Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 7 Mei 2013

KYKS VERSI SPECIAL EDITION - PART 1



**Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dah baca tajuk kat atas tu kan?? Jangan pelik atau terkejut. Ya entry ni bukannya SCA bab16 tapi novel KAU YANG KUSAYANG versi SPECIAL EDITION. Oleh kerana ramai sangat yang menyukai novel ni dan atas cadangan kak Ikram Omar, maka terciptalah KYKS versi SE ni. Fuhh! Jenuh jugak saya nak memikirkan jalan cerita penyambung kepada KYKS versi cetak tu. Selepas difikir-fikir, akhirnya ini yang saya selitkan. Selamat membaca, semoga terhibur. Kita berjumpa kembali dengan Syazril Naim dan Syafiza Akhira….:))

AKU tiba-tiba terjaga dari tidur kerana mata terasa perit semacam. Seperti sedang disuluh dengan cahaya yang sangat terang. Aku cuba celikkan mata. Cahaya lampu sangat menyilaukan mata. Kepalaku tertoleh ke sebelah. Kanak-kanak perempuan yang diberi nama Syariza Dania, sedang tenang bersama lenanya. Itulah buah hati aku dan Aril. Kami memanggil dia, Nia. Sedar tak sedar sudah tiga tahun usia anakku itu.
Aku cium pipi gebu itu sekali. Pipi Nia banyak mewarisi pipi aku tika kecil dulu. Tembam dan gebu. Tapi iras wajahnya lebih kepada wajah Aril. Inilah penawar, inilah racun dalam rumah kami. Aku angkat kepala. Spontan mataku tertancap pada jam skrin telefon. 12.45 tengah malam. Aku pandang ke sekeliling bilik. Tapi kelibat Aril masih belum nampak-nampak lagi.
“Tak balik lagi ke?” Aku menyoal diri sendiri.
Lalu kaki laju merapati balkoni. Aku menjengah ke bawah. Kereta Aril tak ada pun kat dalam garaj. Dia pergi mana? Sampai sekarang tak balik-balik lagi. Hatiku dihantui perasaan gusar.
Jangan kata nak nampak batang hidung kat rumah. Hari ni sudah masuk hari ketiga aku menghantar dan mengambil Nia di rumah mama. Serta hari ketiga Aril pulang lewat. Kebiasaannya tugas mengambil dan menghantar Nia adalah tugas Aril. Entah apa yang dia sedang sibukkan pun aku tak tahu. Sebelum ni, walau ada projek sebesar mana pun, tanggungjawabnya yang satu itu tidak pernah dia abaikan. Tapi sekarang, perangainya pelik. Buat aku berfikir berkali-kali.
Jika hari bekerja, mama yang menjaga Nia. Aku dan Aril awalnya memang tak bersetuju tapi apabila mama bersungguh nak jaga Nia, maka terpaksalah aku turutkan. Lagi pun kehadiran Nia dapat menghilangkan rasa sunyi mama.
Aku tarik pintu balkoni dan dikunci dari dalam. Suis lampu utama aku tutup dan suis lampu meja aku tekan. Aku ke dapur, meninggalkan Nia yang sedang enak tidur di dalam bilik. Terasa dahaga pula tekak ni.
Sebiji muk aku capai dari rak dan air masak aku isi di dalam muk itu. Tanganku menarik kerusi dan duduk. Air di dalam muk aku teguk sekali. Kemudian muk itu aku pusing-pusing di atas meja, melayan perasaan sendiri. Mataku tajam merenung muk itu bagai mahu tembus. Serentak dengan itu, pintu utama dibuka dari luar. Aku panggung kepala. Mataku menangkap susuk tubuh itu.
“Balik lewat lagi.” Aku tiba-tiba bersuara. Spontan terkeluar dari bibirku.
Aril pantas mencari suaraku. Mata kami beradu buat seketika cuma sebelum dia atur langkah mara kepadaku. Aku salam dan cium tangannya. Rutin itu tidak pernah aku tinggalkan sepanjang bergelar isteri Aril. Dia daratkan bibirnya di dahi dan kedua-dua belah pipiku. Tiba-tiba aku menangkap bauan lain. Bukan minyak wangi yang biasa Aril gunakan. Baunya seperti manis. Seperti bau minyak wangi perempuan. Apakah Aril pulang lewat sebabkan berjumpa dengan perempuan? Dia ada perempuan lain selain aku? Hatiku sudah fikir yang bukan-bukan. Ya Allah, kau jauhkanlah rasa syak wasangka itu. Cepat-cepat aku berdoa di dalam hati.
“Kenapa tak tidur lagi?” Pertanyaan Aril menghentikan lamunanku.
“Dah tidur tadi tapi terjaga.” Jawabku. Beg kerja yang tersangkut dibahunya aku ambil. “Abang dah makan?”
“Dah, ada kawan abang belanja tadi.” Balasnya.
Kawan? Kawan yang mana? Perempuan ke lelaki? Aku kenal ke kawan dia itu? Serta-merta soalan demi soalan bertalu-talu membanjiri tangkai hati. Perasaan seorang isteri takkan lari dari rasa cemburu. Walaupun cemburu kadang kala boleh membunuh hubungan baik antara suami dan isteri.
Selepas meletak kembali muk di dapur, kami beriringan ke bilik. Aril capai tuala dan menghilang di dalam bilik air. Sementara menunggu Aril selesai mandi, aku mengangkat Nia dan dibaringkan di atas katil comelnya. Katil comel itu juga terletak di dalam bilik kami. Melihat Nia seperti merengek kerana berubah tempat tidur, aku menepuk perlahan tubuhnya. Mendodoikan Nia supaya menyambung kembali lena yang terganggu.
“Macam mana Nia hari ni?” Aril menyoalku mendadak.
Aku langsung tak sedar entah bila dia keluar dari bilik air. Yang pasti dia sudah berdiri di sebelahku. Itulah soalan rutinnya sejak tiga hari lalu. Sampai di rumah, pasti dia menyoal tentang anak kami itu. Tetapi tidak kepada mama Nia. Aku bagai ada dan tak ada saja di mata dia. Tiada langsung pertanyaan untuk aku. Sekurang-kurangnya tanyalah, aku ni sihat ke tidak. Dah makan ke belum. Sikap mesra Aril seakan telah dibawa pergi.
“Macam biasa, tetap lincah dengan Nek Ma nya,” aku usap dan cium pipi Nia sebelum menegakkan badan. Nek Ma adalah panggilan Nia untuk mama. Telatah Nia sangat menghiburkan orang-orang sekelilingnya terutama aku. Dikala hati bersedih, Nia hadir sebagai pengubat duka.
Aku berlalu ke katil dan berbaring, langsung tak hiraukan Aril yang memandangku pelik. Ah, pandangan peliknya saja yang dia tahu. Hati aku yang penuh dengan tanda tanya ni langsung dia tak ambil hal. Kalau ikut hati ni, dah lama aku soal dia. Tapi sabar Fiza, sabar… Fiza yang lama dengan Fiza yang sekarang sudah berbeza. Sejak hadirnya Nia dalam hidup aku, aku mula belajar sabar. Juga belajar jangan terlalu ikut angin sendiri.
“Kenapa ni?” Aril menyoal sambil ikut langkah aku ke katil. Dia duduk di sebelahku.
“Tak ada apa. Mengantuk.” Jawabku sepatah demi sepatah. Aku tak ada jiwa nak bersoal jawab malam-malam begini. Aku rebahkan kepala di atas bantal dan tangan menarik selimut hingga ke paras dada. Aku pusing tubuh menghala ke arah kiri.
“Fiza,” Aril cuba capai tanganku tapi aku cepat-cepat larikan tangan. “Kalau tak ada apa-apa, kenapa macam ni?” Aril masih tak putus asa. Dia tanya macamlah dia tak tahu kenapa aku jadi begini.
Aku keraskan diri. Malas aku melayan soalan Aril. Sebab aku tahu, jika aku menjawab, makin panjang pula nanti. Dan tak pasal-pasal aku akan meninggikan suara. Tak pasal-pasal juga aku tanggung dosa kering. Langkah terbaik adalah aku diamkan saja. Biarkan aku sejuk dahulu.
Seketika kemudian, aku dengar Aril mengeluh dan berlalu ke almari pakaian. Biarlah dia urus diri sendiri malam ni. Tidak seperti kebiasaannya, selepas dia siap mandi, pasti baju sudah ada di atas katil. Aku pejamkan mata, memaksa mata yang kembali segar itu tertutup rapat.

PAGI itu, aku menjalankan rutin harian seperti biasa. Usai menyediakan sarapan ringkas, aku mendapatkan Nia yang sudah siap mandi dan sudah wangi-wangi. Masa untuk menghantar Nia ke rumah mama. Aku menjadi sedikit kelam-kabut kerana terpaksa menguruskan semuanya seorang diri. Ada Aril seperti tiada saja. Entahlah. Aku dah letih. Penat mahu berlawan kata.
“Dah nak pergi ke?” Aril menyoal tiba-tiba.
Aril sudah lengkap dengan kemeja dan seluar sleknya. Pakaian biasanya ke pejabat. Cuma masih tidak bertali leher. Kebiasaannya aku yang mengikat tali leher untuk Aril. Namun, sekarang, hati ini terasa tawar. Walaupun begitu, Aril tetap kacak seperti dulu. Tetap kemas dan segak di mataku. Penampilannya tetap seperti dulu-dulu juga. Cuma sikapnya. Sudah jauh berubah. Aku tak tahu kenapa. Adakah sebab aku sudah tak lagi seperti dulu?
“Hmm…” aku menggumam.
Aku merapati Aril sambil mendukung Nia. Tangannya aku salami. Dia balas dengan mencium pipiku. Kemudian dia cium seluruh wajah Nia. Mengekek Nia ketawa kerana geli diperlakukan begitu oleh papanya. Aku hanya memandang.
“Papa.” Mulut comel itu menyebut. Dan dari ekor mata, aku nampak Aril tersenyum dengan panggilan itu.
“Wangi dah anak papa,” katanya sambil senyum dengan Nia.  Sedangkan reaksiku, keras tanpa senyuman.
Aku berpusing, mahu melangkah ke pintu utama. Tapi Aril tiba-tiba memegang lenganku.
“Sayang, kenapa ni?” dia menyoal.
Sungguh, aku sangat terkesan dengan panggilan sayang itu. Sepanjang empat hari ni, inilah pertama kali dia kembali memanggilku sayang. Aku tak tahu kenapa. Mungkin hanya sekadar mahu memujukku. Mahu membeli jiwaku barangkali. Tapi… aku terasa sangat janggal!
We will talk later,” tanpa nada aku memberikan jawapan. Sekurang-kurangnya kalau nak bercakap ke, nak bincang ke, bukan di depan Nia. Anak sekecil Nia tak tahu apa-apa tentang masalah mama dan papanya ini.
“Tapi bila?” nada mengharap dalam soalannya.
Someday,” hanya itu yang terkeluar dari bibirku. Aku tarik kembali lengan dari genggaman Aril.
Aku menonong ke arah kereta. Beg kerja serta beg kelengkapan Nia sudah siap-siap aku letakkan di dalam kereta. Dan kini, aku sudah tidak menggunakan Perodua Kenari lagi. Kereta itu sudah aku jual kerana faktor usianya yang sudah tua dan selalu aje meragam. Sekarang aku memandu kereta Honda Jazz, hadiah Aril pada hari jadiku dua tahun lepas.
Semasa memandu keluar dari halaman rumah, aku nampak batang tubuh Aril setia di muka pintu rumah. Dia melambai-lambaikan tangan dan Nia membalas lambaian itu. Entah kenapa, aku berasa sayu. Tanpa dipaksa, air mata mengalir lesu menuruni pipi.

KERETA dipandu masuk ke dalam halaman rumah mama. Kereta diparkir betul-betul di belakang kereta papa. Papa dah tak ke pejabat sekarang ni. Segala tugas di pejabat sudah diserahkan kepada Aril. Sebelum keluar dari perut kereta, aku melihat wajah sendiri si cermin. Bimbang jika ada kesan air mata. Bersoal-jawab pula dengan mama nanti.
“Jom, Nia. Kita jumpa Nek Ma.”  Aku berkata kepada Nia. Dan si comel itu hanya senyum. Anak kecil seperti Nia sangat mudah hidupnya. Tiada masalah yang membelenggu kepala.
“Eh, dah sampai sayang Nek Ma.” Kata mama yang sudah menanti di muka pintu.
“Nek!” girang sekali Nia apabila berjumpa dengan neneknya.
Lalu aku serahkan Nia kepada mama. Senyuman cuba aku ukir di bibir agar mama tidak perasan apa-apa perubahan di wajahku. Mama mula mencium wajah Nia. Aku senyum melihat Nia yang sedang mengekek ketawa kerana digomol oleh mama.
“Eh, kenapa mata Sya merah?” Mama tiba-tiba menyoalku. Aku tak sedar entah bile mama memerhatikan wajahku.
“Err…. Tak ada apa-apalah. Tak cukup tidur kut.” Aku beralasan. Aku tak mahu memanjangkan kes ini. Kalau boleh, biarlah ia rahsia dari pengetahuan mama. “Ma, Sya pergi dulu.” Aku menyalami tangan mama. Dan seperti biasa, mama mencium pipi kiri dan kanan. Sebelum berlalu, aku cium pipi Nia. Memang itu rutinku.
Tata mama,” ucap mulut comel itu sambil melambaikan tangan ke arahku.
Aku membalas lambaian tangan mama dan Nia sambil memandu keluar dari halaman rumah mama. Aku memandu hinggalah sampai di satu simpang, aku berhentikan kereta di bahu jalan. Perasaan sedih sudah tak tertanggung oleh hati ini. Terasa perit di dalam. Aku daratkan kepada pada stereng dan menangis. Aku mengikut hati. Tak tahu mahu meluahkan pada siapa, lantas hanya ini saja jalan yang aku ada.
Setelah seketika, aku teringatkan sesuatu. Aku sepatutnya ke butik pagi ni. Tapi, takkan nak ke butik dengan muka sememeh macam ni. Tak pasal-pasal kena tanya dengan pelanggan dan para pekerjaku di butik. Lalu aku bawa keluar telefon bimbit dari dalam beg tangan dan mendail nombor butik.
Kepada Miza aku maklumkan yang aku takkan masuk ke butik untuk hari itu. Aku perlukan ruang untuk bertenang dan berfikir. Lagi pun kalau aku ke butik juga, belum tentu aku boleh buat semua kerja di butik. Bimbang nanti, lain yang pelanggan tempah, lain pula yang aku buat.
Usai bercakap dengan Miza, aku kembali memandu. Tak tahu mahu ke mana, akhirnya aku kembali ke sini. Tempat di mana aku dibesarkan. Rumah arwah abah. Sejurus kereta aku masuk ke dalam halaman rumah, emak sudah menjengukkan kepala di tingkap. Aku menyalami tangan emak yang sudah menanti di tepi pintu rumah.
Siang hari begitulah. Emak seorang diri saja di rumah. Jad dah mula kerja kat bandar Kuala Terengganu. Malam aje barulah Jad ada kat rumah. Syu pulak dah bekerja kat Shah Alam. Cuma sesekali Abang Din balik menjenguk emak.
“Eh, tak pergi ke butik ke? Mana yang lain?” Emak menyoal. Aku tahu memang sememangnya pelik. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba aku ke rumahnya. Sudahlah seorang diri dan pada hari bekerja.
“Tak,” aku menjawab sepatah. Kalau boleh aku nak masuk ke bilik sekarang ini juga. Kepala terasa memberat. Makin memberat apabila dihujani dengan persoalan demi persoalan dari emak.
“Kenapa dengan mata tu? Bengkak semacam. Kamu menangis?” Saat aku mahu berlalu dari situ, emak menarik lenganku dan bertanya.
“Tak adalah, mak. Err… orang naik dululah.” Aku mengelak dan cepat-cepat mendaki tangga ke bilik. Aku tahu, mak aku masih belum berpuas hati dengan jawapanku. Aku tak mahu membebankan hatinya.
Pintu bilik aku tutup. Aku bersandar pada belakang pintu dan terduduk. Aku merenung ke depan. Air mata sudah kering untuk menangis lagi. Pagi ini saja sudah dua kali aku menangis. Rasanya tubir mataku sudah tidak mampu mengeluarkan hujan lagi.

SEMENTARA itu, di pejabat Syazril.
Syazril melangkah masuk ke pejabat dengan wajah yang sukar ditafsir. Muka macam orang mati bini. Selekeh aje. Dan untuk kali pertamanya Syazril masuk ke pejabat tanpa tali leher yang menjerut batang lehernya. Sham yang bertembung dengan Syazril di muka pejabat pun tertoleh sampai dua kali. Manalah tahu kalau-kalau dia tersilap orang. Lambat-lambat dia ekori langkah Syazril.
Oit! Kau apasal ni?” Sham bertanya ketika mereka sudah berada di dalam bilik Syazril. Jelas Syazril terkejut.
“Sejak bila kau masuk bilik aku?” Bagai orang bingung dia menyoal.
“Dari depan sana lagi aku ikut kau.” Sham duduk di kerusi. “Apasal dengan kau ni? muka macam orang tak sudah aje.” Komen Sham.
“Entahlah. Eh, aku rasa nak hentikanlah rancangan tu,” Syazril bersuara dengan wajah sugul.
“Pulak dah! Kau ni tak tetap pendirianlah!” Marah Sham. Dulu masa buat rancangan, bagai nak rak dia cakap. Nak buat itulah, nak buat inilah. Alih-alih, nak hentikan pulak.
“Aku tak tahanlah. Fiza macam dah jauh dari aku.” Syazril mengeluh.
“Habis, dah rancangan kau macam ni. dulu punyalah gempak nak buat macam-macam. Tapi sekarang? Cakap tak serupa bikinlah kau ni.” Sham serius tengah geram.
“Kau tak faham apa yang aku rasa!” Syazril pandang Sham macam nak makan orang.
“Aku tak faham? Tapi yang mula plan semua ni siapa? Aku ke kau?” Hiiii…. Tak kuasa sungguh Sham nak layan mamat senget macam Syazril ni. Sham angkat punggung. Buat kerja lagi elok dari melayan Syazril.
Dan Syazril sudah tak hiraukan kerja yang makin bertimbun di atas mejanya tika itu. Dia termenung. Berfikir pun ya juga. Entah berkesan atau tidak rancangan yang dia rencanakan itu. 

9 ulasan:

  1. rancangan plak nih???? saspen nih. kakakaka

    BalasPadam
  2. rancangan apa plak nih???? saspen nih. * tinggal plak .hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Haishhhh....jgn la si Aril ni buat rancangan yg bukan2 nak uji kesetiaan Fiza Pulak...takut nnt makan diri sendiri....baru kahwin 3 tahun rmh tgga dah mula hambar....nak la yg sweet2 aje....dah la awal perkahwinan dah di sia2kan dgn x dpt terima diri masing2....
      Cepat2 la confess apa sebenarnya....jgn smpi Fiza give up....

      Padam
  3. hehehehe.. sabar.. nanti ada sambungan lagi.. yg penting Aril bukan buat rancangan yang bukan2.. ada yg sedang dia rancangkan untuk surprisekan isteri terchenta...:))

    BalasPadam
  4. Smbung2...x sbr nk tau kezutan aril bg tu...tq kak

    BalasPadam
  5. kalau hati isteri terluka..kerana kecurangan seorg lelaki yg bergelar suami..tiada apa yg dapat mententeramkan hatinya kecuali sebuah perpisahan ... perpisahan yg akan membahgiakan sisuami dengan jalan yg dia sendiri pilih bila dia telah ada wanita lain disisinya dan sudah pasti dia tidak memerlukan seorg isteri lagi..nak buat apa kita seorg saja yg setia dan tulus pada sebuah perkawenan dan mendera hati sendiri..baik kira merdekakan hati kita dengan berjalan sendiri bersama anak kita ..kan..

    BalasPadam
  6. SCA bab 16 bila?

    BalasPadam
  7. errr.... lusa yee.. sorry buat tertunggu-tunggu.. huhuhu

    BalasPadam