Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 15 Oktober 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 22

Keesokkannya, tepat pukul 6.00 pagi, aku terjaga dari tidur. Terasa tidak puas pula tidur semalam. Tapi, aku sedar, aku tidak boleh ikutkan sangat rasa kantukku itu. Nanti kemenangan berpihak pula kepada syaitan yang sedang menggoda anak Adam agar tidak bangun mengerjakan suruhan ALLAH.
Aku bangun dari pembaringan dan menggeliatkan sedikit badanku. Bukan apa, meregangkan sedikit urat-urat yang telah tersimpul setelah tidur semalaman. Lega aku rasakan. Aku mencapai tuala dan baju persalinanku sebelum berlalu ke bilik mandi.
Selesai mandi, aku menunaikan solat Subuh seperti biasa. Sesudah bersolat, aku lihat Ariff sudah bangun dari tidurnya. Aku memang tidak berniat untuk mengejutkannya memandangkan semalam aku sudah kena marah. Tanpa menghiraukan aku, Ariff berjalan ke arah rak penyidai tuala dan di ambilnya tuala sebelum berlalu ke arah bilik mandi. Aku pula sibuk melipat telekung solat. Aku langsung tiada hati nak pandang wajahnya.
Selesai dia membersihkan badannya, Ariff keluar dari bilik mandi dengan hanya bertuala mandi. Hisy, dia ni tak malu betul! Kalau ya pun, cover-coverlah sikit. Aku tahulah ni bilik dia, tapi tengok-tengoklah sikit. Kan ke aku ada lagi dalam bilik ni. Aku dari melipat telekung sembahyang, berlalu ke arah meja solek pula. Perlahan-lahan, krim muka aku capai. Rambut yang masih basah, masih berbungkus dengan tuala di kepalaku.
Dari cermin meja solek, aku lihat Ariff sedang mencari-cari pakaian di dalam almarinya yang besar itu.
“Kau tolong lipat baju-baju ni dan susun dalam beg tu. Aku takde masa buat semua tu.” Tiba-tiba Ariff bersuara. Tak pernah-pernah suruh aku buat kerja, alih-alih pagi ni dia surus aku lipat baju dia. Tangan Ariff menunjuk ke arah beg beroda yang berada di sebelah katil.
Baju yang dia hendak aku lipat, dia letak di atas katil. Sedangkan aku masih kaku di atas kerusi di depan meja solek.
“Hei, kau dengar tak apa yang aku kata tadi? Cepatlah!” dia bersuara lagi, dengan nada yang sedikit tegas.
Sebelum berlalu ke arah katil, aku memandang seketika jam di pergelangan tanganku. Dah pukul 7.30 pagi!
“Tak payah kau duk tenung jam kau tu. Masih awal lagi. Kau pergi kerja pun aku yang hantar. Tak perlu susah-susah kena tunggu bas ke, teksi ke. Hei, cepatlah, lagi lama kau duk melangut kat depan cermin tu, makin lambat kau pergi kerja hari ni.” Tambah Ariff lagi. Nak tak nak, aku terpaksa ikut juga.
Baju-baju dan seluar yang terdampar di atas katil itu, aku lipat di dalam beg beroda itu. Banyak juga pakaian yang di suruh aku lipat ni. Beg yang dia sediakan juga boleh tahan besarnya. Jam di tangan menunjukkan hampir ke pukul 8.30 pagi barulah aku selesai melipat dan menyusun semua pakaian Ariff.
Ariff pula sudah siap berpakaian dengan t-shirt berkolar warna coklat muda dan seluar jeans rona biru tua. Bila melibatkan dia sedang menyikat rambutnya, aku terkoncoh-koncoh berlari untuk bersiap. Lebih-lebih lagi bila waktu di rasakan sudah lewat benar. Mana hendak keringkan rambut, mana lagi hendak bedakkan muka. Tu tak lagi nak pakai tudung.
Rambut yang masih separa basah itu aku sanggulkan juga. Lalu di sarungkan skaf ke kepalaku. Bedak muka aku oleskan ke muka. Hanya ala kadar saja. Tak sempat aku nak berlma-lama di depan cermin. Sedangkan Ariff sudah pun menapak turun ke bawah. Aku saja yang masih di dalam bilik ini. Rasanya dia dah menanti aku di bawah. Dengan tergopoh-gapah, aku mencapai handbag dan keluar dari bilik.
Kelam-kabut aku menuruni tangga. Nasib baik tak tergelincir jatuh dari tangga. Sampai saja di tingkat bawah, aku lihat dia enak-enak sedang bersarapan. Aku dah kesuntukan masa ni. Jam dah hampir-hampir pukul sembilan. Macam mana ni. Aku tak pernah pergi kerja lewat. Nampaknya merahlah punch card aku hari ni.
Aku tercegat berdiri di tepi kerusi yang di duduki Ariff. Bila mengetahui yang aku sudah terlambat, aku sedikit pun tidak rasa untuk bersarapan.
“Eh, duduklah dulu. Sarapan dulu.” Lembutnya dia berkata-kata. Mana tak lembutnya, ibu yang ada kat dapur. Mungkin dia takut ibu dengar agaknya kalau dia guna nada seperti di dalam bilik.
“Err… saya dah lambat ni.” Tergagap-gagap aku bersuara. Pertama aku bersuara di depannya dan kata-kataku itu memang di tujukan untuknya.
Ariff pulak aku lihat semakin melengah-lengahkan masa. Sengaja buat bodoh, macam tak ada apa-apa yang berlaku. Aku pulak sudah seperti cacing kepanasan. Tak senang duduk langsung.
Selesai dia meneguk minumannya, barulah aku lihat dia bangun dari tempat duduknya. Itu pun masih lagi melambat-lambatkan langkah ke kereta. Sebaik saja central lock kereta di tekan dan dia masuk ke dalam kereta, aku tidak menunggu lama lagi. Terus saja masuk ke dalam perut kereta tanpa di suruh.
“Eh, eh. Siapa suruh masuk ni?” dia bertanya seakan memerliku.
Aku tidak menjawab pertanyaannya. Aku hanya mematungkan diri. Yang aku tahu sekarang ini hanyalah untuk sampai cepat ke pejabat. Aku sedar bibir Ariff melakarkan senyuman sinis atas gelagatku tadi. Aku sedikit pun tidak peduli dengan kehadiran Ariff di sebelahku.
Sebaik saja kereta yang di pandu Ariff keluar dari kawasan perumahan itu dan menemui jalan besar, Ariff terus memecut keretanya. Aku merasakan seperti berada di atas litar lumba pula. Tahulah keretanya itu kereta rally tapi bawalah perlahan sikit. Makin lama Ariff bawa kereta macam tu, aku makin takut. Meter kilometer per jam sudah menunjukkan angka 200km/j! Sudah tahap maksima!
“Err… Kenapa awak bawak kereta laju sangat ni?” aku bertanya dalam ketakutan.
“Eh, eh. Bukan ke kau nak sampai awal? Ni lah caranya. Kau duduk je diam kat situ.” Ariff menjawab pertanyaanku memang untuk memerliku. Bibirnya melemparkan senyuman mengejek.
Aku langsung tidak menjawab balik kata-kata Ariff. Apa yang aku tahu aku takut sangat. Ariff semakin laju memandu keretanya. Ketika di atas jambatan, dia sesuka hati memotong kenderaan yang di rasakan menghalang kelancaran perjalanannya. Dia sedikit pun tiada rasa takut, malah aku yang menjadi penumpang pula yang berasa kecut perut.
Perjalanan dari rumah mertuaku ke pejabatku yang biasanya memakan masa di antara dua puluh ke tiga puluh minit ketika keadaan sedikit sesak seperti ini menjadi hanya sepuluh minit! Memang kerja gilalah!
Sebaik saja kereta Ariff berhenti di depan pejabatku, aku terus keluar dari kereta itu. Tanpa pamitan atau terima kasih, aku masuk terus ke dalam pejabatku. Sedikit pun aku tidak berpaling memandang Ariff. Ah, kerjaku lebih penting daripada melihat keretanya berlalu. Sedikit pun tidak memberi faedah kepadaku!
Di dalam pejabat, tempat pertama yang aku tuju ada lah mesin punch card. Jam di mesin itu menunjukkan yang beberapa saat lagi akan menginjak ke pukul 9.00. cepat-cepat aku mencapai kad namaku dan mengetip ke dalam mesin itu. Aku mengeluh lega bila selesai mengetip kad namaku.
Setelah itu, aku berjalan ke arah mejaku pula. Bank akan di buka bila-bila masa saja dari sekarang.
“Sarah, kenapa datang lambat hari ni? Lewat bangun ke?” tiba-tiba Kak Raihana menegurku.
“Takdelah. Ada hal sikit tadi.” Aku menjawab dengan jawapan yang sedikit berselindung.
Yalah, segala masalah peribadiku tidak akan aku ceritakan kepada teman sepejabat. Waima dengan Kak Raihana pun. Kebiasaannya, aku akan berkongsi masalahku dengan teman karibku, Liyana. Sejak dari dulu lagi Liyanalah tempat aku meluahkan kesedihan dan kegembiraan.
Setelah itu, Kak Raihana tidak lagi bertanyakan tentang perkara itu. Mungkin dia memahami yang aku tidak mahu berkongsi masalahku dengan orang lain.

Ariff Zulkarnain ketawa terbahak-bahak sebaik saja perempuan itu keluar dari perut keretanya. Memang kelam-kabut betul! Tu tak termasuk lagi gelagat perempuan itu di meja makan di rumah ibu dan abah tadi. Rasa nak pecah perut dia menahan ketawa. Yalah, mana perempuan tu tak gelisah bila melihat jam, jarum sudah menunjukkan hampir ke pukul 9.00 pagi. Sedangkan dia masih di rumah.
Ketika Ariff Zulkarnain di meja makan tadi, sengaja dia melengah-lengahkan makanan masuk ke dalam mulut. Dia siap menawarkan perempuan itu duduk makan bersama. Sedangkan dia sudah mengetahui yang perempuan itu sudah lambat untuk ke tempat kerja.
Satu lagi yang membuatkan ketawanya hendak terburai, bila perempuan tu menunggunya selesai makan sarapan. Dan perempuan tu pula tercegat berdiri di sisi kerusi tempat Ariff Zulkarnain berlabuh, menunggu dia habis makan. Macam pengawal Istana Bukingkham, di Britain. Hahahahahahaha….. Ariff Zulkarnain terus-terusan mentertawakan perempuan itu.
Bahagian yang paling best sekali adalah ketika Ariff Zulkarnain memecut kereta di atas jalanraya sebentar tadi. Dilihatnya perempuan itu kecut perut. Mana tak kecut perut bila berada di dalam kereta yang di pandu 200km/j! perempuan tu siap bertanya lagi.
“Err… Kenapa awak bawak kereta laju sangat ni?” dia nampak yang perempuan tu bertanya dalam ketakutan. Dan Ariff Zulkarnain menjawab sinis sekali. Dengan nada menyindir.
“Eh, eh. Bukan ke kau nak sampai awal? Ni lah caranya. Kau duduk je diam kat situ.”
Lawak sungguh perempuan tu! Memang orang kampung betul! Sedap-sedap kata-kata yang Ariff Zulkarnain hamburkan untuk mengutuk perempuan itu. Entah sedar atau tidak, perempuan yang dia duduk kutuk itu adalah isterinya!

Aku berkemas-kemas untuk pulang. Setelah apa yang terjadi pagi tadi, aku sudah serik untuk menaiki kereta yang di pandu oleh Ariff. Yalah, siapa yang nak naik lagi jika kereta yang di naiki di pandu 200km/j! Huh, taubat aku. Lepas ni walau macam mana pun, aku tak akan lagi naik kereta dengannya.
Petang ni aku nak balik dengan apa? Takkan dia jugak yang datang jemput aku. Huh, tak mahulah aku. Tapi, kalau aku tak balik dengan Ariff, aku nak balik dengan apa? Dah lah kawasan perumahan tu takde bas yang lalu-lalang. Nak naik teksi, di Terengganu susah sedikit menggunakan perkhidmatan teksi. Malah, tambangnya juga mahal. Susahlah macam ni!
Sebaik saja aku keluar dari pejabatku, aku lihat ada sebuah kereta jenis Honda CRV membunyikan hon. Bunyi hon itu seakan di tujukan kepadaku. Bila aku menoleh ke belakang, aku lihat tiada orang pun. Dan mataku sekali lagi terarah ke kelibat kereta itu. Pemandunya seakan menunjuk-nunjuk ke arahku. Pemandu itu aku rasakan seperti kenal saja.
Kemudian, penumpang di sebelah pemandu keluar dari dalam kereta. Dan bila terlihat kelibat itu, barulah aku tahu siapa pemandu Honda CRV tersebut. Ibu rupanya! Dan yang keluar dari dalam kereta itu adalah Farah. Farah berjalan menghampiriku.
“Jomlah, Kak Sarah.” Ajak Farah. Aku hanya menuruti ajakkan Farah itu. Di dalam hatiku tertanya-tanya juga, kenapa bukan Ariff yang datang menjemputku seperti dua hari sudah?
Aku mengambil tempat di tempat duduk belakang. Sebaik pintu kereta di tutup, kereta terus menderu laju ke atas jalanraya.
“Err.. Kenapa Abang Ariff tak datang jemput Sarah hari ni? Kenapa ibu pula yang kena ambik Sarah hari ni?” ragu-ragu aku utarakan soalan kepada ibu.
Apa? Abang Ariff? Huh, depan orang lain bolehlah berabang-abang. Tapi depan tuan empunya badan, jangan haraplah! Nasib baik dapat cover sekejap. Harap-harap selepas ini tidak terkeluarlah nama panggilan saya dan awak.
“Eh, Sarah tak tahu ke yang Ariff dah kembali ke atas kapal pukul tiga tadi. Sebab tu ibu yang datang jemput Sarah.” Jawab ibu, tetapi masih ada riak kemusykilan terlukis di mukanya.
“Oh, Sarah lupa pula. Pagi tadi dia ada beritahu. Dan dia juga ada suruh Sarah kemas baju dia. Tak ingat pula yang dia dah kembali ke kapal hari ni. Banyak sangat kerja kat pejabat tadi, sebab tulah jadi tak ingat ni.” Yakinnya aku memberi jawapan. Bimbang juga penipuanku ini dapat di hidu.
Ariff tak bagitahu pun dekat aku yang dia akan kembali ke kapal hari ni. Dia hanya menyuruh aku mengemas segala pakaian yang telah dia longgokkan di atas katil dan di masukkan ke dalam beg. Aku sedikit pun tidak dapat mengagak.
“Pada mulanya, abah suruh Pak Atan yang datang ambik Sarah, tapi bila lihat kereta ni baru je keluar dari workshop, ibu tawar diri nak datang ambik Sarah. Dah lama tak memandu kereta ni. Dan tiba-tiba budak peyibuk ni nak ikut sama.” Tambah ibu.
“Alah, ibu ni. Anak sendiri di kata penyibuk. Sampai hati.” Farah merengek manja. Dan mula menarik muncung,
Aku dan ibu pula terus ketawa bila mendengar rengekan Farah itu. Tawa kami makin panjang bila melihat muncung Farah makin panjang. Hilang seketika hal Ariff yang aku sedang fikirkan tadi.
“Farah ikut ibu nak ke mana?” aku bertanya Farah setelah ketawaku reda.
“Takde ke mana-mana pun. Saja je nak ikut ibu.” Jawab Farah.
Setelah itu keadaan di dalam kereta hanya terisi dengan bunyi lagu yang berkumandang dari radio yang terpasang. Jalanraya pula sesak. Pemandangan biasa ketika waktu pulang bekerja seperti sekarang.
Pukul 6.00 petang barulah kami semua tiba di rumah. Aku berlalu ke tingkat atas rumah. Ibu pula setelah turun dari kereta tadi, dia membelek pokok bunga kesayangannya. Farah pula telah lesap entah ke mana. Mungkin telah berada di dalam biliknya.
Aku pula masuk ke dalam bilik Ariff. Bebaslah aku untuk sementara waktu. Ariff dah tak ada kat sini. Aku merebahkan badan di atas katil. Malam ni, bolehlah aku tidur di atas katil ni. Tak perlu lagi aku sakit-sakit pinggang tidur di atas sofa. Huh, bestnya! Sebelum apa-apa, baik aku pergi mandi dulu. Nanti terlajak hingga azan maghrib pulak. Lagi susah.
Aku berjalan ke arah beg pakaian yang masih tidak lagi berkemas. Aku mencapai tuala sebelum berlalu ke arah bilik mandi. Di dalam bilik mandi, aku mandi sambil menyanyi-nyanyi perlahan. Kata orang tak baik kita menyanyi bila hari hampir senja. Tapi pada aku sekarang ini, adalah tanda aku bebas melakukan apa-apa saja perkara di dalam bilik ini. Bilik ini aku yang punya untuk waktu ini!
Setalah mandi, aku keluar dari bilik mandi. Rambutku yang basah aku bungkus dengan tuala kecil. Baju pula aku pilih untuk menyarung baju kelawar. Memandangkan azan maghrib sudah berkumandang, aku terus menunaikan solat. Selesai menunaikan solat, aku melipat telekung sembahyang dan menyidai telekung itu di rak penyidai telekung dan sejadah.
Bila terlihat beg pakaianku yang tak berkemas sejak aku masuk ke dalam rumah ini, aku mendapatkan beg itu dahulu. Aku mengasingkan pakaian yang hendak dicuci dengan pakaian yang masih belum digunakan. Pakaian yang ingin dicuci, aku letak di dalam bakul pakaian kotor bersama dengan pakaian Ariff. Manakala pakaian yang masih belum di gunakan, aku gantung di dalam almari enam pintu yang berada di dalam bilik itu.
Buat sementara waktu, aku menumpangkan pakaianku ke dalam almari itu. Bila Ariff pulang nanti, aku pindahlah pakaianku ke tempat lain. Beg pakaian aku lipat dan aku tak tahu nak letak di mana. Mataku meliar memandang sekitar bilik. Mencari tempat yang sesuai untuk aku menyimpan beg itu. Mataku terpandang ke arah atas almari yang kosong tanpa barang. Aku lantas mengambil kerusi untuk meja solek dan aku memijak kerusi itu. Berjengket sedikit aku untuk meletakkan beg yang sudah aku lipat itu.
Siap aku mengemas semua pakaianku. Bakul pakaian kotor bolehlah aku buat turun esok. Memandangkan esok hari Jumaat dan merupakan hari cuti hujung minggu. Dan esok juga aku bolehlah bersenang-lenang di rumah. Terlintas juga di benakku untuk balik ke rumah kedua orang tuaku. Tetapi bila teringatkan yang Ariff tiada di sini, aku melupakan saja hasratku itu. Walaupun hubungan aku dan Ariff tidak berapa baik, aku tetap isteri dia. Ke mana aku pergi, aku perlu meminta izin daripada dia.
Tuala di atas kepala aku buka. Rambutku yang sedikit lembab, aku sikat. Rambut yang panjangnya separas pinggang itu aku simpul sedikit. Tudung yang terbentuk di depannya aku sarung ke kepala. Senang sedikit. Tak perlu aku sematkan pin di tudung kerana tudung itu sudah sedia terjahit.
Selesai mengenakan tudung, aku turun ke bawah. Aku lihat ibu tekun menyediakan juadah makan malam sambil di bantu oleh pembantu rumah. Aku menghampiri ruang dapur. Farah mungkin masih berkurung di dalam biliknya. Aku ingin menolong yang mana perlu.
“Assalamualaikum, bu. Ibu nak masak apa ni?” aku bertanya ibu.
“Wa’alaikumussalam. Hah, Sarah. Sarah nak tolong ibu ke? Ibu baru je buat kari kepala ikan. Tak tahu lagi nak masak apa.” Ibu menjawab.
“Boleh juga kalau ibu nak Sarah tolong.”
Aku lihat ada banyak-banyak sayur-sayuran yang ada di atas meja di dapur. Antaranya lobak merah, bunga kobis, kacang panjang, jagung muda dan daun limau purut. Cili kecil pun ada. Aku lihat ayam juga ada di dalam sinki. Cukuplah untuk buat paprik. Aku berkira-kira di dalam hati.
“Ibu, sayur-sayuran ni ibu nak buat masak apa?” aku bertanya sebelum menyusulkan cadanganku.
“Entahlah. Daripada jenis sayur-sayuran ni, ibu rasa nak buat sayur campur goreng. Atau pun Sarah ada cadangan?”
“Apa kata kalau sayur-sayuran ini Sarah buat paprik. Macam mana ibu?”
“Emm, boleh juga tu.”
Setelah di persetujuan dari ibu, tanganku lincah memotong sayur-sayuran itu menjadi kecil-kecil. Setelah itu aku memotong ayam pula menjadi ketulan yang kecil-kecil.
Siap semua bahan rencah aku potong, barulah aku panaskan kuali di atas dapur gas. Minyak aku curahkan sedikit ke dalam kuali dan setelah minyak panas, barulah aku masukkan bahan-bahan untuk menumis. Berdesir bunyi yang di hasilkan bila bahan-bahan tumisan di masukkan.
Tidak sampai sepuluh minit, aku siap memasak sayur paprik. Dan sayur itu aku bawa ke meja makan.
“Emm, ada apa-apa lagi ke yang ibu nak suruh Sarah buat?” aku bertanya kepada ibu ketika aku kembali semula ke dapur.
“Rasanya dah takde apa-apa yang perlu ibu suruh. Semuanya Mak Yam dah buat tu. Kita tunggu abah balik, barulah kita makan, ya.”
“Okey. Err, bu. Sarah nak naik atas dulu, ya. Dah azan tu. Sarah nak solat sekejap.”
“Emm, yalah.”
Aku melangkah ke bilik Ariff. Rasanya wudukku masih ada lagi. Eh, eh. Ke dah habis wudukku. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk mengambil wuduk di bilik mandi. Perasaan was-was adalah tidak baik kerana yang masih ada wuduk boleh menjadi tiada wuduk.
Selesai menunaikan solat, aku turun ke tingkat bawah. Aku lihat Farah sudah tercongok di depan televisyen dan kakiku melangkah ke arah Farah yang berada di ruang tamu. Mataku terpandangkan jam di dinding. Sudah pukul 8.40 malam. Sekejap lagi abah baliklah dari masjid. Makanan pun sudah terhidang di atas meja makan.
“Farah, dah solat ke belum?” aku bertanya kepada Farah.
“Orang bendera merahlah kak.” Jawabnya sambil tersenyum ke arahku.
“Oh, patutlah akak lihat Farah relax je.” Dia tersenyum lagi.
“Emm, ibu mana?” sambungku.
“Ibu dah naik ke atas. Solat kot.” Mata Farah sedikit pun tidak berkalih dari kaca televisyen.
Sejak aku tinggal di rumah besar itu, aku lihat yang Farah begitu suka menonton televisyen. Kadang-kadang aku lihat sampai lewat malam dia menonton televisyen. Habis satu cerita, dia beralih ke satu cerita lain pula. Entah cerita apa yang best pun aku tak tahu.
“Sejak akak duduk kat rumah ni, akak lihat Farah suka sangat tengok tv. Apa yang best sangat kat tv tu?” terkeluar juga persoalan yang terlintas di benakku.
“Melalui tv, kita boleh dapat banyak maklumat. Seperti yang baru-baru ni yang tanah runtuh kat Bukit Antarabangsa pun tv yang melaporkan kepada kita. Selain tu kita boleh melapangkan fikiran dengan menonton tv yang mana kepala tengah serabut.” Bersungguh-sungguh Farah menjawab pertanyaanku.
Alasan klise yang dia bagi kat aku. Dah banyak sangat alasan macam tu. Macam jawab dalam peperiksaan penting pulak aku dengar.
“Klise sangat la jawapan Farah tu. Macam orang buat karangan dalam exam pulak. Eleh, kalau yang Bukit Antarabangsa tu, orang yang tak tengok tv pun tahu. Betul-betullah,” aku membidas jawapan yang Farah beri.
“Eh, betullah tu.” Dia ketawa dengan kata-katanya. Dia memainkan aku pula.
“Huh, malaslah nak layan Farah ni.” Aku menuturkan kata seakan orang merajuk.
“Kalau Sarah nak tahu, Farah tu kalau tak tengok tv sekali dalam sehari, mulalah dia tak senang duduk. Macam orang hilang anak. Farah dah jadi ketagih dah.” Ibu yang sedang menuruni tangga menyampuk percakapan aku dengan Farah.
“Sampai macam tu sekali. Oh, bahaya juga penangan tv ni kepada Farah,ya.” Aku membalas kata-kata ibu.
Dan pada ketika itulah kedengaran suara abah memberi salam. Abah baru balik dari masjid. Kami menjawab salam perlahan. Pintu dibuka oleh abah dari luar.
“Apa yang riuh sangat ni? Sampai ke luar dengarnya.” Abah bertanya sambil menanggalkan songkok dari kepala. Songkok itu abah letak di atas meja kecil berhampiran dengan peti televisyen.
“Budak-budak nilah. Saraf tanyakan Farah, kenapa Farah suka sangan tengok tv. Dan Farah main-mainkan kakak dia tu. Dia tak jawab betul-betul. Tu yang jadi riuh tu.” Ibu yang menjawab pertanyaan abah itu.
“Begitulah perangai Farah, Sarah. Kalau tak tengok tv sehari tak senang duduk dia.” Jawapan seakan sama dengan ibu, abah tuturkan.
Abah berlalu ke meja makan. Aku dan Farah juga ikut angkat punggung.
“Emm, sedap nampak lauk malam ni. Awak masak semua ni? Banyaknya.” Abah bertanya dengan ibu.
“Saya masak tumis ikan merah, daging masak hitam tu yang tengahari tadi, bawal hitam masak masam manis dan yang sayur paprik tu Sarah yang masak.” Ibu menjawab.
“Sarah ada masak? Mesti best kan? Ni mesti rasa ni.” Abah awal-awal lagi sudah memuji.
“Takdelah. Biasa-biasa saja.” Aku memperbetulkan tanggapan abah.
Senduk nasi kucapai dan pinggan nasi juga aku ambil. Nasi dari mangkuk nasi aku senduk ke dalam pinggan. Pinggan abah mula-mula sekali nasi di letak dan kemudian barulah di ikuti pinggan-pinggan lain. Sayur yang aku goreng, mula-mula sekali lauk yang abah senduk ke pinggannya. Mungkin hendak merasa hasil air tanganku.
“Emm, sedap. Boleh la Sarah masak lagi bila-bila, ya.” Abah memuji melangit. Padahal masakanku biasa-biasa saja.
“Alah abah ni. Sarah masak biasa-biasa saja.” Aku jadi naik malu bila asyik di puji.
Kami semua meneruskan menjamah makam malam. Setelah semua selesai makan, aku membantu ibu membawa pinggan yang telah digunakan tadi ke dapur. Mak Yam yang sudah berada di dapur mengambil tempat di sinki. Mak Yam membasuh semua pinggan mangkuk itu.
“Mak Yam boleh ke basuh semua ni? Tak nak sarah tolong ke?” aku bertanya bila melihat pinggan mangkuk yang banyak memenuhi sinki.
“Takpelah. Sarah biarkan aje kat sinki ni. Mak Yam boleh basuh semua ni.” Mak Yam menjawab sambil tangannya ligat menyabun pinggan mangkuk tersebut.
Aku berlalu ke ruang tamu. Farah menyambung semula tontonan di hadapan televisyen. Dia ni memang hantu tv! Tersenyum aku dengan hobinya yang satu itu. Pada awalnya aku ingin menyertai Farah di hadapan tv tetapi rancanganku berubah tiba-tiba. Terasa malas pula ingin menonton. Aku terasa ingin tidur awal malam ini. Aku berlalu ke arah bilik Ariff di tingkat atas.
Pintu bilik aku buka. Perkara pertama yang aku lakukan ialah menanggalkan tudung. Tudung itu aku sangkut di tepi rak penyidai telekung. Aku merebahkan badan di atas katil yang mempunya tilam yang empuk itu. Huh, bestnya! Seharian terperangkap di tempat kerja hinggakan tenagaku seakan di sedut.
Lega bila aku berbaring di atas katil itu. Tetapi aku tidak terasa mengantuk lagi. Oh, ya. Baru aku ingat yang sebelum aku ke rumah ini, aku ada selitkan beberapa buah novel ke dalam beg pakaianku. Aku bangun dari pembaringan, sebelum itu, aku terfikir-fikir yang di mana aku letak novel itu.
Mataku melilau ke sekeliling bilik. Dan akhirnya mataku terpandang meja kecil di tepi katil. Barulah aku ingat yang aku menyimpan novel-novelku di situ. Kakiku terus menapak ke arah meja kecil itu. Emm, banyak juga yang aku sempat ambik. Ada Semusim Rindu dari Aleeya Aneesa, Bicara Hati hasil karya Damya Hanna, Kasih Dania buah tangan Ayu Emelda dan Gemersik Kalbu hasil tulisan Anis Ayuni. Semuanya best-best.
Aku mencapai novel Kasih Dania dan membawanya ke katil. Aku membaringkan tubuhku semula di atas katil. Tanganku lincah membelek satu persatu muka surat novel itu. Sebenarnya semua novel itu sudah habis aku baca. Aku mengambil novel itu sekadar untuk menghilangkan kebosananku di sini.
Kasih Dania mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Budreez yang telah di desak oleh emaknya agar berkahwin. Jika Budreez tiada pilihan, emaknya sudah menyediakan seorang perempuan untuknya. Perempuan itu bernama Maria yang juga sekampung dengannya. Oleh kerana dia mempunyai sejarah tersendiri dengan perempuan tersebut, Budreez memang tidak setuju dengan pilihan emaknya itu. Dan kerana itu dia perlu mencari seorang perempuan untuk menunjukkan yang dia sudah mempunyai pilihan sendiri.
Dalam cari-mencari, akhirnya dia mencekup Danny atau Dania, kawan lepaknya yang berpewatakan seperti lelaki atau dengan kata lain Dania ialah seorang tomboy sebagai pilihannya. Budreez akhirnya berkahwin dengan Dania tetapi kehidupan mereka tidak seperti pasangan suami isteri lain dan hanya menjadi pelakon di depan keluarga Budreez. Keadaan menjadi haru-biru bila Maria muncul dan Dania mula jatuh cinta terhadap Budreez.
Huh, berliku betul jalan cerita ni. Pandai Ayu Emelda merangka jalan cerita yang penuh konflik seperti itu. Ketika jam menginjak ke pukul 12.00 tengah malam barulah mataku terasa mengantuk. Novel itu aku letak di atas meja kecil di tepi katil. Aku lalu merebahkan badan di atas katil dan terus di buai mimpi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan