Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 24 Februari 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB4

USAI solat isyak, Harith menyertai keluarganya yang sedang berkumpul di ruang tamu. Malam ni dia tak punya kerja yang banyak hingga perlu disiapkan segera seperti biasa. Warta berita yang disiarkan di peti televisyen sudah sampai ke penghujungnya. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi dan surat khabar yang berlipat di atas meja kecil dia ambil. Kesibukkan di pejabat menghalangnya dari membelek surat khabar. Cuma jika ada masa terluang, dia hanya membaca berita tekini melalui internet.

“Along nak air?” Tanya Puan Hasnah kepada Harith.
Surat khabar yang menutup wajah dia turunkan sedikit.

“Tak apalah, mak. Nanti along buat sendiri kalau rasa nak minum,” ujar Harith lembut. Dia sememangnya lembut orangnya. Eh, jangan salah faham pulak. Bukan spesies lembut macam sotong tu. Orang cakap berbudi bahasa. Tak suka tinggikan suara dengan orang tua. Tanda hormat masih menebal dalam dirinya.

“Kalau macam tu, mak masuk dulu ya. Nak lipat baju-baju tu,” balas Puan Hasnah sebelum berlalu.

“Okey,” Dan Harith meneruskan pembacaannya.

Rumah kayu itu sememangnya sunyi tika-tika begini. Adik-adiknya semua telah merantau jauh. Adik keduanya, Yasmin Hanniesa sudah bekerja dan sudah berkahwin. Sekarang Yasmin mengajar di Universiti Malaysia Terengganu(UMT). Adik ketiganya, Balkish Hanani sedang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM). Balkish sudah di tahun akhir jurusan Bahasa Inggeris. Yang keempat pula, Hafeez Amsyar sedang belajar di Kolej Matrikulasi Melaka. Yang kelima, Husna Insyirah masih di tingkatan lima di Maktab Rendah Sains Mara Besut. Dan yang bongsu, Hazirah Syukriyah juga masih bersekolah di tingkatan dua di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin(SMAASZA).

Bunyi pintu dibuka dari luar mengejutkan Harith yang sedang menonton TV. Surat khabar sudah ditolak ke tepi. Tak ada berita yang berjaya menarik perhatiannya. Balik-balik berita pasal parti politik yang bercakaran dan media sebagai medan mereka. Terjengul kepala ayahnya di balik pintu.

“Assalamualaikum,” Haji Ahmad menghulur salam.

“Wa’alaikumussalam,”

“Awal kamu balik hari ni long?” tegur Haji Ahmad sambil tangannya ligat menyelak pintu dari dalam.

“Kerja tak banyak, yah. Kalau tak, memang balik lambat jugak.”

Haji Ahmad duduk si kerusi bersebelahan dengan kerusi yang Harith duduki. Ketayap di atas kepala dia tanggalkan. “Oh ya, tadi Mak Long Ani datang. Dia nak sangat jumpa kamu tapi tak dapat pulak sebab dia kena balik awal ke Kuala Lumpur. Anak dia kena kerja pulak esok. Dia kirim salam kat along,” beritahu Haji Ahmad. Dia baru teringat tentang kedatangan kakak iparnya ke sini siang tadi.

Perlahan Harith menjawab salam itu. “Mak long datang ramai jugak ke ayah?”

“Tak ramai, berdua dengan anak dia aje. Mereka balik ni pun sebab nak tengok-tengok rumah dan menziarah kubur arwah pak long kamu.” Jawab Haji Ahmad. Matanya memandang TV tapi rancangan yang disiarkan nampak sangat membosankan dan tak kena lagsung dengan jiwanya.

“Ayah, masuk dululah. Nanti kalau kamu nak masuk tidur, tutup lampu tu. Assalamualaikum,” Pesan Haji Ahmad. Harith hanya memandang langkah ayahnya yang semakin menjauh. Salam dari ayahnya dijawab di dalam hati. Rumah kayu tu tak sebesar mana. Tapi bolehlah untuk mereka berteduh walau tak sebesar banglo orang kaya. Orang cakap, kita patut bersyukur dengan apa yang kita ada. Alhamdulillah, dia amat mensyukurinya.

Skrin TV dia pandang lagi. Hmmm.. tak ada apa-apa yang best pun. Lantas dia terus menutup TV. Dia melangkah masuk ke bilik. Dia terlihat skrin telefon bimbitnya seakan menyala. Laju dia menekan skrin sesentuh telefon Nokia N8 itu. Terpapar di skrin nombor yang tidak dikenali. Semerta keningnya berkerut. Bagai teringatkan sesuatu, Harith menyelongkar poket seluar kerjanya. Sekeping kad yang sudah sedikit renyuk dia keluarkan dari poket. Matanya memandang nombor telefon pada kad itu dan pada skrin telefon bimbitnya bersilih-ganti. Nombor yang sama. Tanpa menunggu lama, dia terus mendail nombor itu.

“Assalamualaikum, along ada call saya ke tadi?” teragak-agak Harith memulakan perbualan. Panggilan along itu terasa janggal pula.

“Wa’alaikumussalam. A’ah, tadi along ada call. Kalau Harith ada hal tak apalah, takut mengganggu pula.” Jawab Syed Yusri.

“Saya ada kat ruang tamu tadi, tak ada kerja pun sekarang ni. Ada apa along?”

“Hari khamis ni Harith free tak? Jumaat cutikan kat sana?”

“Sekejap along.” Harith mendapatkan buku kerjanya. Di dalam tu sudah tertulis segala jadual kerjanya. Beberapa saat kemudian, dia kembali mendapatkan Syed Yusri yang masih menanti di hujung talian. “Hari khamis ni saya ada kes kat mahkamah. Kenapa along?”

“Okey. Tapi sekejap aje kan? Along nak Harith datang ke KL selepas habis kerja Harith hari khamis ni. Boleh tak?” tanya Syed Yusri. Di dalam kepalanya sudah terangka perlbagai rancangan. Rancangan untuk merubah sikap adik bongsunya.

“Oh. Kalau saya confimkan esok boleh tak long? Sebab saya takut berjanji nanti tiba-tiba ada hal pulak. Saya nak tanya pembantu saya dahulu.” Balas Harith selepas berfikir seketika.

“Okey, tak apa. Banyak masa lagi sebelum khamis ni. Harith datang naik flight ya. Sampai aje ke sini terus call along. Ada perkara penting along nak bincangkan dengan Harith.” Ujar Syed Yusri.

Selepas berbual seketika, perbualan antara mereka terputus usai berbalas salam. Skrin telefon Harith pandang lama. Tak sangka sekali yang dia akan berjumpa dengan emak mertua dan abang iparnya siang tadi. Dan sekarang dia baru sahaja habis berbual dengan Syed Yusri. Skrin yang masih bercahaya dia pandang hinggalah skin gelap.

Kepala Harith ligat memikirkan sebab musabab dia perlu ke Kuala Lumpur seperti mana permintaan Syed Yusri. Harith boleh saja mengangguk setuju tapi sengaja dia mereka alasan kerana dia juga perlukan masa berfikir. Tambah lagi takut juga jika dia punya kerja saat-saat akhir. Syed Yusri memintanya naik kapal terbang ke sana. Dia tambah pelik. Kenapa kena naik kapal terbang? Dia kan ada kereta, naik kereta sajalah senang. Senang nak bergerak. Kalau naik kapal terbang kena ikut waktu perjalanan kapal terbang. Permintaan demi permintaan dari abang iparnya mengundang rasa pelik yang bukan sedikit.

Ah, banyak fikir pulak. Tidur lagi baik. Esok bukannya ada kes kat mahkamah. Desis hatinya.

“MALAM ni along akan ke KL sebab ada hal sikit,” maklum Harith kepada Puan Hasnah dan Haji Ahmad. Belum masanya lagi untuk Harith memberitahu segala-galanya kepada emak dan ayahnya. Entahlah, dia tidak punya kekuatan untuk memberitahu emak dan ayahnya. Perasaan takut sentiasa menghantui diri. Takut melihat penerimaan emak dan ayahnya.

“Lama ke kamu nak ke sana?” soal Puan Hasnah.

“Tak tahu lagi. Insya Allah, jika selesai cepat kerja kat sana, awallah along balik.” Jawab Harith. Cawan berisi air teh dibawa ke bibir dan diteguk perlahan.

Puan Hasnah hanya memandang tingkah anaknya yang sedikit kelam-kabut mahu ke tempat kerja. Dia faham sangat dengan rutin kerja Harith yang kadang-kala perlu kursus di merata tempat. Status peguam syarie’ yang disandang oleh Harith menjadi kebanggaan Puan Hasnah dan Haji Ahmad. Menjadi sebutan orang kampung. Cuma satu sahaja yang buat Puan Hasnah gusar. Entah bilalah anaknya itu mahu berkahwin. Di Yasmin sudah pun berkahwin. Dah ada anak pun. Tapi Harith masih begitu. Semacam tak punya keinginan untuk berkahwin seperti teman-temannya yang lain.

Puan Hasnah mengeluh mengenangkan sikap anak sulungnya itu. Bukan tiada orang yang nak, ramai sangat. Dah berpuluh orang Puan Hasnah kenalkan tapi semuanya Harith tolak mentah-mentah. Daripada ustazah hinggalah kepada budak kampung, semuanya Hatith tolak. Hati Puan Hasnah mula berfikir yang tidak enak tentang anaknya. Tapi cepat dia beristighfar. Tak baik berperasangka begitu. Masakan seorang peguam syarie’ akan berkelakuan begitu. Pantas bisikan syaitan dia tepis.

“Kenapa awak mengeluh ni?” tegur Haji Ahmad. Wajah isterinya dia pandang pelik.

“Saya fikirkan along tu bang. Entah bilalah nak kahwin. Orang lain dah ada anak berderet tapi dia masih macam tu. Perempuan macam mana lagi yang dia cari?” luah Puan Hasnah. Nafas dihela panjang.

“Sabarlah, Nah. Mungkin bukan jodohnya lagi.” Ujar Haji Ahmad menenangkan isterinya.

“Dah puas saya sabar, bang. Dia bukannya baru masuk 13 tahun atau 23 tahun. Tapi dah masuk 33 tahun. Sudah terlebih layak untuk berkahwin. Perempuan bagai mana lagi yang dia inginkan. Dah ramai anak-anak kawan kita yang bertanyakan Harith tapi dia tetap macam tu. Macam orang tak ada perasaan. Nak kata tak berkemampuan, saya tengok lebih dari cukup makan pakai dia. Tak pernah lagi dia merungut tentang tu. Sekarang ni, setiap kali saya nak perkenalkan dengan anak-anak kawan saya, ada saja alasannya. Sampai sanggup balik lewat. Kita ni makin tua. Entah sempat atau tidak nak tengok cucu dari along.” Sedikit beremosi Puan Hasnah meluahkan rasa di hati. Sebenarnya dia cemburu. Orang lain ada juga menantu yang boleh menolong ketika di dapur, tapi dia tak ada sesiapa. Nak harapkan anak-anak sendiri, semuanya jauh. Kurang-kurang, boleh juga dia menumpang kasih anak orang.

Haji Ahmad menggelengkan kepala mendengar setiap butir kata isterinya. Sejak akhir-akhir ni, sering kali Puan Hasnah membangkitkan tentang hal itu. Hal Harith yang masih tak mahu kahwin. Kadang-kadang dia terpaksa iyakan saja kata-kata isterinya. Nak tegur lebih-lebih nanti menangis lagi isterinya.

“Sabar, Nah. Insya Allah, mungkin dalam masa terdekat ni ada perempuan yang dia bawa balik. Siapa tahukan, jodoh, ajal maut semuanya di tangan Allah. Kita hanya mampu berdoa saja,” pujuk Haji Ahmad, hanya mahu menyedapkan hati Puan Hasnah. Dia tak mahu memberi harapan yang terlalu tinggi. Nanti takut tak tergapai dek tangan sendiri.

“MALIK, malam ni, kau hantar aku ke airport boleh tak?” Harith bertanya pada kawan baiknya, Malik. Ketika itu mereka sedang menikmati makan tengah hari.

“Kau nak pergi mana?” soalan berbalas soalan. Malik meneruskan suapan nasi ke dalam mulut.

“Aku nak pergi KL, ada hal sikit.” Balas Harith pendek. Malas nak cakap banyak.

“Hal apa? Setahu aku, kau tak ada apa-apa kursus kat sana dalam waktu terdekat ni.” Malik masih tak puas hati selagi tak tahu sebab sebenar Harith mahu ke sana.
Banyak soal pulak dia ni! Gerutu Harith.

“Adalah, urusan peribadi.” Acuh tak acuh Harith menjawab.

“Pukul berapa flight kau?” soal Malik lagi.

“Pukul 10.30 tapi kau datang ambil aku kat rumah mak aku. Kereta aku tinggalkan kat rumah aje,” jawab Harith. Kebiasaannya Harith akan menyuruh Malik bawa balik keretanya sebab apabila sampai dari Kuala Lumpur, dia akan terus memandu keretanya itu. Tak perlu menyusahkan ayahnya.

“Okey,” pendek jawapan Malik. Mereka meneruskan suapan memandangkan masa semakin laju berlari. Dahlah tak solat lagi ni. Desis hati Harith.

Malam menjelma. Harith sudah siap-siap mengenakan pakaian selepas solat isyak lagi. Pakaian yang ingin dibawa awal-awal lagi dia susun di dalam beg kecil. Dia ke sana tak lama, mungkin dalam dua hari saja. Tambah lagi, sampai ke sudah Syed Yusri tak memberitahu kenapa dia perlu ke sana. Jawapan yang dia terima cuma ‘ada hal penting’.

“Along, dah siap ke? Siapa yang hantar kamu nanti?” tanya Haji Ahmad sebaik terlihat kelibat Harith.

“Dah, yah. Malik yang hantar along nanti.” Beg kecil yang dibimbit dia letakkan di tepi dinding rumah kayu itu.

Stokin di sarung ke kaki. Baju sejuk sudah tersarung kemas di tubuhnya. Semerta dengan itu, bunyi hon dari luar rumah. Harith menyalami tangan kedua ibu bapanya sebelum mendapatkan Malik yang sudah menunggu di dalam kereta. Beg pakaian dia letak di kerusi penumpang di bahagian belakang. Malik keluar dari perut kereta. Dia menyalami tangan Haji Ahmad sebelum berlalu masuk ke tempat pemandu. Hon dia bunyikan kepada Puan Hasnah dan Haji Ahmad yang berdiri di beranda rumah. Harith melambai tangan ke arah kedua orang tuanya.

“Terima kasih, Malik.” Ucap Harith kepada Malik. Tika itu Harith sudah ingin masuk ke dalam balai berlepas.

“Perkara kecik aje. Nanti kau balik macam mana?”

“Aku tak tahu lagi. Nanti apa-apa hal aku roger kat kau,” balas Harith sambil menyalami tangan Malik.

Malik berlalu dari situ dan Harith terus melangkah masuk ke dalam lapangan terbang. Sejam di dalam kapal terbang menjadikan Harith tak sedar masa yang sangat cepat berlalu. Usai mengambil beg, jam di pergelangan tangan dia pandang. Hampir pukul 12.00 tengah malam. Poket seluar dia seluk dan telefon bimbit dia bawa keluar. Nombor yang bernama ‘Along’ dia dail.

“Assalamualaikum, along. Maaf ganggu, saya dah sampai di airport ni.” maklum Harith sebaik panggilan bersambut.

“Wa’alaikumussalam. Hah? Okey, okey. Along ke sana sekarang.” Dan talian terputus. Harith tersenyum sendiri. Nampak sangat baru bangun tidur.

Harith meliarkan pandangan ke arah sekitar ruang lapangan terbang itu. Dia bimbang sebenarnya sebab di sini peragut dan penyeluk saku ramai sekali. Tak kiralah pada waktu bila pun. Lagi ramai orang, lagi orang macam ni suka. Makin masyuk rezeki mereka. Hampir setengah jam Harith menanti di situ sebelum muncul sebuah kereta jenis Nissan Teana merapatinya. Kerana keseluruhan cermin gelap, Harith tak dapat mengecam siapa pemandu kereta itu. Apabila cermin diturunkan barulah Harith dapat mengecam. Syed Yusri rupanya.

“Jom masuk,”

Seketika kemudian, kereta yang dipandu oleh Syed Yusri berlalu keluar dari kawasan lapangan terbang itu. Harith sudah merebahkan kepala di atas kerusi penumpang. Badannya terasa letih sangat dan matanya terasa sangat mengantuk.

“Harith, bangun. Dah sampai ni.” kejut Syed Yusri.

Harith terpisat-pisat bangun. Tangannya spontan menggosok mata. Tak sedar entah bila kereta berhenti. Pintu kereta dia tolak perlahan. Kereta mahal orang, kenalah hati-hati. Matanya melilau memandang sekitar halaman rumah itu. Besarnya rumah ni. halaman pun luas. Kat sebelah pun rumah orang besar-besar juga. Kagum Harith.

“Jom,” pelawa Syed Yusri bila melihatkan yang Harith masih kebingungan.
Lambat-lambat Harith mengekori langkah abang iparnya. Bagai orang sedang tidur disuruh berjalan. Langkah Syed Yusri mati di hadapan sebuah bilik. Harith juga turut ikut berhenti. Syed Yusri membukakan pintu bilik dengan kunci di tangannya.

“Harith, ni bilik kamu. Buatlah macam bilik sendiri,” Syed Yusri memberi laluan agar Harith dapat masuk ke dalam bilik itu. Tanpa bantahan, Harith hanya mengikut.

“Terima kasih, long.”

“Sama-sama. Pergilah tidur kalau nak sambung tidur balik,” ujar Syed Yusri sebelum berlalu.

Pintu bilik Harith tutup perlahan dan lampu bilik dia buka. Cantiknya bilik ni, Harith kagum dengan susun atur bilik itu. Sangat jauh berbeza dengan biliknya di rumah orang tuanya. Badan dia rebahkan di atas katil. Ah, empuknya katil ni. Terasa sangat selesa sekali. Tanpa sedar dia terus dibuai mimpi.

p/s: bg yg tertunggu KYKS, maaf byk2 ye.. KYKS terpaksa d berhentikan untuk sementara waktu kerana sudah terlebih limit... sementara tu, bl bca smbungan EPH.. tq...

2 ulasan:

  1. mesti bilik lys ni, kan...mengamuk lah si lys ni klu taw laki die dah dtg...hehehe...cepat sambung taw, x sabar nak tggu bab strusnye..

    BalasPadam
  2. hehehehe.. hanya senyum.. x perlu kata apa2.. tunggu next n3.. apa jadi plk..;)

    BalasPadam