Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Ahad, 30 Jun 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 22

IDDIN laju mengatur langkah masuk ke biliknya. Badrul yang berada di mejanya pun dia tak tegur seperti kebiasaannya. Badrul tayang muka pelik. Apa kena bos aku ni? Macam orang gaduh dengan bini aje, omel hati kecil Badrul. Bini? Hisy, bini ke apanya? Bos aku tu bujang trang tang tang. Badrul senyum dengan kata-katanya sendiri.
Tiba-tiba mejanya ditepuk seseorang.
“Oh mak kau! Eh, apa akak ni? Buat terkejut orang aje.” Marah Badrul. Hilang sudah senyuman di bibir, diganti dengan bibir memuncung. Tangannya laju mengurut dada.
“Yang kau senyum macam esok nak cuti panjang tu kenapa? Pelik betul akak tengok kau ni,” Noraini bersuara.
“Saya senyum pun salah ke?”
“Eh, akak tak cakap salah. Akak pelik aje. Tiba-tiba aje kau senyum, siapa tak pelik. Silap-silap orang cop kau sewel! Haru!” Lancang sekali mulut Noraini berkata-kata.
“Amboi, mulut kak! Macam tak ada insurans langsung!” Komen Badrul.
“Dah tu, kau senyum sorang-sorang. Akak peliklah. Apa kes?”
“Tu.” Bibir Badrul memuncung menghala ke arah bilik bos besar mereka.
“Kenapa dengan Encik Iddin?” soal Noraini lagi. Adakah aku terlepas berita hangat lagi sensasi? Sudah nama pun Noraini, pasti mahu tahu cerita orang. Tak kiralah kecil ke besar.
“Entah.” Badrul angkat bahu. “Dia masuk aje tadi tak tegur saya pun. Muka tak sudah. Macam orang tertelan biji nangka.”
“Habis, yang kau senyum tu kenapa pulak? Apa kaitannya?” Noraini kerut kening.
“Tak adalah. Tadi saya nampak muka Encik Iddin macam tu, saya buat tanggapan sendiri. Muka macam orang gaduh dengan bini. Tapi baru saya teringat, Encik Iddin tu mana kahwin lagi.” Badrul ketawa.
“La, tu aje? Hampeh.” Ingatkan apalah tadi. Omel Noraini.
Yelah, akak tu yang terlebih excited. Pada hal tak ada apa-apa pun.” Kata Badrul. Tangannya laju menaip pada papan kekunci komputer. Haih, minit mesyuarat tak siap lagi.
“Amboi, sakan sembang. Tak ada kerja ke?” Satu suara tiba-tiba menegur mereka. Pantas Noraini angkat kepala. Serius wajah bos besar menyapa pandangan Noraini.
“Err… Ada, ada.” Laju kaki melangkah ke meja sendiri. Sebelum wajah tuan besar tu bertukar jadi singa, lebih baik dia lari dulu.
Selepas memandang langkah Noraini yang laju aje melarikan diri, Iddin kembali memandang Badrul.
“Bad, tengah hari ni teman saya jumpa client macam biasa.”
Orait bos.”
Iddin berlalu masuk ke biliknya. Sebenarnya dia tak senang duduk hari ni. Di atas kerusi itu bagai ada paku yang mencucuk punggungnya jika dia duduk di atas kerusi itu. Kalau berdiri, kakinya mesti tak lepas dari memandang seseorang yang ada kat luar bilik tu. Pandang wajah itu, pasti kata-kata Rozairul semalam kembali berlegar di dalam fikirannya.
Hisy! Kenapa aku jadi gelabah semacam ni?” Iddin marah diri sendiri. Tapi betul pun. Dia dah macam kucing nak beranak pula lagaknya.
Sejak balik dari rumah Suriya semalam, kepalanya langsung tak sudah-sudah fikirkan cadangan Rozairul. Sampai nak tidur pun tak lena. Matanya jadi tak boleh nak tidur. Bagi pihak dia, tak ada masalah. Malah, dia dengan berbesar hati akan setujukan saja sebab hati dah suka. Intai anak dara orang dalam diam tak elok.
Tapi jika dia aje yang bersungguh tak guna jugak. Orang sebelah sana dah terang-terang menolak. Sejak Rozairul mengeluarkan cadangan malam tu, Suria asyik duk sebut no, no aje. Haih, Iddin mengeluh. Kedua-dua belah tangan meraup muka.

“HAIP! Apa kes kau duk tenung aje nasi tu? Cik adik, nasi tu takkan masuk dalam mulut awak kalau awak tak suap sendiri.” Tegur Noraini sambil tepuk bahu Suriya.
Suriya tersentak. Dia panggung kepala.
“Tak ada seleralah kak.”
“La… Pulak? Kalau tak ada selera, kenapa kau ambik nasi dengan lauk-pauk tu semua? Sudahlah penuh pinggan. Membazirlah Su ni.” Bebel Noraini.
Suriya tolak pinggan nasinya ke depan. Serius. Sewaktu memilih lauk tadi, fikirannya bukan di restoran itu. Fikirannya menerawang entah ke mana.
“Nak makan ke tak ni?” Noraini tanya lagi.
Suriya gelengkan kepala.
“Akak ambil lauk ni ye,”
“Ambillah kak,” dan laju tangan Noraini mengaup lauk dari pinggan Suriya.
Usai makan, mereka berjalan ke arah bangunan syarikat tempat mereka mencari rezeki. Tak jauh pun, seberang jalan aje dari restoran ni. Jadi, kena lintas jalan ajelah. Noraini pandang Suriya. Wajah cik adik tu masih macam tadi. Muram, tak banyak cakap.
“Su,” Noraini cuit bahu Suriya.
“Hah?” Suriya jelas terpinga-pinga. Bagai baru tersedar dari tidur aje.
“Su ni kenapa ek? Akak tengok lain macam sungguh Su hari ni.” Kata Noraini.
“Kenapa apa kak?” Suriya buat-buat tak tahu.
“Janganlah buat-buat tak tahu pulak. Akak tengok muka pun akak dah tahu.”
“Tengok muka? Kenapa dengan muka saya kak?” Suriya raba muka sendiri.
“Muka banyak masalah.” Selamba Noraini menjawab.
Muka banyak masalah? Suriya ulang balik ayat Noraini di dalam hati. Nampak sangat ke? Ketara sangat ke?
“Eh, apa kes pulak yang duk raba muka tengah-tengah jalan ni? Tak sayang nyawa ke dik oi! Kereta tu sikit lagi nak langgar Su.” Marah Noraini tiba-tiba. Dia tarik lengan Suriya supaya mengikut langkahnya. Bagai seorang anak kecil yang dibantu oleh seorang emak untuk melintas jalan.
Suriya jelas tercengang. Terkejut. Apa kes pulak ni? Tak sayang nyawa? Suriya pandang ke kiri dan kanannya. Oh, aku kat tengah jalan ke tadi? Bagai orang bingung dia menyoal diri sendiri. Sedar-sedar aje mereka dah jejak dalam lobi bangunan. Kaki melangkah ke arah lif. Solat zohor dulu.
“Su ni kenapa sebenarnya?” Noraini menyoal sambil tangan ligat melipat telekung sembahyang.
“Kenapa apa kak?” Hari ni Suriya jadi blur. Semua soalan Noraini dia tak dapat tangkap maksudnya.
“Su, tolonglah. Janganlah terus ulang tanya soalan akak. Akak tahu Su faham sebenarnya maksud soalan akak. Tadi dah nak kena langgar. Su tak sihat ke?” Serius Noraini menyoal. Dia benar-benar bimbangkan Suriya yang di hadapannya kini.
“Huh!” Suriya mengeluh. Kemudian dia menggelengkan kepala.
Sebetulnya kepalanya sedang memberat. Dia dah tak tahu nak cerita macam mana lagi. Kepada Nini sudah dia ceritakan tapi cadangan Nini sangat-sangat mengecewakannya. Ada pulak Nini suruh dia terima aje cadangan Rozairul! Tak masuk akal sungguh! Kalau dia nak terima, tak adalah dia susah-susah jumpa Nini, nak minta pendapat bagai. Tak semena-mena air mata Suriya gugur menuruni pipi. Dia dah tak tahu nak cakap macam mana lagi. Sekarang dia hanya mampu menangis.
“Hei, kenapa ni?” Noraini menyoal. Dia merapati Suriya. Bahu Suriya dia paut ke dalam pelukannya. “Syy… Menangislah Su kalau dengan menangis dapat kurangkan beban di bahu Su.” Pujuk Noraini. Dia usap bahu Suriya. Lagaknya tak ubah seperti seorang emak sedang memujuk anaknya supaya berhenti dari menangis. Agak lama mereka begitu sebelum tangisan Suriya berhenti sendiri.
“Macam mana? Dah okey?”
“Dah lega sedikit.” Jawab Suriya bersama sendunya.
“Okey, jom. Kita masuk dalam pejabat. Waktu rehat dah nak habis ni,” ujar Noraini. Dia bangun, mahu menyimpan kembali telekung di tempatnya.
“Akak tak nak tahu ke kenapa saya menangis?” Sempat Suriya tarik tangan Noraini.
“Tak apa. Nanti bila Su dah bersedia, Su boleh aje cerita kat akak. Bila-bila masa pun akak sentiasa ada untuk Su.” Jawab Noraini sambil bibir menguntumkan senyuman.
“Terima kasih kak,”
“Sama-sama. Tak ada apalah. Dah, jom.” Ajak Noraini. “Eh, sebelum tu. Su pergilah bersihkan air mata kat muka tu. Nanti orang cakap apa pulak bila tengok muka Su sembab macam ni.”
“Hmm…” Suriya akur.
Selepas mencuci muka, Suriya menyapu kembali bedak ke muka dan sedikit pelembab bibir. Dia tepuk-tepuk perlahan pipinya agar nampak sedikit berseri. Setelah itu mereka beriringan ke meja masing-masing.

“NINI…” Panjang nama Nini dia tarik.
“Apa dia makcik?” Malas Nini menyoal. Suaranya perlahan sekali.
“Kau free tak?”
Free amendanya. Aku tengah kerja la ni.” Nini berbisik. “Eh, kejap.”
Nini bangun dari kerusinya. Dia pandang kiri dan kanan. Setelah dirasakan line clear, laju kakinyan berlalu ke pantri. Isy, hari ni bos besar ada turun melawat cawangan syarikat. Tu yang dia berbisik masa bercakap dengan Suriya tadi. Kalaulah bos besar tu dengar yang dia sedang elok sembang macam ni, maunya esok ada yang terima notis amaran. Huhuhu.
“Ha, cakaplah. Apa yang nampak macam penting sangat tu?” Nini menyoal.
“Along aku,”
“Eh, kejap. Kau nak cakap pasal kes hari tu ke?” Cepat-cepat Nini memotong kata-kata Suriya.
“Hmm… Macam tulah lebih kurang. Tapi ni dua hari lepas along aku buat majlis makan-makan dan dia jemput jugak mamat tu. Ni kali kedua dia bangkitkan kes ni. Aku dah tak tahu nak buat apa. Aku dah tak larat nak marah-marah!” Luah Suriya.
Tak habis lagi kes hari tu rupanya. Omel Nini di dalam hati. Dia ingatkan perkara ni dah selesai sebab lepas jumpa dia hari tu, Suriya senyap. Tak hubungi dia langsung.
“Kau terima ajelah. Senang. Kepala pun tak serabut. Macam sekarang, selagi kau tak bagi keputusan kat along kau, selagi tulah dia desak kau. Hei, perkara mudah janganlah kau panjang-panjangkan lagi.” Ikhlas Nini memberi nasihat. Nak bagi cadangan pun bukannya si Suriya ni ada kekasih. Kalau ada kekasih, lainlah ceritanya. Dia boleh gunakan alasan ada kekasih sebagai alasan menolak cadangan Rozairul. Tapi sekarang? Jelas sekali Suriya tak ada kekasih.
“Kau cakap senanglah. Tapi along aku ada bagi cadangan tambahan.”
“Apa dia?”
“Dia bagi pilihan sama ada aku bertunang atau berkahwin dengan mamat beku tu. Kalau aku tak setuju dengan yang ni, dia nak aku balik Terengganu, tinggal dengan mama dan papa aku. Kau tau tak, cadangan dia tu semuanya tak masuk akal. Semuanya menjerut leher aku. Cadangan dia tak berpihak langsung pada aku!” Suriya melepas nada geram. Sakit hatinya hanya Allah saja yang tahu.
“Hmm… Apa cadangan kau? Takkan kau tak ada cadangan sendiri.”
“Ada. Aku cakap aku nak tinggal dengan kau. Tapi along aku awal-awal bangkang.”
“Ha… Eloklah along kau tu bangkang. Eh, aku bukan nak sebelahkan along kau. Tapi kat rumah aku tu ada abang aku. Kan tak manis kalau anak dara duduk serumah dengan anak teruna. Walaupun mak aku ada. Tambah pulak, abang aku yang nombor dua tu nak balik dalam sehari dua lagi. Lagilah tak manis kalau kau tinggal dengan aku. Sorry, aku tak boleh nak tolong.” Nini mengeluarkan hujahnya.
“Huh!” Suriya mengeluh. Dia dah buntu.
“Su, apa kata kau buat solat hajat. Minta petunjuk dari Allah. Mana tahu kau akan mendapat petunjuk dari-Nya. Seelok-eloknya solat istikharah.” Cadang Nini.
“Istikharah?” Suriya pelik.
“Hei, solat istikharah bukannya sebab kau nak tahu siapa jodoh kau semata-mata. Tapi istikharah ni jugak untuk minta petunjuk dari Allah tentang dilema kita dalam dua perkara atau lebih.” Nini membetulkan tanggapan Suriya. Cara Suriya tanya tu pun dia dah dapat agak.
“Eh, aku kena gerak dulu ni. Matilah aku kalau bos aku tahu aku ada kat sini.” Cepat-cepat Nini berkata sebelum talian terputus. Tinggallah Suriya yang masih termenung di meja kerjanya. Apabila kepalanya berserabut begini, segala kerja akan tertangguh.

Nini langsung tak membantu. Rungut Suriya di dalam hati. Tapi… Nini ada cakap pasal solat istikharah tadi. Dia pernah dengar tentang itu tapi tak pernah buat. Lantas tangannya laju menggerakkan tetikus. Ikon Google ditekan. Inilah masanya untuk dia mencari maklumat tentang solat istikharah.

Jumaat, 21 Jun 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 21

TEPAT pukul 6.30 petang, Suriya sampai di rumahnya. Dia sudah sehabis mengelak nak sampai awal kat rumah. Kalau ikut kerja yang bertimbun, sampai ke pagi esok pun memang kerja-kerja tu takkan siap. Masuk ke dalam rumah, bau masakan sudah menusuk masuk ke dalam hidungnya. Hidungnya sibuk sekali bekerja. Kembang kempis dia menghidu bau tersebut. Beg laptop dia letak di atas meja kopi dan kaki laju ke dapur.
“Masak apa long?” tanya Suriya.
“Mak datuk!” Rozairul melatah. “Ya Allah! Boleh tak Su tanya elok-elok. Terkejut along kena sergah macam tu.” Dia mengurut-urut dada, berdebar-debar lagi dada Rozairul.
“Orang tak sergah pun. Su tanya aje,” Suriya membela diri sendiri. Dia maju ke arah dapur. “Wah! Along masak nasi ayam ke?” Teruja sekali suara Suriya. Dah lama dia tak makan nasi ayam. Air tangan alongnya lagi. Pasti terangkat!
“Hmm… Along masak sup dulu. Awal lagi nak masak nasi ni.” Ujar Rozairul sambil kacau perlahan sup ayam di atas dapur.
“Kita ada tetamu ke?”
“Err… Hmm…” Rozairul menggumam.
“Siapa?” Kening Suriya terjongket, menanti jawapan alongnya.
“Adalah, rahsia.”
“Laa… Nak rahsia-rahsia pulak. Cakaplah along,” Suriya memujuk. Manalah tahu kalau-kalau Rozairul termakan dengan pujuk rayunya.
“Tak nak. Dah-dah. Su pergi naik atas.”
“Okeylah-okeylah, Su naik atas dulu. Nak mandi, nanti Su tolong along ya,”
Suriya menonong ke ruang tamu. Beg laptop dia capai dan berlalu naik ke atas.
Entah apalah reaksi Su nanti kalau dia tahu siapa tetamu mereka. Janganlah ada pinggan mangkuk yang melayang nanti. Mau perang besar kalau macam tu. Rozairul berdoa di dalam hati.

SET lengkap nasi ayam sudah terhidang di atas meja makan. Ada sup ayam istimewa yang ditabur daun sup dan bawang goreng. Ada ayam yang telah dipotong dan disiram dengan kicap dan sos isteimewa hasil air tangan Rozairul. Pelengkap menu mereka dengan hirisan timun, tomato dan salad. Fuh! Terangkat.
Tapi Suriya tak boleh makan lagi. Perutnya sudah berkeroncong tanda perutnya tersangatlah lapar. Rozairul yang mengeluarkan arahan yang dia tak boleh makan lagi. Perlu menunggu tetamu katanya. Bila ditanya siapa tetamu itu, Rozairul cakap rahsia. Macam ada benda yang sedang disorokkan dari pengetahuan Suriya.
“Along, lambat lagi ke dapat makan ni?” Suriya bertanya sambil tongkat pipi dengan tangan. Matanya tak sudah-sudah merenung jam di dinding yang menghadap ruang makan. Sudah pukul 8.15 malam.
“Sekejap aje lagi. Nanti sampailah tetamu tu, bawa berbanyak sabar Su.” Rozairul cuba menyabarkan adiknya.
“Assalamualaikum,” serentak dengan itu kedengaran orang memberi salam dari luar rumah mereka. Rozairul pantas angkat punggung dan berlalu ke pintu utama.
“Lelaki ke tetamu along ni?” Suriya tertanya-tanya sendiri. Nasib baik dia sudah siap sedia dengan tudung di kepala. Duduknya masih statik di meja makan.
“Sila masuk, Amsyar.” Rozairul mempersilakan si tetamu masuk ke dalam rumah. “Kita terus ke meja makanlah. Memang jemputan hari ini untuk dinner,” sambung Rozairul lagi.
Iddin menurut kata-kata Rozairul. Dia melangkah masuk ke ruang makan. Matanya bertembung pandang dengan susuk tubuh yang sedang menunduk. Tiba-tiba kepala perempuan itu terangkat. Mata mereka bertembung.
What?! Dia! Tempik Suriya di dalam hati. Tanpa menunggu lama, Suriya tolak kerusi ke belakang dan bangun. Jelas bunyi kuat saat kaki kerusi berlaga dengan lantai. Panjang langkahnya menghala ke tangga. Nampak saja muka mamat tu, perutnya terasa kenyang tiba-tiba. Dah tak berselera dengan nasi ayam tu. Tapi belum pun dia memijak anak tangga pertama, terasa lengannya ditarik.
“Su, sit down. We need to talk.” Rozairul mengarah.
I agree with you. Yeah! We need to talk. But without him!” Jelas nada marah pada ayat Suriya.
Why? Sampai bila Su nak mengelak?”
“Su tak mengelak. Su tak nak jumpa dia!” Lurus jari telunjuk Suriya terarah kepada Iddin.
Tak nak jumpa aku dengan mengelak tu kan benda yang sama? Hati Iddin menyoal. Dia yang berdiri di tepi meja makan bertindak sebagai penonton tak berbayar. Macam pengadil pertandingan gusti pun ya jugak.
No! Along nak kita selesaikan perkara ni malam ni jugak. Along tak nak ada perkara berbangkit nanti.” Tegas arahan yang Rozairul keluarkan.
“Tak ada apa yang perlu diselesaikan along dan takkan ada perkara berbangkit. Masalahnya sekarang along dan dia. Along yang keluarkan cadangan gila tu, so along sendiri yang kena settlekan masalah ni. Su tak nak masuk campur!” Sama naik Suriya melawan. Sudah nama pun Suriya ni anak bongsu dan degil!
No! You sit down here!” Rozairul menengking. Kesabarannya ada had jugak.
Terhinjut bahu Suriya kerana terkejut. Lambat-lambat dia patuh akan arahan Rozairul. Jarang sekali Rozairul bersikap begitu. Apabila suaranya meninggi begitu maknanya dia sedang marah.
“Kau pun duduk,” Rozairul mengarah Iddin pula. Lelaki itu patuh tanpa banyak soal. Sudah adab dia sebagai tetamu. Takkan nak melawan tuan rumah pula.
Suriya memuncung. Apabila dipaksa memang dia akan begini, muncung tak tinggal punya. Kalah muncung itik!

“NO!” Kuat suara Suriya membangkang. Bergegar meja itu apabila dia tumbuk. Suasana tegang di ruang makan itu.
“Semua no, habis apa yang yes nya?” Garang Rozairul menyoal. Sungguh, dia hilang sabar dengan kerenah adiknya malam ni. Semua cadangan yang dia kemukakan ditolak mentah-mentah.
“Cadangan along semuanya menjerut leher Su, macam mana Su nak jawab yes!” balas Suriya.
Iddin yang hanya memandang tanpa mencelah, terus menjadi pemerhati. Kepalanya sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Sekejap dia pandang muka Rozairul. Sekejap dia pandang muka Suriya. Nasib tak pening kepalanya kerana asyik berpusing aje.
Last choice. Sama ada Su dengan Iddin bertunang atau terus kahwin. Atau pun Su balik duduk dengan mama dan papa di Terengganu. Full stop!”
No!”
Yes!”
“Eh, sabar, sabar. Bawa bertenang. Jangan gaduh-gaduh.” Iddin cuba mententeramkan dua beradik yang hampir-hampir mencakar muka masing-masing. Suriya dan Rozairul pandang muka Iddin serentak. Suriya dengan muka garangnya. Rozairul dengan muka terpinga-pinga. “Err…” Iddin tak tahu nak kata apa.
“Huh!” Dengus Suriya. “Apa bezanya Su nikah atau pun bertunang dengan dia? Sama aje! Pokok pangkalnya Su tetap kena bersama dengan dia. Itu yang along nak kan? So selfish!” Suriya membentak.
Laju kakinya mendaki anak tangga. Rozairul dan Iddin hanya mampu memandang telatah Suriya. Tak ubah seperti kanak-kanak Ribena!
Sorry pasal tadi tu,” Rozairul baru tersedar akan keterlanjurannya. Tak malu betul mereka dua beradik bergaduh depan orang asing.
It’s okey.”
“Kau dah dengarkan perbualan kami tadi? Sorry, aku bukan sengaja nak heret kau masuk ke dalam masalah ni tapi aku bimbang nak tinggalkan Su sorang-sorang kat sini. Bagi aku, ini sajalah peluang untuk aku melebarkan sayap. Ni bukan kali pertama aku dapat tawaran ke sana. Sudah dua kali aku tolak. Kali ni aku rasa nak terima tawaran ni.” Rozairul hela nafas berat. Baru dia terasa. Alangkah teruknya dia kerana telah melibatkan Iddin dalam masalah ni. Sudahlah dia tak terangkan langsung bangun duduk perkara ini terlebih dahulu kepada Iddin.
“Aku sebenarnya bersungguh dengan cadangan aku tadi tu,” tutur Rozairul selepas berdiam diri seketika.
“Err… Cadangan yang mana?” Iddin menyoal. Kepala dia dah serabut semacam. Tulah, asyik sangat tengok orang bergaduh. Akhirnya dengan dia sekali berserabut.
“Cadangan aku nak jodohkan kau dengan Su. Aku tak paksa. Tapi kau fikir dulu. Seboleh mungkin aku nak jawapan positif dari kau. Aku bukan apa. Aku ni jenis yang susah nak percayakan orang. Tapi sekali aku dah percaya, maknanya aku nak orang tu jugak.” Terang Rozairul. Bimbang juga jika Iddin fikir yang bukan-bukan.
“Insya-Allah. Aku akan fikirkan cadangan kau tu. Err… Aku kena gerak dulu ni. Dah lewat sangat ni,”
Iddin pandang jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir pukul 12.00 tengah malam. Agak lama dia berkampung di rumah itu. Sampai sempat menjamu mata dengan perbualan yang hampir-hampir membawa kepada pergaduhan. Malam ini, baru dia nampak bagaimana seorang perempuan yang dia puja, naik angin. Selama ni tak pernah pun dia nampak Anggerik yang begitu.
“Okey. Aku minta maaf sekali lagi pasal kami dua beradik tadi tu.”
“Tak apa, tak apa.” Pertama kali dia lihat Rozairul dan Suriya perang besar. Mereka dah biasa berperang ke? Timbul soalan itu dibenaknya.
Rozairul angkat tangan, membalas bunyi hon dari kereta Iddin. Sebaik saja kereta itu berlalu keluar dari halaman rumah, pantas dia menarik pintu pagar dan dikunci. Matanya memandang ke tingkat atas. Cahaya terang terbias dari tingkat atas. Su, Su. Along dah agak, begini penerimaan Su. Kata hatinya sebelum dia menapak masuk ke dalam rumah.

ARGH!” Suriya menjerit.
Habis alat solek di atas meja dia humban ke tepi. Dia pandang wajahnya pada cermin. Keadaan mukanya tika itu? Jangan cakaplah. Berserabut semacam! Badan dia lontarkan ke atas katil. Tangan menggagau bantal dan sebaik jumpa, dia ramas bantal itu. Bagai sedang melepas geram di hati ke atas bantal itu. Tanpa disedari, air mata mengalir lesu menuruni pipinya.
Setiap bait kata yang Rozairul muntahkan tadi masih terngiang-ngiang di tepi telinganya.

“SU, Amsyar. Tujuan along panggil Su dengan Amsyar adalah kerana ada perkara yang sangat penting along nak beritahu kau orang berdua.” Rozairul berjeda seketika. Dia cuba mengumpul semangat untuk berdepan dengan penerimaan dua insan di hadapannya kini. Penerimaan Suriya paling dia takuti.
“Apa dia?” Suriya menyoal. Matanya kekal memandang dinding. Bagi dia, dinding tu lagi handsome dari pandang mamat beku tu.
“Ini,” Rozairul keluarkan sekeping sampul surat dan dia hulur kepada Suriya.
Laju tangan Suriya menyambar sampul surat itu dari tangan abangnya. PT. MERPATI NUSANTARA AIRLINES. Sebaris nama itu tertulis di sampul surat. Suriya dah rasa semacam semasa baca nama syarikat penerbangan yang sangat terkenal di Indonesia itu. Perlahan-lahan dia tarik isi sampul surat itu. Dan akhirnya terpampang isi surat di depan mata. Satu per satu patah perkataan yang tertera di dada surat dia baca. Kepala didongakkan kembali, mencari sepasang mata milik Rozairul.
So?” Kening Suriya terjongket.
“Along rasa along nak terima tawaran tu. Tapi…” Panjang Rozairul menarik perkataan tapi itu.
“Tapi?”
“Tapi along bimbang nak tinggalkan Su sorang-sorang kat sini,” Rozairul meluahkan rasa bimbangnya.
“Tapi selama ni along tinggalkan Su sorang-sorang okey aje. Kenapa pulak hari ni jadi isu besar pulak?”
“Selama ni along tinggal Su sekejap aje. Tiga empat hari kerja dah balik sini. Paling lama pun seminggu. Tapi kali ni, along kena tinggal kat sana. Mungkin dua bulan sekali baru along balik ke sini.” Terang Rozairul.
“Jadi?”
“Jadi, along nak jodohkan Su dengan Amsyar. Supaya bila along tak ada kat sini, Su ada penjaga. Taklah along risau.” Selamba Rozairul bertutur. Iddin angkat kepala. Matanya turut sama bertentang dengan Rozairul.
What?! No!” Kuat Suriya membangkang.
Why?”
“Apa hal pulak Su kena kahwin dengan dia? Macam dah tak ada lelaki lain dalam dunia ni!” Bengang aje suara Suriya.
“Okey, okey. Kalau Su tak nak kahwin, along ada cadangan lain.” Kata Rozairul.
“Apa dia?”
“Su kena balik tinggal dengan mama dan papa,” cadang Rozairul.
“Lagilah Su tak setuju!”
“Habis tu, apa cadangan Su?”
“Su boleh tinggal dengan Nini,” Suriya mencadangkan. Memang itu yang dia fikirkan sejak dulu lagi. Selepas Rozairul pernah tak mahu lepaskan dia kerja di luar kawasan Kajang ni.
“Tak boleh!”
“Kenapa pulak?” tak puas hati aje nada Suriya.
“Sebab kat rumah Nini ada lelaki. Tu abang Nini tu. Mana boleh Su tinggal kat situ. Nanti apa pulak kata orang sekeliling. Tak pasal-pasal kena tangkap basah! Tak boleh, tak boleh.” Bantah Rozairul. Dia sudah berfikir lebih dulu dari adiknya.
Kena tangkap basah? Sampai ke situ along fikir? Suriya terkejut. Jauh begitu Rozairul berfikir. Dia diam. Dia kematian kata. Fikirannya langsung tak dapat fikir apa-apa. Dia buntu.
“Hah, kenapa diam? Along bagi dua pilihan tu aje. Su kena pilih. Keputusan along muktamad!”
No!” bentak Suriya.

BUNYI lagu Sayang nyanyian Shae mengejutkan Suriya. Habis terbang semua angannya. Dia kalih kepala ke kiri. Dia hanya pandang telefon bimbitnya hingga telefon itu senyap sendiri. Hati tak terasa langsung nak angkat panggilan tersebut. Dia tak ada mood nak bercakap dengan orang.
Akhirnya kerana kepenatan dia tertidur hingga ke pagi.


Ahad, 16 Jun 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 20

SURIYA bersiap-siap mahu ke pejabat. Sudah empat hari pejabat itu dia tinggalkan. Sakit kaki je, tapi dapat MC sampai empat hari. Entah apalah rakan sekerja kat pejabat cop dia nanti. Melangkah ke dapur, dia terpandangkan memo yang ditampal pada peti sejuk. Memo itu dia capai dan baca.

Assalamualaikum Su. Pagi ni along tak ada. Along terbang ke Abu Dhabi. Tapi balik nanti along nak jumpa Su. Perkara ni takkan selesai selagi Su mengelak dari bercakap dengan along. Jaga diri.

Suriya mengeluh. Kertas di tangan dia gumpal dan campak masuk ke dalam tong sampah. Memang masalah takkan selesai kalau dia bersikap begini. Tapi dia tak sanggup nak berdepan dengan semua ni. Tambah lagi apabila melibatkan sebaris nama milik Iddin Amsyar Ikmal. Dia tak sanggup!
Pin… Pin… Pin…
Bunyi hon kereta mengejutkan Suriya. Eh, mengelamun panjang pulak aku ni sampai tak sedar Pak Mail dah sampai depan rumah. Kelam-kabut dia keluar dari rumah. Setelah dipastikan semua pintu berkunci, cepat-cepat dia masuk ke dalam perut teksi Pak Mail.
“Maaf Pak Mail, saya lambat sikit,” pohon Suriya.
“Tak apa,”
Teksi bergerak meninggalkan rumah itu.

MELANGKAH masuk ke dalam pejabat, suasana dalam pejabat masih suram dan sunyi. Hanya beberapa biji lampu saja yang terpasang. Biasanya pagi-pagi macam ni, dia akan mendengar suara Noraini. Suara pertama yang akan menyambutnya. Tapi pagi tu, tiada suara Noraini. Tambah lagi selepas dia cuti panjang macam sekarang. Mesti ada punya perkataan rindu yang keluar dari ulas bibir Noraini.
“Bad, Kak Ani tak sampai lagi ke?” Suriya pantas bertanya pada Badrul sejurus ternampak batang tubuh Badrul.
“Eh, Su dah masuk kerja ke?” Suriya anggukkan kepala dan senyum dengan pertanyaan Badrul. “Kak Ani cutilah Su. Anak dia demam,” maklum Badrul.
“Oo… Berapa hari Kak Ani cuti?”
“Dua hari. Hari ni dan esok,”
“Okey, terima kasih Bad.”
“Sama-sama.” Mereka berbalas senyum sebelum Badrul berlalu ke mejanya.
Suriya termenung seketika sebelum menekan butang on pada PC. Semestinya kerjanya bertimbun-timbun selepas habis cuti. Sah-sah kena stay back lagi. Huwaaa… Terasa nak menangis!
Ah, buat air dululah. Sebelum mula kerja, kita minum dulu. Sorak hati Suriya. Dia angkat punggung dan berlalu ke pantri. Buat air segera sudah. Koyakkan mulut plastik, masukkan ke dalam muk. Tuang air panas, kacau-kacau. Dah siap! Sedia untuk diminum!
“Su, Encik Iddin nak jumpa.”
Suriya baru aje nak duduk di atas kerusinya, Badrul tiba-tiba mengeluarkan arahan.
“Nak apa?” Suriya bertanya tapi matanya sudah sampai di pintu bilik Iddin. Ditenung pintu itu bagai mahu tembus.
“Entah. Dia dah tunggu dalam bilik dia,” ujar Badrul lagi.
Malas banyak cakap, Suriya terus ke bilik Iddin. Pintu di ketuk dari luar. Selepas mendengar laungan ‘masuk’, dia pulas tombol pintu dan tolak pintu itu perlahan-lahan.
Yes, Encik Iddin Amsyar?” tanpa nada Suriya menyoal. Wajah yang dia tak nak pandang, akhirnya terpaksa pandang jugak. Kat pejabat kenalah professional. Hal peribadi tolak ke tepi dahulu. Yang penting kena jaga periuk nasi sendiri. Kalau kena buang kerja, kat manalah dia nak mengadu nasib. Sudahlah kerja susah nak dapat sekarang ni.
Iddin diam tak berkutik. Matanya tak beralih langsung dari pandang fail di tangan. Heh, kalau panggil aku setakat nak suruh jadi patung cendana kat sini baik tak payah! Kerja aku banyak lagi kat luar tu. Protes Suriya di dalam hati.
Iddin capai muk di hujung mejanya dan dia tolak muk itu ke arah Suriya. Mukanya masih tak bereaksi seperti tadi. Suriya jongket kening. Ni apasal pulak tolak muk kat aku ni? Demam ke apa? Sekali lagi hati kecil Suriya berbisik.
“Buatkan air untuk saya,” mendatar suara itu. Dia faham maksud kening Suriya yang terjongket itu.
What? Buat air? Dia panggil aku masuk bilik dia pagi ni hanya nak suruh aku buat air??! What the… Suriya betul-betul bengang. Dia rasa seperti dipermainkan. Laju dia sambar muk itu dan berlalu keluar dari bilik itu. Apabila hati bengang, malas dia nak tanya lagi bosnya perlukan apa lagi. Ah!
Iddin senyum sambil pandang kelibat Suriya yang sudah melangkah keluar dari biliknya. Dia tahu wanita pujaan hatinya sedang bengang. Sengaja dia nak uji Suriya.
“Comel!” spontan mulutnya menyebut. Senyuman menghiasi bibirnya.

“BOS nak apa?” Ketika melintasi meja encik setiausaha Iddin, Badrul menyoal Suriya.
Malas bercakap banyak, Suriya tunjuk muk di tangan.
“Dia suruh buat air?”
“Hmm…”
“Macam-macamlah Encik Iddin ni. Dahlah, baik Su cepat-cepat buat air dia.” Suruh Badrul sambil senyum.
Tanpa cakap banyak, Suriya berlalu ke pantri. Di matanya senyuman Badrul seperti mengejeknya. Sebab Encik Iddin sorang, habis orang dia nak marah. Adoi! Suriya, Suriya.
“Kau nak sangat air ye. Hmm… Meh Cik Suriya Anggerik buatkan. Yang pasti inilah air yang paling sedap di alam semesta ini!” Kata Suriya pada diri sendiri. Niat jahat sudah datang.
Dia capai botol Nescafe. Dua sudu besar serbuk Nescafe dia masukkan ke dalam muk. Cukup ke tak ni? Rasa macam tak cukup aje. Lalu dia tambahkan sesudu besar lagi Nescafe. Dia pandang botol gula. Ah, tak payahlah. Kita kan nak buat rancangan jahat. Kalau masuk gula, dah tak jahat namanya. Suriya menyelongkar isi kabinet. Dia terjumpa sepaket kecil berisi serbuk putih. Dia bawa sedikit serbuk putih itu ke lidah.
“Masin.” Gumamnya perlahan.
Lantas serbuk itu dia tuang masuk ke dalam muk. Air panas dituang ke dalam muk. Air dikacau-kacau. Aroma Nescafe menusuk ke dalam hidung. Harum! Sah-sah lepas ni dia berulang-alik ke tandas aje. Hahaha… Suriya ketawa jahat.
“Air, encik.” Ujar Suriya sambil tolak muk ke arah Iddin. Dia senyum. Senyum penuh makna!
“Terima kasih. Dah tak ada apa-apa,” balas Iddin. Dia pandang muk itu sekilas.
“Okey, saya keluar dulu.” Suriya pusingkan tubuh dan mula melangkah.
“Err… Kaki awak dah okey?” soal Iddin. Sebenarnya soalan itu yang dia nak tanya sejak tadi. Sengaja dia pusing-pusing hingga suruh Suriya buat air untuknya.
Suriya pusingkan sedikit badan. Tangan sudah mendarat di tombol pintu.
“Dah okey,”
“Hmm…”
Suriya keluar dari bilik bosnya. Sejurus pintu tertutup, dia ketawa. Ambik kau! Rasakan! Air yang aku buat memang sedap! Tersangat sedap! Jerit Suriya di dalam hati.
“Amboi, senang hati nampak.” Tegur Badrul. Ketawa Suriya mati mendadak. Pantas kepalanya memandang Badrul. Terlupa pulak yang dia ketika itu masih lagi berdiri di depan pintu bilik bos besar. Dekat sangat dengan meja Badrul.
“Err… Tak ada apa-apa.” Suriya pantas melangkah ke mejanya. Hisy! Macam mana entah boleh terlepas ketawa kat situ. Tak pasal-pasal malu sendiri.

SEMENTARA itu, di dalam bilik bos besar.
Iddin ke tepikan fail yang tadinya hampir-hampir menutup muka. Alah, lakonan aje tadi tu. Saja dia nak tengok reaksi wanita pujaan hatinya. Muk yang masih berasap itu dia tarik rapat ke depannya. Aroma Nescafe menusuk rongga hidung. Bau macam sedap aje ni, desis hatinya. Lantas air di dalam muk dia kacau perlahan. Setelah berpuas hati, dia bawa muk ke bibir. Tegukkan pertama masuk ke dalam mulut dan…
Puiiii! Hak tui…!”
Belum pun sempat air menuruni rengkung, ia keluar kembali. Ya Allah! Pahit dan masin! Berapa tan Nescafe dia letak ni? Gula dah habis ke sampai guna garam untuk buat air? Muk dia tolak menjauh. Anggerik, Anggerik. Main kasar nampak! Iddin gelengkan kepala dan senyum kemudiannya. Anggerik, nampak saja menurut arahan tapi ada muslihat di balik semua ni. Terkena aku!

PUKUL 11.00 malam barulah Suriya sampai di rumah. Nak buat macam mana. Kerja sentiasa banyak. Sampaikan nak rehat pun tak sempat. Letih, letih, letih sangat-sangat! Selepas dipastikan pintu pagar sudah berkunci, dia melangkah longlai ke pintu utama. Sudah empat hari Rozairul bertugas di awan biru. Kadang rindu juga mahu mendengar celoteh Rozairul.
Melintasi ruang tamu, biasalah ruang dalam rumah memang gelap sebab lampu memang tak terpasang. Sudah nama pun dia tinggal seorang. Suriya terus melangkah ke tangga berpandukan biasan cahaya lampu jalan. Di dalam kepalanya kini hanya terbayangkan tilam dan bantal yang empuk. Dah tak sabar nak berbaring dan dibuai mimpi. Mata pun dah layu sangat.
“Lambat balik Su,”
Langkah kaki Suriya mati. Terkejut punya pasal. Suara siapa yang menegur tadi tu? Atau hanya khayalan aku saja? Hatinya tertanya-tanya. Ah, mainan perasaan aku saja kut. Lalu dia mendaki anak tangga.
“Su,”
Baru dua anak tangga dia daki, suara itu memanggil lagi. Ya Allah, suara siapa tu? Suriya diselubungi rasa seriau. Sedikit-sedikit rasa takut mula menyelubungi hati. Sejak bila rumah ni ada penunggu? Sebelum-sebelum ni tak ada pun. Jari-jemari Suriya menggigil perlahan. Lampu tiba-tiba terpasang.
“Hei, kenapa ni? Ini alonglah, bukan hantu.” Suara itu menegurnya.
Suriya pusing tubuh ke kiri. Batang tubuh Rozairul betul-betul berdiri di sebelahnya.
“Ya Allah, kenapalah along duduk dalam gelap. Kus semangat!” Akhirnya keluar jugak suara Suriya. Masih kedengaran getaran di dalam suara itu.
“Along duduk kat sofa tu tadi. Along tunggu Su balik. Sorry kalau along terkejutkan Su,” terang Rozairul.
“Hmm… Bila along sampai?”
“Tengah hari tadi,”
“Oh,”
“Su, along ada hal nak bincang dengan Su. Bukan hari ni, tapi malam esok. Su balik lewat jugak ke malam esok?”
“Hmm… Kerja banyak.”
“Kalau boleh along nak Su balik awal. Kita dinner sama-sama kat rumah. Dah lamakan kita tak makan sekali.”
“Insya-Allah. Tapi Su tak janji. Su naik dulu,”
“Okey,”
Rozairul hanya memandang belakang tubuh adiknya yang kembali menyambung langkah, mendaki anak tangga ke bilik. Punggung dilabuhkan kembali di atas sofa. iPhone dikeluarkan dari poket seluar. Dan sekeping kad juga dikeluarkan dari celah dompet. Ibu jari laju dilarikan di atas skrin telefon, menyalin kembali nombor telefon yang tertulis di atas kertas itu. Telefon pintar itu dibawa ke telinga.
“Helo,” suara di hujung talian menampar telinga Rozairul.
“Assalamualaikum, Amsyar.” Rozairul hulur salam.
“Wa’alaikumussalam. Err… Siapa ni?” Iddin menyoal. Pelik juga apabila naik nombor tak dikenali diskrin telefonnya.
“Aku ni, Azwan, abang kepada Suriya Anggerik.” Rozairul perkenalkan diri.
“Oh, ehem. Err… ada apa ye kau call aku? Bunyi macam penting,” Iddin ubah posisi duduknya. Jika tadi dia duduk santai sambil menyandar pada kepala katil. Tapi sekarang dia duduk bersila. Mata yang tadi laju tiba-tiba aje segar bugar.
“Malam esok kau free tak?”
“Malam esok? Insya-Allah free.” Selepas berfikir sejenak, Iddin menjawab soalan Rozairul.
“Hmm… Aku nak jemput kau ke rumah aku malam esok. Boleh kita dinner sekali.” Beritahu Rozairul.
Orait, set. Insya-Allah aku ke rumah kau malam esok.” Iddin bersetuju.
“Jumpa kau esok,”
Selepas berbalas salam, perbualan antara mereka terputus. Rozairul pandang ke skrin TV bagai mahu tembus TV itu. Matanya langsung tak mengantuk kerana siang tadi, sejurus sampai di rumah, dia sudah tidur. Lama dia tidur.
Sekeping kertas bersama sampul surat yang tersadai elok di atas meja kopi dia panjang lama. lambat-lambat dia capai kertas itu. Isi dalamnya dia baca lagi. Entah yang ke berapa kali dia baca pun sudah tak terkira.
“Haih, macam manalah nak terangkan kat Su nanti ni?” Rozairul mengeluh. Dalam kepalanya sudah dapat mengagak akan reaksi adiknya nanti. Mesti mengamuk sakan.


Ahad, 9 Jun 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 19

**salam pagi ahad.. pada semua yg menunggu n3 ini, maaf ye kerana lama berehat.. sejak 2 minggu lepas sy tersangat sibuk.. hari ni barulah mula lapang sedikit.. SCA bab 19 dah ada.. jemput baca n komen.. tq.. ^_^

“NINI!” Tempik Suriya di tepi telefonnya.
Oit! Apa ni? Nak suruh telinga aku pekak ke apa?” Marah Nini. Kawan dia ni bukan dia tak kenal. Asyik nak meroyan aje memanjang.
“Ni, aku ada masalah.” Luah Suriya. Marah Nini langsung dia tak hiraukan.
“Asal ada masalah aje datang jumpa aku. Asal ada masalah, kau telefon aku. Apa muka aku ni ada cop tukang penyelesai masalah? Ke aku ni kaunselor tak bergaji kau?” Ha… Tu dia. Apabila Nini dah buka mulut, sila jangan terasa hati. Minah ni memang suka cakap lepas.
“Bukanlah macam tu. Aku sedih ni, Nini.”
Sedih pulak? Bunyi macam serius aje. Niat Nini cuma mahu mengusik Suriya tapi sekali kawannya itu buat suara sedih. Gabra jugak dia.
“Jom jumpa, senang kau nak cerita kat aku.” Cadang Nini.
“Kat mana?”
“Mana-mana aje,”
“Okey, aku siap-siap kejap. Nanti aku SMS kat kau tempat kita jumpa.” Putus Suriya. Perbualan antara mereka terputus. Suriya berjalan ke almari baju.
Selepas lengkap mengenakan pakaian, Suriya berlalu turun ke tingkat bawah. Dia bertembung pandang dengan Rozairul. Sehabis dia nak mengelak, akhirnya bertembung jugak.
“Su, nak ke mana ni? Kaki dah baik ke?” Rozairul menyoal. Sungguh perihatin dia bertanya.
Namun si adik mengambil langkah untuk berdiam diri. Rasa marahnya masih belum surut. Biarlah orang nak cakap apa pun. Bukan mereka yang tanggung tapi dia yang tanggung semua ni. Dia yang rasa sakit itu.
Suriya menonong ke pintu utama. Sandal dikeluarkan dari almari kasut. Matanya memandang ke arah pintu pagar. Teksi milik Pak Mail sudah tersadai di luar pagar. Sedang elok dengan waktu yang dijanjikan.
“Su,” panggil Rozairul.
Suriya melangkah merapati pintu pagar. Panggilan alongnya sikit pun dia tak endahkan. Ah, biarlah. Rozairul hanya mampu pandang kelibat adiknya yang menghilang ke dalam perut teksi. Dia melepas keluhan berat. Sudah dua hari Suriya mogok suara dengannya. Diajak makan tapi adiknya tetap mengeraskan diri. Langsung tak keluar dari bilik.

Jumpa aku di taman, tempat biasa kita lepak.

Butang send ditekan. Suriya menyandarkan badan pada kusyen teksi. Matanya memandang ke luar cermin teksi. Kepala pula sudah terbang melayang-layang.

WHAT?! Jadinya rancangan yang keluar dari mulut gatal aku dulu tu akhirnya menjadi kenyataan, itu maksud kau?” Seakan mahu bertempik suara Nini. Terkejut punya pasal. Nasib baik mereka berada di taman yang terbuka luas. Kalau berada di restoran, sah-sah kena jelingan maut dari pengunjung restoran.
“Aku taklah cakap sama seratus peratus. Tapi ni semua kebetulan. Kadang aku terfikir, kebetulan yang dirancang.” Ujar Suriya.
“Kebetulan yang dirancang? Siapa yang rancang?”
“Yalah, seperti dirancang walaupun tak seratus peratus sama. Dulu kau cadangkan aku supaya pikat bos aku tu. Tapi aku tolak sebab aku tau dia gay. Tup-tup, along aku tiba-tiba aje bagi tawaran kat bos aku supaya kahwin dengan aku. Bos aku pulak setuju. Apa semua ni?” Suriya melepaskan rasa yang menyesakkan kepalanya.
“Habis, apa keputusan kau?” Nini menyoal lagi.
“Huh!” Suriya mengeluh. Susah untuk dia menjawab soalan Nini itu. Dia pandang Nini yang setia menunggu jawapan dari ulas bibirnya. “Kalau ikut hati aku, aku tolak cadangan bodoh tu,” tutur Suriya mendatar.
“Kau nak tolak? Weh! Ruginya!” Spontan reaksi Nini.
“Rugi? Kenapa aku nak rugi pulak?” Dahi Suriya berkerut. Kening juga turut terjongket.
“Ya Allah, kenapalah slow sangat kawan aku ni? Kau tau tak betapa kayanya bos kau tu? Kau ni betul-betul tolak tuah!” rungut Nini.
“Hei, kebahagian bukan terletak pada kaya atau miskin seseorang tu. Wang ringgit tak boleh beli kebahagian. Kau ni, asyik pandang harta benda aje. Cuba kau ubah mindset kau tu. Kalau semua orang pegang prinsip macam kau, habislah orang-orang miskin tak berkeluarga.” Bidas Suriya.
“Ya, ya aku tau. Tapi kekayaan tu adalah bonus untuk kita. Kalau asyik harapkan cinta aje, tapi dalam poket kering, tak guna jugak. Cuba kau fikir, kalau kau kahwin dengan dia, semua dah ada. Aku confirm, kau cuci kaki aje masuk rumah dia. Tak payah nak susah-susah lagi. Mesti kat rumah tu ada dua tiga orang gaji. Fuh! Kerja kau relax aje. Kalau kau tak nak, aku nak!” Terkeluar sudah aura miang dan gatal Nini.
“Ambiklah kalau kau nak, aku sikit pun tak hingin!”
“Amboi, senangnya kau pass dia kat aku. Macam pass barang aje,” komen Nini. Dia sandarkan badan pada belakang bangku. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar pipi. Nyamannya!
“Habis, kau cakap nak, aku pass ajelah kat kau. Tak payah aku pening-pening fikir lagi.”
“Masalahnya cik kak, dia tak nak kat aku. Dia nak kat kau. Yang tukang plan pulak bukannya along aku tapi along kau. Apa da…”
Mereka diam. Sama-sama melayan perasaan sendiri. Mata Suriya ralit sekali memandang sepasang suami isteri yang sedang melayan anak mereka bermain di taman itu. Terasa sekali bahagia di sekeliling mereka. Adakah aku juga begitu nanti? Jika betul, alangkah indahnya. Tapi jika nasib aku seperti ibu bagaimana pula? Ibu! Sudah 20 tahun dia hilangkan perkataan ibu dari hidupnya. Gelaran yang buat dia kecewa dan buat air matanya menitis tanpa henti.
“Eh, kenapa dengan kaki kau tu?” Nini baru perasankan kaki kanan Suriya yang berbalut.
“Tertusuk kaca malam tu.”
“Ya Allah, sampai begitu sekali?” Nini tak sangka sebabkan peristiwa malam tu akan mendatangkan kecederaan kepada Suriya.
“Hmm…”
“Teruk tak?” Penuh risau Nini bertanya. Kalau bab lain boleh aje dia gurau-gurau. Tapi bab ni, memang tak boleh main-main. Kawan sakit takkan nak main-main pulak.
“Taklah, sikit je ni,”
Mereka diam lagi. Suriya melayan perasaan sendiri. Nini pula hanya mengikut telatah Suriya. Dia kehabisan modal nak bersembang.
“Nini.” Panggil Suriya tiba-tiba.
“Hmm…”
“Kalau kau di tempat aku, apa yang kau akan buat?” Serius, Suriya dah buntu. Kepalanya semakin lama semakin memberat. Dia dah puas fikir.
“Sebelum aku jawab soalan kau, aku nak tanya kau sikit. Boleh kan?” Nini ubah posisi duduknya. Dia menghadap Suriya. Wajah temannya itu dia pandang.
“Apa dia?”
“Kau rasa along kau serius ke dengan kata-kata dia?”
“Nini, kalau tak serius, takkan dia terus tanya bos aku. Dengan aku langsung dia tak bincang.”
“Tapi, mesti dia ada rancangan terbaik untuk adik dia, sebab tu dia buat macam tu. Siapa tahu kan,”
“Rancangan apanya Nini. Dia tu macam dah tak sabar-sabar nak lepaskan tanggungjawab dia kat aku. Nampak sangat aku ni membebankan dia,” rungut Suriya.
“Kau tahu tak, menjaga anak dara seorang lebih susah dari menjaga lembu sekandang.”
“Hei, aku bukan lembu, aku manusia okey!” Pintas Suriya mendadak.
“Aku tak cakap pun kau lembu, cerdik! Yang aku cakap tu perumpamaan orang dulu-dulu. Apalah kau ni!” Orang tak cakap habis lagi, dah sibuk nak sampuk. “Kau sedar tak, selagi kau tak kahwin, selagi tulah dia akan susah hati. Tanggungjawab seorang lelaki ke atas saudara perempuannya sangat berat kau tau. Mungkin sebab tu dia nak kau kahwin. Apabila kau kahwin, kau dah ada penjaga baru. Tak payahlah dia duk pening-pening fikirkan kau. Susah hati sebab kau. Ada faham?” Terang Nini.
“Tapi…”
Haip! Aku tak habis cakap lagi. Tak payah nak bertapi-tapi sangatlah. Pada aku, baik kau ikut saja cadangan along kau. Senang!”
Senang kau cakap? Huh! Makin menyusahkan adalah! Protes Suriya di dalam hati.
“Senang amendanya? Makin menyusahkan adalah. Bukan kau tak tahu calon pilihan along aku tu gay. Aku ulang, GAY!” sedikit tinggi suara Suriya.
Haip! Apa kes duk tempik gay kuat-kuat. Aku duduk sebelah kau aje ni pun. Aku tak pekak lagi. Tu ha… Tak pasal-pasal orang sibuk pandang kau. Malulah sikit!” Marah Nini. Nak marah pun beragaklah. Dahlah gelaran gay tu sensetif di kalangan masyarakat Islam.
Suriya pandang kiri dan kanannya. Ada beberapa pasang mata memandang ke arah mereka. Ada yang berbisik-bisik lagi. Tiba-tiba dia diserang rasa malu. Tau pun malu!
“Aku tak naklah kahwin dengan gay!” ujar Suriya. Ton suaranya kembali kepada asal.
“Kau cakap dia gay, kau pernah ke nampak dia buat apa yang pasangan gay buat? Kau pernah ke nampak dia berkepit dengan lelaki? Pernah ke kau nampak dia cium lelaki? Atau dia raba-raba lelaki? Pernah ke?” Keluar sudah soalan gila-gila dari mulut Nini.
Aiyark! Apa punya soalan kau ni?” reaksi spontan Suriya. Mau loya tekaknya dengan soalan Nini itu.
“Jawab dulu soalan aku!”
Suriya gelengkan kepala lambat-lambat.
“Ha! Kau sendiri tak nampak tapi sedap-sedap hati aje kau tuduh dia. Apa ni?” Meradang pulak Nini dengan sikap Suriya. Tak tahu hujung pangkal tapi main tuduh je.
“Dah heboh satu pejabat pasal dia ni gay,” kata-kata ini lebih kepada membela diri. Dia tak nak Nini anggap hanya dia yang sebar berita si bos tu gay.
“Itulah kau. Mulut orang kau dengar sangat. Tapi kau sendiri tak nampak kebenarannya. Lain kali, sebelum nak cop orang gay ke lesbian ke, kau kena tengok dengan mata kau dulu. Barulah kau boleh percaya. Barulah kau boleh canang kat orang. Ini tak. Entah-entah semua tu fitnah semata-mata.” Nasihat Nini.
Mereka diam. Betul jugak cakap Nini, hati kecil Suriya bersuara.
“Assalamualaikum,” sapaan salam itu mengejutkan Nini dan Suriya. Pantas mereka mendongak. Berubah terus air muka Suriya. Apa kes pulak mamat ni muncul kat sini?
“Wa’alaikumussalam,” balas Nini. Manakala Suriya hanya jawab di dalam hati.
“Saya Iddin, bos Anggerik.” Iddin perkenalkan diri sendiri. Nampak Suriya macam tak nak perkenalkan langsung siapa dia kepada kawan di sebelah, dia pun perkenalkan diri. Nini anggukkan kepala sambil senyum mesra.
“Saya Nini, kawan baik Anggerik Jadi, inilah bos Anggerik?” Sengaja Nini tekankan nama kedua Suriya itu. Amboi, siap ada nama istimewa lagi. Bukan dia tak tahu, Suriya tu paling tak suka kalau orang panggil dia Anggerik. Dia tak suka!
“Ya, saya. Anggerik ada cerita apa-apa pasal saya ke?”
“Oh, itu sudah semestinya. Dia selalulah cerita tentang bosnya yang kacak, yang baik hati, yang jadi rebutan para wanita dan semuanyalah. Jangan risau, semuanya cerita yang baik-baik saja. Tak sangka pulak hari ni saya bertuah dapat jumpa encik di sini,” ujar Nini. Macam sengaja mahu menjolok sarang tebuan. Suriya di sebelah tak habis-habis jengilkan mata.
“Oo… Malu pulak saya.” Iddin senyum. Dia jeling Suriya.
“Lupa pulak nak tanya. Encik buat apa kat sini?” Nini semakin rancak mengajak Iddin berbual.
“Saja ambil angin petang. Duduk kat rumah pun tak ada buat apa. Kalau ada isteri tu best la jugak,” balas Iddin. Sempat dia jeling Suriya di sebelah Nini. Malangnya si pujaan hati tetap mengeraskan muka. Jangan kata nak senyum, nak pandang muka dia pun tidak.
“Kalau macam tu, kahwin ajelah encik.” Sahut Nini. Suriya senggol lengan Nini. Suka-suka hati keluarkan cadangan bodoh! Gerutu Suriya.
“Siapa tak nak kahwin, Nini. Saya nak kahwin. Tapi sebelah sana pulak tak setuju. Nak buat macam mana. Takkan saya nak paksa kan. Nak kata tak berharta, insya-Allah dia tak lapar kalau kahwin dengan saya. Semuanya saya sediakan, tip-top.” Iddin bersuara lemah. Lakonan aje tu. Bagi memantapkan lagi cerita.
“Fuh! Beruntung nasib badan siapa yang dapat encik! Kalau tak ada calon tadi, dah lama saya tawarkan diri ni,” teruja dan selamba Nini membalas. Weh, dapat orang kaya, siapa tak nak! Tolak tuah siapa yang tak nak tu. Jari Suriya laju mengetip lengan Nini.
“Aduh!” Nini mengaduh.
“Eh, kenapa ni?” Iddin pelik mendengar Nini mengaduh. Tiba-tiba pulak tu.
“Tak ada apa-apa,”
“Hmm… Okeylah. Saya minta diri dulu.” Pinta Iddin sebelum berlalu. Sempat dia pandang Suriya yang masam mencuka itu.
“Apasallah kau tak cakap yang dia tu handsoooome giler! Rugi besar la siapa yang tolak dia. Kau sungguh ke tak nak? Kalau kau tak nak, aku nak!” Setelah dipastikan yang Iddin sudah jauh dari mereka, Nini terus bersuara dengan terujanya.
“Ambiklah kalau kau nak. Tak hingin aku!”
“Sungguh ni? Jangan nanti bila aku dah dapat dia, kau pulak gigit jari. Masa tu baru padan dengan muka kau.” Beria-ia Nini berkata-kata.
“Hmm…” Acuh tak acuh Suriya membalas.
“Eh, tapikan, aku rasa dia ni susah nak layan perempuan. Kecuali yang benar-benar dia suka. Macam kau. Kau sedar tak yang dia tu, suka kat kau.”
“Apa yang kau merepek ni?”
“Dari mata dia pun aku dah dapat baca. Dia memang suka kat kau. Takkanlah masa along kau tanya dia sama ada dia suka kat kau ke tak, dia senyap je. Kalau orang lain, awal-awal lagi dia dah tolak kan. Cuba kau fikir elok-elok.” Nini cuba berdiplomasi.
“Ah, malaslah aku nak fikir. Eh, jom balik. Dah petang sangat ni. Kau hantar aku ya,” Suriya memusingkan topik. Dia bangun dari bangku dan mendahului langkah Nini ke kereta.
Nini gelengkan kepala. Susah nak lembutkan hati si Suriya Anggerik ni. Hadoi! Lambat-lambat Nini mengekori langkah Suriya.