Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 21 September 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 17

Ucu sudah membuat keputusan untuk ke Sekolah Integrasi Lembah Bidong, Setiu. Pada mulanya, muncung juga dia semasa hendak dihantar ke sekolah itu. Yalah, dia tak pernah berpisah dengan emak dan ayahku. Mesti dia sedih dan perasaannya ketika itu berbelah bahagi saja. Dalam keadan terpaksa, dia mesti pergi juga ke sekolah itu. Keputusan yang diterima sudah melayakkan dia masuk ke sekolah itu. Sayanglah kalau dia tolak tawaran itu.
Sekarang, aku pula yang sunyi bila dia tiada kat sini. Gelak ketawanya sudah tidak dapat aku dengar. Kalau boleh pun bila ucu balik cuti sekolah. Huh, lambat lagilah. Timbul rindu pula aku pada ucu. Bila depan mata selalu gaduh tapi bila berjauhan rindu pula. Seperti kata orang tua-tua.
Aku pulang lewat sedikit hari itu. Lagi lima belas minit, azan maghrib akan berkumandang. Aku tidak singgah dimana-mana. Dari pejabat terus aku pulang ke rumah.
Sesampai di rumah, aku lihat sebuah kereta mewah sport terparkir di halaman rumah orang tuaku. Mesti ada orang datang ke rumahku. Tetapi bila diingatkan kembali, siapa pula yang datang ketika hari sudah hendak masuk maghrib? Tertanya-tanya juga aku, siapakah gerangan tuan punya kereta ini? Kalau nak katakan kereta ini milik jiran sebelah rumah, tidak mungkin. Ini kerana sebelah rumah orang tuaku adalah semak samun dan sebuah rumah pusaka yang dibiarkan usang. Berbagai andaian yang berlegar didalam benakku. Aku membaca tulisan di belakang kereta itu, terpampang jenis dan jenama kereta itu. Kereta jenis Subaru Impreza.
Aku mematikan enjin motorsikal. Aku turun dari motorsikal dan menyorong motorsikal ke bawah rumah. Tempat aku menyimpan motorsikal. Perlahan-lahan aku melangkah menaiki tangga rumah. Ketika aku berdiri di depan pintu utama rumah itu, aku tidak pula mendengar suara orang berbual-bual. Senyap saja. Memang takde orang datang ke rumah. Mungkin ada orang saja-saja meletakkan kereta di situ.
Aku terus mendapatkan emakku yang berada di dapur.
“Mak, kereta siapa kat luar tu? Ada orang datang ke?” aku bertanya, masih tidak berpuas hati dengan andaian sendiri.
“Ada orang datang tadi.” Terlalu pendek jawapan yang emakku beri.
“Siapa?” aku bertanya lagi.
“Nanti Sarah tengoklah siapa dia tu.”
“Habis dia tu kemana?”
“Dia ikut ayah ke masjid. Berjemaah solat maghrib dan solat isyak disana.”
Jawapan yang emakku beri masih tidak dapat memuaskan hatiku. Aku masih lagi tertanya-tanya. Aku berlalu ke bilikku. Aku perlu mandi sebelum menunaikan solat maghrib. Selesai aku menunaikan solat maghrib, aku turun menjenguk emakku yang sedang menyediakan juadah makanan yang akan dihidangkan pada makan malam.
“Malam ni mak nak masak apa?”
“Mak dah masak ikan bakar dan singgang ikan tongkol. Mak ingat nak jugak buat budu. Boleh Sa tolong buat kailan goreng ikan masin? Barulah kena dengan ikan bakar.” Pinta emakku.
“Okey, bos. Tapikan, yang mak masak banyak sangat ni nak buat apa? Ramai sangat ke tetamu tu?”
“Sarah boleh tak jangan banyak tanya. Mak tak nak lagi jawab soalan kamu tu. Kamu kena sabar je. Tunggu dia balik dengan ayah nanti.”
“Yalah, yalah.” Aku terpaksa akur dengan kehendak emakku.
Lalu, tanganku lincah memulakan masakan. Kalian kuambil dan dihiris sederhana nipis. Selesai menghiris kalian, tanganku ligat pula mengambil ikan masin untuk dikerat kecil-kecil. Setelah selesai mengerat ikan masin, aku letakkan pula kuali di atas dapur. Api dapur dinyalakan. Minyak dituang sedikit ke dalam kuali. Bila minyak panas, bawang putih dan bawang merah yang telah diketuk aku campakkan masuk ke dalam kuali.
Seketika kemudian, siap aku menggoreng kalian ikan masin. Terus aku hidangkan ke atas meja.
“Apa lagi yang mak nak suruh Sarah buat?” tanyaku, untuk meringankan tugasnya.
“Boleh Sarah tolong buat air? Ikut Sarah lah nak buat air apa. Rasanya tetamu kita tu takde pantang larang.”
Aku menurut tanpa banyak tanya. Jag dan sudu dicapai. Tanganku ligat mengacau air di dalam jag.
Selesai semuanya, makanan dan air dihidangkan di atas meja makan. Sementara tetamu yang ditunggu dan ayahku pulang dari masjid, aku berlalu ke dalam bilik. Solat isyak perlu aku tunaikan.
Memandangkan ayah dan tetamu yang ditunggu itu belum lagi pulang dan semua makanan dan minuman sudah terhidang, seusai menunaikan solat isyak, aku mengambil peluang yang ada dengan membaca Al-Quran. Aku hanya sempat membaca Surah Al-Baqarah dari ayat 1-35. Bacaanku terhenti bila aku terdengar bunyi enjin motorsikal ayahku. Aku cepat-cepat melipat kembali telekung sembahyang dan disidai ditempat penyidai baju.
Sebelum ayahku masuk ke dalam rumah, aku lebih dulu keluar dari bilik. Tidak lama kemudian, kedengaran ayahku memberi salam.
Mataku terus menghala ke arah pintu utama. Hatiku melonjak-lonjak ingin tahu siapakah gerangan tetamu yang begitu emakku ingin rai itu. Bila kelibat ayahku kelihatan, aku jadi semakin tidak sabar. Siapalah ‘dia’ itu? Hatiku jadi tertanya.
Terpaku aku apabila terlihat kelibat orang itu. Aku begitu tidak menyangka yang orang itu adalah dia ini. Memang pada mulanya bila melihat kereta yang terparkir di halaman rumah orang tuaku, aku sudah mengagak yang tetamu yang hadir itu adalah lelaki muda kerana dari jenis keretanya sudah dapat aku agak. Masakan kereta sport seperti Subaru Impreza itu dipakai oleh lelaki tua.
Dan bilangan tetamu yang hadir sudah dapat aku agak iaitu hanya seorang. Ini kerana ayahku ke masjid dengan orang itu menggunakan motorsikal dan bukannya kereta Kancil kesayangannya itu. Cuma aku masih tidak dapat mengagak siapa yang telah datang bertandang ke rumahku itu.
Kalau aku tahu dia ini tetamu yang emakku hendak rai-rai sangat, lebih baik aku berkurung saja didalam bilik. Hatiku mula merungut. Bukan apa terasa geram sangat-sangat. Aku jadi teringat kembali apa yang pernah dia pernah ucapkan kepadaku. Kata-kata pedih yang telah membuatkan hatiku tersayat.
“Masuk, Riff. Jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri.” Tersentak aku. Seperti baru terjaga dari lena yang panjang bila mendengar kata-kata ayahku itu.
Aku yang tadinya terpaku seperti patung, terus berlalu ke dapur. Aku tidak akan sesekali melihat ke arahnya lagi. Perasaan benci makin menyelinap ke dalam hatiku. Aku mendapatkan emakku di dapur.
“La, kenapa tak layan tetamu yang di atas tu?” emakku bertanya.
Aku hanya mendiamkan diri. Langsung tiada hati untuk menjawab soalan emakku itu. Bila melihatkan aku membisu seribu bahasa, emakku terus berlalu ke atas rumah.
Aku duduk termanggu di atas kerusi berhadapan dengan meja makan di dapur. Termenung aku di situ. Malas aku nak naik ke atas. Benci aku nak pandang wajah lelaki itu. Sedfang aku syok-syok termenung, terdengar suara emakku menjerit dari atas.
“Sarah, marilah naik ke atas ni. Layan suami kamu ni.” Aduh mak ni! Potong betullah. Tak boleh lihat orang senang langsung.
Kalau emakku dah menjerit macam tu, maknanya aku terpaksa jugak pergi ke atas. Huh, fed up betul aku! Aku terpaksa akur juga. Aku berlalu ke atas rumah. Ketika berjalan, kakiku sedikit dihentak-hentak. Menunjukkan tanda yang aku tidak menyukai kedatangannya ke sini.
Kedengaran lantai rumah papan itu berbunyi bila aku memijaknya. Yalah, mana tak berbunyinya kalau berjalan sambil menghentak-hentak kaki. Boleh roboh rumah kalau macam ni.
“Sarah, berjalan tu boleh tak baik-baik sikit. Janganlah hentak-hentak macam tu. Roboh rumah ayah ni nanti.” Tegur ayahku.
Langsung aku tak hiraukan teguran ayah itu. Bukan hendak menjadi derhaka dengan emak dan ayah sendiri, tapi inilah satu-satunya cara aku menunjukkan protesku terhadap mereka secara diam. Sesampai di meja makan, aku berdiri saja di situ. Sedikit pun aku tidak rasa hendak duduk di kerusi di situ.
“La, buat apa lagi tu? Duduklah. Takkan nak kena suruh jugak.”
Kerana tiada pilihan lain lagi, aku terpaksa juga akur dengan perintah emakku itu. Aku perasan yang mata lelaki itu asyik memerhatikan aku. Sejak dari aku mula muncul dari dapur lagi. Apa pandang-pandang? Macam orang takde mata. Aku melepaskan geram di dalam hati.
“Kenapa dengan kamu malam ni? Serba tak kena aje. Dah, ambikkan nasi tu, sendukkan ke dalam pinggan suami kamu tu?” suruh emakku.
Alah mak ni, macamlah tak tahu. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Apasal dengan emakku malam ini? Pelik je dia ni. Gembira pulak tu.
Hisy, mak ni. Ada ke dia suruh aku sendukkan nasi ke pinggan lelaki itu. Huh malas aku. Biarlah. Sikit pun aku tak heran! Aku hanya mematungkan diri. Tanda aku tidak mahu menyendukkan nasi ke pinggan lelaki itu.
“Hei, senduklah cepat! Kami semua dah lapar ni. Lauk pauk ni pun dah sejuk ni.”
Bila terdengar sergahan dari ayahku, secara automatik tanganku mencapai mangkuk nasi. Dalam tak mahu tak mahu, aku terpaksa akur juga. Nasi disendukkan ke dalam pinggan lelaki itu. Kelam kabut dan gelabah aku jadinya.
Ketika aku kelam kabut mencapai mangkuk nasi tadi, dari ekor mataku, aku melihat lelaki itu tersenyum sinis ke arahku. Mungkin di dalam hati dia sedang mengutuk aku. Lantak kaulah nak kata apa pun, aku sikit pun tak kisah. Dan sepatutnya aku juga tidak kisahkan kau. Tapi disebabkan ada emak dan ayahku, bolehlah aku buat baik.
Nasi yang berada di dalam pingganku, sebutir pun tidak masuk ke dalam mulut. Kepalaku ditundukkan ke arah maja makan. Memang aku akui, ketika aku melihat lauk-pauk yang emakku sediakan, aku terasa berselera sungguh. Sampaikan terasa hendak makan selalu. Namun bila terpandangkan muka tetamu yang datang ini, seleraku jadi tertutup terus.
Kulihat lelaki itu cukup berselera sekali makan juadah makan malam itu.
“Ini yang Sarah masak. Cubalah, biasanya sedap.” Emak mengunjukkan bekas berisi kailan goreng ikan masin kepada lelaki itu.
Emak ni, tak payahlah nak naikkan saham aku depan lelaki itu. Aku sikit pun tak berminat.
Selesai makan malam itu, aku membasuh pinggan dan gelas yang telah digunakan ketika makan tadi. Aku memberi peluang kepada emak dan ayahku berbual dengan menantu kesayangan mereka itu. Aku mengambil peluang itu membasuh pinggan yang berada didalam sinki ini. Saja menyibukkan diri. Tidaklah aku perlu menghadap muka lelaki itu. Entah bila nak balik, aku pun tak tahu.
Sempat lagi ketika membasuh pinggan itu, aku berkhayal. Bukan berkhayal tentang apa pun, cuma terlintas di fikiranku tentang sebab musabab dia datang ke rumah orang tuaku malam ini. Tidak mungkin saja-saja kerana dia sudah menjatuhkan gantung tak bertali terhadapku. Tidak akan sekali-kali aku lupa setiap patah perkataan yang pernah dia hamburkan kepadaku.
“Sarah, Sarah.” Tersentak aku mendengar laungan emakku dari atas rumah.
Ada apa lagilah diorang ni. Panggilan pertama itu, tidak aku hiraukan.
“Sarah, Sarah. Marilah kat sini sekejap.” Laung emakku sekali lagi.
“Ya, sekejap.” Aku menyahut juga lambat-lambat.
Aku menyudahkan basuhan pinggan yang terakhir. Setelah itu, aku mengatur langkah perlahan-lahan ke atas rumah. Entah untuk apalah yang emak memanggilku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan