Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 14 November 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB15

SYAZRIL masih tidak berpuas hati. Nampaknya sekeras-keras dia, keras lagi mamanya. Terang-terangan dia menolak rancangan mamanya yang ingin menyatukan dia dengan Cellicia, teman yang di anggap hanya untuk berseronok. Bukan untuk dibuat isteri!
Namun mamanya tetap berkeras. Dalam diam Datin Khalida mengaturkan segala-galanya. Daripada tempahan pakaian pengantin, gubahan hantaran hinggalah ke tempahan hidangan. Mula-mula dia tidak mengendahkan itu semua kerana tidak tahu-menahu akan rancangan mamanya itu. Tetapi minggu lepas semuanya terbongkar apabila Datuk Yusoff, kawan baik Datuk Nawawi mengucapkan tahniah kepadanya. Pada mulanya terpinga-pinga juga dia. Dan bagi ingin menjaga air muka keluarga dia menyambut juga ucapan tahniah itu.
Balik dari berjumpa Datuk Yusoff, Syazril terus pulang ke rumah keluarganya. Kelibat mamanya dicari. Namun mamanya tiada di rumah ketika itu. Entah keluar ke mana pun tak tahu. Akhirnya dengan perasaan marah yang masih belum terpadam, Syazril melangkah ke biliknya. Tanpa sedar, dia terlelap bersama perasaan amarah yang masih menguasai diri.
Syazril terjaga dari lena apabila terdengar ketukan bertalu-talu pada pintu biliknya. Tersentak dia yang sedang enak-enak tidur.
“Siapa?” Tinggi nada suaranya menyoal. Dia paling pantang kalau ada orang kacau dia tidur.
“Kamu tidur ke? Bangun! Kamu sedar tak, hari dah gelap di luar sana.” Lantang suara mamanya melaung dari luar bilik.
“Hmm…” dengan malas dia menyahut.
Lambat-lambat dia bangun dari pembaringan. Matanya merenung seketika pada pintu bilik. Kemudian kaki diatur ke bilik mandi. Tanpa menyalin pakaian dan mandi, dia berwuduk sebelum menunaikan solat Maghrib.
Syazril menapak perlahan menuruni tangga. Sekarang adalah waktu yang paling tepat untuk dia bersemuka dengan mamanya. Di tangannya ada sekeping kad yang masih kemas bersampul surat. Dia berjalan ke arah dapur kerana dia tahu, waktu-waktu sekarang mamanya ada di dapur.
“Mama,” Syazril memanggil Datin Sharida.
“Hmm..” Datin Sharida menyahut tanpa mengangkat kepala. Mata dan tangannya masih lagi pada udang yang sedang dikupas kulitnya.
“Apa semua ni, ma?” Syazril sedaya upaya menahan suaranya daripada meninggi. Dia tidak mahu menambah dosa yang sedia ada dan dikata anak derhaka pula. Kad di tangan dihulur kepada mamanya.
Datin Sharida mengangkat kepala. Matanya membulat merenung kad yang Syazril hulur. Tanpa melihat isi kad tersebut, dia sudah dapat mengagak kad apakah itu.
“Mma..mana Aril dapat kad ni?” tergagap-gagap Datin Khalida menyoal.
“Mana Aril dapat kad ni itu tak penting. Yang penting sekarang, Aril nak penjelasan dari mama. Apa semua ni mama? Malam tu Aril dan beritahu mama yang Aril tak setuju dengan rancangan mama ni! Walau apa pun yag terjadi, Aril tak akan kahwin dengan Cellicia! Tapi dalam diam, kenapa mama teruskan juga rancangan ni? Kenapa mama?” kemarahan yang tadinya ditahan-tahan akhirnya terhambur juga.
“Aril! Mama buat semua ni untuk kebaikan Aril jugak. Sama ada Aril setuju atau tidak, majlis tu akan diteruskan jugak.” Tegas Datin Sharida keras.
“Untuk kebaikan Aril? Apa yang Cellicia tu boleh buat sampaikan berkahwin dengan dia adalah kebaikan untuk Aril? Ini bukan kebaikan tapi membebankan Aril! Jika Aril tak datang, majlis tu akan berlangsung juga ke mama?” tegas dan sinis Syazril membidas kata-kata mamanya.
“Aril! Walau apa pun terjadi, mama akan pastikan majlis tu akan berlangsung dan Aril yang akan jadi pengantin lelakinya, bukan orang lain!” dengan yakinnya Datin Sharida berkata-kata. Di dalam kepalanya sudah terancang pelbagai rancangan. Hendak atau tidak, dia akan pastikan Syazril akan ada pada majlis itu.
“Huh!” Syazril melepaskan geram.
Malas bercakap banyak, dia terus berlalu keluar dari rumah agam itu. Bercakap dengan mama memang tak akan menang. Mama yang akan menang akhirnya. A kata mama maka A yang akan terjadi. Tidak akan ada B di situ. Dia kenal sangat dengan sikap mamanya yang satu itu.
Pintu rumah dihempas kuat. Biarlah pintu tu nak tercabut pun, langsung dia tak kisah! Dia lagi sakit hati sekarang ni. Tidak sampai dua minit kemudian, Syazril memandu keretanya keluar dari kawasan perumahan elit itu. Sengaja ditekan kuat pedal minyak agar menderum kuat bunyi enjin! Hati tersangat panas tika itu!
Sepanjang berada di dalam kereta, mulut Syazril tidak henti-henti menyumpah seranah. Dia amat-amat tidak suka hidupnya diatur sedemikian rupa. Lebih-lebih lagi soal teman hidup. Dan yang paling dia tidak suka adalah pilihan mamanya iaitu Cellicia. Dia amat mengenali siapa itu Cellicia. Seorang perempuan yang sangat bebas hidupnya dan tidak punya pegangan agama. Perempuan seperti itu yang mamanya berkenan?
Mamanya tidak mengenali Cellicia seratus peratus. Cellicia selalu bertukar pasangan. Wain dan bir adalah minuman kegemarannya. Perempuan seperti itu yang mama ingin jodohkan dengannya? Perempuan bebas sebegitu amat susah dibentuk. Apatah lagi jika diambil sebagai isteri, pasangan hidup untuk sepanjang hayat. Rasanya dia tidak akan dapat pahala mengislamkan seorang penganut agama Kristian malah dia mendapat dosa pula kerana gagal membimbing seorang isteri mualaf!
Sedang dia melepaskan geram yang terbuku di dalam hati, telefon bimbitnya berdering minta diangkat. sekilas dia memandang pada skrin telefon dan tanpa menunggu lama, bluetooth berbentuk hansfree dipasang ke telinga.
“Emm.. apa dia?” tanpa salam, terus bibirnya bertanya.
“Kau kat mana ni? Keluar, jom.” Ajak Sham.
“Kau kat mana ni? Aku dah ada kat luar ni.” Nadanya masih lagi kasar. Moodnya masih lagi tak okey. Masih lagi terbawa-bawa dengan perasaan bersama mamanya tadi.
“Wah! Kau nak ke mana malam ni? Lajunya.” Ada nada sini pada pertanyaan Sham. Syazril mendengus.
“Kau nak ajak aku keluar ke tak? Kalau tak, aku nak balik aje.” Berbaur ugutan Syazril membalas.
“Okey, okey. Jumpa aku kat Restoran Ikan Bakar Hamid.”
Sham pelik. Entah apa kena dengan kawan baiknya tu. Angin aje memanjang. Talian dimatikan. Syazril menekan pedal minyak. Kereta buatan Jerman itu laju meluncur di atas jalan raya menuju ke destinasi yang telah dijanjikan.
Sampai di hadapan restoran tersebut, Syazril melihat banyak betul kereta bersusun di situ. Sampaikan matanya melilau mencari ruang kosong. Restoran Ikan Bakar Hamid yang terletak di bawah jambatan Kuala Ibai dan bersebelahan dengan tebing sungai Kuala Ibai sangat terkenal kepada mereka yang sukakan juadah ikan bakar. Selain ikan bakar, restoran ini juga menyediakan masakan panas ala Thai. Memang sedap!
Sebaik memakir kereta, dia berjalan masuk ke dalam restoran. Biasanya bila dia makan di restoran ini, dia selesa duduk di bahagian luar kerana tiupan angina sepoi-sepoi bahasa daripada alunan sungai Kuala Ibai sangat mengasyikkan. Tetapi malam ini dia tak dapat berbuat begitu. Ruang di luar sudah penuh dengan pelanggan yang gilakan perlawanan bola. Tambah lagi restoran ini menyediakan skrin besar di tanah lapang bersebelahan dengan tebing sungai dan ketika ini kalau dia tidak silap ada perlawanan bola sepak antara Manchester United dan Liverpool.
Kalau ikutkan hati, Syazril merupakan peminat bola sepak tegar. Namun, perkhabaran yang baru dia terima petang tadi telah mencalarkan moodnya. Lagipun malam ni bukan pasukan pilihannya yang beraksi. Jika perlawanan malam ni membabitkan pasukan Chelsea, dia akan menonton walaupun bukan dengan sepenuh hati kerana itulah pasukan kegemarannya.
“Hei!” sergahan beserta dengan satu tepukan di bahu mengembalikan Syazril daripada lamunan panjang.
“Kau ni kenapa? Budak tu dari tadi duk tanya kau nak makan apa. Tapi kau buat bodoh aje. Apa masalah kau sebenarnya?” pertanyaan Sham membuatkan Syazril terpinga-pinga. Matanya memandang pelayan yang telah berlalu dari mejanya.
Syazril memandang kembali Sham. Dia menggelengkan kepala, jawapan kepada pertanyaan teman baiknya itu. Matanya beralih pula pada skrin televisyen. Pura-pura sedang menonton perlawanan bola.
“Kau ni kenapa? Tadi tergeleng-geleng. Ni duk tengok bola pulak. Weh, aku tahulah kau tak suka tengok game ni sebab bukan team kegemaran kaulah. Apa kena dengan kau ni?” Sham masih tidak berpuas hati dengan reaksi Syazril. Dia kenal sangat dengan perangai temannya itu. Dia kenal sangat dengan muka bermasalah di depannya ni.
Syazril tidak menjawab tapi tangannya menghulurkan sekeping kad kepada kawan baiknya itu. Sham pelik. Tapi tangannya menyambut juga huluran Syazril. Pantas tangannya membuka sampul kad itu. Matanya membulat merenung kad tersebut. Biar betul! Bibirnya membaca lagi nama yang tertulis di atas kad itu. Memang tak salah lagi. Nama yang tertera adalah sama dengan nama si empunya badan yang sedang duduk di hadapannya tika ini.
“Kau biar betul! Tapi dengan siapa?” Sham bertanya meminta kepastian.
“Kau tak nampak ke nama yang tertulis atas kad tu ke mata kau dah rabun?” pedas Syzril menyoal.
“Heh, aku nampak lagilah. Mulut kau ni tak ada insurans langsung. Tapi siapa Nur Hidayah Yan binti Abdullah? Aku tak pernah dengar pun nama ni.”
“Entah,” itu sahaja yang keluar dari ulas bibir Syazril.
“Hei, biar….” Kata-kata Sham mati apabila pelayan merapati meja mereka menghantar minuman. Sebaik pelayan itu berlalu, Sham menyambung kembali ayatnya yang tergantung tadi.
“Hei, biar betul kau ni! Habis kad ni apa? Lagi dua minggu majlisnya. Macam mana pulak kau boleh tak tahu?” Sham bertambah pelik dengan Syazril. Heh, biar betul si Aril ni. Majlis lagi dua minggu, macam mana pulak dia boleh jawab tak tahu. Rungut Sham di dalam hati.
“Cellicia,” sepatah itu sahaja yang keluar dari bibir Syazril. Kemudian dia membawa gelas berisi air nescafe susu yang berada di hadapannya ke bibir dan meneguk perlahan.
What? Cellicia? Kau nak kahwin dengan Cellicia? Biar betul! Kenapa aku tak tahu kau nak kahwin dengan Cellicia sedangkan aku ni kawan baik kau?” pantas tindakan Sham menyoal. Bertalu-talu soala yang keluar dari bibirnya.
“Macam mana aku nak beritahu kau sedangkan aku baru aje tahu hari ni yang aku akan kahwin lagi dua minggu dari sekarang. Tak ke kelakar tu? Buatnya aku sengaja tak hadirkan diri pada hari tu, kau rasa apa yang keluarga aku akan buat?” Syazril pura-pura ketawa perlahan di hadapan Sham tetapi di dalam hati, perasaan marahnya masih tidak surut.
“Biar betul kau ni…” belum pun habis Sham bercakap, Syazril terlebih dahulu memintas.
“Kau ni dari tadi duk cakap ‘biar betul, biar betul’. Kau ada sounds problem ke? Apa yang kau dengar tu memang betul! Tak adanya yang tak betul!” keras dan sedikit tinggi Syazril membidas.
Orang dahlah tengah berangin. Dapat pulak kawan yang dari tadi duk cakap benda yang sama, siapa tak marah. Kan tak pasal-pasal kena sembur! Rungut Syazril dalam hati.
“Okey, okey. Kau ni, itu pun jadi kes. Tadi kau cakap kau baru aje tau yang kau kena kahwin, dengan Cellicia pulak tu. Macam mana kau boleh tak tahu yang kau kena kahwin ni? Pelik aku.” Dahi Sham sudah mempamerkan kerut seribu.
Dengan malas Syazril membuka cerita. Bermula dari mamanya mengusulkan cadangan untuk meminang Cellicia hinggalah saat Datuk Yusoff menghulurkan ucapan tahniah. Cerita dia bersemuka dengan mamanya juga tidak ketinggalan. Sampai ke saat itu, dia masih lagi tidak percaya dengan tindakan yang dilakukan oleh mamanya itu. Langsung tak masuk akal.
“Jadi, kau dari rumah mama kaulah ni? Dengan baju tak berganti. Selesa betul kau dengan baju yang sama dari pagi tadi hingga sekarang.” Lain yang ditanya lain pula yang keluar dari mulut Sham. Dia inginkan pendapat Sham tentang masalahnya itu, bukan menyuruh Sham menilai dirinya tika itu.
“Hmm… eh, tak kisahlah aku pakai apa pun sekarang ni. Yang lagi penting, macam mana aku nak keluar dari masalah ni?” Syazril cuba bersabar dengan reaksi temannya itu.
“Mama kau tahu ke dengan perangai sebenar Cellicia?” lain yang Syazril ingin, lain pula yang dijawab oleh Sham. Tapi bagi Sham, soalannya itu penting kerana jika Datin Sharida masih tidak mengenali Cellicia secara luar dan dalam, senang-senang saja dia akan tertipu dengan watak baik Cellicia.
“Entah. Aku pun tak tahu. Yang paling aku pelik, macam mana pulak mama aku boleh kenal dengan Cellicia? Huh, pelik tu. Yang kau tanya macam tu kenapa?” Syazril pulak yang pelik dengan soalan Sham.
“Taklah. Aku rasa mama kau tak kenal lagi dengan Cellicia yang sebenar dan dengan senanglah Cellicia dapat tipu mama kau dengan watak baik dia tu. Kita bukan tak kenal dengan Cellicia. Jadi, aku rasa kau kena buat sesuatu.” Ujar Sham.
“Itulah yang aku duk tanya kau dari tadi, tapi kau duk pusing sana, pusing sini, tanya itu, tanya ini. Heh, kau ni!” Syazril sedikit berang dengan kawannya yang seorang ni. Manakala Sham pula hanya tersenyum kambing.
“Hmmm… apa kata kau bawa jumpa calon kau sendiri, mana tahu kalau mama kau setuju. Senang kerja macam tu.” Ringkas Sham mengeluarkan cadangan.
“Idea kau tu memang senang dan mudah. Tapi mama aku tak akan menerima dengan senang dan mudahnya. Aku kenal sangat dengan perangai mama aku tu. Lagi satu, sepanjang kau kenal dengan aku ni, kau ada nampak aku ada kekasih ke? Tak ada kan? So, mana aku nak cekau kekasih olok-olok ni? Cuba kau terangkan kat aku.” Dengan muka serius, Syazril menyoal kembali Sham.
Aduh! Terkena aku! Macam mna aku boleh lupa yang si Aril ni tak ada kekasih. Haih, susah nak selesaikan masalah dia ni. Rungut Sham di dalam hati.
“Boleh bagi aku masa fikir dulu tak? Idea aku tak datanglah kalau kau duk mendesak macam ni. Eh, jomlah. Order segelas aje air tapi duduk kat sini berjam-jam.”
Syazril memandang ke sekeliling mejanya, orang sudah semakin berkurangan di kawasan restoran itu. Perlawanan bola sepak juga sudah tamat. Tapi dia tak tahu pun siapa yang menang siapa yang kalah. Semua itu langsung tak masuk ke dalam otaknya. Sesudah melakukan pembayaran, Sham dan Syazril berlalu ke kereta. Mereka berpisah di situ kerana mereka datang dengan berlainan kereta dan destinasi yang di tuju seterusnya juga berlawanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan