Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Khamis, 28 Jun 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB18

salam.. hampir 2 minggu sy berehat dr update blog ni.. ada yg rindukan Harith dan Arlyssa ke?? okey, dah boleh baca.. komen n like ye.. tq dear..;)

***********************************************************************

PETANG seminggu yang lepas Puan Aini dan Syed Yusri berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Mulanya Puan Aini tak mahu ikut Syed Yusri tapi disebabkan yang rumah sana cuma ada Bibik Nor saja jika Puan Aini mahu tinggal lama di sini. Tak manis pula jika begitu. Tinggallah Harith dan Arlyssa di rumah besar itu. Hubungan kembali seperti dulu. Harith dengan hal Harith, Arlyssa dengan halnya sendiri. Sorang ke timur, sorang ke barat. Entah bila akan bertemu pada titik paksi yang betul pun tak tahu.

Arlyssa semakin terbeban dengan masalah syarikat. Pernah dia bertanya pada pekerja-pekerja senior tentang masalah yang syarikat alami. Tapi semuanya hanya jawapan yang menghampakan. Tak tahu adalah jawapan lazim. Ada juga dirisik dengan Linda tapi hanya beberapa kerat saja yang Linta tahu sebab dia baru lagi bekerja di situ dan hanya pekerja bawahan pula. Arlyssa bengang jugak dengan keadaan begini. Langsung tak nak beri kerjasama. Hampir-hampir dia naik angin. Tapi apabila memikirkan yang dia ke mari bukan sebagai pemilik syarikat tapi sebagai pegawai pemasaran, disabarkan rasa marah yang menggunung.

Interkom berbunyi tanda ada panggilan penting.

“Assalamualaikum,” bibirnya sudah terbiasa menyambut panggilan dengan salam sejak kebelakangan ini. Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar Harith jugak.

Minggu lepas Harith menghadiahkan beberapa buah buku tentang islam, tentang solat. Banyak yang dia pelajari dari buku-buku itu tersebut selain tunjuk ajar dari Harith sendiri.

“Wa’alaikumussalam. Boleh saya bercakap dengan pegawai pemasaran syarikat ni?” Suara seorang lelaki menampan telinganya. Dia dapat mengesan ada riak dingin di situ.

“Ya saya bercakap. Err.. ada apa yang boleh saya bantu?” Sehabis lembut dia menyoal. Hati pelanggan kena jaga kerana pelangganlah sumber rezeki syarikat.

“Macam mana awak buat kerja ni? Masa tawarkan pakej ni dulu macam-macam yang awak janji. Ada free gift la apalah. Tapi sampai sekarang batang hidung kapal terbang pun saya tak nampak! Tiket yang awak bagi ni tak ada langsung dalam senarai penerbangan! Kau semua ni makan duit haram! Dah lama buat kerja macam ni?!” sembur lelaki yang dia tak tahu nama apa itu.

Arlyssa terdiam. Dia tergamam sebenarnya. Nafas ditarik dan dilepas perlahan.

“Kenapa diam? Takut?!” Tengking si pemanggil. Memang tak sabarlah pemanggil ni. Eh, kalau aku berada di tempat lelaki ni pun aku melenting sama.

“Err.. Encik nama apa? Bila penerbangan yang akan encik naik? Bukan apa, senang saya nak check dengan kakitangan kami.”

“Najwan, flight saya hari ni. Pukul 11.00 tadi!”

“Okey, saya check sekejap. Nanti saya telefon balik ya,”

“Eh, berapa lama pulak saya kena tunggu ni?!” Tengking lelaki itu lagi.

“Encik Najwan, saya kena check dengan kakitangan saya dahulu sebelum saya boleh jawab tuduhan encik ni,”

“Huh!” Dengus Najwan sambil meletak kasar ganggang telefon.

Terperanjat Arlyssa. Hisy! Nak lepas geram pun agak-agaklah. Nombor telefon meja Linda pula dia tekan.

“Ya, puan?”

“Linda, saya nak tanya. Siapa yang uruskan pelanggan nama Najwan?”

“Najwan? Bila penerbangan dia?”

“Katanya hari ni, pukul 11.00 pagi tadi.”

“Rasanya ni semua Puan Alin yang uruskan. Sebelum ni memang dia yang uruskan semua pelanggan.”

“Awak pass kan line ni kat dia? Customer dah berapi serang saya,” rungut Arlyssa pada Linda.

“Err… Puan, Alin dah berhenti sejak seminggu yang lepas.”

What?! Habis, siapa yang take over kerja-kerja dia?” Melenking suara Arlyssa. Kesabarannya memang sudah tak tertahan sebabkan jawapan dari Linda. Kena serang dengan pelanggan tadi dia masih boleh tahan telinga. Tapi hatinya jadi panas dengan jawapan Linda.

“Err… Shahrul yang take over kerja dia tapi rasanya Shahrul tak tahu apa-apa pasal kes ni,”

“Allah!” Sabar wahai hati, sabar. Arlyssa cuba menyabarkan hati walaupun rasanya ia mungkin akan gagal. Sebelah tangan memegang kepala. “Semua ni ada dalam record tak?”

“Sekejap saya check,” pinta Linda dan Arlyssa menunggu seketika di corong telefon.

“Puan, memang ada dalam record tapi cuma ada tarikh booking. Kat sini tak ada pun maklumat tentang bayaran,”

“Okey,”

Arlyssa menelefon kembali Najwan selepas berbual seketika dengan Linda. Agak lama dia menunggu sebelum panggilan bersambut.

“Helo,”

“Assalamualaikum Encik Najwan,”

“Hmm… Macam mana?”

Tak jawab salam pun! Rungut Arlyssa.

“Kalau encik datang ke pejabat kami hari ni boleh tak? Saya akan selesaikan semua masalah encik. Kami akan bayar ganti rugi dan encik akan dapat pakej yang baru.” Ujar Arlyssa satu-satu.

“Habis cuti saya siapa nak ganti? Ingat senang-senang ke nak batal macam tu aje? Ah, tak kira. Saya akan bawa kes ni ke mahkamah!” Najwan ni memang spesies angin memanjang agaknya. Orang dah slow talk nak tinggi-tinggi suara pulak. Ni dah kira untung sangat aku nak bercakap lembut-lembut macam ni. Dengus Arlyssa. Tapi kalau dia lawan balik dengan meninggikan suara jugak, kes akan menjadi bertambah buruk.

“Eh, encik. Tak payahlah kira bawa ke mahkamah. Buat apa naik court kalau kes boleh diselesaikan di luar mahkamah. Buang masa hakim aje nanti,” sempat Arlyssa berlawak untuk meredakan ketegangan Najwan.

“Eh, ada saya peduli? Yang penting hak saya sebagai pengguna terbela. Biar semua orang buka mata dengan agency travel macam kau ni! Makan duit haram!”

Dush! Arlyssa rasa macam kena tumbuk aje dengan kata-kata Najwan. Kurang ajar! Sabar wahai hati, sabar. Dada dia urut perlahan untuk meredakan ketegangan di dalam diri sendiri.

“Okey, macam nilah. Saya bayar ganti rugi dua kali ganda dari jumlah asal dan satu pakej percuma kepada encik. Macam mana? Kalau setuju jumpa saya di pejabat hari ni. Sekarang pun boleh sebab waktu pejabat dah nak habis. Boleh?” Spontan Arlyssa memberikan tawaran. Lepas dah cakap baru dia tersedar. Erk! Dua kali ganda dan pakej percuma? Huh, gila ke apa aku ni!

“Betul ni? Jangan sampai bila saya ke sana, keputusan berubah pulak.” Najwan agak ragu-ragu.

“Err… tak, tak. Saya akan beri dua kali ganda ganti rugi dan satu pakej percuma. So, encik setuju?” Ujar Arlyssa walau kata-katanya agak tak yakin pada permulaannya.

“Okey, bagi saya setengah jam. Saya akan ke sana.”

“Baiklah, kalau begitu. Saya tunggu.”

Selepas menghulurkan salam, Arlyssa meletak ganggang telefon dan pantas bergerak ke arah pintu bilik. Dia perlu laju.

“Linda!” Panggil Arlyssa.

“Ya, puan?” Linda sudah bersiap-siap mahu melangkah balik. Waktu pejabat dah tamat.

“Awak dah nak balik ke?” Arlyssa bimbang sebenarnya. Bimbang kerana jika Linda juga turut balik, tinggal dia sorang diri di pejabat ni. Bahaya tu! Nanti Najwan pulak nak datang.

“Haah, kenapa puan?” Riak gelisah yang terpamer di wajah Arlyssa dapat dibaca Linda.

“Awak temankan saya boleh tak? Sekejap lagi Encik Najwan nak datang berbincang pasal kes dia tu. Tak manis pulak kalau hanya saya dan dia aje kat pejabat ni.” Beritahu Arlyssa.

Alah, kalau balik lambat nanti, aku nak balik dengan apa? Lewat-lewat takut bas tak ada pulak. Linda berfikir.

“Tapi puan, kalau lewat sangat tak ada bas. Saya nak balik dengan apa,”

“Oh, awak tak payah risau. Saya hantar awak balik nanti.”

“Okeylah,” Linda akur juga akhirnya. Hati kecilnya bimbang juga jika biarkan pegawai baru itu berjumpa dengan pelanggan sorang diri.

“ASSALAMUALAIKUM,” sapaan satu suara mengejutkan Arlyssa dan Linda. Tempat perjumpaan mereka telah berubah kerana Linda cakap tak elok nak jumpa di pejabat yang telah tiada orang tu. Haah la, memang bahaya. Dan mereka turun ke kedai makan di sebelah pejabat.

“Waalaikumussalam,” kepala dipanggung. Arlyssa tercengang. Dia?! OMG! Huh!

“Err.. jemput duduk,” Arlyssa mempersilakan Najwan duduk. “Encik nak order apa-apa?” Arlyssa sehabis cuba mengawal suara dan mengawal perasaan. Dia tak nak melibatkan apa-apa perasan. Benda dah lepas, biarlah lepas.

“Teh saja,” ujar Najwan kepada pelayan yang datang ke meja mereka.

“Kita tak payah buang banyak masa, ini apa yang saya janjikan.” Arlyssa hulur sampul surat berisi pakej dan cek ganti rugi yang telah dia janjikan dengan Najwan. Najwan mencapai huluran itu dan membelek isinya.

“Okeylah, semua dah settle. So, rasanya dah tak ada apa-apa.” Arlyssa dan Linda serentak bangun. Mereka berdua memang tak rancang pun nak minum ke apa ke, mereka cuma nak jumpa Najwan aje dan beri sampul surat tu.

“Lyssa,” panggil Najwan spontan membuatkan langkah Arlyssa terbantut. Alamak! Dia kenal ke?!

“Err.. kita pernah kenal ke? Encik salah orang ni,” Arlyssa cuba menenangkan perasaan yang sedang bergelodak hebat.

“Saya kenal awak. Awak ni Arlyssa kan?”

“Tak, saya bukan Arlyssa. Encik dah salah orang. Jom, Linda,” Arlyssa menarik tangan Linda dan cepat-cepat berlalu dari situ. Panggilan dari Najwan dia tak hiraukan.

Peristiwa lama biarlah ia berkubur begitu saja. Arlyssa tak ada masa nak fikir-fikir. Sementelah lagi dia sudah bergelar isteri orang. Hal Harith pun dia tak habis nak fikir lagi, ni kan pula nak fikirkan orang lain.

“Lys, kenapa ni? Tak sihat ke?” Suara Harith mengejutkan Arlyssa.

“Ha? Err.. Tak ada apa-apalah,”

Arlyssa bingkas bangun dari sofa. Beg tangan yang terdampar di atas meja kopi dia capai dan berlalu longlai masuk ke dalam biliknya. Harith pelik dengan kelakuan Arlyssa. Kenapa dengan Lys ni? Penat sangat ke? Banyak sangat ke kerja kat syarikat tu? Bertubi-tubi soalan berlegar di dalam otaknya. Lagi satu yang dia perasankan sikap Arlyssa ni, sejak akhir-akhir ni dia selalu balik lambat. Kadang-kadang pukul 9.00 malam baru sampai kat rumah.

Dia ada dengar perbualan antara Syed Yusri dan Arlyssa semasa Syed Yusri ke mari minggu lepas. Arlyssa perlu menyamar sebagai pegawai pemasaran yang baru ditukarkan dari Kuala Lumpur kerana perlu menyiasat masalah yang dialami cawangan Hajra Travel di sini. Besar ke masalah tu? Sepanjang Arlyssa masuk bekerja, tak pernah pulak dia ceritakan apa-apa masalah berkaitan syarikat. Dia pun tak rasa nak tanya. Sebab baginya dia tak ada hak nak masuk campur urusan kerja syarikat keluarga Arlyssa. Nanti tak pasal-pasal dikata penyibuk pulak.

Haih. Harith melepaskan keluhan dan berlalu ke dapur. Mi goreng mamak yang sudah terhidang di atas meja makan dia pandang sekilas. Dia dah makan ke belum? Hati kecil Harith menyoal. Ah, tanya dalam hati bukannya tuan badan tu tahu. Lantas dia ke bilik Arlyssa.

“Lys, Lys. Awak nak makan tak?” Panggil Harith sambil mengetuk perlahan pintu bilik.

Senyap. Tak ada sahutan.

“Dah tidur ke?” Harith berbisik perlahan.

“Lys, Lys.” Masih tak ada sahutan.

Ah, masuk jelah. Daun pintu dia tolak perlahan. Matanya terpaku melihat batang tubuh Arlyssa berbaring di atas katil. Baju tak bertukar lagi. Jangan kata baju, tudung pun tak buka lagi. Sah belum mandi ni. Dah tidur ke? Eh kau ni, dah mata dia tertutup rapat mesti dah tidur tu.

“Lys, Lys.” Bahu Arlyssa dia cuit perlahan. Haih, tidur mati ke dia ni? Tak berkutik langsung.

“Lys,” dia panggil lagi

“Hmm..” sahut Arlyssa malas.

“Awak dah makan ke belum?”

“Tak nak,”

Heh, aku tanya dah makan ke belum, bukannya nak makan ke tak. Tak menjawab soalanlah dia ni. Tak nak? Tak nak makan ke? Harith duduk di sebelah Arlyssa. Wajah putih mulus itu dia pandang lama.

“Kalau tak nak makan pun, pergilah mandi dulu. Tak elok awak mandi lewat malam,” tangan Harith perlahan-lahan mendarat pada tudung yang membaluti kepala Arlyssa. Keronsang di bawa dagu dia buka dan mahu menarik perlahan tudung itu.

“Eh, apa ni?” Gerakan tangan Harith terhenti mendengarkan soalan memetir dari Arlyssa. Tegak tubuh Arlyssa bangun dari pembaringan.

“Saya nak tolong buka tudung tu, kesian kat rambut awak. Dari pagi duk berbungkus macam tu,” jawab Harith. Orang nak tolong pun banyak songeh. “Tak ada maknanya saya nak ambik kesempatan,” Harith bangun dan berlalu keluar dari bilik itu.

Bukannya nak berterima kasih, kena marah pulak. Rungut Harith.

Khamis, 21 Jun 2012

MANUSKRIP KYKS

salam semua....
ni bukan nak pos ECH yeee.. ekekekekekeke....
saya just nak bagitau, manuskrip KYKS sudah masuk proses editing dengan editor..
harap-harap semuanya berjalan lancar ye.. sama2 kita berdoa...
editor ada bg cadangan nak tukar tajuk.. whoaa... rasanya x nak tukar.. byk makna tajuk tuuu...
apa-apa pun kita tunggu n lihat je yeee...

with love;
fieyza fadlina

Sabtu, 16 Jun 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB17

**salam.... seminggu tu terasa lama pulak.. rindu nak baca komen dr readers smua... yg pasti ramai silent readers.. alaaaa.. sesekali blh x kalau bg komen skit.. sy suka sgt kalau ada yg komen.. dan itulah yg sy tunggu2... huhuhu.. ok, ni ada sambungan minggu lepas.. sila baca n komen yee... pls3..;)

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

TUDUNG di kepala Arlyssa tarik agar terasa sedikit kemas dan terletak elok di atas kepala. Batang tubuh Harith yang sedang membetulkan leher kemeja dia pandang sekilas melalui cermin meja solek. Apabila dirasakan sudah selesai bersiap, Arlyssa jinjit beg tangan dan berlalu keluar dari bilik itu. Meninggalkan Harith sendirian di situ. Terasa panas pulak kalau berlama di dalam bilik!

“Eh, mama tak ikut sekali ke?” Arlyssa menegur Puan Aini di dapur. Dia tegur sebab lihat Puan Aini hanya mengenakan baju yang biasa dia pakai untuk santai kat rumah.

“Emm.. Mama tak ikutlah, mama rasa nak duduk kat rumah je,” jawab Puan Aini.

“Kalau mama ikut sama, habislah rancangan along,” tiba-tiba perbualan antara mereka disampuk Syed Yusri. Syed Yusri muncul dengan beg bimbit di tangan. Kerusi di meja makan dia tarik.

“Rancangan?” Rancangan apa pulak along ni? Arlyssa masih tak tahu apa sebenarnya rancangan Syed Yusri sebab alongnya hanya beritahu gambaran kasar sahaja. Rancangan penuh dia masih tak tahu.

“Macam ni, mama memang tak terlibat dan tak akan masuk pejabat hari ni sebab kalau mama ada sama, pekerja-pekerja kat sini sudah kenal dengan mama. Tapi mereka tak kenal kita. So, nanti kita akan masuk ke pejabat sebagai pegawai dari HQ, macam yang along cakap semalam. Dan bermula hari ni, Lys kena kerja di sini dengan jawatan sebagai pegawai pemasaran yang baru ditukarkan ke sini. Manakala tugas along cuma memperkenalkan Lys kepada pekerja di sini. Jawatan along pulak sebagai pembantu kepada Haji Jamal, kiranya macam orang kepercayaan Pak Cu la.” Syed Yusri menerangkan satu-persatu rancangan yang telah dia atur sejak di Kuala Lumpur lagi.

“Lys kena kerja kat sini? Sebenarnya apa masalah yang sedang dialami oleh cawangan sini?” Arlyssa pelik jugak, kenapa sampai dia kena menyamar sebagai pegawai pemasaran.

“Err.. setakat ni syarikat mengalami kerugian antara RM 200 ribu hingga RM 500 ribu. Itu cuma anggaran kasar. Yang selebihnya Lys sendiri kena siasat sebab along yakin ni semua adalah kerja orang dalam jugak.” Lambat-lambat Syed Yusri memberitahu maklumat sebenar. Kalau dia terus-terusan sembunyikan motif asal penyamaran Arlyssa, lambat-laun dapat tahu juga dari mulut orang lain.

Mulut Arlyssa terlopong. RM 200 ribu hingga RM 500 ribu? Banyak tu! Arlyssa berfikir. Siapalah punya kerja duk makan harta bapak aku ni?

“Sudah-sudahlah duk cakap pasal kerja. Mari makan dulu,” Puan Aini mencelah.

Arlyssa pandang ke sebelah. Harith sudah mendiami kerusi di sebelah. Eh, sejak bila pulak dia duduk kat sini? Mereka bersarapan dengan nasi lemak tapi Arlyssa hanya makan roti. Dia memang teguh dengan roti dia tu. Macam dah tak boleh dipisahkan langsung. Jaga badan ke yang? Hati Harith gatal menyoal. Di luar sedar senyuman terukir di bibir Harith.

Usai bersarapan, Syed Yusri mendahului ke laman rumah, mahu menghidupkan enjin kereta. Arlyssa cepat-cepat menyalami tangan Puan Aini dan mahu ke kereta Syed Yusri pulak. Harith hanya memandang tingkah Arlyssa. Patut ke dia tegur?

“Ehem…” Harith memberi isyarat. Arlyssa masih juga begitu. Eh,eh, macam tak ada perasaan je.

“Ehem…” Harith berdehem untuk kali kedua. Puan Aini yang berdiri tidak jauh dari anak dan menantunya memerhati setiap tingkah mereka. Alahai Arlyssa ni, masih tak faham-faham lagi ke?

“Lys, kamu tak nak salam dengan suami kamu ke? Tak baik tau tak salam tangan suami sebelum keluar rumah,” tutur Puan Aini lembut.

Arlyssa terpempam. Perlahan-lahan dia pusingkan tubuh. Dia pandang Harith, Harith pandang dia. Mata mereka bertembung. Kena salam jugak ke? Hatinya menyoal. Akhirnya dia merapati Harith.

“Nak salam,” tanpa nada dia berkata. Terasa macam bukan dia je yang mintak benda-benda luar alam macam tu.

Harith hulur tangan kanan dan pantas Arlyssa sambut. Tangan suami dia cium sekilas sebelum dilepaskan kembali. Tapi semasa dia mahu melepaskan tangan itu, genggaman Harith semakin kemas. Spontan Harith menarik Arlyssa rapat dengan tubuhnya. Pipi kiri Arlyssa dia sentuh dengan bibir sambil berkata. “Selamat bekerja, sayang.”

Arlyssa pantas menarik tangan yang berada di dalam genggaman Harith. Laju dia mendapatkan Syed Yusri yang sudah menanti di dalam kereta. Sepanjang perjalanan ke pejabat, Arlyssa tak lepas memegang pipi kiri, tempat yang Harith cium tadi. Dan panggilan ‘sayang’ masih terngiang-ngiang di tepi telinga. Kali kedua Harith memanggilnya begitu.

“Lys, tak nak keluar ke?” Arlyssa tersentak. La.. dah sampai ke? Tak sedar pulak!

“Hah? Nak keluarlah ni,” balas Arlyssa sambil meloloskan diri keluar dari kereta.

Syed Yusri tersenyum melihat Arlyssa yang sedang gelabah. Bukan dia tak nampak, sejak dari masuk dalam kereta, fikiran Arlyssa dah menerawang entah ke mana. Dah macam orang angau. Haih, kuat benar penangan Harith kat adik aku ni.

HARI Isnin itu adalah hari yang sangat sibuk untuk Harith. Ada dua kes di bawah seliaannya akan diperdengarkan di mahkamah. Sampai-sampai saja di pejabat, dia terus berjumpa Mastura kerana Mastura banyak tahu maklumat kes-kes untuk hari ni. Dahlah si anak guam tak dapat datang hari ni. Sakit katanya tapi Harith kurang percaya alasan itu walaupun sudah diberi sijil cuti sakit. Dia masak sangat dengan perangai anak guamnya ni. Tak semua yang macam ni. Ada jugak yang senang dibawa berbincang.

Sepanjang hari dia di luar. Pukul 3.00 petang barulah dia masuk kembali ke dalam pejabat. Itu pun mungkin sekejap saja sebab dia nak balik awal. Letih sangat dengan terik panas mentari dan kerenah anak guam yang kadang-kala buat dia naik angin.

Pintu utama pejabat dia tolak. Kepala dipanggung dan matanya bertembung dengan Malik. Tapi Malik cepat-cepat melarikan pandangan serta laju masuk ke dalam biliknya. Harith pandang pintu bilik Malik yang sudah tertutup rapat. Harith mengeluh sebelum menolak daun pintu bilik sendiri. Sampai bilalah mereka perlu macam ni? Sorang ke kiri, sorang ke kanan. Dulu mereka bukan main lagi akrab. Tapi hanya kerana dua orang perempuan, hubungan baik menjadi renggang. Hubungan dengan Arlyssa dah bertambah elok, hubungan dengan Malik pula yang kacau-bilau.

Erk! Hubungan dengan Arlyssa semakin baik ke? Macam semakin dingin je! Hati kecil Harith berdetik.

“Kak Mas, siapkan fail ni. Saya nak pagi esok.” Arah Harith kepada Mastura.

Mastura membelek fail itu.

“Eh, kes ni dah lama selesai encik.” Suara Mastura mematikan langkah Harith.

“Ye ke Kak Mas? Alamak, kejap saya ambil fail tu,” kelam-kabut Harith kembali ke biliknya. Dalam hati tak putus-putus hatinya merungut. Macam manalah boleh tak perasan tersilap fail ni?

“Yang ni kak, kes pembahagian harta anak-beranak ni. Dua hari lagi akan didengarkan di mahkamah.” Ujar Harith sambil menghulurkan fail yang sepatutnya kepada Mastura.

“Baiklah,” Mastura menggelengkan kepala melihat gelagat Harith. Entah apa yang tak kena pun dia tak tahu. Nampak gelabah semacam.

KELUHAN keluar dari mulut Arlyssa. Kepala yang sedang berdenyut dia pegang. Ah, besar jugak masalah syarikat ni. Awalnya dia ingatkan cuma masalah biasa aje, cuma masalah duit RM 200 ribu hingga RM 500 ribu tu aje tapi nampaknya masalah yang ada lebih besar dari tu. Masalah kaki kipas, tak mesra pelanggan dan macam-macam lagi. Macam mana nak selesaikan masalah-masalah ni semua? Dia bukannya pernah handle masalah-masalah macam ni. Apa yang dia belajar dulu cuma teori.

Ketukan di pintu bilik mengejutkan Arlyssa. Kepala dipanggung. “Masuk,” arah Arlyssa. Muncul Linda, gadis yang bekerja di bahagian kewangan.

“Ada apa Linda?”

“Ni fail yang puan mintak,” Linda hulur fail putih di tangannya. Dahi Linda sedikit berlapis kerana soalan Arlyssa.

“Oh, lupa. Terima kasih, Linda,” Arlyssa sungguh-sungguh terlupa yang dia ada suruh Linda hantarkan dokumen penting itu kepadanya.

“Saya keluar dulu, puan.” Arlyssa anggukkan kepala dan matanya sudah tertumpu pada fail itu. Rasanya dalam ramai-ramai pekerja di sini, Linda aje yang sedikit mesra dan boleh dibawa berbincang.

Saat diperkenalkan di depan semua pekerja-pekerja di sini, Arlyssa dapat mengesan riak kurang senang di mata mereka. Mungkin tugas mereka akan terganggu kerana datangnya pegawai pemasaran yang baru ditukarkan dari Kuala Lumpur ini. Walaupun sambutan yang diterima dingin, dia cuba sedaya mungkin menyabarkan hati. Pandangan mereka bagai menghantar pertanyaan, ‘kenapa perlu ada orang luar? Kami tak perlukan orang luar!’.

Kepala Arlyssa yang sudah berdenyut bertambah pusing. Macam mana nak selesaikan semua ni? Perbandingan antara fail yang baru Linda serahkan kepadanya dan fail yang Syed Yusri berikan pagi tadi, dia teliti satu-persatu. Helaian demi helaian dia belek. Hinggakan dia tak sedar masa yang sangat pantas berlalu. Tak sedar hari sudah menginjak ke petang. Pintu biliknya terkuak tiba-tiba. Terperanjat Arlyssa.

“Lys, tak nak nalik lagi ke?” Syed Yusri bertanya sambil menapak masuk ke dalam bilik itu.

“Along ni! Suka betul buat Lys terkejut.” Marah Arlyssa. “Dah pukul berapa ni?” Dia menyoal selepas itu.

“Dah pukul 6.00 la sayang,” jawab Syed Yusri.

“Heh, along ni. Jangan nak mengada-ngada panggil sayang-sayang. Nanti kalau ada yang cemburu dengar along panggil sayang kat perempuan lain, Lys tak nak campur.” Tegah Arlyssa. Bukan serius pun dia saja nak usik Syed Yusri.

“Eh, tak ada maknanya yang nak cemburu bagai.” Arlyssa capai beg tangan dan disangkutkan ke bahu. Beberapa buah fail dia kepitkan di antara lengan dan dada. Terpaksa dia bawa balik semua fail ni sebab nak study lagi. Banyak benda yang dia kena belajar. Tentang selok-belok syarikat. Untung rugi yang syarikat alami dan macam-macam lagi.

“Jomlah,”

“Dah nak balik ke? Along ingatkan nak tidur kat sini.” Perli Syed Yusri sambil mengekori langkah adiknya. “Eh, banyaknya fail. Lys nak buat apa ni?”

“Nak buat dinner. Mana tahu kut-kut mama boleh buat masak tiga rasa,” selamba Arlyssa membalas soalan yang sangat bodoh yang Syed Yusri ajukan.

“Hah? Mengarut!”

“Dah tahu mengarut buat apa along tanya. Dah nampak Lys kepit fail maknanya Lys nak buat kerja. Banyak benda yang Lys kena belajar,” Syed Yusri tersenyum. Tersedar dengan kesilapan sendiri. Hatinya gembira apabila melihat Arlyssa sudah boleh menerima apa yang dinamakan KERJA.

MAKAN malam pun sudah. Mulutnya masih terasa lagi masakan air tangan Puan Aini. Sangat-sangat sedap. Sekarang dia sedang menghadap fail-fail yang dibawa balik dari pejabat tadi. Sangat tekun dia meneliti setiap maklumat yang tercatat di dalam fail itu. Paling menarik minatnya adalah berkaitan graf turun naik kewangan syarikat. Banyaknya maklumat yang dirasakan tak tepat. Juga misteri. Misteri kerana apa yang tercatat di dalam fail bertentangan dengan maklumat yang Syed Yusri beritahu kepadanya.

Cermin mata yang sedikit terlorot dia betulkan. Dia memang rabun. Sebab tu kena pakai cermin mata. Muka surat seterusnya dia belek. Walaupun dia pening dan runsing dengan maklumat yang tercatat di situ, dia terpaksa menelaah semua maklumat itu. Tanpa dia sedari ada sepasang mata yang asyik sekali memandang setiap gerak-gerinya. Khusyuk sekali Harith perhati kelakuan Arlyssa. Laptop yang terbuka hanya sebagai alasan untuk dia terus-terusan memandang wajah mulus itu.

Tiba-tiba Arlyssa bangun dan keluar dari bilik. Harith yang terperanjat pantas melarikan matanya memandang laptop. Tak lama selepas itu, dia juga turut ikut keluar. Hatinya meronta nak tahu apa yang ingin Arlyssa lakukan. Dia ke dapur? Nak buat apa? Harith tertanya sambil bersembunyi di sebalik dinding dapur.

“Awak nak apa ikut saya?” Soalan dari Arlyssa mengejutkan Harith. Hampir-hampir dia terloncat kerana terkejutkan soalan Arlyssa.

Sedar-sedar batang tubuh Arlyssa sudah tegak berdiri di depan Harith sambil memegang mug berisi air. Macamlah dia tu kecik sangat. Dahlah berdiri bawah lampu, dah sah-sahlah nampak bayang-bayang sebesar alam tu. Omel Arlyssa di dalam hati.

“Err.. Tak, tak ada apa-apa.” Tergagap-gagap Harith menjawab. Dia mahu mengangkat kaki aje. Ah, dah kantoi, angkat kakilah.

“Awak nak air ke?” Arlyssa memberanikan diri bertanya. Harith pusing kembali, bertentang dengan Arlyssa.

“Boleh jugak, awak nak buat ke?” Tersengih-sengih Harith macam kerang busuk.

Dan Arlyssa capai mug di rak kayu. Sebenarnya seharian mereka tak berkomunikasi. Arlyssa yang tak nak tegur sebabkan peristiwa pagi tadi. Dia malu sebenarnya. Malu sebab Harith cium dia di depan Puan Aini. Walaupun ciuman itu mendarat di pipi. Manakala Harith pula tak berani nak tegur. Sejak sampai rumah petang tadi, dia tengok angin Arlyssa macam tak berapa nak okey, so lebih baik jangan tegur. Nanti tak pasal-pasal kena sembur.

“Nah,” Harith sambut huluran Arlyssa.

Thanks,” haruman nescafe menusuk ke dalam rongga hidung. Macam tak nak bagi dia tidur je. “Err.. Awak ada masalah ke?” Tombol pintu sudah berada di dalam genggaman Arlyssa dan langkahnya terbantut disebabkan oleh soalan Harith yang tiba-tiba itu.

“Kenapa tanya?”

“Saja nak tahu,” dia rasa nak sambung lagi ayat tu, ‘sebab saya suami awak. Saya nak tahu jugak apa masalah awak.’

“Tak penting pun,” Arlyssa tolak pintu bilik dan melangkah masuk. Arlyssa dah malas nak fikir. Rasanya lepas ni dia nak terus tidur. Kepalanya sudah terlalu tepu untuk menerima sebarang maklumat lain. Perbualan itu ternoktah di situ. Tinggallah Harith termanggu-manggu sendirian.

Jumaat, 8 Jun 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB16

SIAP mengenakan pakaian, Harith berlalu keluar dari bilik. Dia menyertai Syed Yusri di ruang tamu.

“Along tak nak ikut sekali ke?” Harith bertanya kerana melihat Syed Yusri duduk santai sekali di depan TV.

“Malaslah. Ikut perempuan keluar pasti bosan,” mendatar Syed Yusri menjawab. Harith diam selepas itu. Dah tak tahu nak bercakap topik apa lagi.

Puan Aini muncul di ruang tamu. “Dah siap Harith? Lys mana?”

“Dalam bilik lagi kut. Tak apalah, saya pergi panggil dia,” dan Harith berlalu ke bilik Arlyssa. Bukannya bilik mereka kerana Arlyssa tak pernah mengisytiharkan bilik itu sebagai ‘bilik kita’.

Pintu bilik yang tak tertutup rapat dia tolak perlahan. Alangkah terpegunnya dia melihatkan penampilan Arlyssa. Tiada lagi baju kurung. Arlyssa mengenakan seluar palazzo yang kembang di bahagian bawah kaki serta blaus corak abstrak. Mungkin ini yang dia beli semalam kat butik isteri Naim. Semalam dia tak tengok dan tak tanya pun apa yang Arlyssa beli. Tak terasa nak tanya sebenarnya.

“Kenapa awak tengok saya macam tu?” Sergah Arlyssa ketika terpandangkan Harith. Dia tak suka pandangan macam tu. Nampak macam gatal!

“Tak boleh ke?” Selamba Harith bertanya. Sengaja dia nak usik Arlyssa. Jelingan tajam Arlyssa hadiahkan kepada Harith. “Awak ni kenapa? Gelisah semacam je,” kali ni Harith serius, tak ada lagi usik-mengusik.

“Ni, macam mana nak pakai ni?” Arlyssa tunjuk sehelai selendang panjang di tangannya kepada Harith.

“La, selendang ni? Pakai kat atas kepalalah,” bagai orang bodoh Harith menjawab.

“Oh, saya ingatkan pakai kat lutut!” Arlyssa geram. Dah nama pun selendang, memanglah orang pakai kat kepala bukan kat kaki!

Harith galak ketawa. Kata-kata Arlyssa sangat-sangat lucu di pendengarannya. Arlyssa pandang Harith dengan wajah yang penuh rasa nak marah, geram dan pelik. Pelik sebab rasanya ayat dia tadi tak kelakar pun tapi boleh si Harith ni bantai gelak macam sedang tengok rancangan Raja Lawak. Heh, aku bukan pesertanya!

“Kalau awak sekadar nak gelakkan saya, baik tak payah!” Arlyssa mendengus geram. Selendang di tangan sudah dia gumpal-gumpal kerana terlampau geram.

Hiii… kalau orang lain dah lama aku sekeh-sekeh kepala tu. Tapi ingat si Harith ni berpangkat SUAMI jadi niat di hati tu terpaksa dipendam. Gumam hati kecil Arlyssa.

“Awak tak ada ke tudung lain? Semalam takkan awak beli selendang-selendang macam ni je?” Harith bertanya selepas ketawanya reda.

“Tudung? Tudung yang macam mana lagi?” Soalan Harith dirasakan pelik.

“Alah, tudung yang macam kat dalam TV tu. Apa ke namanya, Ariana, Ariani? Ha, Ariani. Tudung macam tu senang nak pakai,” bersungguh sekali Harith menunjukkan aksi macam mana tudung yang dia maksudkan itu.

“Oh, tudung Ariani. Sekejap,” Arlyssa mendapatkan beg kertas yang dia bawa balik dari butik Syafiza semalam.

“Yang macam ni adalah, okey ke?”

Tudung di tangan Arlyssa dia pandang bersilih ganti dengan baju yang Arlyssa pakai. Dan tanpa cakap banyak, Harith sarungkan tudung itu ke kepala Arlyssa. Tubuh Alyssa dia tarik menghadap cermin panjang.

Perfect, sayang!” Puji Harith sambil letak dagu di atas bahu Arlyssa. Keadaan mereka sangat rapat saat itu. Arlyssa seakan terbuai mendengar Harith menyebut perkataan ‘sayang’ tadi. Terasa sangat lain jika orang luar yang ucapkan. Dia sudah terbiasa jika mama atau along yang cakap ‘sayang’. Tapi dengan Harith terasa lain sangat.

“Harith, Lys, tak siap lagi ke? Pukul berapa nak bertolak ni?” Suara Puan Aini memanggil mengejutkan mereka. Kelam-kabut Harith berlalu keluar dari bilik itu dan Arlyssa mencapai beg tangan Guccinya.

“Okey, dah ma.” Ujar Harith dan berlalu keluar ke halaman rumah. Arlyssa pula berlagak macam tak ada apa-apa yang berlaku.

“Adik dah pakai tudung? Alhamdulillah,” Puan Aini memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Nampaknya banyak perubahan yang telah Harith bawa masuk ke dalam kehidupan Arlyssa. Lamtas dia menarik Arlyssa ke dalam pelukan. Kedua-dua pipi Arlyssa dia cium. Syed Yusri yang duduk tidak jauh dari mereka hanya tersenyum. Berjaya juga dia menggunakan kuasa Harith.

“Ni apa hal pulak buat drama ni,” Harith yang telah siap sedia di dalam kereta membebel sendiri. Hon dia tekan sekali, sekadar untuk menyedarkan dua beranak yang sedang berpelukan di dalam rumah.

“Eh, terleka pulak kita. Jom, dah lama Harith tunggu tu.” Ajak Puan Aini sambil menarik tangan Arlyssa.

KAKI Harith sudah terasa lenguh semacam sebab terlalu banyak berjalan. Ha, tulah akibatnya kalau gatal sangat nak ikut kaum Hawa keluar berjalan dan shopping. Sekarang rasalah akibatnya. Arlyssa dan Puan Aini sudah menjauh meninggalkan Harith. Apabila ternampak sebuah bangku di tepi sebuah deretan kedai, Harith terus duduk di situ. Terasa sedikit lega kakinya lepas dapat duduk macam tu.

Sambil berehat, sambil itu mata Harith bekerja. Orang-orang yang lalu-lalang menjamu mata Harith. Macam-macam gelagat dan macam-macam ragam. Ada yang datang dengan anak kecil, ada yang datang dengan kekasih. Haih, budak-budak sekarang. Sedang asyik dia meliarkan mata bekerja, sepasang mata milik Harith berhenti pada sebuah kedai. Dan tanpa menunggu lama, kaki Harith laju diatur masuk ke dalam kedai itu.

“Selamat datang,” sapa salah seorang pekerja kedai itu. Harith hanya senyum dan duduk di atas kerusi yang dah tersedia kat situ. Matanya sibuk menilik perhiasan di dalam meja kaca itu. Dia seakan terpukau dengan kilauan perhiasan-perhiasan yang ada di dalam kotal kaca itu.

“Encik nak yang mana?” Soal salah seorang pekerja kedai itu setelah agak lama Harith merenung perhiasan di dalam kotak kaca itu. Harith angkat kepala. Pekerja yang memakai tag nama Siti itu dia pandang dan senyum.

“Err.. saya nak tengok-tengok dulu,” jawab Harith.

Deretan cincin yang tersusun elok di situ menggamit pandangan matanya. Sejujurnya dia bukanlah penggemar barang-barang perhiasan sebegini. Tapi apabila terpandangkan kedai ni, dia teringat Arlyssa.

“Dik, nak tengok yang ni,” Harith menggamit Siti dan jarinya tertunjuk pada salah satu cincin yang terpamer di situ.

Harith membelek-belek cincin yang sudah berada di atas tapak tangannya. Kemudian cincin itu dia sarungkan ke jari kelingking sendiri. Dia selalu tengok, kalau orang lelaki yang beli cincin untuk perempuan pasti disarungkan ke jari kelingking sebab biasanya jari perempuan ni kecil je, dan biasanya padan. Yes! Memang padan. Kilauan berlian yang diikat pada cincin itu sangat memukau dan buat Harith tergoda. Dia tengok-tengok lagi koleksi cincin yang lain. Ah, kelabu mata sudah!

“Dik, yang ni.” Harith bersuara lagi. Siti patuh. Dia bawa keluar cincin yang Harith inginkan.

“Untuk siapa ni encik?” Lambat-lambat Siti menyoal. Manalah tahu kalau dia dapat tolong. Penjual lebih arif dari pembeli kan.

“Untuk isteri,” jawab Harith sambil senyum.

Untuk hari jadi mungkin. Siti membuat telahan sendiri.

“Oh,” Siti mencapai sebentuk lagi cincin. “Yang ni tak nak cuba? Cantik jugak ni dan yang paling latest.” cincin yang baru dikeluarkan dari meja kaca dia hulur kepada Harith.

Yang ni pun cantik jugak, desis hati Harith. Aduh. Dia dah pening. Tak tahu nak pilih yang mana satu. Ha, kan betul. Harith dah rambang mata!

“Aduh, banyak yang cantik-cantik. Dah keliru ni,” komen Harith.

Tiga bentuk cincin terletak elok di hadapannya. Secara tak sengaja kepala Harith tertoleh ke kanan dan dia lihat kelibat Arlyssa serta Puan Aini semakin hampir. Alamak! Mereka dah dekat. Lantas, tanpa menunggu lama Harith cepat-cepat membuat pilihan dan membuat bayaran. Siti hanya menurut walau hati terasa pelik. Selepas membuat pembayaran, Harith cepat masukkan kotak cincin ke dalam poket seluar dan dia mendekati Arlyssa dan Puan Aini.

“Banyaknya shopping,” tegur Harith.

“Haah, semua yang nampak di mata Lys berkenan. Tu yang banyak jadinya,” balas Puan Aini.

Seperti biasa, beg kertas berisi barang-barang yang Arlyssa beli tadi dia ambil. Sebelah tangan pegang beg kertas, sebelah tangan lagi genggam tangan Arlyssa. Mulanya isterinya protes juga tapi sebabkan Puan Aini ada sama, Arlyssa terpaksa ikut rentak Harith. Dalam hari Harith sudah bersorak kemenangan. “Ke mana pulak kita lepas ni?”

“Kita pergi makan dulu, dah tengah hari ni.” Puan Aini mengusulkan cadangan.

“Okey jugak tu,” dan mereka bertiga berlalu dari situ. Harith bercadang membawa mereka makan nasi biryani. Dah lama tak pekena nasi biryani.

SAAT hari menjengah maghrib barulah mereka sampai di rumah. Huh, memang tabik springlah cara dua beranak ni shopping. Hampir patah kaki Harith mengikut. Ingatkan lepas makan tengah hari tadi mereka akan terus balik tapi Puan Aini belum cukup puas membeli-belah. Mereka ke Pasar Kedai Payang pulak. Di sana, Puan Aini ligat membeli emas dan kain sutera. Lama jugak mereka kat sana.

Pintu bilik Harith tolak perlahan. Dia tak nampak pun kelibat Arlyssa. Dalam bilik air kut. Beg-beg kertas yang dibawa balik tadi tersadai di kaki katil. Alang-alang dah ada peluang, Harith merebahkan badan di atas katil empuk milik Arlyssa. Dah lama dia berhajat mahu baring atas katil ni. Ah, leganya segala urat-urat dalam badan bila dapat baring macam ni. Pintu bilik air di tolak mendadak tapi Harith mengeraskan badan, berpura-pura sedang nyenyak tidur.

“Awak, bangunlah.” Arlyssa menggerakkan Harith dari tidur. Tapi sedikit pun Harith tak berganjak. “Haih, tidur mati ke ni?” Arlyssa mengomel sendiri.

Harith mahu ketawa mendengarkan omelan isterinya. Tapi dia terpaksa buat-buat tidur agak dapat memantapkan lakonan.

“Harith, bangunlah. Dah nak masuk maghrib ni, tak elok tidur senja-senja macam ni,” Arlyssa sekali lagi cuba kejutkan Harith. Bahu lelaki itu dia cuit perlahan.

“Eh, mengada-ngada pulak dia ni,” Arlyssa geram. Aku gerak cara elok tak nak bangun, kang aku jerit bergegar satu rumah. Nanti tak pasal-pasal mama dengan along tahu rahsia yang dia sembunyikan.

“Awak nak saya jerit satu rumah ke baru nak bangun?” Bahu Harith Arlyssa goncang agak kuat. Dan suaranya juga sudah naik sedikit.

Harith buka sedikit matanya. Tangan Arlyssa yang mahu mendarat di bahu dia tarik dan secara tak sengaja, Arlyssa terdorong ke depan dan terjatuh di atas Harith. Mereka berdua sedang berbaring di atas katil yang sama. Mata saling bertatapan dan mulut terkunci rapat. Di luar sedar tangan Arlyssa berpaut pada leher Harith. Dia takut jatuh tergolek sebenarnya sebab tu tangannya spontan berpaut. Harith bertindak berani. Mukanya dia dekatkan dengan muka Arlyssa. Semakin rapat dan rapat dan rapat. Bibir mereka bercantum. Yang peliknya Arlyssa merelakan saja.

“Lys, Lys,” panggilan beserta dengan ketukan di pintu bilik mengejutkan mereka. Dan bagai tersedar dari lena yang panjang, Arlyssa pantas menolak tubuh Harith. Mukanya memerah. Belakang tangannya mengesat kasar bibir dan jelingan tajam dia hadiahkan untuk Harith sebelum menjawab panggilan Puan Aini. Jelingannya menghantar maksud, ‘ambil kesempatan!’.

Reaksi Harith? Senyum panjanglah dia. Kepala dia letak kembali di atas bantal dengan rasa puas. Dia tak sangka dan tak mahu ambil kesempatan tapi semuanya berlalu sepantas kilat.

“Ya, ma. Ada apa?” Kepala dia jengulkan selepas menarik sedikit pintu bilik.

“Mama nak tanya, malam ni kamu nak masak ke nak makan kat luar?”

“Err.. Makan kat rumahlah. Tapi mama masak boleh tak? Dah lama tak rasa masakan mama,” pinta Arlyssa, suara sengaja dia lunakkan. Senyuman manja meleret-leret di bibir khas untuk mamanya.

“Okeylah, mama nak tengok apa yang ada kat dapur tu.”

“Baiklah. Lys nak solat dulu, nanti dah selesai Lys ke dapur,” senyuman semanis mungkin dia ukir untuk Puan Aini. Menyembunyikan rasa hati yang sedang bergolak pelbagai rasa. Rasa marah pada Harith masih bersisa.

“Kejutkan Harith tu, tak elok tidur maghrib-maghrib ni,” tegur Puan Aini sebelum berlalu ke dapur.

Dia buka sikit je pintu ni tapi Puan Aini boleh nampak? Hisy, si Harith ni pun satu hal! Dia menghampiri katil.

“Tak payahlah nak berlakon sangat, bangun jelah!” Arlyssa dah malas nak layan. Dia berlalu ke bilik air, nak mandi. Malas dia nak layan si Harith ni. Makin dilayan, makin menjadi!

“LYS, esok ikut along boleh tak?” Syed Yusri bertanya ketika mereka sedang menjamu selera di meja makan.

“Ikut pergi mana?” Kening kiri Arlyssa sudah terangkat. Amboi, dah macam Ziana Zain pulak!

“Pagi esok along nak pergi melawat cawangan Hajra kat sini. Sambil-sambil tu boleh kita tengok-tengok apa yang berlaku kat sana,” beritahu Syed Yusri.

Spontan mata Arlyssa terarah kepada Harith. Ibarat macam sedang mintak izin tapi dengan bahasa mata. Mereka memang tak bercakap sejak peristiwa maghrib tadi. Ni Arlyssa nak pandang muka dia kira okey dah ni. Kalau ikut angin dia, memang taklah.

“Pergilah. Awak nak pergi tengok pejabatkan, bukannya nak ke kelab malam,” selamba Harith menyahut sambil menyuap nasi ke dalam mulut. Dia faham sangat kalau Arlyssa buat muka macam tu.

“Dah bagus tu. Tapi Lys kena ingat, kita pergi bukan sebagai tuan punya syarikat tapi sebagai wakil dari HQ.” Syed Yusri memberikan peringatan.

“Kenapa pulak?” Apa agenda along? Hatinya tertanya-tanya.

“Sebab cawangan kat sini ada masalah, jadi tujuan kita ke sana adalah untuk menyiasat siapa dalang yang telah membawa masuk masalah tu.” Bagi Syed Yusri, sekarang bukannya masa yang sesuai untuk dia terangkan satu-persatu masalah yang sedang mereka alami. Adalah lebih baik dia cuma memberikan maklumat secara kasar sahaja dahulu. Biar mereka melawat dahulu cawangan dan penilaian akan dibuat setelah melihat dengan mata sendiri.

“Okey,” balas Arlyssa tenang walau dalam hati sedang ditimpa pelbagai tanda soal. Ah, sabar wahai hati. Esok aku akan tahu semuanya.