Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 17 Februari 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB34

BEG komputer riba dan beg berisi alatan jahitan yang telah aku siap-siap letak di kaki sofa aku capai dan berlalu keluar dari bilik itu. Aril awal-awal lagi sudah pergi ke pejabat. Bercakap tentang Aril, aku terasa pelik ketika tersedar untuk bangun sahur pagi tadi. Aku sedang terbaring di atas katil pagi itu sedangkan semalam aku tertidur di atas sofa ketika aku asyik menjahit baju pelanggan. Aku masih ingat lagi, aku memang tidur kat atas sofa dan bukannya kat atas katil. Takkan aku berjalan sambil tidur kut? Sebelum ni aku tak pernah lagi berjalan ketika tidur.

Kemungkinannya cuma satu, mungkin Aril yang mengangkat aku berbaring ke atas katil. Tapi betul ke? Soalku pada diri sendiri. Selepas menggosok gigi dan mencuci muka, aku keluar dari bilik. Aku lihat dia sedang tidur di atas sofa di ruang tamu dengan kertas kerjanya berselerak di atas meja dan di atas lantai. Tanpa mengejutkan dia, aku meringankan tangan mengemas semua kertas itu dan dikepilkan di dalam satu fail sebelum aku letak elok-elok di atas meja kopi.

Kemudian perlahan-lahan aku ke dapur. Kami memang tak kisah dengan menu untuk bersahur. Memandangkan yang aku tak memasak semalam, jadi awal pagi itu aku hanya menyediakan roti bakar, sosej goreng dan air Milo. Cukuplah untuk kami menahan lapar sepanjang hari. Kemudian, aku mengejutkan Mariana dan Aril untuk bersahur bersama-sama. Sepanjang menikmati makanan, tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut Aril. Hanya Mariana yang becok bertanya itu dan ini. Aku cuma melayan saja dia.

“Akak!” panggilan Mariana mengejutkan aku yang sedang menyarung sandal ke kaki. Habis terbang semua yang aku lamunkan. Aku berpaling ke arah Mariana. Aku ingatkan dia sambung tidur balik selepas solat subuh tadi.

“Ya Ana, kenapa?” soalku dengan kening sedikit terjongket dan dahi berkerut.

“Akak, Ana nak ikut akak boleh tak?” soal Mariana kembali.

“Nak ikut akak pergi mana? Pergi ke butik?”

“Haah la. Akak nak pergi ke butik kan? Takkan nak ikut akak pergi disko pulak. Bosanlah duk sorang-sorang kat rumah.” Luahnya.

“Akak ingat Ana penat lagi, jadi nak berehat kat rumah aje. Kalau nak ikut akak, pergilah tukar baju tu. Takkan nak pergi dengan baju tidur macam tu.” Sindirku pada Mariana.

Tersengih adik Aril ni sebelum berlalu masuk ke dalam biliknya. Aku pula sementara menunggu dia bersiap, aku berlalu ke kereta. Enjin kereta aku hidupkan sebelum meletakkan dua buah beg yang berat di bahuku ke dalam kereta.

“Okey, jom.” Suara Mariana mengejutkan aku yang sedang mengemaskan ruang dalaman kereta. Pantas tanganku mengurut dada.

“Hisy, Ana ni sama aje macam abang awak tu. Suka betul kejutkan akak.” Tegurku sambil memandang Mariana. Tersengih-sengih Mariana sebelum masuk ke dalam kereta.

Kereta meluncur laju di atas jalan raya kemudiannya. Setelah memarkir kereta, Mariana menolongku membimbit beg yang berisi alatan menjahit manakala aku menyangkut beg laptop di bahu. Anak kunci aku cucuk ke dalam mangga butik yang masih belum dibuka. Kelibat dua orang pekerjaku juga masih belum kelihatan. Pintu butik aku buka dan aku melangkah masuk diekori oleh Mariana dari belakang.

Tanda ‘CLOSED’ yang tergantung di pintu butik masih belum aku tukar kepada ‘OPEN’ kerana waktu butik beroperasi masih berbaki setengah jam lagi. Aku berlalu ke mejaku dan meletakkan 2 buah beg yang aku bawa di atas meja. Mariana pula sedang asyik menilik pakaian siap yang tergantung di rak yang tersedia di bahagian depan butik.
20 minit kemudian barulah muncul kelibat Saira dan Miza. Sebaik saja melangkah masuk, mereka terus memulakan kerja mereka. Mereka telah lama bekerja denganku, jadi mereka sudah tahu apa yang perlu mereka buat. Aku merapati Mariana dan memanggil Saira dan Miza datang menghampiriku.

“Ana, ini dua orang pekerja akak. Yang baju pink ni, Miza namanya. Dan yang pakai baju hijau ni, Saira. Miza, Saira, ini adik ipar saya, Mariana namanya. Ana baru sampai dari UK dan baru aje habis belajar.” Aku memperkenalkan antara mereka dan menerangkan serba sedikit tentang Mariana. Mereka berjabat tangan berbalas salam.

“Adik ipar cik?” soal Saira kepadaku. Mukanya sudah berkerut, mungkin pelik dengan gelaran ‘adik ipar’ tu.

Aku tersenyum memandang mereka berdua. Aku faham, mereka masih tidak tahu yang aku telah bergelar isteri orang kira-kira 3 minggu lalu. Aku sudah berhajat mahu menjemput semua teman-temanku dan dua orang pekerjaku ini ketika majlis di rumahku selepas raya nanti.

“Alang-alang awak dah tanya ni maka terpaksalah saya berterus-terang. Saya dah kahwin sebenarnya dalam 3 minggu lepas. Tapi tu majlis dipihak lelaki. Majlis dipihak saya insya Allah lepas raya ni. Saya ingat nak bagi tahu kat awak berdua semasa nak jemput ke rumah saya nanti.” Jawabku berterus-terang.

“La, ya ke? Tahniah, cik.” Ucap mereka sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku menyambut huluran mereka. Kemudian mereka menyambung kembali kerja mereka.

“Ana, bolehkan layan diri sendiri kat sini? Maaflah, akak tak terlayan Ana sebab banyak sangat tempahan pelanggan yang perlu akak siapkan.” Ujarku pada Mariana. Dia tersenyum ke arahku.

“Tak apalah kak. Ana yang nak ikut akak ke sini, pandai-pandailah Ana nak layan diri sendiri. Akak jangan risau, kay.” Ujarnya menenangkan aku.

“Okey. Ana bolehlah nak tengok-tengok baju ke apa ke, buat macam tempat sendiri aje. Kalau bosan bagi tahu akak ya.” Aku risau jugak kalau Mariana kebosanan di sini kerana kami seharian di sini ditambah lagi dengan bulan puasa sekarang ni. Kalau bulan-bulan biasa, aku okey aje sebab boleh bawa Mariana keluar makan dan jalan-jalan kalau dia terasa bosan.

JAM baru menunjukkan pukul 3.30 petang tapi aku sudah siap mengemas segala kelengkapan yang akan aku bawa pulang. Aku nak balik awal hari ni sebab kesiankan Mariana yang sudah menunjukkan muka kebosanan. Dia tak tahu nak buat apa di sini. Nak layan pelanggan tak boleh sebab dia tak pandai dan tak biasa. Nak keluar jalan-jalan pulak aku tengok dia macam tak larat aje. Biasalah penat berpuasa ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang amat panas di luar sana.

“Ana berkenankan baju tu ke?” aku menegurnya.
Aku lihat sejak pagi tadi lagi dia duk belek baju tu dengan penuh minat. Baju kurung pesak dari material kain kapas Jepun sangat sesuai dengan Mariana yang masih lagi anak gadis tu. Dia berpaling memandangku. Wajahnya berseri-seri. Kepalanya dianggukkan mengiyakan soalanku.

“Ambiklah kalau nak. Akak belanja.” Ujarku.

“Ya ke kak?” soal Mariana kurang percaya.

“Iya. Padan tak dengan Ana baju tu?” soalku lagi. Dia membawa baju itu ke tubuhnya. “Pergilah cuba pakai kat fitting room kat sana. Lepas dah cuba, baru tahu padan ke tak. Kalau acu ke tubuh macam tu aje mana nak tahu padan ke tak.” sambungku sambil menunjukkan fitting room kepadanya. Laju kakinya berlalu ke fitting room.
Siap mengenakan baju kurung itu, Mariana melangkah keluar dari fitting room merapatiku. Dia memusingkan tubuhnya di hadapanku. Ingin aku memberi pendapat baju kurung yang telah tersarung di badannya.

“Dah okey sangat ni. Sesuai sangat.” Komenku. “Ana nak buat raya ke?” soalku kemudian.

“Haah tapi ni baru sepasang. Tak apa, nanti Ana minta dengan abang sepasang lagi.” Sahutnya sambil mempamerkan senyuman lebar.

Kami beriringan keluar dari butik dengan baju kurung tadi masih tersarung di tubuh Mariana. Biarlah. Katanya senang bila sampai kat rumah nanti terus nak mandi, jadi malas pulak dia nak tukar balik pakai baju tadi.

BERBUKA sudah. Terawih pun sudah. Sekarang masa untuk aku menyiapkan kerja-kerjaku sambil melayan pelanggan maya. Banyak juga pertanyaan demi pertanyaan dari pelangganku. Usai menjawab soalan, tetingkap YM aku klik. Sudah lama sangat aku tidak berbual dengan M_Syazril, rakan mayaku itu. Tanpa sedar, aku dibuai rindu. Dia belum mengetahui lagi yang aku sudah berkahwin hampir sebulan yang lalu.

Aril sudah berlalu ke ruang tamu selepas berjemaah dengan aku dan Mariana tadi. Mungkin sedang menyiapkan kerja-kerjanya. Aku lihat banyak juga fail-fail yang dia bawa balik petang tadi. Seakan betul-betul penting perlu disiapkan cepat aje. Di tetingkap YM, M_Syazril tidak online. Jadi, aku meneruskan kerja menjahit. Masih banyak yang terbengkalai sedangkan kurang dari 2 minggu lagi raya akan tiba. Harap-harap sempat aku siapkan semua tempahan ini. Insya Allah. Tekadku di dalam hati.
Aku yang sedang leka menjahit terpandangkan skrin komputer riba. Tetingkap YM menyala tanda ada orang menghantar mesej. Tetingkap itu aku klik dan terpapar diskrin komputer riba mesej dari M_Syazril. Dia online. Ujarku girang di dalam hati. Sapaan salam darinya aku jawab.

M_Syazril: tengah buat apa tu?

Sya_Khira: tengah menjahit baju raya.

M_Syazril: wow! Awak pandai menjahit baju?

Disertakan dengan ikon teruja di akhir kata-katanya. Senyuman terukir di bibirku tanpa sedar. Geli hati pulak apabila melihatkan reaksinya.

Sya_Khira: taklah pandai mana. Biasa-biasa aje.

Aku merendahkan diri.

M_Syazril: biasa-biasa pun lepas jugak upah orang jahit. Sekarang ni upah jahit sepasang baju bukannya murah. Paling murah pun dalam RM 30 sepasang.

Dia tahu? Wah! Aku pulak yang teruja. Memang betul apa yang dia kata tu. Kat sini kalau tukang jahit biasa caj upah RM 30 untuk sepasang baju kurung pesak. Kalau baju kurung riau atau kebaya, caj lebih tinggi lagi. Itu tukang jahit biasa atau orang kampung. Kalau kat butik-butik yang sedikit high class, caj upah akan naik berlipat kali ganda. Sampai ada yang caj mencecah RM 100 untuk sepasang baju kurung pesak. Huh, melampau tu! Pada hal jahitan tak adalah elok mana. Biasa-biasa aje. Tapi macam mana pulak dia tahu upah sepasang baju paling murah dalam RM 30 sepasang? Dia kan dah lama tak balik ke Malaysia. Kata-katanya menimbulkan perasaan pelik di hatiku.

Sya_Khira: bolehlah lepas upah. Eh.. macam mana pulak awak tahu upah baju sepasang dalam lingkungan RM 30? Awak kan dah lama tak balik ke Malaysia.

M_Syazril: eh, awak ni. Saya ni ada adik perempuan, ada emak. Dari merekalah saya tahu semua tu. Kalau nak harap saya tahu sendiri, memang taklah.

Spontan ketawaku terhambur keluar. Memanglah, lelaki macam dia mana ada nak pergi tempat-tempat macam tu.

Sya_Khira: awak tanya saya, awak pulak tengah buat apa tu?

M_Syazril: tak ada buat apa pun. Tengah bosan.

Sya_Khira: tengah bosan? Projek besar yang bernilai 2 bilion yang awak cakap dulu tu dah siap ke?

Dulu dia ada beritahu aku yang dia akan sibuk dengan projek besar yang baru dimenangi oleh syarikatnya. Dan alang-alang dia cakap tengah bosan, terus aku soal tentang perkara itu. Saja nak tahu perkembangan dia di sana.

M_Syazril: oh, projek tu sedang berjalan. Tapi bahagian saya sudah selesai. Sekarang ni tugas bahagian arkitek dan kontraktor untuk memantau perjalanan projek tu. Sekarang saya sedang uruskan satu projek kecil.

Sya_Khira: oh…

Perbualan antara kami berlarutan untuk seketika sebelum dia meminta diri kerana ada kerja yang perlu dibereskan. Sebaik talian terputus, aku terus menutup komputer riba. Baru terasa lenguh kerana terpaksa menunduk memandang komputer riba. Baju diriba aku letak ke tepi, aku bangun untuk membetulkan urat belikat yang terasa lenguh.

Tekak pulak terasa haus. Telefon bimbit yang berada di sebelah komputer riba aku capai. Skrin telefon menunjukkan pukul 11.00 malam. Patutlah dahaga, dah lewat rupanya. Tanpa menunggu lama, aku keluar dari bilik. Ketika melintasi ruang tamu, aku lihat Aril sedang sibuk menyemak fail-fail yang tersusun di atas meja kopi dan laptop yang sedang terpasang di hadapan fail tu. Memang semak meja kopi!

Tanpa menegur dia, aku berlalu ke dapur. Nak bancuh air. Ketika melintas di hadapan bilik Mariana, bilik itu sudah gelap-gelita. Dah tidur ke budak ni? Awalnya. Soalku di dalam hati. Mug dan bekas berisi Nescafe aku capai. Kemudian tin susu pekat yang berada di dalam peti sejuk aku bawa keluar. Tekakku rasa nak minum air Nescafe pekat. Nanti bolehlah aku berjaga lama sikit sebab nak siapkan jahitan manik yang masih tak siap-siap lagi. Bukan aku saja yang bawa balik baju pelanggan ke rumah, malah Miza dan Saira juga turut membawa pulang sama kerana makin cepat siap baju tempahan pelanggan. Nak kejar dengan raya ni, terpaksalah kami kerja lebih. Ada bayaran tambahan untuk mereka.

“Ehem..” bunyi deheman seseorang mengejutkanku dari lamunan panjang. Terhinjut bahuku akibat tindakan reflek. Terasa mahu gugur jantungku.

Nasib baik mug kat tangan aku ni tak jatuh. Kalau bersepai, jadi satu kerja pulak nak kena bersihkan serpihan seramik ni. Kalau setakat bersihkan sisa seramik ni tak apa lagi. Tapi kalaulah kaki aku terkena percikan air Nescafe panas ni, tak ke melecur nanti. Saja aje cari pasal dia ni. Marahku di dalam hati.

Aku berpaling, mataku tajam memandang wajahnya. Aku sangat geram dengan dia ni. Keningku terjongket menandakan aku bertanya. ‘Nak apa?’

“Err… buatkan saya air, boleh?” pintanya tergagap-gagap.
Orang buat air, dia nak air jugak. Gerutuku di dalam hati.

“Nak air apa?” dingin aku menyoal, rasa geram terhadap Aril masih belum surut.
Aku berpusing, mendapatkan mug di rak.

“Saya ambil yang nilah. Awak buat yang lain aje.” Selamba badak dia menjawab.

Aku berpusing, aku lihat dia sudah menonong ke meja kopi bersama mug berisi air yang aku buat tadi. Lahabau punya suami! Jeritku di dalam hati. Nak tak nak terpaksa jugak aku bancuh air Nescafe panas sekali lagi. Sengaja aku mengacau air di dalam mug sedikit kuat. Sampaikan terdengar bunyi sudu berlaga dengan mug. Aku terus masuk ke dalam bilik selepas itu. Malas aku nak berlama-lama di situ. Buat sakit hati aje.

Aku menyambung menjahit baju pelanggan yang masih belum siap. Makin lama menjahit, mataku jadi semakin pedih kerana terpaksa menahan rasa mengantuk. Akhirnya aku tertewas juga apabila digoda dengan rasa mengantuk. Perlahan-lahan aku masukkan baju diriba ke dalam beg alat menjahit sebelum aku melangkah merapati katil. Tanganku menekup mulutku yang terus-terusan menguap.

Aku berani untuk tidur di atas katil kerana aku beranggapan yang Aril tidak akan masuk tidur ke dalam biliknya ini sama seperti semalam, dia tidur di luar bertemankan kerja-kerjanya. Sebaik kepala mencecah bantal, mataku terus tertutup. Aku dibuai lena yang indah. Siap bermimpi lagi!

6 ulasan:

  1. alahai..tak ada perasaan ke mamat poyo tu kat minah tu..bila la mamat tu nak masih berlaku dingin..sedangkan dia tahu yg minah tu banyak berkorban untuk dirinya dan mamanya..apa lagi mahunya..mempunyai seorg isteri tg cantik bak bidadari tak berdegup ke jantungnya bila berdua duan dalam bilik..tak ada perasaan kasih ke yg menyelinap digenap ruang hatinya..

    BalasPadam
  2. kak ida; Aril ni mmg mcm 2.. tp sekali d beri peluang, mmg dia pulun habis.. dia x kira fiza suka ke x.. tunggu next n3 ye..:)

    BalasPadam
  3. Ya la, fiza pun mcm dingin sgt...sepatutnya sbg isteri dia kenalah pandai ambil sikit hati suami tu...dah nmpk suami sibuk, teruslah buat kan air @ tanya suami nak minum ke tidak? Ni semua nak kena suami yg minta...siap mengutuk2 lagi...berdosa isteri mengutuk suami. Tak kan dah kahwin tp tak tau tugas dan tggungjawab masing2... Kenapa mesti layan perasaan yg tiada cinta kat hati masing2 tu...suami isteri perlu ada tolak ansur baru blh bhgia...fiza tak ingatke apa yg aril dah buat untuk dia masih arwah abahnya sakit hingga meninggal....kan masa tu aril sentiasa ada dgn dia....fiza patut berterima kasih...boringlah fiza ni...nampak berciri islamik tp x boleh redha dan terima takdir jodoh dia tu.....wah sorrylah dik writter...emo pulak akak ni beri komen......hehehe...apa2 pun cepat2 smbung ye...

    BalasPadam
  4. waaahhh.. panjang komen akak.. ok2, sy terima komen akak.. think positive..:)

    BalasPadam
  5. aa aaa .... slow sgt le fiza n aril neh ...
    nk tengok dorang berbuka dengan masakan special dr fiza!
    fiza sepatutnya wajib tunaikn tanggungjawap dier *wlaupon pekera sentuh tu blum g - ok sebab dorang masih belum sesuaikn diri
    tapi layan makan minum suami mesti kena jaga.
    hope nex n3 - ade perubahan yg lebih positive!

    -easylife

    BalasPadam