Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 30 Mac 2012

ORDER KSS

Assalamualaikum semua..

err.. sy just nak maklumkan je.. kalau ada yang nak order KSS, masih boleh order dgn sy.. segala detail blh pm sy kt fb or emel at; f13y24h_89@yahoo.com.my.. tq..:)

Khamis, 29 Mac 2012

KYKS SPECIAL EDITION part 2

LAGI dua hari akan tarikh keramat yang aku takutkan. 17 November. Tarikh perjumpaan untuk semua teman-teman sekolahku yang lama. Sudah 10 tahun majlis itu dianjurkan tapi tak pernah sekali pun aku menghadirkan diri. Aku takut nak menghadiri majlis itu kerana takut bertembung dengan ‘dia’. ‘Dia’ yang pernah mendiami seluruh ruang hatiku suatu waktu dulu. Sekarang ini rasa sayang itu masih ada walau tidak sekuat dulu. Walaupun aku telah bergelar isteri orang, hatiku masih belum diserahkan kepada Aril seratus peratus. Aku tidak punya kekuatan untuk menyambut huluran sayang dari Aril. Sayang? Ada ke rasa sayang untuk aku? Hatiku tertanya-tanya sendiri. Melihatkan reaksi Aril sepanjang kami berkahwin, aku tak fikir Aril punya rasa sayang untuk aku.

Melainkan selepas malam tu, Aril berubah sepanjang kami terpisah selama seminggu. Hanya untuk seminggu tu sahaja Aril menabur kata maaf dan rindu. Tapi selepas aku kembali semula ke rumahnya, dia kembali dengan perangainya yang dulu, perangai sebelum kami melalui perang dingin. Tidak sekali pun aku dengar dia meminta maaf, jauh sekali menyatakan rasa rindunya seperti mana di dalam pesanan ringkas yang dia kirimkan kepada aku. Hatiku tertanya-tanya. Aku bagaikan berkahwin dengan orang yang punya dua perwatakan.

Hari ni hari raya haji. Aku ke rumah mama sejak semalam lagi untuk menyambut hari raya di sana memandangkan aku dah sambut hari raya puasa di rumah keluargaku. Siap mengenakan jubah coklat tua dan tudung di kepala, aku turun ke bawah. Mahu membantu mama menyediakan juadah pagi raya kerana pembantu rumahnya pulang bercuti di kampung. Kalau hari raya haji, aku memang suka sarung jubah saja sebab senang nak bergerak dan tak panas.

“Ada apa-apa yang boleh Sya tolong ke?” soalku kepada isi dapur yang sedang sibuk menyiapkan juadah pagi raya. Semalam mama cakap nak masak nasi dagang pagi ni. Ruang dapur dah semerbak dengan bau gulai ikan tongkol. Hmm… sedapnya bau. Hidungku kembang kempis menghidu bau.

“Tak ada apalah Sya, dah siap semua ni. Nak tunggu makan aje.” Jawab mama sambil tangannya sibuk mengacau gulai di atas dapur.

Habis, aku nak buat apa ni? Takkan duk terpacak macam tiang eletrik aje. Adab duduk di rumah orang walaupun rumah mertua sendiri, kena rajin-rajinkan tulang tu. Jangan malas-malas, nanti buat busuk nama keluarga saja. Mataku memandang meja makan yang masih kosong tanpa sebarang pinggan. Akhirnya kakiku melangkah merapati rak pinggan, beberapa biji pinggan aku ambil dan susun di atas meja makan berdasarkan turutan kerusi. Kemudian, aku kembali ke dapur. Teko air aku capai dan air panas aku isi ke dalam teko itu sebelum uncang teh dan gula aku masukkan ke dalam teko. Siap membancuh air, aku tatang teko beserta set cawan ke meja makan. Mama muncul kemudiannya bersama-sama denga nasi dagang dan gulai ikan tongkol. Bau dah sedap, tu belum makan lagi. Mahu bertambah nanti ni.

“Sedapnya bau. Mama masak nasi dagang ke?” suara Aril tiba-tiba menyoal. Dari ekor mataku, aku lihat dia sedang menuruni anak tangga. Di tubuhnya sudah tersarung sepasang baju Melayu raya puasa yang lalu. Baju tu aku jugak yang gosok semalam.
Kerjaku makin bertambah sejak Acik Na bercuti. Jika dulu aku hanya perlu memasak sahaja kerana semua kerja mengemas dan mencuci sudah diserahkan kepada Acik Na. Sekarang kerjaku makin berganda. Balik saja dari butik atau pejabat, aku perlu memasak makan malam. Dalam masa yang sama aku mencuci pakaian kami berdua. Nasib baik mesin basuh tu jenis automatik, jadi senang sikit kerja aku. Kerja-kerja mengemas pulak aku buat hujung minggu saja. Tak larat aku nak mengemas setiap hari. Itu baru kami berdua, kalau ada anak nanti tak tahulah aku. “Anak?” Terpacul perkataan itu dari mulutku tanpa sedar. Nasib baik perlahan saja.

“Mama masak nasi dagang aje pagi ni. Lepas solat sunat raya nanti, kamu nak ke mana?” soal mama.

“Emm.. tak ada apa-apa kut. Kenapa ma?” Aril menyoal kembali sambil tangannya sudah mengangkat penutup bekas nasi. Nampak sangat dah tak sabar nak makan.

“Mama ingatkan kamu nak ke masjid, ahli masjid ada buat gotong-royong melapah daging lembu hari ni. Mama dengar ada dalam 15 ekor juga lembu yang akan ditumbangkan hari ni. Papa mana?”

“Mungkin Aril pergi nanti. Entah, Aril tak nampak lagi papa. Kak Mel tak balik ke ma?”

“Kak Mel? Tak tahu pulak mama, senyap aje kakak kamu tu.”

Mereka bersoal jawab dan aku hanya menjadi pemerhati sahaja. Tak tahu nak menyampuk kat mana apabila dua beranak sedang berbual.

“Eh, Sya, duduklah. Mama nak pergi panggil papa dulu.” suruh mama kepadaku sebelum berlalu ke biliknya.

Aku duduk, Aril juga ikut duduk, berhadapan denganku. Nak buat apa ni? Hatiku menyoal. Demi Allah, aku amat-amat kekok ketika ini. Tak tahu nak mulakan dengan apa. Ha, apa kata mulakan dengan air. Air ni kan aku buat panas-panas, jadi sementara menunggu papa turun, lebih baik aku tuangkan dalam cawan dan sempatlah air ni sejuk sedikit semasa kami makan nanti. Fikirku di dalam kepala. Lantas teko berisi air teh aku capai dan dituang ke dalam satu persatu cawan yang telah tersedia di situ. Sedang tanganku menuang air ke dalam cawan, aku perasankan ada sepasang mata yang sedang asyik memandangku sedari tadi. Siapa lagi kalau bukan makhluk berlainan jantina yang sedang duduk di hadapanku ini. Apa kes entah duk tengok-tengok aku? Macamlah aku ada hutang dengan dia!

“Eh, Melissa tak balik ke?” suara papa menegur kami.

“Err.. mama cakap Kak Mel tak balik,” jawab Aril. Papa pandang wajah mama.

“Haah, dia tak balik. Beraya kat rumah mertua dia kali ni.” balas mama sambil menarik kerusi dan duduk.

Tangan mama aku lihat ringan saja menceduk nasi ke dalam pinggan papa. Aku lihat walau mama tu punya sikap yang boleh dikatakan sebagai mengongkong, namun hubungan mereka suami isteri masih erat dan utuh. Kemudian giliran aku pula. Nasi aku ceduk ke pinggan Aril terlebih dahulu sebelum ke pinggan aku. Sama seperti yang mama lakukan kepada papa. Doa dibacakan oleh Aril selepas itu. Saat nasi mahu disuapkan ke dalam mulut, kami dikejutkan dengan ketukan di pintu utama. Siapa pula yang datang pagi-pagi ni? Hatiku mengomel sendiri. Agak tidak senang sebab mengganggu aje rasa ni.

“Tak apa, biar Sya pergi tengok.” Ujarku sambil meletak kembali nasi yang sudah berada di hujung jari. Tangan aku basuh sebelum mendapatkan pintu utama.

“Assalamualaikum,” kedengaran suara si tetamu memberi salam.

“Wa’alaikumussalam,” jawabku sambil memulas tombol pintu.

Apabila pintu terbuka, terpaku aku melihat si tetamu. Aku keras, berdiri umpama patung cendana.

“Akak,” dia memanggilku sebelum kami berdakapan di hadapan pintu itu. Ada cecair yang mengalir di tubir mataku.

“Sia..” soalan mama terputus. Dia ternganga memandang tetamu kami.

“Ma,” panggil Mariana sambil mencapai tangan tua itu sebelum dicium lembut. Namun mama menarik Mariana terus ke dalam dakapannya. Bibir mereka tidak lepas dengan ucapan maaf. Dalam pada itu, sempat lagi Mariana mengenyit matanya ke arahku. Nakal betul Ana ni.

Akhirnya terluah juga rindu dendam dua beranak itu. Walau marah macam mana pun, mama masih sayangkan Mariana, si puteri bongsu keluarga itu. Ketika mendengar cerita Mariana berkenaan kisah dibuang mama, aku tidak menyangka mama akan menerima Mariana dengan tangan terbuka begini. Di sini aku dapati, walau marah macam mana pun mama pada Mariana, dalam diam dia masih menyayangi dan merindui anak perempuannya itu. Air mata yang mengalir tadi aku kesat perlahan. Tiba-tiba, aku terasa ada tangan memeluk bahuku, bagai menenangkan aku. Yang peliknya, aku tak pula menolak tangan itu sebaliknya aku sandarkan pula kepala ke bahunya.

Mariana menyalami dan mendakap papa seketika sebelum menyalami Aril.

“Mari, kita makan dulu. Lepas ni boleh kita ke masjid sama-sama,” suara papa memecah kesunyian antara kami.

Mariana melangkah ke meja makin sambil memaut bahu mama, bagai tak mahu berpisah mereka berdua ni. Pelbagai cerita yang mereka bualkan di meja makan, ada cerita lucu, ada cerita sedih. Aku hanya menjadi pendengar setia aje. Tak tahu nak mencelah di mana apabila satu persatu kisah Mariana dan Aril ketika kecil menjadi topik perbualan. Selepas itu, kami semua berjalan menuju ke masjid yang cuma beberapa ratus meter sahaja dari rumah papa.

USAI kami semua kembali dari masjid, datang sebuah keluarga ke rumah papa. Aku memang tak kenal mereka semua sebab Aril tak pernah pun bawa aku ke rumah sanak-saudaranya. Mereka terdiri daripada sepasang suami isteri yang sudah melewati separuh abad. Tapi mereka lebih muda dari mama dan papa. Seorang remaja yang mungkin seusia dengan Mariana dan seorang anak gadis yang berusia lebih tua dari si remaja lelaki tadi turut bersama mereka. Anak mereka barangkali.

Mama menjemput mereka masuk dan kami bersalaman selepas itu. Lebar sekali senyuman di bibir mama. Boleh tahan rancak juga mereka berbual manakala aku terus melangkah ke dapur. Adab tetamu datang ke rumah, walaupun sekarang aku bukan di rumah sendiri, aku kena pandai-pandai bawa diri. Rumah mertua, rumahku juga. Aku sudah diajar begitu, tetamu yang datang perlu dirai. Siap membancuh air, aku berpusing sambil menatang dulang berisi teko air, cawan dan piring. Aku dikejutkan dengan kehadiran Mariana di situ.

“Kenapa ni?” soalku apabila melihat wajah Mariana masam dan memuncung saja.

“Akak buat apa tu?” soalan aku dia tak jawab, tapi dia pula yang menyoal aku balik.

“Air, kan ada tetamu kat depan tu.”

“Tak payah buat air tak apa, menyibuk aje!” Walaupun apa yang Mariana luahkan itu sangat perlahan tapi telinga aku masih dapat menangkap butir bicaranya.

“Hisy, ada pulak cakap macam tu. Tetamu kita kena hormat, layan dengan baik, bukannya cakap macam tu. Macam nak menghalau aje.” Ujarku menegurnya. Apa yang salah kita perlu tegur, tak baik kalau sekadar dengar saja.

Melihatkan Mariana diam, aku menatang dulang dan dibawa ke ruang tamu. Ada papa, mama, dua anak tetamu dan pasangan suami isteri itu. Aril tiada di situ. Ke masjid kut. Sebab mama ada cakap yang ahli masjid ada buat gotong-royong menyembelih dan melapah daging lembu pagi ni. Siap menghidang, aku kembali ke dapur. Dulang di tangan aku letak di atas meja kecil di dapur sebelum kerusi aku tarik.

“Kenapa ni?” sekali lagi aku menyoal Mariana yang masih cemberut. Entah apa kena pun aku tak tahu, tadi elok aje. Alih-alih bila ada tetamu, muka terus berubah sama. Pelik.

“Eiii….. tak sukalah dengan mereka tu. Kalau datang saja-saja tak apa, ni pasti nak bawa mulut. Tak payah datang pun tak apa, buat semak aje!” Luah Mariana dengan nada kegeraman.

“Eh, kenapa pulak? Mereka siapa sebenarnya?” soalku. Nak juga aku tahu siapa mereka tu sampai berapi Mariana.

“Kalau akak nak tahu, yang perempuan tua tu adik mama. Kami panggil dia Acik Zah. Yang lelaki tua tu pulak suami dia, Ayah Din. Perempuan gedik tu pulak anak dia, tua 3 tahun dari Ana, Suraya nama dia. Akak nak tahu tak, Suraya tu mengada-ngada. Tergedik-gedik nakkan abang tapi abang tak layan pun. Dasar tak malu!” sesuka hati Mariana berkata.

“Yang lelaki lagi sorang tu?”

“Yang tu anak lelaki dia, sama umur dengan Ana. Nama dia Khairi. Yang tu okeylah. Lelaki kan, tak suka sangat nak tahu cerita orang. Tapi yang gedik tu dengan mak dia sama aje!”

“Apa yang dia dah buat sampai Ana nak marah sangat kat dia? Akak tengok dia orang okey aje. Taklah teruk sangat.” Komenku. Tapi memang betul pun. Aku tengok dia orang okey saja. Tak adalah teruk macam Ana cakap tu. Atau pun aku ni ahli baru, jadi tak berapa kenal lagi luar dan dalam keluarga ni.

“Tak teruk? Akak, untuk pengetahuan akak, Acik Zah tu seorang pelakon terbaik dan pembawa mulut nombor satu. Kalau ada aje kisah panas dalam keluarga ni, dialah orang pertama yang akan sampai. Kalah paparazzi! Mesti akak tertanya-tanya, kenapa Ana gelarkan dia tu sebagai pelakon terbaik kerana dia suka lagakan orang. Tapi apabila dua orang yang dia lagakan datang berjumpanya serentak, mulalah dia buat drama. Kadang dia buat-buat menangis, kadang dia buat-buat pengsan. Kami semua dah tak tahan dengan perangai dia. Mama aje yang masih duk layan adik dia tu macam tak ada apa-apa yang berlaku.” Panjang lebar Mariana bercerita.

Oh, macam tu ke? Hii… seram sejuk pula aku dengar.

“Tapi kenapa pulak Ana cakap anak dia tu gedik? Akak tengok okey aje, siap boleh senyum lagi.” Ujarku.

“Apa kak? Siap boleh senyum? Akak tahu tak yang dia tu memang gedik. Dah la duk senyum-senyum macam kerang busuk. Abang ada tak kat depan?” soal Mariana.

“Tak ada pulak. Kenapa pula cari abang?” pelik aku. Cerita pasal anak perempuan Acik Zah tak habis lagi tapi melencong tanya pasal abang dia pulak.

“Kalau akak nak tahu, abang sekarang tengah menyelamatkan diri. Dia tak suka dengan Suraya tu. Kalau Suraya datang ke sini, dia pasti akan menempel kat sebelah abang. Tu yang abang rimas. Suraya memang macam tu, entah-entah emak dia dulu pun macam tu.” Ketawa perlahan kami mendengar ayat terakhir Mariana.

Di hadapan Mariana memang nampak aku sedang ketawa tapi di dalam hati orang tak tahu. Serba sedikit hatiku juga terusik. Siapa tak terusik kalau suami sendiri diminati perempuan lain. Hatiku dijentik rasa cemburu walau sedikit. Orang cakap mulut cakap tak suka, tapi dalam hati tetap ada rasa sayang walaupun sedikit. Suami, isteri mana tak sayang suami.

“Akak nak dengar satu cerita tak?” tiba-tiba Mariana menyoal.

“Cerita? Cerita apa pulak?” aku menyoal kembali. Keningku sudah terjongket tanda ingin tahu.

“Semasa di sekolah lama dulu, abah pernah minat kat sorang perempuan ni. Perempuan ni biasa-biasa aje. Tapi kata abang, dia punya tarikan tersendiri. Entah kat mana tarikan tu pun Ana tak tahu. Yang sedihnya, abang tak sempat pun nak cakap yang abang sukakan perempuan tu sebab kami semua terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur. Syarikat papa yang kat sana ada masalah kewangan dan perlu sentiasa dipantau. Jadi, lepas dah berbincang sesama kami, papa sepakat nak bawa kami sekeluarga pindah ke sana untuk mengurangkan kos papa ulang-alik dari sana.” Mariana memulakan ceritanya.

“So, apa jadi dengan perempuan tu?” aku dikuasai rasa ingin tahu. Aku nak juga tahu kisah cinta Aril. Kalau nak tanya dengan tuan empunya badan, ya ampun, memang tak tertanya.

“Masa kami pindah tu abang dalam tingkatan dua. Lepas tu masuk tingkatan tiga di sekolah baru. Kami berpindah secara mendadak, abang tak sempat luahkan perasaannya pada perempuan tu. Lepas aje result PMR keluar, abang terus dapat tawaran ke MRSM dan abang terima. Bila dah masuk MRSM, masa untuk pulang bercuti di rumah sangat terhad. Apatah lagi nak balik ke sini. Jadi hubungan abang dengan perempuan tu terpisah terus sampailah sekarang.”

“Ana kenal ke siapa perempuan tu? Ana pernah jumpa dia?” hatiku meronta ingin tahu. Dia menggelengkan kepala.

“Tak pernah. Tapi dulu, gambar perempuan tu penuh abang tampal kat dalam bilik dia. Sebab tu Ana tahu. Abang ni jenis yang berahsia. Cerita ni pun Ana tahu lepas puas Ana korek dengan abang. Lepas Ana ugut macam-macam, barulah abang cerita. Itu pun sekerat tu aje. Yang selebihnya Ana tak tahu. Rasanya mereka tak pernah jumpa lagi selepas abang pindah dari sekolah lama.” Ujar Mariana.

Kalau sejak dari tingkatan dua mereka tak bertemu maknanya sudah berbelas tahun Aril dan perempuan itu sudah terpisah. Mungkin perempuan itu sudah pun berkahwin dan sedang berbahagia dengan keluarganya. Hatiku mencongak sendiri.

“Ha, lagi satu. Kalau akak nak tahu, abang tak pernah bercinta tau. Dari zaman sekolah, zaman universiti hinggalah dah bekerja sekarang ni. Abang tak pernah ada teman yang digelar kekasih. Bukan tak ada yang nak kat abang, berderet-deret. Ana ingat lagi, dulu kan tak ada telefon bimbit ni jadi telefon rumahlah yang jadi mangsa. Dan telinga nilah yang selalu sangat jadi telefonis tak bergaji. Lepas sorang-sorang perempuan telefon mencari abang tapi semuanya hampa. Abang sedikit pun tak layan mereka tu termasuklah si Suraya tu.” Tambah Mariana.

Belum pun sempat aku menyoal lagi Mariana, kelibat mama tiba-tiba masuk ke dalam ruang dapur mematikan cerita Mariana.

“Mama, mereka dah balik ke?” soalku.

“Haah, nak pergi rumah mak ngah katanya,” jawab mama sebelum berlalu ke halaman belakang rumah.

Tanpa berlama-lama di dapur, aku terus ke ruang tamu, mengutip kembali cawan dan teko air yang digunakan tadi. Selesai memcuci, aku naik ke tingkat atas. Dah tak tahu nak buat apa kat rumah ni. Hari raya haji tak semeriah hari raya puasa. Kalau hari raya puasa, memang ramai saudara-mara yang datang beraya. Boleh dikatakan tak menang tanganlah nak melayan tetamu. Yang jauh akan balik ke kampung semata-mata nak meraikan hari kemenangan untuk umat Islam selepas sebulan berhempas pulas melawan nafsu serta menahan lapar dan dahaga. Kerana ramai antara kita telah berhabis untuk raya puasa, jadi hari raya haji disambut biasa-biasa saja. Sampaikan ada yang mengatakan macam tak serupa raya pun.

Pintu bilik Aril aku tolak selepas tombol dipulas. Tak ada orang dalam bilik, tak payahlah nak ketuk. Nanti kang orang kata sewel pulak! Kalau Aril ada dalam bilik baru aku ketuk pintu dahulu sebelum masuk. Bilik ni terpaksa aku kongsi dengan Aril sepanjang aku bermalam di rumah papa. Kalau ikutkan hati aku memang tak nak berkongsi bilik dengan dia tapi nak buat macam mana, dah adab menumpang rumah orang. Terpaksalah terima.

Alangkah terkejutnya aku apabila melihat sekujur tubuh milik Aril sedang enak berbaring di atas katil. Mungkin sedang tidur. Mati-mati aku ingat dia pergi ke masjid. Alih-alih, tengah best landing atas katil empuk. Kakiku ringan aje mendekati katil. Tak tahu kenapa aku jadi begitu. Lututku terasa menyentuh tepi katil tapi aku masih punya jarak yang agak jauh dengan tubuh Aril yang sedang berbaring. Wajah mulus itu aku pandang dengan perasaan yang penuh asyik. Entah apa yang merasuk aku tak tahu. Tapi yang pasti, wajah Aril bagai punya tarikan tersendiri supaya aku terus menatap wajah itu.

Agak lama aku merenung wajah yang sedang enak dibuai lena. Tanpa sedar, tanganku terangkat mengikut kata hati. Hatiku meronta mahu menyentuh wajah itu. Walaupun sekejap. Ketika tanganku hampir menyentuh wajah Aril, tiba-tiba akalku melarang. Lantas, tangan aku tarik kembali. Aku memusingkan badan, mahu segera beredar dari situ. Namun, saat aku mahu mengangkat kaki, terasa tanganku ditarik secara mengejut, buat aku terperanjat. Lantas aku berpaling. Wajah Aril yang sedang berbaring dengan mata yang terbuka luas menjamu mataku. Mata kami bertemu. Agak lama kami begitu sebelum aku menundukkan kepala, memandang kaki sendiri.

Aku cuba menarik lenganku yang berada di dalam genggamannya tapi tak berjaya. Malah, pautan makin kemas. Aku cuak dan rasa tak selesa. Apa kes pulak main pegang-pegang ni? Aku tarik, dia tarik. Alamatnya tercabutlah lengan aku kalau macam ni. Gerutuku di dalam hati. Tiba-tiba dia menarikku dan aku terdorong ke depan. Akibat daripada tidak dapat mengimbangi badan, aku terjatuh ke atas katil. Aku sedang baring satu katil dengan dia!

“Hei, apa ni?!” agak tinggi aku menyoal.

Dia diam. Cara dia membisu buat aku tambah sakit hati. Dia paut tubuhku kemas ke dalam pelukan. Tubuhku dia dakap erat, bagai tak mahu dilepaskan. Dia ni dah kena rasuk ke? Peluk aku macam orang tak sedar diri. Kerana rasa tak selesa dan mahu melepaskan diri dari pelukan Aril, aku meronta-ronta. Dia melonggarkan pelukan dan tika aku mahu mengambil peluang untuk melarikan diri, Aril memaut kembali tubuhku. Aku terpinga-pinga.

“I miss you,” ucapnya berserta kucupan di pipi kananku.

“I miss you,” pipi kiri pula menjadi sasarannya.

“I’m really miss you,” dahiku pula menerima sentuhan lembut bibirnya.

Aku memberontak. Bekas ciuman yang dia tinggalkan di pipi dan dahi aku kesat dengan belakang telapak tangan.

“Hei, apa..” aku mahu melawan. Namun, sekali lagi ayatku mati.

Bibirku dia kunci dengan ciuman dari bibirnya beserta dengan ungkapan I love you. Aku sekali lagi terpaku. Amat-amat aku tak sangka, dia sangat berani menciumku. Terasa sesak nafasku. Tercungap-cungap aku mencari oksigen apabila dia melepaskan bibirku. Namun pelukan di pinggangku masih lagi utuh. Aku perasan, matanya tajam merenungku. Aku lawan balik renungannya, juga dengan pandangan yang sama. Wajah Aril makin dekat dengan wajahku. Makin dekat, dekat dan dekat. Akhirnya tercantum menjadi satu. Gerakan tangannya juga sudah meliar, menjelajah ke seluruh pelusuk tubuhku. Aku redha dalam terpaksa. Entah kenapa, segala rasa amarah dan rajukku hilang dibawa pergi. Cuma yang aku rasa hanyalah damai.

AKU terjaga dari tidur kerana terasa pipiku disapa sentuhan yang sangat sejuk. Bagai ketulan ais. Pantas tanganku terangkat, menepis sentuhan itu dengan mata yang masih terpejam. Namun, usahaku sia-sia saja. Sentuhan yang sangat sejuk itu semakin galak mengenai wajahku. Di pipi, hidung, dahi, di tepi telinga dan di bibir. Tanpa menunggu lama, mataku pantas dicelikkan. Dia yang sedang memerhatikanku sambil berbaring aku pandang. Pipiku terasa merona merah apabila terpandangkan yang dia hanya melilit tuala di pinggang.

“Tengok apa lagi tu? Maghrib dah masuklah sayang,” ujarnya sambil menatapku dengan penuh asyik.

Aku lihat bibirnya seakan mahu mencari sasaran lagi. Lalu, laju tanganku mencapai bantal dan menekup muka.

“Aik, main tutup-tutup muka pulak? Tadi elok aje.” Terasa mukaku disebalik bantal panas sebaik mendengar kata-katanya. Dia ni saja aje nak aku rasa malu. Desis hatiku. “Dahlah tu, jom bangun. Waktu maghrib dah tinggal hujung-hujung aje ni.” suruhnya sambil menarik bantal dari menekup wajahku. Dalam terpaksa aku turuti juga perintahnya.

Perlahan-lahan aku bangun dari pembaringan. Selimut yang menutupi tubuhku yang tidak dibalut dengan seurat benang aku tarik agar menutup tubuhku sempurna hingga ke paras dada. Terkial-kial aku menarik selimut semasa ingin turun dari katil. Aril yang hanya memerhati gelagatku tersenyum sinis. Mungkin dalam hati sedang mengutuk aku. Perlahan-lahan aku menapak dan mencapai tuala dirak penyangkut. Sangat berhati-hati aku melangkah takut terpijak hujung selimut yang terleret. Kalau terpijak, tak pasal-pasal jadi macam buang nangka busuk sebab jatuh tersadung. Ketika aku mahu memasuki bilik air, tiba-tiba aku terasa hujung selimut bagai ditarik. Pantas aku berpusing. Aril yang sedang memegang hujung selimut hanya melemparkan senyuman ke arahku.

“Tak payahlah nak tutup-tutup. Lebih dari tu pun saya dah tengok.” Ujarnya bersahaja. Sengaja buat aku sakit hati. Huh! Dengusku. Dengan hati yang panas, aku menarik kasar hujung selimut itu. Pintu bilik air aku tutup kasar hingga berdentum bunyi yang terhasil. Dan telingaku masih dapat menangkap bunyi Aril yang galak ketawakan aku.

Isnin, 26 Mac 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB7

“DAH kemas semua barang, dik?” Puan Aini menyoal anak bongsunya. Tapi soalannya dibiar sepi. Arlyssa sedang sibuk. Sibuk melayan perasaan dan sibuk menunjukkan protes kepada along dan mamanya.

Puan Aini kalihkan wajahnya dari memandang sekitar bilik. Wajah anaknya dipandang. Dia melabuhkan punggung di tepi katil, betul-betul bersebelahan dengan Arlyssa. Bahu Arlyssa dia paut dan tangan tuanya ligat menggosok lengan Arlyssa. Cuba meredakan rasa amarah yang menggunung di dalam diri Arlyssa. Puan Aini sedar, anaknya itu sedang menjeruk rasa dengan berdiam diri. Sudah 27 tahun dia bersama dan membesarkan Arlyssa. Setiap tingkah dan perangai Arlyssa sudah lali di matanya.

“Kenapa ni?” Lembut nada seorang ibu bertanya. Orang yang tengah marah tak boleh ditanya dengan nada yang tinggi. Tak akan ada jalan penyelesaiannya jika terus begitu.

“Kenapa along tu, ma? Apa yang dia tak puas hati dengan Lys? Semua yang Lys buat salah di matanya. Habis, apa yang betul?” Luah Arlyssa. Kalau dengan Syed Yusri, dia memang dah memberontak depan-depan. Tapi dengan Puan Aini, dia tak boleh. Walau rasa nak marah macam mana pun, kalau tengok wajah mama, pasti dia akan lemah.

“Along buat semua ni bersebab. Bukan along saja-saja nak buat Lys macam ni. Dah lama sangat Lys nafikan tanggungjawab Lys. Sepatutnya dari dulu lagi Lys ikut Harith. Tempat isteri di sisi suaminya. Lys ikut Harith ya, nak.” pujuk Pun Aini.

“Suami? Lys tak pernah anggap pun dia tu suami Lys! Lys tak suka!” Protes Arlyssa. Kata-kata mamanya langsung tak berjaya memujuk hatinya. Air matanya mengalir lesu.

“Lys, jangan macam ni. Sabar Lys, sabar.” Tubuh kurus Arlyssa terus dipeluk erat. Tangisan yang terhambur semakin berlagu panjang. Puan Aini terus-terusan memujuk anaknya agar mengikut Harith. Tangannya turut menggosok belakang Arlyssa bagi menenangkan tangisannya.

“Lys, tak siap lagi ke?” Tiba-tiba terjengul Syed Yusri di muka pintu bilik. Serta-merta pelukan antara Puan Aini dan Arlyssa terlerai. Air mata yang mengalir dia kesat dengan belakang tangan. Wajahnya masih muram.

Puan Aini yang memahami riak wajah Arlyssa terus saja menghantar isyarat kepada Syed Yusri. Syed Yusri mengerutkan dahi. Tak faham sebenarnya isyarat Puan Aini. Akhirnya dia berlalu jua apabila Puan Aini membulatkan mata. Hisy, orang bagi isyarat pun dia buat-buat tak tahu. Rungut Puan Aini sambil menggosok kembali belakang Arlyssa. Dia bukan apa. Kehadiran Syed Yusri akan mengeruhkan lagi keadaan. Jiwa Arlyssa yang semakin lembut akan kembali keras. Dia bukan tak tahu, sejak akhir-akhir ni Syed Yusri selalu menyekat pergerakkan Arlyssa. Perbuatan Syed Yusri menjadikan Arlyssa semakin memberontak.

“Lys, bersiap ya. Mama tolong ya,” Puan Aini menghulurkan pertolongan. Arlyssa tidak membantah kali ni. Hanya menurut permintaan Puan Aini.

Puan Aini bangun. Pintu almari baju dia buka. Dia menggelengkan kepala melihat koleksi baju milik Arlyssa. Semuanya baju-baju yang tak cukup kain! Baju-baju ni tak boleh dibawa ke Terengganu kerana budaya di sana tidak terlalu terbuka seperti di bandar besar Kuala Lumpur. Akhirnya almari ditutup. Kemudian pintu almari yang bersebelahan dengan yang tadi pula dia tarik. Nasib baik ada. Pakaian-pakaian yang berkenan di hati Puan Aini bawa keluar dan letakkan seketika di atas katil. Usai memasukkan baju ke dalam beg beroda, sekali lagi Puan Aini menghampiri Arlyssa.

“Lys, tukar baju dulu. Dah lewat ni. Kalau bertolak lewat, makin lewatlah sampai. Lys pakai baju ni, ya.” Puan Aini menghulurkan sepasang baju ke arah Arlyssa. Lama baju itu dia tenung. Tangannya tak terasa pun nak ambil baju tu.

“Lys…” Panjang Puan Aini memanggil nama Arlyssa. Di dalam hati dia berdoa agar Arlyssa tidak berubah fikiran di saat-saat akhir.

Wajah mamanya dipandang sekilas sebelum menyambut huluran Puan Aini. Perlahan langkah diatur ke bilik air. Perasaan tak mahu ikut lelaki itu masih menebal di dalam hati. Siap berpakaian, dia mendapatkan Puan Aini yang masih setia menanti di tepi katilnya.

“Jom,” ajak Puan Aini sambil menarik tangan Arlyssa.

Beg beroda di tangan Puan Aini serahkan kepada Harith yang sedang menanti di ruang tamu. Anak bongsunya itu dia pimpin hingga ke kereta. Arlyssa seperti orang tak punya perasaan, hanya ikut saja apa yang mamanya suruh. Puan Aini menggenggam erat Arlyssa.

“Kat sana nanti Lys jaga diri baik-baik ya. Jangan buat perkara yang Harith tak suka. Lys kena ingat, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suami.” Pesan Puan Aini. Tiba-tiba Arlyssa memeluknya erat. Bagai tak mahu dilepaskan.

“Ma, Lys tak nak pergi ke sana. Lys takut.” Sayu hati Puan Aini mendengarkan kata-kata anaknya itu. Semerta air matanya merembes keluar. Laju dan semakin laju menuruni lekuk pipi.

“Tak ada apa yang nak ditakutkan, Lys. Di sana sama jugak dengan di sini. Cuma di sana bandarnya kecil tapi segala keperluan harian masih ada. Anak mama takkan kelaparan di sana.” Pujuk Puan Aini.

Bagi Arlyssa, bukan soal tak cukup makan ke apa yang dia risaukan tapi dia memang tak suka dengan lelaki tu. Dia tak nak ke sana! Dia tak nak!

“Lys tak nak!” Arlyssa mula memberontak. Pantas Puan Aini menggosok belakang Arlyssa.

“Lys jangan macam ni. Ini saja permintaan mama. Abah dah tak ada. Mama nak tengok anak-anak mama tak bahagia. Mama yakin Harith boleh bahagiakan Lys.”

Seketika mereka begitu sebelum Puan Aini melepaskan pelukan selepas melihat Arlyssa sudah sedikit reda.

“Nanti, Lys boleh balik lagi ke sini. Mama bukan nak buang anak mama. Harith, nanti kalau senang-senang bolehlah balik ke sini. Pintu rumah mama sentiasa terbuka untuk kamu berdua.” Ujar Puan Aini.

Harith menganggukkan kepala. “Insya Allah, ma.” Tangan Syed Yusri dia salami sebelum menyalami tangan Puan Aini dan dikucup tangan tua itu.

“Bawak kereta tu hati-hati,” pesan Puan Aini lagi. Hatinya keberatan untuk melepaskan mereka pergi tapi dia terpaksa lepaskan juga jika mahu melihat Arlyssa berubah dan bahagia.

“Insya Allah, ma. Saya ingat pesanan mama tu,” ujar Harith sambil masuk ke dalam kereta Honda CR-V milik Arlyssa. Syed Yusri yang menyuruhnya menggunakan kereta itu. Terpaksa dia akur walau keberatan pada awalnya.

“Assalamualaikum,” ucap Harith.

Gear dimasukkan dan kereta bergerak perlahan-lahan keluar dari halaman rumah besar itu. Harith membunyikan hon apabila kereta mula berlalu keluar dari pintu pagar. Dari cermin sisi, dia nampak lambaian Syed Yusri dan Puan Aini dari halaman. Harith meneruskan pemanduan berpandukan alat pandu arah(GPS) yang telah tersedia di dalam kereta itu. Sesekali dia menjeling pada orang sebelah yang dari tadi asyik memandang ke luar. Nak tegur takut kena sembur pulak. Harith jadi serba-salah.

“MA, sudahlah tu. Lys bukannya tinggalkan kita untuk selama-lamanya. Dia di Terengganu saja. Kalau kita ada kelapangan nanti boleh kita melawat dia di sana. Jarak Terengganu ke KL dah dekat, ma. 6 hingga 7 jam dah sampai. Mama janganlah risau sangat,” pujuk Syed Yusri apabila terpandangkan muka Puan Aini yang masih beranak sungai.

“Entah macam manalah Lys kat sana nanti,” keluh Puan Aini.

“Ma, kita sama-sama berdoa agar Lys baik-baik saja di sana. Harapnya dia dapat sesuaikan diri di sana. Walau bukan tempat dia membesar tapi di sana dia dilahirkan. Biar dia kenal sedikit asal-usul. Jangan nak mengagungkan tempat orang sampai tempat sendiri dianak tirikan. Lagi pun kitakan dah bincang, kita nak Lys berubah jadi perempuan yang lebih baik di sana. Harapnya dia tak layan Harith macam Harith tu orang suruhan dia,” Syed Yusri melepaskan keluhan. Dia kenal sangat dengan fiil perangai Arlyssa. Kalau boleh dia nak semua orang ikut cakap dia.

Puan Aini terdiam seketika mendengarkan bait kata yang Syed Yusri baru luahkan. Betul apa yang anaknya katakan. Mereka perlu memberi peluang kepada Arlyssa untuk berubah. Besar harapan mereka agar Harith boleh merubah Arlyssa kerana mereka sudah letih menasihati Arlyssa tapi dia tetap begitu.

“Along tak kerja hari ni?” Soal Puan Aini mengubah topik perbualan.

“Kerja, ma. Malam ni along on call, mama tak apa kan duduk sorang kat rumah?” bimbang juga Syed Yusri mahu meninggalkan mamanya sendirian di rumah. Tambah lagi pada malam hari dan rumah mereka ini terletak di dalam kawasan elit. Risiko untuk berdepan dengan perompak adalah tinggi.

“Tak apalah, mama dah biasa. Kan bibik pun ada sama, along tak payahlah risau.” Ujar Puan Aini sambil mengukirkan senyuman kepada Syed Yusri. Dia tak mahu risaukan Syed Yusri. Bukan dia tak biasa. Dulu semasa Arlyssa ada pun, bukannya reti lekat kat rumah. Hanya tahu merayau saja.

“Along, bila along nak kahwin? Along tak teringin ke nak kahwin?” Soal Puan Aini tiba-tiba.

Syed Yusri terkesima dengan soalan Puan Aini. Selama ini mamanya tak pernah pun bertanya tapi bukan bermaksud mamanya tak mengambil berat. Puan Aini sengaja memberikan kebebasan kepada anak-anak untuk menentukan sendiri pilihan masing-masing kerana dia tak mahu dipersalahkan di kemudian hari kerana pandai-pandai mengatur jodoh anak-anak. Dua adik Syed Yusri sudah pun melangkah ke gerbang perkahwinan. Kakak Arlyssa, Syarifah Mellina Khalida sudah selamat mendirikan perkahwinan tiga tahun lepas. Sekarang Mellina tinggal di Abu Dhabi kerana mengikut suaminya yang bekerja di sana dan dia sudah dikurniakan seorang anak lelaki.

“Bukan along tak teringin, ma. Tapi… susah along nak cakap.” Keluh Syed Yusri.
Puan Aini tahu, anak sulungnya itu punya kenangan silam yang maha pahit. Dia ditinggalkan tunang kerana mengejar lelaki yang lebih kaya darinya. Ketika itu Syed Yusri sedang belajar di tahun akhir di Dublin University, Ireland. Masa itu dia bagai orang hilang arah. Hampir-hampir peperiksaan akhinya gagal. Tapi berkat doa semua ahli keluarga, Syed Yusri berjaya mendapat markah penuh seperti mana yang dia sasarkan sebelum itu. Namun peristiwa ditinggalkan tunang sendiri menjadikan Syed Yusri kalis cinta. Entah berapa ramai perempuan yang kecewa dengan sikap Syed Yusri.

“Tapi sampai bila? Dua adik along dah lepas, along pula bila lagi? Along dah masuk 35 dah. Sepatutnya pada usia itu, along sudah punya isteri dan anak. Segala keperluan along diuruskan oleh isteri along,” wajah sugul Syed Yusri dia pandang.

“Ma, can we drop the subject?” Pinta Syed Yusri. Dia tak mahu Puan Aini memanjangkan topik ini.

“Tapi sampai bila kamu nak melarikan diri? Mama bukan nak memaksa tapi umur mama ni bukannya makin berkurang, umur mama makin meningkat. Mama nak juga melihat along berkahwin. Mama ni nak juga ada peneman di rumah ni. Tak adalah kalau along tak ada, mama asyik tengok dinding aje. Mama nak juga tengok wajah-wajah lain selain bibik.” Perlahan suara Puan Aini bertutur. Sayu saja nadanya.

“Bukan along nak duduk sorang-sorang sampia tua. Tapi along memang tak jumpa lagi perempuan yang boleh buat mama gembira, yang boleh membahagiakan along. Insya Allah, suatu hari nanti siapa tahu akan ada jodoh along. Kita sabar aje ma.” Ujar Syed Yusri cuba memujuk hati mamanya. “Ma, along naik dulu ya. Ada kerja sikit.” Beritahu Syed Yusri sebelum berlalu masuk ke dalam rumah.

Bagi Syed Yusri, perempuan yang dia cari mestilah yang boleh menjaga mamanya kerana apabila dia berkahwin nanti, dia yang akan menjaga Puan Aini. Peranan anak lelaki itu sangat berat, sementelah lagi sebagai anak lelaki tunggal. Dia tak mahu yang tangkap muat saja. Nanti dia juga yang merana. Dari atas tangga dia memandang Puan Aini yang sedang termenung jauh di laman depan sebelum meneruskan langkah ke bilik.

“AWAK nak berhenti makan tak?” Soal Harith kepada Arlyssa.

Namun soalannya hanya terbiar sepi. Sudah berkali-kali dia bertanya sebaik ternampak papan tanda tempat rehat dan rawat di tepi lebuh raya. Tapi begitulah reaksi Arlyssa. Lebih suka mematungkan diri hingga buat Harith kebuntuan. Wajah Arlyssa dia pandang sekilas. Sekarang kereta yang Harith pandu sudah memasuki jalan kampung, sempadan antara Pahang dan Terengganu. Dia bertanya kerana di sini banyak kedai-kedai makan dan senang untuk mereka mengisi perut jika lapar.

Akhirnya Harith mengambil keputusan untuk membeli nasi goreng bungkus saja. Senang. Dia nak makan ke tak, itu belakang kira. Setelah memandu hampir 7 jam, akhirnya mereka sampai juga di rumah milik keluarga Arlyssa. Kata Puan Aini, rumah ini adalah rumah pusaka. Melilau juga mata Harith mencari rumah itu sebaik memasuki jalan kampung. Papan tanda bernama Teratak Samudera memberikan petanda kepada Harith. Memang itulah rumah yang dicari. Rumah itu memang rumah lama tapi rumah lama yang telah diubahsuai. Besar juga rumah ni fikir Harith.

Sebaik memakir kereta di hadapan pintu utama, Harith terus keluar dari kereta dan pintu utama rumah dia buka. Dia pusing ke belakang, kelibat Arlyssa tiada di situ. Niatnya ingin terus masuk ke dalam rumah terbantut. Kakinya laju mendapatkan kereta. Pintu di bahagian penumpang dia buka.

“Turunlah,” ujar Harith kepada Arlyssa yang masih mengeraskan tubuh di dalam kereta. “Atau awak nak saya dukung awak?” sambung Harith dengan niat ingin bergurau dengan Arlyssa. Senyuman sudah tersungging di bibirnya. Tapi pandangan tajam pula yang dihadiahkan kepada Harith. Mencerlung sepasang mata itu memandangnya. Terus hilang senyuman di bibir Harith. Ambik kau! Nak bergurau pun tengoklah orang dulu. Ini tak, macam sengaja menjolok sarang tebuan! Getus hatinya.

Alang-alang dah ada di tepi kereta, Harith terus mengeluarkan beg-beg pakaian milik mereka dan nasi goreng yang dia beli tadi. Barang-barang itu semua dia bawa masuk ke dalam rumah. Sebelum menutup pintu rumah, sempat dia memeriksa pintu pagar agar berkunci. Sebab selepas ni dia nak terus tidur. Penat sangat memandu seorang diri jauh-jauh begini.

Isnin, 19 Mac 2012

KYKS SPECIAL EDITION

Baju Melayu hasil jahitan Kak Lah dan baju kurung pesak hasil tangan aku sendiri aku belek. Aku takut sebenarnya nak bagi kat Aril. Yalah, lepas bergaduh petang tadi, takkan tiba-tiba malam ni nak bagi baju pula. Tak logik pula aku rasa. Setelah dipastikan Aril sedang sibuk menyiapkan kerja-kerjanya di ruang tamu, dengan kekuatan yang sedikit ni, aku melangkah keluar dari bilik. Meja kopi di ruang tamu aku hampiri. Baju yang di tangan aku sembunyikan ke belakang.

“Err.. awak dah ada baju Melayu untuk raya ke?” tanyaku takut-takut.

“Emmm… baju tahun-tahun lepas ada lagi. Kenapa pulak?” dia mendongak memandangku. Terpegun aku seketika. Kacaknya dia dengan kaca mata di wajahnya. Pujiku di dalam hati. Pertama kali memuji Aril walaupun di dalam hati.

“Err.. ni ada baju Melayu, ambillah.” Ujarku sambil menghulurkan baju di tanganku itu. Tanpa menunggu dia menjawab apa-apa, aku terus berlalu ke bilik.

Pintu bilik aku tutup rapat. Aku bersandar pada pintu bilik dengan tangan disilang ke belakang. Bibirku terukir seulas senyuman tanpa disuruh. Malam itu aku tak perlu menjahit kerana kebanyakkan baju tempahan pelanggan sudah siap. Raya tinggal beberapa hari aje lagi. Aku berlalu ke sofa, setelah 2 malam tidur di atas katil, aku kembali tidur di atas sofa. Sehinggalah mata tertutup rapat, senyuman masih lagi belum padam di bibirku.

-------------------------------------------------------------------------------------

Sedang enak aku melayan perasaan yang sudah dikuasai kantuk, aku terasa ada orang menghenyak katil.

Pantas aku membuka mata. Tak mahu kejadian yang sama berulang lagi. Aril yang sedang enak berbaring disebelahku, menghimpit ruang yang ada. Aku terasa rimas! Pantas aku bangun. Katilku di rumah emak hanya katil bujang, bukannya katil berkembar seperti di rumah dia.

“Kenapa awak tidur kat sini?” soalku dengan perasaan marah yang ditahan-tahan.

“Emmm…”

“Hei, bangun! Siapa suruh awak tidur kat sini?” aku menyoal kasar. Aku tanya elok-elok dia buat-buat tidur pulak.
Laju Aril bangun kerana terkejut. “Ada apa?” Aril menyoal, dia masih mamai lagi. Tangannya ligat menggaru kepala.

“Siapa suruh awak tidur kat sini?” aku mengulang soalan yang telah ditanya tadi.

“Habis, kalau saya tak tidur kat sini, kat mana lagi saya nak tidur?” soal Aril sambil menguap.

Huh, buruk betul menguap! Tutuplah mulut tu. Ni tak, duk biar ternganga aje! Dah berapa ekor syaitan yang masuk pun aku tak tahu. Omelku di dalam hati.

“Awak tidur kat bawah. Awak tak nampak ke katil ni sempit. Mana muat nak tidur 2 orang.” Ujarku dengan suara yang sedikit mengendur.
Dia pandang aku. Kemudian pandang katil. Lantai pula dia pandang selepas tu.

“Awak gila ke? Habislah sakit belakang saya kalau berbaring atas lantai.” Banyak pulak cekadaknya.

Huh! Aku bangun dan berlalu ke arah almari. Narita, bantal dan selimut aku keluarkan dari dalam almari. Pintu almari aku tolak dengan siku. Narita aku bentangkan di atas lantai bersebelahan dengan katil dan bantal aku aturkan di situ.

“Cepatlah!” gesaku.

Aku berpaling ke arah katil. Dah tidur ke? Huh, menyusahkan betul! Kat sana kena tidur kat atas sofa, kat sini kena tidur kat atas lantai pula. Apalah nasib badan. Nak tak nak aku terpaksa juga berbaring di atas narita itu. Kalau bukan kat sini, kat mana lagi aku nak tidur? Tadi mengantuk sangat. Tapi bila dah berbaring di atas narita, mataku tidak mahu tertutup. Puas aku pusing ke kiri dan ke kanan.

-------------------------------------------------------------------------------------

Selesai mandi, aku melangkah keluar dari bilik air. Serentak dengan itu, pintu bilikku ditolak dari luar. Aku pandang dia. Dia pandang aku. Kakiku terpaku di depan pintu bilik air. Aku tersedar bagai baru bangun dari tidur, mulutku pantas menjerit. Pantas aku berlari masuk ke dalam bilik air semula. Aku baru tersedar, aku hanya melilit tuala menutup tubuhku. Tambah lagi tuala yang ada cuma tuala pendek sebab aku terlupa nak bawa tualaku ke sini.

“Awak buat apa kat sini?” soalku dari dalam bilik air. Pintu bilik air aku pegang sambil menyorok di belakangnya.

“Dah saya bosan duduk kat bawah, saya naiklah ke atas. Kenapa? Bilik ni ada pantang larang ke?”

Ek eleh, boleh pulak dia tanya kenapa! Haih, tak nampak ke aku tengah seksi-meksi macam ni? Dasar lelaki tak ada perasaan! Kutukku di dalam hati.

“Keluar!” jeritku kuat dan dengan nada tinggi. Aku naik angin dengan soalannya tadi.

“Kenapa pulak saya kena keluar? Tak ada yang kurang pun kalau saya tengok awak bertuala macam tu. Kalau awak tak pakai apa pun, masih macam tu. Tak ada kurang sikit pun.” Balas Aril selamba. Langsung tak ada perasaan bersalah.

“Awak nak saya jerit lebih kuat ke? Biar semua isi rumah dengar? Biar mak dan adik-beradik saya dengar? Keluar saya cakap!” aku menjerit lagi. Aku sudah tak tahan.

-------------------------------------------------------------------------------------

“Insya Allah, lusa nak minta Sya masuk pejabat. Jadi setiausaha saya untuk sementara waktu sebab setiausaha saya sedang cuti bersalin. Baru 3 hari dia cuti, saya dah tak menang tangan nak siapkan kerja kat pejabat.” Penuh tertib, Aril menyatakan hasrat hati. Perancangan tanpa berbincang dengan aku terlebih dahulu.

“Uhuk… uhuk…” Masuk suapan ketiga, aku tersedak apabila mendengar butir perbualan antara Aril dan Abang Din yang ada menyebut namaku. Terasa perit kerongkongku.

“Ya Allah, Fiza. Makan tu cubalah perlahan-lahan sikit. Ni tak, gelojoh aje. Nah minum air ni,” emak menghulurkan segelas air masak.

Laju tanganku menyambut huluran emak, terasa lega saat air mengalir menuruni rengkung. Mulut terasa mahu saja membalas setiap kata emak. Mak, anak mak ni tak pernah makan gelojoh. Tapi disebabkan menantu lelaki mak tu, tak pasal-pasal Fiza tersedak. Suka-suka hati buat keputusan sendiri. Lain kali, bincanglah dulu dengan aku, ni tak.

“Ha, apa yang Aril cakap tadi? Nak suruh Fiza jadi setiausaha sementara ke? Jadi setiausaha tetap pun mak setuju sangat. Mak bukan tak sokong kerja dia sekarang tapi, orang berniaga ni banyak dugaannya. Dahlah tu, kadang-kadang lewat malam baru sampai rumah. Bahaya tu.” Mak mula menunjukkan sokongannya. Makin naik lemaklah si Aril tu.

p/s: harap anda semua suka dgn n3 ni...:)

Selasa, 13 Mac 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB6

DARI pagi membawa ke petang. Dari siang, bertukar malam. Harith kebosanan tanpa melakukan apa-apa kerja di rumah besar itu. Nak memandai-mandai nanti ditegur tuan rumah pula. Dan sepanjang Harith berada di dalam rumah itu, tidak nampak sekali pun kelibat perempuan itu selepas kes dia dipanggil perogol pagi tadi. Heh! Gila! Aku yang handsome ni dipanggil perogol! Apa kes? Rungut Harith.

Dari dalam rumah, Harith melangkah ke arah taman bunga yang terdapat di luar rumah akibat terlalu bosan. Matanya ralit memerhatikan deretan bunga-bunga yang sedang kembang mekar. Ini pasti kerja tangan mama, desis hati Harith. Hatinya terasa damai dengan panorama yang pelbagai warna itu. Cahaya lampu jalan dan lampu di halaman menjadi sumber cahaya kepada Harith. Deruan air terjun jadian juga menarik perhatian Harith. Rumah-rumah orang kaya seakan tak lengkap jika tak ada air terjun jadian. Sampai Harith naik pelik. Apa fungsi air terjun ni? Di mata Harith hanyalah sebagai tempat nyamuk membiak!

Sedang dia ralit melayan perasaan, tiba-tiba pintu pagar terbuka dengan sendirinya. Kemudian barulah masuk kereta yang dipandu oleh Syed Yusri. Lewatnya along balik kerja. Kata hati Harith.

“Buat apa kat luar ni?” Tanya Syed Yusri. Dia menyertai Harith yang sedang duduk di tengah taman hasil kerja tangan Puan Aini.

“Saja ambil angin malam, long.” Jawab Harith sambil tersenyum ke arah Syed Yusri.

Syed Yusri memandang garaj kereta. Kepalanya didongak sedikit ke atas. Gelap. Kereta Arlyssa ada di dalam garaj. Bilik adiknya bergelap seperti tak ada orang. Arlyssa keluar jugak ke? Hati Syed Yusri tertanya-tanya.

“Mama mana? Dah tidur ke?”

“Entah, lepas makan malam tadi saya dah tak nampak kelibat mama.” Jawab Harith.

“Mesti Harith tertanya-tanyakan, kenapa along suruh datang ke sini kan?” Syed Yusri mengalihkan topik perbualan.

Laju kepala Harith menggangguk. “Mula-mula masa along telefon tu saya dah pelik. Bila saya tanya, along cuma jawab ada hal penting. Sejak pagi tadi lagi saya terfikir-fikir. Nak tanya tapi bila saya tengok along sibuk nak pergi kerja, saya pendamkan saja.” Luah Harith berterus-terang.

Syed Yusri menarik nafas perlahan sebelum dihela.

“Harith dah tengokkan macam mana perangai Arlyssa? Apa pandangan Harith?” tanya Syed Yusri.

“Sedikit. Pandangan? Pandangan macam mana long?” Harith kepelikkan dengan soalan Syed Yusri.

“Macam mana Harith tengok perangai Lys? Harith tak rasa kurang ajar ke?”

“Hmm.. saya susah nak bagi pendapat sebab saya cuma tengok perangai dia pagi tadi aje. Selain dari tu, saya tak tengok lagi. Tapi dia masih boleh dibentuk long kalau kena dengan caranya. Lagi pun, saya tengok dia bukan saja-saja nak kurang ajar tapi itu adalah cara Lys protes. Bagi saya, Lys ni jenis yang tak suka orang paksa dia buat kerja yang dia tak suka. Kalau paksa juga, itu yang dia tunjuk protes.” Ujar Harith memberikan ulasannya.

“Tapi kalau kami ni yang bagi nasihat, sikit pun dia tak endahkan. Lepas tu mulalah tunjuk keras kepala. Semuanya nak orang ikut kepala dia. Mama dan along dah tak larat nak layan kerenah dia. Kalau dia dengar cakap kami, tak payah kami susahkan Harith.” Syed Yusri mengeluh. Badan disandarkan pada kerusi yang dia duduki.

“Sebab itulah along suruh Harith datang ke sini. Kalau boleh along nak Harith bawa balik Arlyssa ke Terengganu. Biar dia kenal sikit dengan tanah tumpah darah dia sendiri. Makin lama dia tinggal di KL ni along tengok dia makin lupa daratan. Bila diajak balik ke Terengganu ada saja alasannya. Nak jumpa kawan-kawanlah, ada hallah. Sedangkan semua tu boleh tangguh. Balik ke Terengganu bukannya hari-hari.” Sambung Syed Yusri. Harith mengesan riak tidak senang di sebalik kata-kata Syed Yusri itu.

Tercengang Harith dengan permintaan abang iparnya itu. Bawa balik ke Terengganu? Nak letak kat mana? Aku bukannya ada rumah lain selain rumah ayah tu. Lagi pun, apa aku nak jawab dengan emak dan ayah jika aku bawa balik ke rumah. Takkan nak perkenalkan perempuan tu sebagai isteri! Nanti tak pasal-pasal emak dapat sakit jantung! Pelbagai kemungkinan berlegar dibenak Harith. Lebih banyak kemungkinan buruk dari baiknya.

“Err.. bukan saya nak tolak permintaan along tapi… nak ke Lys ikut saya?” teragak-agak dia bertanya. Harith serba-salah. Kepalanya masih tak henti-henti memikirkan penerimaan keluarganya nanti.

“Tolonglah, Harith. Along merayu sangat-sangat. Kami bukannya nak buang Lys tapi tempatnya di sisi suami. Dia bukan lagi tanggungjawab kami. Segala dosa yang dia lakukan ditanggung oleh kamu, suami Lys.” Syed Yusri kebuntuan jika Harith benar-benar menolak rancangannya. Dia tak minta banyak. Cuma bawa Arlyssa pulang ke Terengganu dan ubah dia perlahan-lahan supaya kembali semula ke pangkal jalan.

Harith mengeluh. Hatinya berat sama ada mahu menerima atau menolak. Kalau menolak maknanya, saham akhiratnya makin sedikit. Jika terima pula, apa jawapan yang boleh diberikan kepada orang tuanya di kampung.

“Emak dan ayah Harith dah tahu pasal perkahwinan ini?” Syed Yusri menyoal apabila melihat Harith mendiamkan diri. Mendengarkan soalan dari Syed Yusri, Harith menggelengkan kepala lemah.

“Macam nilah, Harith tak perlu risau tentang tempat tinggal sebab Harith dan Lys bebas untuk tinggal di rumah pusaka milik keluarga kami di sana. Yang mama cerita rumah di Chendering tu. Nanti along bagi peta dan alamatnya.” Ujar Syed Yusri. Harith masih berdiam diri. Entah apa lagi yang Harith fikirkan tak pula dia tahu. Masalah tempat tinggal dah selesai.

“So, macam mana?”

“Along, saya bagi keputusan esok boleh? Sebab saya nak fikirkan dulu,” ujar Harith setelah sekian lama membisu.

“Okey. Tapi jangan lama sangat sebab along nak kamu berdua bertolak balik ke Terengganu esok. Lusakan kamu dah kerja. Along tak nak ganggu masa kerja kamu. Kamu fikir dulu, along nak naik dulu.” Pinta Syed Yusri. Harith mematungkan diri sebelum mengangguk perlahan. Matanya tidak lepas memerhatikan air terjun yang mengalir.

“Eh, kamu tak salin baju lagi ke?” Soal Syed Yusri. Harith ingatkan abang iparnya sudah berlalu pergi tapi batang tubuh itu masih ada di situ. Pantas Harith pandang wajah itu dan menggelengkan kepala.

“Ya Allah! Lys tak buka pintu lagi ke?” Melihatkan gelengan Harith, hati Syed Yusri terbakar. Pantas dia melangkah masuk ke dalam rumah. Anak tangga di langkah luas dan pintu bilik Arlyssa dia ketuk kuat. Harith kehairanan dengan kelakuan Syed Yusri. Janganlah dia buat kecoh lagi malam ni, doa hati Harith.

“Lys, Lys! Buka pintu ni!”

Tuan punya bilik masih diam. Tak ada tanda-tanda mahu membuka pintu bilik.

“Lys, buka pintu ni along cakap! Atau Lys nak along pecahkan pintu ni!” Ugut Syed Yusri pula.

Pintu bilik terbuka. Muncul wajah mencuka Arlyssa.

“Ada apa?” Tanya Arlyssa dalam nada tak senang. Dia tak mahu jumpa sesiapa sekarang ni. Tambah lagi nak pandang muka alongnya tu. Sejak akhir-akhir ni, dia jadi menyampah nak pandang muka Syed Yusri.

“Kenapa kamu tak ajak suami kamu ni masuk sekali? Kenapa biarkan dia sorang-sorang kat luar?” Marah Syed Yusri.

Tak mahu banyak cakap, Arlyssa meluaskan bukaan pintu. Dia mahu alongnya cepat-cepat pergi dari sini. Serabut betul along ni! Dengus Arlyssa.

“Masuklah,” pelawa Arlyssa dengan nada yang masih dingin.

Tanpa menghiraukan renungan tajam Syed Yusri, Arlyssa berlalu ke bilik air selepas mencapai tuala. Tak ada masa dia nak layan angin along!

“Kamu jangan layan sangat angin Lys tu. Apa yang tak kena di mata kamu, tegur aje.” Pesan Syed Yusri kepada Harith sebelum berlalu ke biliknya. Harith hanya memerhati wajah pucat dan keletihan itu berlalu. Kesian dia dengan abang iparnya.

Harith melangkah perlahan masuk ke dalam bilik Arlyssa dan menarik daun pintu. Dia sedar, Arlyssa tak sukakan dia. Dia bukannya bodoh dan buta sampai tak nampak reaksi wajah Arlyssa yang cemberut dan mempelawa dia masuk hanyalah kerana terpaksa. Harith terkejut memandang seluruh isi bilik. Sangat berselerak. Sudah seperti kapal karam! Pagi tadi okey lagi tapi sekarang dah bertukar seratus peratus. Dasyat betul perempuan ni! Harith menggelengkan kepala.

Dia duduk di atas kerusi kecil yang ada berdekatan dengan meja solek. Kerusi meja solek kut. Gumam hatinya. Semerta dengan itu, kedengaran pintu bilik air ditolak. Pantas kepala Harith memandang batang tubuh yang keluar. Arlyssa hanya mengenakan sehelai tuala membalut tubuh montoknya. Harith tergamam. Pertama kali dia disajikan dengan pemandangan sebegitu. Indahnya makhluk ciptaan Allah! Harith menelan liur yang tersekat di kerongkong.

“Apa tengok-tengok? Tak pernah tengok orang ke?!” dengus Arlyssa dengan mata yang mencerlung tajam memandang Harith. Apa kes? Macamlah tak pernah tengok orang!
Mendengarkan suara yang memetir itu, Harith pantas mengalihkan pandangan. Imannya serba sedikit tergoncang juga jika disaji dengan pandangan seperti itu. Apatah lagi pada pertama kali melihat. Di depan mata lagi. Kalau di dalam TV tak adalah dia terpegun sebegitu rupa. Walaupun benda halal tapi suara menyinga itu buat Harith kecut perut. Astaghfirullah! Terkumat-kamit bibir Harith beristighfar.

Arlyssa memang tak suka dengan kehadiran lelaki itu. Buat menyemak saja! Pintu almari dia buka kasar. Pakaian di keluarkan dari perut almari dan pintu almari dia hempas kuat. Ketika dia mahu melangkah masuk ke dalam bilik air semula, perutnya tiba-tiba berkeriuk. Agak kuat juga bunyi perit tu. Aduh! Pantas Arlyssa menekan perut sendiri. Alah perut ni, masa nilah nak berbunyi pulak. Dahlah seharian tak makan. Omel Arlyssa di dalam hati. Kalau boleh dia nak cepat-cepat pakai baju dan terus tidur. Saja nak elakkan diri dari lelaki asing yang telah mendiami biliknya itu. Nak keluar memang taklah! Sejak seminggu lepas, Arlyssa telah dikenakan kuarantin oleh Syed Yusri. Dia tak dibenarkan keluar. Jika berdegil juga, segala kepentingan dan saham milik Arlyssa di dalam Hajra Travel Berhad akan ditarik balik!

Huh! Sengaja betul along ni! Nak protes tak boleh sebab bila Syed Yusri dah keluarkan arahan begitu maknanya dia sudah tekad! Perutnya berbunyi lagi. Aduh, perut ni pun satu hal. Janganlah duk berbunyi lagi. Aku tahulah kau lapar. Rungut Arlyssa. Seharian dia sengaja berkurung di dalam bilik hari ni sebab tak nak bertembung dengan lelaki ni. Dengan mama pun dia tak nak jumpa jugak. Nanti mama soal macam-macam. Rimaslah!

“Err.. awak lapar ke?” Harith memberanikan diri menyoal. Bukan dia tak dengar bunyi perut Arlyssa yang sedang enak berlagu semacam di dalam sana. Dia sedar Arlyssa masih marahkan dia. Tapi tak salahkan kalau dia buat baik.

Laju kepala Arlyssa mendongak memandang Harith. Tajam matanya menikam pandangan Harith.

“Kenapa awak kisah kalau saya lapar? Saya tak susahkan awak pun!” Sembur Arlyssa.

Patutlah along cakap dia ni biadap dan kurang ajar. Bahasa dan nada tu memang tak kena dengan orang yang bercakap. Muka lawa tapi mulut tu suka-suka hati aje nak sembur orang. Ulas Harith di luar sedar.

“Awak nak makan? Kalau nak makan, jomlah! Semua orang dah masuk tidur ni. Eh, eh. Err.. awak pakai baju dulu,” ujar Harith sedikit gelabah. Mulanya dia tak perasan pulak Arlyssa yang masih seperti tadi. Masih dengan tuala yang melilit di tubuh. Aduh! Tak perasan pulak.

Apa hal pulak mamat ni? Sibuk-sibuk nak ambil tahu hal aku! Rungut Arlyssa. Tanpa menunggu lama, Arlyssa terus melangkah masuk ke dalam bilik air. Kuat pintu bilik air dia tutup. Tersentak Harith dengan tingkah Arlyssa. Buat baik pun salah. Kalau aku buat jahat macam manalah reaksi dia. Suka kut! Fikir Harith. Di luar sedar, bibirnya mengukirkan sekuntum senyuman. Gelagat Arlyssa menggeletek hatinya.

“Jom,” ajak Harith sambil menarik pintu bilik.

Dia sudah melangkah keluar dari bilik tapi bayang Arlyssa tak nampak pun mengekori belakangnya. Lantas, dia masuk kembali ke dalam bilik. Tanpa mempedulikan pandangan mata Arlyssa yang seakan mahu meluahkan amarah di hati, Harith terus menarik tangan Arlyssa, memaksa Arlyssa mengikut langkahnya. Kalau lapar tu buatlah cara orang lapar. Ini tak, masih nak tunjuk sikap keras kepala dia tu. Rungut Harith.

“Apa ni! Lepaslah!” Dengus Arlyssa. Dia cuba tarik kembali tangannya dari genggaman Harith tapi tak berjaya. Genggaman Harith bertambah kemas.

“Duduk,” arah Harith apabila mereka sampai di meja makan dan Harith berlalu ke dapur.

“Awak nak makan apa?” Soal Harith sambil tangannya ligat menyelongkar isi dapur. Untung-untung jika terjumpa dengan lebihan lauk petang tadi. Jadi tak payahlah Arlyssa makan makanan segera malam ni.

Arlyssa diam. Sengaja membisukan diri. Bukan aku yang nak sangat makan tapi mamat tu yang paksa. Hati Arlyssa bagai meronta-ronta mahu membalas soalan Harith tapi mulutnya berat dan terkunci.

Letih Harith menunggu jawapan dari Arlyssa yang tak kunjung tiba. Akhirnya dia buat keputusan sendiri. Dua senduk nasi diisi di dalam pinggan dan ditambah beberapa lauk yang masih suam dari atas dapur. Ada asam pedas, daging goreng dan sayur kacang panjang. Pingan yang penuh dengan lauk dia letak di hadapan Arlyssa. Kalau rasa nak makan, makan ajelah. Janganlah nak telan air liur aje. Dia perasan dengan muka Arlyssa yang asyik menelan air liur apabila memandang nasi yang telah terhidang di hadapan mata.

“Makan ajelah. Nasi tu takkan masuk terus ke dalam mulut awak kalau awak tak suap sendiri. Ke awak nak saya yang suapkan?” Agak berani Harith bertanya. Dia sekadar mahu bergurau. Letih matanya duk pandang wajah mencuka Arlyssa tu. Dari tadi duk tayang muka cemberut tu. Kalau lawa tak apalah juga.

Harith kembali semula ke dapur. Pintu peti sejuk dia tarik. Sebotol jus jambu batu dia keluarkan dan dituang ke dalam mug sebelum di campur dengan air masak. Dia kembali semula ke meja makan. Alhamdulillah, makan juga dia ni. Tadi nampak keras sangat tapi sebenarnya tak adalah keras mana. Harith bersyukur sangat-sangat. Mug diletakkan di hadapan Arlyssa. Dia turut duduk di sebelah Arlyssa, menjadi peneman perempuan itu.

“Uhuk, uhuk!” tiba-tiba Arlyssa terbatuk. Terhambur sedikit nasi dari dalam mulutnya. Tangan Harith laju menggosok belakang Arlyssa. Tindakan spontan.

“Makan tu pelan-pelan la. Kan dah tersedak. Nah minum air ni,” Harith menghulurkan mug di hadapan Arlyssa.

Rakus Arlyssa meneguk air itu. Terasa tekak yang tadinya perit sudah beransur hilang. Lega! Pinggan nasi dia tolak ke depan walaupun nasi masih berbaki separuh lagi. Seleranya sudah mati. Kerusi dia tolak sedikit ke belakang dan bangun mendadak.

“Apa ni?!” Arlyssa tak suka lelaki itu sentuh dia sesuka hati. Pantas tangannya menepis tangan Harith yang sejak tadi mendarat di belakangnya. Tercengang Harith dengan kelakuan Arlyssa itu. Tangan dibasuh dan laju kakinya memanjat tangga. Tak ada langsung ucapan terima kasih. Tahu nak marah-marah aje. Apalah nasib badan, keluh Harith.

Akhirnya Harith juga yang terpaksa bawa pinggan yang masih berbaki nasi itu ke dapur dan mencucinya. Permintaan Syed Yusri sebentar tadi kembali terngiang-ngiang di tepi telinganya. Kalau macam nilah perangai Arlyssa, teruk aku! Desis Harith.

Khamis, 8 Mac 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB36

USAI berbuka, kami menunaikan solat Maghrib, solat Isyak dan solat sunat tarawikh secara berjemaah. Aril yang menjadi imam antara kami. Pertama kali dia mengimamkan solat kami semua di rumah kaluargaku. Selesai menunaikan solat tarawikh, aku terasa malas pula untuk memandu pulang ke rumah sana. Selepas melipat telekung dan sejadah, aku merebahkan badan di atas katil. Hajat di hati mahu tidur seketika sebelum bertolak balik ke Manir.

Mataku baru saja nak terlena, tapi bunyi pintu bilik dibuka dari luar membuatkan mataku terbuka kembali. Aku memandang siling bilik seketika. Aku menoleh ke kiri apabila terasa bagai ada orang duduk di atas katilku ini. Mata yang mengantuk terus terbuka luas.

“Awak nak apa?” tanyaku sambil cepat-cepat bangun dari berbaring. Badanku disandarkan pada kepala katil. Bantal yang tadinya digunakan sebagai pelapik kepala aku peluk rapat ke dada.

“Awak nak tidur kat sini ke?” dia menyoal balas. Soalanku dibiar tak berjawab.
Sisi Aril yang tersarung baju Melayu dan kain pelikat aku pandang. Dia yang sedang menanggalkan songkok di kepala aku perhati. Lama aku diam membiarkan soalannya tanpa jawapan. Asyik sekali aku memandang dia. Aku terasa bagai pernah jumpa dia lama dulu. Tapi di mana?

“Awak nak tidur kat sini ke?” soalan yang belum aku jawab dia ulang sekali lagi. Matanya tepat memandang wajahku.

“Hah? Err.. tak. Eh, ya. Eh, tak.” Aku tergagap, tak tahu nak jawab ya atau tidak. Aku cepat gelabah kalau ditanya secara mengejut begitu.

“Yang mana satu jawapan awak ni? Ya ke tak?” soalnya lagi. Sengaja aje.

“Taklah. Kalau saya nak tidur kat sini, dah lama saya beritahu awak.” Jawabku.

Dia bangun. Dengan selamba dia menyarung seluar di hadapanku. “Agrh…” terjerit kecil aku melihatkan aksi dia. Pantas bantal diriba dibawa ke muka, menutup mataku dari pemandangan yang tidak elok. Entah apa entah dia ni. Protesku di dalam hati.
Lima minit berlalu, aku menurunkan kembali bantal yang menutupi muka. Senyuman sinis tersungging di bibir dia. Sengajalah tu. Kedudukanku masih lagi tak berganjak dari tadi.

“Kalau tak nak tidur kat sini, jomlah balik.”

“Eh, saya datang sendiri, balik pun sendirilah. Kenapa dengan awak ni?” soalku balik. Apa kes entah tiba-tiba aje ajak aku balik. Demam kut!

“Cepatlah siap. Banyak tanya pulak.” Sergahnya sedikit meninggi. Terkejut aku dengan sergahan dia tu. Ni apasal pulak nak sergah-sergah orang ni? Cakap elok-elok tak boleh ke? Geram betul aku dengan dia ni.

“Kenapa pulak? Kita kan da…” belum pun sempat aku habiskan ayat tu, pintu bilikku diketuk dari luar. Beserta dengan panggilan namaku.

“Akak, dah siap ke belum? Dah lewat ni.” kedengaran suara Mariana dari balik pintu.

“Hah? Ha, akak dah siap ni.” pantas aku bangun.

Beg tangan di tepi katil aku capai dan tombol pintu aku pulas. Mariana sedang tercegat di hadapan pintu. Tangannya ditadah di hadapanku. Keningku terjongket, dahiku berkerut.

“Ana nak apa?” aku bertanya.

“Nak kunci,” kunci? Dia nak kunci apa pulak ni? Kunci rumah ke?

“Kunci apa?” soalku lagi. Dahiku masih lagi berkerut.

“Kunci keretalah takkan kunci butik akak pulak.” Berlawak pulak dia ni. Lambat-lambat aku menyeluk beg bimbit sebelum mengeluarkan kunci Kenariku.

“Ana nak buat apa dengan kunci kereta akak?” hatiku masih berasa pelik walaupun kunci sudah bertukar tangan.

“Nak baliklah. Ana dah mengantuk, kak.” Ujarnya sambil mata buat-buat layu.

“La, kenapa tak cakap awal-awal. Jomlah, kita balik.” Ajakku sambil melangkah keluar dari bilik.

“Eh, abang tak cakap ke? Ana balik sorang aje, Ana drive kereta akak.” Langkahku terhenti mendengarkan ayatnya itu. Aku berpusing memandang Aril dan Mariana silih berganti.

“Kalau Ana drive kereta akak, habis, akak nak balik dengan apa? Ana janganlah main-main. Akak dah tak larat ni.” ujarku. Aku memang tak larat nak dengar dia bergurau waktu-waktu begini. Mataku sangat mengantuk sekarang. Aku cuma nak tidur aje.

“Abang tak cakap ke? Akak balik dengan abang, Ana balik sorang dengan kereta akak.” Ujar Mariana tanpa belok-belok.

Wajah Aril aku pandang dengan perasaan membara. Tajam aku renung wajah yang pura-pura naïf itu. Aril tersengih-sengih membalas pandanganku, makinlah buat aku membara.

“Alah, lupalah abang nak cakap. Fiza balik dengan abang ya malam ni.” ujarnya tanpa rasa bersalah.

“Okeylah kak, abang, Ana gerak dulu. Kak, beg akak Ana dah masukkan ke dalam kereta.” Maklum Mariana sebelum berlalu turun ke bawah.

Sebaik hilang wajah Mariana di muka tangga, mataku mencerun memandang Aril dengan perasaan marah yang belum surut. Kiranya jika aku pulang dengan dia malam ni, maknanya aku perlu naik motor besar dia tu la. Kali kedua aku naik motosikal itu. Ketika kali pertama dulu aku ingatkan itu adalah kami pertama dan kali terakhir aku naik motor yang berenjin bising tu. Tapi nampaknya, nak atau tak aku terpaksa naik sekali lagi malam ni.

“Kenapa awak buat semua ni?” soalku dengan hati yang berang.

“Saya buat apa?” boleh pulak dia tanya dia buat apa. Ni sengaja nak buat aku tambah naik angin ni.

Aku tak tahu nak jawab apa sebab aku tak tahu nak jawab macam mana. Akhirnya aku mendengus keras sebelum berlalu turun ke bawah. Emak sudah menanti di ruang tamu. Di tangan emak memegang sebuah surah Yassin. Mungkin emak baru saja selesai membaca surah itu untuk disedekahkan kepada arwah abah. Aku merapati emak.

“Mak, saya balik dulu.” Maklumku kepada emak sambil menyalami tangannya. Aril yang mengekoriku turut sama bersalam dengan emak.

Aku berlalu keluar tanpa menghiraukan dia. Nasib baik aku terasa nak pakai jeans dan baju T sahaja. Buatnya aku pakai baju kurung, tak ke haru nak naik motor. Dan tambah nasib baik aku cuma menyarung sandal dan bukannya kasut tumit tinggi. Aku ni kadang-kadang datang jugak angin nak pakai kasut tumit tinggi. Daripada membazir tak pakai, lebih baik pakai sekali-sekala.

“Nah,” aku sedikit tersentak dengan hulurannya itu. Aku hanya memandang jaket dan topi keledar yang dihulur. Ni yang malas ni. kalau naik motor mesti kena pakai pelbagai alat keselamatan. Kalau naik kereta kan senang, tak payah nak pakai topi segala.

Hendak atau tidak, aku menyambut juga huluran itu. Sebaik jaket tersarung kemas di tubuh, aku mencapai topi keledar pula. Aku paling tak suka pakai benda alah ni. Memberatkan kepala aje. Selepas mengucapkan salam pada emak, Syu dan Jad yang sedang berdiri di muka pintu, Aril memulas pedal minyak motornya. Menderu laju motosikal Kawasaki Ninja ZX-6R membelah jalan raya. Aril memulas lagi pedal minyak hingga mencapai kelajuan maksima. Aku yang membonceng di belakang terasa gayat takut jatuh. Dan secara automatik kedua-dua tanganku merangkul pinggang Aril. Darurat! Kalau untuk saja-saja, tak hingin aku!

Ketika melalui simpang Bukit Besar, Aril membelok masuk ke jalan menghala ke Jambatan Sultan Mahmud. Aku pelik. Dia nak pergi mana pulak ni? Dah sah-sah jalan yang dia pilih ni bertentangan dengan arah rumahnya. Tidak sampai 2 minit kemudian, dia memberhentikan motor dan aku disuruh turun. Tanda tanya masih menguasai diriku.

“Nak buat apa bawa saya ke sini?” soalku tanpa menunggu lama. Aku lihat dia sudah menanggalkan jaket kulit dari badannya.

“Saja, jalan-jalan.” Jawabnya bersahaja.

Orang ramai yang sedang berpusu-pusu masuk da keluar dari dewan Terengganu Trade Centre atau singkatannya TTC. Banner yang terpasang di hadapan ruang masuk aku baca. Karnival Barangan Berjenama Sempena Aidilfitri. La, patutlah ramai orang, ada jualan aidilfitri rupanya. Desisku di dalam hati.

“Eh, awak buat apa lagi ni? Cepatlah cabut helmet dan jaket tu.” Sergahnya perlahan. Mungkin sebab orang ramai disekeliling kami, jadi dia merendahkan suara.

Aku hanya menurut. Tapi dalam hati sedang berdongkol geram. Huh, tak boleh tegur elok-elok ke? Perangai dia yang satu ni memang buat aku sakit hati.

“Bawa masuk jaket dan helmet tu, jangan tinggal kat luar. Nanti hilang susah pulak, bukan barang harga sepuluh sen.” Pesannya dengan nada sinis. Aku tahulah semua barang-barang dia berjenama. Semua branded, itu untungnya anak orang loaded.
Dengan hati yang geram, aku melangkah mendahuluinya. Aku baru saja nak melangkah masuk ke galeri A, aku terasa tanganku diraih seseorang. Pantas aku menoleh ke sisi. Aril! Dia menarik aku supaya berjalan masuk ke dalam galeri. Kami berjalan berpegangan tangan di tengah lautan manusia untuk pertama kali. Dia memimpin aku bagai aku ni kanak-kanak yang baru pandai berjalan.

Kami berhenti di gerai yang menjual pelbagai beg tangan berjenama. Bagai nak gila aku memandang beg-beg tangan yang dipamerkan. Spontan pegangan tangan kami terlerai disebabkan aku terlampau teruja dengan pemandangan di hadapanku tika ini. Aku bukannya seorang wanita gila shopping tapi mengumpul beg tangan adalah salah satu hobiku selepas hobi membaca novel. Dan koleksi beg tangan di hadapanku ini menjadikan aku rambang mata. Banyak betul rekaan yang menarik hati.

Tanpa menghiraukan Aril, aku berjalan menyelusuri gerai demi gerai yang menjual beg tangan. Aku biasanya pakai beg tangan jenama Leno atau yang paling mahal pun jenama Reveline yang aku beli di Sogo 3 tahun lalu ketika jualan akhir tahun di sana. Harga beg tu asalnya RM 250 tapi selepas potongan 70 peratus, harga turun jadi RM 70 lebih sahaja. Saat memiliki beg itu aku terasa sangat teruja bagai menerima hadiah sebuah kereta!

Dari gerai Prada, aku berlalu ke gerai Coach. Salah satu beg yang dipamerkan menarik perhatianku. Lebih-lebih lagi jenama Coach adalah antara jenama mewah kegemaranku. Tanda harga yang tersangkut di tali beg aku tilik. RM 4980! Aku menelan air liur. Terasa kesat kerongkongku. Ya ampun, mahal gila beg ni! Padahal rekaannya ringkas aje. Beg yang sederhana besar itu dihiasi dengan logo Coach yang agak besar. Mungkin di situ keistimewaannya.

Beg yang sudah di tangan aku letak kembali di tempatnya. Harga yang terpamer buat aku gerun. Aku ke gerai Fendi pula. Rekaan beg-beg tangan Fendi juga sama seperti beg di gerai Prada. Banyak rekaan untuk golongan yang lebih berusia. Wanita seperti aku tak sesuai rekaan sebegitu. Nanti tak pasal-pasal orang panggil ‘mak cik’. Orang panggil ‘kak’ pun aku dah rasa nak marah apatah lagi kalau orang panggil mak cik!

“Awak tak nak shopping untuk raya ke?” dia menyoalku tiba-tiba. Aku terasa wajahku sangat dekat dengan mukanya kerana ketika dia menyoalku tadi, aku terasa hembusan nafasnya di pipiku.

Aku menggelengkan kepala. Macam mana nak membeli kalau setiap barang yang aku berkenan semuanya berharga ribu-ribu belaka. Kaki terus melangkah. Kali ni aku singgah di gerai Chloe pula. Sama seperti di gerai Coach tadi, ada sebuah beg tangan yang punya hanya satu tali berjaya menggodaku. Rekaannya sangat ringkas dengan hanya satu sahaja ruang meletak barang. Aduh, mau tak balik aku kalau macam ni!

Aku mengerling jam di tangan. Sudah pukul 11.30 malam. Nak buat apa lagi kat sini? Lebih baik balik aje. Nak beli pun tak boleh sebab harga beg yang aku nak ‘murah’ sangat! Aku menarik perlahan hujung lengan baju Aril. Dia memandangku.

“Nak buat apa lagi ni? Baliklah,” ajakku pada Aril.

“Nak balik? Tak nak beli apa-apa ke?” aku menggelengkan kepala tanda tak mahu. Nak beli apanya kalau dalam beg duit aku cuma ada RM 100 aje.

“Okeylah. Awak tunggu kat luar dulu boleh? Saya nak beli barang sikit.” Ujarnya. Dia bolehlah nak beli barang-barang kat sini. Kalau duit tunai tak cukup, bolehlah dia leret kad kredit. Aku ni manalah ada kad kredit, aku tak mampulah nak pakai kad kredit. Lagi pun aku takut nak pakai kad kredit ni. Bila membeli tak hingat! Bila nak bayar mulalah semput!

Tanpa menunggu lama, aku berlalu keluar daripada galeri yang penuh sesak dengan orang ramai. Tolak-menolak adalah perkara biasa. Sesampai di tempat parking motor, ada pulak budak-budak nakal duk bersiul-siul. Saja nak tarik perhatian aku. Tanpa menghiraukan aksi-aksi gatal mereka, aku berdiri di sebelah motosikal Aril.

Makin lama aku berdiri kat situ, makin kuat pulak bunyi mereka menyakat. Aduh… aku rasa tak selesa dah ni. Mana Aril ni! Dia beli apa yang lama sangat ni! Saat-saat genting begini Aril jugak yang aku cari. Aku kegelisahan di sini.

“Hai cik adik, sorang aje?” usikkan berbau miang daripada mat-mat motor yang duk bersidai di tepi tempat letak motor buat aku lagi tak senang duduk. Tadi bersiul aje, sekarang usik-usik pulak!

“Amboi, sombongnya dia. Marilah sini dekat dengan abang, biarlah abang temankan.” Usikkan kedua bergema lagi. Mereka ketawa besar selepas mengusik aku. Meremang bulu romaku mendengar mereka ketawa.

Ya Allah, manalah Aril ni? Aku menyoal diri sendiri. Dah tak tahan dengan usikkan demi usikkan dari budak-budak rempit tu. Alhamdulillah, aku lihat Aril melangkah keluar dari galeri A. Aku memanjatkan syukur di dalam hati. Di tangan Aril sedang memegang beg plastik yang agak besar juga. Entah apa yang dia beli tu, cemburu aku.

“Wei, dia datang dengan balak la. Besar siot motor balak dia. Sah-sah anak orang kaya. Untung badan beb.” Budak-budak ni masih tak habis-habis lagi rupanya.

Aril memandang tajam sekumpulan budak-budak tu. Dia menyuruh aku memegang plastik yang dia pegang kerana dia nak bawa keluar motor. Selepas menghidupkan enjin motor, Aril sengaja memulas pedal minyak, seakan mahu membakar hati mat-mat motor itu. Dan selepas aku membonceng di belakangnya, dia terus memasukkan gear dan memulas kuat pedal minyak.

Aku yang masih gayat terus memeluk kejap pinggang Aril. Saja aje dia ni! Ambik kesempatan! Aku menyumpah di dalam hati. Selepas dia memakir motornya di dalam garaj, aku terus menyerahkan jaket dan topi keledar yang aku guna tadi serta plastik yang dia suruh aku pegang tadi tu. Sejak masuk tadi, aku lihat suasana rumah sudah gelap-gelita tanda Mariana sudah masuk tidur.

“Eh, plastik tu ambiklah. Bukan yang saya punya.” Ujarnya sambil mengambil jaket dan topi keledar di tanganku.

Aku terpinga-pinga apabila dia berkata begitu. Pelik! Habis, kalau bukan barang dia, kenapa dia suruh aku pegang? Tadi kan memang dia ada beli barang kat TTC dan barang tu dia suruh aku pegang, dan nilah barang tu.

Dia berlalu ke arah tangga. Aku mengekori dia dari belakang. Aku masih pelik dengan barang yang terisi di dalam plastik yang sedang aku jinjing ni. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, aku terus duduk di atas sofa di ruang tamu. Plastik yang masih di tangan aku buka perlaha-lahan. Dah dia cakap ni bukan barang dia dan dia siap suruh aku ambik lagi. Jadi aku ada hak untuk tengok isi dalam plastik ni.

Lepas dah buka plastik tu, ada 2 bungkusan plastik lagi. Haih, banyak betul plastik. Ni barang apa yang sampai macam ni bungkusnya. Gerutuku di dalam hati. Salah satu plastik itu aku bawa keluar. Lambat-lambat aku menguraikan ikatan yang membelit mulut plastik. Barang di dalam plastik aku bawa keluar. Terpegun aku memandang barang itu. Aku terkaku tanpa bicara.

Tanpa menunggu lama, aku menyelongkar plastik yang satu lagi dan aku bawa keluar isi dalam plastik tu. Isi yang kedua buat aku makin tergamam. Nak tahu apa isi plastik itu? Satu plastik berisi beg tangan Coach yang aku berkenan kat karnival tadi dan satu plastik lagi berisi beg Cloe. Dua buah beg tangan yang sangat aku idam-idam akhirnya berada di hadapan mata kini. Siap dapat pegang lagi.

Aku mengangkat kepala. Aril yang sedang bersandar pada almari hiasan di tepi dinding sambil memegang mug aku pandang. Aku bangun dan meluru mendapatkan Aril. Spontan aku memeluk Aril kerana terlalu gembira. Agak lama kami begitu sebelum aku tersedar. Tersedar yang aku sedang memeluk musuh sendiri. Lantas aku menarik tanganku dan pelukan terlerai. Wajahku ketika ini jangan cakaplah, amat-amat merah bagai disimbah dengan setin cat rumah!

Kepala ditundukkan, malu nak tengok wajah dia.

“Terima kasih,” ucapku antara dengar dan tidak. Aku mahu segera beredar dari situ tapi dia menarik tanganku.

“Sama-sama kasih,” balasnya beserta sebuah kucupan di pipi kananku. Terkesima aku di situ. Makin buat aku malu sendiri.

Lantas tanpa menunggu lama, aku mendapatkan beg tangan yang baru Aril hadiahkan padaku sebelum berlalu masuk ke dalam bilik. Telingaku dapat menangkap Aril ketawa kecil melihatkan tingkahku. Tanpa menghiraukan dia, aku terus masuk ke dalam bilik. Badan aku rebahkan di atas sofa dan bantal kecik aku capai untuk menekup muka. Tak mahu bertembung mata dengan Aril. Malu siot!

p/s: salam... officially ini adalah n3 terakhir KYKS... tunggu KYKS keluar dlm bentuk cetakan ye... n maaf segala kesilapan dlm setiap penulisan sy.. sy cuma insan biasa, punya kekurangan n kelemahan... terima kasih menyokong penulisan sy... sy syg anda semua..:D

Ahad, 4 Mac 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB5

ARLYSSA terasa tak selesa. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa ruang katilnya menjadi sempit. Dia hanya tidur seorang diri tapi kenapa pulak pergerakkannya terasa amat terbatas. Tangannya meraba-raba ruang sebelah dengan mata yang masih tertutup. Malas sangat nak buka mata. Tangannya terpegang sesuatu. Benda apa ni keras sangat? Nak kata bantal, kenapa bila ditolak langsung tak berganjak?

Pantas dia membuka mata dan kepala dipusing ke kanan, mahu melihat benda apa yang menghalang pergerakan bebasnya. Membulat matanya memandang batang tubuh lelaki di sebelahnya. Laju dia bangun dari pembaringan. Bantal yang tadinya digunakan untuk melapik kepala dia capai.

“Hoi! Perogol! Perogol! Mama tolong, tolong! Ada perogol!” jerit Arlyssa sambil tangannya laju menghentak tubuh lelaki asing itu bertalu-talu.

Harith yang terkejut kerana terdengar suara orang menjerit kebingungan. Kepalanya terasa berpusing-pusing. Tambah lagi dengan pukulan bertalu-talu bantal ke tubuhnya.

“Perogol! Perogol! Hoi perogol! Mama, tolong mama!” jerit perempuan itu lagi.
Perogol?! Siapa perogol? Dia panggil aku perogol ke? Soal Harith dengan rasa kantuk yang masih menguasai diri. Bagai mendapat semangat tiba-tiba, Harith pantas menepis pukulan yang semakin bertalu-talu itu. Rimas betul! Kalau sakit tak apalah juga. Rungut Harith.

“Hei, apa ni? siapa perogol?!” keras suara Harith menyoal.

“Siapa lagi, kaulah!” laju mulut kecil Arlyssa membalas.

“Heh, sejak bila pulak saya jadi perogol. Sentuh awak pun tak!”

“Kalau bukan perogol, kenapa kau baring atas katil aku?! Cakap, kenapa?!” ton suara Arlyssa bertambah tinggi. Jawapan lelaki di sebelahnya ini membuatkan hatinya makin membara.

“Manalah saya tahu ada orang. Semalam tak ada orang pun atas katil ni!”
Serentak dengan itu, bunyi ketukan di pintu bilik yang semakin bertalu-talu mengejutkan mereka. Membantutkan soalan Arlyssa seterusnya. Dia masih belum puas menyoal lelaki ini. Mereka berdua memandang pintu.

“Lys, ada apa bising-bising ni?” tanya Puan Aini. Terkejut dia sebentar tadi apabila mendengar jeritan anak bongsunya. Sebab itu dia meluru ke arah bilik Arlyssa ini.
Tanpa menunggu sesaat dua, Arlyssa laju melompat turun dari katil. Pintu bilik dia tarik kasar.

“Ma, ada perogol dalam bilik adik. Mama kena tolong adik halau perogol ni!” laju Arlyssa mengadu kepada mamanya.

Sepanjang dia hidup, dia tak pernah dan tak akan menyerahkan mahkotanya kepada mana-mana lelaki kerana bagi dia, mahkotanya amat berharga sekali. Ya, dia memang seorang yang suka bersosial. Sebut saja semua nama kelab malam di Kuala Lumpur ni, semuanya sudah dia masuk. Tapi jika melibatkan tentang mahkota dan harga diri, tidak akan sesekali dia menggadai maruah diri hanya kerana benda yang remeh.

Terkejut Puan Aini dengan tuduhan Arlyssa. Wajah kepenatan Harith tambah buat dia terkejut. Macam mana Harith boleh sampai di rumahnya ini? Bila dia sampai? Itulah soalan-soalan yang berlegar di ruang fikirannya.

“Harith, bila sampai? Macam mana tahu ni rumah mama?” tangan tua Puan Aini Harith salami. Arlyssa sudah memandang pelik. Namun, rasa hati semakin terbakar. Macam mana mama boleh kenal lelaki ni? Mama bukannya nak marah, tapi makin suka pulak. Siap bersalam lagi. Protes Arlyssa.

“Awal pagi tadi, ma. Along yang ambil kat lapangan terbang.” Jawab Harith lembut.

“Chop, chop! Macam mana mama boleh kenal dengan mamat ni? Siapa dia ni sampai mama bahasakan diri dengan panggilan mama jugak. Mama jangan cakap mama ada anak lain selain anak-anak mama ni.” Arlyssa sengaja mahu menduga hati mamanya walaupun dalam masa yang sama hatinya sudah berdetak tidak enak.

“Apa bising-bising ni?!” Syed Yusri muncul mendadak kerana mendengar jeritan dan kecoh-kecoh di dalam rumah pusaka itu. Tika itu dia sedang menyiapkan kerja-kerjanya yang dibawa balik semalam. Nasib baik juga shiftnya bermula sedikit lewat hari ni.

“Along tanyalah kat Lys ni. Pagi-pagi dah buat kecoh. Perkara kecil pun diperbersarkan,” ujar Puan Aini. Soalan Arlyssa dia biar sepi tanpa jawapan.

Mata Syed Yusri terarah pada Arlyssa. Wajahnya sememangnya masam mencuka. Sejak dari minggu lepas lagi dia sudah tidak bercakap dengan adik bongsunya itu. Tindakan Arlyssa terhadap Haji Jamal baginya terlampau kurang ajar. Walau dengan apa cara sekali pun, adiknya perlu diajar.

“Ni, ada perogol masuk dalam bilik adik. Bangun aje dari tidur adik tengok dia dah ada kat atas katil. Bila adik bagi tahu mama, mama pulak buat dek aje. Siap salam lagi dengan mamat ni. Along, halaulah dia. Tak pun kita buat report polis.” Arlyssa tak perlu menunggu abangnya menyoal kerana dari riak wajah itu dia sudah tahu maksudnya.

“Apa yang dia buat kat Lys sampai kena report polis? Adik pasti ke dia ni perogol? Adik ada bukti ke?” soalan demi soalan terungkap untuk Arlyssa. Syed Yusri menyindir sebenarnya.

“Habis kalau tiba-tiba ada dalam bilik adik, kan perogol dan penceroboh tu? Along, cepatlah halau dia.” Rayu Arlyssa pada Syed Yusri. Tapi alongnya masih begitu. Tiada tanda-tanda mahu menolong.

“Sharifah Arlyssa Waheeda! Cepat salam dengan suami kamu. Bukan begini cara penerimaan kamu sebagai seorang isteri. Cepat salam!” arah Syed Yusri. Terkeluar sudah nama penuh Arlyssa.

Arlyssa terpempam dan terpegun. Suami? Rasanya telinga dia masih lagi belum ada masalah pendengaran. Dan setiap kata-kata Syed Yusri jelas di pendengarannya. Wajah abangnya dia pandang tajam. Dia berharap alongnya cuma bergurau tapi dia tak suka dengan gurauan begini!

“Suami? Suami siapa? Adik mana kahwin lagi!” lantang Arlyssa menjawab.

“Bukan suami ya. Tak pernah kahwin? Kamu tunggu di sini,” Syed Yusri terus berlalu ke bilik Puan Aini.

Harith hanya menjadi pemerhati kepada pertelingkahan dua beradik itu. Tak tahu nak menyampuk di mana sebab takut nanti kalau tersalah sampuk, dia yang kena marah balik. Dahlah dua-dua tengah angin tak elok. Dua-dua keras kepala!

Tak sampai lima minit, Syed Yusri muncul kembali dengan sekeping kertas yang dibalut dengan plastik di tangan kanannya.

“Kalau bukan suami, ini apa? Cuba kamu ceritakan apa maksud kertas ini?!” Syed Yusri menyoal keras. Nada suaranya masih tinggi. Kertas di tangan dia lempar ke arah Arlyssa. Penafian Arlyssa buat hatinya panas.

Terketar-ketar tangan Arlyssa menyambil kertas itu. Satu persatu perkataan yang tertulis di atas kertas itu dia baca. Paling penting nama pasangan dan tarikh yang tercatat di atas kertas itu yang paling dia mahu lihat. 12 Mac 2004. Dia tergamam. Peristiwa enam tahun lalu kembali terlayar di ruang mata. Semerta dengan itu, tubuhnya melurut jatuh ke lantai. Kertas di tangan dia renyukkkan.

“Lys, kenapa ni Lys? Jangan buat mama risau. Lys!” panggil Puan Aini. Hatinya sayu melihatkan tingkah Arlyssa. Syed Yusri mengambil kertas akuan nikah dari tangan Arlyssa. Takut nanti kertas itu berubah rupa jika terusan berada di dalam genggaman Arlyssa.

Tiba-tiba Arlyssa berdiri. Dia bagai punya semangat baru. Kakinya laju diatur ke arah pintu bilik. Pintu bilik dia tutup kuat dan dikunci dari dalam. Harith, Syed Yusri dan Puan Aini yang memandang tingkah Arlyssa, tercengang. Syed Yusri jadi berang. Arlyssa tak habis-habis buat perangai. Baru aje dia nak ke bilik Arlyssa, terasa tangannya ditarik dan langkahnya mati.

“Jangan, long. Biarlah dia reda dulu. Dia masih tak dapat terima kenyataan tu,” ujar Harith. Dia faham perasaan Arlyssa. Dari cara Arlyssa menyambutnya tadi pun dia sudah agak keadaan akan jadi begini.

“Betul tu, long. Kita biar Lys sejuk dulu. Kalau along pergi jumpa dia sekarang, takut keadaan akan jadi bertambah haru-biru. Bukan along tak kenal perangai Lys tu. Angin dia tu tak boleh orang potong langsung.” Sampuk Puan Aini pula. Dia setuju sangat dengan kata-kata Harith. Lagi pun dia kenal sangat dengan perangai Arlyssa. Angin ribut taufannya boleh tahan juga.

Syed Yusri kembali semula ke biliknya dan Puan Aini turun ke tingkat bawah. Tinggallah Harith keseorangan termanggu di luar bilik Arlyssa. Nak masuk tak boleh sebab tuan punya bilik dah kunci dari dalam. Dia pulak dah rasa berlengas semacam sebab tak mandi lagi. Harith mendapatkan Puan Aini di dapur. Dia dah tak tahan sangat dengan peluh yang makin memercik membasahi tubuh.

“Kenapa Harith? Nak air ke?” soal Puan Aini apabila melihat Harith mengekorinya ke dapur. Muka Harith tu menggambarkan yang dia sedang gelisah sebab tu Puan Aini tanya, takut-takut jika Harith mahu minum..

“Eh, taklah ma. Err.. ma, saya nak mandi dan nak solat sebenarnya tapi beg saya masih ada kat dalam bilik Lys.” Ujar Harith satu persatu.

“La, macam tu rupanya. Mari sini,” Puan Aini menyuruh Harith mengekorinya.
Pintu bilik Syed Yusri dia ketuk perlahan. Untuk masa sekarang, janganlah nak gatal tangan ketuk pintu bilik Arlyssa. Hanya membuang masa saja sebab takkan dilayan.

“Along,”

“Ada apa ma?” terjengul muka Syed Yusri di sebalik pintu. Dia sudah segak mengenakan kemeja dan slack di tubuh.

“Kamu bagi Harith pinjam baju dan seluar boleh tak? Beg dia masih kat dalam bilik Lys tapi Lys pulak kunci bilik tu.” Beritahu Puan Aini.

“Oh, bolehlah. Kenapa tak cakap awal-awal. Masuklah,” pelawa Syed Yusri. Puan Aini sudah turun kembali ke dapur.

Syed Yusri membuka almari bajunya dan membawa keluar sehelai baju dan seluar yang dirasakan agak sesuai. Tuala juga dikeluarkan sama. Badan Harith sedikit tegap berotot. Dia pulak kurus aje.

“Nah, tengoklah macam mana. Along takut tak muat aje sebab saiz kita tak sama.” Syed Yusri menghulurkan pakaian di tangannya.

“Tak apa, nak pakai untuk duduk kat rumah aje. Bukannya nak jalan-jalan. Terima kasih, long.” Dah dapat baju dan seluar sementara ni dah kira bersyukur sangat bagi Harith.

“Sama-sama. Kalau nak mandi ke nak apa ke, boleh pakai bilik along ni. Along nak pergi kerja dulu,” kata Syed Yusri sebelum berlalu keluar dari biliknya.

Jam di tangan dia pandang sebelum bergegas masuk ke bilik air. Waktu subuh masih berbaki kira-kira 15 minit saja lagi. Tapi yang peliknya tak kedengaran langsung laungan azan di sini. Selesai mengambil wuduk, Harith ingin membentangkan sejadah tapi dia tak pasti arah mana yang perlu dia ikut. Lantas, dia melangkah keluar dari bilik itu.

“Err.. arah kiblat arah mana ya, long?” teragak-agak Harith menyoal.

“Oh, arah kiblat rupanya. Mari sini,” ajak Syed Yusri.

Selepas menunjukkan arah kiblat, Syed Yusri kembali semula ke bawah. Harith pula terus merebahkan badan di atas tilam empuk itu sebaik saja selesai menunaikan solat subuh. Badan yang terasa letih terus hilang sebaik berbaring di atas tilam itu.
Kerusi di meja makan Syed Yusri tarik perlahan. Secawan air tek kosong sudah tersedia di situ.

“Along nak makan tak?” soal Puan Aini.

“Tak naklah, ma. Nanti berat pulak perut ni,” balas Syed Yusri berseloroh.

“Along, kenapa along suruh Harith datang ke sini?” soalan yang berlegar di benak Puan Aini sejak melihat Harith ada di rumah ini terluah juga akhirnya.

“Along cerita malam ni ya, ma. Semua ni untuk kebaikan Lys juga. Dia dah tak makan ajar, ma. Malam nantilah along cerita semuanya. Along pergi dulu, ma.” Pinta Syed Yusri dan menyalami tangan mamanya.

SUAMI?! Mana along jumpa lelaki tu? Dengus Arlyssa. Semua barang di dalam bilik dia selerakkan. Begitulah cara dia melepaskan amarah dan tanda protes kepada Syed Yusri dan lelaki itu. Rupa biliknya sudah serupa dengan kapal kargo pecah! Ah, tak kiralah rupa kapal kargo pecah ke apa ke. Ini gunanya ada pembantu rumah. Akan dia gunakan betul-betul keringat pembantu rumah Puan Aini.

Dia perasankan satu perkara. Sejak akhir-akhir ni, Syed Yusri sekan sengaja mahu mencari salahnya. Setiap perkara yang dia buat menjadi salah di mata Syed Yusri. Dia tak tahu nak buat macam mana lagi. Hubungan yang sangat rapat sebelum ini menjadi renggang. Adakah sebab lelaki itu, along tiba-tiba berubah sikap? Arlyssa menyoal diri sendiri. Telefon Iphone 4S milik Arlyssa berdering nyaring minta diangkat. Laju tangannya mencari harta berharganya itu. Puas dia menyelongkar isi bilik tapi masih tak jumpa. Inilah akibatnya kalau suka sepahkan barang. Akhirnya tak jumpa barang yang dicari. Huh! Keluh Arlyssa. Deringan berhenti.

“Kat mana kau ni?” Soal Arlyssa sambil bercekak pinggang. Matanya meliar memerhatikan setiap pelusuk bilik. Macamlah alat komunikasi itu punya mulut yang akan menjawab pertanyaan tuannya itu.

Rasanya telefon tu ada dalam beg tangan. Sebab semalam dia tak keluarkan pun telefon dari dalam beg. Lantas Arlyssa mendapatkan beg tangan yang diletak di penjuru bilik. Semua isi dalam beg dia keluarkan sebelum menjumpai telefonnya. Skrin telefon dia pandang. Huh! Izzati! Mesti nak ajak keluar ni. Malaslah! Dengus Arlyssa sambil merebahkan kembali badan di atas katil. Dia mahu melelapkan mata, mahu menyambung kembali lena yang terbantut tadi tapi tak boleh! Kepalanya masih memikirkan tentang lelaki yang along perkenalkan sebagai suaminya itu.

Ah, dia tak bersedia lagi untuk bergelar seorang isteri. Tugas itu berat dan membebankan. Juga membataskan pergerakkannya. Tapi dia tak sedar, dia sudah 6 tahun menyandang gelaran isteri orang! Dia sengaja menafikan dan membuang perkara itu dari hidupnya. Bersuka ria dengan kawan-kawan lagi penting dari semua tu.

Kerana kebosanan, Arlyssa bangun dari pembaringan. Langsir dan pintu gelungsur yang menjadi pemisah antara biliknya dan balkoni dia tolak ke tepi. Sudah lama rasanya dia tidak mengambil bayu petang dari balkoni biliknya ini. Matahari yang sudah condong ke barat dia perhatikan dengan asyik sekali. Jika orang lain suka pandang laut atau pantai untuk memberikan ketenangan. Tapi bagi Arlyssa, dia suka lihat matahari waktu petang. Kalau waktu senja lagi dia suka sebab aura kemerahan pada cahaya matahari sangat menenangkan dan membahagiakan. Spontan bibirnya mengukirkan senyuman pada sinar matahari.

Jumaat, 2 Mac 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB35

AKU terjaga dari tidur apabila terasa badanku bagai dihimpit sesuatu yang sangat keras. Aku pelik. Benda apa pulak yang keras semacam aje ni. Dengan mata yang masih terpejam, tanganku meraba-raba ruang katil yang disebelahku. Semalam ruang itu kosong aje tapi kenapa pulak aku rasa macam ada yang menumpang aje. Aku mencelikkan mata seluas-luasnya. Pantas kepalaku berpaling memandang ke sebelah.

“Argh….” Lantang aku menjerit sehingga mengejutkan penghuni ruang sebelah. Aku terasa mulutku ditekup pula kemudiannya. Aku meronta-ronta.

“Syy… awak ni kenapa? Menjerit macam ternampak hantu!” marah dia.

Apabila melihat aku mungkin tidak akan menjerit lagi, dia mengalihkan tangannya yang menekup mulutku. Hilang sesak nafasku seketika apabila dia mengalihkan tangannya. Tercungap-cungap aku menyedut nafas, bagai baru aje sudah berlari pecut sejauh 100 meter.

“Kenapa awak tidur kat sini? Awak kan tidur kat luar?” hamburku, melepaskan amarah di hati. Tajam aku memandangnya yang berbaring semula, ingin menyambung kembali lena yang terganggu kut.

“Eh, ni bilik saya, katil saya. Suka hati sayalah nak tidur kat mana pun. Awak tak ada hak nak marah atau nak halau saya. Awak tu yang kena sedar diri. Awak tu cuma menumpang aje kat sini.” Selarnya.

Aku yang nak sembur dia, alih-alih aku yang kena sembur. Kata-katanya itu buat aku terasa hati. Aku sedar, aku cuma menumpang aje kat sini. Tak payah ingatkan pun aku tahu. Tanpa bertekak seperti biasa, aku berlalu keluar dari bilik itu. Mahu menyiapkan juadah bersahur dengan hati yang terluka.

HARI minggu tiba lagi. Cadangnya aku nak ke butik jugak hari ni. Walaupun butik tutup hari ni tapi aku nak ambil baju yang terlupa aku nak bawa balik semalam. Lepas tu aku ingat nak ke rumah emak. Dah lama tak ke sana. Tambah lagi ada baju tempahan pelanggan yang perlu aku ambil dari Kak Lah. Dah siap katanya.
Tepat pukul 11.00 pagi, aku keluar dari rumah. Sedang aku memasukkan beg bimbit ke dalam kereta, suara Mariana menyapaku.

“Akak, nak pergi mana ni?” dia menghampiriku dan menyoal.

Aku berpaling. Senyuman paling manis aku lemparkan pada dia. Aku ingatkan dia masih tidur seperti abangnya yang sedang enak tidur di dalam bilik. Itulah kerjanya bila hari minggu tiba. Dan sejak dari hari dia sembur aku, aku langsung tak tegur dia. Bercakap jauh sekali. Aku juga ada hati dan perasaan. Sekali orang menghina aku, sepuluh kali aku membenci.

“Akak nak balik rumah mak akak. Kenapa? Ana nak ikut ke?” saja aku bertanya begitu. Orang kata ajak-ajak ayam aje.

“Nak!” teruja dan girang dia menyahut. Amboi, macam aku nak pergi jalan-jalan aje reaksi dia ni.

“Kalau nak pergi, cepat bersiap. Jangan lupa bagi tahu kat abang tau.” Ujarku sambil berpesan supaya dia memaklumkan kepada Aril.

Aku sudah bagi tahu kat Aril. Walaupun aku tak bercakap dengan dia, aku tetap bagi tahu dia setiap kali aku nak keluar dari rumah. Izin suami tu amat-amat penting. Perkara ini sangat-sangat aku pegang. Nak tahu macam mana aku bagi tahu Aril? Alah, zaman sekarangkan sudah maju. Ada macam-macam cara untuk aku maklumkan kepada Aril. Pagi tadi aku sudah menghantar mesej kepada Aril. Senang. Tak payah nak membazirkan air liur dan merendahkan egoku bercakap dengan dia!

15 minit kemudian, Mariana masuk ke dalam kereta dan aku berlalu dari rumah itu. Butik adalah destinasi pertamaku.

“ASSALAMUALAIKUM,” aku memberi salam. Pintu depan tertutup tapi tingkap terbuka. Pintu pagar tak tertutup. Mesti ada orang ni. Desisku di dalam hati. Motor Jad ada kat garaj tu, diparkir bersebelahan dengan kereta Wira Abang Din. Abang Din ada datang ke?

Aku mengetuk pintu rumah beserta salam sekali lagi. Mariana mengekoriku dari belakang. Dua kali pintu diketuk akhirnya pintu dibuka dari dalam. Terjengul wajah tua emak menjawab salam. Tangan tua itu aku raih dan disalam. Mariana juga turut ikut sama. Aku perasan mata emak memandang pelik wajah Mariana. Mungkin dia tertanya-tanya, siapa agaknya budak perempuan yang aku bawa balik ni.

“Mak, ni Mariana, adik Abang Aril. Ana, ni mak akak.” Aku memperkenalkan mereka.

“Oh, adik Aril. Eh, jomlah masuk.” Pelawa emak.

Aku menyuruh Mariana masuk terlebih dahulu kerana aku mahu pergi ke rumah Kak Lah, nak ambil baju-baju yang telah siap dijahit. Sedang elok aku mahu beredar, muncul kelibat Syu dari tingkat atas. Terus aku menyuruh Syu melayan Mariana. Takut jugak kalau dia canggung di rumah keluargaku yang kecil ni.

Pada sebelah petang, sedang aku tekun menyiapkan baju tempahan pelanggan, Mariana dan Syu merapatiku.

“Kak, mak ajak berbuka kat sini. Boleh kan?” soal Syu.

Aku serba salah. Tak tahu nak setuju atau menolak. Aku ni kena tanya Aril dulu macam mana. Kalau aku berbuka kat sini, takkan dia berbuka sorang diri kat rumah. Kesian pulak. Ada isteri macam tak ada isteri. Dalam rasa marah dan geram yang masih belum surut, aku masih mengambil berat perihal dia. Seteruk-teruk dia pun, dia tetap suami aku. Walaupun aku tak suka dia, membenci dia, status aku sebgaai steri dia tidak akan berubah.

Aku pandang wajah Mariana. “Ana, boleh tak Ana call abang. Telefon akak ada kat ataslah. Tanya dia boleh tak kalau kita berbuka kat sini,” pintaku pada Ana. Sengaja aku mereka alasan kerana tidak mahu menelefon Aril. Perang belum tamat lagi!
Sambil menjahit, sambil aku memasang telinga mendengar setiap butir perbualan antara Aril dan Mariana. Mariana banyak menjawab ya atau tidak saja. Aku pelik. Apa yang dia soal?

“Akak, abang nak cakap dengan akak.” Beritahu Mariana sambil menghulurkan telefonnya kepadaku. Aku terpinga-pinga. Nak apa pulak ni? Ada-ada aje. Gerutuku di dalam hati.
Lambat-lambat aku mengambil huluran Mariana. Telefon dibawa ke telinga. Mariana telah berlalu ke laman rumah, mungkin memberi ruang kepada aku supaya dapat berbual dengan abangnya tanpa gangguan.

“Assalamualaikum,” Dia memberi salam. Aku menjawab di dalam hati.

“Tak jawab salam dosa,” ujarnya kemudian, mungkin sebab aku berdiam diri.

“Hmm.. nak apa?” dingin aku menyoal. Aku malas nak bergurau senda, nak berbasa-basi. Tak hingin. Kata-kata yang dia ucap pagi semalam ‘sedap’ sangat! Sampaikan meninggalkan kesan yang mendalam di hatiku.

Dia senyap di hujung talian. Lagilah buat aku naik angin.

“Kalau tak nak cakap, jangan panggil saya!” luahku dengan suara yang sedikit tinggi. Nak tinggi-tinggi sangat takut terdengar oleh emak aku pulak. Aku sudah berkira-kira mahu menamatkan saja perbualan bisu itu. Buat aku makin kurang pahala puasa pulak dia ni.

“Eh, jangan letak lagi telefon.” Suaranya menahan dari hujung talian. “Err.. awak nak berbuka kat sana ke?” soalnya selepas itu.

“Hmm,” reaksiku masih sama.

“Okey, saya izinkan.”

“Hmm…”

Akhirnya perbualan ditamatkan. Mungkin dia bosan sebab setiap yang dia soal aku hanya jawab dengan ‘hmm’ sahaja. Lantaklah kau. Aku dah layan tu kira okey dah tu. Kalau aku terus letak tanpa dengar apa yang dia cakap, pasti lagi buat dia naik angin. Angin dia aje dia tahu, angin aku dia tak tahu lagi.

“Syu, cakap kat mak, akak dan Mariana berbuka kat sini.” Aku berpesan pada Syu yang sedang melintas di hadapanku. Berpatah balik dia mendapatkan emak yang sedang berada di biliknya.

“Ana, Ana.” Aku memanggil Mariana yang sedang berada di laman.

“Ya, kak.” Jawabnya sambil merapatiku.

“Abang bagi kita berbuka kat sini.” Beritahuku kepada Mariana. “Ana, kalau akak tanya sikit boleh tak?” perlahan-lahan aku menyoal. Dah lama sangat aku nak tanya dia tentang perkara nan satu ni.

“Insya Allah kak. Apa dia?” Ana sudah duduk di sebelahku.

“Err… kenapa Ana tak balik ke rumah mama? Ana jangan anggap bukan-bukan dengan soalan akak ni. Akak bukan tak suka kat Ana, jauh sekali nak halau Ana dari rumah abang tu tapi akak tertanya-tanya aje. Daripada akak fikir yang bukan-bukan, baik akak tanya sendiri dengan Ana.” Awal-awal aku terus memberitahu sebab musabab aku bertanya begitu. Takut juga kalau Ana terasa hati dengan soalan aku tu.

Berubah juga wajah Ana pada mulanya. Tapi kemudian, bibirnya mengukirkan seulas senyuman. Lega aku melihat senyumannya itu. Tidaklah aku terasa bersalah sangat.

“Abang tak beritahu akak?” soal Mariana pula.

“Beritahu? Beritahu apa? Abang tak ada pun beritahu apa-apa kat akak.” Jawabku dengan wajah tertanya-tanya. Berkerut dahiku.

“Abang tak beritahu pasal apa Ana tak balik ke rumah mama? Lama duduk UK tapi tak balik-balik, takkan akak tak rasa pelik?” soal Mariana. Pantas aku menggelengkan kepala.

“Akak, sebenarnya hubungan Ana dengan mama dah lama tak elok. Sejak 6 tahun yang lalu lagi. Mama tak suka apabila Ana tukar kursus ketika baru belajar dahulu. Mama nak Ana belajar kursus perniagaan sedangkan Ana minat bidang hiasan dalaman. Jadi Ana tukar kursus secara senyap-senyap. Tapi sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah juga akhirnya. Bila mama dapat tahu, mama terus naik angin. Duit belanja mama potong dan hubungan kami terus terputus. Sebab tulah Ana tak balik ke rumah mama. Ana takut nanti tak pasal-pasal mama marahkan Ana.” Terangnya panjang lebar.

“Astagfirullahalazim…” panjang aku beristigfar. Tak aku sangka, mama yang nampak lembut dari luarannya tapi keras juga hatinya.

Mariana tersenyum melihatkan reaksi aku. Dia mengukirkan senyuman walau dalam terpaksa. Mungkin dia geli hati mendengarkan reaksiku. Yalah, siapa tak terkejut. Mak mertua yang sangat baik di mataku dan sekarang aku disogok dengan cerita versi lain pula dari anak bongsunya.

“Habis tu, macam mana Ana dapatkan duit poket? Setiap cuti musim panas, Ana pergi ke mana?” aku menyoal lagi.

Nak tahu jugak macam mana dia nak dapatkan duit saku. Tambah-tambah lagi hidup kat luar negara. Tinggi taraf hidup kat sana. Lagi pula aku sering mendengar cerita-cerita dari teman-temanku yang pernah belajar di luar negara. Kata mereka, cuti musim panas adalah masa yang sangat mereka tunggu-tunggu. Masa tulah mereka dapat pergi melancong ke negara sekitar kerana pada musim-musim biasa, mereka akan melakukan kerja part time dan gaji yang diperolehi akan digunakan waktu melancong di sana. Tapi tidak semua yang pergi melancong, ada juga yang pulang ke Malaysia, mengambil kesempatan pada cuti panjang. Mereka-mereka ni biasanya yang mengalami homesick. Anak orang kaya bolehlah balik sesuka hati. Tapi kalau yang dibiayai oleh biasiswa atau pinjaman, terpaksalah buat kerja untuk tampung poket yang sentiasa cepat kering.

“Ana kerja part time kak. Nak hidup tempat orang, kenalah pandai-pandai nak hidup. Cuti musim panas pun Ana kerja jugak kak. Tapi mama aje yang nak berkerat rotan dengan Ana. Papa dengan abang okey dengan Ana. Abang dengan papa masih beri duit belanja untuk Ana. Oh ya, lupa pulak nak cakap dengan akak. Ana ada belikan hadiah perkahwinan untuk akak dan abang. Ada kat rumah abanglah. Balik nanti ingatkan Ana, nanti takut Ana terlupa pulak.” Ujarnya.

Aku hanya tersenyum mendengarkan dia menyebut ‘hadiah perkahwinan’. Hatiku bagai meronta-ronta mahu memberitahunya perihal sebenar hubungan kami. Bagaimana ia bermula hinggalah kami sampai ke tahap ini. Di hadapan Mariana, kami lebih banyak berpura-pura. Kemesraan yang sengaja dibuat-buat. Sampai satu tahap aku rasa bosan untuk melalui semua ini. Bosan berlakon dan menipu.

“Err… kak, kalau Ana tanya sesuatu, boleh tak?” dia menyoal setelah lama antara kami diisi dengan sepi.

“Apa dia?” aku memandang wajah Mariana yang nampak sedikit gelisah. Mungkin soalan yang bakal dia ajukan bakal mengguris hatiku. Lama aku menunggu tapi dia masih membisu. Sontan aku menepuk tangannya bagai memberi sedikit kekuatan. “Tak apa. Akak tak marah, tanyalah.” Ujarku kemudian.

Dia menarik nafas perlahan. “Err… macam mana akak kenal dengan abang? Err.. kalau akak tak nak jawab tak apa, Ana tak paksa.” Dia mengulangi soalan yang pernah dia ajukan dua tiga hari lepas ketika kami bertiga berbuka puasa di luar.

Terkedu aku mendengarkan soalannya itu. Tak tahu nak jawab bagaimana lagi. Aku tidak pandai nak menipu orang. Tambah lagi Mariana bukannya kanak-kanak yang boleh aku gulakan dengan memberi hadiah dan kemudian mulutnya akan terus senyap. Mariana sudah besar panjang. Sudah 25 tahun. Dia boleh membezakan mana yang betul dan mana yang bohong.

“Err… akak dah jawabkan soalan tu masa berbuka baru ni. Soalan lainlah Ana.” Pintaku pada Mariana, sengaja mahu mengelak. Aku memang tak ada jawapan untuk soalan dia.

“Tak apa kak. Ana faham. Kalau akak tak cerita pun Ana tahu macam mana akak kenal dengan abang.” Ujarnya beserta senyuman yang sangat manis. Aku pandang wajah itu.

“Macam mana Ana tahu?” soalku laju. Hatiku jadi cemas sendiri. Dia masih tersenyum. Hinggakan aku terasa senyumannya itu seperti sedang mengejek aku pula.

“Walaupun dah 6 tahun Ana tak balik ke rumah mama, tapi Ana tahu semua cerita yang berlaku di dalam rumah itu. Kisah abang yang dipaksa berkahwin dengan pilihan mama iaitu Cellicia. Kisah bagaimana pertama kali abang bertembung dengan akak, kisah akak yang terpaksa berkahwin dengan abang, menggantikan tempat Cellicia yang telah melarikan diri. Ana tahu semua tu kak.” Ujar Ana tenang. Senyuman masih lagi terukir di bibirnya.

“Jadi, hari yang Ana tanya akak pasal macam mana akak boleh jatuh cinta dengan abang tu, Ana dah tahulah ya?” soalku meminta kepastian. Laju dia menganggukkan kepala.
Kepalaku ligat berfikir. Mencantum semua kisah yang Mariana baru cerita. Aku jadi malu sendiri bila terkenangkan ceritaku kepada Mariana tentang soalannya, macam mana aku boleh jatuh cinta pada abangnya. Kalau dulu aku akan tergagap-gagap untuk menceritakan kisah ini tapi selepas mendengar pengakuan Mariana, aku lega. Lepas ni aku tak perlu lagi nak bermesra-mesra sangat dengan Aril depan Mariana.

“Ana ada bawa baju lebih tak?” soalku memesongkan topik antara kami. Kalau nak berbuka kat sini, mestilah nak mandi. Mau melekit badan kalau tak mandi.

“Tak ada kak. Tak rancang pun nak berbuka kat sini.” Jawabnya. Ya tak ya jugak. Aku memang tak rancang nak berbuka di sini. Aku cuma nak datang ambil baju dan melawat emak aje.

“Emm.. tak apa. Ana pakai baju Syu dulu ya. Rasanya sama aje saiz kamu berdua ni.” ujarku. “Syu,” pantas aku memanggil Syu.

Lantas muncul kelibat Syu dari arah dapur. “Apa dia kak?” soalnya.

“Syu, bawa Kak Ana ke bilik Syu. Kak Ana nak pinjam baju, bolehkan?”

“Okey. Jom kak,” balas Syu sambil membawa Mariana ke biliknya. Manakala aku pula meninggalkan kerja-kerjaku dan berlalu masuk ke dalam bilik, mahu menunaikan solat asar.

Selepas menunaikan solat Asar, aku turun kembali ke dapur, menyertai emak yang sedang menyiang ikan di tepi singki. Bau masakan di atas dapur sudah semerbak memenuhi ruang udara di dapur. Di atas meja kecil yang terletak di tengah-tengah dapur ada sebakul penuh sayur yang masih belum dipotong.

“Mak nak masak apa petang ni?” soalku pada emak. Aku lihat di atas dapur sudah ada seperiuk sup. Tapi aku tak tahu pulak sup apa. Sup tulang kut sebab aku tahu, isi rumah ni kurang makan sup ayam. Biasanya emak aku masak sup tulang lembu.

“Sup tulang kat atas dapur tu nak tunggu empuk aje. Kamu ada nak makan apa-apa ke?” terkejut juga aku dengan soalan emak tu. Sejak sampai tengah hari tadi, aku perasan yang emak sudah lain. Sudah tak sama dengan emak yang dulu. Kalau emak yang dulu, asyik nak cari kesalahan aku aje. Kalau sindir tu jangan cakaplah. Dah nak bernanah rasanya telinga aku ni duk mendengar setiap sindiran emak.

“Err.. ada apa kat dalam peti ni?” soalku sambil menarik pintu peti sejuk.

“Tengoklah. Ada ayam, ikan. Sayur tu adalah sikit-sikit. Mak ingat nak masak kailan ikan masin. Macam mana Fiza?” soal emak sambil tangannya ligat dengan ikan di tangan.

“Err.. mak, kita buat sayur campurlah. Kailan tu tak payahlah. Lepas tu, kita goreng telur dadar. Nanti bolehlah kita suruh Jad pergi ke bazar ramadhan, cari kuih sikit. Dah cukuplah tu. Banyak-banyak nanti tak termakan pulak.” Ujarku.

Kami terus memasak seperti apa yang kami rancangkan. Cuma telur dadar aje yang tak digoreng lagi. Tak bestlah kalau nak goreng sekarang sebab ada sejam lagi sebelum masuk waktu berbuka. Telur dadar best kalau makan masa panas-panas. Sedang aku menyiapkan air yang akan kami minum untuk berbuka nanti, telinga menangkap bunyi motosikal berkuasa besar. Bunyi ngauman motor itu terasa sangat dekat. Selain aku dan Mariana, emak ada tetamu lain ke? Soalku di dalam hati.

“Mak ada tetamu ke? Macam ada orang datang aje tu.” Aku menyoal dan memberitahu emak. Wajah tua emak berkerut tanda dia tidak tahu. Aik, pelik!

Jag berisi air Sunquick aku masukkan ke dalam peti sejuk. Biar sejuk sikit baru best nak minum nanti. Aku ke depan, nak tengok siapa empunya tetamu yang baru sampai. Sebaik terpandangkan kelibat motosikal berkuasa besar yang ditongkat betul-betul berhadapan dengan taman mini emak, aku sudah dapat mengagak siapa dia.

Amboi, bestnya dia bersandar pada motor sambil memandang ke sekeliling laman rumah orang tua aku. Siapa jemput dia datang ke sini? Aku tak ajak pun! Aku cuma suruh Mariana memberitahu Aril yang aku dan dia akan berbuka di sini. Tak ada pun aku cakap macam ni; “Ajak abang sekali.”

Tak ada!

“Ehem,” aku berdehem. Pantas dia berpaling sambil memegang jaket kulitnya di tangan.

“Buat apa awak datang ke sini? Siapa jemput awak?” soalku tanpa menunggu lama.

“Rumah emak mertua saya. Ikut suka sayalah nak datang bila-bila pun. Lagi satu, saya tak perlu maklumkan kepada awak dan tak perlu orang jemput untuk ke sini.” Balasnya perlahan sambil melemparkan seulas senyuman. Terpanar aku dengan senyumannya itu. Aku terasa bagai diawangan saja.

“Eh, Aril. Fiza tak bagi tahu pun Aril nak berbuka sama di sini. Marilah masuk, kamu ni pun, kenapa tak dijemput suami tu masuk.” Suara emak mematikan anganku. Aku berpaling, emak sedang berdiri di muka pintu.

Aril melangkah menghampiri emak, tangan tua itu dia salam sebelum mencium tangan itu tanda hormat. Oh, patutlah dia senyum tadi. Senyuman itu hanya pura-pura semata untuk mengaburi mata tua emak. Jika tidak, jangan haraplah dia nak tersenyum begitu. Berangan aje bolehlah!

“Wow, cantiknya motor abang. Best ni kalau dapat bawak ni.” suara Jad keriangan. Entah datang dari mana budak ni. Aku yang sampai dari tengah hari tadi lagi baru nampak batang hidung dia. Mesti baru bangun tidur ni. Hari ni kan hari minggu, jadi tak ada kelas. Kalau tak, tak adanya nak nampak batang hidung dia kat rumah.

Tangannya sibuk membelek motor Aril dengan penuh minat. Yalah, remaja macam dia memang sangat gilakan motosikal berkuasa besar sebegitu. Kalau nak bandingkan motor Honda EX yang arwah abah hadiahkan dengan motor Aril ni memang jauh anggang dari apilah. Sebelum ni dapat tengok dalam TV atau kat internet tapi sekarang dapat tengok secara langsung, siap boleh pegang lagi. Silap hari bulan dapat naik kalau Aril izinkan.

“Eh, abang. Bila sampai?” suara Mariana pula yang menyoal. Syu berdiri disisinya.
Aril menjawab soalan adiknya itu. Wajah Mariana selamba saja, bagai sudah tahu yang abangnya akan turut serta berbuka di rumah keluargaku.

“Jad, nanti pergi beli kuih sikit. Nak buat berbuka ni.” arahku pada Jad.

“Okey. Tapi duit kak?” soal Jad, tersengih memandang aku.

“Huh, pakai duit Jad dululah. Beg akak ada kat atas sana. Nanti akak ganti balik.” Balasku sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Aril yang sedang tercegat di sebelah motornya sikit pun aku tak hiraukan. Ah, pandai-pandai kaulah nak bawa diri di rumah aku ni.

Sementara menanti masuk waktu berbuka, aku masuk kembali ke dalam rumah menyambung kembali kerja-kerjaku yang terbengkalai tadi. Baru aje punggungku mencecah sofa, kedengaran bunyi deruman motor Aril keluar dari perkarangan rumah emak. Lantaklah dia nak ke mana pun. Aku tak kisah. Dia dengan hidup dia, aku dengan hidup aku.