Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 26 November 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 30


Keesokannya, ketika aku sedang bersiap untuk ke tempat kerja, tiba-tiba Ariff bersuara. Tak pernah-pernah sebelum ini dia nak bercakap dengan aku.
“Lepas balik kerja nanti, tolong kemas semua pakaian kau. Pakaian aku, pandai-pandailah aku kemas sendiri. Malam ni kita akan pindah keluar dari sini.” Dingin saja nada yang di gunakan.
Tanpa sempat aku bertanya dengan lebih lanjut, kelibatnya sudah memasuki bilik mandi. Hisy, dia ni. Tak sempat aku nak tanya, dah lari. Dua tiga hari lepas punyalah tak larat seperti orang tengah sakit berat. Bangun pagi ni okey pulak. Tak ada pun ucapan terima kasih. Aku bukanlah berharap sangat. Tetapi hargailah orang yang pernah menolong kita. Bukan wang ringgit yang aku dambakan. Hanya ucapan terima kasih. Itu sahaja.
Kepalaku kembali berputar memikirkan permintaan yang baru saja di ucapkan oleh Ariff. Tapi kenapa pula perlu pindah keluar dari rumah ini. Okey apa duduk kat sini. Tak pernah ada masalah pun. Kalau ada masalah pun, dia je yang bermasalah. Aku okey je. Tapi, kemana dia nak bawa aku? Ah, lama-lama berfikir nanti aku jugak yang lambat ke tempat kerja. Huh, baik aku turun dulu.
Sampai di meja makan, aku lihat tiada orang pun di situ. Hanya makanan yang terhidang di atas meja itu. Di dalam kepala, aku sedang berkira-kira antara mahu makan atau tidak. Bila mataku terpandang jam digital yang tergantung di dinding rumah, aku terus memadamkan rancangan di dalam kepala untuk menjamah sarapan pagi. Mana tak jadinya kalau jam sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi. Dah lambat. Mana lagi nak ke pejabat. Mesti jammed di atas jambatan pagi ni.
“Eh, dah nak pergi ke? Tak makan dulu?” Mak Yam yang baru muncul dari dapur bertanya. Ketika itu aku sudah berada di muka pintu utama.
“Taklah, Mak Yam. Sarah dah lambat ni. Takut jam pula atas jambatan nanti. Sarah pergi dulu, ya.” Setelah menghabiskan kata-kata aku terus bergegas ke arah garaj.
Perlahan-lahan motorsikal yang aku parkir di dalam garaj aku heret. Semua isi rumah aku tidak tahu sudah ke mana. Hanya kelibat Mak Yam saja yang aku nampak. Farah pula mungkin sudah berada di sekolah sekarang ini dan abah mesti sudah sampai di pejabat ketika ini. Cuma kelibat ibu aku tidak tahu ke mana. Mungkin masih di bilik.
Sepuluh minit kemudian, aku sudah berada di atas Jambatan Sultan Mahmud. Jambatan yang merentasi bandar Kuala Terengganu dengan Pulau Duyung. Merupakan jalan kedua yang menghubungkan bandar Kuala Terengganu dengan pulau yang terkenal dengan pembuatan bot tradisional selepas jambatan di Kampung Manir. Dahulu, jambatan ini mempunyai tol berbayar. Tetapi setelah negeri ini mengalami peralihan kuasa pemerintah, sistem tol di hapuskan.
Ketika aku melalui Jalan Sultan Omar, barulah aku teringat yang aku belum lagi bersarapan pagi. Lantas, apabila terlihat sebuah gerai makanan di tepi jalan, terus saja aku memberi isyarat ke tepi sebelum memberhentikan motor. Aku turun dari motor dan berjalan ke arah gerai itu. Yang terhidang di hadapan mata adalah pelbagai jenis kuih-muih dan pilihan nasi. Aku membeli sedikit kuih karipap dan kuih mek comel.
Nasi yang berbungkus di dalam kertas itu pada mulanya memang menarik perhatianku. Tetapi bila di fikirkan yang masa yang tinggal sangatlah singkat. Bimbang nanti tidak sempat pula. Jadi aku memutuskan untuk membeli kuih muih saja. Setelah melakukan pembayaran, aku kembali semula ke motorsikalku. Pemanduan di teruskan menghala ke pejabatku.
Sesampai di pejabat, semua rakan sekerja sudah berada di meja masing-masing. Cuma aku yang sedikit terlewat hari ini. Handbag aku letakkan di dalam laci seperti biasa. Tinggal dua puluh minit lagi sebelum kaunter di buka, aku cepat-cepat bergegas ke bahagian pantri dan tanganku pantas mencapai mug yang bertanda namaku. Aku membuat air milo segera dari paket-paket kecil yang telah tersedia di situ di dalam mug itu.
Setelah siap air yang di buat, aku melabuhkan punggung di atas kerusi yang memang tersedia di situ. Kuih yang aku beli tadi aku makan perlahan-lahan. Nak makan laju-laju nanti tersedak pulak. Aku hanya menjamah dua ketul karipap dan dua ketul mek comel. Sedangkan tadi aku membeli serba seringgit. Kuih yang berbaki itu akan aku bagi kepada rakan sekerja yang lain. Bila merasakan jam sudah menghampiri pukul 9.00 pagi, cepat-cepat aku habiskan air di dalam mug. Kemudian mug itu aku basuh dan aku kembali semula ke mejaku.

Tengahari itu, Encik Abdul Rahman ada balik untuk makan tengahari. Ariff Zulkarnain pula pada ketika itu baru saja selesai mandi. Dia berasakan inilah masa yang sesuai untuk dia khabarkan kepada ibu dan abahnya. Dia turun ke tingkat bawah dari biliknya. Kelihatan ibu dan abah sedang menjamu makanan tengahari.
“Ibu, abah. Ariff ada perkara yang nak bincangkan dengan ibu dan abah.” Ariff Zulkarnain memulakan kata.
“Emm, apa-apa pun mari makan dulu. Lepas ni, boleh kita bincang. Lagi pun tak elok bercakap di depan rezeki.” Ibu membalas kata anaknya itu.
Ariff Zulkarnain akur. Lantas, dia menarik kerusi dan duduk. Nasi dari mangkuk besar di senduk ke dalam pinggannya. Cukup hanya dua senduk. Mengenangkan perkara yang akan dia khabarkan kepada orang tuanya, seleranya jadi tertutup. Sedikit sahaja lauk di sudukan ke dalam pinggannya. Kari ayam, sayur labu dan ikan masin goreng yang terhidang di hadapan mata sedikit pun tidak mampu membuka seleranya.
Sedikit saja nasi yang masuk ke dalam mulutnya. Selebihnya hanya di biarkan tak terusik. Dari ekor mata, dia lihat abahnya begitu berselera makan pada ketika itu. Sisa-sisa yang tidak dapat di habiskan itu dia bawa ke dapur. Setelah itu, dia menanti ibu dan abahnya di ruang tamu. Sementara menanti, dia menekan butang on pada alat kawalan jauh televisyen. Tetapi tiada satu pun siaran di televisyen dapat menenangkan perasaannya ketika ini.
Dadanya ketika ini berdebar kencang. Berdebar memikirkan penerimaan oleh ibu dan abahnya apabila di khabarkan dengan berita perpindahannya. Dia dapat mengagak yang ibunya tidak akan bersetuju dengan cadangannya itu. Tetapi berlainan pula dengan Encik Abdul Rahman, dia dapat merasakan yang abahnya dapat menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.
“Ehem, apa perkara yang penting yang nak bincang dengan abah dan ibu?” Encik Abdul Rahman bertanya dan semerta dengan itu terbang semua apa yang Ariff Zulkarnain menungkan tadi.
Sambil itu, pasangan suami isteri itu duduk di atas sofa bertentangan dengan anak ketiga mereka itu.
“Emm, jika Ariff bagitahu, abah dan ibu jangan terkejut, ya. Sebenarnya, Ariff dan Sarah akan pindah dari rumah ini. Ariff harap abah dan ibu tidak membantah keputusan yang telah kami buat ini.”
Ariff Zulkarnain sedar ada riak terkejut di wajah ibu di saat dia memberitahu apa perkara penting itu. Ibu mungkin tidak bersetuju. Sama seperti apa yang dia jangkakan seketika tadi. Manakala Encik Abdul Rahman hanya mempamerkan wajah yang tenang.
“Kalau kamu nak pindah dari sini, di mana kamu hendak tinggal?” hanya soalan itu yang meluncur keluar dari bibir Encik Abdul Rahman setelah terdiam seketika.
“Ariff ada beli rumah di Kuala Ibai. Dah lama rumah tu tinggal kosong. takut juga jika Ariff tinggal tanpa orang duduk di situ, rumah itu di ceroboh pula nanti.” Alasan yang dia tuturkan sekadar untuk menyelamatkan diri sendiri.
“Abah tiada bantahan. Tetapi ibu kamu tu seperti ada yang nak di kata saja. Cuma ingat pesanan abah, kamu mesti jalankan tanggungjawab kamu apabila duduk di sana. Ibu dan abah tiada untuk menegur.” Ariff Zulkarnain menganggukkan kepala mendengar nasihat abahnya itu.
“Habis, jika kamu dah kerja nanti, sarah macam nama? Takkan dia nak tinggal di sana seorang diri.” Akhirnya mulut Puan Junaidah bersuara juga.
“Apabila Ariff kembali ke laut nanti, Sarah boleh ke sini jika dia takut tinggal seorang diri di sana. Ataupun Farah boleh temankan dia di sana.”
“Kalau itulah yang Ariff rasakan terbaik untuk rumah tangga kamu, kami tidak akan bantah. Dan kami berharap apa yang kamu putuskan itu adalah yang terbaik buat kamu. Emm, takpelah. Abah nak naik dulu. Nak bersiap, lepas ni ada temujanji dengan Datuk Shaari.”
Lalu, abah bangun dan melangkah ke arah tangga. Manakala ibu juga turut bangun, tetapi menghala ke arah belakang rumah. Dan Ariff Zulkarnain termanggu di atas sofa itu.

Petang itu aku pulang dari pejabat ketika azan maghrib hampir berkumandang. Biasalah, waktu puncak seperti sekarang. Terperangkap di dalam kesesakan jalanrayalah.
“Aik, ada pulak dia di rumah petang ni. Biasa-biasanya masa ni tak lekat di rumah. Asyik keluar saja.” Aku berkata perlahan bila terpandangkan kereta milik Ariff terparkir di dalam garaj.
Sebaik saja aku melangkah memasuki rumah, kedengaran azan maghrib berkumandang dari masjid berhampiran. Seperti biasa, ketika ini keadaan di dalam rumah sunyi sepi. Semua isi rumah dengan hal masing-masing. Eh, ketika aku ingin melangkah mendaki tangga, aku terdengar bunyi televisyen. Dan bila kau menjengah ke arah tempat terletaknya peti hiburan itu, aku lihat ada seseorang sedang duduk di atas sofa sambil menonton televisyen yang terpasang itu.
Dari arah belakang, aku tidak dapat mengecam siapa empunya diri itu. Nak kata Farah. Bukan. Sebab rambut Farah tidak pendek seperti rambut orang itu. Apabila langkah yang aku atur semakin hampir dengan sofa itu, barulah aku tahu siapa orang itu. Ariff! Aku tidak jadi untuk meneruskan langkah. Sebaliknya, aku berpusing dan terus ke tingkat atas.
Sebaik saja pintu bilik di buka, aku lihat ada sebuah beg yang telah siap sedia untuk di bawa pergi. “Aik, beg siapa pulak ni?” seperti orang bodoh saja bila aku tertanya sendirian. Kalau bilik ini di huni oleh aku dan Ariff, milik siapa lagi beg itu jika bukan milik aku atau Ariff. Terlintas di dalam kepalaku apa yang telah Ariff khabarkan kepadaku sebelum aku berangkat ke tempat kerja pagi tadi.
Cepat-cepat aku melangkah ke arah almari yang selama ini menjadi tempat penyimpanan pakaianku. Tangnku baru saja mencapai sehelai baju, barulah aku teringat yang aku belum lagi menunaikan solat maghrib sedangkan azan sudah berkumandang lima belas minit yang lalu. Aku menutup kembali pintu almari dan melangkah ke arah bilik mandi.
Eh, apasal kelam-kabut sangat aku hari ni. Aku berpatah balik semula ke arah almari. Pintu almari di buka semula dan aku mencapai tuala serta baju tidur yang akan aku sarungkan ke tubuh.  Dan selepas itu barulah aku melangkah masuk ke dalam bilik mandi.
Selesai mandi dan menunaikan solat, aku melangkah semula ke arah almari. Beg yang tersimpan kemas di dalam almari itu aku bawa keluar. Semua baju-baju aku yang terdapat di situ aku keluarkan. Semua baju-baju itu aku lipat elok-elok agar muat dengan begku itu. Siap melipat pakaian, aku turun ke tingkat bawah.
Di bawah, aku lihat tempat yang Ariff duduk tadi sudah berganti dengan kelibat Farah. Entah kemana dia menghilang. Aku menyertai Farah.
“Tak chatting ke malam ni?” aku bertanya kepada Farah tentang hobinya yang satu itu.
“Taklah, akak. Takde kawan yang online. Jadi, layan tv lah.” Jawab Farah.
“So, macam mana dengan kawan chat Farah tu? Apa nama dia, ya? Dzulfikri, kan?” aku mula mengorek tentang kawan chatnya yang pernah aku jumpa itu.
“Yup, Zul. Dia dengan Farah, okey. Sekadar kawan biasa.”
“Aik, lain macam je akak dengar. Ada masalah ke?” aku terus-terusan bertanya.
“Emm, apa pendapat akak kalau Farah ni bercinta?” aku sedikit pun tidak terkejut dengan apa yang keluar daru mulut Farah itu.
“Kenapa? Zul ajak Farah jadi couple ke?”
“Emm, macam tulah lebih kurang. Apa pendapat akak?”
“Kalau akak la, akak tak terima. Bukannya putus kawan dengan dia. Akak akan minta dengan dia, yang kita tidak couple buat masa sekarang. Kawan dulu. Kan Farah tak lama lagi akan menghadapi peperiksaan. Lepas exam barulah Farah fikir dengan apa yang dia cadangkan itu.” Aku memberikan cadanganku.
“Lagi pun Farah baru sangat kenal dengan Zul tu. Tak sampai lagi lima enam bulan. Susah untuk kita tahu hati perut orang dalam masa sesingkat itu. Adalah lebih baik kawan dulu. Dan dalam proses berkawan tu, Farah kenallah hati budi dia macam mana. Panas baran ke dia tu atau seorang yang baik hati. Dalam masa bercinta, kita tidak akan nampak semua itu. Masa tu semua baik, pijak semut pun tak mati.” Tambahku lagi.
Farah menganggukkan kepala.
“Farah fikirlah, ya. Akak nak ke dapur dulu.” Aku memberi ruang untuk dia berfikir setiap kata yang aku luahkan itu.
Apa yang di alami oleh Farah itu adalah salah satu daripada cabaran dan rencah yang perlu di tempuhi oleh seorang remaja. Pada saat bergelar remajalah paling banyak sekali cabaran yang perlu di tempuhi. Lebih-lebih lagi apabila di saat peperiksaan penting semakin hampir. Aku tahu semua itu. Kerana aku pernah menjadi seorang remaja tetapi aku cuma tidak pernah mengalami cabaran bercinta ketika remaja.
Bagi keluarga aku, bercinta ketika belajar adalah sesuatu yang sangat tidak di sukai oleh emak dan ayahku. Mereka begitu menjaga anak-anak mereka. Zaman sekarang bermacam perkara yang tidak kita duga akan terjadi. Di kampungku pula, semakin hari semakin ramai anak gadis yang ‘di tebuk tupai’. Itulah yang sangat di takuti oleh emak dan ayahku jika terjadi kepada anak-anaknya.
Di dapur, aku lihat ibu sedang membantu Mak Yam menyediakan makan malam. Aku menghampiri mereka.
“Emm, sedapnya bau lauk.” Aku bersuara.
Lantas, mereka berdua berpaling ke arahku.
“La, Sarah rupanya. Ibu yang masak, memanglah sedap.” Mak Yam membalas kata-kataku.
Aku mengambil pinggan yang di perlukan untuk di letakkan di atas meja makan. Kemudian, aku kembali semula ke arah dapur. Lauk-pauk sudah siap sedia di letakkan di dalam mangkuk untuk di hidangkan di atas meja makan. Aku menatang mangkuk berisi lauk-pauk dan di bawa ke depan. Mak Yam juga ada menatang lauk dan di bawa ke depan.
Setelah siap menghidang lauk-pauk, aku ke arah ruang tamu semula. Aku lihat Farah masih lagi di situ, peti televisyen juga masih terpasang tetapi mata dan tumpuan Farah tidak di situ. Sebaliknya mata dan tumpuannya terarah pada telefon bimbitnya. Mungkin sedang membalas mesej.
Mataku terpaku pada berita yang di siarkan di televisyen. Berita menyiarkan tentang kekejaman Israel yang tidak sudah-sudah menyeksa rakyat Palestin. Pelbagai kecaman di buat terhadap Israel tetapi setiap kecaman yang di lancarkan seakan tidak memberi kesan sedikit pun kepada Israel. Sebaliknya, rakyat Palestin semakin di tindas dan di seksa.
Aku bersyukur di lahirkan dan di besarkan di negara yang aman seperti Malaysia ini. Tidak dapat aku bayangkan jika aku berada di sana dan aku merupakan salah seorang mangsa yang menderita seperti yang di tunjukkan di kaca televisyen. Ya ALLAH, menderitanya mereka di sana. Di dalam hati aku titipkan Surah Al-Fatihah kepada umat Islam yang menderita di sana.
“Akak, jom makan. Abah dah balik tu.” Aku tersentak bila mendengar suara Farah memanggilku. Tidak aku sedar yang abah sudah pulang dari masjid. Sungguh jauh aku mengelamun.
Setelah itu, aku lihat Farah naik ke tingkat atas. Mungkin pergi memanggil abangnya. Seketika kemudian kedengaran laungan Farah dari tingkat atas menyuruh abangnya turun makan malam.

Jumaat, 19 November 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 29



Aku menatang dulang yang berisi sisa makanan turun ke bawah. Sejak dari aku berada di atas tangga lagi, sudah kedengaran suara ibu dan Mak Yam berbual. Beberapa langkah sebelum aku menjejakkan kaki di dapur. Sudah tiada lagi suara mereka berbual. Senyap sunyi saja. Sebaik saja aku menjengah dapur, aku lihat ibu duduk di atas kerusi di dapur dan Mak Yam pula sibuk memanaskan masakan siang tadi untuk di hidangkan ketika makan malam nanti.
Aku membawa dulang ke singki. Lalu, aku membasuh semua pinggan mangkuk dan mug yang berada di dalam dulang itu. Aku meletakkan kembali mug dan pinggan mangkuk yang baru aku basuh ke tempat yang aku ambil tadi.
“Untuk siapa makanan yang Sarah bawa tadi?” tiba-tiba ibu bertanya kepadaku.
Aku memandang sambil melemparkan senyuman kepada ibu sebelum menjawab soalan ibu itu.
“Makanan tu untuk Abang Ariff.” Pendek saja jawapanku.
“Kenapa dengan Ariff? Dia sakit ke?” banyak pula soalan dari ibu.
“Entahlah. Bila Sarah kejut dia dari tidur tadi, dia lemah sangat. Macam orang tak ada tenaga. Sarah bagi dia minum air dan Sarah suruh dia bangun dan mandi. Lepas tu, Sarah turun ke bawah ni. Sarah tanya dekat Mak Yam yang Abang Ariff ada makan ke tak hari ni. Dan Mak Yam kata Abang Ariff tak makan lagi hari ini. Sebab tulah Sarah bawa makanan naik ke atas.” Panjang lebar aku menerangkan kepada ibu.
“Oh, macam tu.” Pendek saja tindak balas ibu.
Setelah itu aku meminta izin untuk ke ruang tamu. Dan dengan lebih senang lagi, aku ingin melarikan diri dari pelbagai soalan dari ibu. Lagi pun lebih baik aku ke ruang tamu sementara menunggu masa untuk menghidangkan makan malam memandangkan malam ini Mak Yam hanya akan menghidangkan makanan tengahari tadi yang di panaskan semula.
Untuk ke bilik tidak sekali-kali kerana Ariff ada di atas. Walaupun dia tengah tidur sekarang ini, aku tidak akan ke bilik. Tidak betah aku jadinya. Tak tahu hendak buat apa. Aku rasakan seperti Ariff sedang memerhatikan aku. Sedangkan dia sedang tidur. Ah, hanya perasaanku saja.

Sudah dua hari berlalu peristiwa Ariff Zulkarnain tidak bermaya kerana seharian tidak menjamah makanan. Sedikit pun dia tidak mengucapkan terima kasih kepada perempuan itu. Perempuan yang telah menyediakan makanan untuknya. Dia merasakan yang dia tidak memerlukan berterima kasih kepada perempuan itu. Sekali dengar, seperti kejam saja. Tapi itulah yang dia rasakan.
Sekarang ini dia dalam perjalanan ke Medan Selera Tanjung kerana dia ada pertemuan dengan sahabat baiknya, Ridhwan. Mereka sudah berjanji untuk bertemu dia sana. ada perkara yang ingin Ariff Zulkarnain bincangkan. Kali ini mereka sama-sama berada di darat. Tidak seperti kebiasaanya, jika aku berada di darat, dia akan berada di atas kapal.
Lima belas minit memandu dari rumah orang tuanya, dia akhirnya sampai di tempat yang di tuju. Jalanraya ketika ini lengang saja. Tidak sesibuk seperti waktu puncak. Dah hampir tengah malam mana tak lengangnya jalan. Apabila sampai, Ariff Zulkarnain terus memandu masuk ke petak tempat letak kereta yang kosong. Setelah di yakini posisi kereta tidak menggangu laluan kereta lain, dia berjalan ke arah salah satu kedai yang selalu dia kunjungi.
Jika tadi keadaan di atas jalanraya adalah lengang, tetapi berlainan sekali keadaannya di sini. Keadaan di sini penuh sesak dengan pelanggan yang datang menjamah hidangan lewat malam. Ariff Zulkarnain terintai-intai juga jika ada meja yang kosong. Dan akhirnya dia menemui satu meja yang baru sahaja di tinggal pergi oleh sekeluarga yang datang makan di situ.
Cepat langkah yang dia atur agar tempat itu tidak di sambar oleh orang lain. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi dan seketika kemudian datang salah seorang pelayan kedai makan itu untuk mengutip pinggan dan gelas kotor yang berada di atas  meja itu. Setelah itu, meja itu di lap dengan kain pula. Sambil tangan pelayan itu ligat mengelap meja, sambil itu juga pelayan itu bertanya kepada Ariff Zulkarnain.
“Nak minum apa, bang?”
“Emm, bagi teh tarik satu.” Ariff Zulkarnain memesan minuman yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia itu. Mengikut kajian, minuman itu adalah tidak baik untuk kesihatan. Kandungan gula di dalam susu adalah terlalu tinggi.
“Makan, bang?” tanya pelayan itu lagi.
“Nanti saya pesan, ya.” Bagi Ariff Zulkarnain, dia perlu menunggu Ridhwan dahulu. Tidak manis pula nanti bila Ridhwan sampai, dia pula sudah habis makan.
‘Emm, budak ni muda lagi ni. Dalam baya-baya Farah saja.’ Ariff Zulkarnain membuat telahan sendiri apabila melihat kelibat pelayan itu berlalu dari meja yang di dudukinya.
Sementara menanti kehadiran Ridhwan, Ariff Zulkarnain meliarkan pandangan ke arah sekelilingnya. ‘Emm, ramai juga yang suka keluar pada waktu-waktu ini.’ Dia berkata-kata di dalam hati. Kegemerlapan lampu-lampu yang tergantung di atas pokok begitu cantik sekali. Menampakkan lagi suasana suram yang cantik. Bagi pasangan-pasangan yang bercinta, suasana begini adalah sangat romantik.
Dia menghalakan pandangan kepada pengunjung yang turut sama makan di situ. Kebanyakkan mereka terdiri daripada sekumpulan budak-budak lelaki yang riuh bercerita tentang itu dan ini. Daripada cerita pasal bola hinggalah kepada cerita tentang kekasih masing-masing. Di celah-celah mereka, juga terdapat seorang dua rakan mereka membawa teman wanita.
Apabila kepala di halakan semula ke arah meja yang di dudukinya, air teh tarik yang di pesannya tadi sudah berada di atas meja. Entah masa bila pelayan tersebut menghantar minuman itu pun dia tidak sedar. Perlahan dia mencapai gelas itu. Buih yang terhasil apabila air teh itu di tarik di hirup perlahan. Bila habis buih itu dia hirup, gelas di tangan dia letakkan kembali.
Ariff Zulkarnain menyambung kembali pemerhatiannya ke arah sekitar kawasan itu. Rata-rata pengusaha kedai makan sekarang ini memasang saluran berbayar, Astro untuk menarik lebih ramai lagi pelanggan ke kedai mereka. Mereka akan mendapat berlipat kali ganda lagi keuntungan apabila musim bola tiba. Kaki-kaki bola akan melepak di kedai-kedai makan begini sehingga lewat pagi.
Sepuluh minit memerhati gelagat orang ramai yang semakin berkurang, tiba-tiba Ariff Zulkarnain terasa ada tangan yang menepuk bahunya. Pantas kepalanya di palingkan ke belakang.
“Kau ni! Buat terkejutkan aku saja. Lain kali, bagilah salam dulu.” Ariff Zulkarnain marah-marah sambil menggosok-gosok dadanya.
“Assalamualaikum, Encik Ariff.” Ridhwan berkata dengan nada jenaka menyindir.
Dalam menyindir, dia melemparkan senyuman kepada temannya itu. Tanpa di pelawa, Ridhwan melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan tempat duduk Ariff Zulkarnain.
“Tulah, asyik sangat duk perhatikan orang yang lalu-lalang. Sampaikan aku dah sampai pun tak perasan.” Ridhwan memerli sahabat baiknya itu.
Kemudian datang pelayan yang sama ketika mengambil pesanan Ariff Zulkarnain sebentar tadi untuk mengambil pesanan Ridhwan. Ridhwan memesan air limau nipis sebagai minuman dan nasi goreng patayya. Ariff Zulkarnain pula memesan mi goreng mamak memandangkan minuman sudah dia pesan tadi.
Sementara menunggu pesanan yang di pesan sampai, Ridhwan bertanya kepada Ariff Zulkarnain tentang sebab musabab dia ingin berjumpa pada malam itu.
“Ha, kenapa kau nak jumpa aku malam ni? Apa perkara penting yang kau nak bincang dengan aku tu? Dari dalam telefon tadi aku dengar tak sabar-sabar jkau nak jum pa dengan aku.”
Ridhwan tertanya-tanya juga apabila menerima panggilan daripada Ariff Zulkarnain petang tadi. Dari percakapan Ariff Zulkarnain petang tadi menunjukkan perkara yang akan Ariff Zulkarnain bincangkan itu adalah sangat penting. Asalnya Ariff Zulkarnain mahu berjumpa dengan Ridhwan pada petang tadi juga tetapi Ridhwan meminta untuk berjumpa pada malam ini kerana petang tadi dia sedang menerima kedatangan saudara sebelah isterinya yang datang dari Perak.
“Emm, apa pendapat kau jika aku dan perempuan tu pindah dari rumah orang tua aku?” Ariff Zulkarnain mula mengajukan pertanyaan.
Ridhwan sedang minum sedikit minuman yang baru saja sampai. Hampir tersembur dia mendengar soalan yang keluar dari mulut temannya itu.
“Kenapa pulak kau nak keluar dari rumah orang tua kau tu? Elok-elok duduk di sana, kau nak pindah pulak. Dan kalau kau nak keluar dari rumah tu, aku nak duduk ke mana?”
‘Pelik betul kawan aku yang seorang ni, elok-elok duduk di rumah keluarga sendiri nak pindah pulak. Hisy , tak faham betul aku.’ Rungut Ridhwan di dalam hati.
“Aku rasa, bila aku duduk di rumah sendiri, senanglah sedikit. Macam sekarang ni, ibu aku selalu sangat tanya bila aku nak keluar. Bukan ibu aku saja, abah aku pun sama. Hidup aku di dalam rumah tu seperti di kawal saja. Diaorang layan aku macam aku ni budak kecil. Hei, aku dah besarlah. Dah ada isteri pun. Huh, bosan betul aku.” Ariff Zulkarnain meluahkan rasa tidak puas hatinya.
‘Huh, mengaku juga yang dia tu dah beristeri. Dulu punyalah tak setuju bila orang tuannya telah tetapkan jodoh untuk dia. Huh, Ariff, Ariff.’ Ridhwan berbicara di dalam hati. Tanpa di sedari, bibirnya mengukirkan senyuman.
“Eh, yang kau senyum-senyum ni kenapa?” sergah Ariff Zulkarnain. Terus lenyap apa yang terlintas di fikirannya tadi. Dan senyuman di bibirnya juga tiba-tiba mati.
“Dahlah kepala aku ni tengah bengang, boleh kau senyum-senyum.” Ariff Zulkarnain masih lagi marah-marah.
“Alah, kau ni. Aku baru je senyum, kau dah marah macamlah aku ni ada buat kesalahan besar. Bukan apa. Aku senyum tadi bila dengar kau kata yang kau dah beristeri. Akhirnya mengaku jugak yang kau tu dah beristeri. Dulu bukan main bantah bila orang tua kau nak kahwinkan kau. Macam mana hubungan kau dengan dia? Dah baik?” Ridhwan memasang kembali senyuman di bibirnya.
“Eh, kau ni. Lain yang aku tanya, lain pulak yang keluar dari mulut kau. Dahlah soalan aku, kau tak jawab.” Ariff Zulkarnain cuba mengalihkan topik. Dia tidak mahu menjawab soalan yang di utarakan oleh Ridhwan itu.
“Okey, okey. Sebelum kau nak pindah tu aku nak tanya jugak. Kau nak duduk di mana kalau kau nak keluar dari rumah orang tua kau tu? Dan, ibu dan abah kau dah tahu ke tentang isu pindah-memindah ni?” Ridhwan mula beriak serius.
Baru saja Ariff Zulkarnain ingin membuka mulut, menjawab soalan yang di utarakan oleh sahabatnya itu terbantut seketika. Ini kerana datang pelayan menghantar makanan yang mereka pesan tadi. Selesai pelayan itu menghidang makanan, Ridhwan mengucapkan terima kasih kepada pelayan itu.
“Kalau kau tanya di mana aku nak duduk bila aku keluar dari rumah tu. Aku sudah ada jawapan untuk soalan kau tu. Kau lupa ke yang aku sudah beli rumah di Kuala Ibai. Di rumah tulah aku dan dia akan tinggal. Tapi untuk soalan kau yang kedua tu, aku tak ada jawapan. Aku belum lagi memberitahu kepada ibu dan abah aku. Sebab itulah aku nak jumpa kau malam ni. Aku nak minta pendapat kau.”
“Emm, beginilah. Aku nak bagi pendapat pun, aku tak ada pengalaman tinggal berdua. Kau tahulah kan, aku dan isteri aku tinggal di rumah mertua sejak kahwin lagi. Aku cadangkan kau bincanglah dulu dengan ibu dan abah kau. Mintalah pendapat mereka yang lebih berpengalaman. Ada baik dan buruknya jika kau tinggal sendiri ni.” Ridhwan pun tidak tahu mahu berkata bagaimana lagi. Dia bukanlah arif sangat untuk memberi pendapat kepada sahabatnya itu.
Mereka kemudiannya menjamah hidangan yang mereka pesan tadi. Sedang makan, sedang itu juga kepala Ariff Zulkarnain ligat berfikir tentang apa yang temannya itu cadangkan tadi. Betul juga apa yang di katakan oleh Ridhwan. Selesai makan, Ariff Zulkarnain membuat pembayaran untuk mereka berdua. Pada mulanya, Ridhwan ingin membayar makanannya tetapi pantas di halang oleh Ariff Zulkarnain. Dia berkata hendak belanja Ridhwan malam itu. Akhirnya Ridhwan akur.
Mereka berdua berpisah di hadapan kedai makan itu kerana lokasi kereta mereka berlainan tempat. Sebelum berlalu, sempat lagi Ridhwan berpesan kepada sahabatnya itu.
“Kau fikir-fikirlah apa yang aku kata tadi. Sebaik-baiknya kau kena minta pendapat orang tua kau. Jangan ambik tindakan terburu-buru pulak nanti. Ingat tu.”
Ariff Zulkarnain menganggukkan kepala. Sebelum beredar dari situ, mereka berjabat tangan. Ariff Zulkarnain memerhati langkah yang di atur temannya itu sehinggalah kelibat itu hilang di balik kegelapan malam.

Jumaat, 12 November 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 28

Tepat pukul 10.45 pagi, kelihatan kelibat kereta jenis Subaru Impreza masuk ke perkarangan rumah mewah itu. Puan Junaidah yang ketika itu sedang membersihkan bunga plastik di ruang tamu rumah menjengahkan kepala ke tingkat. Ingin melihat siapa empunya kereta itu. Sedangkan dengan sekali imbas saja dia sudah mengetahui pemilik kereta itu.

‘Emm, baru balik. Entah ke manalah semalam.’ Puan Junaidah mengomel di dalam hati.
Setelah kereta di parkir di dalam garaj, muncul kelibat Ariff Zulkarnain dari perut kereta itu. Central lock kereta di tekan dan dia terus menapak ke dalam rumah. Puan Junaidah yang berada di ruang tamu langsung dia tidak hiraukan. Dia menonong saja naik ke tingkat atas. Puan Junaidah pula malas hendak bertanya. Nanti jika di tanya berpanjangan pula. Akhirannya dia juga yang sakit hati.

Ariff Zulkarnain terus saja masuk ke dalam bilik. Tuala yang tersidai di rak penyidai di capai. Dia terus saja berlalu ke bilik air. Dia langsung tidak mandi di rumahnya tadi. Entah kenapa sebaik saja dia terjaga dari tidur, terus saja dia mencapai kunci kereta dan memandu pulang ke sini. Di rasakan seperti ada sesuatu sedang memanggilnya ketika itu.

Selesai membersihkan tubuh, dia mengenakan seluar pendek paras lutut dan baju kolar bulat tanpa lengan. Dengan rambut yang masih basah, dia merebahkan kembali badannya di atas katil. Dengan niat ingin menyambung kembali lena. Perutnya ketika itu memang lapar disebabkan hampir seharian tidak di isi dengan makanan. Tetapi untuk turun ke bawah mencari makanan adalah tidak sekali-kali. Kerana dia tahu jika dia turun ke bawah sekarang, akan kedengaranlah suara ibunya membebel. Sedangkan itulah yang selalu di elakkan.

Dalam menahan lapar, dia terlena juga akhirnya.


Aku sampai di rumah tepat jam menunjukkan pukul 6.15 petang. Ketika motorku memasuki rumah mewah itu, tiada pun kelibat ibu yang biasanya akan membelek pokok-pokok bunganya petang-petang begitu. Dan apabila aku menyorong motorsikal ke dalam garaj, aku lihat kereta Mercedes milik abah tiada di situ. Mungkin ibu mengikut abah keluar. Aku membuat telahan sendiri. Eh, eh. Baru aku perasan yang kereta Subaru Impreza sudah berada di situ. Tidak seperti semalam dan pagi tadi yang tempat itu masih kosong.

Setelah aku mengunci motorsikalku, aku melangkah memasuki rumah. Di ruang tamu tiada orang. Aku menjengah ke dapur. Juga tiada orang. Tetapi pintu dapur yang menghala ke luar rumah terbuka. Aku menghampiri pintu itu. Kelihatan Mak Yam sedang ralit mencabut rumput-rumput kecil yang tumbuh meliar berhampiran dengan pohon-pohon herba yang di tanam untuk memudahkan di saat di perlukan. Tak perlu membeli. Memang perancang ekonomi yang baik.

Mak Yam langsung tidak menyedari tentang kehadiran aku ketika itu. Aku merapati Mak Yam bertujuan untuk mengusiknya. Perlahan-lahan aku berjalan menghampirinya. Dan aku menyergahnya.

“Hah!”

“Oh, mak kau. Eh, budak bertuah ni!” latah Mak Yam sebelum memukul-mukul perlahan belakangku.

Aku ketawa mengekek dengan tindak balas Mak Yam itu. Tak sangka aku yang Mak Yam ni melatah juga.

“Melatah juga Mak Yam ni, ya. Ingatkan tak melatah.” Aku berkata sebaik saja ketawaku reda.

“Dah kamu terperanjatkan Mak Yam. Terkejutlah Mak Yam. Nasib baik Mak Yam ni tak ada sakit jantung. Kalau tak, siaplah Sarah.” Mak Yam bersuara seakan mengugut aku. Aku hanya membalas kata-kata Mak Yam dengan senyum lebar.

“Oh, ya. Ibu mana, Mak Yam?”

“Ibu ikut abah pergi ke hospital melawat salah seorang pekerja abah yang kemalangan.”

“Oh, ya. Teruk ke?”

“Dengarnya teruk juga.”

“Emm, okey lah Mak Yam. Sarah naik ke atas dulu. Nak mandi.” Aku meminta izin untuk ke bilik. Sudah terasa melekit tubuhku ini.

Aku berlalu ke tangga dan naik ke tingkat atas. Sesampai di dalam bilik, aku lihat Ariff terlentang berbaring di atas katil. Lena sekali dia tidur. Aku membuka tudung di kepala apabila sudah memastikan yang Ariff benar-benar tidur dan bukannya sedang berpura-pura tidur.

Setelah itu, aku mengambil tuala dan pakaian tidur yang akan aku pakai berlalu ke bilik air. Setelah mandi, aku keluar dari bilik mandi dengan lengkap berpakaian dan kepalaku berbungkus dengan tuala. Ketika ini, keadaan sekeliling sudah gelap. Aku segera ke suis lampu dan suis di dinding aku tekan. Dan ketika itulah aku baru terperasan yang Ariff masih lagi berbaring di atas katil. Sedikit pun tidak berganjak sejak aku masuk ke dalam bilik tadi.

‘Eh, dia ni sedar ke tak. Bila-bila masa je lagi akan masuk waktu.’ Gumamku di dalam hati.
Aku bergerak ke arah katil. Perlahan-lahan aku mendaratkan tangan di atas katil. Hatiku tengah gusar. Nak gerak ke tak? Tapi kalau aku gerak mesti kena sentuh dia. Kalau tak gerak, aku yang berdosa. Yalah, tak baik tidur maghrib-maghrib ni. Itu yang sedang berlegar di benakku. Eh, boleh juga kalau aku kejutkan dia tanpa sentuh dia. Panggil jelah nama dia. Apa susah. Tiba-tiba terlintas idea tersebut di kepalaku.

“Ariff, Ariff.” Dua kali aku memanggil tetapi dia langsung tidak bergerak. Aku mencuba lagi selepas itu, tetapi dia tak juga bergerak.

‘Eh, apsal dia ni! Orang gerak elok-elok tak nak bangun. Tidur mati ke dia ni.’ Aku mula hilang sabar.

Kerana tidak mahu menyentuh Ariff, aku berlalu ke bilik mandi dan seketika kemudian, aku kembali ke katil dengan sedikit air yang di isi di dalam bekas plastik. Air itu aku renjiskan sedikit ke muka Ariff. Emm, masih tiada tindak balas. Daripada sedikit, aku tambahkan sikit kuantiti air tadi. Tiga kali merenjis, akhirnya ada sedikit tindak balas dari Ariff.

Dia membukakan sedikit matanya. Tetapi badan Ariff masih tidak bergerak. Aku pelik juga. Kenapa pulak dengan dia ni. Mulut Ariff seakan bergerak-gerak. Aku mendekatkan telingaku dengan mulutnya.

“Haus,” hanya itu yang keluar dari mulut Ariff. Itupun lambat-lambat dan perlahan-lahan dia menuturkan perkataan itu. Seperti perit saja dia ingin menuturkan perkataan itu.

Sebaik saja aku terdengar perkataan yang keluar dari mulut Ariff, aku terus saja berlalu ke tingkat bawah. Destinasi yang di tuju adalah bahagian dapur. Mug yang tergantung di dinding berdekatan dengan sinki aku capai. Cepat-cepat aku mengisi mug tersebut dengan air masak. Mak Yam yang turut berada di dapur melihat aku dengan pandangan pelik. Mungkin dia pelik aku terkoncoh-koncoh turn dari bilik dan mengisi air ke dalam mug.

“Sarah dahaga ke?” Mak Yam bertanya bila melihat gelagatku.

“Eh, taklah, ni untuk Abang Ariff.” Aku menjawab sambil kakiku laju menghala ke arah tangga.
Mak Yam menggelengkan kepala melihatkan gelagatku. Sesampai di dalam bilik, aku terus melangkah ke arah katil. Mug yang berisi air masak di letakkan seketika di atas meja kecil di tepi katil. Tanganku ligat memainkan peranan. Sebiji bantal aku tegakkan di belakang kepala Ariff, agar mudah untuk dia minum air nanti. Apabila sudah memastikan yang posisi kedudukan Ariff selesa, aku terus mencapai mug air. Sedikit semi sedikit aku suakan air ke mulutnya. Habis licin air di dalam mug itu. Seperti orang yang teramat dahaga.

“Dah okey ke belum? Kalau boleh jangan sambung tidur selepas ini. Tak baik tidur ketika maghrib. Sebaik-baiknya awak mandi dan tunaikan solat.” Sempat aku berpesan kepada Ariff sebelum aku membawa mug yang di gunakan tadi dan berlalu ke tingkat bawah.

Aku membasuh mug itu. Tiba-tiba muncul Mak Yam dari arah biliknya. Mungkin baru selesai menunaikan solat maghrib.

“Mak Yam, Abang Ariff makan tak tadi?”aku bertanya kepada Mak Yam.

“Rasa-rasa Mak Yam, dia tak makan. Sejak dia balik pagi tadi terus saja dia berkurung di dalam bilik. Tak turun-turun.” Jawab Mak Yam tulus.

‘Emm, patutlah, dahaga sangat tadi. Mesti dia tak makan lagi.’ Aku membuat telahan di dalam hati.

“Emm, Mak Yam masak apa hari ni?” aku bertanya sambil tanganku membuka satu persatu tudung periuk.

Ada lauk ikan singgang, ikan goreng dan sambal udang. Dah cukup tu. Bolehlah aku sediakan untuk Ariff.

Lantas, aku terus mencapai pingan dan di isi nasi ke dalam pinggan itu. Aku mencapai mangkuk kecil pula. Sepotong kecil ikan singgang bersama-sama kuahnya aku isi di dalam mangkuk itu. Manakala seekor ikan selar goreng dan sedikit sambal udang aku letakkan di dalam pinggan bersama dengan nasi. Untuk air pula, aku membancuh air milo panas. Orang kata kalau perut kosong, adalah lebih baik jika minum milo kerana milo boleh mengenyangkan. Semua itu aku aturkan di dalam sebiji dulang.

Sebelum terlupa, sebiji sudu aku letakkan di dalam dulang. Dulang yang telah berisi satu set makan malam aku tatang ke atas rumah. Mak Yam memerhati setiap pergerakkanku. Tetapi dia tidak pula bertanya kepadaku. Ketika aku mendaki anak tangga, aku bertembung dengan ibu yang mahu turun ke bawah. Ibu memandangku dengan pandangan yang pelik. Aku hanya melemparkan senyuman kepada ibu. Dan aku teruskan langkah menghala ke bilik.

Sebaik pintu bilik di buka, aku lihat pakaian Ariff sudah berganti dan rambutnya masih basah. Itu menandakan yang dia baru saja selesai mandi. Dulang berisi segala makanan itu aku letakkan di atas meja kecil yang baru saja aku gunakan tadi. Aku lihat dia memejamkan mata. Tetapi aku tahu yang dia tidak tidur. Dia hanya sekadar memejamkan matanya.

“Awak boleh makan sendiri, kan? Makanlah. Saya nak solat dahulu.” Aku bersuara supaya dia tidak menyambung kembali lenanya.

Selesai berkata-kata, aku terus berlalu ke arah bilik mandi. Tanggungjawabku terhadap ALLAH wajib aku tunaikan. Selesai menunaikan solat maghrib, aku melipat telekung sembahyang dan sejadah yang baru digunakan. Rambutku sudah tidak lagi basah tetapi masih lembab. Untuk tidak menampakkan walau seurat pun rambut, aku menyarungkan skaf ke kepala.

Aku menghampiri meja kecil di tepi katil. Emm, habis licin nasi di dalam pinggan. Lauk ikan singgang masih berbaki sedikit dan air milo juga berbaki setengah mug. Pandanganku di tala pula kepada Ariff. Dia kelihatan menyambung kembali tidurnya. Aku mengambil dulang yang berisi sisa makanan Ariff dan di bawa ke dapur.


Puan Junaidah yang bertembung dengan menantunya, Maisarah Ernieza ketika ingin turun ke tingkat bawah tadi berasa pelik. Menantunya itu menatang dulang yang berisi nasi dan lauk-pauk beserta airnya sekali. Tambahan lagi langkah yang di atur menantunya itu cukup laju. Seperti terkejarkan sesuatu.

Dia tertanya-tanya juga di dalan hati. ‘Takkanlah nak makan di dalam bilik. Sedangkan Sarah biasanya makan sekali di meja makan ketika makan malam. Nak kata lapar, takkanlah dekat pejabat tadi tak makan kot. Lagi pun dah tak lama lagi kita semua akan makan malam.’ Getus hati Puan Junaidah dengan perasaan pelik. Tanpa berfikir panjang dia terus ke dapur kerana telahannya Mak Yam yang berada di dapur mesti mengetahui punca Maisarah Ernieza berkelakuan sedemikian.

“Kak Yam, kenapa dengan Sarah tu? Terkejar-kejar saja. Dan makanan yang dia bawa tu untuk siapa?” Puan Junaidah mula menyoal.

“Entahlah, Jun. Akak pun tak sempat nak tanya banyak-banyak. Cuma akak sempat tanya untuk siapa dia sediakan makanan tu. Dia kata untuk Ariff.” Jawab Mak Yam. “Ha, dia ada tanya yang Ariff ada tak turun makan. Akak jawablah sepanjang dia balik ke sini pagi tadi hinggalah sekarang, Ariff tak turun makan pun.” Tambah Mak Yam.

Puan Junaidah masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang di khabarkan oleh orang gaji yang sudah di anggap seperti kakak sendiri itu. ‘Emm, nanti aku sendiri yang tanya Sarah.’ Puan Junaidah berkata-kata di dalam hati.

Khamis, 4 November 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 27

Dua puluh lima minit juga aku menunggang motorku ini untuk sampai ke rumah mertuaku. Kebiasaanya, masa di ambil untuk sampai ke rumah mertuaku hanyalah lima belas minit dengan menunggang motor. Tetapi di sebabkan hari ini adalah hari minggu, jadi jalan jadi sesak dengan orang ramai berpakat keluar beriadah bersama keluarga tersayang. Kebanyakkan mereka menuju ke arah Taman Syahbandar. Tetapi ketika aku melalui jalan yang berhadapan dengan pasaraya terkemuka, Mydin Mall, orang ramai berpusu-pusu di sana. Hinggakan petak-petak tempat letak kereta tidak mencukupi untuk menampung kebanjiran masyarakat Terengganu.

Aku membawa masuk motorku ke perkarangan rumah besar itu. Aku lihat ibu sedang asyik membelai pokok-pokok bunganya. Bila melihat aku masuk ke perkarangan rumah, aku lihat muka ibu berkeru sedikit. Mungkin pelik. Dan mungkin juga tertanya-tanya kenapa aku membawa balik motor ke sini. Motor aku letakkan seketika di hadapan rumah itu. Enjin aku matikan. Topi keledar di letakkan di dalam bakul motor dan aku menyertai ibu.

“Ibu, sayang betul ibu dengan pokok-pokok bunga ni, ya.” Aku berkata sambil menyentuh salah satu pokok bunga yang ada di situ.

“Memang pun, Sarah. Tak belai pokok-pokok ni dalam sehari, rasa tak senang duduk je.” Ibu tersenyum sekilas kepadaku sebelum menyambung semula ke arah pokok-pokok bunganya.

“Emm, ibu ingat nak tambah pokok bungalah. Apa pendapat Sarah?” tanya ibu kepadaku.
Aduh!! Aku bukannya pandai sangat bab-bab pokok bunga ni. Kalau tanya aku pasal pokok rambutan ke, duku ke, durian ke tahulah aku macam mana nak jawab. Ni tanya pasal pokok bunga. Mana aku ada pengalaman pasal pokok-pokok ni. Gerutuku di dalam hati.

“Err, ibu. Sarah tak pandai pasal pokok-pokok bunga ni. Sarah tak ada pengalaman pasal pokok-pokok ni.” Jawabku jujur.

Ibu memandangku sambil tersenyum. Serentak itu tangannya yang tadi sedang memangkas ranting-ranting kecil turut berhenti. Ibu menghampiriku dan berkata.

“Yang tak pandai tu lah kita kena belajar. Jika kita tak belajar, sampai bila-bila pun kita tak tahu. Betul tak?” laju saja kepalaku di anggukkan tanda menyetujui kata-kata ibu mertuaku.

“Jadi, esok Sarah ada kerja tak? Kalau tak bolehlah temankan ke nursery. Boleh kan?”
Aku berfikir-fikir seketika. Emm, esokkan hari Ahad. Jadi, aku kerja esok. Tapi kalau minggu depan bolehlah.

“Esok? Esokkan Sarah kerja. Tak boleh rasanya. Tapi, kalau minggu depan bolehkan bu?” Aku memberikan cadangan. “Tapi kita nak pergi pukul berapa?” sambungku.

“Minggu depan? Emm, okeylah. Dalam petang jugaklah. Tapi petang pun taklah petang sangat. Dalam pukul tiga okeylah.”

“Oh, okey.” Aku menjawab sambil menyorongkan motorsikal ke dalam garaj.

“Oh ya. Kenapa Sarah bawak motor ke sini? Bukan ke Sarah keluar tadi dengan Ariff?” ibu bertanya kehairanan.

“Memang tadi Sarah keluar dengan abang Ariff, tapi Sarah cuma suruh dia hantar ke rumah mak saja. Lagi pun, Abang Ariff ada kerja tadi. Motor ni pulak senang nanti bila Sarah nak pergi kerja. Tak perlulah susahkan Abang Ariff nak kena hantar Sarah pergi kerja pagi-pagi.” Jawabku tanpa memberitahu cerita sebenar.

“Eh, itu kan memang tanggungjawab dia sebagai suami. Kenapa, dia ada merungut ke?” ibu terus-terusan menekanku.

“Eh, taklah. Abang Ariff tak merungut. Tak apalah ibu, Sarah masuk dulu, ya.” Aku terus meminta izin untuk masuk ke dalam rumah.

Masuk ke dalam rumah adalah alasan yang di cipta untuk mengelak daripada di hujani soalan yang mungkin akan menjerat diri aku sendiri. Aku terus saja masuk ke dalam rumah dan naik ke tingkat atas.


SEBAIK saja perempuan itu turun dari keretanya, Ariff Zulkarnain terus memecut keretanya. Dia tiada hati untuk berlama-lama di situ. Tambahan lagi jika berjumpa dengan emak dan ayah mertuanya. Dia memandu kereta tanpa arah. Tidak tahu mahu ke mana. Masa masih awal lagi. Hampir semua jalan di bandar ini di jelajahnya. Akhirnya dia tersadai di rumahnya di Kuala Ibai.

Kereta di parkir di depan pintu utama rumah dan dia mengeluarkan segugus kunci rumah lalu masuk ke dalam rumah. Remote control televisyen di capai dan butang on di tekan. Lalu, dia melabuhkan punggung di atas sofa yang memang tersedia di depan televisyen. Cerita hidustan yang di siar dalam saluran TV3 terpapar di skrin televisyen.
Hari Sabtu. Biasalah. Kurang cerita yang memuaskan selera. Akibat tidak menyukai cerita yang di siarkan, Ariff Zulkarnain bertukar dari satu siaran ke siaran yang lain. Memandangkan rumahnya ini tidak di pasangkan Astro, jadi hanya saluran-saluran yang biasa-biasa saja tersaji. Hanya saluran TV1, TV2, TV3, NTV7 dan TV9 yang tersedia.

Akhirnya, setelah puas bertukar saluran, dia memilih TV9 yang menyajikan cerita kartun pada masa itu. Leka dia melihat gelagat kartun CatDog, sampaikan dia tidak sedar yang dia terlelap di atas sofa itu.

Azan yang berkumandang dari surau kawasan perumahan itu telah menyedarkan Ariff Zulkarnain dari lenanya. Terpisat-pisat dia bangun dari pembaringannya di atas sofa. Matanya di buka dan dia menggosok-gosok mata dengan tangan kanan. Matanya terasa pedih akibat daripada cahaya peti televisyen yang terpasang. Di lihat keadaan sekeliling, samar-samar saja. Hanya cahaya yang di hasilkan oleh lampu jalan dan menerombos masuk melalui tingkap menerangi rumahnya ketika ini.

Remote control televisyen yang berada di atas meja berhadapan dengan sofa di capai dan butang off di tekan. Perlahan-lahan dia bangun dan suis lampu yang berada di tepi pintu masuk di tekan. Terang-benderang keadaan ruang tamu rumah itu. Dengan langkah yang lemah, Ariff Zulkarnain melangkah mendaki tangga ke tingkat atas. Pintu bilik di buka dan dia terus merebahkan badan di atas katil. Dia langsung tidak menghiraukan suruhan ALLAH yang harus di tunaikan seperti yang di khabarkan di dalam azan tadi.
Dia ingin menyambung tidurnya yang terganggu seketika tadi. Apabila kepalanya mencecah bantal, terus saja dia terlena.


Makan malam sudah terhidang tapi batang hidung Ariff masih tak muncul. Aku dah gelisah ni. Apalah yang harus aku jawab jika ibu atau abah bertanya. Aduh, dia ni selalu saja bawa masalah kepada aku. Sebagai langkah selamat, aku naik ke tingkat atas untuk menunaikan solat Isyak kerana azan sudah berkumandang sebentar tadi.

Selesai menunaikan solat Isyak, aku turun kembali ke bawah. Bila aku sampai di tangga yang terakhir, abah yang baru pulang dari masjid masuk ke dalam rumah. Aku melemparkan senyuman kepada abah dan abah membalas senyuman itu. Aku berjalan ke arah meja makan yang sudah di nanti oleh ibu, Farah dan Mak Yam.

“Ariff ke mana, Sarah?” ibu bertanya kepadaku.

“Emm, entahlah ibu, tapi tadi Abang Ariff ada hantar mesej, dia kata tak balik makan malam ni. Dia makan kat luar dengan kawannya.” Aku membohongi ibu dan abah untuk menyelamatkan diri.

Hantar mesej? Nak tergelak aku dengan jawapan yang aku reka itu. Yalah, mana tak kelakarnya. Si Ariff tu tak tahu pun nombor telefon aku dan aku pun tak tahu nombor telefon dia. Macam mana nak hantar mesej kalau begitu. Jangankan hantar mesej, telefon pun tak. Tapi baik juga aku menjawab begitu. Jika tidak, aku tak tahu apa jawapan yang patut aku beritahu kepada mereka.

“Kalau macam tu, kita makanlah.” Abah bersuara mengajak kami semua makan.
Kami menarik kerusi dan duduk di atas kerusi. Tidak lama kemudian, setelah doa makan dibaca, kami menikmati juadah hasil air tangan ibu dan Mak Yam. Setelah semua isi rumah selesai menjamah makanan, aku membantu Mak Yam mengutip semua pinggan-mangkuk yang telah digunakan tadi dan di bawa ke dapur. Untuk meringankan kerja Mak Yam yang sudah bertungkus-lumus memasak juadah makan malam tadi, aku membasuh semua pinggan-mangkuk itu.

Selesai membantu Mak Yam, aku melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu yang berhadapan dengan televisyen. Remote control televisyen aku capai dan butang on di tekan. Hanya aku keseorangan di depan peti televisyen ini. Farah sudah menghilang ke dalam biliknya. Mungkin sedang mengulangkaji pelajaran. Manakala abah dan ibu, entah ke mana selepas selesai makan tadi.

Cerekarama sedang di tayangkan di TV3. Emm, bolehlah. Layan jelah. Cerekarama malam itu entah apa tajuknya aku tak tahu. Tapi ceritanya best jugalah. Mengisahkan seorang isteri yang menderita kerana perbuatan si suami. Si suami suka memukul si isteri apabila pulang ke rumah. Pulang pula pada tengah malam dan mabuk-mabuk lagi. Tahan sungguh si isteri itu.

Cerita itu berakhir pada pukul 12.00 tengahmalam. Dan sepanjang aku melangut di depan televisyen itu, tidak nampak pun kelibat Ariff. Huh, biarlah dia tu. Dah besar. Bukannya budak kecil. Kalau budak kecil, senanglah aku nak larang. Butang off pada remote control di tangan aku tekan dan remote control itu aku letakkan di tepi peti televisyen.

Aku bangun dari sofa. Aku terjengah-jengah juga pada tingkap. Manalah tahu takut-takut masuk kelibat kereta Ariff. Tapi, hampa. Langsung tiada kelibat Ariff. Akhirnya aku mengambil langkah untuk masuk ke dalam bilik memandangkan esok aku aku bekerja dan malam sudah semakin larut.

Emm, lebih baik aku tidur dari duduk fikirkan pasal orang lain. Dia langsung tak fikirkan aku. Aku je yang baik hati duk fikirkan dia.

Keesokkannya, aku terjaga dari tidur tika azan subuh berkumandang. Aku menggeliatkan badan. Bukan apa. Untuk meregangkan tubuh setelah semalaman tidur. Tanpa membuang masa, aku mengatur langkah ke bilik mandi. Setapak lagi sebelum melangkah memasuki bilik mandi, amatku terpandang ke arah katil.

Eh, dia tak balik ke semalam? Aku tertanya di dalam hati memandangkan katil itu kosong tidak berpenghuni dan keadaan katil itu juga sama seperti sebelum aku tidur semalam.

Malas memikirkan tentang Ariff, aku meneruskan langkah masuk ke dalam bilik mandi. Lima belas minit kemudian, aku keluar dari bilik mandi. Kesejukkan air paip telah mengundang kesejukan pada tubuhku. Aku tidak pernah mengamalkan mandi air panas kerana aku akan berasa tidak selesa selepas mandi. Sama ibaratnya jika aku tidak mandi.

Selesai mandi, aku menyarungkan jubah mandi dan keluar dari bilik mandi. Kerana sudah mengetahui yang Ariff tiada di rumah, aku bebas mengenakan apa saja jenis pakaian. Dan sebab itu jugalah aku berani menyarungkan jubah mandi paras betis yang berbelah di depan ini. Jika Ariff ada di dalam bilik ketika ini, jangan haraplah untuk melihat aku berpakaian sebegini.

Rambutku telah aku bungkus dengan tuala kecil. Apa-apa hal pun, kewajipan kepada ALLAH adalah yang utama. Aku membentangkan sejadah sebelum menyarungkan telekung sembahyang. Tidak lama kemudian, aku mengangkat takbir tanda aku memulakan solat.
Tidak lama selepas itu, aku selesai menunaikan solat subuh. Telekung sembahyang aku lipat dan di sidai di rak bersama-sama dengan sejadah tadi. Pakaian di badan masih tidak berganti. Aku membuka bungkusan tuala di kepala. Terurai jatuh rambutku yang panjang itu. Sudah lama aku menyimpan rambut ini. Dan sekarang ia sudang melepasi pinggang.

Perlahan-lahan rambut itu gosok dengan tuala untuk mengeringkannya. Sambil itu aku berjalan menghampiri balkoni dan pintu gelungsur yang memisahkan bilik ini dengan balkoni aku tarik. Tidak pernah sekali pun di dalam hidupku menggunakan pengering rambut. Ini kerana penggunaan pengering rambut akan menyebabkan rambut mudah rapuh dan rosak.

Aku juga tidak pernah pergi ke salun kecantikan rambut kerana ia sangat membazirkan. Tambahan pula, jika pekerja salun itu adalah perempuan bolehlah tahan. Tetapi jika pekerja salun adalah lelaki, adalah berdosa kerana seorang perempuan bertudung seperti aku tidak boleh ke sana. jika aku pergi juga ke sana, sama ibaratnya aku ini mempamerkan rambutku kepada umum.

Melalui balkoni bilik Ariff itu, aku lihat suasana di luar masih gelap-gelita. Pada hal sekarang ini sudah hampir menginjak ke pukul 7.00 pagi. Kelihatan bas sekolah sedang mengangkut budak sekolah sambil membunyikan hon dari satu rumah ke satu rumah. Dan pada ketika itu juga terlayar kembali di kepalaku kerenah kami empat beradik pada pagi seperti ini. Memang riuh rumah emak dan ayah dengan gelagat masing-masing yang perlu ke sekolah. Ada yang tak bangun-bangun lagi tidur. Dan ada juga yang tertidur ketika hendak bersarapan pagi. Macam bangun sahur pulak.

Tersenyum aku dengan gelagat-gelagat tersebut. Terasa rindu pula aku pada zaman persekolahan. Jika di kampungku, masa ini sudah riuh dengan suara budak-budak ke sekolah dengan berjalan kaki. Tetapi, di sini, sunyi saja. Hanya kedengaran hon bas sekolah. Dan dari balkoni ini juga aku lihat Farah sudah menanti di hadapan pintu pagar rumah. Menantikan bas sekolah lalu di depan rumah. Tidak lama kemudian, kelibat Farah sudah menghilang di balik bas sekolah.

Aku tersentak. Seperti baru tersedar dari lena. Aku memandang jam. Alamak! Sudah 7.15. baju pun aku tak pakai lagi. Kelam-kabut aku masuk ke dalam bilik dan pintu gelungsur di tarik cepat-cepat. Dan pintu almari baju aku buka. Satu persatu koleksi baju aku belek. Tak tahu yang mana satu perlua aku pakai. Akhirnya aku mengambil baju kurung rona ungu yang di perbuat dari kain sutera Thai. Dan untuk padanan yang sesuai, aku memilih tudung warna ungu juga yang mempunyai corak geometri berwarna hitam.

Tanpa berfikir panjang, aku menyarungkan baju itu. Dan setengah jam kemudian, aku sudah siap berpakaian dan bertudung di kepala. Tudung aku gayakan mengikut cara selebriti Farah Adeeba. Setelah berpuas hati dengan gaya itu, aku mencapai beg tangan rona hitam dan melangkah turun ke tingkah bawah.

Di bawah, ayah dan ibu sedang menjamu selera di meja makan. Aku lantas menyertai mereka.

“Assalamualaikum,” aku memberi salam, sopan.

“Wa’alaikumussalam,” Ibu dan abah menjawab serentak.

“Ariff tak balik malam tadi?” ibu bertanya.

Ketika itu pula aku sedang ingin menyenduk mi goreng ke dalam pingganku. Tersentak seketika.

“Err.. Tak, bu.” Aku menjawab jujur.

Aku perlu menjawab jujur ketika ini kerana kerana sekarang ini sudah terang-terang yang Ariff tak balik semalam. Mungkin ibu sudah memeriksa garaj kot.

“Hisy, apa nak jadi dengan budak ni sorang. Dia buat balik perangai lama dia. Tak tahulah sampai bila nak berubah.” Rungut ibu perlahan.

“Satu hari nanti, bila dia dah sedar. Dia berubahlah.” Abah menyampuk.

“Nak tunggu dia sedar tulah entah bila. Langsung tak bersyukur dengan apa yang ada.”

“Awak janganlah risau. Nanti berubahlah dia.” Abah berkata sambil bangun dan di turuti oleh ibu.

Beg dan kot yang berada di tangan ibu di serahkan kepada abah. Kemudian, ibu menyalami tangan abah. Aku memerhatikan setiap babak yang di lakukan oleh ibu. Emm, entah bilalah aku boleh berbuat demikian. Aku mengalihkan pandangan ke pingganku meneruskan menjamah mi goreng.

Selesai makan, aku membawa pinggan ke dapur.

“Takpelah Sarah. Tinggalkan saja di situ. Nanti Mak Yam basuh. Kamu pergilah kerja, nanti lewat pula.” Arah Mak Yam.

Aku kembali semula ke meja makan untuk mengambil beg tanganku sebelum ke pintu utama dan menyarungkan kasut. Aku berjalan menghampiri garaj dimana tempat tersimpannya motorku. Motor aku sorongkan keluar dari garaj.

“Dah nak ke kerja ke Sarah?” ibu bertanya dari muka pintu.

Aku menghampiri ibu dan menyalami tangan itu sebelum memulakan perjalanan ke tempat kerja. Kurang lima minit kemudian, motorsikal yang aku naiki sudah melepasi jalanraya.


p/s: thanks to all yg menyokong n membaca hasil kerja sy yg x seberapa ini... for 'Tanpa Nama' saya nk sgt tahu siapa awk sebenarnya, dpt tahu nama pun jadilah... ape2 pn thanks...