Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 6 April 2015

CERITERA AKU & CINTA : BAB 7

JADI dia tinggal kat situ? Hati Fayyadh menyoal di dalam. Selama ini Fayyadh ingat Delisya tu anak orang susah. Sebabnya selalu sangat dia nampak Delisya turun naik bas ke tempat kerja. Rupa-rupanya… Hari ni terbongkar segala-galanya. Anak orang berada juga Delisya tu. Duduk kat rumah besar. Senang cakap, Delisya bukan datang dari keluarga miskin seperti mana yang dia fikirkan sebelum ni.
Tapi kenapa dia rahsiakan sebelum ni? Mesti geng-geng di tempat kerja pun tak tahu yang Delisya tu anak orang berada. Fayyadh berfikir-fikir.
“Syah,” Puan Irdina menepuk lengan Fayyadh yang entah sedang fikirkan apa tu.
“Hah!” Fayyadh terperanjat. Nasib kereta yang dipandunya itu tak tersasar ke tengah jalan.
“Dah sampai ke mana kamu ni? Ke bulan? Atau ke Marikh?”
“Tak ada ke manalah.”
“Macam-macam kamu ni,” omel Puan Irdina.
Fayyadh memandu masuk ke dalam halaman rumah keluarganya. Dia menurunkan mummynya.
“Syah,” Puan Irdina memanggil Fayyadh sambil tangan mendarat di atas pemegang pintu. Dia pandang wajah Fayyadh yang sedang menanti kata-kata yang akan keluar dari bibirnya. “Kakak Ashman tadi tu, cantik kan?”
“Huh?!” Fayyadh blur. Apa maksud soalan mummynya? “Cantik? Maksud mummy?”
“Yalah, cantik. Sesuai kalau bergandingan dengan Syah.”
“Apa pulak mummy ke situ ni? Isy!”
“Betullah cakap mummy ni. Bagus juga kalau dia jadi menantu mummy.” Nada Puan Irdina seperti sangat mengharap.
“Dahlah mummy. Tak nak dah fikir pasal semua tu.” Fayyadh tukar gear kereta.
“Nak ke mana pula tu?”
“Balik ke bengkel,”
“Hmm…” Puan Irdina hampa. Usulnya langsung tak diendahkan oleh Fayyadh. Hati kecilnya berasa, kakak Ashman tadi lebih baik dari Gina, si kekasih pujaan hati anaknya itu.
Fayyadh mengundurkan kereta dan bergerak keluar dari perkarangan rumah Puan Irdina. Dan sekali lagi, sambil memandu, sambil itu kepala Fayyadh sibuk memikirkan perihal Delisya. Selagi dia tak dapat jawapannya, selagi itu dia akan berasa pelik. Ah, aku kena tanya Delisya sendiri! Tekad Fayyadh di dalam hati.

AKU resah. Perasaan itu sejak semalam lagi berbelah bahagi di dalam hatiku. Antara hendak dan tidak ke tempat kerja. Kalau nak cuti, alasan apa yang boleh aku berikan kepada bosku? Sebenarnya aku takut bertembung dengan Fayyadh. Nanti mesti banyak soalan yang diajukan kepada aku. Aduh! Aku nak jawab apa nanti?
Dengan rambut yang masih berbungkus dengan tuala, aku berbaring kembali di atas katil.
“Nak pergi ke tak? Kalau pergi, takut pula terjumpa mamat tu. Kalau tak pergi, alasan apa yang aku nak bagi? Aduh! Pening-pening.” Hal ni tersangat memeningkan kepala aku.
Pintu bilik diketuk mendadak.
“Yaya,” suara umi.
“Ya, mi.”
“Pergi kerja tak hari ni?”
“Err…” aku tak tahu nak jawab apa.
“Yaya, dengar tak soalan umi ni?”
“Dengar. Err… tak pergi kut.”
“Kenapa? Tak sihat ke?” banyak pula soalan umi. Aduh!
“Err… tak.”
“Habis tu? Oh, lupa pula. Kawan Yaya ada tunggu kat bawah tu.”
“Kawan?” laju aku bangun dari pembaringan. “Siapa?”
“Yang datang semalam tu. Dia cakap, dia kawan kamu. Sudah, siap-siap ya.”
Selepas tu suara umi tak kedengaran lagi. Aduh! Siapa pula yang datang ni? Baru aje aku nak buat rancangan jahat. Baru aje nak memonteng, dah ada yang mengacau rancangan aku ni. dengan malas aku merapati almari pakaian. Dalam tak nak, terpaksa juga pergi kerja!
Siap berpakaian, aku turun ke ruang tamu. Kelibat umi dah tak tahu menghilang ke mana. aku jengukkan kepala ke luar rumah, melalui tingkap kecil. Sebuah Hummer tersadai elok di halaman rumah. Aku kenal sangat Hummer tu. Semalam datang dengan BMW 7 Series. Hari ni dengan Hummer. Aduh! Masak aku. Dah tak ada ruang nak lari lagi ni.
“Duk intai apa tu?” suara umi tiba-tiba menyergah.
“Hah? Umi ni! Suka buat orang terkejut macam tu.”
“Dah tu, duk mengintai macam nak mencuri. Kenapa?”
Aku pandang ke luar sekali lagi sebelum memandang umi.
“Err… Dah lama ke dia tu sampai umi?”
“Lama tak lama, dah dekat sejam jugak.”
Dekat sejam? Lama jugak tu.
“Dia nak apa umi?”
“Dia cakap nak jumpa Yaya. Eh, apa hal banyak pula soalan ni? Dah-dah, pergilah. Dah lama dia tunggu tu.” Umi siap tolak aku supaya pergi ke kereta Fayyadh.
“Tapi umi….”
“Tak ada tapi-tapi.” Umi bulatkan matanya. Aku tahu. Itu tandanya umi dah tak mahu berkompromi dengan aku.
“Alah umi,” aku mengomel.
Dan dalam terpaksa, aku turuti juga arahan umi.Aku berdiri di sebelah Hummer itu. Dahlah tengah panas ni. Tak ada ke rasa nak bukakan pintu untuk aku? Isy! Akhirnya aku ringankan tangan dan mengetuk cermin kereta mahal itu perlahan dengan jari.
Fayyadh angkat kepala dari memandang entah apa yang berada di dalam genggamannya tu. Dia pandang aku. Kemudian barulah dia bukakan pintu kereta. Aku kerutkan kening, menghantar pertanyaan.
“Masuk.” Dia mengarah dengan nada dingin. Err… ni apa hal pulak ni? Macam nak marah aku je. Tapi sebab apa? Takkan bergaduh dengan Gina, aku pula yang jadi mangsa.
“Nak buat apa?”
“Masuk ajelah. Banyak tanya pula.” Fayyadh mengomel. Ada nada marah di situ.
Malas bertanya banyak, aku masuk juga ke dalam perut kereta. Nanti kalau aku banyak soal, bimbang ada yang makin naik angin. Sejurus saja aku menutup pintu kereta, Fayyadh terus mengundurkan kereta dan keluar dari halaman rumah keluargaku. Sepanjang perjalanan yang aku tak tahu hala tujunya itu, kami berdua diam.
So?” Kerana bosan dia diam begitu, aku akhirnya mengajukan soalan sambil berpeluk tubuh.
So what?” Eh, eh. Aku tanya dia, boleh pula dia tanya aku balik.
“Kenapa awak datang rumah saya? Ajak keluar tapi tak tahu nak ke mana.”Seperti sengaja nak buat aku naik angin aje dia ni.
“Jadi, itu rumah awak? Bagus betul lakonan awak.” Dia seperti sedang mengejek aku.
“Lakonan? Siapa yang berlakon?” aku pandang Fayyadh.
“Habis tu yang selama ni pergi dan balik kerja dengan bas tu apa? Semua orang ingat awak ni orang susah, datang dari keluarga yang miskin. Tapi hakikatnya, awak anak orang berada. Duduk dalam rumah banglo. Pandai betul awak berlakon kan?” Fayyadh bertepuk tangan. Pedih telinga aku kena perli begitu.
“Saya tak pernah berlakon. Kenapa, salah ke saya naik bas? Asal anak orang susah aje ke yang boleh naik bas, anak orang kaya tak boleh naik bas, begitu? Bas tu kenderaan awam, siapa-siapa pun boleh naik.” Aku mendengus.
“Tapi kenapa kerja kat pasaraya tu? Kalau kerja dengan ayah awak mesti tak payah susah-susah naik bas.”
“Siapa cakap tak payah susah-susah naik bas? Saya tak pandai memandu, jadi kerja sebagai apa pun, saya masih perlu ke tempat kerja dengan bas. Soalan awak tadi. Kenapa saya kerja di pasaraya tu. Untuk pengetahuan awak, saya tak suka bekerja dengan syarikat keluarga. Saya mahukan hidup saya sendiri. Jadi, awak tak ada hak nak tentukan hidup saya.” panjang lebar jawapan aku.
“Siapa cakap saya tak ada hak? Awak kan bakal tunang saya.” Selamba badak mamat ni sebut pasal tu.
What!” Aku membuntangkan mata. Tak habis-habis pasal bakal tunang tu. Seingat aku dia cuma main-main saja pasal tu sebab cuma nak selamatkan aku dari gangguan Firash. Tapi hari ni kenapa diulang kembali pasal tu?
“Betullah kan. Mamat tu ada kacau awak lagi?” Fayyadh menukar topik perbualan.
“Tak ada.” Aku memeluk tubuh.
“Bagus. Kalau dia kacau, jangan layan. Atau pun terus telefon saya.”
Aku pelik. Kenapa dia cakap macam tu?
“Awak ni kenapa? Kenapa pula saya kena telefon awak kalau dia kacau saya? Fayyadh, ingat sikit. Saya ni Delisya, bukannya Gina si kekasih awak tu.” Aku rasa mahu bertempik. Ayah dengan umi pun tak ada kawal aku macam ni.
“Saya tahu. Saya boleh bezakan lagi antara awak dan Gina.”
“Habis tu?”
Fayyadh diam. Tak terasa langsung mahu menjawab soalan aku.
“Awak masuk kerja tak hari ni?”
“Masuk.”
Fayyadh memandu keretanya menghala ke arah tempat kerjaku. Soalan aku tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan.

“AMBOI, orang tu sekarang ni dah ada driver la.”  Zima sibuk sekali mengusik aku. Sedangkan aku buat muka blur. Malas nak layan Zima.
“Eh, kau tak takut ke kalau Gina serang kau?” tiba-tiba soalan itu keluar dari bibir Zima.
“Kenapa pulak Gina nak serang aku?” aku buat-buat tanya Zima.
“Fayyadh yang hantar kau tadi kan? Boleh pula kau tanya kenapa Gina nak serang kau? Eii!” Angin Zima naik.
“Ah, malaslah aku nak fikir.” Selamba aku jawab. Aku tutup locker dan mahu mulakan kerja.
“Malas tak malas, kau kena fikir juga. Bahaya la kau ni.”
Aku menonong masuk ke dalam ruang pasaraya. Aku tak hiraukan kata-kata Zima. Kenapa aku nak takut dengan Gina? Bukan aku yang menggedik pergi cari Fayyadh tapi Fayyadh yang sibuk datang rumah aku. Lagi pun si Gina tu, sikit pun aku tak heran. Aku pun dah tak tahan kerja bawah dia. kalau kena berhenti pun aku sanggup. Lagi baik berhenti dari diberhentikan!
Memalukan kalau diberhentikan hanya kerana dituduh merampas kekasih Gina sedangkan aku langsung tak lakukan itu semua. Huh! Dah lama aku tahan sabar dengan Gina. Berlagak macam dia bos besar kat sini. Sedangkan dia hanyalah penyelia saja. Berangan nak jadi bos besar. Angan aje lebih!



Khamis, 1 Januari 2015

CERITERA AKU & CINTA : BAB 6



BAKAL tunang? Sejak masuk kerja pagi tadi hinggalah balik kerja, kepala aku tak sudah-sudah fikirkan pasal dua perkataan tu. Sampaikan Alia ajak keluar rehat pun aku buat muka blur. Bila Zima tegur pun aku hanya pandang saja wajah Zima. Sampai naik angin kawan tu sebab aku langsung tak hiraukan apa yang dia cakapkan.
Kaki melangkah macam tak ada arah tujuan. Aku hanya berjalan dengan hati hosong.
“Isya, kau nak pergi ke mana ni?” Terasa lenganku ditarik dan aku pandang pemilik suara itu. Alia.
Aku hanya mampu pandang wajah Alia. Mungkin melihat aku tak beri apa-apa respon dengan kata-kata dia, Alia tarik aku ke sebuah bangku bersebelahan dengan hentian bas.
“Duduk,” Alia mengarah dan aku duduk.
“Kau ni kenapa?” Alia menyoal lagi.
Reaksi aku? Tak tahu nak kata apa. Aku mengeluh.
“Mengeluh pulak kau ni. Aku tanya tu jawablah.” Alia merungut.
“Tak ada apalah,” balasku perlahan. Rasanya tak perlu aku ceritakan semuanya kepada Alia. Bimbang jadi cerita yang lain pula nanti.
“Tak ada apa? Mustahil!” Alia gelengkan kepala. Menunjukkan dia tak percaya dengan kata-kata aku.
Dan serentak dengan itu bas berhenti di depan hentian itu. Aku tanpa menunggu lama dan tanpa pamitan dengan Alia, terus beratur untuk masuk ke dalam perut bas. Aku hanya biarkan Alia yang masih terpinga-pinga dan tak puas hati.
Hiruk-pikuk bunyi bising para penumpang di dalam bas langsung tak menghalang aku dari berfikir ke lain. Memang seharian hari itu aku langsung tak henti dari fikirkan peristiwa pagi tadi.

TELEFON berlagu kuat tanda ada panggilan masuk. Asalnya dia tak mahu hiraukan panggilan itu. Tapi apabila sudah tiga kali berdering, akhirnya dia jawab juga panggilan itu kerana befikir mungkin ada panggilan penting. Tanpa melihat nama pemanggil, Fayyadh terus menjawab panggilan itu.
“Syah ada kat bengkel ke?” Suara mummynya menampar telinga.
“Ya, mummy.”
“Syah kena tolong mummy. Mummy ada kat klinik ni.”
What?!”  Fayyadh sangat-sangat terkejut dengan perkhabaran dari Puan Irdina.
“Syah datang dulu ke sini, nanti mummy ceritakan.” Puan Irdina mententeramkan Fayyadh. Dia tak mahu anaknya panik.
“Yalah, yalah.” Kelam-kabut Fayyadh memutuskan panggilan dan keluar dari bengkel.
“Amir, kau jaga bengkel sekejap. Aku ada hal kat luar.” Sempat dia berpesan kepada pekerjanya.
“Okey bos,”
Sepuluh minit kemudian, Fayyadh sampai di klinik yang mummynya cakapkan itu. Meluru dia masuk ke dalam klinik. Nampak saja Puan Irdina, dia terus menerpa ke arah mummynya yang duduk berhampiran kaunter ubat.
“Kenapa mummy? Mummy sakit ke?” tanpa menunggu lama, Fayyadh terus menyoal.
Mummy kena ragut tadi,”
“Habis tu, teruk tak? Ada luka-luka?” Fayyadh sibuk membelek lengan Puan Irdina. Manalah tahu kalau-kalau ada luka.
“Tak. Mummy tak ada luka-luka. Tapi…”
Serentak dengan itu pintu bilik doktor ditarik dari dalam. Keluar seorang remaja lelaki dari balik daun pintu. Puan Irdina pantas menerpa ke arah remaja lelaki itu. Fayyadh lihat lengan lelaki itu berbalut.
“Adik tak apa-apa ke?” Puan Irdina menyoal remaja itu.
“Tak ada apa, sikit aje ni.”
“Adik siapa nama?”
“Ashman.”
“Ashman duduk dulu sebelah anak auntie, ya. Auntie nak bayarkan ubat dulu.”
Selepas membuat pembayaran, Fayyadh merapati Puan Irdina.
“Siapa tu mummy?”
“Nanti mummy cerita.” Puan Irdina merapati Ashman. “Jom Ashman, auntie hantarkan mummy. Ashman tinggal kat mana ya?”
“Err… tak apa ke? Kalau menyusahkan auntie, saya boleh balik sendiri.” Ashman dapat melihat riak muka tak senang di wajah anak lelaki wanita yang bergaya ini.
“Tak apa. Bila auntie cakap auntie nak hantar, maknanya auntie akan hantar ya. Jangan risau.” Puan Irdina senyum ke arah Ashman.
Mummy,” Fayyadh panggil Puan Irdina. Dia tak selesa sebenarnya. Selagi mummynya tak ceritakan letak duduk perkara, selagi itulah dia akan tertanya-tanya.
“Apa dia Syah?”
Fayyadh gerakkan bibir tanda mahukan penjelasan.
“Nanti mummy ceritakan segala-galanya.” Kata Puan Irdina. “So, sekarang kita hantar Ashman balik rumah dia dulu, ya. Ashman, rumah kat mana ya?”
“Err… Taman Intan.”
“Oh, dekat sangat tu. Jom.”

“ASSALAMUALAIKUM,”
“Wa’alaikumussalam. Man! Ya Allah. Kenapa dengan kamu ni?” Puan Mastura tersangat terkejut melihat tangan anaknya yang berbalut itu. Ketika kereta mewah itu berhenti di hadapan rumahnya pun dia sudah pelik semacam. Inikan pula melihat lengan anaknya yang berbalut itu.
“Sikit aje ni umi,” Ashman tak mahu uminya terlebih risau. Luka kecil saja ni.
“Puan, saya Irdina. Puan?” Puan Irdina menegur Puan Mastura. Tangan dihulur untuk bersalam. Puan Mastura menyambut huluran itu dengan wajah tertanya-tanya.
“Saya Mastura. Eh, jemput masuk. Kita cerita kat dalamlah senang,” Puan Mastura mempelawa tetamu yang tak dijangka itu masuk.
Puan Irdina dan Fayyadh hanya menurut. Dalam masa yang sama, mata Fayyadh sibuk memandang sekeliling ruang tamu itu. Macam apa entah dia pandang rumah itu.
“Duduklah dulu, saya buatkan air sekejap.”
“Eh, tak payah susah-susah. Kami datang bukannya nak minum. Kami datang ni cuma nak hantar Ashman. Rasanya akak lagi tua dari Mastura, jadi akak bahasakan sebagai akak sajalah ya.” Puan Irdina laju menegah.
Puan Mastura tak jadi melangkah ke dapur. Dia duduk di kerusi berhadapan dengan Puan Irdina.
“Sebenarnya begini. Pertama sekali, akak nak minta maaf dan berterima kasih dengan Mastura. Ashman jadi begitu kerana mahu selamatkan akak. Tadi, beg akak kena ragut. Kerana panik akak tak tahu nak buat apa. Akak hanya sebut tolong, tolong aje. Masa tulah anak Mastura muncul. Ashman yang kejar peragut tu. Tapi nasibnya kurang baik sedikit kerana selepas dia dapat pegang kembali beg akak, peragut tu tolak Ashman. Sebab itulah lengan Ashman luka kerana bergesel dengan jalan raya.Mastura jangan risau, tadi akak dah hantar Ashman ke klinik. tak ada kecederaan dalaman. Cuma luka tu saja.” Cerita Puan Irdina.
Puan Mastura bagai terpempam. Rasa percaya dan tak percaya tu sama banyak.
“Man,” Puan Mastura sebut nama anaknya. Ashman sudah menunduk. Bimbang juga jika dia akan kena marah dengan uminya.
“Ashman tak salah-apa-apa. Akak minta maaf Mastura.” Puan Irdina berasa bersalah pula.

AKU masuk ke dalam perkarangan rumah dengan rasa pelik. Sebuah kereta tersadai di depan pintu pagar menarik perhatianku. Kereta BMW 7 Series tu! Sempat aku menilik kereta mewah itu sebelum masuk ke dalam rumah. Kereta idaman aku tu! Tapi siapa yang datang ni? Kereta mewah, mesti orang kaya.
“Assalamualaikum,” salam wajib dihulur sebelum masuk ke dalam rumah.
“Wa’alaikumussalam,” terdengar macam ramai pulak yang menjawab salam aku tu. Siapa eh?
Kaki memijak lantai rumah. Aku pandang satu per satu wajah diruang tamu itu. Siapa ni umi? Aku menyoal di dalam hati. Jangan kata mereka ni saudara jauh kita orang! Aku tak boleh terima kalau itu kenyataannya.
“Yaya, mari sini.” Umi menggamit aku mendekatinya. Aku menurut. “ Ini umi kenalkan. Puan Irdina. Kak, ini anak kedua saya. Delisya. Kami panggil Yaya saja. Sebelah tu anak lelaki Puan Irdina. Apa namanya tadi? Lupa pulak mak cik.” Ramahnya umi perkenalkan tetamu tu. Aku dah pelik semacam ni.
“Fayyadh,” sepatah lelaki itu menjawab.
“Ha… tulah namanya. Susah betul mak cik nak sebut.”
Aku menyalami tangan Puan Irdina itu. Lelaki sebelah Puan Irdina itu asyik sekali memandang aku. Aku kenal lelaki itu!
“Baru balik kerja ke?” ramah Puan Irdina menyoal aku. Sedangkan aku kalau boleh nak terus naik ke bilik. Rimas dan tak selesa bila berlama-lama di situ.
“Haah,”
Lalu aku meminta diri untuk ke atas dengan alasan mahu berehat. Puan Irdina mengangguk. Aku cepat-cepat ke bilik. Dalam masa yang sama, kepala aku ligat berfikir. Dia? kenapa dia ada kat sini? Maknanya dia dah kenal rumah aku?! Oh my! Serius aku rasa mahu menjerit! Dialah satu-satunya insan yang tahu di mana rumah aku.
Aku rebahkan badan di atas katil. Dalam masa yang sama aku berdoa di dalam hati. Cepatlah mereka tu balik. Aku tak sabar nak korek cerita dari umi ni.
Sedang aku bergolek-golek di atas katil, telingaku menangkap bunyi deruman kereta. Dah balik ke? Laju aku bangun dari pembaringan. Pertama sekali, intai dari tingkap. Senang. Tak payah terus turun ke bawah. BMW 7 Series tu dah tak ada! Dan aku melompat dan berlari anak ke tngkap bawah.
“Umi!”
“Ya. Allah! Apa duk panggil macam tu Yaya? Tak manis langsung.” Umi tegur aku.
“Tak ada maknanya manis ke tawar ke apa ke. Yaya pelik ni. Yang tadi tu siapa umi?” aku terus menyoal.
“Pergi tanya Man.” Umi jawab sambil tangan ligat mengutip cawan dan piring yang telah digunakan tadi dan diletak di atas talam.
“Pulak dah. Kenapa pulak?” aku tak puas hati.
“Pergi sajalah, Yaya.” Umi menghilang ke dapur dan meninggalkan aku yang masih tertanya-tanya.
Kaki memberat ke bilik Ashman. Apa yang Ashman buat kali ni sampai ada orang datang ke rumah?
“Man,” pintu bilik Ashman aku tolak dengan kaki.
“Hei, apa hal ni?” terkejutnya aku apabila melihat tangan Ashman berbalut begitu. Pagi tadi elok aje aku tengok tangan tu. Alih-alih petang ni dah berbalut pula.
“Sikit ajelah ni kak.” Ashman larikan lengannya dari aku.
“Sikit apa macam ni. Nampak macam teruk aje ni. Kau kena apa ni? Yang tadi tu siapa pulak?” aku memang mudah risau bila lihat adik-beradik aku jadi macam tu.
“Terjatuh je sikit.” Ashman masih nak berselindung.
“Jatuh? Macam ni jatuh? Jangan nak tipu akaklah. Ni dah macam accident aje ni. Man, cuba cakap betul-betul.” Aku tekankan suara supaya nampak bersungguh.
“Man tolong makcik tadi tu. Beg dia kena ragut.”
“Oh. Kira berlagak jadi herolah ni. Lepas tu tangan sendiri yang luka.” Aku tak puas hati.
“Ni yang malas nak cerita kat akak ni. Mesti salahkan Man.” Ashman pulak tunjuk rasa tak puas hati.
“Dah nampak terang-terang kat situ. Akak bukan salahkan Man. Tapi kalau nak tolong tu beragaklah. Ini dah lebih kalau kita pula dapat luka-luka macam ni.”

Entah kenapa, aku pula yang naik angin. Kerana melihat tangan Ashman yang terluka atau pun memikirkan siapa yang telah Ashman selamatkan tadi. Aku berlalu ke bilik. Allahuakbar! Kenapa dengan aku ni?