Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 4 Mac 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 8



MASUK saja ke dalam ruang pejabat, Noraini terus menerpa ke arah Suriya.  Senyuman semanis gula dia hadiahkan untuk Suriya. Dahi Suriya berkerut melihat cik kak sorang ni. Melihat cara Noraini senyum, Suriya dah boleh baca. Senyum ada makna tu.
“Adik manis, adik manis pergi mana? Kelam-kabut mengalahkan menteri.” Noraini mula memainkan peranan. Menyoal itu, ini.
Suriya senyum dengan soalan Noraini. Dia duduk di kerusinya sambil memasukkan beg tangan ke dalam laci. Butang on pada PC dia tekan kembali, menyambung kerjanya yang tergendala sejak empat jam yang lepas.
“Su, akak tanya Su ni.” Berangin pula Noraini apabila Suriya tak mengendahkan soalannya.
“Bos akak paksa saya jumpa client, puas hati?” Tanpa nada Suriya memberitahu.
“Dia ajak jumpa client? Tapi kenapa dia ajak Su?” Dahi Noraini berkerut tanda sedang memikirkan persoalan itu. Cara fikir tu macamlah sedang fikir masalah dunia!
“Oh akak sayang. Tolong jangan tanya saya soalan tu. Saya tak ada jawapan untuk soalan akak tu.” Mata Suriya tekun memandang skrin PC.
“Tapi kan, Su ni pekerja perempuan pertama yang dia bawa jumpa client tau. Selalunya Bad la yang teman dia walau ke mana aja dia pergi.” Noraini berjeda seketika. “Ke Su dengan bos ada apa-apa?” Noraini menyerkap jarang. Keningnya tergerak-gerak tanda mahukan jawapan.
“Ada apa-apa pulak akak ni?” Suriya tak senang dengan tekaan Noraini. Kak Ani suka betul kenenkan dia dengan bos besar tu. Bisik hati kecilnya.
“Apa-apalah. Ala yang ehem-ehem tu,” Noraini sengih.
“Ehem-ehem apa akak ni? Akak jangan cuba buat gosip liar. Dosa tau!”
“Eh, akak bukan saja-saja buat gosip tau. Ada orang nampak Su naik kereta Encik Iddin tengah hari tadi. Kalau tak sungguh, orang tak mengata tau. Eleh, mulut cakap lain. Dalam hati orang lain tak tahu. Mesti tengah ada taman dalam hati tu.” Noraini sengih lagi. Tak lenguh ke cik kak oi!
Erk! Ada orang nampak ke? Jari-jemari yang tadinya ligat mengetuk papan kekunci komputer terhenti mendadak. Pantas dia pandang Noraini. Mata mereka tepat beradu.
“Sungguh kak? Siapa yang nampak?” Menggelabah sekali Suriya menyoal Noaini.
“Ada la…” Noraini nak main teka-teki pula. Dia berlalu dari meja Suriya ke mejanya.
“Akak, cepatlah!” Suriya berdiri spontan. Suaranya sedikit menjerit. Sampaikan Maria yang sedang berbincang dengan Yusof turut sama tercengang dan pandang Suriya pelik. Suriya tekup mulut. Tak sangka pulak masih ada orang kat pejabat ni. “Sorry,” ucap Suriya tulus, menyedari kesilapan diri.
“Akak sambung minggu depan ya, bye-bye.” Selamba bibir Noraini berkata. “Oh, sebelum terlupa. Su hutang dengan akak satu cerita. Aku tuntut minggu depan tau!” Noraini memberikan peringatan. Sempat dia ketawa kecil dengan tingkah Suriya tadi. Noraini melenggang berlalu ke arah lif dengan beg tangan tersangkut di bahu. Siap lambai tangan lagi.
Kak Ani dah nak balik ke? Suriya pandang jam di skrin komputer. Patutlah Kak Ani dah balik, dah hampir pukul 6.00 petang rupanya. Bisik hati kecilnya. Suriya kembali henyak punggung di atas kerusinya. Mata kembali memandang PC. Aduh! Macam mana nak teruskan kerja kalau hati tak sudah-sudah tak tenang. Ni Kak Ani punya pasallah ni!

TEPAT pukul 5.00 pagi, tangan Iddin meraba-raba sisi sebelah kirinya. Dia mencari telefon bimbit yang memang diletakkan di bawah bantal. Mata dibukakan sedikit dan tangan ligat menutup penggera yang membingitkan telinganya. Samsung Galaxy Note II dibiarkan bisu di sebelah bantalnya.
Lima minit dia termenung di atas katil. Peristiwa semalam kembali terlayar di ruang matanya. Spontan senyum dilorekkan di bibir. Teringat kembali peristiwa dia memaksa gadis naïf bernama Suriya Anggerik. Dia tahu Suriya sepatutnya tak terlibat langsung dalam perbincangan itu. Tapi sengaja dia heret Suriya atas tiket sebagai peneman.
Masih terbayang di ruang mata riak mencuka wajah yang comel itu. Muka masam, mulut memuncung. Bagi dia, wajah itu sangat cantik dengan reaksi yang sebegitu. Masih teringat lagi dibenak Iddin. Kalau ikut hatinya, mahu dia melambakkan ketawa di situ juga. Namun dia sedar, jika dia ketawa, seperti sengaja menempah maut sendiri!
“Anggerik!” Dalam suara parau, bibirnya menyebut perlahan.
Tok… Tok… Tok…
Bersama dengan itu pintu biliknya diketuk dari luar. Itu mesti Mak Yam. Agak hatinya.
“Din, dah bangun ke belum? Hari ni kamu bertugas tak?” Suara Mak Yam menampan telinga.
“Dah bangun Mak Yam, macam biasa aje.” Balas Iddin.
Lantas dia bangun dari pembaringan. Telinganya menangkap derap tapak kaki Mak Yam yang semakin menjauh. Tuala di rak dia capai dan terus berlalu ke bilik air. Dia tak boleh berlama-lama. Kalau nak termenung lama-lama, dia kena cari hari dan waktu lain. Hujung minggu ni ada tugas yang menantinya di rumah Allah. Apa tugasnya? Rahsia!

SURIYA terjaga dari lenanya. Seperti ada yang memanggil namanya. Sebab itu dia terjaga. Dia toleh ke kiri dan ke kanan. Sekeliling masih gelap-gelita. Tapi siapa yang memanggilnya? Rozairul? Bukan rasanya. Rozairul ada di Perth sekarang ni. Baru petang semalam dia berbual-bual dengan alongnya. Suriya kebingungan.
Dia bergolek ke kiri. Telefon bimbit jenama Blackberry hadiah pemberian Rozairul, dia ambil dari atas meja sisi.
“Baru pukul 5.30 pagi. Awal lagi!” Dengus Suriya perlahan.
Kepala kembali disembamkan ke atas bantal. Malas weh! Dia ni jenis kalau dah bangun memang susah nak tidur balik. Matanya sudah terkebil-kebil di sebalik bantal. Sepuluh minit jugak dia berkelakuan begitu. Badan diterbalikkan. Mata mengadah siling. Ni la padahnya apabila terjaga. Lepas tu tak tahu nak buat apa. Boring!
Allahuakbar Allahuakbar…
Laungan azan subuh dari masjid berhampiran mengejutkan Suriya dari lamunan panjang. Dia menghayati setiap bait azan yang berkumandang. Terasa sangat nyaman dipendengarannya. Dia kaku di atas katil sambil menghayati alunan memanggil umat Islam mengerjakan suruhan kepadaNya. Sungguh suara itu sangat merdu hinggakan Suriya terpaku.
Suriya pantas membaca doa sejurus laungan ayat terakhir azan yang membawa maksud Tiada Tuhan Melainkan Allah. Dia merajinkan diri bangun dari pembaringan. Tak boleh malas-malas. Nanti syaitan lagi suka kalau anak Adam malas. Dia melangkah longlai masuk ke dalam bilik air selepas mencapai tuala.

“ASSALAMUALAIKUM,” sapaan salam dari belakang mematikan langkah Iddin. Dia berpusing. Seorang lelaki yang lengkap berbaju Melayu berdiri tegak di hadapannya kini. Wajah lelaki itu sama-samar di pandangan mata Iddin. Masih awal pagi, matahari pun tak muncul-muncul lagi. Lebih-lebih lagi sekarang ni cuaca tak menentu. Sering saja hujan walau bukan musim tengkujuh.
“Wa’alaikumussalam,” Iddin sambut huluran salam Rozairul.
“Lama tak nampak kau? Ops… sorry, aku ni lebih senang berkau aku aje. Tak selesa nak bersaya awak.” Lelaki di hadapan Iddin ramah berterus-terang.
Sudah lama sebenarnya Rozairul nampak lelaki itu setiap kali solat berjemaah di sini. Sebelum-sebelum ni dia memang tak sempat nak menegur. Sebabnya sejurus saja menunaikan solat, bayang lelaki itu pasti hilang begitu sahaja. Hari ini sempat pula dia kejar lelaki itu.
“Oh, tak apa. Aku Amsyar. Kebiasaannya aku sibuk kerja. Biasalah, kerja office hour. Masuk pagi baik malam. Cuma hari minggu macam ni saja boleh aku meriahkan masjid.” Ramah Iddin membalas.
“Aku Azwan. Oh, macam tu. Kau tinggal kat mana?” Mereka berbual sambil berjalan. Iddin merapati keretanya, Mitsubishi ASX.
“Aku tinggal dengan ayah aku kat taman Country Height tu.” Balas Iddin sambil menekan penggera kereta.
Anak orang ‘ada-ada’ juga dia ni. Desis hati Rozairul. Dari pada gaya, kereta yang dipakai dan cara pembawakan diri, Rozairul awal-awal sudah mengagak tentang hal ini. Tambah lagi apabila Iddin mengatakan tinggal di taman Country Height. Memang tak syak lagi. Hanya orang yang mempunyai pendapatan menjangkau lima angka sebulan sahaja yang mampu tinggal di sana.
“Kau pulak?” Iddin tiba-tiba menyoal.
“Taman Puncak Saujana,”
Taman Puncak Saujana? Kawasan perumahan Anggerik. Mereka berjiran ke? Hati pantas Iddin terdetik sendiri. Ah, ada banyak rumah kat sana. Nama taman aje yang sama pun.
“Err… Maaf aku bertanya. Kau ni memang selalu jadi muazzin kat masjid ni?” Rozairul menyoal kemudiannya.
“Taklah selalu. Cuma kalau ada kelapangan saja,”
“Senang pulak kau diterima bekerja kat sini,”
Iddin senyum segaris.
“Aku tak kerja kat masjid ni tapi aku lakukan semua tu kerana Allah. Bukan sebab bayaran. Aku tak minta bayaran dunia. Tapi aku cuma mahukan bayaran akhirat. Alhamdulillah, aku mahu kejar yang di sana,” jujur dan mendalam tutur kata Iddin. Sejujurnya itulah yang dia kejar.
“Oh, macam tu,” Rozairul berjeda seketika. Kunci dari dalam poket baju Melayu dia keluarkan. “Okeylah, aku gerak dulu. Senang-senang kita boleh jumpa lagi,” ujar Rozairul meminta diri. Usai bersalaman, dia melangkah ke arah Nissan Latio miliknya.
Iddin masuk ke dalam perut kereta. Dia sempat memandang kereta milik Azwan, lelaki yang baru dikenalinya berlalu pergi. Hon dibunyikan tanda meminta diri. Iddin anggukkan kepala sambil senyum. Kemudian giliran dia pula perlahan-lahan berlalu pergi dari perkarangan masjid.

SELESAI menunaikan solat subuh, Suriya turun ke tingkat bawah. Ruang tamu tempat pertama yang dia tuju. Kalau hari tak bekerja seperti hujung minggu begini, dia wajib membukakan tingkap supaya udara segar bebas masuk ke dalam rumah. Barulah terasa selesa. Cadangnya pagi ni dia nak sudahkan kerja yang amat-amat banyak itu. Hmm… Kalau ada Rozairul, boleh disuruh pergi beli sarapan kat warung hujung taman tu. Kat dapur tak ada barang basah untuk dimasak. Sekadar minuman tu ada lagi. Tapi Rozairul tak ada kat sini pula. Haih!
Ketika kakinya melewati sofa berangkai tiga, matanya terpandangkan susuk tubuh seseorang di situ. Teragak-agak dia merapati sofa tersebut. Manalah tahu jika penyangak yang tumpang tidur di situ. Eh, ada ke? Merepek betul aku ni! Apabila kaki semakin hampir dengan sofa barulah dia nampak dengan jelas wajah yang menghuni sofa. Dia tundukkan sedikit tubuh dan tangan kanan menyentuh bahu lelaki tersebut.
“Along, along.” Dua kali dia memanggil tapi panggilannya tak diendahkan. Tidur mati ke apa ni?
“Along,” dia cuba memanggil sekali lagi.
“Hmm…”
“Kenapa tidur kat sini?” Suriya menyoal.
Dia bangun dari duduknya dan berlalu ke arah tingkap. Tingkap dibuka dan langsir disisir ke tepi. Membiarkan udara bebas keluar masuk. Bukan semua tingkap yang dia buka. Hanya sebilangan saja. Dia berpaling kembali ke arah sofa.
“Along? La… sambung tidur balik.” Gumam Suriya.
Dia berlalu ke dapur. Tangan ligat mengisi air ke dalam cerek elektrik. Sementara menanti air masak, dia kembali ke ruang tamu. Penyapu dan penyodok di dalam stor sempat dia capai. Okey, misi mengemas rumah dahulu ye tuan-tuan, puan-puan. Sebelum dia diterima kerja dulu, semasa dia menyandang jawatan penganggur tetap, hati-hari dia bersihkan rumah ni. Tapi sekarang, jangan kata nak kemas rumah, nak tengok TV pun dia tak ada masa. Sibuk sangat dengan kerja.
“Along, along.”
“Ada apa?” Rozairul kalihkan badan ke kiri. Sikit lagi nak tergolek jatuh ke bawah.
“Nanti along pergi beli breakfast kat warung Cik Mas ya, adik tak masak. Dapur dah kosong,” ujar Suriya sambil membetulkan kedudukan karpet di depan almari TV.
“Hmm…”
Mendengar sahutan Rozairul, Suriya diam. Dia tekun dengan kerjanya. Selesai mengemas, dia ke dapur. Masa untuk membancuh air pula. Siap sejag air Milo, Suriya tatang dulang berisi jag dan dua biji muk ke meja makan.
“Along, cepatlah bangun. Nanti habis pula makanan kat warung Cik Mas.” Suriya gerakkan kembali Rozairul.
“Hmm…” Malas Rozairul menyahut.
“Along!” Ton suara Suriya sudah naik kerana Rozairul yang macam sengaja buat bodoh. Geramnya!
“Yalah, yalah.” Rozairul bangkit malas. Sempat lagi tu dia termenung seketika di atas sofa.
“Pukul berapa sampai? Semalam cakap tak sempat balik,” Suriya pandang sisi Rozairul yang masih lengkap dengan sepersalinan baju Melayu itu. Cuma songkok kat kepala aje yang dah terbang. Ni mesti baru balik dari masjid. Rozairul memang selalu berjemaah di masjid kalau dia ada kat sini.
“Along silap tengok jadual,”
“Oh, macam tu.” Melihat alongnya seperti mahu melabuhkan kembali kepala di atas sofa, Suriya cepat-cepat bersuara. “Along! Hisy, macam mana nak ada isteri kalau macam nilah gayanya. Adik suruh sikit dah susah nak bangun…” Suriya sudah mahu memulakan sesi membebel di pagi hari.
Haip! Sudah! Jangan nak start membebel. Bingit telinga ni,” sebelum Suriya meneruskan sesi memberi ceramah secara percuma, adalah lebih baik dia cepat-cepat hentikan. Rozairul bingkas bangun dan menapak ke tangga.
“Orang baru cakap sikit.” Protes Suriya perlahan. Muncung itik sudah terbentuk di bibir itu.
“Dik,” Rozairul tiba-tiba memanggil. Kakinya berhenti melangkah di anak tangga. Suriya pandang alongnya. Kening turut terjongket sama.
“Tadi along jumpa seseorang kat masjid,”
“Siapa?”
“Entah. Dah lama along perhatikan dia ni. Dah beberapa kali along nampak dia jadi muazzin kat masjid tu tapi bukan selalu. Maksudnya macam cuti hujung minggu ke, along mesti nampak dia kat masjid. Lepas dah lama perhatikan dia, pagi tadi along sempat sapa dia. Muda lagi orangnya,” beria-ia Rozairul bercerita. Sedangkan part muda ke tua tu Suriya tak tanya pun.
So?”
“Along sempatlah berborak dengan dia sekejap. Along tanya dia, dia memang jadi muazzin kat situ ke? Along nak kepastian aje sebab jarang-jarang nampak dia. Su tau tak dia jawab apa?” Bersinar mata itu bercerita.
“Apa dia?” Along ni pun satu. Kalau nak cerita tu, cerita ajelah sampai habis. Tak payahlah nak tanya-tanya. Macamlah adik dia ni rajin sangat nak fikir.
“Dia jawab, aku tak kerja kat masjid ni tapi aku lakukan semua tu kerana Allah. Bukan sebab bayaran. Aku tak minta bayaran dunia. Tapi aku cuma mahukan bayaran akhirat. Alhamdulillah, aku mahu kejar yang di sana. Wow! Meremang bulu roma along bila dengar dia cakap macam tu. Dari cara dia along dah dapat agak, dia ni mesti anak orang kaya.” Rozairul ulang kembali jawapan yang dikatakan oleh Iddin.
“Kalau dia anak orang kaya pun, apa kaitan dengan kerja dia jadi muazzin tu?” Dahi Suriya berlapis. Dia tak dapat tangkap lagi maksud kata-kata alongnya.
“Dik, mana ada orang buat kerja untuk free dalam dunia ni? Cuba bagi tahu along. Yang jadi sukarelawan kat luar sana pun ada yang ditaja tau. Tambah lagi pakai kereta mewah. Apa lagi. Sah-sah dia anak orang berada.” Dengan yakinnya Rozairul mengeluarkan usulnya sendiri.
“Hmm… Apa-apalah along. Eh, cepatlah pergi beli sarapan. Banyak cerita pulak along ni,” Suriya mematikan niat Rozairul yang masih mahu bercerita lagi.
“Yalah, yalah.”

7 ulasan:

  1. iddinku sayangggggg!!!!! lelaki idaman malaya.,,

    BalasPadam
  2. baby mio; terima kasih krna baca tulisan FF..:)

    hk; "ya HK sayang!!!" > macam mana kalau Iddin jawab macam tu? hehehehe... btw, tq for ur comment.. akhirnya terpublish! :D

    BalasPadam
  3. homai!!! homai!!! kejap nak pitam kejap...terus pengsannnnn esok pagi baru bangun...ngeh ngeh ngeh....

    BalasPadam
  4. Hahahahahaha..... Teruk penangan Iddin Amsyar... Ekekekeke..

    BalasPadam
  5. Assalamu'alaikum.Alhamdulillah dh ada smbungn. tiap hri tau saya tngok blog ni. ;) truskn smbung eh

    -Alia-

    BalasPadam
  6. wa'alaikumussalam... tiap hari dear?? waahhh.... terima kasih berbanyak-banyak Alia kerana menyokong hasil penulisan sy... #semakin bersemangat nak menulis ni..:D

    BalasPadam