Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 31 Januari 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB2

MATAHARI sudah meninggi di atas kepala namun tiada tanda yang Syarifah Arlyssa Waheeda akan bangun dari lenanya. Semalam entah pukul berapa baru dia sampai di rumah. Yang pasti tika itu sudah pagi kerana dia sempat mendengar bunyi kokokan ayam milik jiran sebelah rumah. Tambah lagi Puan Aini tiada di rumah, jadi dia bebas untuk pulang pukul berapa pun. Tiada bebelan Puan Aini yang akan berirama pada waktu-waktu begini.

Bibik Nor yang sedang ligat mengemas rumah mengerling seketika jam yang tergantung di dinding ruang tamu. Tak bangun lagi ke anak puan ni? Sudah pukul 1.00 tengah hari begini takkan masih nggak bangun-bangun juga? Bibik Nor menyoal diri sendiri. Dia hanya berani menyoal diri sendiri tapi dia memang tak berani nak naik ke tingkat atas dan mengejutkan tuan puteri itu. Dahulu dia sudah kena bambu. Pengalaman lama mengajar dan menjadikankan dia sentiasa beringat. Tambah pula kata-kata pedas anak majikannya dulu buat dia gerun. Bunyi telefon di atas meja kecil yang tereletak di penjuru tangga mengejutkan Bibik Nor. Pantas dia merapati meja itu dan ganggang telefon diangkat perlahan.

“Assalamualaikum, bik.”

“Wa’alaikumussalam, puan. Iya, ada apa puan?” soal Bibik Nor dengan slang Indonesia yang masih pekat walau sudah lama menetap di Malaysia.

“Bik, Lys dah bangun ke?” soal Puan Aini. Kepala Bibik Nor pantas mendongak ke atas. Bilik anak majikannya di pandang.

“Err.. belum lagi puan.” Teragak-agak Bibik Nor menjawab.

“Apa nak jadi dengan budak ni? Patutlah saya telefon dia dari tadi tak berangkat. Bik, pergi kejutkan dia sekarang.” Arah Puan Aini.

“Tapi puan…” Bibik Nor sudah serba salah. Jika dituruti arahan majikannya, nanti telinganya yang pedih penangan amarah cik muda.

“Tak ada tapi-tapi lagi bik. Ini arahan. Kalau dia marah bibik, cakap saya yang suruh bibik kejutkan dia. Kalau dia nak marah, suruh dia marah depan saya ni,” agak beremosi Puan Aini membalas kata-kata pembantu rumahnya itu. Siapa tak naik darah kalau ada anak dara sebegitu? Tak habis-habis dengan masalah. Itu tak masuk lagi dengan sikap kuat memberontaknya tu. Dia nak orang ikut semua angin dia tapi angin orang dia tak ambil peduli pulak. Sudah bermacam cara Puan Aini ikhtiarkan tapi anak bongsunya masih begitu. Hidup hanya ingat mahu enjoy saja.

“Err.. baiklah puan,” perlahan Bibik Nor menjawab sebelum ganggang diletakkan kembali.

Kepalanya lama didongak memandang ke arah bilik cik muda. Hatinya tidak betah untuk mengetuk pintu bilik itu. Kata-kata cik muda dahulu kembali berlegar di fikirannya. Dia tidak akan lupakan setiap kata-kata itu. Sangat sakit dan merobek hatinya. Namun kerana arahan dari Puan Aini, dia ringankan jua langkah kaki memijak anak tangga satu persatu. Tegak Bibik Nor di hadapan pintu bilik cik muda.

“Waduh, gi mana ni? mahu ketuk atau enggak?” soal Bibik Nor pada diri sendiri. Dia takut kena marah dan herdik seperti dulu. Nafas ditarik sekali sebelum mengetuk pintu bilik itu perlahan. Tiga kali mengetuk tapi senyap saja. Tiada langsung sahutan dari dalam bilik.

Bibik Nor serba salah. Sama ada mahu teruskan arahan Puan Aini atau berlalu dari bilik itu. Nak kata dia tak kejutkan, sudah diketuk pintu bilik itu tapi tuannya masih juga begitu. Mesti masih berlingkar di atas katil sambil menarik bantak menutupi muka. Dia sudah terlalu masak dengan cik muda yang sangat mengada-ngada ini. Pintu bilik itu dia ketuk lagi.

“Hoi! Kau nak apa?!” tersentak Bibik Nor dengan laungan itu. Sudah diagak begini penerimaan cik mudanya. Begitulah cantiknya bahasa Arlyssa kepada pembantu rumah mamanya.

“Err.. Cik Lys, mama cik nyuruh bibik kejutkan cik. Maaf jika bibik mengganggu,” lemah Bibik Nor bertutur. Cepat-cepat Bibik Nor melangkah menjauh dari bilik itu. Sebelum ‘gunung berapi’ itu semakin memuntahkan lavanya, lebih baik Bibik Nor cepat beredar. Hatinya pun tak sakit.

“Huh!” dengus Arlyssa. Dia paling tak suka jika dikejutkan dari tidur. Laju tangannya melontar sebiji bantal ke arah pintu bilik. Tanda protes kepada bibik. Tangannya mencapai jam kecil yang berada di atas meja kecil. Bulat matanya merenung jam itu sebelum dicampak ke atas katil. Laju dia bangun dan berlari masuk ke dalam bilik air selepas mencapai tuala.

Damn! Sumpah seranah membanjiri ruang hatinya. Dua hari lalu dia sudah berjanji dengan alongnya untuk ke pejabat hari ni. Tapi sekarang sudah pukul 1.30 tengah hari. Sudah terlalu lewat untuk masuk ke pejabat.

BERPASANG-pasang mata memandang ke arah Arlyssa sepanjang dia melewati ruang pejabat itu. Pandangan yang buat dia lemas dan rimas. Apa yang tak kena dengan penampilannya? Sehelai tube yang ditutupi jaket senteng dan dipadankan dengan skirt paras peha. Tak ada yang pelik dengan pakaiannya. Berjenama luar negara lagi. Kalau dia pakai baju tanpa lengan yang bertali halus tu agaknya terjojol biji mata mereka ni. Ah, lantak kau oranglah. Aku bukannya campur urusan kau orang. Desis hati Arlyssa.

Dia berdiri seketika di hadapan pintu bilik yang tertulis TIMBALAN PENGARAH URUSAN HAJRA TRAVEL HOLDINGS, Tuan Haji Jamal bin Ismail. Pintu bilik itu dia ketuk dan laungan masuk kedengaran. Perlahan-lahan daun pintu dia tolak. Kepala yang sedang menunduk itu dia pandang. Tanpa dipelawa, Arlyssa terus duduk di atas kerusi yang tersedia.

“Ehem…” sengaja Arlyssa berdehem untuk menarik perhatian bapa saudaranya itu.

“Dah tak pandai nak bagi salam ke, Lys?” sinis Haji Jamal membidas. Tanpa mengangkat kepala pun Haji Jamal sudah tahu siapa yang ada di hadapannya kini. Macam mana tak tahu kalau minyak wangi yang Arlyssa pakai ni sebatu pun boleh bau!

“Kenapa along suruh saya datang ke pejabat hari ni Pak Cu?” soal Arlyssa, cuba mengalihkan topik perbualan antara dia dan Haji Jamal. Malas telinga mendengar bebelan panjang bapa saudaranya itu. Sama aje dengan mama! Getus hatinya.

“Takkan along kamu tak cakap apa-apa?” Haji Jamal pelik dengan soalan anak bongsu abangnya ini. Pantas kepalanya mendongak ke atas. “Astaghfirullah hal azim! Apa yang kamu pakai ni?! Siapa yang suruh kamu pakai begini?!” memetir soalan dari Haji Jamal.
Melolot matanya memandang pakaian yang tersarung di tubuh anak saudaranya itu. Tidak sedarkah perniagaan apa yang dijalankan oleh syarikat ini? Takkan Arlyssa tak perasan semasa melangkah masuk tadi yang semua pekerja wanita diwajibkan memakai tudung dan menutup aurat? Macam mana nak jadi ketua kalau begini contoh yang diberi pada hari pertama bekerja? Kalau beginilah tingkah Arlyssa nampaknya tak lama lagi masuk wad juga aku ni. Desis hati tua Haji Jamal.

“Kenapa? Apa yang tak kenanya dengan baju saya? Okey aje ni Pak Cu,” tanpa rasa bersalah Arlyssa menyoal balik.

“Kamu tahu tak perniagaan apa yang syarikat ni jalankan? Perniagaan menguruskan pakej umrah dan haji! Begini ke contoh bakal pewaris syarikat ini yang akan turut serta dalam rombongan nanti?! Pak Cu jamin, tak ada seorang pun yang akan percayakan Lys! Dengan pakaian yang langsung tak ada nilai-nilai Islam. Memang tak boleh dijadikan contoh langsung.” bidas Haji Jamal lagi. Sebelum orang mengata, lebih baik dia dulu yang kata.

Arlyssa pandang diri sendiri. Dia tak rasa pun ada apa-apa silap dengan bajunya. “Habis, Lys kena pakai baju yang macam kelambu tu baru Lys boleh masuk pejabat ni?! Macam pekerja Pak cu kat luar tu?!” agak tinggi suara Arlyssa. Dia bosan dengan semua orang. Mama dengan cara mama. Sekarang Pak Cu pulak. Bosanlah!
Arlyssa terus berlalu keluar dari bilik yang nyaman dengan penghawa dingin itu. Wajahnya usah cakaplah masam semasam-masamnya. Pintu bilik dia hempas sekuat-kuatnya. Haji Jamal menggeleng kepala melihat reaksi anak arwah abangnya itu. Entah bilalah mahu berubah. Desis hati Haji Jamal.

“MA, macam mana? Dapat call adik?” soal Syed Yusri. Ketika itu mereka di dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur. Esok masih ada tugasan yang menanti Syed Yusri di hospital. Pekerjaan sebagai doktor memerlukan dia lebih banyak menghabiskan masa di hospital. Sampaikan masa untuk diri sendiri pun terabai.

Puan Aini melepaskan keluhan perlahan sebelum menjawab soalan anak sulungnya. “Tak dapat. Tapi mama dapat call bibik. Entah apa nak jadi dengan adik kamu tu. Dah macam-macam nasihat mama bagi kat dia tapi masih jugak macam tu. Tak pernah nak berubah,” luah Puan Aini.

“Sabarlah, ma. Mungkin bukan masanya lagi dia nak berubah,” ujar Syed Yusri mahu menenangkan Puan Aini. Bukan dia tak tahu Puan Aini ada penyakit darah tinggi. Nanti kalau fikir sangat, naik lagi darah tinggi mamanya tu.

“Mama dah banyak sabarlah, long. Mama rasa macam mama tak berjaya nak didik anak bila tengok Lys jadi macam tu. Arwah abah pun terseksa sama di alam sana kalau Lys berterusan macam ni," Puan Aini masih lagi tak puas hati.

Puan Aini mendiamkan diri. Matanya melilau memandang ke luar dari kereta. Pemandangan hijau menjamu pandangan mata. Syed Yusri juga turut ikut diam. Matanya tertumpu kepada pemanduan dan jalan raya yang lengang itu.

“Long, mana kad yang Harith bagi tadi?” tiba-tiba Puan Aini menyoal. Sedikit terperanjat Syed Yusri dengan soalan mamanya.

“Ada, ma. Tapi dalam wallet. Nanti bila dah berhenti kat R&R long bagi.” Jawab Syed Yusri.

“MA, ni kad Harith. Lupa nak bagi kat mama tadi,” ucap Syed Yusri sambil menghulurkan kad nama itu. Ketika itu mereka sudah sampai di rumah Puan Aini.
Puan Aini membaca setiap butir yang tertulis di atas kertas keras itu.

HARITH HABIBURRAHMAN AHMAD
PEGUAMBELA, PEGUAMCARA DAN PEGUAM SYARIE’

“Peguam? Rupanya Harith ni peguamlah long.” Beritahu Puan Aini. Syed Yusri berpaling. Wajah mamanya dipandang.

“Ya ke, ma? Tak sangka pulak. Dari luaran, tak nampak pun Harith tu gaya macam peguam. Along ingatkan dia budak pejabat biasa aje.” Komen Syed Yusri.

“Bilalah dia nak ke sini ya long? Mama rasa Lys perlu dibimbing oleh suami dia sendiri. Biar dia sedar berubah. Nasihat mama sikit pun tak jalan. Bibik tu, dah banyak kali kena sembur. Bukan mama tak tahu. Memang bibik sengaja sembunyikan dari pengetahuan mama tapi mama tahu semuanya.” Ujar Puan Aini lagi.

“Habis, mama nak paksa adik ke? Jangan, ma. Nanti memberontak lagi dia.” Tegah Syed Yusri. Bukan dia tak kenal perangai kuat memberontak adik bongsunya itu. Dulu, arwah abah pernah marahkan Arlyssa. Sampai seminggu dia hilangkan diri.

“Dah tu, kamu nak tengok aje adik kamu tu makin hanyut? Kalau kita suruh dia ikut Harith, kurang-kurang tanggungjawab kita sudah terlepas sedikit. Lagi pun, Lys bukan lagi tanggungjawab kita. Dia sudah ada suami. Sekarang semuanya adalah tanggungjawab Harith. Termasuklah semua dosa yang telah dia lakukan. Sepatutnya kita buat semua ni enam tahun dulu tapi disebabkan kita ikut sangat cakap Lys, beginilah jadinya.” Bidas Puan Aini. Dia sangat tak bersetuju dengan pendapat Syed Yusri. Memanglah Arlyssa tu anak manja dan anak bongsu tapi semua keinginannya jangan dituruti sepenuhnya. Jika tidak beginilah jadinya. Tak suka aje, memberontak!

Telefon bimbit Syed Yusri berbunyi nyaring minta diangkat.

“Assalamualaikum, Pak Cu.” Sapa Syed Yusri. Dia meneruskan perbualan dengan Haji Jamal. Manakala Puan Aini berlalu masuk ke dalam rumah, meninggalkan Syed Yusri berbual dengan bapa saudaranya.

Tidak lama kemudian muncul kembali Puan Aini menatang segelas air dan di letakkan di hadapan Syed Yusri.

“Kenapa Pak Cu telefon?”soal Puan Aini apabila melihat Syed Yusri termenung jauh.

“Pasal Lys,” pendek jawapan Syed Yusri. Dia melepaskan keluhan perahan kemudiannya.

“Kenapa dengan Lys?” soal Puan Aini lagi. Hatinya pelik dengan jawapan Syed Yusri. Kenapa pula Jamal telefon Syed Yusri bercakap tentang Arlyssa? Ada perkara yang mereka sembunyikan ke? Desis hati Puan Aini.

“Semalam along suruh adik pergi ke pejabat arwah abah. Along ni dahlah tak pandai bab-bab urusniaga ni. Adikkan ada bachelor dalam bisnes. Along ingatkan nak suruh dia tengok-tengokkan perjalanan syarikat sebab minggu lepas Pak Cu cakap syarikat ada masalah sikit. Tapi…” ayat Syed Yusri tergantung buat hati Puan Aini tak sedap.

“Tapi apa? Apa yang Lys dah buat?”

“Tak ada apa yang Lys dah buat. Cuma cara dia berpakaian yang buat Pak Cu tak senang. Ada ke dia masuk pejabat dengan baju sendat dan skirt paras peha. Kalau tak nak pakai tudung tak apalah. Pakai baju kurung saja pun tak apa. Tak adalah orang nak marah. Bila Pak Cu tegur, terus aje angkat kaki. Siap hempas pintu lagi. Entah apa nak jadilah adik ni! Menyusahkan orang aje.” Luah Syed Yusri kegeraman. Selama ini dia ambil langkah membisu. Hanya mendengar luahan mamanya. Tapi hari ni hatinya benar-benar geram dengan tingkah-laku Arlyssa.

“Astaghfirullah hal azim,” ucap Puan Aini. Dia menggelengkan kepala.

“Lys ada kat atas ma?” soal Syed Yusri. Matanya sudah melirik ke arah tangga.

“Tak ada rasanya. Tu kereta dia tak ada kat luar,” jawab Puan Aini lemah. Kepalanya masih memikirkan gelagat anak bongsunya itu. Sudah macam-macam cara dia buat tapi Arlyssa masih macam tu. Masih tak nak berubah. Nampak gayanya dia terpaksa juga jalankan rancangan tadi. Arlyssa tak boleh terus dibiarkan begitu sahaja. Jika tak dimulakan dari sekarang, makin tersasar jauh pula budak tu.

Syed Yusri mencapai telefon bimbit dari atas meja kopi. Nombor telefon adiknya dia dail. Tiga kali dia mendail tapi satu pun tak berangkat. Makin buat hatinya panas. Dia mencuba lagi. Alhamdulillah, talian bersambut.

“Ada apa, long?” soal Arlyssa tanpa salam. Dia memang tak nak jawab panggilan alongnya itu tapi disebabkan bunyi bingit telefonnya berkali-kali, akhirnya dia angkat juga.

“Assalamualaikum! Kamu ada kat mana ni? Bisingnya!” tinggi ton suara Syed Yusri.

“Keluar makan dengan kawan. Ada apa long call ni?” bosan betul along ni, banyak soal betul! Rungut Arlyssa di dalam hati.

“Kamu makan kat mana ni? Balik sekarang! Kamu sedar tak dah pukul berapa ni? Dah tengah malam! Balik sekarang!” tegas Syed Yusri menyuruh Arlyssa balik.

“Kenapa pulak? Selalu okey aje.”

“Along cakap balik, balik! Jangan banyak songeh!”

“Tak nak!” keras suara Arlyssa dan talian terputus.

“Lys, Lys!” Syed memanggil nama adiknya yang telah menamatkan panggilan. Tingkah Arlyssa semakin melampau! Kunci kereta yang tersangkut di sebelah suis lampu dia capai dan bergegas keluar dari rumah.

“Along nak ke mana tu?” soal Puan Aini apabila melihat Syed Yusri tergesa-gesa keluar.

“Nak cari Lys.” Jawab Syed Yusri sebelum kereta menderum keluar dari dalam pagar.

p/s: special utk anda semua.. harap terhibur.. terima kasih..:)

5 ulasan:

  1. lys ni degil..bagus, along kena main peranan klu x nak lys terjerumus..betul ckp mama lys, skrg ni harith yg kena tanggung semua bnd yg lys buat, sb lys isteri harith skrg...hope mama lys, along dgn harith dpt tlg lys..

    BalasPadam
  2. tq ruby..:)
    blinkaltheday; lys ni memang terlampau degil! itulah cabarannya apabila menaip cerita ini.. huhuhu.. tp lys x akan selamanya begitu... dalam kerasnya pasti ada lembut.. so tunggu next n3 apa yg jadi. hehehe..:)

    BalasPadam
  3. hehe.. ada citer baru..
    mekaseh writer.. hehe

    BalasPadam
  4. sama2.. dah lama ada cerita ni tp x selalu update sbb lebih tumpukan kpd KYKS.. lg pun novel ni x siap lg, masih merangkak-rangkak.. huhuhu

    BalasPadam