Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 26 April 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 7

Tidakku sangka tempoh tiga bulan yang diberi untuk mempersiapkan diri berlalu begitu cepat. Lagi dua minggu majlis kahwinku akan berlangsung. Terasa begitu cepat masa berlalu. Dipihakku persiapan dilakukan secara sederhana sahaja. Tetapi dengar kata dipihak lelaki, majlisnya akan diadakan di Hotel Primula Beach Resort. Begitu meriah perancangan yang diatur.
Kad kahwin sudah lama diedarkan. Ketika aku mengedarkan kepada rakan sekerjaku, semuanya terkejut. Yalah, tiada hujan, tiada ribut tiba-tiba aku nak kahwin. Yang paling terkejut adalah Kak Raihana. Dia paling mengetahui tentang diriku. Dia juga mengetahui yang aku tidak mempunyai kekasih. Aku hanya menjawab ini adalah pilihan keluarga. Kak Raihana tidak bertanya selepas itu.
Hanya tinggal sedikit sahaja lagi yang belum diedarkan. Semua kawa-kawan ketika bersekolah dahulu aku jemput. Termasuklah Liyana, kawan karibku. Dia langsung tidak terkejut bila aku menghulurkan kad ini. Katanya dia sudah menjangkakan keputusanku. Liyana berharap agar aku berbahagia hingga ke akhir hayat.
Tentang baju pengantin, bakal emak mertuaku sudah menetapkan Butik Pesona Pengantin sebagai kedai untuk menempah baju pengantin. Dua bulan sebelum majlis berlangsung, aku perlu ke butik itu untuk diambil ukuran badanku. Pada awalnya, bakal emak mertuaku atau lebih mesra disapa dengan panggilan ibu menyuruh aku pergi dengan bakal suamiku. Aku hanya mengenali bakal suamiku sebagai Ariff. Tetapi rancangan berubah saat-saat akhir apabila ibu memaklumkan kepadaku yang Ariff tidak dapat pergi bersama kerana ketika itu dia masih di atas kapal. Terpaksa menggantikan tugas salah seorang rakannya.
Akhirnya aku terpaksa mengerah Ucu untuk menemankanku. Nasib baik ketika itu peperiksaan Ucu sudah selesai. Jika tidak terkontang-kating aku keseorangan. Seminggu selepas aku mengunjungi butik itu, baru Ariff ke sana. Ketika dia pulang bercuti. Ingatkan boleh aku jumpa dengan dia tapi tak kesampaian juga. Kalau boleh aku nak kenal siapa Ariff ni. Yang dikatakan satu sekolah denganku.
Soal hantaran, Kak Niza memberitahu semua ditanggung beres. Cuma hantaran yang memerlukan gubahan saat akhir seperti buah-buahan, kek, potpourri dan yang seangkatan dengannya. Barang hantaran dibeli secara asing-asing. Oleh kerana Ariff sibuk dengan kerjanya dan tiada disini. Aku perlu memilih sendiri barang hantaran untuk dibalas oleh pihak dia dan pihaknya yang diwakili oleh ibu memilih barang untuk Kak Niza gubah.
Minggu lepas, seharian aku keluar dengan ibu untuk memilih keperluan yang diperlukan untuk barang-barang hantaran. Naik jenuh kaki aku berjalan. Nasib baik keluarga itu mempunyai pemandu yang senang untuk kami bergerak. Bayangkan aku keluar dari rumah pada pukul 9.00 pagi dan pulang ke rumah pukul 10.00 malam! Lebih daripada dua belas jam. Nasib baik emak dan ayahku tidak banyak tanya.
Oh ya, lupa pula. Aku sempat pergi kursus kahwin bulan lepas. Juga aku pergi seorang diri. Kadang-kadang aku tertanya-tanya, Ariff ni nak ke tak nak kahwin dengan aku? Daripada apa yang aku alami, dia bersikap seperti acuh tak acuh je. Macam aku je beriya-iya. Ah, lupakan saja.
Pasal juadah yang akan disajikan pada majlis sebelahku, kami sekeluarga sepakat memilih untuk menyediakan sendiri makanan dengan bantuan jiran tetangga. Pada mulanya, along dan angah mengusulkan untuk memilih katering sahaja tetapi mendapat bangkangan daripada emak dan ayah.
Kata emak, kita disini duduk dengan jiran tetangga. Adalah lebih baik jika kita menyediakan makanan sendiri dengan bantuan jiran-jiran. Ini akan mengeratkan lagi hubungan kita dengan penduduk setempat. Akhirnya, along dan angah akur dengan keputusan emak dan ayah.
Ibu ada menyuruh aku ke salon kecantikan untuk melakukan rawatan seperti yang selalu dilalui oleh bakal pengantin. Berbagai tawaran yang dberi kepadaku. Pergi mandi lulurlah, urutan badanlah dan bermacam lagi. Kata orang rawatan ini akan menaikkan seri muka seorang pengantin. Pada mulanya aku juga terasa hendak pergi. Tetapi aku jadi tawar hati dengan penerimaan Ariff terhadapku.
Walaupun kami tidak pernah berjumpa tapi aku sudah boleh baca daripada sikapnya. Aku bukan bodoh! Pergi kursus kahwin seorang diri. Pergi beli barang hantaran juga tidak disertai oleh dia. Bermacam alasan yang diciptakannya. Seperti untuk mengelak daripada berjumpa denganku sahaja.
Biarlah dia dengan caranya. Tetapi dalam aku tidak menghiraukan dengan apa yang lakukan terhadapku, aku dilanda pelbagai persoalan di dalam benakku. Beginikah kehidupanku bila aku berkahwin kelak? Semua kerja aku lakukan sendiri. Dia ke kanan, aku ke kiri. Mesti terasa seperti orang asing.
Aku selalu berdoa kepada ALLAH S.W.T. semoga jodoh yang telah ditetapkan kepadaku ini adalah seorang yang beriman. Boleh menjagaku hingga akhir hayat. Entahlah, kadang-kadang aku teras sedikit cuak untuk meneruskan majlis ini.
Ya ALLAH, bantulah aku. Semoga jodoh yang engkau tentukan ini memberi kebahagian kepadaku.

Kepulangan Ariff Zulkarnain ke tanah air kali ini, dikejutkan dengan berita pertunangan dirinya dengan budak yang pernah ibu dan abah ceritakan dulu. Tanpa persetujuan darinya, orang tuanya tetap berkeras untuk meminang gadis itu. Ariff Zulkarnain betul-betul terkejut. Nampaknya ibu dan abah tetap meneruskan rancangannya tanpa persetujuan darinya.
Selepas itu, Puan Junaidah memaklumkan pada Ariff Zulkarnain yang kepulangannya sekali lagi, majlis akan dilangsungkan. Ariff Zulkarnain lebih terkejut dengan berita kedua yang disampaikan oleh kedua orang tuanya. Begitu cepat tarikh yang ditetapkan. Macam perempuan tu dah terdesak sangat. Rungut Ariff Zulkarnain di dalam hati.
Ariff Zulkarnain mundar mandir dihalaman rumah orang tuanya. Keputusan abahnya kali ini adalah muktamad! Tak ada sebarang alasan yang boleh menidakkan keputusan abah itu. Nampaknya Ariff Zulkarnain terpaksa juga meneruskan perkahwinan yang ditetapkan keluarga ini. Nak fikir buat apa. Macamlah kalau fikir tu abah boleh tarik balik apa yang telah diucapkan.
Ketika Encik Abdul Rahman memaklumkan tentang perkahwinannya akan juga diteruskan sebentar tadi, pantas Ariff Zulkarnain menjawab.
“Ariff boleh meneruskan perkahwinan ini tapi abah dan ibu jangan terkejut dengan apa yang akan Ariff lakukan. Ariff masih berpegang dengan prinsip yang Ariff tak akan berkahwin dengan perempuan yang Ariff tak kenal batang hidung. Inikan pula jodoh yang ditetapkan keluarga. Tapi ibu dan abah jangan bimbang ynag pada majlis tu nanti, Ariff masih akan datang. Selepas itu ibu dan abah lihatlah apa yang akan Ariff lakukan. Pada masa itu jangan sesiapa halang setiap tindakan yang akan Ariff buat.”
Selesai berkata-kata, Ariff Zulkarnain terus manapak mendaki tangga ke tingkat atas. Kelibatnya hilang dibalik pintu bilik.
Tercengang Encik Abdul Rahman dan Puan Junaidah dengan kata-kata yang baru sahaja lahir daripada bibir anak lelaki bongsu mereka itu. Runsing mereka dengan perangai keras kepala Ariff Zulkarnain itu. Nak buat macam mana, anak itu telah ditatang bagai minyak yang penuh sejak kecil lagi.
Mata Ariff Zulkarnain tajam merenung ikan kap Jepun tenang berenang didalam kolam halaman rumahnya. Jasadnya memang disitu tetapi fikirannya menerawang entah kemana. Tertanya-tanya juga dia kenapa abangnya, Hafiz tidak memaklumkan kepadanya tentang pertunangan yang dilakukan oleh ibu dan abah. Sedangkan dia ada menelefon abangnya ketika kapal berlabuh seketika di Mumbai, India. Adakah abangnya sengaja menyorokkan perkara ini atau abangnya terlupa untuk memberitahunya.
Ketika bakal pengantin lain sibuk menyediakan persiapan yang perlu dilakukan, dia pula langsung tidak menghiraukan persiapan tersebut. Tiada hati untuk membuatnya. Baginya, dia dapat menghadirkan diri dalam majlis tersebut sudah cukup beruntung.
Begitu juga ketika pasangan lain sibuk menandakan kad jemputan untuk diedarkan kepada sahabat handai, dia langsung tidak menghiraukannya. Rasanya tiada kawan yang dijemput untuk menghadiri majlisnya nanti. Kalau ada pun yang tinggal berdekatan dengan rumahnya.
Kalau dijemput semua kawannya, pasti ada yang bertanya. Kenapa kahwin dengan orang lain? Hani telah dicampak ke mana? Ariff Zulkarnain sudah putus ke dengan Hani? Dan bermacam lagi soalan. Malas dia nak bersoal jawab. Siapa tidak kenal Ariff Zulkarnain dan Hani. Pasangan yang selalu berkepit di USM ketika belajar dulu. Sudah seperti belangkas lagaknya.
Jika diberitahu yang Ariff Zulkarnain akan berkahwin dengan pilihan keluarga. Pasti dia akan digelakkan oleh rakan-rakannya. Dimana hilangnya belang seorang Ariff Zulkarnain hinggakan jodoh ditentukan orang tua.
Berakap tentang Hani, dia masih tak tahu yang Ariff Zulkarnain akan berkahwin tak lama lagi. Biarlah dia tak tahu, lagi senang. Tak perlu susah payah nak kena pujuk. Dahlah Ariff Zulkarnain tengah tertekan, ni nak pujuk Hani pula.
Dari kolam ikan kap Jepun, Ariff Zulkarnain melangkah kearah buaian yang berada di bawah pohon jambu air di satu sudut halaman rumah orang tuanya. Ketika dia baru nak meletakkan punggung diatas buaian, masuk Farah, adik bongsunya yang baru pulang dari sekolah. Katanya ada latihan bola jaring petang ni.
“Hai, bang. Sorang je? Tak keluar ke?”
“Taklah, dik. Malas pula rasanya.”
“Takpelah, bang. Farah masuk dulu.”
Selain Farah, dia mempunyai seorang lagi adik iaitu Syira. Syira adalah kakak kepada Farah. Syira sekarang belajar di Universiti Malaysia Terengganu(UMT). Manakala Farah berada di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri.
Kesian pula Farah dengan nasib abangnya ini. Dia ada dengar yang abah dan ibu telah meminang seorang perempuan tanpa persetujuan abangnya. Entahlah, dia pun tak tahu nak kata macam mana. Budak-budak sepertinya tak boleh campuri urusan orang tua. Ibu cukup-cukup pantang.
Kursus memang sudah lama dihadiri oleh Ariff Zulkarnain. Ketika menemani Abang Hafiznya dulu. Sangkanya dengan adanya sijil kursus kahwin ini, dia boleh mengahwini Hani secepat mungkin. Tetapi sangkaannya meleset sama sekali.
Semua kelengkapan perkahwinannya langsung tidak dihiraukan. Dari hantaran hinggalah baju pengantin. Semuanya ibu yang uruskan. Dah ibu yang beriya-iya sangat nak bermenantu. Untuk tempahan baju pengantin, dia langsung tidak pergi ke butik yang telah ditetapkan ibu. Berkali-kali ibu memujuk. dia terus dengan sikap keras kepalanya. Sudahnya, ibu mengambil baju melayu yang berada didalam simpananya untuk dibuat contoh baju pengantin.
Bagi Ariff Zulkarnain perkahwinan yang akan dilangsungkan ini sedikit pun tidak bermakna buatnya. Ketika bakal pengantin lain begitu ceria menyambut hari bersejarah itu, tetapi tidak baginya. Hatinya terasa kosong. Kosong sekosongnya.
Kadang-kadang Ariff Zulkarnain terasa ingin menjerit. Agar seluruh dunia mendengar apa yang dia sedang tanggung sekarang ini. Dia mahu menjadi seperti abang-abangnya. Bebas memilih pasangan sendiri. Tanpa campur tangan orang tua. Bosannya hidup jika semua benda diatur orang tua. Hinggakan jodoh sendiri juga diatur keluarga.
Ada kalanya Ariff Zulkarnain rasa mahu lari ke sebuah pulau yang tidak berpenghuni. Tetapi dia diajar dari kecil supaya tidak lari dari maslah. Tempuhi masalah itu walaupun risiko yang akan dihidapi adalah besar.
Minggu depan dia akan belayar pula. Lagi sebulan lebih majlis akan berlangsung. Terlalu cepat masa berlalu. Adakah hidupnya sama seperti sekarang selepas dia berkahwin kelak? Ariff Zulkarnain tertanya-tanya sendiri. Seperti kata-kata yang pernah dia luahkan kepada abahnya. Dia akan lakukan sesuatu yang mungkin diluar jangkaan semua orang. Pasti semua terkejut.
Rancangan itu tetap akan diteruskan. Biar semua tahu yang Ariff Zulkarnain tidak pernah bersetuju dengan perkahwinan ini. Baru orang kenal siapa Ariff Zulkarnain!!

Selepas solat maghrib, aku terus menyarung baju pengantin yang indah tergantung di penjuru bilikku. Baju berwarna putih susu itu begitu sarat dengan segala bagai labuci. Cukup berat bila aku memakainya. Kemudian, aku akan mengadap jurusolek yang sudah ditempah oleh ibu.
Setelah wajahku siap disolek, aku dipakaikan tudung yang juga senada dengan bajuku. Tudung itu dibelit dikepalaku. Kemudian, selendang panjang dari motif lace Perancis diletakkan diatas kepalaku. Selendang itu dikemaskan lagi dengan tiara yang sarat dengan berlian berkilauan. Betul-betul gah.
Seketika nanti, aku akan menjadi milik seorang lelaki bergelar suami. Terasa seluruh jari-jemariku sejuk beku seperti berada didalam peti sejuk. Tepat pukul 8.30 malam, aku dan seluruh rombongan pihakku bertolak dari rumahku ke Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai. Perjalanan dari Kampung Gelugor ke Kuala Ibai hanya mengambil masa lima belas minit sahaja.
Setibanya disana, rombongan pihak lelaki sudah berada disana. Kami semua masuk kedalam masjid bersama-sama. Nasib baik kami sudah memohon kebenaran daripada pihak masjid untuk menjalankan upacara pernikahan disini. Jadi, kami tidak menghadapi masalah bila tiba saatnya.

1 ulasan:

  1. ntah hape lah cerita berbelit2 x paham aku!!!

    BalasPadam