Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Ahad, 28 April 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 15


HARI ni Suriya cuti. Bukan cuti hujung minggu tapi cuti yang sengaja dia minta. Sistem untuk sebuah syarikat penerbitan bahan bacaan sudah dia bereskan. Sebelum mulakan kerja baru, dia mahu rehat barang sehari dua. Sedang molek, dia minta cuti hari ni, bersambung terus dengan cuti hujung minggu esok dan lusa.
Matahari sudah meninggi di luar sana. Namun Suriya masih belum punya tanda-tanda mahu bangun dari pembaringan. Selimut masih utuh membalut tubuhnya. Suhu penghawa dingin pula memang sengaja direndahkan sejak semalam. Makanya, makin selesa dia berlingkar di dalam selimut.
BreepBreep
Bunyi penggera telefon bimbit mengejutkan Suriya. Dengan mata terpejam, tangannya meraba-raba ruang sebelah. Mencari di mana letaknya telefon bimbit tersebut. Sejurus jumpa, pantas diamatikan bunyi penggera yang telah mengganggu lenanya. Lantas dia menggeliat.
Huwargh!” Teruk benor bunyinya!
Lalu dia berlalu ke bilik air selepas mengambil tuala dari rak. Selesai mandi dan lengkap berpakaian, Suriya turun ke bawah. Perut yang berkeroncong membawanya ke dapur. Semasa melintasi meja makan, matanya seakan menangkap objek berbentuk sekeping kertas. Kaki berhenti melangkah.

Assalamualaikum dik. Ketika adik baca kertas ini, along dah tak ada kat rumah. Mungkin sudah sampai di Terengganu. Along balik ke rumah mama untuk beberapa hari. Adik tak nak ikut, terpaksalah along balik sorang diri. Jaga diri elok-elok sepanjang along tak ada kat rumah. Wassalam.

Suriya panggung kepala. Matanya tertancap pada ruang tamu. Sungguh lesu suasana dalam rumah itu. Dia kembali mendaki tangga, berlalu ke bilik. Perut yang tadinya tersangat lapar menjadi kenyang secara tiba-tiba. Kenyang selepas membaca surat tinggalan Rozairul. Telefon bimbit dia ambil dari atas katil. Jarinya ligat mencari sebaris nama.
“Ni, kau sibuk tak?” Tanpa salam, Suriya terus menyoal Nini di hujung talian.
“Sibuk jugak, kenapa?” Nini yang sedang menyiapkan kerjanya menyoal sambil jongket kening. Hati Nini tertanya-tanya dengan kemunculan mendadak temannya.
“Taklah. Aku boring. Kau keluar lunch tak hari ni?”
“Keluar kut,” hati Nini berbelah-bahagi sebenarnya. Dia tak pasti sama ada nak keluar makan tengah hari atau pun tidak. Kalau ikut kerjanya yang menimbun ni, malas pula dia nak keluar. Memanglah waktu rehat tengah hari untuk hari jumaat sedikit panjang dari hari biasa kerana memberi laluan kepada kaum lelaki mengerjakan solat jumaat.
“Ala… Tak payahlah kut-kut. Jom keluar,” Suriya merengek di hujung talian.
Oit, kau sanggup datang dari Shah Alam ke Kajang ni semata-mata nak lunch dengan aku? Kau sihat ke tak ni?” Serius! Nini rasa cadangan Suriya sangat luar alam!
“Apa pulak tak sihatnya. Aku cutilah. Jom la…”
“Yalah, yalah. Tunggu aku kat Plaza Metro.” Akur juga Nini.
Orait. Aku tunggu kau kat tempat biasa. Sayang kau, muah muah!” Girang suara Suriya.
Talian ditamatkan dan Suriya terus bersiap-siap untuk berjumpa dengan Nini. Dah lama tak keluar berdua dengan Nini.

“OIT! Kau apasal ni? Sejak aku sampai tadi, muka kau asyik monyok aje memanjang.” Nini menegur sambil cuit lengan Suriya. Mereka sedang lepak-lepak di bangku yang disediakan di sekitar pusat membeli-belah itu. Makan tengah hari sudah. Waktu rehat Nini masih berbaki kira-kira sejam lagi.
“Hah?” Suriya terpinga-pinga.
“Kau ni kenapa? Asyik termenung aje. Dah setengah jam aku tengok kau macam ni. Naik sakit mata aku tengok.” Nini merungut.
“Huh!” Suriya mengeluh. “Susah aku nak cakap dengan kau,”
“Apa yang susahnya? Cerita ajelah.”
“Aku gaduh dengan along aku.” Lambat-lambat Suriya memberitahu.
“Gaduh lagi? Apa kes pulak kali ni?” Haih, dua beradik ni. Tak habis-habis dengan gaduh.
“Along aku ajak aku balik kampung, tapi aku tak nak balik. Along aku marah.”
“Kau pun satu. Kenapa kau tak nak balik? Hari ni kau cuti, kan sia-sia aje buang cuti macam tu aje,” bebel Nini. Dan tak pasal-pasal kau heret aku sama dalam masalah kau. Sambung Nini di dalam hati.
“Kau kan tahu aku ada masalah dengan mak angkat aku. Aku memang tak bolehlah. Kalau balik, mesti aku rasa sakit kat dalam ni,” Suriya menunjukkan dadanya. Tempat yang dia rasakan sakit selama ini.
“Su, lagikan nabi ampunkan umat…” Belum sempat Nini habis memberikan nasihat, Suriya lebih dulu memotong.
“Itu nabi. Aku bukan nabi! Aku hanya manusia biasa. Yang akan rasa sakit apabila orang buat begitu!” Bangkang Suriya beremosi.
“Itu aku tau. Tapi takkan dalam hati kau tak ada langsung rasa bersalah?”
“Bersalah? Kenapa aku nak kena rasa bersalah?”
“Hei, memanglah kau bersalah. Kau buat mama kau macam tu. Kau tau tak hati orang tua ni lembut. Mudah terasa. Kau buat macam ni, maknanya kau bencikan mama kau. Kau tak maafkan mama kau. Niat dia baik, Su. Dia nak kau dengan ibu kau berbaik balik. Takkan kau tak terasa nak bermesra dengan ibu kau macam mana hubungan anak dan ibu yang lain? Pasal dosa dia, itu antara dia dengan Allah. Kau sebagai anak tak ada hak nak hukum dia, nak benci dia sungguh-sungguh macam sekarang!” Ha… Tu dia! Terkeluar sudah aura Nini tika membebel.
“Kau sama aje dengan along aku. Cakap senanglah. Yang tanggungnya aku. Cuba kau yang berdepan dengan semua ni. Huh!” balas Suriya, tak nak kalah.
“Ya, aku tak pernah rasa apa yang kau alami. Aku tau apa yang kau rasa. Kalau aku jadi kau pun, aku takkan buat ibu aku macam ni. Bagi aku, perkara lepas, biarlah lepas. Bukannya kita boleh putar balik masa supaya dia boleh perbetulkan salahnya. Memang tak boleh! Aku nak tanya kau, takkan dalam hati kau tak ada langsung sekelumit rasa sayang kat ibu kau?” kata-kata Nini diakhiri dengan soalan pedas.
Suriya diam. Dia kehabisan modal. Tak tahu nak jawab apa untuk soalan Nini itu. Hati Suriya jadi keras kini. Nasihat yang Rozairul hulurkan langsung tak jalan. Nasihat Nini lagilah. Bukan Nini tak kenal Suriya. Orangnya memang begini. Nampak lembut luarannya tapi hati di dalam, keras sekali.
“Eh, aku balik ofis dululah. Lunch hour dah nak habis ni.” Nini pandang jam seraya bersuara. Menunggu Suriya terus diam begitu sangat membazirkan masa. Selepas bersalaman dan melaga pipi, Nini berlalu meninggalkan Suriya di bangku itu. Biarlah dia fikir semasak-masaknya.

PAGI isnin itu, Suriya masuk pejabat macam pagi-pagi yang isnin yang lepas. Baginya tak ada yang istimewa pun. Cuma terasa malas nak bangun awal pagi. Selepas tiga hari bercuti dan selama tiga hari itu dia asyik berlingkar di atas katil, tiba pagi ini memang terasa tersangat malas. Mata pun susah nak celik.
Lengkap berpakaian, Suriya turun ke ruang dapur. Tak berniat pun nak buat sarapan sebab masa yang semakin suntuk. Bangun lewat, inilah padahnya. Saat melintasi peti sejuk, matanya terpandangkan sekeping kertas memo yang dilekatkan di situ. Ni mesti kerja along. Biasanya kalau nak pesan apa-apa, along akan buat macam ni. Bisik hati Suriya.

Selamat pagi dik. Along tak sempat nak inform kat adik. Malam semalam along sampai dari Terengganu. Tapi along terpaksa terus ke airport. Emergency. Along terpaksa ganti kawan along. Sorry okey. Nanti dah sampai Mumbai, along call adik ya. Bye, take care. Salam.

Haih. Susahnya kerja macam Rozairul. Sentiasa tak lekat kat rumah. Waktu kerjanya sentiasa stand by. Tunggu orang panggil aje. Telinga Suriya menangkap bunyi hon kereta. Mesti teksi Pak mail tu. Bergegas Suriya keluar dari rumah mendapatkan Pak Mail.
Haip, awal cik adik. Hari ni datang dengan cik abang ke?” Masuk saja dalam pejabat, Noraini terus mengusik dia.
“Cik abang? Siapa?” Cik abang mana pulak ni? Kepala Suriya tak sempat nak tangkap maksud soalan Noraini itu. Sampai di meja, dia letak beg kerja yang sangat memberatkan bahu.
“Alah, buat-buat tanya pulak. Su ni suka tau buat akak cakap kuat-kuat. Dari orang tak tahu, jadi tahu.” Rungut Noraini. “Su datang dengan pakcik yang duduk dalam bilik tu ke?” Noraini berbisik selepas matanya melilau pandang kiri dan kanan. Dia memang, kalau nak bercakap pasal Suriya dan Iddin, mesti mata tu sibuk bekerja jugak.
“Eh, taklah. Kenapa pulak saya kena datang dengan dia?”
Oh, itu rupanya maksud soalan Kak Ani tadi. Haih, kenapa aku mesti datang dengan dia? Lagi pun sejak kes dia tengking aku hari tu, kami tak pernah bertegur sapa. Iddin tak tegur Suriya, Suriya lagilah malas nak tegur Iddin.
“Manalah tahukan,” sahut Noraini.
“Tak ada maknanya Kak Ani oi.” Suriya segera berlalu ke pantri. Malas dia nak tahan telinga dengar kata-kata Noraini. Nanti apa pulak yang direpekkan tak tahulah. Lebih baik isi perut yang sedang bergendang ni dulu. Semasa nak keluar rumah tadi, dia tak sempat nak makan dahulu.

IDDIN masuk ke pejabat sedikit lewat. Dia sudah maklumkan kepada Badrul. Alasan yang diberikan adalah kerana ada urusan peribadi. Awal-awal pagi lagi kakinya sudah menapak ke deretan kedai hadiah di sini. Dia masih mempertimbangkan cadangan Mak Yam sebenarnya. Nak bagi bunga ke? Atau bagi hadiah? Tapi, boleh jalan ke cara tu?
Kalau bagi bunga, mesti Suriya cakap Iddin dah tak betul. Mana nak betulnya kalau tiba-tiba aje bagi bunga. Macam orang bercinta pula. Bagi hadiah? Tapi apa? Sambil menyoal diri sendiri, sambil itu kaki Iddin melangkah masuk ke dalam kedai yang menyediakan perkhidmatan penghantaran hadiah untuk yang tersayang.
“Err… Ada apa-apa yang boleh saya tolong encik?” Suara teguran itu mengejutkan Iddin. Habis terbang semua yang dilamunkan. Wajah seorang pekerja kedai menyapa pandangan matanya.
“Sebenarnya saya sedang mencari hadiah untuk seseorang sebagai tanda minta maaf. Err… Awak boleh suggestkan tak?”
“Oh. Untuk kekasih ke?” Pekerja itu senyum mesra. Kekasih? Hati Iddin menyoal.
“Taklah. Untuk kawan perempuan aje,” gugup Iddin menjawab.
“Hmm… Kami ada bermacam hadiah untuk perempuan. Ada minyak wangi, purse, handbag dan bermacam lagi. Seperti yang encik lihat sekarang ini, ada bermacam pilihan di dalam kedai kami. Atau jika encik mahukan kelainan, saya cadangkan ini.” Pekerja itu menunjukkan sebuah album gambar yang penuh dengan gambar-gambar reka bentuk coklat. “Ini adalah sample coklat handmade. Encik kena tempah dahulu kerana kami hanya buat apabila menerima tempahan. Jika encik tak berminat dengan design yang telah ada dalam album ni, encik boleh kemukakan design encik sendiri dan insya-Allah pihak kami akan sediakan.” Terang pekerja itu panjang lebar.
Terlopong mulut Iddin mendengarkan penerangan pekerja tersebut seraya tangan membelek album gambar di tangan. Cantik-cantik semuanya.
“Saya nak yang ni. Tapi awak tukar tulisannya kepada ‘I’M SORRY’. Awak decoratekan cantik-cantik tau. Agak-agak sempat tak siap hari ni?” Iddin cepat-cepat membuat keputusan sebelum dia rambang mata.
“Hadiah ni akan dihantar ke mana, encik?” Dalam masa yang sama pekerja itu memandang jam di dinding kedai.
Area Shah Alam ni jugak.”
“Hmm… Rasanya sempat siap. Dalam 12.00 tengah hari kami akan hantar. Encik ke kaunter dahulu, encik perlu isi borang untuk tujuan penghantaran. Encik nak selit kad ucapan?”
“Boleh jugak.”
Iddin mengikut langkah pekerja kedai itu berlalu ke kaunter pembayaran. Di sana dia perlu mengisi borang maklumat penghantaran hadiah sebelum melakukan pembayaran. Ini adalah prosedur biasa kedai tersebut.


Rabu, 17 April 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 14


IDDIN capai kotak rokok dan lighter dari atas meja kecil di dalam biliknya. Kemudian dia menghilang di belakang rumah. Habis sebatang, sebatang lagi rokok dia keluarkan dari kotaknya. Selepas dinyalakan hujung punting rokok, dia sedut asap berpenyakit itu dalam-dalam. Dia bukan perokok tegar. Tapi apabila dilanda masalah, inilah jalan keluarnya. Sedangkan dia tahu, rokok tak boleh selesaikan masalah. Makin tambah penyakit adalah. Tapi nak buat macam mana, dia dah ajar dirinya dengan cara ini. Asal ada masalah, hisap rokok.
Dia tension kerana Suriya masih tak nak tegur dia. Masih lancar perang dingin. Dah masuk seminggu dah mereka begini. Dia tahulah silap dia sebab tengking Suriya tapi takkan selamanya nak lancar perang dingin. Dia dah minta maaf pun. Takkan tak nak maaf-maaf lagi?
“Din, ya Allah! Din merokok balik?” Sergahan suara Mak Yam mengejutkan Iddin. Asap rokok yang dihisap oleh Iddin telah membawa Mak Yam ke belakang dapur itu.
“Hmm… Mak Yam kan tahu, Din memang merokok.”
“Tapi, Din dah berhenti kan dulu,” Mak Yam masih ingat. Bertahun lalu, Iddin pernah berjanji dengannya mahu berhenti merokok. Nampaknya janji hanya tinggal janji.
“Din masih hisap rokok tapi kadang-kadang aje. Untuk release tension.” Perlahan Iddin menjawab. Dia sedar, dia yang salah.
“Din, Din. Kalau tension, bukan ini jalan keluarnya. Merokok bukan boleh selesaikan malasah tapi boleh bagi penyakit pula nanti. Isy, sudahlah tu. Mak Yam dah sesak nafas nak hidu bau rokok tu.” Mak Yam memberi nasihat seperti seorang ibu kepada anaknya. “Apa masalah Din sebenarnya?” Wajah sugul di hadapannya Mak Yam pandang lama.
“Din, Din tersilap tengking dia.” Lurus Iddin memberitahu.
“Dia?” Serius, Mak Yam blur.
“Din silap tengking Anggerik.”
“Laa… Kenapa pulak Iddin tengking anak dara orang tu?”
Sungguh Mak Yam terkejut. Iddin yang dia kenal amat-amat susah nak marah orang. Paling-paling teruk pun dia diamkan diri. Pendam masalah sorang-sorang. Tapi kalau dah sampai marah, tengking orang ni. Memang masalah serius!
Iddin pandang Mak Yam. Separuh punting rokok yang masih berbaki di celah jari, dia tenyeh pada astray. Lambat-lambat dia membuka mulut, menceritakan kembali detik permulaan pergaduhan antara dia dan Suriya. Semuanya diceritakan, tak tertinggal walau satu pun.
“Sekarang macam mana? Apa plan Din?” Mak Yam bertanya.
“Mak Yam, kalau Din tahu macam mana nak pujuk Anggerik, tak adalah Din lepas tension macam ni.” Geram pulak Iddin rasa.
“Oh, Mak Yam lupa.” Mak Yam berfikir. Sampai berkerut dahinya kerana berfikir. “Mak Yam tengok kat dalam TV, tak susah pun pujuk perempuan. Alah, Din bagilah bunga ke, coklat ke. Atau pun Din bagi hadiah. Tak kiralah hadiah apa pun. Asalkan sesuai. Janganlah bagi hadiah yang boleh buat dia tambah marah.” Tuu dia… Cadangan bernas sudah keluar dari mulut Mak Yam. Jangan pandang sebelah mata dengan Mak Yam, okey!
“Bunga? Hadiah? Boleh guna pakai ke Mak Yam? Macam idea lama aje,” Iddin musykil. Memanglah semua cadangan tu selalu ditayangkan dalam drama-drama tempatan. Tapi, boleh guna pakai ke untuk pujuk Anggerik? Perempuan sekarang bukan ke suka demand tinggi-tinggi?
“Boleh, apa tak boleh pulak. Atau pun Din boleh cuba satu cara ni. Tapi Mak Yam pesan awal-awal ya, plan ni nampak lagi berani dari cadangan yang tadi,”
“Lagi berani? Macam mana tu? Dengar pun dah rasa macam best aje,” tak sabar Iddin nak tahu rancangan Mak Yam.
“Din ajak dia keluar makan. Jangan sampai… Eh, apa orang putih panggil tu. Kandel dinner ke apa entah. Susah Mak Yam nak sebut.”
Candle light dinner? Tu maksud Mak Yam?”
“Haa… benda tulah. Tapi janganlah sampai ada lilin-lilin tu semua. Buat biasa-biasa aje. ajak dia keluar makan tanda minta maaf. Dalam masa yang sama, Din kenalah pandai main ayat gula-gula kat dia. Barulah nampak real!” Bersungguh Mak Yam membentangkan cadangannya. Macam dia pulak yang kena jumpa Suriya.
“Boleh jalan ke Mak Yam?”
“Tak cuba, Din tak tahu.”
Iddin termenung, memikirkan cadangan Mak Yam. Macam boleh guna pakai tapi… apa-apa pun dia kena cuba. Macam Mak Yam cakap, tak cuba tak tahu. Bagaimana pulak penerimaan Anggerik nanti? Ah, pasal penerimaan dia, kau tolak ke tepi dahulu. Yang penting kau cuba! Sahut kata hati Iddin.
“Eh, fikir apa lagi tu? Sudah-sudahlah tu.” Mak Yam bersiap-siap mahu beredar dari belakang rumah. “Dan lagi satu, Mak Yam dah tak nak tengok Din merokok lagi. Cara paling senang nak redakan tension, Din ambil wuduk dan solat. Insya-Allah, kita akan tenang selepas itu. Sudahlah, Mak Yam masuk dulu.” Mak Yam tepuk bahu Iddin sebelum angkat kaki.
“Okey, terima kasih Mak Yam.”
“Sama-sama.” Iddin pandang tubuh tua Mak Yam terkedek-kedek masuk ke dalam rumah. Walau dia tidak sempat melihat emak kandung, Allah kurniakan penjaga yang sangat baik hati untuknya. Yang menjadi pemberi semangat, penyokong yang kuat untuknya selama ni.

PUKUL 4.00 pagi. Rozairul bangun awal-awal pagi dan bersiap. Pakaian sudah dia letak di dalam beg kecil. Tak banyak dia bawa baju. Hanya semalaman saja dia akan bermalam di sana. Pagi ini dia akan bertolak pulang ke Terengganu. Suriya tak nak ikut, dia balik sorang. Tinggallah Suriya sorang diri. Memang dia tak bagi tahu Suriya. Hanya sekeping kertas dia selitkan atas meja makan. Pandai-pandai sendirilah Suriya nak hidup.
Hampir pukul 11.00 pagi, dia membelok masuk ke taman perumahan Telaga Daing. Tempat di mana terletaknya rumah keluarga angkat Rozairul dan Suriya yang dipanggil mama dan papa. Rozairul melangkah keluar dari kereta. Dia menghirup udara yang dirindukan selama ni. Dia rindukan bayu laut. Rindukan suasana perumahan di sini.
Selepas itu, dia pandang ke rumah yang pernah dia diami beberapa tahun dulu. Khemah sudah didirikan di hadapan rumah. Jika pulang beraya setiap tahun, rumah itulah yang mereka dua beradik tuju. Tapi selepas peristiwa lalu, Suriya sudah tak mahu pulang lagi ke Terengganu. Peristiwa di mana Puan Jamilah membawa mereka berjumpa dengan ibu kandung mereka.
Kerana peristiwa ditinggalkan oleh ibu sendiri sewaktu kecil dan pernah hidup merempat di bawah jambatan, Suriya bencikan ibunya. Baginya wanita itu tidak layak bergelar ibu. Dan kerana Puan Jamilah mempertemukan Rozaitul dan Suriya dengan ibu kandung mereka, Suriya mula bencikan Puan Jamilah.
“Eh, Wan. Bila sampai?” Tepukan pada bahu dan sapaan soalan itu mengembalikan Rozairul ke alam nyata. Pantas dia berpaling.
“Abang long. Wan baru aje sampai,” Rozairul salami tangan menantu lelaki sulung keluarga itu. “Meriah nampak tu?” Rozairul merujuk kepada suasana di depan rumah yang sudah siap berkhemah bagai.
“Hmm… mamalah punya plan tu. Eh, jom masuk dalam.” Arif sengih mendengar kata Rozairul.
“Kejap. Nak ambil beg kat dalam kereta.”
Usai mengeluarkan beg pakaian dari tempat duduk belakang, Rozairul mengikut langkah Arif, merapati pintu pagar rumah setingkat itu.
“Su tak ikut balik ke?” Arif bertanya. Baru dia teringat nak tanya.
Rozairul gelengkan kepala sambil senyum hambar. Kemudian dia mendekati Encik Razak. Tangan tua itu dia salami. Selepas itu, anak-anak Encik Razak mula menyerbu dia. Akhir sekali dia menyalami Puan Jamilah. Berderai air mata wanita itu luruh membasahi pipi.
“Su mana?” Itu soalan pertama yang keluar dari mulut Puan Jamilah. Meliar mata Puan Jamilah mencari kelibat Suriya. Serba-salah Rozairul jadinya.
“Err… Su tak ikut, ma.”
Puan Jamilah sudah mengagak akan jawapan itu. Daripada air muka Rozairul sendiri dia sudah dapat baca.
“Su masih marahkan mama, kan?” Sendu kembali berlagu di wajah itu.
“Ma, janganlah sedih sangat. Su tak marah mama.” Rozairul cuba untuk memberikan harapan yang manis-manis saja buat emak angkatnya. Dia tak mahu Puan Jamilah terus berperasangka buruk.
“Kamu jangan nak tipu mama, Wan. Mama tahu, Su masih marahkan mama. Kalau tak, dia mesti dah ada kat sini, bersama-sama kita.” Luah Puan Jamilah bersama esak tangisnya.
“Milah,” Encik Razak tiba-tiba bersuara.
“Abang, Su masih marahkan saya,” Puan Jamilah mengadu pada suaminya. Pantas Encik Razak peluk bahu isterinya. Puan Jamilah mengongoi di bahu Encik Razak. Hatinya tersangat sedih. Anak yang dijaga sejak kecil sekarang begitu marahkannya, membencinya. Ya Allah! Kau mengujiku lagi.
“Sabar, Milah. Ingat Allah.” Ujar Encik Razak sambil usap bahu isterinya. Seketika kemudian, tangisan Puan Jamilah terhenti dengan sendirinya.
“Hisy, apa ni. Menangis depan budak-budak,” usik Encik Razak sambil cuit hidung isterinya. Puan Jamilah laju alihkan wajahnya dari pandangan Encik Razak. Malulah tu. Desis hati Encik Razak. Mungkin Puan Jamilah baru sedar yang anak-anak sedang mengelilinginya. “Okey, dah. Tak naklah sedih-sedih macam ni.” Sambung Encik Razak lagi.
“Wan, masuklah berehat dulu. Baru sampai dari KL, mesti penat lagi. Pergi letak beg dalam bilik uda.” Suruh Arif selepas suasana yang tadinya gamat dengan tangisan Puan Jamilah sudah kembali reda.
Uda atau nama sebenarnya, Sabri, ialah anak kelima kepada pasangan Encik Razak dan Puan Jamilah. Sabri sudah berkahwin dengan seorang doktor. Mereka tinggal di kampung sebelah.
“Okey,” Rozairul menuruti arahan Arif.

ASALNYA Rozairul mahu sambung berehat dan tidur selepas mandi dan bersolat tengah hari itu. Tapi puas dia baring di atas katil. Pusing ke kiri dan ke kanan juga sudah. Rasa mengantuk seakan sudah dibawa pergi. Lalu, dia keluar dari bilik. Mendapatkan isi rumah yang sedang sibuk menyusun atur keperluan untuk esok hari.
“Eh, tak tidur ke?” Kak long atau Razinah menegur Rozairul sambil kendong anaknya.
“Tak boleh nak tidurlah kak long.” Rozairul sengih kepada Razinah. “Abang long mana?” Mata Rozairul melilau mencari Arif.
“Entahlah. Tadi kak long nampak kat belakang,”
“Okey, Wan cari abang long dulu,” Rozairul pinta diri sebelum berlalu ke belakang rumah.
Ada beberapa orang jiran tetangga yang datang membantu. Inilah hidup di kawasan kejiranan yang masih kuat mengamalkan amalam tolong-menolong. Di sini masih mengamalkan cara hidup kampung. Bukan seperti di bandar besar. Semuanya tempah katerer. Pemilik kediaman hanya tunjuk-tunjuk aje nak yang mana. Kemudian sedia duit. Sudah hilang sikap bergotong-royong.
Mama cakap majlis cukur jambul tapi gaya macam nak sambut menantu baru. Meriah kenduri. Bisik hati Rozairul.
Pada sebelah malamnya, sesudah menunaikan solat isyak, semua isi rumah berkumpul di bawah khemah. Banyak betul cerita yang keluar dari mulut mereka. Setiap orang sibuk nak bercerita. Sampai satu tahap sudah seperti langau pula. Bising sangat. Tapi suasana inilah yang Rozairul rindukan. Riuh-rendah apabila semua berkumpul. Macam hari raya pulak dia rasa.
“Ha, Wan. Lama tak dengar cerita orang jauh ni. Macam mana kerja sekarang, okey?” Rizal, anak kedua Puan Jamilah dan Encik Razak.
“Okey aje angah. Cuma sekarang ni tengah cuti panjang. Cuara buruk tengah landa Eropah dan beberapa negara lain. Kapal terbang pun tak boleh nak landing,” beritahu Rozairul.
“Oh. Angah dengar macam best aje orang kerja bawa kapal terbang ni,” ujar Rizal. Dia sisipkan secawan teh ke bibir.
“Kadang ada best. Kadang cuak juga. Nyawa penumpang di tangan kita. Itu yang bahaya.” Rizal menganggukkan kepala.
Ramai yang tak tahu. Risiko seorang pilot untuk menerbangkan sesebuah kapal terbang sangat tinggi. Segalanya berada di bahu pilot. Yang orang ramai tahu, best kerja jadi pilot. Risiko itu sudah dibelakangkan. Samalah dengan budak-budak zaman sekarang. Yang best itu yang dikejar. Langsung tak fikir kemungkinan yang lain. Dan lagi satu, mereka fikir, pilot ni gajinya memang tak habis dibuat makan sebulan.
“Angah, siapa yang handle Darul Hilmi sekarang ni?”
Sejak sampai tadi, hati Rozairul begitu membuak-buak mahu menjejak kembali tempat tinggalnya sejak kecil itu. Tapi melihatkan semua orang sedang sibuk, dia pendamkan seketika hasrat hati. Tersangat rindu akan tempat yang pernah menjadi rumahnya. Masih terbayang di ruang mata. Jika orang lain pulang ke rumah masing-masing, dia dan Suriya hanya mampu tengok saja. Kerana mereka tak pernah kenal cuti atau hari biasa. Bagi mereka itu semua sama saja. Hari sekolah mereka tinggal di situ. Hari cuti pun mereka tinggal di situ juga. Tiada rumah saudara-mara. Malah mereka tak pernah kenal saudara-mara sendiri. Mereka masih punya saudara-marakah? Kadang-kadang soalan itu terbit di benaknya.
“Ayah Chen yang uruskan Darul Hilmi sekarang.”
“Wan rasa nak pergi ke sanalah,”
“Bila? Sekarang ke?”
“Eh, taklah. Bukan sekarang. Maksud Wan mungkin esok.”
Rizal ketawa besar dengan jawapan Rozairul. Lurus sangat! Dia bergurau aje masa tanya tadi tu. Wan, Wan, kau masih tak berubah. Macam dulu-dulu jugak. Desis hati kecil Rizal.

Khamis, 11 April 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 13


“TUNANG?!” Serentak suara Suriya dan Yuni menyoal. Suara mereka berdua berjaya menarik perhatian penghuni meja sebelah. Sampai tertoleh-toleh mereka memandang Suriya dan Yuni.
“Awak berlakon aje jadi tunang saya, lepas ni saya akan terangkan segala-galanya. Please!” Bisik Iddin di tepi telinga Suriya. Kedudukan mereka sangat rapat ketika itu.
“Err… Haah. Saya tunang enc.. err.. Iddin. Hai,” Suriya hulur tangan, nak bersalaman dengan perempuan gedik yang masih dia tak tahu nama apa ini. Rasa gugup dalam dirinya ketika itu hanya Allah saja yang tahu. Yuni hanya menyambut hujung jari Suriya. Tu pun sekejap aje. Angkuh sekali!
“Oh, inilah someone yang you cakap tadi tu?” Yuni menyoal.
Someone? Suriya pantas pandang Iddin. Berapa banyak rahsia yang dia simpan ni? Lepas ni aku kena berlakon jadi apa pulak? Jangan cakap aku kena berlakon jadi isteri dia! Suriya mengomel di dalam hati. Dia rasa nak angkat kaki dan berlalu terus dari situ. Semua ni sangat-sangat memberatkan kepalanya!
Yup,” Iddin senyum. Senyum mengejek sebenarnya.
“Err… I have to go now, nice to meet you.” Suriya bersuara ditengah-tengah perbualan antara Iddin dan Yuni. Nama minah gedik ni memang dia tak tahu sebab Yuni sendiri tak beritahu namanya dan Iddin pun tak kenalkan nama ‘kawan baiknya’ ini.
“Eh, wait.”
Iddin cuba halang tapi Suriya lagi pantas melangkah. Akhirnya Iddin mengejar langkah Suriya tanpa berpamitan terlebih dahulu dengan Yuni. Tercengang Yuni di situ. Blah macam tu je? Ingat aku ni tunggul ke apa?!
“Cik, order?” Pelayan datang ke meja itu dan bertanya dengan Yuni.
No thanks.”
Pantas Yuni berlalu keluar dari restoran itu. Dia masuk ke dalam restoran mewah itu pun sebab ternampak kelibat Iddin. Asalnya dia mahu kejar Iddin. Tapi lain pula yang dia jumpa. Iddin bersama seorang perempuan. Patutlah selalu mengelak. Yuni panas hati!
“Kau buat aku macam ni, aku balas balik nanti! Kau belum kenal siapa Yuni. Itu baru bertunang, yang berkahwin pun boleh bercerai. Inikan pula setakat tunang. Apa ada hal.” Tekad Yuni.

“SO, apa semua ni? Sejak bila kita ni bertunang? Kita bertunang, tapi saya tak pernah tahu pun. Hmm… macam mana tu? Ke kita bertunang di luar alam sedar?” Sinis Suriya menyoal. Masuk saja ke dalam kereta Iddin, dia tak boleh tahan hatinya dari terus menyerang Iddin dengan soalan demi soalan.
Iddin diam. Dia tak ada mood nak layan soalan-soalan Suriya. Fikirannya sedang berkecamuk. Sudahlah perut tengah kosong. Keluar lunch tapi tak makan. Ada ke macam tu?
“Encik!”
“Apa?!” Tengking Iddin. Aku sudahlah pening kepala berfikir. Dia pulak tambahkan masalah. Rungut Iddin di dalam hati. Iddin hentak tangan pada stereng kereta. Baru tersedar keterlanjuran diri. Tak sepatutnya dia tengking Suriya.
Suriya terkejut. Terhinjut bahunya kerana amat terkejut. Terus bisu mulutnya. Pertama kali bos besarnya itu menengking Suriya.
I’m sorry,” ucap Iddin perlahan.
Maaf? Lepas tengking aku suka-suka hati baru nak minta maaf! Suriya mematungkan diri. Dia terasa hati! Suriya peluk tubuh sambil buang pandang ke tepi. Tak kuasa dia nak pandang bos besarnya ini.
“Anggerik. Saya betul-betul minta maaf. Saya… saya tak sengaja nak tengking awak. Fikiran saya tengah bercelaru.” Iddin merayu. Pertama kali dia merayu dengan perempuan tau. Sebelum ni tak pernah dia merendahkan egonya hanya kerana seorang perempuan.
Suriya terus membisu. Melancar perang dingin. Iddin melepas keluhan. Anggerik merajuk ke? Dia tak pandai nak pujuk perempuan. Sampai saja di parkir bawah tanah, Suriya terus meloloskan diri dari perut kereta Iddin. Malas dia nak berlama-lama. Makin membahang pula dia rasakan jika berlama-lama di dalam kereta mewah itu.
“Anggerik!” Iddin memanggil Suriya, cuba menghalang langkah Suriya. Tapi panggilannya disapa angin lalu.
Terlajak kereta bolehlah reverse balik, tapi terlajak kata? Sendiri tanggunglah!

NORAINI hanya pandang wajah Suriya yang masam mencuka. Sampaikan Maria tegur dia semasa berselisih di pintu masuk pun dia tak pandang. Tercengang kawan tu. Tak lama kemudian muncul pula kelibat Iddin. Juga dengan wajah tegang sebelum hilang di dalam biliknya. Hampir sepuluh minit juga dia perhatikan tingkah Suriya. Bagus! Dua-dua balik dengan muka pelik. Kemudiannya dia ikut langkah Suriya ke pantri. Balik lunch pun masuk pantri jugak? Pelik.
Oit, cari apa tu?” Noraini bertanya kerana melihat Suriya menyelongkar isi kabinet. Macam sedang tercari-cari sesuatu.
“Kak, ada biskut tak?”
“Biskut? Nak buat apa?” Suriya pantas pandang Noraini. Apa punya soalan ni?
“Laa akak ni. Dah nama pun biskut, mestilah nak makan. Takkan nak buang pulak.” Suriya mengomel.
“Makan? Tadikan Su dah keluar lunch. Dengan bos besar lagi. Takkan masih lapar kut?” Noraini kerut kening. Sungguh. Dia tak faham maksud semua ini. Sudah keluar makan tapi masih lapar. Pulak tu sampai di pejabat Suriya tayang muncung panjang sedepa. Iddin pun sama juga. Gaduh ke mereka?
“Hmm… Keluar lunch tapi tak makan. Ada tak kak?” Kalau ikut hati, Suriya malas nak layan soalan Noraini. Perut dia tengah lapar gila ni! Kang tak dapat makan biskut, dia makan orang pulak!
“Ada, sekejap.” Noraini pergi ke kabinet dua paling bawah dan tarik pintu kabinet. Laa… kat situ rupanya. “Nah!”
“Terima kasih kak,” laju tangannya menyambut bungkusan biskut itu dan berlalu ke meja. Air Milo di dalam muk sudah suam. Noraini hanya perhati tingkah Suriya makan. Macam orang tak makan seminggu! Pelahap habis!
“Su,”
“Alhamdulillah,” habis sudah sepaket biskut. Kenyang sekejap perut Suriya. “Ya, kak?”
“Su dengan Encik Iddin keluar lunch ke mana?”
“Malaslah nak cakap pasal topik ni. Buat sakit hati je kak.” Dengar aje soalan Noraini, mood Suriya kembali menjunam ke bawah! Tadi dah nak happy balik, terus rasa bengang semacam.
“Kenapa sakit hati pulak ni? Cuba cerita dengan akak,” eceh, cerita dengan Kak Ani? Nampak tak permainan kata Noraini. Nak dapatkan cerita hangat dan sensasi punya pasal, sanggup dia pujuk Suriya.
“Tak ada apalah kak. Tak penting pun,” Suriya cepat-cepat berlalu ke singki dan mencuci muk yang dia gunakan tadi.
“Su, ceritalah.” Noraini tak putus-putus merayu.
“Hmm… Kak, jom sambung kerja. Akak nak duk sini sampai bila?” Pandai Suriya mengalihkan topik perbualan.
“Yalah, yalah. Tapi Su hutang dengan Kak Ani satu cerita.”
“Eh, ada pulak macam tu.” Kak Ani tak habis-habis dengan hutang. Sambung Suriya di dalam hati.
“Ah, tak kira. Nanti akak tuntut hutang tu. Daa…”
Noraini berlalu ke mejanya sambil lambai-lambai lagi. Tak nak kalah jugak tu. Sabar jelah aku! Desis hati Suriya.

KALI ini Rozairul dapat cuti lama sedikit. Kerana cuaca yang buruk dan penerbangan yang tergendala. Jadi, kerjanya hanyalah ‘membuta’ atau ukur jalan. Kalau Suriya tak kerja, bolehlah dia heret ke sana ke mari. Nak holiday ke apa ke senang aje. Tapi bila adik kesayangan dah mula kerja, dia pula yang jadi bosan. Tak ada kawan nak gaduh.
“Su,” Rozairul panggil Suriya. Mereka sedang bersantai di hujung minggu. Rasanya baru hari ni dia nampak Suriya tak sibuk dengan kerjanya. Kalau tak, susah nak ajak sembang.
“Hmm…” mata Suriya sikit pun tak berkalih dari kaca TV. Asyik sekali.
“Su nak balik Terengganu tak hujung minggu ni?” Walau dia tahu jawapan Suriya, Rozairul tetap juga cuba bertanya. Manalah tahu kalau-kalau Suriya berubah fikiran. Lagipun sudah lama mereka tak balik kampung halaman tercinta. Rasa rindu itu menggamit relung hati.
“Tak nak!” Laju Suriya menjawab. Fokusnya pada TV sudah hilang.
“Sampai bila Su nak mengelak macam ni?” Rozairul sudah kehabisan modal memujuk adiknya. Tapi semuanya tak jalan.
“Sampai bila-bila.” Suriya lempar ke tepi kusyen kecil yang tadinya dalam pelukannya dan berkira-kira mahu angkat kaki.
“Su! Hah! Eloklah tu. Along baru cakap sikit dah tunjuk perangai. Along tegur sikit pun tak boleh. Sampai bila nak macam ni? Kalau rasa marah sangat, fikirlah balik semua kebaikan mama kat kita. Kalau tak ada mama dan papa, kita takkan berjaya macam hari ni. Silap-silap, kita masih merempat bawah jambatan. Su, hidup ni jangan nak menongkat langit sangat. Kita bukan selamanya kat atas. Ya, mama dan papa ada buat salah. Tapi itu di mata Su! Su tak fikir ke sebab lain mama buat macam tu? Su tak fikir! Mama sebenarnya nak kita ni jumpa ibu kita. Hubungan yang renggang sejak kecil tu kita kena sambungkan kembali!” Panjang lebar kata-kata Rozairul. Sabarnya ada had juga. “Dan Su kena ingat, selagi dia bergelar ibu kita, selama itu dia tetap ibu kita. Walau seteruk mana pun dia, walau jahat mana pun dia, kita wajib hormatkan dia sebagai seorang ibu, sebagai wanita yang telah melahirkan kita. Ingat tu!” Sambung Rozairul.
Namun, Suriya tetap berkeras. Dia berlalu ke biliknya tanpa menghiraukan kata-kata Rozairul. Rozairul buntu. Kerana peristiwa lalu, Suriya jadi keras hati. Tersangat sukar untuk Suriya maafkan kesalahan ibu mereka.

Sabtu, 6 April 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 12


“SIAPA lelaki tu?” Di dalam perjalanan, Rozairul bertanya Suriya. Sejak pagi tadi lagi dia tahan perasaan hingga ke petang untuk bertanyakan soalan ini.
“Lelaki mana?” Suriya tak boleh tangkap lagi maksud soalan alongnya.
“Lelaki yang datang ambil Su pagi tadi, yang bercakap dengan Su tadi kat perhentian teksi.”
“Oh, tu bos Su.” Pendek jawapan Suriya.
“Bos? Takkan bos sanggup datang jemput pekerja sendiri. Su dengan dia ada apa-apa ke?” Rozairul senyum sumbing. Kalau setakat hubungan pekerja dan majikan, dia tak boleh terima jawapan Suriya itu. Ada ke majikan yang sanggup tumpangkan pekerjanya tanpa apa-apa perasaan? Tambah lagi punya majikan yang muda dan kacak begitu.
“Betullah along. Dia memang bos Su.” Bersungguh Suriya maklumkan kepada Rozairul. Tapi bukan senang nak buatkan Rozairul percayakan dia. Sangat-sangat susah!
“Dia ada perasaan dengan Su ke?”
“Entah! Dia punya perasaan Su tak ambil tau.”
“Hmm…” Rozairul urut dagu. Jawapan Suriya seperti tak kena aje.
“Eh, along nak makan apa malam ni? Kita beli bungkus aje, aci tak? Su letih sangat hari ni. Tak larat nak masak.” Suriya cuba mengalihkan topik perbualan. Dia dah malas nak dengar nama Iddin dijadikan topik perbualan antara mereka. Sudahlah tengah letih sekarang ini.
“Hmm… bolehlah. Eh, kalau dia tu sekadar bos Su, macam mana pulak dia tahu rumah kita?” Rozairul jongket kening.
“Err…” Suriya kehilangan kata-kata. Berterus-terang ke tak? Aduh! Kalau berterus-terang pasti kawalan Rozairul ke atasnya semakin ketat. Silap-silap dia tak bagi lagi Suriya pergi kerja dengan Pak Mail. Hati Suriya berbelah bahagi.
“Hah? Kenapa? Dah bisu?” Sergah Rozairul.
“Huh? Err… eh, berhenti kat restoran tu along. Tadi cakap nak beli bungkus aje. Sibuk sembang nanti terlepas pulak.” Cepat-cepat tutur kata Suriya. Nampak aje restoran yang biasa mereka kunjungi, terus keluar ayat itu. Nak lari dari topik punya pasal.
“Oo… nak lari dari jawab soalan along ye. Sampai kat rumah nanti along nak tahu jugak cerita sebenar. Su dah tak boleh lari lagi,” Rozairul mengeluarkan arahan. Suriya cuak. Erk!

“SO apa cerita?” Rozairul bersandar di tepi singki sambil pegang muk di tangan kanan. Sengaja dia ikut Suriya hingga ke dapur ni semata-mata mahu mengorek rahsia yang cuba adiknya sembunyikan. Alah, tak sampai ke mananya si Suriya ni nak simpan rahsia. Lama-lama terbongkar jugak.
“Cerita apa along?” Dah puas aku mengelak, along ni nak jugak korek. Ngee… Rungut Suriya di dalam hati. Pinggan yang sudah dicuci diletak di dalam bakul khas, membiarkan pinggan tersebut kering seketika.
“Buat-buat tanya pulak. Sudah-sudahlah tu. Along dah malas nak main tarik tali lagi. Cepatlah cerita.” Rozairul menggesa Suriya. Dia sudah hilang sabar.
“Okey, okey.” Suriya mengalah akhirnya. Dia mengelak lama-lama pun alongnya tetap jugak kejar. “Ceritanya macam ni. Err… minggu lepas Pak Mail tak sihat. Hari tu pulak Su balik lewat sebab buat OT. Semasa nak balik tu, Su tunggu teksi kat perhentian teksi sebelah bangunan pejabat. Tunggu punya tunggu tak ada teksi yang berhenti. Alih-alih bos Su tu yang muncul. Tu yang dia tahu rumah kita ni,” cerita Suriya sambil mengesat kedua-dua tangannya dengan kain bersih.
“Oh. Siapa nama bos Su tu?”
“Encik Iddin. Kenapa along? Tanya Su macam orang salah. Kalah polis pencen!” Apa kes pula tanya nama bagai ni? Nak pergi serang bos aku ke apa ni? Suriya musykil.
“Tak ada apa. Pagi tadi tu macam mana pulak dia boleh tercongok kat depan pagar rumah kita? Su call dia ke?” Rozairul urut dagu. Lagak macam penyiasat persendirian professional.
“Eh…. apa kes pulak Su nak call dia! Tak hadaplah nak pandang muka dia.” Dengus Suriya. “Pagi tadi Su ingatkan Pak Mail dah sampai. Itu yang kelam-kabut Su keluar. Tapi yang datang bukan Pak Mail, bos sengal tu pulak yang ada kat depan rumah. Huh!”
Iye ke tak ada apa-apa? Macam lain aje,” Rozairul sengaja menduga hati adiknya.
“Along tak nak percaya, sudah!” Suriya pantas angkat kaki, berlalu dari ruang dapur itu. Bosan dia mendengar tuduhan Rozairul yang tak sudah nak padankan dia dengan Encik Iddin. Muaklah!
“Su, Su! La… dia lari macam tu aje? Hisy budak ni.” Rungut Rozairul sambil pandang belakang Suriya yang sudah menghilang di ruangan mata.
Suriya tolak pintu bilik dan badan direbahkan di atas katil. Badannya terasa sangat letih. Kalau terus tidur bestnya!
“Apalah along ni. Suka-suka hati tuduh aku ada hubungan dengan mamat dingin beku tu. Kalau nak tuduh pun, bagilah orang lain. Setakat mamat dingin beku tu, memang taklah! Seriau aku!” Rungut Suriya. Dalam merungut akhirnya mata Suriya terpejam rapat. Sudah malas dia nak fikirkan pasal alongnya dan mamat dingin beku tu. Tidur lagi baik!

“HAI dear,”
Kepala Iddin pantas mendongak kerana sapaan itu. Hilang terus konsentrasinya pada dokumen syarikat.
“Siapa benarkan you masuk bilik I?!” Melengking suara itu berbau amarah.
“I tengok tak ada orang kat luar tu, so I masuklah. You ni kenapa? Selalunya okey je, hari ni berangin pulak.” Balas Yuni seraya duduk di kerusi tetamu di dalam bilik itu. Selamba betul. Iddin tak pelawa pun suruh dia duduk.
“You nak apa tiba-tiba muncul kat ofis I?”
Sungguh! Iddin malas nak layan minah gedik depan dia ni. Selama ni pun, dia tak pernah layan Yuni. Tapi minah ni yang tergedik-gedik depan Iddin. Biasalah. Barang murah memang suka tergedik-gedik dengan orang yang tak layan dia.
“I nak jumpa you lah. Dah lama I tak jumpa you. You tak rindu I ke?” Meleret suara Yuni.
Rindu? Geli tekak Iddin dengar perkataan rindu itu. Sejak bila aku dengan kau berkasih-kasihan sampai timbul rasa rindu tu? Rungut Iddin.
“Rindu? Apa hubungan kita ni sampai I perlu rindukan you?” Sinis Iddin menyoal.
“Ala you ni, selalu macam tu tau.” Yuni merajuk manja, kononnya. Dia cuba paut tangan Iddin tapi pantas ditepis oleh Iddin.
“Apa ni? You jangan nak mengada-ada. I dengan you memang tak pernah ada apa-apa hubungan. So jangan suka-suka hati nak pegang tangan I.” Kalau ada hubungan pun aku sikit tak hingin dengan kau! Sambung Iddin di dalam hati.
“Alah, pegang je pun, bukan luak.” Selamba badak mulut Yuni mengomel. Bagi dia memanglah tak ada apa-apa. Dia fikir semua orang sama aje. Sebab tu susah nak pikat Iddin.  “Sayang, jom lunch.” Yuni tayang muka mengharap.
Sorry, you datang salah masa. I dah janji dengan someone nak keluar lunch,” Iddin senyum sumbing.
Someone? Siapa?” Ha… laju tanya tu. Iddin terasa nak gelak kuat-kuat.
Yup, kenapa? Tak percaya?”
“Siapa perempuan tu?”
Perempuan? Aku tak cakap pun nak keluar dengan perempuan. Aku cakap nak keluar dengan someone je. Sah, kepala dia tengah fikir aku dah ada kekasih. Kalau macam ni, lagi best. Senang aku nak lari dari minah gedik ni. Fikir Iddin.
“Hmm…”
“Iddin!”
What?!”
“Siapa perempuan tu?” Suara Yuni merengek-rengek.
“Siapa pun dia, you tak ada hak untuk tahu!” Bidas Iddin.
“Huh!” Yuni bangun mendadak dan mahu melangkah keluar dari bilik itu. Pintu ditarik tapi sempat dia berpaling dan berkata. “Walau you berkasih dengan siapa pun, satu hari nanti I akan buat you melutut balik nak kat I.” Yuni menyambung langkahnya dengan wajah masam mencuka.
Ye ke? Aku sikit pun tak heran!” Iddin malas melayan orang gila macam Yuni tu. Bukan dapat apa-apa pun.

“AWAK nak makan apa?” soal Iddin sambil belek buku menu di tangan.
Suriya diam membisu. Dia tak sepatutnya berada di sini. Enak-enak dia nak pergi makan dengan Noraini dan Paliza, boleh pulak Iddin berhenti mendadak depan mereka dan paksa Suriya ikut dia pergi makan. Siapa tak angin! Kerana menjaga air muka sendiri, terpaksa juga Suriya masuk ke dalam kereta Iddin walau dalam hati sedang berapi.
“Anggerik,”
Tersentak Suriya. Nak makan, order ajelah. Selera Suriya sudah menjunam sejurus sahaja tubuhnya berada di dalam kereta Iddin. Kalau ikut perutnya, memang tersangat lapar tadi kerana sejak pagi dia tak makan apa-apa. Hanya minum semuk teh saja.
“Saya tanya, awak nak makan apa?” Iddin ulang soal. Dia yang memaksa Suriya, jadi terpaksalah dia bersabar dengan sikat protes Suriya.
“Tak lapar,” mendatar suara Suriya. Iddin menutup kembali buku menu di tangan. Dia pandang wajah pujaan hati di hadapannya kini.
“Tak lapar? Awak dah makan ke sebelum ni?”
Suriya diam. Tak kuasa nak menjawab soalan cerdik itu.
“Awak rasa cantik ke duk tayang muncung itik tu? Saya sendiri tak berselera nak makan bila tengok muka awak macam tu. Kalah asam boi!” Spontan Iddin membidas.
What?! Apa dia cakap?! Kenyataan Iddin tambah menyakitkan hati Suriya. Heh! Rasa berangin semacam aje nih! Kerana tak tahan berlama-lama di situ, Suriya tiba-tiba tolak kerusi ke belakang dan bangun. Dia dah tak tahan dipersendakan sedemikian. Ajak keluar makan sekali tapi suka-suka hati nak mengata orang!
“Eh, eh nak pergi mana ni?”
“Balik!”
“Awak nak balik dengan apa? Kita makan pun tak lagi,” melihat Suriya mahu angkat kaki, Iddin pantas menyambar lengan Suriya.
“Lepaslah!” Suriya mahu bertempik. Tapi sebabkan mereka berada di tempat awam, terpaksa dia tahan suara dari lebih meninggi. Nasib baik meja mereka terletak sedikit jauh dari meja makan yang lain. Maka berlakulah adegan tarik menarik antara Suriya dan bos besarnya. Malangnya, kali ni cengkaman tangan Iddin ke atas lengan Suriya tersangat kemas. Suriya gagal lolos.
What a drama,” kedua-dua pasang mata itu laju memandang si empunya suara yang berani menegur mereka. Yuni!
What are you doing here?” soal Iddin.
“I tengok drama kat meja ni tadi. Tapi tergantunglah pulak.” Sindir Yuni. Selamba saja dia duduk di meja bersebelahan dengan meja Suriya dan Iddin. “You tengah main drama apa ni sayang?” Sayang itu tertuju kepada Iddin. Takkanlah dia  nak panggil Suriya dengan panggilan sayang. Tak kenal batang hidung tiba-tiba panggil sayang. Tak ke pelik tu.
Minah mana pulak yang sibuk mengacau kat meja aku ni? Tergedik-gedik. Sudahlah pakai baju tak cukup kain! Kutuk Suriya di dalam hati. Hei, malulah sikit!
“Oh, before I terlupa. Kenalkan, ini tunang I, Suriya.” Tanpa rasa bersalah, Iddin selamba memperkenalkan Suriya kepada Yuni. Bukan sebagai teman, jauh sekali sebagai pekerja bawahannya. Tapi sebagai tunang!
Suriya tercengang. Tunang? Apakah?! Sejak bila aku bertunang dengan kau? Dada Suriya berombak hebat. Rasa marah tentang kes kena kutuk tadi tak habis lagi, sekarang Iddin tambah perasa yang lain pula. Tahap kebengangan dalam diri meningkat. Tunggu masa nak meletup aje ni!