Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 17 November 2014

CERITERA AKU & CINTA : BAB 4

AKU melepaskan lelah setelah balik berjoging. Dengan badan yang masih berpeluh, aku sandarkan belakang badan pada sofa. Fuh! Leganya. Tambah pula dengan deruan angin penghawa dingin. Nyamannya!
Haip! Apa ni. Badan berpeluh, suka-suka hati duduk atas sofa. Busuklah!”
Kak long yang entah datang dari mana tiba-tiba menepuk bahu aku yang tengah syok layan penghawa dingin.
“Kacaulah kak long,” aku merungut.
“Kacau tak kacau. Naik atas, pergi mandi.” Kak long mengeluarkan arahannya.
“Hmm…. Nantilah.” Aku siap pejamkan mata lagi. Hari ni aku cuti, makanya hari cuti perlu digunakan sebaik-baiknya. Sambung tidur pun best jugak ni. Aku memasang angan-angan di dalam hati.
“Eh…. tak adanya nanti-nanti. Sekarang!” Kak long sudah menjerit.
“Aduh kak long ni. Nak pekak telinga ni!” aku mengomel. Badan ditegakkan dan aku bangun. Tuala kecil yang tadinya melilit leher aku campak ke arah kak long. Nah! Ambik. Geram hati aku berbalas.
“Yaya!” kak long bertempik menahan geram. Manakala aku gelak kuat-kuat sambil berlari mendaki tangga ke bilik.
Mental kak long dapat adik macam aku! Hahaha…. Itulah aku. Kalau tak kenakan kak long tak sah. Dan kerana hal kecil, riuh satu rumah. Tambah riuh kalau Ashman ada sama. Adik beradik ada tiga orang je tapi lagak bila berkumpul macam ada tiga puluh adik-beradik. Meriah!

SUARA umi bising sedang membebel. Membebel kat siapa aku tak tahu. Sebabnya, bila aku keluar aje dari bilik air, baru lepas mandi ni ha, dah dengar suara umi.
“Membebel kat siapa pula umi ni?” aku menyoal diri sendiri sambil tangan ligat mengesat rambut yang basah dengan tuala.
Tuala aku sidai di rak dan sikat dari dalam laci aku capai. Usai menocang rambut seperti ekor kuda, aku buka pintu bilik. Niat di hati nak ke tingkat bawah. Sampai di tangga, telingaku masih menangkap suara umi. Seperti marah-marah. Aku tak tahu sebab apa. Aku amati setiap patah kata yang keluar dari ulas bibir umi.
“Sampai bila nak macam ni long? Kak long nak orang panggil kak long andartu ke? Cuba-cubalah cari jodoh kak long.” Kali ni suara umi rendah sedikit.
“Kak long cari jodoh? Perempuan cari lelaki?” kak long menyoal.
“Kenapa tidak? Zaman sekarang semuanya boleh kak long,”
“Tak naklah!”
“Kak long! Habis, takkan selamanya kak long nak macam ni?” Suara umi meninggi semula.
Aku jadi terpinga-pinga. Kakiku laju menuruni anak tangga. Sampai saja di ruang tamu, sudah tiada siapa di situ. Aku kepelikkan. Macam ribut! Tiba-tiba saja dah tak ada. Aku ke dapur kemudiannya. Makan pagi dulu. perut dah berdondang sayang ni!
Dalam masa yang sama, kepalaku asyik fikirkan pasal perbualan umi dan kak long tadi. Macam ada sesuatu aje yang berlaku. Dan topik umi menyuruh kak long bukanlah topik baru. Bagi aku ni, macam dah basi aje topik tu. Sebabnya, tiap kali umi dan kak long bertembung kat dalam rumah ni, mesti topik tu yang dibangkitkan.
Kahwin, kahwin, kahwin. Rasa macam dah letih aku dengat perkataan lima huruf tu. Tahulah umur kak long dah menghampiri 30, tapi umi tak boleh paksa kak long macam tu. Mungkin belum sampai jodoh kak long lagi. Jodoh tu kan dari Allah. Sampai sekarang topik ni tak habis lagi.
“Yaya,” bibik yang berusia lewat empat puluhan itu menegurku ketika aku melihat-lihat apa makanan yang terhidang di atas meja makan. Nasi lemak! Habislah peluh yang keluar pagi tadi. Sia-sia saja!
“Ya, bik.” Aku pandang bibik sekilas sebelum mencapai pinggan.
“Yaya ada dengar ibu sama mbak bertengkar tadi?”
“Dengar bik,”
“Bibik takut.”
“Tak payah takutlah, bik. Bukan tak biasa umi dengan kak long tu macam tu.” Selamba aku berkata sambil mengaup nasi lemak ke dalam pinggan. Aromanya, fuh! Betul-betul menggoda!
“Tapi…”
“Tak ada apalah bik. Sekejap aje tu umi dengan kak long macam tu. Baik bibik sambung buat kerja, ya.”
“Baiklah,” bibik berlalu ke ruang tamu, mahu mengemas barangkali. Sementara aku pula meneruskan misi melantak! Terukkan anak dara ni! Ada aku kisah? Hahaha….

GEDEGANG!
Aku terjaga dari tidur kerana bunyi itu. Aku kebingungan dan mamai. Apa hal pulak ni? Jiran sebelah rumah ke dalam rumah aku sendiri bunyi tu? Aku menyoal di dalam hati. Tangan laju aje menggaru kepala. Weng sekejap kepala ni aku rasa.
Suis lampu sebelah katil aku tekan. Mataku kabur-kabur memandang jam kecil sebelah lampu. 3.15 minit pagi! Awal lagi. Aku rebahkan kembali kepala di atas bantal dan mahu menyambung kembali lena yang terbantut itu. Tapi, tak sampai dua saat mata aku nak terlelap balik, suara riuh rendah pula kembali kedengaran. Bunyi macam orang bergaduh.
Ini tak boleh jadi. Lalu aku bangun dan tombol pintu pantas aku pulas. Kaki laju melangkah ke arah tangga. Ruang di tingkat bawah yang biasanya gelap-gelita waktu-waktu macam ni, terang benderang. Suara umi yang marah-marah makin menampan telinga aku. Kakiku terhenti di anak tangga terakhir.
“Susah-susah sangat, biar umi kahwinkan saja kak long dengan anak kawan umi. Senang cerita.” Suara umi kedengaran masih marah-marah.
“Tak nak!” suara kak long pula meninggi. Pertama kali aku dengar kak long meninggikan suara begitu dengan umi.
“Habis tu, sampai bila nak macam ni? Umi malu dengan kawan-kawan umi. Anak-anak mereka yang sebaya kamu dah ada anak, tapi kamu? Masih macam ni. Tahu bawa haluan sendiri saja. Umi naik malu bila orang cop anak umi sebagai andartu!” Suara umi tak kurang tingginya.
Dua-dua sedang dikuasai amarah dan aku hanya mendengar. Nak mencelah terasa tak sesuai pula. Nanti dikatakan menyibuk pula. Tiba-tiba ayah menuruni tangga. Pandangan aku dan ayah bertembung pandang seketika. Kemudian aku larikan mata.
“Suhana, kak long. Apa bising-bising ni? Tak malu ke jiran-jiran dengar kau orang bertekak pagi-pagi buta ni?” Ayah cuba menenangkan dua beranak itu.
“Abang, cuba nasihatkan anak abang ni. Kenapa payah sangat nak dengar cakap saya? saya suruh buat benda baik. Bukannya saya suruh pergi mencuri atau bunuh orang!”
“Sabar, Su. Bercakap guna akal, bukan hati.” Kata-kata ayah tertuju kepada umi.
Tiba-tiba kak long meluru ke arah tangga. Sempat bertembung dengan aku yang masih berdiri di anak tangga terakhir itu. Aku lihat muka kak long seperti mahu menangis. Aku tak tahu nak kata apa. Hanya mampu memandang. Kak long terus berlari mendaki tangga. Kemudian umi pula muncul dengan ayah. Muka umi aku tak tahu nak cakap macam mana. muka orang tengah marah dan bengang.
“Masuk tidur, Yaya.” Ayah suruh aku sambung tidur sedangkan mata aku dah tak mengantuk sebabkan drama sebabak tadi.
Selepas kelibat umi dan ayah menghilang di dalam bilik mereka, aku mendaki anak tangga ke tingkat atas. Niat hati mahu ke bilik tapi kakiku terhala ke arah bilik kak long. Pintu bilik itu tak tertutup rapat. Dari celah daun pintu aku lihat kak long duduk di atas katil dan… kak long menangis? Aku nampak kak long sapu pipi dengan tangan.
Patut ke aku masuk dalam bilik kak long? Tapi apa yang boleh aku bantu? Sekadar memandang saja. Aku mengeluh. Kenapa keluarga ni aku lihat semakin hari semakin berantakkan? Sudah lesap kemesraan antara kami.
Lalu aku kembali ke bilik sendiri. Tubuh dibaringkan kembali di atas katil tapi mata memang sudah tak mengantuk. Puas aku pusing ke kiri dan ke kanan. Mata tetap tak boleh lelap kembali.

PAGI itu gempar. Kak long sudah tiada di dalam biliknya! Kereta kak long tak ada di depan rumah dan almari baju kak long kosong! Suara ayah bising dan kelam-kabut menefon kawan-kawan kak long tapi tak seorang pun tahu ke mana kak long pergi.
Melarikan diri dari keriuhan itu, aku ke bilik kak long. Pintu bilik aku tolak perlahan. Masya Allah. Aku mengucap panjang. Bilik kak long macam tongkang pecah. Tak pernah-pernah bilik kak long jadi macam ni. Kak long yang aku kenal tak macam ni. Kak long seorang yang kemas dan dia tak pernah sepahkan biliknya. Aku mencari kalau-kalau kak long ada meninggalkan nota atau klu supaya aku boleh jejak dia tapi nampaknya tak ada.
Aku keluar dari bilik kak long dan masuk ke dalam bilik sendiri. Aku duduk di atas katil. Aku mengeluh. Telefon bimbit yang masih diset dalam mode senyap aku capai. Dah pukul 10.00 pagi? Aduh! Kena bersiap-siap pergi kerja ni.
Eh, tapi ada mesej masuk. Laju jari-jemariku bekerja di atas papan pemuka telefon.

From: Kak long
Salam Yaya. Kak long terpaksa pergi. Kak long dah tak tahan dengan umi. Yaya fahamkan maksud kak long. Kak long perlukan ruang untuk diri sendiri. Jangan cari kak long dan jangan hubungi kak long. Sampai masa nanti kak long akan pulang. Tolong tengokkan umi, ayah dan Ashman untuk kak long. Kak long sayang semua.

Aku tercengang. Tak tahu nak kata apa. Selepas berfikir sesaat dua, aku mula menaip mesej balasan untuk kak long. Mesej dihantar. Tapi malangnya. Mesej undelivered! Mesej tak sampai. Kak long tutup telefon mungkin. Aku mengeluh lagi.

SELEPAS seminggu berlalu. Aku berjalan melewati taman perumahan itu. Sampai di depan pintu pagar, aku lihat kereta kak long ada di depan rumah. Perasaan aku tak dapat dibayangkan ketika itu. Tersangat gembira barangkali. Dalam kepala sudah merangka pelbagai rancangan. Walau baru seminggu tapi aku rindukan kak long macam sudah berbulan tak jumpa. Aku berlari pintu utama rumah. Tapi…
“Siapa suruh kau balik? Buat apa lagi kau balik? Aku tak ada anak macam kau. Aku tak ada anak yang memalukan aku!” Angkuh sekali umi bersuara.
Umi campakkan beg pakaian kak long ke luar rumah. Aku tercengang. Kakiku mati melangkah. Bagai terpasak pada lantai simen. Kemudian umi heret kak long ke luar dari rumah itu. Kak long menangis.
“Pergi kau dari sini. Jangan balik-balik lagi. Mula dari hari ni, anak aku ada dua orang saja!” Suara umi meninggi.
“Kak long,” aku meluru ke arah kak long. Aku peluk kak long yang sedang menangis.
“Yaya, masuk!” Umi mengarah aku pula.
“Apa salah kak long, umi? Kenapa umi mesti halau kak long?” aku menyoal umi dengan air mata yang hampir gugur.
“Umi cakap masuk! Jangan degil!” aku pula yang terkena tempias amarah umi.
“Pergilah masuk, Yaya. Biarlah kak long pergi dari sini. Kalau itu yang umi mahukan, kak long sanggup.” Kata kak long kepada aku pula.
“Tapi, ini tak adil.” Aku memprotes.
“Yaya! Masuk!” umi melaung. Masih menyinga seperti tadi.
“Pegilah,” kak long pula cakap kat aku.
Aku pandang umi dengan rasa tak puas hati. Aku hentakkan kaki dan masuk ke dalam rumah. Ruang dalam rumah kosong. Ayah tak ada. Bibik juga tak ada. Patutlah umi berani sangat halau kak long. Kalau ayah ada, keadaan takkan jadi macam ni.
Dan mula dari hari tu, kak long dah tak jejakkan kaki ke rumah ni. Hubungan umi dan kak long terputus. Seperti mana kata umi tadi.
“Pergi kau dari sini. Jangan balik-balik lagi. Mula dari hari ni, anak aku ada dua orang saja!”
Sampai bila-bila aku akan ingat ayat itu!

“AKAK,” bahuku terasa ditepuk dan namaku dipanggil. Habis terbang semua yang aku angankan. Kenangan lama yang tersangat mengusik jiwa itu buat air mataku mahu mengalir keluar.
“Akak kenapa ni?” Ashman menyoal.
“Tak ada apa.” Bingkai gambar aku letak kembali di tempatnya dan aku kesat air mata ditubir mata. “Umi dan ayah tak balik lagi ke?” aku memesongkan topik.
“Belum. Mereka cakap ada dinner kat luar.” Jawab Ashman.
Umi dan ayah sudah lain sekarang ini. Jauh berbeza dengan umi dan ayah yang membesarkan aku dan adik beradik waktu kami kecil dulu. Sejak umi dan ayah ada perniagaan sendiri ni, mereka mula berubah. Tak lekat di rumah, asyik sibuk memanjang. Sampaikan aku dan Ashman terasa terabai. Kasih sayang mereka sudah tak terasa kini.
“Akak naik dululah, nak mandi.” Kataku kemudian.
Bersama rasa sedih di hati, aku tinggalkan Ashman di ruang tamu.




CERITERA AKU & CINTA : BAB 3

“FAYYADH Ukasyah! Mummy cakap sekali aje. Mummy tetap tak setuju dengan pilihan Syah!” Lantang suara Puan Irdina menolak pilihan anak bongsunya.
“Tapi mummy…” Fayyadh cuba merayu.
No! Tak ada tapi-tapi.” Puan Irdina tetap keras dengan keputusannya.
“Kenapa dengan mummy ni? Semua yang Syah buat mummy mesti tak setuju. Dulu masa Syah nak buka bengkel tu, mummy pun tak setuju jugak. Sekarang pasal pilihan hidup Syah. Takkan semuanya mummy nak tentukan? Syah yang akan hidup dengan dia, tak boleh ke biarkan Syah yang tentukan segala-galanya?” Fayyadh melepaskan apa yang terbuku di dalam hatinya. Dia geram, dia bengang. Sejak kecil hidupnya diatur. Hinggakan mahu memilih jurusan apa ketika belajar dahulu pun Puan Irdina yang tentukan.
“Syah!” Puan Irdina memanggil tapi Fayyadh terus berlalu keluar dari rumah agam itu. Yang tinggal hanyalah bunyi deruman enjin kereta Hummer H3 milik Fayyadh.
“Kenapa mi?” Fifi Nadhirah, anak sulung Puan Irdina bertanya. Terkejut juga dia apabila mendengar pertengkaran antara mummy dan adik bongsunya tadi.
Mummy tak setuju dengan pilihan Syah.” Puan Irdina bersandar lesu pada sofa.
“Oh,” Fifi kehabisan kata-kata. Dia kenal mummynya jenis yang macam mana. sukar membangkang setiap kata-katanya.
“Bukan mummy tolak mentah-mentah pilihan Syah tu. Mummy bersebab buat semua tu. Gina tu bukan budak elok. Dah banyak kali mummy terserempak dia dengan jantan lain. Itu belum termasuk cerita-cerita yang kawan-kawan mummy sampaikan. Perempuan macam tu ke yang Syah nak buat isteri? Bila mummy cerita dekat Syah, dia tak percaya pula. Mummy pula yang disalahkan. Mummy nak yang terbaik untuk anak-anak mummy. Yang lain-lain dah lepas, dah ada kehidupan sendiri. Tinggal Syah seorang saja lagi. Amanah arwah daddy perlu mummy laksanakan. Lagi pun, Gina tu bukan dari keturunan yang elok-elok. Mummy tak nak cucu mummy nanti mewarisi darah keturunan dia.” Panjang lebar penerangan Puan Irdina. Matanya jauh merenung ke depan. Teringatkan kisah silam mungkin.
“Sabar mummy,” Fifi menggosok bahu Puan Irdina, mahu menenangkan mummynya. “Mummy ada calon ke untuk Syah?” tiba-tiba soalan itu terlintas di dalam kepala Fifi.
“Tak ada. Kenapa? Fifi ada calon ke?”
“Eh, tak adalah. Kalau ada pun, Fifi tak berani kenalkan dengan Syah. Nanti tak pasal-pasal berperang dengan Fifi.Mummy bukan tak kenal anak bongsu mummy tu.” Balas Fifi sambil buat muka.
“Hmm…” Puan Irdina menggumam.
“Alamak! Fifi dah lewat ni mummy,” kelam-kabut Fifi bangun. Dia terlupa yg dia perlu ambil puteri sulungnya dari sekolah.
“Fifi pergi dulu ya, mi. Jangan difikirkan sangat pasal Syah tu. Nanti darah tinggi mummy naik lagi,” sempat Fifi menitipkan pesanan buat Puan Irdina. Selepas bersalaman dan berlaga pipi, Fifi melangkah ke keretanya. Beberapa saat kemudian, kereta itu meluncur di atas jalan raya.
“Syah, syah.” Puan Irdina menggelengkan kepala.

MASUK saja Hummer itu ke dalam bengkel, para pekerja bengkel saling memandang sesama mereka. Gedegang! Bunyi pintu kereta dihenpas kasar. Menambahkan persoalan di kepala pekerja bengkel. Mereka pandang wajah pemandu kereta itu, masam mencuka. Macam baru terminum cuka saja. Kalau dah muka macam tu, memang sorang pun tak berani tegur. Kalau rasa nak kena sembur percuma, pergilah tegur.
Fayyadh menonong masuk ke dalam bilik kerjanya. Pandangan para pekerjanya langsung dia tak hiraukan. Mood dia sekarang seperti tsunami. Tadi pintu kereta dia hempas kasar. Sekarang pintu bilik kerja juga menerima nasib yang sama.
Nena yang bekerja sebagai pengurus kewangan bengkel itu turut terperanjat. Cek-cek di tangan yang memerlukan tandatangan bos besar dengan segera nampak gayanya perlu diketepikan dahulu. Nena mengeluh.
“Kenapa tu?” Kamal, salah seorang pekerja bangkel menyoal Nena.
“Adalah yang tak kena tu. Biasalah. Asal angin puting beliung datang, macam tulah.” Jawab Nena.
“Pulak dah,” lemah suara Kamal.
“Kau nak apa, Mal?”
“Aku nak hantar ni, borang cuti.” Kamal tunjukkan borang cutinya di tangan.
“Cuti?”
“Haah, minggu depan aku nak cuti.”
“Kau letak ajelah kat situ. Nanti aku bagi kat bos. Aku pun ada banyak juga cek yang perlukan tandatangan dia.”
“Okey, thanks Nena. Nanti aku belanja kau minum,” girang Kamal berkata sebelum berlalu.
Nena menggelengkan kepala sambil pandang kelibat Kamal yang semakin menghilang.

TUT… tut…
Bunyi mesej masuk.

Sayang, you ke mana? Senyap aje.

Isi pesanan ringkas dia baca dengan hati yang sebal. Fayyadh biarkan mesej itu sepi tanpa balasan. Biarlah. Hatinya masih sakit dengan penolakan mummynya. Sejak kecil Puan Irdina terlalu mengongkong hidupnya. Hidup adik-beradik yang lain tak pula dikongkong. Hanya dia. Semuanya Puan Irdina tentukan. Mentang-mentanglah dia ni anak bongsu. Huh!
Fayyadh bersandar pada kerusi pemandu. Dia berada di sebuah taman rekreasi. Enjin kereta dibiarkan hidup. Matanya memandang ke arah kanak-kanak yang sedang berlarian mengelilingi taman. Indah sungguh jika hidup ini seperti mereka. Langsung tak terbeban dengan masalah. Hanya tahu bermain dan terus bermain. Dan Fayyadh terus merenung mereka.

AKU ralit sekali memandang ke arah kanak-kanak yang sedang asyik sekali berlarian di taman itu. Hati yang tidak tenang dan resah gelisah telah membawa aku ke sini. Hanya sehelai sepinggang. Tak ada beg duit mahu pun telefon bimbit. Aku melarikan diri sebenarnya. Melarikan diri dari Farish. Aku dah letih nak bersua muka dengan Farish. Dah naik muak!
Aku toleh ke kiri. Mataku terpandangkan sebuah kereta. Macam kenal aje kereta Hummer warna hitam itu. Hatiku berdetik. Lalu, kaki ringan saja melangkah merapati kereta import itu. Sah, memang tak salah lagi. Apa yang aku fikirkan sama dengan apa yang aku lihat. Si pemandu sedang termenung jauh saja. Aku ketuk cermin sebelah pemandu. Jelas riak terkejut pada wajah lelaki itu. Cermin kereta diturunkan.
“Awak buat apa kat sini?” Aku baru aje nak buka mulut nak tanya, dia lebih dulu soal aku.
“Saja ambil angin petang. Awak buat apa pulak kat sini?”
“Jap saya keluar. Tak best la sembang macam ni.”
Tau pun. Sahut hatiku. Fayyadh tutup kembali cermin tingkap, matikan enjin kereta dan tolak pintu kereta.
“Saya tunggu kat sana,” aku tunjukkan bangku batu yang disediakan di taman itu. Cuaca pun redup. Best la ambil angin.
“Awak tak kerja ke hari ni?” Fayyadh duduk di bangku yang sama dengan aku tapi masih berjarak.
“Hari ni saya off day. Soalan saya tak jawab lagi. Awak buat apa kat sini?” aku ulang kembali soalan yang tak bersambut sebentar tadi.
“Hmm…” Fayyadh sandarkan badan pada bangku. “Tenangkan perasaan.”
“Tenangkan perasaan? Macam orang kecewa aje bunyinya,” aku ketawa perlahan. Aku pandang dia. Muka itu tetap serius. Langsung tak terasa nak ketawa sama. Atau paling kurang, senyumlah. Aku tekup mulut dengan tangan. Errr… waktu tak sesuai untuk ketawa kut.
“Awak ada masalah ke?” Cewah tanya orang. Masalah diri sendiri pun tak selesai lagi.
“Susah saya nak cakap. Terasa semua ni memberatkan kepala aje.” Fayyadh mengeluh. Aku tak faham kata-kata dia. Penuh makna tu.
“Manusia memang tak pernah lari dengan masalah. Biasalah, adat kehidupan.” Hanya itu yang meluncur dari ulas bibirku. Aku melepaskan nafas yang seakan menyekat ruang dada.
Kami diam. Masing-masing membisu. Bagai sedang melayan perasaan sendiri. Aku ralit memandang ke arah kanak-kanak tadi yang masih belum letih berkejaran. Kadang aku mengimpikan untuk menjadi seperti mereka. Malangnya hidup kita tak selamanya menjadi kanak-kanak kan. Hmm…
Tut… Tut…
Bunyi telefon bimbit mematikan lamunanku. Aku pandang orang sebelah. Tapi tak ada langsung reaksi orang sebelah mahu keluarkan telefon dan lihat siapa yang menelefon. Atau ada yang hantar pesanan mungkin. Kalau aku, dah laju nak periksa telefon sendiri.
Tanpa hiraukan Fayyadh, aku pandang ke langit. Rembang senja semakin melabuhkan tirai. Kanak-kanak yang tadinya berlari girang kini sudah tiada lagi. Lalu aku bangun dari duduk di bangku. Aku pandang Fayyadh sekilas sebelum berkata.
“Dah lewat petang ni. Saya minta diri dulu,”
“Hah?” Fayyadh macam baru terjaga dari lena yang panjang. Terpinga-pinga.
“Saya nak balik. Dah lewat ni,” aku pandang pelik Fayyadh sambil ulang kembali ayat aku tadi.
“Okey,”
“Awak tak nak balik ke?”
“Sekejap lagi,”
“Okey,”
Akuterus melangkah. Tapi tak sampai lima langkah aku berjalan, Fayyadh kembali memanggil namaku.Aku pusingkan tubuh. Kening terjongket menghantar pertanyaan.
“Awak tinggal kat mana?”
“Dekat-dekat sini jugak.” Mendatar aku menjawab. Dalam hati penuh dengan tanda tanya. Apa kes pulak sibuk tanya aku tinggal kat mana? “Kenapa?” aku soal.
“Err… Tak ada apa-apa. Saja tanya,”
Aku pusing dan sambung kembali langkah yang terbantut tadi. Dalam kepala asyik fikirkan soalan Fayyadh aje. Hmm… Pelik. Ah, aku je yang fikir bukan-bukan sedangkan dia tak ada apa-apa niat pun. Lalu, langkah diteruskan masuk ke dalam pagar rumah. Aku bertembung dengan adik bongsuku, Ashman.
“Dari mana kak?” Ashman menyoal.
“Dari taman depan tu,”
Reaksi muka Ashman macam pelik aje. Mana tak peliknya, aku mana pernah pergi ke taman tu. Tetiba hari ni pergi ke sana. Mesti dia fikir, buang tabiat betul kakak dia yang sorang ni.
“Umi dan ayah mana?” aku pesongkan topik perbualan.
“Biasalah, belum balik lagi.”
“Hmm… Akak masuk dululah.”
Aku masuk ke dalam rumah. Rumah besar tapi sayangnya dibiarkan sepi. Keriuhan gelak ketawa di dalam rumah itu sudah lama hilang dibawa pergi. Jika dulu, kami sekeluarga suka berkumpul. Saling bertukar cerita tentang kehidupan masing-masing. Tetapi kerana sedikit salah faham, hubungan itu berantakan. Terasa warna-warna kebahagian itu sudah lesap dibawa pergi.
Ringan kakiku melangkah merapati almari hiasan yang terletak berhampiran dengan almari TV. Gambar-gambar kenangan kami sekeluarga yang telah berbingkai cantik aku pegang. Di dalam gambar itu ada umi, ayah, kak long, aku dan Ashman. Kami semua tersenyum, menggambarkan rasa gembira kami ketika itu. Dan kenangan lalu kembali menerjah kepala.

P/S: Assalamualaikum semua.. lama sungguh saya berehat, bersantai dan segala berr... lagi.. huhuhu... sampai dah ingat2 lupa jalan cerita ni... hari ni update cerita ni lagi.. entah orang suka ke tak x tau la.. semoga terhibur...