisah saya?” Terang-terang Suriya menyindir.
“Amboi, dah pandai ya sekarang!” Noraini cubit kasar lengan Suriya. Alah, cubit-cubit manja saja.
“Aduh!” Sengaja Suriya mengaduh.
“Mengada-adalah tu. Bukan sakit pun!” Kata Noraini sambil berlalu ke mejanya. Baik aku buat kerja aku dari melayan makcik ni.
Yes! Berjaya dia patahkan soalan demi soalan dari Noraini yang bakal menyerangnya. Hahaha… Suriya berlalu ke mejanya. Fail di tangan perlu diteliti. Ini tugasan pertamanya. Harap-harap pelanggan ni tak banyak kerenah.

Sabtu, 26 Januari 2013

PESTA BUKU 1 MALAYSIA DI PWTC


ASSALAMUALAIKUM & SELAMAT PAGI....

Untuk makluman semua(bagi yang tak tau lagi la), PESTA BUKU 1MALAYSIA 2013 akan diadakan pada 30 Januari hingga 3 Februari 2013 bertempat di PWTC Kuala Lumpur...

Giliran saya akan berada di sana pada 2 Februari 2013.. pada yang nak jumpa saya, nak bergambar, nak sign, meh la ramai2 kita banjirkan PWTC..... jumpa di sana..... :)







Sabtu, 19 Januari 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 3


“TERIMA kasih pak cik,” ucap Suriya kepada pemandu teksi yang dikenali sebagai Pak Mail itu.
“Sama-sama. Petang ni pukul berapa nak pak cik datang ambil?”
“Pukul 6.00 petang. Pak cik dah ada nombor telefon saya kan?”
“Ada. Baiklah, pak cik pergi dulu.”
Selepas kelibat teksi Pak Mail hilang dipandangan mata, Suriya menegak di hadapan bangunan pejabat Syarikat IMIA Technology Sendirian Berhad. Dia terpaksa menerima cadangan Nini supaya menggunakan khidmat Pak Mail sebagai pemandunya. Tambah lagi Rozairul masih lagi belum tamat bertugas. Penerbanganya delay kerana keadaan cuaca yang buruk di Jepun. Nafas ditarik dalam-dalam dan dilepas perlahan. Akhirnya lambat-lambat dia mengatur langkah ke lif untuk ke tingkat lima, seperti mana yang dikhabarkan oleh Cik Noraini ketika menelefonnya tiga hari lepas.
“Assalamualaikum, saya Suriya Anggerik Murad. Boleh saya berjumpa dengan Cik Noraini?” Suriya terus menyoal di sebuah meja yang tertulis setiausaha Encik Iddin.
“Wa’alaikumussalam. Jadi inilah Suriya nya? Calon yang datang temuduga minggu lepas?”
“Ya, saya.”
“Isy, tak payah nak formal sangatlah. Panggil aje akak ni Kak Ani. Panggilan ‘cik’ tu tak kenalah Suriya, akak dah kahwinlah. Dah ada anak pun.” Noraini ketawa perlahan. Kelakar pula dia tengok rakan sekerja barunya ini. Nampak masih takut-takut. Suriya pula hanya ukir senyum paksa. Dia gugup sebenarnya. “Akak ni sementara aje jadi setiausaha Encik Iddin. Meja akak kat sana tu. Akak kerani biasa aje, tapi sebabkan setiausaha Encik Iddin cuti, akaklah yang terpaksa ganti tempat dia. Mari, akak bawa awak jumpa Encik Iddin.” Ramah sungguh mulut Noraini bercerita tentang itu dan ini.
Suriya ekori langkah Noraini dari belakang. Noraini ketuk pintu bilik yang tertulis Iddin Amsyar Ikmal.
“Masuk!”
Noraini tolak pintu bilik itu sejurus mendengar laungan bos besar di dalam.
“Encik, ini Suriya yang lapor diri hari ni untuk jawatan web developer.” Beritahu Noraini. Sedangkan wajah bos besar itu sibuk menunduk. Apabila mendengar suara Noraini, barulah terangkat sedikit kepalanya.
“Hmm… Akak kenalkan kepada semua pekerja dan tunjukkan di mana meja kerja dia.” Tanpa nada Iddin menutur. Mata kembali memandang kertas-kertas di tangan. Erk! Ini ke bosnya? Apasallah macam orang tak berperasaan? Hmm… Entah berapa lamalah aku boleh tahan dengan orang begini. Suriya mengomel di dalam hati.
“Okey bos!”
Suriya bergerak keluar dari bilik itu, masih mengekori langkah Noraini.
“Anggerik.” Tiba-tiba mulut Iddin memanggil. Langkah Suriya mati. Dia panggil aku ke? Lambat-lambat dia berpusing. “Selamat datang ke IMIA Sendirian Berhad.” Ucap bibir itu. Masih lagi dalam mood tak berperasaan. Kepala juga masih seperti tadi. Bos aku ni lebih suka pandang fail tu dari pandang aku ke? Apa muka aku ni tak cantik? Omel hati Suriya.
“Terima kasih,” balas Suriya. Dia sambung kembali langkah kaki yang terhenti seketika tadi.
Di muka pintu bilik, mereka bertembung dengan seorang lelaki yang mahu masuk ke dalam bilik bos besar itu. Noraini berbalas senyum dengan lelaki itu.
“Err… Kak Ani,” Suriya memanggil Noraini sejurus pintu bilik Encik Iddin tertutup rapat. Ringan mulutnya mahu bertanyakan tentang bosnya itu.
“Ya?”
“Err…”
“Suriya nak tanya pasal Encik Iddin kan? Su janganlah ambil hati dengan Encik Iddin tu. Dia memang macam tu. Bukan dengan Su aje dia macam tu, dengan semua perempuan dia macam tu. Entahlah. Susah akak nak cakap. Dengar dari mulut ke mulut, dia jadi macam tu sebab putus tunang. Tapi akak tak tahulah betul ke tak cerita tu. Ada jugak orang cop dia gay. Isy, entahlah.” Cerita Noraini. “Eh, tak apa ke akak panggil Su aje ni? Akak ni suka-suka hati aje panggil orang kan,” Noraini ketawa.
“Tak apa kak.” Suriya senyum. “Err… Lelaki tadi tu siapa?”
“Oh, yang tu sepupu Encik Iddin, Shahrul namanya.”
“Oo…”
“Okey, jom kita ke sesi perkenalan pula.” Ajak Noraini. Suriya akur.

SEHARIAN Suriya di pejabat itu pada hari pertama. Apa yang dia rasa cuma satu, bosan! Selepas sesi perkenalan bersama Noraini pagi tadi, dia terus ke mejanya. Dia pandang ke kiri, Maria sedang sibuk merenung skrin komputer. Dia pandang ke depan, Huzair sedang membuat lakaran. Tak tahu lakaran apa tapi nampaknya seperti model pembangunan web. Suriya berpeluk tubuh. Kerjanya dari tadi hanya memerhatikan gelagat rakan sekerja. Ruang mejanya masih bersih tanpa sebarang fail. Getaran telefon bimbitnya dari dalam laci mengejutkan Suriya. Pantas dia bawa keluar telefon itu.
Mesej dari Nini.

+ Salam. Macam mana first day kau kat sana? Seronok?
-Wsalam. Boring!
+ Weh! Apa kes pulak boring ni?
-Tak ada kerja.
+Pulak!

“Su,”
“Hah? Ada apa kak?” Suriya terkejut. Mana tak terkejutnya kalau tengah-tengah best ber’sms’ dengan Nini, tiba-tiba Noraini menegur.
“Tak nak balik ke? Sudah pukul 6.00 ni.” Ujar Noraini. Dibahunya sudah tersangkut beg tangan. Pantas mata Suriya memandang jam dipergelangan tangan.
“Oh. Nasib baik akak tegur, kalau tak, sampai ke malamlah saya kat pejabat ni.” Sahut Suriya sambil bawa keluar beg tangan dari dalam laci. Meja Maria dan Huzair juga sudah kosong tak berpenghuni.
“Tak apa kalau sampai ke malam pun. Tu Encik Iddin ada lagi,”
Encik Iddin ada lagi? Laju kepala Suriya tertoleh pandang ke bilik bos besarnya. Masih cerah lagi bilik itu. “Dia tak balik lagi? Memang selalu dia balik lewat ke kak?” Suriya menyoal sambil berjalan beriringan dengan Noraini.
“Entahlah. Tapi biasanya kalau akak nak balik, bilik Encik Iddin tu masih terang-benderang. Pukul berapa dia balik tak tahulah akak,”
“Oh,”
Sampai di lobi syarikat, mereka berpecah kerana Pak Mail sudah menunggu Suriya di depan bangunan syarikat.
“Dah lama ke pak cik sampai?” soal Suriya pada Pak Mail.
“Baru lagi Su,”
Pukul 8.00 malam baru dia sampai di rumah abangnya akibat jalan sesak teruk. Pertama kali Suriya terperangkap di dalam kesesakan jalan raya di waktu puncak. Ruang tamu rumah terang tanda lampu terpasang di ruang itu. Along dah balik ke? Dia tertanya sendiri.
Usai mengunci pintu pagar, dia merapati pintu utama. Tombol pintu dipulas. Tak berkunci? Masuk saja ke dalam rumah, dia sudah ternampak batang tubuh abangnya di ruang tamu. Allah!
“Su ke mana?” Rozairul terus bertanya. Dia tak menunggu lama. Serius wajah itu merenung adiknya.
“Err… Along ingat tak interview yang Su pergi minggu lepas tu? Yang kat Shah Alam tu,” Suriya berdiri di depan Rozairul bagai pesalah yang bakal menerima hukuman.
“Hmm… ingat, kenapa?” Muka Rozairul masih serius. Kalau ikut hati, memang dia nak marah Suriya tapi sebelum tu, dia perlu bertanya dahulu.
“Tiga hari lepas orang dalam syarikat tu telefon. Su disuruh lapor diri hari ni. Su dah cuba call along tapi tak dapat,” terang Suriya.
“Kenapa tak mesej aje along? Kurang-kurang along tahu ke mana adik along pergi. Susah sangat ke Su?” Sedikit memprotes nada Rozairul. “Su pergi dengan apa?”
“Err… Su, Su pergi dengan teksi.” Tergagap-gagap Suriya menjawab. Di dalam kepalanya ligat berfikir sama ada mahu menipu Rozairul atau berterus-terang saja. Akhirnya bibirnya memilih untuk berterus-terang. Lebih baik alongnya tahu sekarang. Keadaan akan jadi lagi buruk jika dia tak berterus-terang sekarang. Silap-silap, Rozairul suruh dia berhenti. Tak ke naya!
What?! Dulu Su cakap nak pergi dengan Nini, macam mana pulak pergi dengan teksi ni?” Rozairul naik angin.
“Err… Nini tak dapat hantar sebab tempat kerja Su jauh dari tempat kerja dia. Driver teksi yang ambil dan hantar Su ni bukan orang lain, jiran Nini jugak. Dia memang kenal Pak Mail ni.” Bersungguh dia memberitahu kedudukan sebenar. Janganlah Rozairol tak bagi dia naik teksi Pak Mail. Dengan apa pulak dia nak pergi kerja nanti?
“Mulai esok, Su tak payah pergi dengan driver teksi tu. Abang yang akan hantar dan ambil Su nanti.” Suriya tercengang dengan kata-kata Rozairul.
“Hah? Apa along ni?! Masa along ada kat darat ni, bolehlah along ambil dan hantar Su. Tapi bila along terbang nanti, siapa nak hantar dan ambil Su? Tolonglah along. Tolong jangan jadi macam budak-budak. Su nak ambil lesen kereta, along tak bagi. Bila Su nak naik teksi tak boleh. Sampai bila along nak kongkong Su? Sampai masanya nanti, Su dipinang orang. Takkan masa tu along nak tahan Su suruh duduk bawah ketiak along lagi? Huh!” Suriya melepaskan rasa yang terbuku di dalam hati. Dia geram.
Rozairul terhenyak. Dia tak sangka adiknya akan berkata begitu. Adik yang dia tatang sejak kecil tiba-tiba naik angin. Rozairul bersandar pada sofa. Silapkah jika dia menjaga setiap langkah Suriya? Sikit pun dia tak berniat nak kongkong Suriya.
Beg tangan dia sambar kasar dan berlalu ke bilik. Beg tangan dia lempar ke atas katil sebelum badan dihempas kasar ke atas tilam. Huh! Rasa marahnya masih belum surut. Sikap mengongkong alongnya sangat-sangat ketara. Sikap mengongkong yang menjadikan dia memberontak. Buat itu tak boleh, buat ini tak boleh. Siapa tak memberontak?
Bunyi telefon dari dalam beg tangan mengejutkan Suriya.
“Siapa pulak yang mengacau malam-malam ni? Aku dahlah tengah angin ni!” Dia biarkan deringan itu senyap sendiri. Malas dia nak bercakap time ni. Namun,  telefonnya tak terus diam. Telefon pemberian Rozairul itu kembali berdering minta diangkat.
“Ya Allah! Kau berbunyi lagi? Tak faham bahasa ke apa orang yang telefon ni?” Suriya mendengus. Dia benar-benar geram.
Lantas dia bawa keluar juga telefon dari dalam beg tangan. Dia pandang skrin telefon sekilas sebelum melayangkan jari ke permukaan skrin.
“Hmm… ada apa call aku ni?” Suriya menyoal dengan nada malas. Semamngnya dia tak ada mood nak layan si Nini bersembang bagai.
“Macam mana dengan kerja kau? Okey?”
“Tadikan kau dah tanya masa aku kat ofis. Aku nak cerita apa lagi kalau jawapannya masih sama?” Nak aku cakap bahasa Tamil ke baru faham?! Sambung Suriya di dalam hati.
“Tadi kau cerita sekerat jalan aje. dua kali aje kau balas mesej aku, lepas tu terus senyap. Huh!”
“Dah tiba masa balik, buat apa lagi. Aku pun nak cabutlah.”
“Weh, ceritalah pasal tempat kerja kau, pasal bos kau, pasal semualah. Aku serius nak tahu ni.” Bersungguh Nini merayu. Dia ni memang dahagakan gosip!
Suriya mengeluh. Dalam mengeluh dia turutkan permintaan Nini. Dalam rasa marah kepada Rozairul yang masih belum surut, dia ceritakan juga apa yang dia alami di pejabat siang tadi. Kalau tak cerita kang, ada jugak yang merajuk bagai dengan dia nanti. Segala-galanya diceritakan. Yang paling penting pasal bosnya. Hmm… bos yang gay, itu kata Noraini. Tapi dia sendiri tak tahu betul ke tak gelaran itu.
“Oh, macam tu. Hmm… tapi kenapa aku dengar suara kau tadi macam marah-marah aje. Apa kes?” Nini cuba mengorek cerita lain pula dari sahabat baiknya ini.
“Aku gaduh dengan abang aku.”
“Gaduh? Apa kes pulak kau bergaduh bagai?”
“Along aku tulah. Dia marah aku naik teksi Pak Mail tu. Grr… Mana tak berangin aku. Aku pun ungkitlah segala benda. Aku nak ambil lesen kereta, dia tak bagi, lepas tu mulalah nak kongkong aku. Nanti bila aku dah kahwin, dia nak aku duduk bawah ketiak dia jugak? Huh!” Suriya melepas geram.
“Kenapa kau tak kahwin saja?” Mendadak Nini menyoal. Nini sebut pasal kahwin, otaknya turut sama terfikirkan hal itu.
“Kahwin? Kahwin dengan siapa makcik oi?” Tegak Suriya bingkas bangun dari baring atas katil. Kawan aku ni pun, nak bagi cadangan tu agak-agaklah!
Hmm.. Kau cakap bos kat tempat kerja kau tu handsome. apa kata kau pikat dia!” Nini di hujung talian sudah ukir senyum lebar. Saja aje dia nak kenakan Suriya.
Woi! Gila kau! Kau nak mampus. Dia tu anak orang kaya, aku ni apa yang ada? Kayap!”
Kau tak cuba manalah kau tau. Cubalah dulu. Amacam?”
Isy! Tak nak aku! Dia gaylah!”
Eh, aku suruh kahwin ajelah. Bukannya suruh kau ehem-ehem dengan dia.”
Habis, kalau tak ada ehem-ehem, apa guna kahwin? Ngoklah kau ni!”
Eh, kau nak bebas dari along kau ke tak? Aku dah bagi cadangan superb terbaik, kau tak nak ikut pulak!”
“Terbaiklah sangat! Cadangan luar alam! Dahlah, aku nak tidur. penat!”
Nini gelak besar. Bukan dia bersungguh pun. Saja nak main-main dengan Suriya. Perbualan antara mereka tamat. Suriya kembali rebahkan badan di atas katil. Cadangan luar alam dari Nini kembali berlegar di dalam kepalanya hinggalah dia tertidur.

Selasa, 15 Januari 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 2


**salam semua.. selepas lebih 2 minggu ruang blog ini berehat, hari ini saya mulakan letak n3 baru.. semoga terhibur.. permulaan yg simple2 aje..:)


PINTU kereta Iddin tolak malas. Seharian di pejabat, badannya sudah keletihan. Terasa sangat lesu. Mana tak lesunya kalau selepas subuh dah keluar bekerja. Hampir tengah malam baru sampai kat rumah. Tak macam orang lain yang petang dah sampai kat rumah. Badannya dah macam robot. Asyik ingat kerja, kerja, kerja yang tak pernah habis.
“Baru balik Din?” Satu suara menyapa. Iddin mencari arah datangnya suara itu. Mak Yam rupanya. Senyuman dilemparkan ke arah Mak Yam, penjaganya sejak kecil. Wanita itu sudah dianggap seperti uminya sendiri. Abi sibuk dengan kerja. Umi pulak dah lama meninggal. Sejak dia kecil lagi.
“Haah. Mak Yam tak tidur lagi?”
“Tadi Mak Yam dah nak masuk tidur tapi terasa nak check pintu ni, takut-takut tak kunci lagi.”
“Oh. Din naik dululah Mak Yam.” Pinta Iddin dan menapak ke tangga.
Mak Yam memandang belas belakang anak majikannya itu. Dia sangat kasihankan Iddin. Sejak kecil tak pernah merasa kasih sayang seorang ibu. Abinya jauh sekali. Abinya lebih pentingkan kerja, sebab itulah hubungan mereka dua beranak tak berapa nak baik. Jika Iddin ada diruang tamu, Tuan Ikmal akan memerap di dalam bilik kerjanya. Masa makan pun susah nak nampak mereka dua beranak duduk semeja. Seperti dua orang musuh terperangkap di dalam sebuah rumah. Mak Yam mengeluh. Dia tak boleh berbuat apa-apa. Hanya sekadar memandang sahaja. Dia tidak punya hak untuk bersuara. Sekadar orang gaji di rumah besar itu, apalah sangat yang dia boleh suarakan. Mak Yam berlalu masuk ke dalam biliknya.
Di dalam bilik, Iddin melemparkan tubuhnya di atas katil. Dia baru saja mandi. Orang cakap mandi malam tak elok, tapi semua tu tak pernah dia percaya. Tubuh dia biarkan terdedah disapa penghawa dingin. Hanya sehelai boxer yang tersarung di pinggangnya. Selepas mandi, matanya terasa segar kembali. Sudah tak rasa mengantuk. Dia mencapai iPad dari atas laci kecil bersebelahan dengan katilnya.
Jarinya mula berlari di atas skrin sesentuh itu. Ikon Facebook dia buka. Dia bukanlah seorang yang fanatik dengan laman sosial sebegitu tapi sesekali jika tiada kerja dia buka juga. Sekadar melihat-lihat status orang lain. Nak harapkan status dia memang taklah. Dia malas nak buat status bagai ni. Entah, rasa macam tak selesa bila kehidupan peribadi diuar-uarkan kepada umum. Kemudian, dia letak kembali iPad di tempat asalnya.
Dia terpandangkan sesuatu. Laci ditarik keluar. Matanya merenung sekeping gambar. Gambar seseorang yang tidak pernah bertentang mata dengannya. Seseorang yang telah dijemput ilahi 27 tahun lalu. Dia, Puan Munirah, ibu kandung Iddin Amsyar. Dicapai gambar itu dan dia renung lama. Terasa rindu itu sangat membuak-buak. Gambar ditekap di dada, simbolik kepada memeluk tuan empunya gambar. Sungguh! Dia rindukan umi. Dia rindu untuk memanggil wanita itu umi. Air mata jantannya luruh setitis demi setitis, menuruni lekuk pipi dan terus mengalir hingga ke dagu.
Kepala diletakkan di atas bantal. Matanya sudah mengantuk. Dia tertidur sambil memeluk gambar itu. Esok dia ulang lagi buat aktiviti yang sama. Walau terasa bosan, terpaksa juga dia lakukan.

SURIYA bangun awal pagi itu. Memang selalu-selalunya dia bangun awal. Tapi tak tetap waktu aje. Selesai mandi, dia terus menapak ke dapur. Rambut yang masih basah sedang elok berbungkus dengan tuala. Kabinet dibuka, mencari apa-apa makanan yang boleh mengalas perut. Lapar ni. Rozairul pulak tak ada, dah terbang. Suriya tarik paket minuman cereal. Hmm.. Bolehlah dari tak ada langsung.
Sambil menunggu air masak, dia menekan butang on pada radio. Terdengar suara Fara Fauzana dan Faizal Ismail riuh berceloteh tentang isu semasa. Tersenyum panjang Suriya mendengarkan celoteh mereka berdua. Kelakar sangat!
Ting! Suriya mencapai cerek elektrik, air panas dituang ke dalam muk berisi cereal. Alamak, tersilap tuang banyak air panas pulak! Lambat lagilah nak sejuk ni. Bisik hati Suriya. Ah, tak apalah.
Sementara menanti air sejuk, Suriya panjat tangga, mahu ke bilik. Tuala di kepala dia cabut dan disidai dirak. Ketika mahu menyikat rambut, matanya terpandangkan telefon bimbitnya yang berkelip. Siapa pulak ni? Dahinya berkerut melihat nombor telefon yang terpapar di skrin. Nombor yang tak dikenali. Sedang berfikir, telefon bergetar sekali lagi. Tawakal ajelah. Mungkin orang silap nombor.
“Helo,”
“Helo, selamat pagi. Boleh saya bercakap dengan Cik Suriya Anggerik?” Sapa suara di hujung talian. Sah, memang orang ni call dia.
“Ya saya,” Suriya rasa macam orang salah pulak.
“Begini cik, saya Noraini, wakil dari syarikat IMIA Technology Sendirian Berhad. Minggu lepas, cik ada datang temuduga di syarikat kami kan?”
“Ya, saya.” Dada Suriya sudah berdebar kencang. Terasa macam peluangnya cerah. Tapi dia tak boleh terlebih teruja. Biar wakil syarikat tu bagi tahu keputusan dahulu.
“Selepas beberapa kali saringan, pihak atasan bersetuju memilih cik untuk mengisi kekosongan jawatan ini. Cik diminta lapor diri tiga hari dari sekarang.” Beritahu Noraini. Suriya terdiam. Dia tercengang sebenarnya. Masih tak percaya. “Cik, cik. Masih ada lagi ke?” Noraini kepelikan. Apasal senyap aje cik ni?
“Hah? Ya, ya. Ada lagi ni. Sorry, saya terkejut sekejap.” Gugup Suriya menjawab.
“Okey, cik datang ke pejabat kami tiga hari lagi ya. Terima kasih.”
“Sama-sama.” Ucap Suriya. Dia pandang kosong telefon yang telah senyap itu. Rasa terkejutnya masih belum hilang.
“Aku dapat kerja tu?” Suriya tepuk pipi sendiri. Sah! Dia tak mimpi. Memang betul, dia dapat kerja tu! Dia memang tak berharap sangat dengan kerja tu. Kalau tak dapat kira bagus juga. Pekerja kat situ pelik semacam aje. Hari dia pergi temuduga tu pun dah terasa mereka semua macam menyombong aje! Tapi dah dapat ni terima ajelah. Redahlah Suriya oi!
Dia mahu menelefon alongnya.
“Eh, along kerjalah!” Dia tepuk dahi. “Ha, call Nini ajelah.” Lalu, dia mencari nombor telefon Nini.
“Weh, apa hal kau call aku ni? Aku tengah kerjalah.” Suara Nini berbisik di hujung talian. Suriya ni telefon salah masa, hari ni ada rondaan dari orang atasan ke pejabatnya. Ini pun pegawainya sudah mencerlung tajam kerana dia sedang menjawab telefon.
“Ala kau ni, aku caru aje call dah kena sound.” Suara berjauh hati Suriya sudah keluar.
“Eh, aku tak ada masa nak dengar kau nak merajuk bagai. Lepas kerja hari ni aku pergi rumah kau, hari ni orang besar turun melawat ofis ni.” Cengeng sungguh anak bongsu ni! Cemuh Nini.
Belum pun sempat Suriya berkata, talian sudah dimatikan. Suriya mendengus. Orang ada juga masa sibuk. Aku aje yang tak pernah kenal apa itu sibuk. Dah nama pun penganggur terhormat, jadi nak sibuk ikut celah mana? Mestilah ada masa lapang je memanjang. Eh, silap-silap. Dia bukan lagi penganggur terhormat. Baru aje dapat kerja ni. Lepas ni, dia kenallah makna sibuk itu. Telefon diletak di atas almari di dapur. Cereal yang sudah sejuk sedikit dia hirup perlahan. Merasa nikmatnya minuman itu.

PETANG itu, seperti yang dijanjikan, Nini datang ke rumah Suriya.
“Nasib kau datang, kalau tak datang tadi, malas aku nak kawan dengan kau!” Jelas nada berjauh hati Suriya. Sambil tangan ligat membukakan pintu pagar.
“Eleh, kalau tak kawan dengan aku, kau nak kawan dengan siapa? Sembanglah kau ni!” kata Nini sambil melenggang masuk ke perkarangan rumah abang Suriya. “Oit! Kau masak apa ek? Aku laparlah, tak sempat nak rehat tengah hari tadi. Bos besar ada datanglah.” Nini gosok perut, tanda lapar yang amat.
“Amboi! Kau ingat aku ni tukang masak kau? Asal datang rumah aku, makan yang kau tanya awal-awal.” Rungut Suriya. Dia sudah bercekak pinggang.
“Habis tu, asal datang rumah kau aje, perut aku terus rasa lapar.” Balas Nini. Dia duduk di atas kerusi sofa di ruang tamu.
Suriya masuk ke dapur. Langsung dia tak hiraukan Nini di ruang tamu. Dia capai muk dan tangan menarik pintu peti sejuk. Air Ribena yang telah dia sediakan di dalam jag, terus dia tuang ke dalam muk.
“Weh! Ada makanan tak?” Suara Nini yang mendadak itu telah mengejutkan Suriya. Laju tangannya mengurut dada. Nasib baik muk di tangan kirinya tak terjatuh ke lantai.
“Hoi! Apa sergah aku tiba-tiba ni? Nasib baik aku tak ada sakit jantung!” Mencerlung mata Suriya memandang Nini. Geram sungguh dia.
Nini sikit pun tak heran dengan kata-kata Suriya. Sebaliknya, dia menonong menjengah periuk di atas dapur. Tunggu kawan baiknya ini pelawa, memang taklah! Mau kebulur aku menunggu! Omel hati Nini. Ada lauk asam pedas! Laju tangannya mencapai pinggan dan diisi nasi. Dia sudah terlebih hafal setiap selok belok rumah ni. Dia dah biasa sangat tidur kat sini kerana biasanya jika abang Suriya kerja, Suriya akan menyuruh dia tidur di rumah itu.
“Amboi! Laju aje bab makan!”
Nini buat bodoh aje. Dia terus menapak ke meja makan. Nini kalau dah makan, memang tak pandang kiri kanan. Ibarat kata, kalau mak mertua lalu, confirm dia tak nampak!
“Oit! Apa hal yang penting sangat kau nak cakap kat aku tu? Tak menyempat.”
“Aku dah dapat kerja,” beritahu Suriya. Dia pandang Nini yang sedang menjilat jarinya. Eii! Tak senonoh betul anak dara sorang ni!
“Serius? Kat mana?” Membulat mata Nini. Nampak sangat terkejut.
“Yang aku pergi temuduga minggu lepas tu. Tapi aku rasa macam nak tolak aje,”
“Hoi! Apa kes pulak kau nak tolak? Hii… Bukan senang nak dapat kerja sekarang ni. Isy, macam-macam hallah kau ni!” Nini tak puas hati. Dah dapat kerja tu kira bersyukurlah sikit.
“Aku tak berkenanlah dengan penemuduga tu, entah apa-apa entah.”
“Eh, mak cik. Kau bukannya kena kerja dengan dia nanti. Dia tu tukang interview kau aje. Yang kau susah hati sangat ni kenapa?”
“Habis tu?”
“Terima ajelah. Sekarang ni bukan senang tau nak dapat kerja. Tolak tuah tau kalau kau tolak tawaran ni. Dahlah syarikat besar. Kalau aku, dah lama aku rembat!” Nini bangun dan menghilang ke dapur.
Suriya mengeluh. Dia tenung lama almari hiasan di hadapannya. Dalam kepalanya sedang menimbang cadangan Nini dan juga rasa hatinya. Dia tak tahu nak ikut yang mana. ikut rasa hati atau ikut cadangan Nini. Hmm…
“Hoi, fikir apa lagi tu? Tak payahlah nak serabutkan kepala fikir sangat. Kalau aku jadi kau, aku terima aje. Senang. Tak payah nak bebankan kepala, fikir itu, fikir ini.” Nini tepuk bahu Suriya perlahan.
“Hmm… Nantilah aku fikirkan. Tapi… kalau aku terima tawaran ni, macam mana aku nak pergi kerja? Jauh jugak syarikat ni, kat Shah Alam sana.” Hampir-hampir dia terlupa pasal itu. Masalah terbesar tu.
“Hmm… Yang tu lagi satu masalah,” ada lagi satu masalah rupanya. Nini terfikir-fikir. Bukan dia tak kenal abang si Suriya ni. Itu tak boleh, ini tak boleh. Semua nak dikongkongnya. Kadang dia jatu kasihan dengan Suriya. Sesuatu terlintas dibenaknya. “Aha! Kau kenalkan jiran sebelah rumah aku tu. Pak Mail.”
“Pak Mail? Kenal, kenapa dengan Pak Mail?” Kening Suriya sudah berkerut. Apa ke pelik soalan kawan aku ni? Demam ke apa?
“Pak Mail kan driver teksi. Alah, Pak Mail okey, tak macam driver teksi yang lain tu. Macam ni, apa kata kau slow talk dengan abang kau. Aku slow talk dengan Pak Mail. Harap-harap semuanya okey.”
“Hmm… Bergeliga jugak otak kau ni.” Selamba Suriya menggosok kepala Nini. Tapi sempat ditepis oleh Nini.
“Heh! Kepala jangan main aa…”
Suriya ketawa lepas. Tahu sangat dengan Nini yang tak suka orang usik kepala dia. Setengah jam kemudian, kelam-kabut Nini meminta diri untuk pulang. Emaknya sudah bising menelefon bertanyakan kenapa dia masih belum pulang sedangkan hari sudah malam. Tinggallah Suriya keseorangan di rumah itu.