Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Rabu, 13 Mac 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 9


“ADIK, nak masak apa untuk makan malam?” Rozairul bertanya sambil tangan kiri menggosok mata. Sah baru bangun tidur!
Suriya panggung kepala. Matanya memandang si abang yang tampak selekeh sekali.
“Kan tadi adik dah cakap, barang kat dapur dah habis. Nak masak apanya along oi.”
“Okey, kita keluarlah nanti, cari barang dapur. Selepas tu kita makan kat luar terus,” putus Rozairul.
Orait, set!” Girang Suriya menyambut. Siapa tak suka, tak payahlah dia masak hari ni. Dari pagi sibuk mengadap kerja aje. Ni baru siap sikit. Banyak lagi yang tak siap. Kadang rasa macam nak nangis sorang-sorang. Huhuhu…
“Eh, pagi tadi abang ada jumpa sorang mamat kat masjid,” Rozairul kembali berkata-kata. Eh, tadi along bukan dah nak masuk bilik dia ke? Suriya garu kepala yang gatal tiba-tiba.
“Eh, chop, chop! Bukan along dah cakap ke perkara ni pagi tadi?” Apa motif along sebenarnya? Pasal perkara ni dia dah cakap pagi tadi, kenapa ulang balik petang ni? Suriya tertanya-tanya sendiri. Rozairul yang tadinya berhajat mahu kembali ke bilik sendiri telah menapak masuk ke dalam bilik Suriya. Pintu bilik dia biarkan ternganga luas-luas. Dia duduk di atas katil Suriya.
“Eh, along dah cakap ke? Along bukan apa, along nampak dia alim aje tapi anak orang berada. Kan best kalau dia jadi ahli keluarga kita,” Suriya pantas pusing kepala pandang Rozairul.
“Jadi ahli keluarga kita? Maksud along?” Suriya mencerunkan matanya memandang Rozairul. Terasa sangat ngeri pula. Dia bukan bodoh sampai tak faham maksud kiasan alongnya ini.
“Hmm… you know what I mean, right?” Rozairul balas pandangan adiknya sambil jongket kedua-dua belah kening.
“Huh!”
What?”
I don’t want to married yet!” Berangin nada Suriya.
“La… Siapa suruh kahwin? Along tak cakap pun macam tu,”
“Tapi niat along tu ke arah situ kan?” Suriya tekankan suaranya. Entah apa yang terancang di dalam kepala yang sangat bergeliga milik alongnya, dia sendiri tak tahu.
“Mana ada, along cakap kan best kalau dia jadi ahli keluarga kita. Tak ada niat apa-apa pun,” dengan muka tak bersalah Rozairul membela diri sendiri. Dia bangun, mahu kembali ke biliknya.
“Tapi…”
“Dah la. Along nak mandi,” pintas Rozairul laju. Malas dah dia nak dengar adiknya membebel sedangkan dia sendiri yang mulakan topik ini.
Suriya pandang belakang Rozairul dengan rasa tak puas hati. Dia berperasangka alongnya punya muslihat tersembunyi di sebalik ceritanya tentang seorang lelaki yang langsung Suriya tak kenal. Huh! Curious!

IDDIN menyanyi kecil sambil menyembur air ke arah kereta Mitsubishi ASX miliknya. Untuk kegunaan harian, dia memandu kereta itu. Tapi jika untuk tujuan bersiar-siar, dia akan bawa kereta Porcshe 911 Carera 4S yang tersadai elok di dalam garaj. Ataupun dia akan guna Mini Cooper S. Kalau terasa bosan, dia akan pandu Audi R8. Sekali-sekala nak juga dia bertukar angin. Dalam banyak-banyak kereta, hanya BMW 740i yang dia takkan usik. Itu adalah kereta rasmi kegunaan Tuan Ikmal.
“Amboi, sukanya dalam hati. Siap menyanyi lagi,” Mak Yam menegur. Beberapa minit juga dia berdiri tegak di depan pintu utama, memerhatikan gelagat tuan muda ini mencuci kereta.
“La… Mak Yam rupanya. Hati tengah gembira, takkan nak menangis pula,” Iddin kenyit mata ke arah Mak Yam.
Mak Yam senang sekali melihat telatah pemilik nama penuh Iddin Amsyar ini gembira. Dia memang perasan yang sejak akhir-akhir ini, kegembiraan semakin terpancar di mata Iddin. Balik dari kerja, asyik menyanyi-nyanyi saja. Dulu, sangat susah mahu melihat anak muda ini menyanyi. Jangan kata menyanyi, nak senyum pun susah. Sebab itu Mak Yam musykil. Perubahan Iddin seperti didorong oleh seseorang. Siapa orang itu tidak pula dia tahu. Mak Yam merapati Iddin.
“Kamu nak sarapan di luar ini atau di dalam?” Mak Yam menyoal. Di luar tu maksudnya di meja kecil di taman bunga hasil air tangan Mak Yam sendiri. Jika tiada dia, memang tak akan wujud taman bunga itu.
“Kat dalam ajelah, Mak Yam. Saya nak mandi dulu lepas ni,”
“Okey.” Mak Yam sibuk memerhatikan Iddin yang ligat membasuh keretanya. Dan mulut itu masih lagi menyanyi-nyanyi. “Din, kalau Mak Yam tanya sikit boleh tak?”
“Hmm… apa dia Mak Yam?” Mulut bertanya tapi tangan masih ligat pada kereta.
“Sejak akhir-akhir ni, Mak Yam nampak Din happy sangat. Gembira, menyanyi-nyanyi. Apa yang buat Din rasa happy sangat tu? Tak nak kongsi dengan Mak Yam ke?” Mak Yam meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya.
“Kenapa? Tak boleh ke?” Iddin jongket kening sambil pandang Mak Yam. Dia saja-saja nak mengusik sebenarnya.
“Err… Mak Yam tanya saja. Tak apalah kalau Din tak nak jawab,” serba-salah pula Mak Yam rasa. Manalah tahu kalau-kalau pertanyaannya mengundang rasa tak selesa anak majikannya ini.
“Laa… Mak Yam ni. Saya tak cakap pun tak nak jawab. Baru aje tanya, Mak Yam dah menggelabah.” Iddin ketawa perlahan. Sambil itu mata Iddin meliar memandang sekeliling halaman rumah. Manalah tahu kalau-kalau ada mata yang memerhatikan tingkah mereka berdua.
“Hmm… Manalah tahu kalau kamu tak suka Mak Yam tanya macam tu,” lembut wanita pertengahan lima puluhan itu membalas.
Iddin sudah anggap Mak Yam macam emaknya sendiri. Sejak uminya menyahut panggilan Ilahi, Mak Yamlah yang membesarkan dia. Banyak jasa wanita itu dalam hidupnya. Dia punya seorang lelaki bergelar ayah yang dipanggil abi tapi dia langsung tak pernah merasai nikmat kasih sayang seorang ayah. Mereka tinggal serumah tapi sebenarnya mereka jauh. Tersangat jauh.
“Mak Yam nak dengar satu cerita tak?”
“Cerita? Cerita apa?”
“Pasal sorang perempuan ni. Nama dia unik sangat. Mak Yam nak tahu apa nama dia?” Mak Yam yang sedang fokus mahu dengar cerita Iddin pantas menganggukkan kepala. “Nama dia Anggerik. Masa mula-mula Din dengar nama dia pun Din dah rasa nak gelak. Mana lagi ada orang guna nama-nama macam tu. Klasik sangat!” sambung Iddin. Dia ketawa lepas. Dia yang bercerita dan dia juga yang tergelak. Mak Yam hanya senyum.
“Siapa dia?” Penuh minat Mak Yam bertanya. Pertama kali selepas bertahun-tahun, bibir anak muda itu kembali basah dengan nama makhluk bergelar perempuan.
“Dia pekerja baru kat pejabat Din tapi kan Mak Yam, di mata Din, dia comel sangat. Kalau suruh buat kerja sikit pasti muka dia tercengang. Ha… dua hari lepas, Din paksa dia ikut Din pergi jumpa client. Bad cuti hari tu, jadi Din paksa dia ikut Din dengan alasan jadi peneman Din aje. Sedangkan Din tahu, itu semua bukan bidang kerja dia.” Iddin berjeda seketika. Tangan yang tadi laju mengelap kereta juga turut terhenti. Kain pengelap di tangan dia lipat membentuk lipatan yang lebih kecil. Dia pandang Mak Yam yang setia mahu mendengar ceritanya. Dia senyum.
“Lepas tu apa jadi?”
“Mulanya memang dia protes. Dia berani cakap yang dia tak kata pun nak ikut sebab Din yang paksa dia. Bila Din ugut nak buat kecoh kat pejabat barulah dia ikut. Masuk aje dalam kereta, mulut dia dah tayang muncung pandang. Din memang tak tegur apa-apalah sebab nanti kalau Din tegur takut jadi lagu lain pulak.” Riak muka Iddin sangat-sangat menggambarkan perasaan tika itu. “Mak Yam, muka dia comel sangat walaupun sedang marah.” Bersinar mata Iddin tatkala memuji perempuan yang masih Mak Yam tak tahu asal usulnya lagi.
“Itu yang buat Din gembira sangat tu?”
Laju Iddin menganggukkan kepala.
“Din sudah jatuh cinta?” Tiba-tiba terpacul soalan itu dari bibir Mak Yam.
Cinta? Sudah bertahun perkataan yang terdiri dari lima perkataan itu tidak muncul di dalam hidupnya. Sejak dia habis belajar di universiti dulu. Iddin angkat bahu. Sungguh! Dia memang tak tahu.
“Mak Yam kan tahu Din ni macam mana, dengan kenangan dulu tu. Ikut hati Din dah tak nak pandang perempuan lagi tapi…” Iddin berjeda. Hilang senyuman yang tadinya mekar menguntum di bibirnya.
“Din, Mak Yam faham perasaan Din. Mak Yam kenal Din sejak Din baby lagi. Mak Yam tahu kenangan lama itu. Dan Mak Yam tahu, Din tak nak ulang lagi kenangan itu. Tapi, siapa kita nak menidakkan fitrah Allah? Setiap yang bernyawa di bumi Allah ini inginkan pasangan. Kerana Allah mencipta kita saling berpasangan. Jangan hanya kerana peristiwa dulu, Din tutup pintu hati untuk seorang insan yang tak pernah tahu apa-apa tentang kenangan silam Din.” Mak Yam usap bahu Iddin bagai seorang ibu sedang memujuk anak kecil yang sedang menangis.
“Din, berilah peluang untuk diri Din sendiri kenal dan nikmati rasa bahagia. Jangan terus-terusan seksa diri begini.” Ujar Mak Yam lagi.
“Tapi, patut ke Din bagi tahu dia pasal kenangan dulu?”
“Din, pertama sekali Din kena faham perasaan Din tu. Din tanya hati Din. Betul ke Din cintakan dia? Sungguh ke perasaan tu. Ataupun hanya sekadar rasa suka-suka sahaja. Din tanya Mak Yam, tapi Mak Yam tak boleh bagi apa-apa jawapan. Bukan Mak Yam yang rasa semua perasaan tu. Din yang rasa.” Ujar Mak Yam. “Selepas Din dah faham hati Din, Din tahu apa yang hati Din inginkan barulah Din mulakan satu demi satu langkah. Ingat, jangan gelojoh. Kaum Hawa tak suka seorang lelaki yang gelojoh dan pengongkong. Mereka nak juga rasa bebas.” Sambung Mak Yam.
Iddin diam. Otaknya sedang mencerna setiap bait kata pembantu rumah yang sudah dianggap lebih daripada saudara sendiri. Yang berlegar di dalam kepalanya adalah perkataan CINTA. Mak Yam menyuruh dia tanya hatinya. Dia… Dia tak tahu.
“Fikirlah ya. Nanti masuk sarapan kat dalam ye,” Mak Yam tepuk bahu Iddin perlahan sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Iddin hanya memandang langkah Mak Yam. Kepalanya masih ligat berputar, memikirkan setiap nasihat Mak Yam.

SURIYA mengikut langkah Rozairul melewati satu demi satu kedai makan. Entah kedai yang mana mereka nak berhenti makan pun dia tak tahu.
“Along, nak makan kat mana ni?” Akhirnya Suriya menyoal.
Perut lapar, kaki lenguh. Aduh! KFC dah lepas. Pizza Hut pun dah terlepas ke belakang. Perut Suriya berkeriuk sekali lagi. Pantas tangannya menekup perut.
“Entah.”
“Along! Adik dah lapar ni. Tolonglah!” Suara Suriya meninggi. Melawan sama bunyi bingit lagu yang dipasang oleh pihak pusat membeli-belah. Entah lagu apa entah. Makin berserabut kepala aku yang tukang dengar ni. Desis hati Suriya.
“Hmm… Along tak tahu nak makan apa,” selamba Rozairul menjawab. Langsung tak hiraukan perut Suriya yang dah bergendang semacam ni.
“Ah!” Berangin Suriya mendengar jawapan Rozairul. Nampak saja papan tanda Marrybrown, pantas dia tarik tangan Rozairul. Ah, tak kiralah along nak cakap apa pun. Yang penting perut aku tersangatlah lapar sekarang ni.
“Along duduk! Jangan suka-suka hati nak pergi mana-mana.” Suriya mengeluarkan arahan kepada abangnya. Suriya beratur di kaunter.
Telefon pintar jenama iPhone 4S yang bergetar di dalam poket seluar dia bawa keluar. MAMA. Itu sebaris nama yang terpampang diskrin telefon. Lantas dia layangkan ibu jari ke atas skrin telefon pintar itu.
“Assalamualaikum, ma.” Sapa Rozairul memulakan bicara.
“Wa’alaikumussalam Wan. Kamu kat mana ni? Kenapa bising aje mama dengar ni?” Suara di hujung talian milik Puan Jamilah pantas menyoal.
 “Oh, ni. Wan ada kat shopping complex ni. Adik ajak makan.”
“Mama apa khabar? Papa mana?”
“Mama dan papa sihat walafiat. Papa ada kat laman tu. Entah apa yang dikerjakan pun mama tak tahu. Kamu sihat?”
“Sihat, alhamdulillah.”
“Adik mana Wan?”
“Adik tengah beratur kat kaunter, ma.” Balas Rozairul sambil pandang belakang adiknya yang sedang beratur.
“Hmm… Wan, bila nak balik sini?” Soalan Puan Jamilah buat Rozairul bisu sekejap.
Bukan Wan tak nak balik, ma. Tapi adik… Bisik hati kecil Rozairul. Hati kecilnya memang rindukan kampung halaman yang satu itu. Banyak kenangan zaman kecil di sana. Ada pahit, manis, masam, masin dan payau. Semuanya bergabung menjadi satu. Mencipta dia pada hari ini.
“Wan,” apabila hujung talian senyap tak berbunyi, lantas Puan Jamilah memanggil nama anak bujangnya.
“Ya, ma.” Gugup Rozairul membalas. Habis terbang segala yang dia angankan tadi.
“Bila Wan dan Su nak balik sini?” Puan Jamilah ulang kembali soalannya yang belum dijawab oleh Rozairul.
“Wan kena tanya adik dulu. Oh ya, adik dah dapat kerja, ma.” Beritahu Rozairul. Hampir-hampir dia terlupa nak maklumkan perkara baik tersebut.
Ye ke? Kat mana?”
“Di Shah Alam. Adik baru lagi mula kerja.”
“Wan, dua minggu lagi kak long nak buat majlis cukur jambul untuk anak ketiganya. Mama harap Wan dan Su dapat balik,” beritahu Puan Jamilah.
“Hari apa, ma?”
“Jumaat,”
“Oh.” Kepala Rozairul ligat berfikir tentang jadual kerjanya. Dia ingat-ingat lupa pasal jadual tu. Entah dia bertugas atau tidak waktu tu. “Ma, Wan confirm balik dengan mama lepas ni. Wan lupa nak tengok jadual bertugas. Manalah tahu kalau-kalau masa tu Wan kerja.”
“Tak apa. Kalau Su balik sorang pun tak apa. Mama cuma nak anak mama ada sama,” sayu suara Puan Jamilah.
“Insya-Allah, nanti Wan bagi tahu adik. Kalau tak terikat dengan jadual, Wan pun nak turut serta.” Rozairul menyatakan kesungguhannya.
“Hmm… nanti kirim salam sayang mama kat Su ya, assalamualaikum.”
“Insya-Allah, wa’alaikumussalam.”
Rozairul tenung skrin telefon yang sudah gelap. Perasaan serba-salah semakin membanjiri hati. Kesian mama.
“Ha… bergayut dengan siapa tadi?” Suriya yang tiba-tiba muncul terus menyergah Rozairul. Tersentak si abang.
“Mama.” Tangan Suriya berhenti menghulurkan piring berisi set burger kepada Rozairul. Sempat Rozairul sambut piring itu sebelum jatuh ke lantai.
“Mama kirim salam kat adik,” ujar Rozairul lagi. Dan Suriya kaku tak berganjak. 

5 ulasan:

  1. nurAtiza n ruuna qizbal; tqsm dear krn sudi baca n komen...:)

    BalasPadam
  2. BEST...baru sempat baca...tak sabar nak tunggu bab 10 macm pendek ja fieyza hehehe

    BalasPadam
  3. ur welcome dear... oh, lupa nak mention.. setiap bab utk e-novel ni mmg pendek.. dlm 6-8 ms saja utk setiap bab.. tq dear sbb baca, setia menunggu bab 10.. hehehe ^_^

    BalasPadam