Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 24 September 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 20

Petang itu, aku awal-awal lagi berkemas untuk pulang. Eh, aku nak balik dengan apa? Aku datang tadi kan dengan Ariff. Nak balik dengan bas, dia kata kat kawasan rumah tu tak ada bas. Aduh, aku nak balik dengan apa ni? Takkan nak balik ke rumah mak kot, tapi nanti bermacam soalan yang emakku tanya. Nak jawab pulak macam mana. Tergagap jugak aku nanti.
Habis waktu kerja, aku keluar dari pejabatku. Terpacak aku keseorangan disitu. Aku tak tahu hendak ke mana. Kalau nak balik ke rumah mertuaku, aku tidak tahu hendak balik dengan apa. Sedang aku melangut di depan pejabatku, tiba-tiba datang sebuah kereta dan berhenti di hadapan pejabatku. Kereta itu sangat aku kenal begitu juga tuan empunyanya.
Aku tidak berganjak dari tempat aku berdiri itu. Mungkin orang lain. Bukannya Ariff. Itulah kata hatiku. Tetapi kemudiannya, hon kereta itu dibunyikan. Terkejut aku. Dan setelah itu, cermin kereta pula diturunkan sedikit. Terjengul muka Ariff setelah cermin itu diturunkan sedikit.
“Masuklah! Takkan nak jadi pak pacak kot kat situ.” Keras nada Ariff gunakan.
Aku memandang sekeliling. Ramai mata yang sedang memerhatikan drama antara aku dengan Ariff itu. Tanpa membuang masa, aku terus memboloskan diri masuk ke dalam kereta itu. Supaya orang-orang tidak terus memerhatikan drama swasta yang berlaku secara tidak sengaja itu.
“Kalau aku tahu macam ni jadinya, lebih baik aku tidak datang jemput kau. Tak pasal-pasal orang duk tengok aku. Menyusahkan orang betul.” Ketika di dalam kereta pula, Ariff tidak habis-habis membebel.
“Dah tahu menyusahkan, buat apa datang jemput aku.” Gumamku perlahan. Bimbang juga takut-takut didengari pula oleh Ariff.
“Apa kau kata? Cuba ulang sekali lagi!” Ariff nampaknya mendengar apa yang aku cakapkan.
“Err… Bila pulak saya cakap apa-apa. Saya tak kata apa-apa pun. Awak je yang duk bercakap dari tadi.” Gelabah jugak aku dengan pertanyaan Ariff itu.
“Aku ada dengar kau macam cakap sesuatu. Masakan pulak telinga aku tersalah dengar.” Tekannya lagi.
Aku pula mengambil langkah berdiam diri. Nanti, makin aku berdalih, makin pula dia tekan.
Ketika kereta Ariff memasuki Jambatan Sultan Mahmud, dia menghentak-hentak kedua-dua tangannya ke stereng kereta.
“Jam pulak jalan ni. Ni kau punya pasallah!” bebel Ariff lagi.
Semua benda dia nak salahkan aku. Tadi, masa di depan pejabatku, dia juga menyalahkan aku. Ni pulak ketika di dalam kereta. Dah memang sekarang ni masa orang balik kerja, memanglah jalan jam. Kalau ikutkan hati, aku nak balas balik dengan apa yang dia ucapkan kepadaku. Tetapi bila diingatkan balik, bersabar adalah lebih baik daripada membalas balik apa yang dia hamburkan kepadaku. Bila dia letih bercakap nanti, dia berhentilah tu. Itulah juga yang dipesan oleh emakku.
Kereta yang Ariff pandu bergerak sangat perlahan. Mulut dia pula tidak henti-henti membebel. Bermacam sumpah seranah yang dia hamburkan. Ketika itu juga aku terfikir, dia ni tak pernah terperangkap di dalam jam ke?
Hampir satu jam kemudian, barulah kami terlepas dari kesesakan jalan raya. Dan lima minit kemudian, kami memasuki taman perumahan mertuaku. Ariff memberhentikan kereta bila sampai di depan pintu pagar rumah itu. Enjin tidak di matikan. Kereta juga tidak maduk ke dalam garaj seperti kebiasaannya.
“Hei, tunggu apa lagi? Turunlah!” terkejut aku dengan sergahan Ariff itu.
Ketika kereta berhenti tadi, bukannya aku tidak mahu turun, tapi kebiasaannya dia akan masukkan kereta ke dalam garaj. Dan aku ingatkan dia terlajak dan mahu mengundurkan kereta. Alih-alih, aku pula yang disergah olehnya.
Akibat terkejut, aku cepat-cepat membuka pintu kereta dan keluar dari perut kereta itu. Kedua-dua kakiku baru saja menjejak tanah, kereta Ariff terus menderu laju. Macam pelesit, bawa kereta. Aku masuk melangkah ke dalam rumah. Salam aku ucapkan sebelum memasuki rumah tadi. Abah, ibu dan Farah yang berada di depan televisyen menjawab salam hampir serentak.
“Aik, Ariff mana?” Abah bertanya.
“Entahlah. Tadi lepas hantar Sa, terus dia pecut kereta. Tak tahulah pula dia kemana.”
“Hisy budak ni macam-macamlah. Marilah, join kami sekali.” Abah mempelawaku.
Aku menggelengkan kepala.
“Takpelah. Sa nak naik dulu. Nak mandi, rasa tak selesa je.” Kakiku terus dihayun ke arah bilik Ariff.
Didepan bilik, daun pintu aku buka. Huh, bersepah pakaian Ariff di dalam bilik ni. Macam tongkang pecah saja lagaknya. Dengan malasnya, aku mengutip setiap pakain yang berada di atas lantai itu. Macam ni ke dia setiap hari? Baju, seluar dan tuala bersepah di atas lantai. Ikut suka hati dia je sepah-sepahkan. Aku juga yang kena kemas. Dahlah penat balik dari kerja. Sampai di rumah berdepan pula dengan keadaan seperti ini. Tak sanggup rasanya untuk aku menghadapi semua ini.
Semua pakaian Ariff aku kumpulkan di dalam bakul pakaian kotor. Cuma tualanya saja aku sangkut di penyidai. Selesai mengemas pakaian yang berterabur itu, aku merebahkan badan di atas katil. Menyedari Ariff tiada di rumah, aku apa lagi, ambik kesempatanlah. Kalau dia ada memang aku tidak berpeluang untuk berbaring seperti itu.
Pertama kali aku merebahkan badanku di atas katil itu. Empuk sekali tilam ini aku rasakan. Katilnya pun luas. Mungkin saiznya King. Berbeza sekali dengan tilam dan katil di dalam bilikku di rumah kedua orang tuaku. Yalah, mana tak berbezanya. Orang miskin macam aku mana mampu beli tilam dan katil mahal sebegini. Lainlah anak orang kaya seperti Ariff. Bertuahnya dia.
Sedang aku asyik merasai nikmatnya berbaring di atas katil itu, kedengaran azan maghrib berkumandang. Aku menunggu hingga azan habis berkumandang dan sambil itu aku menjawab azan itu. Habis menjawab azan, aku menadah doa pula, doa jawab azan. Dengan malasnya aku bangun menuju beg pakaianku. Ini satu lagi masalah. Aku tak tahu nak letak di mana pakaianku ini. Jika aku letak di dalam almari yang sama dengan Ariff, aku bimbang akan di buangnya pakaianku itu. Penerimaannya terhadapku sudah dapat aku baca. Dia masih tidak berubah. Dia menjemputku mungkin kerana telah diugut oleh abah. Siapa tahu.
Jadi, buat sementara waktu, pakaianku masih lagi tersimpan di dalam begku. Aku mengeluarkan jubah mandi dari perut begku. Terus aku berlalu ke arah bilik mandi. Buat waktu ini, aku bolehlah berlagak yang bilik ini aku yang punya! Ariff kan takde…. Hehehehe…
Selesai mandi aku menbungkus rambutku dengan tuala. Sementara itu, jubah mandi masih melekat di tubuhku. Biarlah, malas aku nak tukar. Sejadah aku bentangkan dan telekung aku sarungkan. Tidak lama kemudian, aku mengangkat takbir.
Selesai menunaikan solat maghrib, aku mencapai Al-Quran yang berada di atas kecil di tepi katil. Mungkin milik Ariff. Sementara menunggu masuknya waktu solat isya’, Surah Yassin aku buka, lalu membacanya. Ketika hampir habis aku membaca surah Yassin, azan isya’ pula berkumandang. Aku menyudahkan bacaanku. Selesai membaca Al-Quran, aku terus menunaikan solat isya’.
Solat empat rakaat itu aku tunaikan begitu khusyuk sekali. Selesai menunaikan solat isya’, aku menunaikan solat sunat dua rakaat pula. Aku berdoa panjang bila selesai menunaikan kedua-dua solat itu.
Aku sedang melipat telekung bila terdengar pintu bilik yang aku diami itu diketuk dari luar. Sapa pulak lah ni…
“Kak Sarah, ibu panggil turun makan.” Terdengar suara Farah bersuara.
“Baiklah. Nanti akak turun.” Jawabku.
“Okey.” Balasnya.
Aku jadi malu pula bila ibu yang menyediakan masakan dan memanggil aku turun makan lagi. Sepatutnya aku sebagai menantu di rumah ini yang membantu ibu menyediakan makan malam. Dan bukannya berkurung begini. Tanpa berfikir panjang, aku menyalin pakaian. Baju tidur yang menutupi aurat menjadi pilihanku. Lalu tudung juga aku sarungkan ke kepala. Yalah, nanti semua isi rumah berkumpul dan aurat perlu dijaga.
Setelah siap berpakaian, aku menuruni tangga. Dari tangga, sudah kedengaran suara ruih-rendah di dapur. Meriahnya keluarga ni.
“Ha, akak dah turun pun. Jom lah ke depan,” ajak Farah sebelum berlalu ke meja makan.
“Takpe, Farah pergilah dulu.” jawabku.
“Bu, maafkan Sarah bu. Sepatutnya Sarah tolong ibu kat dapur ni tapi balik je kerja terus berkurung. Ni ibu pulak yang kena masak untuk Sarah. Sarah rasa tak layak pula bergelar menantu ibu.” Kata-kataku beralih pula kepada ibu.
“Hisy, kenapa pulak cakap macam tu? Sarah kan penat. Baru balik kerja. Ibu tak rasa apa-apa pun. Emm, Sarah nak tolong ibu kan? Sarah bawa dulang yang ada air tu ke depan, boleh?” ibu seperti tidak kisah pun dengan keadaanku. Dia siap faham lagi dengan tugasanku.
“Okey, bos.” Jawabku sambil tertawa kecil. Ibu juga tertawa. Aku lihat ibu lebih kurang sama dengan emakku sendiri.
Aku menatang dulang berisi air bandung itu ke meja makan. Pada ketika itulah abah baru saja sampai di meja makan.
“Jun, ramainya pembantu awak. Saya dah gajikan dua orang dan yang tak bergaji dulunya seorang saja tapi dah bertambah jadi dua. Bertuahlah awak, ringan sikit beban awak. Tak perlu lagi merungut.” Abah bersuara sambil tersenyum.
“Yelah tu, abang.” Ibu bersuara sambil membawa semangkuk nasi.
“Dah lah tu, jom kita makan.” Farah mencelah.
“Eh,eh. Lupalah tu. Sebelum makan kita kena buat apa?” abah bertanya. Mukanya sengaja diseriuskan.
“Err… kena baca doa makan,” Farah menjawab tergagap-gagap.
“Ha, dah tu cepatlah baca.” Gesa abah. Ketawaku hampir-hampir terburai. Yalah, siapa tak nak ketawa bila melihat muka abah yang sengaja di seriuskan dan muka Farah terkulat-kulat.
Kami menadah tangan serentak. Farah mula membaca doa. Selesai doa dibaca, kami memulakan makan malam. Berselera sekali aku lihat abah menjamu selera. Mungkin lauk-pauk malam ni kena dengan seleranya. Masakan malam itu juga sedap sungguh. Ia terdiri daripada gulai lemak ikan tenggiri, sambal petai dan udang, ayam goreng dan kangkung goreng belacan. Pandai ibu menyediakan masakan tersebut.
Abah sampai bertambah nasi. Aku pula hanya makan sekali saja. Itupun hanya dua senduk nasi saja dan tak habis sikit. Aku rasa tak berselera saja.
“Kenapa makan sikit sangat nasi tu, Sarah?” ibu bertanya. Mungkin dia melihatkan aku hanya makan sedikit saja.
“Dah kenyanglah, bu. Best tengok abah makan nasi sampai bertambah.” Jawabku.
“Abah memang macam tu. Makan tak ingat dunia. Apa yang ibu masak, semua dia bedal.” Kata ibu sambil tersenyum.
Aku mengangkat pinggan yang digunakan sebentar tadi ke dapur. Lalu dibasuh pinggan itu. Aku ke ruang makan semula. Abah sudah tiada di situ. Manakala ibu pula sedang mengumpulkan pinggan dan gelas yang sudah digunakan tadi. Farah pula membawa semua lauk-pauk yang tidak habis ke dapur. Aku mengambil pinggan dan gelas lalu dibawa ke dapur.
“Sarah nak bawak ke mana pinggan dan gelas kotor tu?” ibu bertanya.
“Nak bawak ke dapur la. Sarah nak basuh semua-semua ni.”
“Takpe ke?”
“Takpe lah, bu. Sikit je ni. Sarah dah biasa buat.” Aku berlalu ke dapur dan membasuh semua pinggan dan gelas kotor itu.
Selesai membasuh, aku ke depan. Ibu dan abah sedang bersantai di halaman rumah. Mungkin tengah mengambil angin malam. Romantik betul mereka berdua tu walaupun dah tua-tua. Farah pula sedang menonton televisyen. Aku menghampiri Farah.
“Cerita apa yang best sangat tu?” aku bertanya kepada Farah.
“Tengah tengok cerita Puteri Salju ni.”
“Takde kerja sekolah ke?”
“Ada tapi dah siap dah. Err… tapikan ada satu soalan matematik moden yang Farah tak boleh buat. Akak boleh tolong tak?”
“Oh, matematik moden. Kacang je tu. Mana soalannya?”
“Jap. Farah pergi ambik.” Farah berlalu ke biliknya
Aku menyambung kembali menonton televisyen. Jahat betul lakonan Sabrina tu sebagai Zarina, ibu tiri kepada Puteri. Sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan kekayaan.
“Nah, ini soalannya.” Farah menghulurkan buku latihannya. Tersentak aku yang sedang khusyuk menonton televisyen.
Aku melihat-lihat soalan yang Farah hulur.
“Oh, soalan ni senang je. Soalan ni Farah kena tahu mana satu subset, persilangan, kesatuan dan set pelengkap. Macam soalan ni Farah kena cari persilangan yang berlaku antara set A dan set B. Jadi, kita cuma senaraikan semua nombor yang bersilang sahaja. Faham?” aku menerangkan kepada Farah.
“Macam mana pula dengan kesatuan dan set pelengkap?” aku dapat rasakan yang Farah masih samar-samar lagi.
“Kesatuan adalah kita kena senaraikan semua set A dan set B. Manakala set pelengkap pula ialah bukan kedua-dua set. Atau dengan kata mudah bukan nombor-nombor yang yang berada di dalam kedua-dua lingkaran. Okey, dah faham ke belum?”
Kepala Farah terangguk-angguk. Menandakan yang dia sudah faham. Dalam pada itu, ibu dan abah melangkah masuk ke dalam rumah.
“Farah, tak siap lagi ke kerja sekolah?” abah bertanya.
“Sikit lagi tak faham. Farah tanyalah dekat Kak Sarah. Sekarang barulah faham. Tak sangka pula Kak Sarah pandai juga ya.”
“Eh, takdelah pandai sangat. Sikit-sikit tu boleh la.” Aku menyampuk, memperbetulkan tanggapan Farah.
“Dah siap nanti terus tidur, ya. Esok payah pula nak bangun tidur. Kamu tu bukan ibu tak tahu. Bukan main liat lagi nak bangun tidur.” Pesan ibu.
“Yalah, ibu, abah.” Jawab Farah, dengan nada bergurau.
“Okeylah, selamat malam. Assalamualaikum.” Abah mengucapkan salam dan selamat malam. Aku menjawab salam itu di dalam hati.
“Farah dah siap ke belum? Ada soalan lain yang Farah nak tanya? Akak nak naik tidur pulak, esok nak kerja.”
“Dah takde rasanya. Kalau ada yang tak faham, boleh la Farah tanya akak, kan?”
“Yalah, mana yang akak pandai, boleh la akak ajar. Kalau Farah tanya pasal di luar pengetahuan akak, tak dapatlah akak nak tolong. Akak naik dulu, ya.”
“Okey, selamat malam. Assalamualaikum.” Aku menjawab perlahan salam itu sebelum berlalu ke tangga rumah.
Didalam bilik, punggungku dilabuhkan di atas sofa yang telah menjadi tempat tidurku sejak semalam. Aku termenung seketika. Teringatkan emak dan ayah di rumah sana. Jika dulu riuh rumah tu dengan gelagat aku dan ucu. Tapi setelah ucu ke Sekolah Integrasi Lembah Bidong, rumah itu hilang sedikit keceriaan rumah itu. Dan sekarang, aku pula tinggalkan rumah itu. Makin suramlah keadaan di sana.
Bagaimanalah khabar mereka sekarang ni, ya? Aku menguap kerana mengantuk. Tanganku menutup mulut daripada terus menguap. Jam belum pun menunjukkan pukul 11.00 malam, tapi aku sudah mengantuk. Kalau di rumah sana, sekarang ni mataku masih lagi keras. Tak terasa mengantuk langsung. Mungkin aku kebosanan di rumah ni. Tak tahu nak buat apa.
Akibat terlalu kerap sangat menguap. Aku akhirnya terlena dengan sendirinya.

p/s:salam... sy x sangka yg blog sy ni ade follower... dh lme x buka sbb 2 xthu... hehehe.. ape2 pun thanks yg tlh mnjd follower blog ini....

3 ulasan:

  1. salam...
    to miss penulis...
    rajin2la update blog awak...
    saya slalu tggu awak update novel ni...

    BalasPadam
  2. Novel yg bgs ...tahniah...
    teruskn menulis

    BalasPadam