Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 31 Disember 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 35

Pokok-pokok yang di pesan oleh ibu telah sampai di rumahku pada petang Sabtu itu juga. Aku menyuruh pekerja yang menghantar pokok-pokok itu letakkan saja di halaman rumah. Aku sudah tidak larat untuk menguruskan pokok-pokok itu pada hari yang sama. Aku hanya menyusun atur pokok-pokok itu pada petang Ahad memandangkan petang itu aku pulang awal dari tempat kerja.
Aku menyusun atur mengikut citarasaku. Tetapi aku rasakan susun atur yang aku buat itu seakan tidak berapa lengkap lagi. Yang sampai hanya pokok-pokok. Aku memerlukan batu-batu sungai untuk menampakkan bentuk halaman yang aku ingini. Nanti-nantilah bila ada kesempatan, barulah akan aku ke kedai untuk mencari peralatan yang diperlukan.
Seperti biasa, kerja-kerja menyusun atur pokok-pokok itu aku uruskan sendiri. Tanpa pertolongan Ariff. Dia entah sudah lesap ke mana. Ketika aku sampai di rumah pada hari itu, dia sudah tiada di rumah. Dia langsung tidak ambil tahu tentang hal yang terjadi di dalam rumah ini. Yang dia tahu, keluar bergembira di luar bersama kawan-kawannya. Semuanya aku uruskan sendiri.

Aku sudah selesai bersiap-siap untuk ke pejabat. Apabila sudah berpuas hati, aku mencapai handbag dan keluar dari bilik. Sarapan sudah aku siapkan. Menu hari ini hanyalah nasi goreng. Sesampai di bawah, aku lihat ada sebuah beg yang tersadai di tepi sofa. Aik, pelik! Tadi tiada pula beg di sini. Tapi ni beg Ariff. Beg yang biasanya dia bawa ke atas kapal.
Eh, dah lambat ni. Aku berlalu ke ruang dapur. Dua langkah sebelum sampai ke dapur, aku berselisih dengan Ariff. Dia kelihatan sudah segak dengan seragamnya. Emm, mungkin dia sudah di panggil bertugas. Aku membuat telahan sendiri. Emm, lantaklah! Aku meneruskan langkah ke dapur. Dalam berdiri, aku hanya sempat minum air masak saja.
Setelah itu, tanpa pamitan, aku terus melangkah ke pintu utama. Dari ekor mata, aku sempat melihat ke arah meja makan. Ariff sedang menjamah sarapan pagi. Tanpa menunggu lama, aku terus ke arah motorku dan berlalu ke pejabat.

Petang itu, sesampai dari pejabat, aku lihat kereta Ariff sedang elok terparkir di tempatnya. Motor aku parkir di sebelah kereta itu. Aku berlalu masuk ke dalam rumah. Tempat pertama yang aku tuju ialah meja makan. Perkakasan yang berada di atas meja makan aku kutip dan bawa ke dapur. Lalu, pinggan itu aku basuh. Setelah itu, aku mengemas meja makan itu. Licin meja itu aku kerjakan.
Siap segalanya, kakiku melangkah ke tingkat atas. Bilik adalah destinasi yang aku tuju. Baru saja aku ingin melangkah masuk ke dalam bilik mandi, azan maghrib berkumandang. Memandangkan aku tidak dapat solat, jadi aku mandi sambil bermain-main air. Sengaja melambat-lambatkan waktu.
Selesai mandi, baju kelawar aku sarungkan ke tubuh. Ariff tidak ada di rumah, jadi bolehlah aku biarkan rambutku ini bernafas. Dan bolehlah aku pakai seluar pendek atau baju tanpa lengan. Aku turun ke bawah dengan niat ingin menonton televisyen. Remote control televisyen yang berada di atas sofa aku capai dan butang on aku tekan.
Tiba-tiba mataku terpandang sekeping kertas yang di tindih dengan segugus kunci di atas peti televisyen. Di tepi kertas itu terdapat juga satu sampul surat. Nasib baik aku belum lagi duduk ketika itu. Kaki di atur ke arah peti televisyen. Segugus kunci itu aku capai. Ini kunci kereta Ariff. Dan sekeping kertas semacam nota itu aku baca.

Hari ni aku start bekerja. Sepanjang aku takde, kau boleh balik ke rumah ibu atau ke rumah mak kau.dan dalam sampul surat tu ada duit untuk bulan ni.

Itu saja yang tertera di atas kertas itu. Dan sampul surat itu aku capai pula. Perlahan-lahan isi sampul surat aku bawa keluar. Ada dalam lapan keping not lima puluh ringgit. Tanpa mempedulikan itu, aku mengalihkan  tumpuan pada televisyen. Buletin Utama sedang di tayangkan di TV3. Sedang khusyuk aku menonton televisyen, tiba-tiba kedengaran pintu rumah di ketuk orang. Pantas, tuala yang tersangkut di bahu aku letakkan di kepala. Menggantikan tudung. Dan tombol pintu di tarik.
“Akak!” Farah dan Syira bersuara serentak. Sedikit menjerit. Terperanjat aku.
“Eh, kamu ni. Masuklah.” Aku mempelawa mereka masuk.
“Abang Ariff mana?” Farah bertanya.
“Abang Ariff dah masuk bekerja dah hari ni.”
“Oh, tak dapatlah Syira jumpa dia.” Syira bersuara sedikit kecewa. Mereka berdua duduk dan aku pula berlalu ke dapur.
“Eh, akak tak payahlah buat air.” Farah melaungkan suara dari ruang tamu.
“Dah tu, kamu nak makan apa? Nak minum apa?” aku bertanya hairan. Aku melangkah ke ruang tamu.
“Memandangkan Abang Ariff takde, kami sebenarnya nak ajak akak keluar. Jom, kita makan kat luar. Janganlah akak kata akak dah masak.” Penuh mengharap Farah mengajak.
“Emm, akak tak masak lagilah. Abang Ariff takde jadi akak pun malaslah nak masak.” Selamba aku menjawab.
“Jadi, akak bolehlah joint kami? Yea...” Farah sudah mula bersorak.
“Eh, akak tak kata pun akak nak ikut korang.” Aku bermain kata-kata.
“Oh. Jadi akak tak nak ikutlah ni? Huh...” Farah mempamerkan muka yang kecewa.
Ketawaku hampir terburai dengan reaksi Farah tadi.
“Kak, jomlah. Kak Sarah tak nak ikutlah.” Farah mengajak Syira untuk beredar dari situ.
“Kita nak ke mana?” Syira bertanya kepada adik bongsunya itu.
“Ke mana-mana sajalah. Farah dah lapar ni.” Aku hanya memerhatikan gelagat mereka berdua. Farah yang beriya-iya sangat. Syira aku lihat biasa-biasa saja. Tidaklah bersungguh-sunguh seperti Farah. Mereka ingin bangun.
“Okey, akak ikut.” Aku memberikan persetujuan mendadak.
“Apa, kak?” serentak mereka bertanya.
“Korang dengar kan. Akak tak ulang lagi. Tunggu akak bersiap sekejap.” Aku berlalu ke tingkat atas.
Baju t-shirt dan seluar jean aku sarungkan ke tubuh. Tudung yang bercorak geometri aku pakaikan ke kepala. Hanya solekan nipis saja aku sapukan ke muka. Akhir sekali, pelembab bibir aku calitkan ke bibir. Setelah berpuas hati, handbag yang aku guna ke pejabat tadi aku capai.
Di bawah, mereka berdua setia menunggu aku.
“Jom,” aku bersuara. Syira dan Farah berpaling ke arahku serentak.
“Wow! Cantiknya.” Farah berkata kagum.
“Cantik apanya. Akak pakai biasa je ni.” Aku menafikan kata-katanya sebab apa yang aku pakai ini adalah pakaian biasa saja. Hanya t-shirt dan jean. Bukannya gaun labuh yang penuh dengan labuci atau ropol-ropol.
“Jomlah,” ajak Syira.
Kami bertiga melangkah keluar dari rumah. Sebelum berlalu, pintu utama aku kunci. Kereta Satria Neo sudah tersedia di depan rumah. Syira bertindak sebagai pemandu. Dan Farah sudah mengambil tempat di tempat duduk bahagian belakang. Aku melabuhkan punggung di kerusi yang bersebelahan pemandu.
“Kita nak ke mana?” aku bertanya apabila kereta sudah sampai di simpang Masjid Terapung.
“Kita makan di KFC nak? Dah lama rasanya tak makan di situ.” Syira memberikan pendapat.
“Tak naklah. Makan kat KFC tak kenyang. Makan kat food court nak tak?” Farah pula memberikan cadangan.
“Dah, kalau nak makan kat food court, food court kat mana?” Syira bertanya. Aku hanya menjadi pendengar.
“Emm, entahlah. Akak ada cadangan tak?” Farah bertanyaku pula.
“Emm, kalau kat Taman Selera Tanjung?” perlahan aku memberikan cadangan.
“Okey jugak tu.” Farah menjawab.
Confirm?” Syira bertanya inginkan kepastian. Dan pantas saja kepala Farah mengangguk.
Kereta yang di pandu menderu membelah jalanraya. Sepanjang perjalanan, kami di hiburkan dengan celoteh deejay dari radio Hot. Fm. Dan selepas itu, lagu pula berkumandang. Lagu Tercipta Untukmu daripada Kumpulan Ungu. Tanpa sedar, aku menyanyi perlahan mengikuti bait-bait lirik yang di nyanyi oleh Pasha itu.
“Eh, akak pandai nyanyilah.” Pantas dapat di kesan oleh Farah. Dan secara automatik, bibirku berhenti bergerak.
“La, nyanyilah akak. Sedap suara akak.” Pinta Farah apabila aku senyap tiba-tiba.
Ah, malas aku nak layan si Farah ni. Aku memandang Syira dan dia melemparkan senyuman ke arahku. Aku membalas senyuman itu tanpa suara. Perjalanan di teruskan tanpa bicara antara kami. Hanya kedengaran lagu daripada radio saja mengisi kebisuan itu.
Sepuluh minit memandu, akhirnya kami semua sampai di tempat yang di tuju. Setelah memastikan kereta elok terletak di dalam petaknya, kami beriringan ke arah salah satu kedai makan yang berderet di situ. Terasa seperti bujang saja aku rasa. Yalah, mana tak rasa bujangnya kalau berjalan dengan dua orang anak gadis ini. Tambah lagi berjalan dengan si Farah. Memang riuh!
Kami memasuki kawasan kedai dan menarik kerusi serentak. Malam masih muda dan pengunjung di sini masih lagi lengang. Kemudian, datang seorang pelayan untuk mengambil pesanan. Kami memesan makanan dan minuman. Dan pelayan itu berlalu.
“Bila Syira sampai sini? Cuti ke?” aku mengutarakan soalan kepada Syira.
“Sampai petang tadi, kak. Sekarang tengah cuti semester tapi sekejap je cuti. Tak sampai sebulan, bukan macam biasa.” Jawab Syira.
“Oh, macam tu. Ada apa-apa aktiviti ke sepanjang cuti ni?” Syira menggelengkan kepala.
Dan aku senyap setelah itu.
“Akak, selepas ni kita jalan-jalan kat taman tu nak?” Farah bersuara tiba-tiba.
Baru saja Syira hendak membuka mulut tetapi terbantut seketika kerana pelayan datang ke meja kami menghantar pesanan yang kami pesan tadi. Terima kasih kami ucapkan kepada pelayan itu sesudah dia menghidang makanan dan minuman.
“Eh, esok tak sekolah ke? Senang-senang je nak jalan-jalan.” Syira memperli adiknya itu.
Aku tersenyum dengan perlian Syira itu. Tepat terkena atas batang hidung Farah. Terkulat-kulat Farah. Aku mencapai sudu dan garfu dari di dalam pinggan mi goreng yang aku pesan. Dengan kalimah bismillahirahmanirrahim, aku menyudu mi ke dalam mulut. Emm, nikmatnya makanan.
Sedang enak kami menjamu selera, tiba-tiba datang seorang perempuan yang menepuk bahu Syira. Mungkin temannya, agakku. Pantas Syira mendongakkan kepala.
“Eh, Syira. Sedapnya makan, sampai tak sedar akak lalu.” Sapa perempuan itu.
“Emm, akak. Takdelah.” Sedikit terkejut riak muka Syira.
“Eh, takpelah ya. Akak nak cepat ni. Kawan dah tunggu tu.” Tanpa sempat memperkenalkan diri, perempuan itu meminta diri.
Aku memerhatikan perempuan itu berlalu ke arah tempat letak kereta.
“Siapa tu?” aku bertanya kepada Syira.
“Oh, itu Kak Hani. Senior Syira kat universiti.” Sedikit gagap Syira memberitahuku. Seolah sedang menyembunyikan sesuatu.
“Oh,” itu saja reaksiku sebelum menyambung makan. Aku malas bertanya banyak apabila melihat Syira seakan tidak mahu bercerita panjang tentang temannya itu.
Kenyang perut kami selepas menjamu makanan di dalam pinggan.
“Emm, siapa nak bayar ni?” Farah bertanya.
“Eh, Farah yang ajak. Jadi, Farah lah yang kena belanja.” Aku mengusik Farah.
“Yalah, Farah lah yang kena belanja.” Syira pula menyokong aku.
“Eh, mana boleh macam tu. Farah bukannya ada duit. Lagi pun Farah sekolah lagi. Manalah ada duit. Alah, akakkan dah kerja, akaklah belanja.” Farah memujukku pula.
“Emm,” aku pura-pura buat lagak sedang memikirkan kata-kata Farah.
Aku memanggil pelayan tadi. Dia menghulurkan kertas yang sudah tercatat harga yang perlu kami bayar.
“Ha, Farah, bayarlah.” Suruh Syira.
“Akak,” sebaliknya Farah memegang tanganku. Menyuruh aku membayar harga makanan itu.
Lantas, aku mengeluarkan sekeping wang not lima puluh ringgit dan di hulurkan kepada pelayan itu. Duit itu adalah sekeping daripada duit yang Ariff tinggalkan kepadaku siang tadi.  Farah tersenyum menang. Manakala Syira mencebik kepada Farah. Setelah mendapat duit baki, kami mengatur langkah berlalu dari situ.
“Jomlah kita ke sana,” Farah merengek manja sambil menarik tanganku. Seperti budak-budak pula aku tengok. Dia menunjukkan ke arah Taman Syahbandar yang sedang di simbahi dengan cahaya yang bergemerlapan.
“Eh, dah lewat ni. Nanti ibu dan abah marah pula kalau balik lambat.” Syira membantah keinginan Farah itu.
“Alah, ni awal lagi ni. Baru pukul 9.30.” Farah masih tidak putus asa memujuk.
Nak tak nak terpaksa jugalah aku dan Syira mengikut kehendak Farah itu. Entah apa yang menarik sangat tengok lampu-lampu di taman ni pun aku tak tahu. Syira aku lihat sudah buat muka bosan. Sedangkan Farah kelihatannya begitu teruja sekali. Huh, tak ubah seperti budak-budak.
“Dah lah tu. Dah lewat ni. Akak nak tidur pulak. Esok nak kerja.” Aku mengajak Farah pulang.
Tanpa bantahan, Farah akhirnya akur dengan ajakkanku. Kami berlalu ke arah kereta Syira. Sebelum menghantarku pulang, Syira sempat lagi membawa kami bersiar-siar sekitar bandar. Wajah bandar begitu ceria sekali kerana di simbahi dengan cahaya lampu jalan yang bergemerlapan.
Aku sampai di rumah saat jam menunjukkan pukul 10.45 malam. Ketika sampai tadi, aku ada mengajak Farah dan Syira singgah di rumahku sekejap. Tetapi mereka berdua menolak dengan alasan hari sudah lewat dan Farah perlu bangun awal untuk ke sekolah esok hari. Aku masuk ke dalam rumah dan terus melangkah ke bilik. Badan yang penat perlu di rehatkan. Tambahan pula seharian bekerja di pejabat.tanpa menyalin baju dan seluar, aku terus berbaring di atas katil. Perut yang kenyang dan badan yang letih telah menyebabkan aku tidur awal hari itu.

Jumaat, 24 Disember 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 34


Kereta meluncur laju melalui jalanraya. Memandangkan jalan yang dilalui adalah jalan kampung, maka kereta yang dipandu berjalan laju saja tanpa gangguan kesesakan jalanraya. Kurang sepuluh minit memandu, kami sampai jua di tempat yang dituju. Berderet kereta terparkir di tepi jalan. Mataku melilau mencari jika ada petak kosong. Dan akhirnya ada sebuah kereta yang ingin keluar dari parking. Tanpa menunggu lagi, aku terus menyambar petak itu.
Setelah kereta sudah terletak elok, aku dan ibu keluar dari kereta. Central lock kereta aku tekan. Kami berjalan beriringan masuk ke dalam kedai itu. Emm, boleh tahan juga ramainya orang di kedai itu sekarang ini. Aku mengekori langkah ibu yang sedang menuju ke arah satu meja yang mempunyai empat kerusi. Sampai di meja, kami duduk bertentangan. Kemudian datang seorang pelayan yang ingin bertanyakan tentang menu yang akan di pesan.
“Nak makan apa?” tanya pelayan itu.
Kedai ini berlainan dengan kedai-kedai makan tengahari yang lain. Kebiasaannya kedai makan tengahari menyediakan nasi putih dan pelbagai jenis lauk yang boleh di pilih oleh pelanggan. Tetapi tidak di sini. Kedai ini menawarkan nasi kuning berlaukkan ayam masak merah dan pelbagai jenis sup.
“Sarah nak makan apa?” ibu bertanya kepadaku.
“Nasi kuning, bu.”
“Nasi kuning dua dan air laici satu.” Kata ibu kepada pelayan itu.
“Air bandung satu.” Kataku pula kepada pelayan itu.
Setelah pelayan berlalu, aku mengitarkan pandangan ke sekitar kedai. Nampaknya pelanggan semakin ramai memenuhi ruang di dalam kedai. Kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berkeluarga datang ke sini. Memandangkan hari ini hari cuti.
Tiba-tiba mataku terpandangkan seseorang. Aku terus menundukkan kepala. Harap-harap ibu tidak nampak dengan apa yang aku nampak itu, doaku di dalam hati. Aku pura-pura membelek handbag yang berada di ribaku. Dan tiba-tiba, kedengaran ibu bersuara.
“Eh, Ariff.” Ibu melambai-lambaikan tangan kepada anknya itu.
Huh, meleset sekali daripada jangkaanku. Ibu nampak juga kelibat Ariff. Aku tidak memandang sedikit pun ke arah Ariff. Dari ekor mata, aku lihat Ariff berjalan menghampiri meja yang aku duduki bersama ibu.
“Datang dengan siapa? Nak makan ke?” ibu bertanya kepada anak emas abah itu.
Aku dapat lihat yang dia memandangku sekilas sebelum menjawab pertanyaan ibu.
“Sorang je, bu. Memang nak makanlah kalau ke sini.”
“Marilah makan sekali dengan kami.” Ajak ibu spontan. Lantas, kerusi di sebelahku di tarik. Dan dengan selambanya Ariff duduk di situ.
Baru saja punggung Ariff mencecah kerusi, datang pelayan yang tadi mengambil pesanan mengahantar pesanan aku dan ibu.
“Kamu nak makan apa?” ibu bertanya kepada Ariff.
“Bagi nasi kuning satu lagi dan air mangga satu.” Ariff memberi pesanan kepada pelayan itu sebelum pelayan itu berlalu.
Setelah itu, aku menjamah nasi yang sudah terhidang di hadapan mata. Aku tidak sedikit pun bercakap dengan Ariff. Aku ibaratkan yang dia tiada di situ. Hanya ibu yang banyak bertanya itu dan ini kepada Ariff. Dan aku menyambung makan. Masa bila makanan dan minuman yang di pesan oleh Ariff sampai di meja kami pun aku tak sedar. Aku makan hinggalah nasi di dalam pingganku dan air di dalam gelas licin.
Aku lihat ibu masih lagi makan dan begitu juga dengan Ariff. Aku menunggu mereka makan dengan lagak selamba. Pada hal di dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu. Aku tidak putus-putus berdoa supaya Ariff cepat-cepat beredar dari situ. Malas aku nak tengok muka dia.
“Eh, lajunya Sarah makan. Dah habis dah?” ibu bertanya seakan tidak percaya. Aku hanya membalas dengan senyuman yang hambar.
Tidak berapa lama kemudian, kami sudah selesai makan dan sedang berjalan menghampiri kereta. Makan tengahari ini semuanya di belanja oleh Ariff. Ibu ada bertanya aku tadi sama ada aku ingin ikutnya atau ikut Ariff. Pantas saja aku menjawab yang aku ingin mengikuti ibu. Ah, tidak sanggup aku ikut si Ariff tu. Tak pasal-pasal aku jadi patung dalam keretanya. Lagi pun, jika aku ikut Ariff, esok aku hendak ke pejabat dengan apa? Motorku kan berada di rumah ibu.
Kami berpisah di situ. Ariff lebih dahulu pergi dengan keretanya sebelum aku dan ibu masuk ke dalam kereta.
“Kita balik terus ke, bu?” aku bertanya bila kereta sampai di persimpangan Jalan Panji Alam.
“Emm, Sarah ada kerja ke petang ni?” soalan berbalas soalan. Aku hanya menggelengkan kepala.
“Kalau macam tu, kita ke Bazar Warisan, boleh? Tempat tu baru buka, ibu nak tengok-tengok apa yang ada di situ. Dengarnya banyak butik di buka di situ.”
Aku hanya menurut saja dengan cadangan ibu itu. Dari Jalan Panji Alam, aku terus memulas stereng membelok ke Jalan Budiman dan keluar ke Batu Buruk. Perjalanan di teruskan hinggalah sampai di Tanjung. Aku memarkir kereta di hadapan Pejabat Pos yang terletak bersebelahan dengan Bazar Warisan yang akan kami kunjungi. Memandangkan hari ini hari cuti, jadi tempat letak kereta di hadapan Pejabat Pos kosong.
Kami beriringan masuk ke dalam Bazar Warisan. Aku mengikut langkah ibu yang menjelajah dari satu kedai ke satu kedai. Ringan tangan ibu memmbelek-belek baju yang tergantung di dalam kedai-kedai itu. Aku hanya memerhati. Hendak juga aku membelek-belek seperti ibu tetapi bila aku terpandangkan tanda harga yang terdapat di salah satu baju di situ, terus saja aku mematikan inginku. Sehelai baju berharga RM 599! Tersekat nafasku seketika. Dengan harga sebanyak itu, hampir dengan gajiku selama sebulan.
Aku hanya mampu berangan-angan sedangkan ibu aku lihat sudah membimbit dua beg plastik di tangan.
“Sarah tak nak membeli ke?” ibu bertanya kepadaku.
“Emm, takpelah bu. Harganya mahal sangatlah.” Sedikit berbisik aku menjawab soalan ibu.
“Takpe. Ibu belanja. Pilih saja kamu nak yang mana. Yang ni pun elok juga.” Ibu mencapai sehelai baju dan memadankan ke badanku.
“Pergilah cuba dekat  bilik tu.” Ibu menggesaku pula.
Tak tahu macam mana nak menolak pemberian ibu itu. Aku akur juga. Selesai mencuba, aku keluar dari bilik persalinan itu. Aku mendapatkan ibu.
“Ha, cantiknya. Macam nilah menantu ibu. Kan cantik kalau Sarah keluar pakai macam ni. Takdelah asyik pakai baju kurung saja. Ambik yang ni ya,” ibu tersenyum lebar.
Ibu mencapai dua pasang lagi baju yang sama saiz dengan yang aku cuba tadi. Katanya senang apabila aku perlu menghadiri makan malam yang di anjurkan oleh tempat kerjaku atau tempat kerja Ariff. Nanti taklah terkapai-kapai mencari baju. Ibu membuat semua pembayaran ke atas semua baju-baju itu. Aku mendengar juruwang itu menyebut jumlah yang perlu ibu bayar. RM 2 094! Huh, memang aku tak mampu dengan jumlah yang sedemikian. Hampir tiga bulan gajiku.
Setelah itu, kami beredar dari Bazar Warisan apabila jam sudah menunjukkan ke pukul 2.30 petang. Sekejapnya masa berjalan. Destinasi kami ketika ini adalah pulang ke rumah ibu. Sudah tiada apa yang perlu di cari lagi. Dari pusat bandar ke rumah ibu memakan masa selama dua puluh minit jika tidak terperangkap di dalam kesesakkan jalanraya.
Kereta yang aku pandu masuk ke halaman rumah. Aku tidak memandu masuk kereta ke dalam garaj seperti biasa kerana ibu menyuruh aku hanya meletakkan di halaman rumah. Aku turun dari kereta hanya berlenggang. Sementara tangan ibu penuh dengan barang-barang yang di beli di Bazar Warisan tadi. Aku membantu ibu mengangkat beberapa beg dari tangannya. Barang-barangku pula aku biarkan dahulu di dalam kereta. Bila hendak balik nanti barulah aku ambil.
Aku letakkan barang-barang ibu di tepi sofa di ruang tamu.
“Banyak beli barang, Sarah?” tiba-tiba terdengar ada suara menegur.
Lantas, aku berpaling ke belakang. Abah sedang berdiri di belakangku.
“Eh, abah. Ini bukan barang Sarah. Ini semua barang ibu.” Aku menjawab sebelum menyalami tangan abah.
“Ibu kamu kalau dah shopping, habis semua yang ada di dalam kedai tu dia nak borong.” Rungut abah.
“Amboi, mengatakan sayalah tu.” Ibu menyampuk perbualan kami. Aku hanya tersenyum mendengar perbualan mereka.
“Eh, betul apa yang saya kata tu. Awak, kalau dah shopping. Emm. Memang semuanya nak borong. Nasib baik tak boleh bawak balik pasaraya ke rumah, kalau tak saya rasa memang awak dah bawa balik.” Abah menyambung katanya.
Ibu mempamerkan muncungnya. Geli hati pula aku lihat gelagat mereka berdua. Walaupun dah lama kahwin tapi masih lagi mesra dengan usik-mengusik. Kalau aku dengan Ariff mesra begitu di rumah, alangkah bahagianya. Huh, jangan beranganlah! Aku dan Ariff tak mungkin akan begini.  Sekarang pun hubungan kami seperti orang asing. Walau pun duduk serumah. Tidak pernah lagi kami berbual secara berdepan.
Ibu meminta diri untuk naik ke tingkat atas, hendak solat katanya. Aku meminta izin dari abah untuk pulang apabila jam sudah menunjukkan hampir pukul 3.30 petang. Aku hanya titipkan salam buat ibu yang masih lagi di dalam biliknya. Nasib baik aku ‘cuti’ hari ni. Kalau tidak solat ke mana, shopping ke mana. Sebelum berlalu, aku mengambil beg-beg berisi pakaian dari dalam kereta ibu.

Jumaat, 17 Disember 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 33

Semalam aku sudah membersihkan rumah ini. Segala alatan yang berhabuk telah aku bersihkan. Lantai juga telah aku mop. Sekarang barulah selesa sedikit untuk aku duduk di sini. Segalanya aku buat seorang saja. Nak harapkan Ariff? Huh, tak tahulah bila baru dia boleh tolong aku. Ketika aku bertungkus lumus membersihkan rumah, dia lebih senang tidur di dalam biliknya. Malam semalam entah pukul berapa dia balik pun aku tak tahu.
            Setelah seminggu aku tinggal di sini, semalam barulah aku tahu yang rumah di sebelah rumah Ariff ini tidak berpenghuni. Dan aku juga baru perasan yang kawasan perumahan ini baru lagi. Hanya sebilangan rumah saja yang sudah berpenghuni. Dan sebilangan lagi masih lagi kosong tanpa penghuni. Sekarang ini, aku sudah merasakan penduduk yang tinggal di kawasan ini mengamalkan hidup sendiri-sendiri. Mereka tidak mengambil kisah tentang apa yang berlaku pada jiran mereka. Huh, langsung tidak seronok duduk di sini! Di sini tidak sama dengan rumah orang tuaku di kampung atau rumah mertuaku.
Setelah siap semua kerja membersihkan rumah, aku berehat seketika di atas sofa. Secara tidak sengaja, aku terpandangkan jam. Sudah pukul 12.00 tengahari. Sekejap saja masa berjalan. Aku rasakan tadi sebelum aku membersihkan rumah, jam baru menunjukkan pukul 7.30 pagi. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Lantas, aku terus bangun dari duduk di atas sofa.
Kakiku laju saja mendaki tangga ke tingkat atas. Pintu bilik Ariff aku hampiri. Tanpa menunggu lebih lama, aku mengetuk pintu bilik itu. Tiada sahutan. Kali keempat aku menegetuk pintu itu barulah ada sahutan.
“Apa?” Ariff menyahut seakan marah.
“Dah lewat ni. Tak pergi sembahyang jumaat ke?” aku menyoalnya.
Senyap! Tiada jawapan dari Ariff.
“Bangunlah! Nanti terlepas pulak.” Aku menyambung bila tiada sahutan dari Ariff.
Aku beredar dari depan bilik Ariff bila merasakan yang dia tidak menghiraukan kata-kataku. Ah, lantaklah! Dia hendak pergi atau tidak itu terpulanglah pada dia. Aku sudah menjalankan kewajipanku.

Hari ini hari Sabtu, aku akan ke rumah ibu kerana aku sudah berjanji dengan ibu untuk ke rumahnya dan aku akan menemaninya ke kedai pokok bunga. Katanya dia ingin mengubah dekorasi rumahnya. Sudah terlalu lama dengan dekorasi yang sama katanya. Sekarang aku sedang dalam perjalanan ke rumah ibu. Ketika aku hendak keluar dari rumah tadi jam menunjukkan pukul 9.30 pagi dan pada masa itu Ariff masih lagi di ulit mimpi. Tetapi aku sudah masakkan sarapan pagi dan aku juga ada tinggalkan nota yang memaklumkan aku akan ke rumah ibu pagi ini. Pandai-pandai dialah.
Seketika kemudian aku sudah menghampiri rumah ibu. Apabila motorku berhenti di hadapan rumah itu, aku lihat ibu sibuk dengan pokok bunganya. Dan pintu pagar automatik itu terbuka dengan sendirinya. Tidak aku sedar entah bila ibu memerhatikan aku. Dia melemparkan senyuman kepadaku. Aku menyorong motorsikal menghampiri ibu. Topi keledar di kepala aku tanggalkan. Dan tangan ibu aku salami.
“Sarah seorang saja? Ariff mana?” ibu terus saja bertanya.
“Seorang saja, bu. Abang Ariff masih tidur lagi, bu.” Aku menjawab jujur.
“Emm, ibu nak pergi pukul berapa?” aku bertanya pula.
“Nak pergi ke mana?” ibu menjawab dengan soalan juga.
“La, ibu ni. Mesti dah lupa. Ibu kan kata nak pergi kedai pokok bunga hari ni. Minggu lepaskan ibu ada cakap dengan Sarah.” Ujarku sambil tersenyum ke arah ibu.
“Aduh! Ibu ada kata macam tu ke? Ibu pun dah lupalah, Sarah. Emm, sekarang dah pukul berapa?” ibu bertanya kepadaku.
Aku melirikkan ke arah jam di pergelangan tanganku sebelum menjawab pertanyaan ibu.
“Dah hampir pukul 10.00 pagi, bu.”
“Oh, dah dekat pukul 10.00 rupanya. Emm, kalau kita pergi pukul 10.30, boleh?”
“Sarah ikut je.” Ibu menganggukkan kepala.
“Sarah dah makan ke belum?” ibu bertanya lagi.
“Dah, bu. Kat rumah tadi.” Ibu menganggukkan lagi kepala.
“Kalau macam tu, masuklah dulu.” Arah ibu kepadaku.
Aku hanya akur dan berlalu masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah, aku lihat Mak Yam sedang mengemop lantai. Orang lain tidak pula aku nampak di situ.
“Eh, Sarah. Jangan lalu kat sini. Lalu kat sana. sini masih licin lagi.” Arah Mak Yam. Aku melemparkan senyuman ke arah Mak Yam dan akur dengan arahannya.
“Farah mana Mak Yam?” aku bertanya dengan Mak Yam.
“Ada dalam bilik dialah tu.”
Aku terus ke bilik Farah. Pintu bilik itu aku ketuk.
“Ya, siapa?” tanya Farah dari dalam bilik.
“Akak ni, Farah.”
Dan sejurus itu, pintu bilik itu terbuka dari dalam.
“Boleh akak masuk?” aku meminta izin dari Farah.
“Masuklah, akak.”
Aku menapak masuk ke dalam bilik itu. Mataku memandang sekeliling bilik itu. Hiasan bilik Farah seakan sarat jugak. Al maklumlah bilik remaja perempuan. Dengan anak patungnya, dengan barang-mekapnya. Tu belum masuk aksesori lagi. Huh memang saratlah bilik ni. Bagi anak orang berada seperti Farah senanglah untuk mendapatkan semua barang-barang perhiasan tersebut. Farah kelihatan duduk di atas katil berhadapan dengan laptopnya yang terpasang.
“Tengah chatting ke?” aku menegurnya.
“Ya, kak.”
Aku memerhatikan ke arah skrin laptop. Emm, ramai juga yang sedang chatting dengan Farah.
“Ramai ke yang online hari ni?”
“Hari ni kan hari sabtu. Hari cuti. Boleh tahan ramailah yang chatting hari ni.”
“Habis, yang Farah jumpa baru ni tu, yang mana satu?”
“Yang ni,” Farah menggerakkan tetikus, menunjukkan kepadaku yang mana satu rakan ruang mayanya yang bernama Zul itu.
“Dia tak online hari ni.”
Oh, patutlah dekat nickname dia tu tak menyala warna kuning seperti yang lain-lain, desis hatiku.
“Akak tak nak try ke?” giliran Farah bertanya kepadaku.
Ketawa aku dengan kata-katanya.
“Eh, ketawa pulak.” Farah berkata seakan tidak puas hati.
“Yalah, kelakar pulak. Kalau akak masuk YM jugak, si abang Farah tu akak nak campak ke mana?” aku menyambung ketawa lagi.
“Kalau suka-suka tak salah, kan?”
“Memanglah tak salah. Tapi kalau kita terlalu layan sangat nanti jadi feeling pulak. Tak pasal-pasal akak ada masalah dengan abang Ariff. Orang macam Farah bolehlah layan. Farah masih single lagi.” Panjang aku menerangkan kepada Farah.
“Emm, susah juga ya jadi isteri ni.” Farah merumuskan tanggungjawab isteri dari matanya, mata budak-budak mentah.
“Tak susah sebenarnya. Kita cuma perlu menjaga maruah diri, maruah suami dan keluarga. Maka amanlah rumah tangga kita. Macam yang Farah cadangkan tadi tu, ia akan membuatkan rumah tangga akak kacau bilau.” Aku menerangkan tugas isteri itu dari kaca mataku pula.
“Oh, sampai macam tu, ya.”
“Ya lah, mula-mula kita layan, lepas tu ulat bulu naik daunlah.” Farah ketawa pula dengan kata-kataku.
“Sarah, jomlah. Ibu dah siap ni.” Tiba-tiba kedengaran laungan suara ibu dari tingkat bawah.
“Ya, bu. Sekejap.” Laungku pula dari dalam bilik Farah. Harap-harap ibu dengar. Lalu, aku bersiap-siap untuk keluar dari bilik Farah.
“Eh, akak nak ke mana dengan ibu?” tanya Farah, hairan.
“Oh, akak dah janji dengan ibu nak ke kedai pokok bunga. Ibu kata nak tambah bunga baru dan nak tukar dekorasi halaman taman kat depan rumah tu. Farah nak ikut ke?” Farah menggelengkan kepala tanda tidak mahu ikut sama.
“Okeylah. Akak pergi dulu, ya.” Aku keluar dari bilik Farah.
Sesampai di tingkat bawah, aku lihat ibu sudah menanti di ruang tamu. Sungguh elegan sekali gaya ibu. Ibu menyarung seluar slack coklat dan blaus juga rona coklat berbunga besar. Tudung pula ibu memilih tudung yang terbentuk di depannya rona coklat dan hitam. Beg jenama Gucci warna hitam tersangkut di bahu ibu. Seperti hendak pergi membeli-belah di tempat yang eksklusif. Pada hal kami akan ke kedai pokok bunga.
“Ibu, jomlah.” Aku bersuara.
Kami berjalan beriringan ke kereta ibu. Sesampai di depan kereta, ibu menghulurkan kunci kereta kepadaku.
“Sarah pandu kereta, ya. Malas pulak ibu rasa.” Aku seakan tidak percaya dengan apa yang aku dengar itu. Ibu terus-terusan mengunjukkan kunci kepadaku sambil menganggukkan kepala. Akhirnya aku akur juga dengan suruhan ibu.
Kurang dari lima minit kemudian, kereta Honda CRV yang aku pandu sudah berada di atas jalanraya. Eh, aku tidak tahu lagi kedai pokok bunga yang mana ibu hendak pergi hari ni, terlintas kata-kata itu di benakku.
“Emm, kita nak ke kedai pokok bunga yang mana satu?” tanyaku kepada ibu.
“Kita pergi yang dekat Kampung Laut, ya Sarah.” Aku hanya mengangukkan kepala.
Nasib baik jalan yang aku ikut ni dah betul. Kalau tak, tak pasal-pasal kena buat u-turn, getus hatiku. Perjalanan mengambil masa hampir setengah jam. Akhirnya kami sampai di kedai pokok bunga yang kami tuju. Kami sama-sama turun dari kereta. Ibu mendahului masuk ke dalam kedai itu. Sementara aku pula mengekori langkah ibu beberapa saat kemudian.
Kehadiran kami ke kedai itu di sambut dengan deretan pasu pokok bunga yang di susun teratur di tepi pintu masuk kedai. Pasu-pasu itu adalah pasu yang di perbuat daripada tanah liat. Ibu terus melangkah ke arah deretan pokok bunga. Dari satu pokok, beralih ke satu pokok. Aku hanya mengekori ibu.
“Yang ni cantik tak, Sarah?” tiba-tiba ibu bertanyaku sambil menunjukkan deretan pokok orkid. Mataku terus terarah pada pokok orkid tersebut.
“Cantik. Ibu nak pakai bunga orkid saja ke?” aku bertanya.
“Emm, ibu tak tahu lagi nak pakai pokok apa. Ibu nak lihat-lihat dahulu.” Aku menganggukkan kepala.
Sedang kami melihat-lihat pokok bunga di situ, muncul seorang pekerja kedai itu.
“Ya, ada apa-apa yang boleh saya bantu?”  pekerja kedai itu menyapa kami.
“Emm, kami nak tengok-tengok dahulu. Oh ya, bunga apa yang menjadi trend sekarang ni?” ibu bertanya kepada pekerja kedai itu.
“Sekarang ni bunga jenis ros jepun jadi pilihan peminat bunga. Yang di sana tu.” Tunjuk pekerja itu pada satu arah.
“Pokok bunga ini tidak berbau dan bunganya terdapat di dalam warna  merah, merah jambu, kuning susu dan putih. Ada juga dalam satu pokok mempunyai warna pelbagai. Seperti merah bercampur dengan kuning susu. Pokok ini tidak bercabang, hanya membesar sebatang seperti ini saja. Dan batangnya di penuhi dengan duri.” Pekerja itu menerangkan tentang pokok yang di cadangnya.
“Macam mana pula cara penjagaannya?”
“Cara penjagaannya sangat mudah. Sama seperti pokok bunga yang lain dan pokok ini boleh tahan di dalam apa juga cuaca. Pokok ini boleh juga di tanam dengan menggunakan teknik keratan batang.” Pekerja kedai itu menerangkan lagi.
Ibu membelek-belek pokok yang di cadangkan oleh pekerja kedai itu. Aku lihat ibu seakan berminat saja dengan pokok itu.
“Saya nak lapan pokok ni. Dan serba dua untuk setiap warna. Di sini ada sediakan khidmat penghantaran tak?” ibu memberikan keputusan.
“Ada. Pembayaran boleh di buat di dalam dan sertakan sekali alamat rumah di sana.” ibu mengangukkan kepala. Dan pekerja kedai itu berlalu ke arah ruang pejabat kedai itu.
“Sarah tak nak ke? Di rumah sana ibu rasa tak ada lagi pokok kan?” ibu bertanya kepadaku pula.
“Tak tahulah, bu. Semua pokok di sini cantik-cantik belaka. Rambang mata pula Sarah ni.” Aku menjawab sambil tersenyum.
“Alah, pilih saja. Payah-payah sangat Sarah ambik yang macam ibu ambik tu.” Cadang ibu.
Memang aku berkenan dengan pokok-pokok bunga di sini. Masalahnya, aku tidak mempunyai duit buat masa sekarang ni. Duitku sudah aku habiskan untuk kelengkapan rumah kelmarin. Nak harapkan Ariff? Huh! Dia tidak pernah menghulurkan nafkah zahir kepadaku. Nafkah batin jangan ceritalah. Semuanya pakai duit aku. Sekurang-kurangnya hulurlah sedikit duit kepadaku. Jadi, tidaklah beban di tanggung oleku seorang saja.
Aku mengekori ibu melangkah ke arah ruang pejabat kedai itu untuk melakukan pembayaran.
“Saya nak tambah lagi lapan pokok yang sama seperti tadi. Tapi tolong hantar ke alamat yang berlainan ya. Kira semua ni sekali, ya.” Juruwang itu akur dengan kata-kata ibu.
Ibu menghulur dua keping kertas yang tertulis dua alamat yang berlainan kepada juruwang itu. Selain pokok bunga, ibu juga ada membeli beberapa biji pasu bunga dan batu-batu sungai untuk di jadikan hiasan. Dan juruwang itu menyatakan jumlah yang perlu di jelaskan oleh ibu. Ibu menghulurkan beberapa keping not duit lima puluh ringgit.
“Bila pokok-pokok ni akan di hantar?” ibu bertanya kepada juruwang itu.
“Pokok-pokok ini selewat-lewatnya akan sampai ke rumah puan petang esok.” Itu janji yang di berikan oleh juruwang itu.
“Terima kasih, bu.” Aku berterima kasih saat ibu menerima baki duit dari juruwang itu. Ibu hanya membalas dengan seulas senyuman.
Seusai membuat pembayaran, aku dan ibu berlalu ke arah kereta. sebelum menghidupkan enjin kereta, aku bertanya kepada ibu.
“Kita terus balik ke rumah ke, bu?” ibu melihat jam di tangannya.
“Dah pukul 12.00 ni. Apa kata kita pergi makan dulu. Tengahari kita tak makan lagi ni.” Aku menganggukkan kepala selelum menghidupkan enjin kereta.
“Tapi kita nak makan di mana?” aku bertanya saat kereta baru saja meluncur di atas jalanraya.
Ibu tidak terus menjawab. Dia di lihat memikirkan mana-mana tempat makan yang berdekatan dengan kedai pokok bunga ini atau kedai makan yang terdapat di sepanjang jalan yang akan di tempuhi.
“Entahlah. Ibu tak tahu sangat dengan kedai makan yang berdekatan dengan sini. Sarah ada cadangan tak?” alih-alih aku pula yang di soal.
“Emm, apa kata kita makan di kedai makan dekat Kampung Bukit Bayas. Memandangkan kita akan melalui jalan ke kedai tu.” Aku memberikan cadangan.
“Emm, boleh jugak. Ibu ikut saja.”

p/s: salam... tersenyum panjang saat saya membaca komen pd last entry last week ^-^... hmm... for this week, i hope u all enjoy reading this chapter n thanks for ur support.... tanpa anda smua siapalah saya...:P

Jumaat, 10 Disember 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 32

Ariff Zulkarnain membuka mata bila terasa ada cahaya yang menerombos masuk. Dia cuba membuka matanya tetapi di pejamkan kembali. Silau di rasakan. Lama di pejam mata, dia membuka kembali. Memang masih silau tetapi sudah berkurangan sedikit. Dia menoleh ke arah sekeliling bilik itu seperti kebingungan. Dia mencapai telefon bimbit yang berada di meja tepi katil.
Jam pada skrin telefon bimbit menunjukkan pukul 11.15 pagi. Ariff Zulkarnain merasakan malas sungguh pagi itu. Nak bangun pun bukannya boleh buat apa pun. Di sini tiada ibu dan abah yang akan berleter jika dia bangun lambat. Perempuan tu pulak mesti dah ada kat tempat kerja pada masa ini. Tambahan pula dia balik dalam pukul 3.00 pagi tadi. Dan sekarang matanya terasa mengantuk lagi. Akhirnya matanya menyambung kembali lena.
Tepat jam menunjukkan pukul 12.30 tengahari, Ariff Zulkarnain terjaga dari tidur. Ketika ini dia terus saja bangun tanpa berlengah lagi. Perkara pertama yang perlu di lakukan adalah mandi. Memandangkan bilik dia diami itu tidak memiliki bilik mandi, dia terpaksa menggunakan bilik mandi yang di luar.
Lima belas minit dia mandi. Selesai dia mandi, dia turun ke tingkat bawah. Hanya seluar pendek dan baju tanpa lengan yang tersarung di tubuhnya. Dia tidak rancang pun untuk keluar pada petang itu. Dia menggosokkan tuala di kepala untuk mengeringkan rambut. Dari tangga, dia melangkah ke arah dapur. Belum pun sempat dia sampai di dapur, matanya terpandang pada bekas plastik yang berada di atas meja makan. Di atas bekas itu pula terdapat sekeping nota. Ariff Zulkarnain mencapai nota itu.

Makanlah makanan yang ada di dalam bekas ni. Saya tak masak sebab kat rumah ni takde satu benda pun yang boleh di makan. Makanan di dalam bekas ini pun Pak Atan yang beri semasa dia hantar motor saya ke sini tadi...- Sarah

Dia membaca nota itu sekilas. Tanpa menunggu lama, penutup bekas itu dia buka. Mi goreng terhidang di depan mata. Mi goreng yang biasa-biasa itu nampak sedap saja. Di tambah lagi perutnya sekarang ini sedang lapar. Lantas, dia ke dapur dan kembali semula ke meja makan dengan membawa sebiji pinggan dan sudu. Laju saja tangannya menyudu mi goreng ke dalam pinggannya.
Mi goreng itu di bawa ke ruang tamu dan menjamu selera sambil menonton televisyen.

Pada pukul 5.30 petang itu aku keluar dari pejabat. Sedikit lewat daripada biasa. Aku terpaksa menyiapkan laporan yang di minta oleh Encik Hashim, pengurus di tempatku bekerja. Dia mahukan laporan itu berada di atas mejanya sebelum pukul 9.00 pagi esok. Laporan yang di minta ini hanyalah laporan ringkas dan bukannya laporan bulanan seperti yang aku buat setiap bulan. Jika aku perlu menyediakan laoran bulanan, maka aku perlu kerja lebih masa sehingga pukul 12.00 tengahmalam!
Petang ini di dalam kepalaku sudah ligat berfikir. Aku tidak akan terus pulang ke rumah, sebaliknya aku akan ke pasaraya untuk membeli keperluan rumah memandangkan tidak ada apa-apa yang boleh aku masak dan yang boleh di makan di rumah itu. Tetapi sebelum itu aku perlu pergi ke mesin ATM dahulu. Aku melihat ke dalam beg duitku tadi, duit yang ada tidak sampai RM 100! Dengan duit sebanyak itu, mana cukup untuk membeli keperluan asas rumah itu. Dan terpaksalah aku ke mesin ATM untuk mendapatkan duit tambahan. Paling-paling kurang aku memerlukan RM 200 lagi.
Sepuluh minit menunggang motorsikal, aku akhirnya sampai di sebuah pasaraya yang terbesar di Terengganu. Malahan dengar kata pasaraya ini terbesar di Pantai Timur. Mydin Mall! Itulah tempat yang aku tuju. Aku bernasib baik kerana menunggang motor, jika aku memandu kereta, alamatnya terperangkap di dalam kesesakan jalanrayalah.
Setelah memarkir motorsikal di tempatnya, aku berjalan menghampiri pintu masuk pasaraya. Di sini, kecurian motorsikal dan kecurian topi keledar adalah jenayah yang sangat kerap berlaku. Aku menyambar troli yang berderet di tempatnya. Aku mengeluarkan senarai barangan yang akan aku beli dari dalam handbag. Senarai itu aku buat ketika masih di pejabat lagi.
Bila ke bahagian makanan dalam tin, aku mencapai susu pekat manis dan sardin. Bila melintasi bahagian sos, segala sos aku capai. Begitu juga bila melalui bagian barang basah. Ayam, udang dan ikan aku ambil. Bahan-bahan kering seperti beras, gula, garan dan serbuk perasa sudah terisi di dalam troliku. Semua barang yang aku ambil adalah di dalam kuantiti yang sedikit. Ini kerana aku memikirkan hanya dua orang sahaja yang tinggal di rumah itu. Jadi yang akan makan antara aku seorang saja atau berdua dengan Ariff. Biasalah, dia bukannya selalu ada di rumah.
Troli aku tolak ke bahagian bahan pencuci pula. Aku mencapai sabun basuh baju, mandian, pencuci pinggan mangkuk, ubat gigi, syampu dan bahan pencuci lantai. Setelah itu aku menolak troli ke kaunter pembayaran. Selesai membuat pembayaran, aku menolak troli sehinggalah ke tempat parkir motor.
Sepuluh minit kemudian, aku sudah sampai di hadapan rumah. Kereta milik Ariff tiada di tempatnya. Ariff mungkin sudah keluar. Itulah telahanku. Pintu pagar di buka dan aku meletakkan motor bersebelahan dengan tempat Ariff meletakkan kereta. semua barang-barang yang aku beli tadi aku angkut untuk di bawa masuk ke dalam rumah. Di depan pintu rumah, aku meletakkan seketika barang-barang itu. Tanganku memcari-cari kunci rumah. Nasib baik aku sempat mencapai kunci rumah sebelum keluar ke pejabat pagi tadi. Aku merasakan yang Ariff sudah mempunyai kunci pendua rumah ini.
Hah, jumpa pun kunci ni. Setelah pintu di buka, aku membawa masuk semua barang-barang yang aku beli tadi. Keadaan rumah ketika ini gelap gelita. Aku mencari-cari suis lampu. Setelah jumpa, aku menekan suis itu. Terkejutnya aku dengan keadaan ruang tamu itu. Ketika aku tinggal, pagi tadi tak ada satu pun sampah. Tapi sekarang, meja kopi yang berhadapan dengan sofa sudah terisi dengan sebiji pinggan, sudu dan cawan yang berisi air.
“Ni mesti kerja Ariff pagi tadi. Huh!” aku mengomel dan melepaskan keluhan sendirian.
Ingatkan balik dari kerja ni bolehlah rehat. Tapi ada kerja jugak. Aku meletakkan barang-barabg yang aku beli tadi di dapur. Kemudian, aku kembali semula ke ruang tamu. Segala pinggan dan cawan aku angkut ke dapur. Tadi ketika melalui meja makan, bekas yang di kirim oleh Pak Atan pagi tadi masih di situ. Lalu, aku mencapai bekas itu. Mi goreng yang terisi di dalam bekas itu sudah basi. Mi goreng itu aku buang ke dalam tong sampah. Dan bekasnya aku letakkan di dalam sinki. Tanpa membuang masa, aku terus membasuh segala yang ada di dalam sinki itu.
Siap membasuh perkakasan di dalam sinki, aku mencapai plastik yang berisi segala barang dapur yang baru di beli tadi. Yang mana perlu di letakkan di dalam peti sejuk, aku letakkan di dalam peti sejuk. Semua bahan pencuci aku letakkan di satu sudut di dapur.
Aku berasa betul-betul letih hari ni. Berkejer-kejar saja. Dari pejabat ke pasaraya, dari pasaraya pulang ke rumah pulak. Dari dapur aku berlalu ke ruang tamu. Jam di atas peti televisyen menunjukkan pukul 7.45 malam. Huh, duduk di sini langsung tak dengar orang azan. Kalau dengar pun sayup-sayup. Pada hal masjid dekat saja aku rasakan. Ah, mengarut pulak aku ni!
Tanpa menunggu lama, aku terus ke tingkat atas. Badan perlu di bersihkan dan solat maghrib belum lagi aku tunaikan. Memandangkan esok hari minggu, seperti yang telah aku tekadkan, aku akan membersihkan rumah ini sebersih-bersihnya esok. Rumah ini terlalu banyak habuk. Dan esok segalanya akan aku bersihkan.

Sudah agak lama Ariff Zulkarnain tidak berjumpa dengan kekasihnya, Hani. Saban malam dia keluar dan balik pada lewat malam. Tetapi bukan Hani yang dia jumpa tiap-tiap malam. Dia lebih suka melayan perasaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai. Jika semalam dia bersidai di Taman Syahbandar, malam ini Lagun Kuala Ibai pula yang menjadi pilihan. Jika sudah bosan, dia merayau-rayau di Taman Awam Batu buruk atau Taman Esplanade Pulau Kambing.
Sekarang dia sudah jarang berjumpa dengan Hani. Bukan sekadar jarang. Tetapi sangat-sangat jarang. Entah kenapa, dia jadi tiada mood untuk berjumpa dengan Hani. Setiap malam telefonnya tidak pernah sunyi daripada bunyi mesej masuk atau ada panggilan daripada Hani. Kalau rasa rajin, dia akan angkat panggilan itu. Jikalau dia malas pula, mesej yang Hani hantar tidak akan dia layan dan panggilan yang masuk di biarkan berbunyi tanpa di angkat.
Pandangan di kitarkan ke seluruh kawasan Taman Esplanade Pulau Kambing itu. Sekarang pukul 11.30 malam. Dan pengunjung ke taman ini semakin ramai. Rata-rata pengunjung terdiri daripada mereka yang sedang berpacaran dan mat-mat motor. Jarang sangat untuk melihat mereka yang sudah berkeluarga di sini pada masa ini. Di tambah lagi yang bekerja esok pagi. Memang sudah berkurung di dalam rumah pada ketika ini.
Pandangan di lontarkan pula pada pemandangan indah di hadapan mata. Jambatan Sultan Mahmud sedang cantik di simbahi cahaya yang bergemerlapan. Sedang enak matanya di jamu dengan keindahan lampu-lampu yang menyinari jambatan itu, terasa ada getaran di dalam poket seluarnya. Lantas, tangan di seluk ke dalam poket seluar. Dan Nokia N96 di bawa keluar. Hani! Itulah nama yang terpampang di skrin telefon itu.
‘Huh! Malas aku nak layan.’ Ariff Zulkarnain mendengus.
Tidak lama kemudian telefon itu senyap daripada berbunyi. ‘Huh, aman dunia.’ Dia menghela nafas lega. Tetapi tidak lama, telefon itu berbunyi lagi. Meminta untuk di angkat. Dan pemanggilnya masih lagi orang yang sama. Nak tak nak dia terpaksa angkat jugak. Butang hijau pada kekunci telefon dia tekan dan telefon di bawa ke telinga.
“Ariff, you ada kat mana ni? I telefon tak pernah di jawab. You dah tak nak jumpa I ke?” tanpa salam, telinga Ariff Zulkarnain di hidang dengan pelbagai soalan. Dia hanya senyap. Langsung tiada keinginan untuk menjawab soala-soalan dari Hani itu.
“Hei, Riff! You dengar tak apa yang I tanya ni!” sergah Hani. Dia sudah hilang sabar apabila soalan yang di tanya tidak bersambut dengan jawapan daripada Ariff Zulkarnain.
“Emm,” hanya itu yang di balas oleh Ariff Zulkarnain.
“You tak nak keluar ke malam ni?” tanya Hani. Masih dengan nada marah.
“Tak.” Sepatah saja jawapan di berikan. Dan setelah itu talian terus di matikan oleh Hani.
Dengan tanpa perasaan bersalah, Ariff Zulkarnain menyambung kembali ‘kerjanya’. Memerhatikan gelagat pengunjung dan pemandangan yang terhidang di hadapan mata.
Oh, baru dia teringat. Siang tadi dia ada menerima sepucuk surat daripada syarikatnya bekerja yang menyatakan yang cutinya sudah hampir tamat dan dia di panggil kembali ke kapal pada hari selasa ini. Ini bermakna cutinya tinggal kurang tiga hari lagi.
Dan sepatutnya dia menerima ajakan Hani tadi yang mahu berjumpanya. Sekurang-kurangnya buat kali terakhir. Dia langsung tidak teringat tentang itu. Ah, biarlah! Benda dah lepas.

Jumaat, 3 Disember 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 31


Selesai makan, aku membawa semua pinggan mangkuk yang sudah di gunakan ke dapur. Mak Yam sedang membersihkan sinki ketika aku membawa pinggan mangkuk itu ke dapur. Sepanjang aku duduk di rumah ini, tidak pernah sekali pun aku makan semeja dengan Ariff. Kerana itulah aku begitu gugup ketika makan malam bersama keluarga mertua tadi. Tidak tahu hendak berkelakuan bagaimana. Hendak layan Ariff pun aku jadi serba salah.
Selama ini Ariff tidak pernah sekali pun makan di rumah. Lebih-lebih lagi ketika makan malam. Jika dia ada makan di rumah ini pun ketika aku tiada di rumah ini. Masanya lebih banyak di luar. Entah ke mana dia pergi pun aku tidak tahu. Nama sahaja aku ini isterinya tetapi tidak pernah sekali pun aku bertanyakan ke mana dia pergi saban malam. Di antara kami seakan ada jurang yang besar yang memisahkan kami.
Akhirnya aku mengambil langkah menyelamatkan diri dengan hanya makan sedikit saja. Tambahan lagi tekakku seakan tidak dapat menerima makanan kerana aku berasakan segala tindak-tandukku di perhatikan oleh sepasang mata yang tidak asing lagi. Setelah semua ahli keluarga selesai makan, aku menjalankan tanggungjawab mengutip semua pinggan mangkuk dan di bawa ke dapur.
Pinggan dan mangkuk itu Mak Yam suruh letakkan saja di dalam sinki kerana dia akan membasuh semua pinggan mangkuk itu. Katanya, alang-alang sudah bermain air sabun, adalah lebih baik dia terus membasuh semua pinggan mangkuk itu. Aku akur saja dengan suruhannya.
Setelah itu aku ke tingkat atas. Ketika aku melewati ruang tamu, aku lihat Ariff sedang beristirehat di situ. Tanpa menghiraukan Ariff di situ, aku melangkah ke tingkat atas. Di dalam bilik, aku bersiap-siap sebelum Ariff masuk ke dalam bilik itu. Dalam masa sekarang ini, aku tahu yang dia akan masuk ke dalam bilik ini bila-bila masa sahaja.
Ketika aku ingin menyarungkan tudung ke kepala, muncul Ariff di balik pintu. Tanpa mengetuk pintu, terus saja dia masuk ke dalam bilik itu. Tahulah ini bilik dia, tapi sekurang-kurangnya hormatlah sikit orang yang berada di dalam bilik ni. Sambil menyarungkan tudung di kepala, sambil itu mataku memerhati setiap tingkah lakunya melalui cermin meja solek.
Setelah mengambil beg pakaian aku dan beg pakaian muliknya, Ariff keluar kembali dari bilik itu. Aku pula berpura-pura membetulkan tudung di kepala. Pakaianku malam itu ringkas saja. Hanya seluar jeans dan t-shirt lengan panjang aku sarungkan ke tubuh. Tudung pula aku memilih tudung yang senang di pakai. Tudung yang sudah terbentuk di depannya.bagiku, aku tidak perlu melawa sangat kerana aku bukannya hendak pergi ke majlis rasmi. Sekadar ke rumah sana, apalah sangat.
Aku turun ke tingkat bawah dan aku lihat Ariff sudah menanti aku. Ibu, abah, Farah, Mak Yam dan Pak Atan juga turut sama berada di ruang tamu. Kedua-dua beg pakaian tadi tidak kelihatan pula di situ. Mungkin sudah di bawa masuk ke dalam kereta. aku menghampiri mereka yang berada di situ.
Aku lihat wajah ibu sugul saja.
“Abah, ibu, kami pergi dulu, ya.” Ariff bersuara memecahkan keheningan di situ.
“Yalah. Nanti rajin-rajinlah ke sini. Kamu tu, nanti rajin-rajinlah bantu sarah buat kerja rumah. Kesian kalau dia buat seorang. Mana lagi nak ke tempat kerja. Lepas tu, balik dari kerja kena uruskan rumah tangga lagi.” Abah memberi nasihat.
Aku menghampiri ibu. Aku lihat wajahnya melakarkan riak kesedihan saja.
“Ibu, Sarah pergi dulu, ya. Ibu janganlah sedih begini. Nanti Sarah akan selalu ke sini.” Janjiku kepada ibu.
Ibu terus memelukku. Air matanya terus saja gugur di bahuku. Aku menggosok-gosok belakang ibu untuk menenangkannya. Sepatutnya aku yang menangis tapi ini terbalik pula.
“Ibu, nanti Sarah janji Sarah akan selalu jenguk ibu dan abah di sini.” Ulangku kali kedua.
Abah menggantikan tempatku di sebelah ibu. Tangis ibu juga semakin reda.
“Eh, awak ni. Kenapa sedih sangat ni? Mereka cuma berpindah rumah saja. Bila ada masa, mereka akan datang ke sini. Sudah, sudahlah.” Abah memujuk ibu.
Aku menyalami tangan ibu, abah, Farah dan Mak Yam. Ariff juga bersalam dengan ibu, abah, Farah dan Pak Atan. Setelah itu, aku mengekori langkah Ariff ke keretanya. Mereka yang berada di ruang tamu turut sama mengekori kami. Aku lihat kereta sudah tersadai di depan pintu utama rumah. Mungkin ketika ingin meletakkan beg tadi, Ariff membawa kereta itu keluar dari garaj.
Aku dan Ariff masuk ke dalam kereta. Setelah enjin di hidupkan, kereta meluncur perlahan keluar dari halaman rumah mewah itu. Sebelum kereta melepasi pintu pagar, sempat lagi aku melambai-lambaikan tangan ke arah mereka yang berada di halaman rumah. Dan mereka juga membalas lambaianku.
Ketika kereta yang Ariff pandu mengahampiri jalan besar, barulah aku teringat tentang motorku yang masih lagi berada di rumah mertua. Tanpa motor itu, bagaimana untuk aku ke tempat kerja esok? Aku tidak tahu, adakah patut bertanya kepada Ariff.  Jika tidak, macam mana aku hendak ke tempat kerja esok.
“Err, motor saya bagaimana? Takde motor tu susahlah saya ke pejabat esok.” Aku memberanikan diri bertanya kepada Ariff.
“Pak Atan akan bawa ke sana pagi esok,” jawab Ariff acuh tak acuh.
“Tapi kunci mot...” ayatku mati di situ apabila aku merasakan kunci motorku tiada di dalam handbagku.
“Aku dah bagi kunci dekat Pak Atan. Kunci tu aku ambik dalam beg kau.” Tutur Ariff tanpa perasaan bersalah.
Huh, ambik kunci tak bagitahu. Main senyap-senyap saja. Lepas tu bukannya nak mintak maaf. Duk buat muka bodoh dia tulah. Aku berasa sungguh geram. Aku paling tidak suka jika barang peribadiku di usik tanpa pengetahuanku.
Sepanjang perjalanan ke sana sunyi sepi. Tanpa dendangan lagu dari pemain CD atau celoteh deejay radio. Sepanjang perjalanan itu juga aku melemparkan pandangan ke arah luar tingkap. Dari atas jambatan sehinggalah kereta sampai di persimpangan Masjid Terapung. Dari simpang itu, kereta membelok ke kanan. Kereta itu Ariff pandu terus melalui jalan itu. Dan tiba-tiba dia memberikan isyarat dan membelok ke kanan.
Tidak sampai dua minit kemudian, kereta sudah memasuki halaman rumah berkembar dua tingkat. Aku melangkah keluar dari kereta sebaik saja enjin kereta di matikan. Aku memerhatikan halaman rumah bernombor 109 itu. Sedang asyik aku memerhatikan halaman rumah yang tiada walau satu pun pokok itu, aku di kejutkan dengan suara Ariff.
“Hei, angkatlah beg kau tu.” Huh, buat terperanjatkan orang saja.
Aku melangkah menghampiri kereta dengan hati yang terbuku. Beg dari dalam bonet kereta aku bawa keluar. Dan dengan langkah kanan, aku melangkah masuk ke dalam rumah itu. Hmm, susun atur di ruang tamu aku perhatikan sangat ringkas. Hanya ada satu set sofa, meja kopi dan almari yang menempatkan televisyen. Memang sesuai dengan penghuninya. Seorang lelaki yang bujang. Cuma keadaan di sini berhabuk. Seakan sudah lama tidak di bersihkan.
Kelibat Ariff tidak tahu sudah menghilang ke mana. Aku meliarkan mata ke arah sekitar rumah. Dari ruang tamu, mataku beralih pada ruang makan pula. Hanya satu set meja makan yang mempunyai empat kerusi sahaja yang mendiami ruang itu. Sedang leka aku memerhatikan keadaan rumah itu, kedengaran suara Ariff secara tiba-tiba.
“Itu bilik kau. Dan ini bilik aku. Aku nak pesan satu kat kau. Jangan sesekali masuk ke dalam bilik aku. Faham?” Ariff menunjukkan bilik yang akan aku diami sebelum dia menghilangkan diri di sebalik pintu biliknya. Aku menganggukkan kepala menjawab soalannya.
Huh, kalau kau tak pesan pun, aku sedikit pun tak ingin nak masuk ke dalam bilik kau! Aku membimbit beg pakaianku dan membawanya ke tingkat atas, ke arah bilik yang Ariff tunjukkan tadi.
Perlahan-lahan tombol pintu bilik aku pulas. Pandangan aku kitarkan ke seluruh bilik. Emm, juga ringkas peralatan yang ada di dalam bilik itu. Cuma ada satu almari empat pintu, katil dan sebuah meja solek. Tiada sofa berangkai dua dan rak penyidai baju seperti di dalam bilik di rumah mertuaku. Bilik ini juga sama seperti keadaan di ruang tamu. Mempunyai habuk!
Ah, malas aku memikirkan itu semua. Aku lantas menanggalkan tudung di kepala. Aku berasa sedikit bebas di sini kerana tinggal berasingan bilik dengan Ariff. Jadi, aku boleh buat apa saja mengikut kemahuanku. Bag pakaian aku buka dan semua baju di dalam beg itu aku keluarkan. Kakiku melangkah ke arah almari dan pintu almari aku buka. Ada penyangkut baju di situ dan ada beberapa helai baju Ariff di situ. Termasuklah pakaian seragamnya ketika bertugas.
Tanganku mencapai penyangkut baju dari dalam almari itu dan di bawa ke katil. Semua baju-baju ke pejabat aku pasangkan penyangkut baju dan aku sangkutkan di dalam almari. Baju-bajuku aku letak bersebelahan dengan baju milik Ariff. Manakala pakaianku di rumah dan pakaian santaiku aku susun di ruang yang di sediakan di dalam almari yang sama, bersebelahan dengan baju yang aku sangkutkan tadi.
Setelah selesai menyusun semua pakaianku, aku merebahkan tubuh di atas katil. Huh, leganya rasa. Tanpa menyalin pakaian, aku terus saja terbuai dalam lena. Sebelum lena, aku terdengar bunyi kereta. Emm, sempat lagi keluar malam ni. Seoranglah aku malam ni. Tak terdaya rasanya untuk memikirkan tentang hal tersebut, aku terus meneruskan niat untuk tidur.

Aku terkejut dari tidur pada pagi itu ketika jam menunjukkan tepat pukul 6.30 pagi. Nasib baik semalam aku sempat mengset alarm pada telefon bimbit. Jika tidak, terbabaslah solat subuhku. Tanpa bermalas-malas, aku terus bangun dari pembaringan. Tuala dan jubah mandi dari dalam almari aku capai. Nasib baik bilik yang aku diami ini mempunyai bilik mandinya sendiri. Jika tidak susahlah bagiku bila hendak mandi.
Dua puluh minit kemudian, aku sudah selesai mandi dan menunaikan solat subuh. Pada ketika inilah baru aku teringat kepada Ariff yang mendiami bilik sebelah. Lantas, setelah selesai melipat telekung sembahyang, aku melangkah keluar dari bilik. Perlahan-lahan pintu bilik Ariff aku ketuk. Dua kali aku mengetuk pintu itu tetapi tiada sahutan dari dalam bilik. Aku mencuba lagi. Akhirnya aku hanya melaungkan suara dari luar saja. Antara dia dengar atau tidak itu terpulanglah padanya. Yang penting aku sudah menjalankan tanggungjawabku.
Emm, semalam balik pukul berapa pun aku tak tahu. Memang pagi ni susahlah nak bangun. Di tambah lagi si Ariff tu orang yang susah bangun pagi!
Aku kembali semula ke arah bilikku. Aku hendak bersiap-siap ke pejabat pula. Setelah siap berpakaian, aku turun ke bawah. Kepalaku masih lagi tidak bertudung ketika ini. Aku hanya menutup kepala dengan skaf kepala. Aku berpendapat masih terlalu awal untuk menyarung tudung ke kepala. Lagi pun di dalam rumah ini, hanya ada aku dan Ariff sahaja.
Sekarang tangungjawabku semakin berat apabila tinggal berasingan dari keluarga sendiri mahupun keluarga mertua. Jika ketika tinggal di rumah mertua, semua benda di sediakan. Dari makanan hinggalah keadaan rumah. Di sana, ada tukang masak yang menyediakan makanan dan ada pembantu rumah yang akan mengemaskan rumah. Tidak seperti sekarang. Segalanya tergalas di bahuku.
Keadaan ruang tamu rumah ini yang agak berhabuk, aku putuskan akan kerjakan pada hujung minggu ini. Ini kerana bagiku yang bekerja adalah tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengemas rumah. Sekarang ini tanggungjawab pertama yang perlu aku lakukan adalah menyediakan sarapan pagi. Aku menapak ke dapur. Mataku meliar mencari apa saja bahan yang boleh aku masak untuk di jadikan makanan.
Nampaknya tiada bahan yang boleh aku guna untuk di jadikan makanan. Pandangan beralih pada peti sejuk. Perlahan-lahan pintu peti sejuk itu aku tarik. “Huh!” aku mengeluh perlahan. Aku begitu kecewa dengan apa yang ada di dalam peti itu. Langsung tiada bahan yang boleh aku masak.
Yang ada hanyalah sebuku roti yang sudah berkulat dan susu segar yang sudah masam baunya. Memang betul-betul rumah orang bujang. Aku ambil roti dan susu itu lalu aku humbangkan ke dalam tong sampah. Aku menutup kembali pintu peti sejuk.
Aku mendaki semula tangga ke tingkat atas. Lagi lama aku termanggu di dapur, lagi lewat pula aku sampai di pejabat. Dengan perut yang lapar, aku menyarungkan tudung di kepala. Baru saja aku hendak meletakkan keronsang kecil pada selendang di bawah dagu, terdengar bunyi loceng rumah di tekan orang. Berlari-lari aku keluar dari bilik dan menuruni tangga.
Apabila aku membuka pintu rumah yang berkunci, kelihatan Pak Atan yang tercegat di depan rumah.
“Assalamualaikum, Sarah.” Pak Atan memberi salam.
“Wa’alaikumussalam. La, Pak Atan rupanya. Ingatkan siapalah yang datang pagi-pagi ni. Emm, masuklah Pak Atan.” Aku mempelawa lelaki yang berusia lewat 50-an itu.
“Eh, tak apalah. Pak Atan datang ni cuma nak hantarkan motor Sarah. Pak Atan dah tak singgahlah Sarah. Dah ada orang tunggu tu. Ha, ni kunci motor. Dan ini Mak Yam kirim suruh bagi dekat Sarah.” Ujar Pak Atan sambil menghulurkan kunci motor dan satu bekas yang berisi makanan kepadaku.
“Oh, baiklah. Terima kasihlah, Pak Atan. Sepatutnya Sarah yang bagi, tapi ni terbalik pulak. Oh ya, kirim salam kepada semua yang kat rumah, ya.” Aku mengakhiri perbualan dengan Pak Atan sebelum Pak Atan meminta diri.
Aku pula, setelah Pak Atan hilang dari pandangan, aku letakkan bungkusan itu di atas meja makan. Aku melangkah semula ke tingkat atas untuk menyempurnakan pemakaian tudungku. Setelah siap, aku turun ke bawah semula dengan handbag tersangkut di bahu. Di dapur, aku meninggalkan nota yang tertulis di atas kertas kecil dan aku letakkan nota itu di atas bungkusan yang di beri Pak Atan tadi. Lalu, aku berlalu ke arah motor dan bersiap sedia untuk ke pejabat.