Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 24 September 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 19

Jam loceng di telefonku berbunyi telah mengejutkan aku dari tidur. Terpisat-pisat aku bangun dari pembaringan. Tanganku ligat menggosok-gosok mata. Jam loceng di matikan. Terpapar di skrin telefon jam sudah menginjak ke angka 6.00 pagi. Perlahan-lahan aku bangun dari sofa dan berjalan ke arah beg pakaianku. Aku mengambil tuala dan baju yang akan aku sarungkan nanti. Setelah itu mataku melilau-lilau mencari bilik mandi.
Ternampak aku sebuah pintu yang aku pasti pintu itu bukan pintu bilik. Aku melangkah ke arah pintu tersebut. Pintu itu aku tolak. Telahanku benar. Memang pintu itu adalah pintu bilik mandi. Setelah menekan suis lampu, aku masuk ke dalam bilik mandi. Baju yang akan aku pakai nanti aku angkut sekali masuk ke dalam bilik mandi. Tak mungkin aku akan pakai baju di dalam bilik ini.
Selesai membersihkan badan, aku membentang sejadah. Solat subuh mula aku tunaikan. Seusai menunaikan solat dua rakaat itu, aku menadah doa kehadrat Ilahi agar sepanjang aku hidup di dunia ini diberkatiNYA. Aku juga meminta di ampunkan segala dosaku, dosa kedua ibu bapaku dan juga dosa suamiku itu. Selesai berdoa, aku mengaminkan doa dan meraupkan tanganku ke muka.
Telekung sembahyang aku dibuka dan lipat. Aku lihat Ariff masih enak lagi dibuai lena. Tak solat ke dia ni? Aku tertanya-tanya di dalam hati. Kakiku ringan saja berlalu ke arah katil tempat Ariff tidur dengan niat ingin mengejutkan dia.
“Ariff, Ariff. Bangunlah. Awak tak solat lagi. Waktu dah nak habis ni.” Aku cuba mengejutkan Ariff. Tapi sedikit pun tubuh itu tidak bergerak.
“Ariff, Ariff. Bangunlah.” Aku kejutkan dia sekali lagi. Kali ini dia bergerak sedikit. Matanya dibuka.
“Ada apa? Kacau betul orang nak tidur.” Terus dimarahnya aku. Lantang sungguh suara yang dikeluarkan kepadaku. Tercengang aku disitu. Bermula hari itu, aku tidak berani lagi mengejutkannya. Itu janjiku di dalam hati!
Tanpa perlu menunggu lama, aku terus berlalu ke arah sofa yang menjadi tempat pembaringanku sejak semalam. Kulihat jam dipergelangan tanganku sudah menunjukkan pukul tujuh pagi. Aku perlu bersiap ke tempat kerja. Memang sekarang masa masih awal untuk ke tempat kerja tapi aku perlu bersiap awal kerana aku bukannya berada di rumah emak dan ayahku sekarang ini. Aku sekarang berada dirumah orang mertuaku.
Aduh, rambutku masih basah. Aku mengeringkan rambutku dengan tuala kecil. Setelah rambutku kering sedikit, skaf kepala aku sarungkan ke kepala. Biarlah lembab sedikit rambutku, malas aku nak keringkannya lagi. Setelah itu, bedak muka aku oleskan ke muka. Tanganku mencapai pelembab bibir pula dan disapu ke bibirku.
Aku mencapai tudung kepala pula. Tudung yang warna senada dengan baju kurung yang aku pakai ini aku pilih. Aku langsung tiada mood untuk bergaya hari ini. Tudung di kepalaku hanya aku silangkan saja. Simple saja gayaku. Sebelum aku lupa, handbagku yang berada di tepi beg pakaianku, aku capai.
Aku turun ke tingkat bawah rumah banglo itu. Dilihat ibu sedang sibuk di dapur. Aku melilau memerhatikan ruang rehat. Tiada orang pun. Mungkin isi rumah ini sudah keluar atau masih lagi dibuai tidur. Aku mendapatkan ibu yang berada di dapur.
“Bu, orang kat dalam rumah ni ke mana?”
“Oh, abah dah ke tempat kerja. Farah pulak dah ke sekolah. Emm, Ariff dah bangun?” aku serba salah nak jawab macam mana.
“Err… tidur lagi, bu.” Aku menjawab perlahan.
“La… budak bertuah ni!” ibu mula merungut. Sedangkan tangannya ligat membuat rempah sendiri.
“Habis, Sarah nak pergi kerja macam mana hari ni?” pertanyaan yang diajukan oleh ibu itulah yang aku asyik fikirkan.
Macam mana aku nak pergi kerja hari ni? Aku tak tahu selok belok kawasan ni. Macam mana ni? Biasanya kan ke aku pergi kerja dengan motorsikal Honda EX kesayanganku. Tapi semalam Arifff telah pergi jemput aku dari rumah kedua ibu bapaku. Susahlah kalau macam ni.
“Entahlah, bu.”
“Takpelah,bu. Sarah pergi kerja dulu. Nanti lewat pula nak sampai.” Aku menambah bila melihat jam sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi.
“Eh, Sarah tunggu sekejap. Ibu pergi kejutkan dia sekejap.” Ibu berkata sebelum berlalu mendaki tangga rumah.
Takkan aku nak suruh dia hantar pulak. Tadi dahlah kena marah. Baik aku cuba ikhtiar sendiri. Aku berlalu ke arah pintu utama. Sandal milikku disarungkan ke kaki. Dan aku memulakan langkah kaki perlahan-lahan menyusuri kawasan perumahan elit itu.
Aku tidak tahu arah mana yang patut aku tuju. Aku berjalan hanya mengikut pergerakan kaki. Lebih kurang tiga puluh minit berjalan, aku mendengar ada sebuah kereta memberi hon kepadaku. Pada mulanya aku tidak menghiraukan langsung bunyi hon itu. Telahanku mungkin budak-budak nakal yang ingin mengusik gadis yang berjalan sendirian.
Pin… pin… pin… pin…
Bila bunyi hon itu bertalu-talu lagi hinggakan membingitkan telingaku, aku berpaling. Ingin melihat siapa yang punya angkara.
Kelihatan kereta Subaru Impreza yang cukup-cukup aku kenal. Tapi aku langsung tidak menghiraukan pemandu tersebut. Sebaliknya aku menyambung langkahku semula. Semakin jauh aku berjalan, semakin bertalu-talu pula bunyi hon kereta itu. Huh, nak apa lagi dia ni? Dahlah pagi-pagi tadi aku dah kena sembur.
Akhirnya pemandu kereta itu memintas jalanku. Barangkali sudah bosan membunyikan hon sehingga dapat meraih perhatian penduduk setempat.
Sedikit pun aku tidak terkejut. Dia menurunkan tingkap hadapan sebelah penumpang. Lalu dia bersuara, sedikit keras.
“Masuklah! Kau nak berjalan sampai ke mana? Sini mana ada bas yang lalu.”
Sedikit pun aku tidak hiraukannya. Aku hanya memeluk tubuh dan mematungkan diri.
Bila melihatkan aku masih tidak berganjak, dia berkata lagi.
“Kau nak masuk ke tak nak? Takpelah kalau tak nak masuk, jangan panggil aku bila ada orang ganggu kau. Kawasan ni ramai kutu jalanan yang suka kacau anak dara orang. Okeylah, bye.” Ariff menggertakku.
Entah kenapa, bila mendengar kata yang diucapkan oleh Ariff itu, akuj adi takut pula. Takut dengan gangguan jalanan yang terdapat di kawasan perumahan itu. Aku tanpa berfikir panjang terus masuk ke dalam perut kereta itu.
Dan kereta itu menderu dipandu laju. Dari ekor mataku dapat melihat yang Ariff sedang senyum sinis kearahku. Mungkin meraikan kemenangannya menakutkan aku. Perjalanan ke tempat kerjaku tidak terisi dengan butir-butir percakapan. Sunyi sepi keadaan di dalam kereta itu.
Tahu ke dia dengan tempat kerjaku? Entah kemana dia nak hantar aku aku pun tak tahu. Oh, lupa pula aku. Kan ke dia pernah makan di Restoran Nasi Kerabu yang terletak berdekatan dengan pejabatku. Jadi dia memang tahu lokasi tempat kerjaku.
Tepat pukul 8.47 pagi, Subaru Impreza itu sampai di depan pejabatku. Tanpa menunggu lama, aku lalu memboloskan diri dari perut kereta itu. Tanpa salam untuk Ariff. Biarlah, dia pun bukannya mengaku yang aku ini isterinya. Sebelum aku melangkah masuk ke dalam pejabatku, aku mendengar deruman enjin kereta mewah sport itu berlalu.
Aku melangkah memasuki pejabat. Semasa keluar dari kereta tadi, aku tidak nampak pun walau seorang pun teman sekerjaku. Tetapi sebaik saja aku melangkah masuk ke dalam pejabat, terdengarlah suara-suara sumbang mengusik.
“Hai, ade orang tu datang kerja hari ni siap pakai driver lagi. Huh, driver dia pakai kereta bukan sebarangan. Subaru Impreza lagi. Bertuahnya badan.” Zain memulakan usikan.
“Motor kau kenapa? Rosak ke sampaikan pakai driver hari ni?” Syam, si budak yang baru memulakan tugas di pejabatku pula menambah.
Aku tidak menghiraukan langsung setiap usikan yang dihamburkan oleh teman-teman sepejabatku. Aku hanya menyambung tugasku yang sudah sedia ada di atas mejanya.

Huh, bosan betul dengan suruhan abah tu. Kena jugak aku pergi jemput perempuan tu. Ketika aku sampai di rumahnya tadi, dia tidak ada. Emaknya berkata dia masih lagi ditempat kerja. Dalam rancanganku, sepatutnya aku singgah di rumah perempuan itu sekejap saja. Tapi disebabkan dia pula tak ada, terpaksalah aku menunggu. Ariff Zulkarnain meluahkan rasa.
Dahlah perempuan itu tiada, dia diajak pula oleh ayah mertuanya ke masjid. Bersolat berjemaah di masjid katanya. Pada mulanya gelisah juga dia dengan ajakkan ayah mertuanya itu. Tapi bila difikir balik, dia tiada tempat untuk melarikan diri, dia terpaksa akur juga dengan ajakkan ayah mertuanya itu.
Bila Ariff Zulkarnain fikir-fikir kembali, nasib baik ayah mertuanya hanya mengajaknya ke masjid. Kalau diajaknya berjemaah sekali di rumah iru, tak ke mati dia. Lebih parah jika dia disuruh menjadi imam. Tak dapat dibayangkan macam manalah keadaannya ketika itu.
Ariff Zulkarnain meminta diri dulu untuk berlalu ke biliknya. Tiada hati dia hendak mendengar perbualan ibu dan abahnya dengan menantu kesayangannya mereka itu. Dibiarnya perempuan itu terkontang-kating keseorangan. Ah, lantak dialah. Malas aku nak layan dia. Aku buat balik dia ke sini pun dah kira nasib baik. Tugas melyan perempuan tu terserahlah kepada ibu dan abah. Ariff Zulkarnain berkata-kata di dalam hatinya.
Di dalam bilik, mata Ariff Zulkarnain tidak mahu melelapkan mata. Puas dia berpusing ke kanan dan ke kiri. Masih juga tidak dapat melelapkan mata. Yalah, matanya mana nak tidur kerana dia merasakan masa masih awal. Biasanya sekarang ini dia masih lagi sedang berlibur dengan teman-temannya termasuklah Hani. Pada jam sedang menginjak ke pukul 12.00 tengahmalam, dia tidak betah untuk lena. Waktu tidurnya biasanya pada pukul 2.00 atau 3.00 pagi!
Matanya merenung siling, memikirkan apa kebaikan perempuan tu. Rasanya langsung takde! Sedang dia termenung, dia terdengar suara Farah yang dilaungkan dari tingkat bawah. Perempuan tu dah nak masuk ke dalam bilik aku ke? Aku kena tidur sebilik dengan dia ke? Aduh, macam mana nak buat ni.. Ariff Zulkarnain mula menggelabah.
Akhirnya dia mengambil langkah untuk berpura-pura tidur. Dia mendengar pintu bilik dibuka dari luar oleh perempuan tu. Dalam samar-samar cahaya, dia dapat melihat semua pergerakan yang dilakukan oleh perempuan itu. Dari perempuan itu sedang berfikir-fikir hinggalah perempuan itu membaringkan tubuhnya di atas sofa yang berada di dalam biliknya itu. Setiap pergerakan perempuan itu diperhatinya.
Setelah dilihatnya perempuan itu terbuai dalam mimpinya, Ariff Zulkarnain melangkah menghampiri sofa tempat pembaringan perempuan itu. Diperhatinya wajah yang tenang itu. Ada ke tidur pakai tudung begitu? Tiba-tiba terlintas soalan itu di dalam benaknya.
Ariff Zulkarnain tunduk sedikit untuk memerhati muka itu dengan lebih dekat. Cantik juga dia ni. Patutlah ibu dan abah berkenan untuk menjadikan perempuan itu sebagai menantu mereka. Tapi cantik lagi Haninya! Getus hati kecil Ariff Zulkarnain.
Cukup tenang dia tidur. Aturan nafas juga teratur. Seperti orang yang langsung tidak mempunyai masalah. Cemburu aku dibuatnya.
Seketika kemudian ringan saja tangannya untuk menyentuh wajah itu. Tangannya hampir mengenai wajah perempuan itu. Tiba-tiba pergerakan tangannya terhenti bila mendengar satu suara.
‘Kau tak boleh sentuh dia!’ dan satu suara lagi berbunyi.
‘Kenapa pulak aku tak boleh menyentuh dia? Bukan ke dia ini isteriku. Jadi tidak salah bagiku untuk menyentuhnya.’
‘Apa kau kata? Isteri? Kau pernah mengatakan yang kau tak mengaku dia tu isteri kamu dan sekarang kau kata dia ni isteri kau! Hei mana pergi kata-kata yang pernah kau ucap dulu?’
Terus Ariff Zulkarnain menarik kembali tangannya. Tidak sempat pun dia menyentuh wajah itu. Dia kembali semula ke arah katilnya. Dia duduk di atas katil itu dan meraup mukanya dengan kedua belah tangannya. Kecewa kerana tidak dapat menyentuh wajah itu disebabkan larangan oleh satu suara. Dia membaringkan tubuhnya semula di atas katil. Ketika matanya asyik menadah siling, dia tidak sedar pukul berapa dia terlena.
Pagi itu, terkejut dia bila mendengar ada suara memanggilnya. Siapa pulak yang memanggilnya yang sedang asyik tidur ni. Nak kata Farah bukan kerana Farah tidak pernah masuk ke dalam bilik ini. Ibunya juga begitu. Kalau abah, mustahil kerana suara ini adalah suara perempuan. Syira pula sudah kembali ke universiti yang telah membuka semester baru.
“Ada apa? Kacau betul orang nak tidur.” Terus dihamburkan amarah kepada perempuan yang sedang mengejutkannya itu. Semasa itu matanya masih lagi terpejam. Jadi, dia tidak dapat mengetahui siapakah gerangan yang mengejutkannya itu.
Bila tubuh itu berlalu setapak dua, barulah dia mencelikkan sedikit matanya. Sekarang barulah dia nampak susuk tubuh perempuan itu. Dia ke yang kejutkan aku? Sungguh aku tidak tahu dia yang mengejutkan aku. Ariff Zulkarnain berkata-kata di dalam hati.
Dia melihat segala kelakuan yang di lakukan oleh perempuan itu. Dari dia mengeringkan rambutnya, menyapukan bedak muka ke mukanya hinggalah dia siap memakai tudung di kepala. Cantik juga dia ni. Pertama kali aku melihat auratnya. Semua auratnya ditutup. Tetapi aku sempatlah melihat rambutnya. Hanya itu aurat yang dia tunjukkan untuk aku lihat. Rumus Ariff Zulkarnain di dalam hati.
Bila perempuan itu berlalu keluar dari bilik, Ariff Zulkarnain berhajat menyambung kembali tidurnya. Tetapi baru saja matanya hendak terlelap, pintu biliknya pula diketuk orang.
“Huh, siapa pula yang kacau aku pulak ni?” Dengus Ariff Zulkarnain.
“Siapa tu?” tanyanya.
“Ibu ni. Buka pintu ni, Riff.” Suara di luar menjawab.
Ariff Zulkarnain bangun malas dari katil dan bergerak ke arah pintu biliknya.
Dia membuka pintu biliknya sedikit. Dengan mata masih mengantuk, dia bertanya ibunya.
“Ada apa, bu?”
“Kamu tak bangun lagi ke?”
“Dah bangunlah ni.”
“Dah, dah. Pergi mandi. Lepas tu kamu pergi hantar Sarah ke tempat kerja. Dia dah tunggu kat bawah tu.”
“Kenapa pulak Ariff yang kena hantar dia? Diakan pergi kerja sendiri.”
“Eh, budak bertuah ni! Kamukan pergi jemput dia kelmarin. Dia mana ada bawa motor dia. Jadi kamu pergilah hantar dia. Kawasan nikan mana ada bas. Pergilah hantar dia. Kesian dia. Dia dah tunggu kat bawah tu.”
“Yalah, yalah.” Memang mulutnya mengikut apa yang ibunya suruh tetapi di dalam hati macam-macam yang dia sumpah seranah.
Huh, menyusahkan aku betul. Tak menyusahkan tak boleh ke. Itulah apa yang di sumpahnya di dalam hati. Dengan berat hati dia berlalu juga ke bilik mandi. Selesai mandi, dia bersiap ala kadar. Dia menyarungkan seluar pendek bermuda dan baju t-shirt lengan pendek. Selesai bersiap, dia turun ke bawah. Dari sedang menuruni tangga lagi matanya melilau mencari kelibat perempuan itu. Tetapi tak nampak pula.
“Bu, mana dianya?” dia bertanya kepada ibunya.
“Dia dah pergi. Ibu rasa dia dah berjalan slow-slow. Rasanya dia berjalan tak jauh lagi tu. Kamu pergilah menyusul cari dia.”
Pulak dah! Tadi ibu kata dia ada tunggu kat bawah. Ni pula ibu kata dia jalan sendiri pula. Menyusahkan orang betul. Ariff Zulkarnain melepaskan geram di dalam hati. Kemas kunci kereta dia genggam di dalam tapak tangannya. Terus dia mendapatkan keretanya yang terparkir di dalam garaj.
Dia menyusuri perlahan-lahan jalan di kawasan perumahan itu. Matanya liar mencari kelibat perempuan itu. Setelah lima minit di atas jalan, dia akhirnya nampak kelibat perempuan yang dia cari itu. Sedang berjalan perlahan-lahan di tepi jalan.
“Hisy, perempuan ni menyusahkan orang betul.” Entah kali keberapa dia merungut ayat yang sama.
Hon dia tekan bertalu-talu. Eh, perempuan ni. Buat dek je dia. Ni yang buat aku geram ni. Dia menahan geram. Hon dia tekan lagi. Tak hiraukan juga perempuan ni. Akibat terlalu geram, dia memintas perjalanan perempuan itu. Cermin hadapan di sebelah penumpang dia turunkan sedikit.
Awalnya perempuan tu tak mahu naik kereta dia. Tapi baru dia gertak sikit, terus jadi takut. Cepat-cepat perempuan tu masuk ke dalam kereta dia. Dalam diam, bibirnya melakarkan senyuman sinis terhadap perempuan tu. Tahu pulak dia ni takut. Aku ingatkan berani sangat tadi. Ariff Zulkarnain mengata di dalam hati.
Sepanjang perjalanan menghantar perempuan itu, mereka berdua sedikit pun tidak mengeluarkan suara. Sehinggalah sampai di depan pejabat perempuan itu, keadaan di dalam kereta sunyi sepi saja. Tidak seperti pasangan yang telah berkahwin lain, yang sepatutnya si isteri menyalami dan mengucup tangan si suami. Bila melihat perempuan itu keluar dari kereta tanpa melakukan rutin itu, dia terus memecut keretanya.
Di dalam hati dia berkata. Sekali dia tak mahu, seribu kali aku tak ingin! Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan