Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 18 Mac 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 10



“ADIK, adik.” Rozairul tepuk lengan Suriya.
“Hah?” Terkapai-kapai Suriya. Bagai orang yang baru terjaga dari tidur.
“Duduk dulu,” suruh Rozairul.
Dan Suriya duduk. Mereka masing-masing diam seketika. Rozairul faham. Adiknya sekarang ini sedang berperang dengan perasaan sendiri. Perut Suriya yang tadinya berkeroncong hebat, sekarang sudah tak terasa lagi. Bagai lenyap dibawa pergi oleh berita yang Rozairul sampaikan. Perutnya tiba-tiba kenyang!
Rozairul gigit sedikit burger yang Suriya belikan untuknya. Dia pandang pinggan Suriya yang berisi set nasi ayam. Hanya terusik sedikit sahaja. Tadi bukan main lapar lagi. Sampai cara bercakap macam nak makan orang! Tiba-tiba Suriya berdiri. Tercengang Rozairul. Apa kes pulak ni?
“Su nak pergi mana?”
“Su nak balik!” Mendatar dan tanpa nada suara itu bertutur.
Tanpa pamitan, Suriya terus melangkah meninggalkan Rozairul. Terkejar-kejar Rozairul mengejar langkah Suriya. Tingkah adiknya ni memang tak boleh dijangka. Berubah mendadak kerana sebaris nama MAMA.
“Kenapa ni?” Rozairul bertanya sejurus mereka berada di dalam kereta.
Enjin dihidupkan tapi kereta tak berganjak dari tempat parkir. Dia bertanya seperti tak tahu jawapan Suriya. Suriya kekal membisukan diri. Along ni, tanya macam tak tahu pulak. Dengus Suriya di dalam hati.
“Sampai bila Su nak macam ni? Mama tak pernah salah.”
“Habis, siapa yang salah? Su?” Laju mulut Suriya membalas. Kalau ikut hati, dia nak bertempik ketika itu.
Rozairul hela nafas perlahan. “Mama berniat baik. Mama nak kita kenal ibu kandung kita.”
“Lepas apa yang dia dah buat kat kita dulu? No! Su tak boleh terima dia!” Suriya tekup kedua-dua belah telinga dengan tangan. Dia tak nak dengar!
Rozairul mengeluh sambil menggelengkan kepala. Tanpa menunggu lama, Rozairul masukkan gear dan mula berlalu dari petak parkir itu. Berlama di situ pun bukan dia dapat apa. Suriya tetap keraskan hati

PUAN Jamilah merenung lama telefon yang telah bisu itu. Dia sudah buntu. Tak tahu cara bagaimana lagi yang boleh diguna pakai untuk memujuk dua anak angkatnya itu. Si abang tak ada masalah sangat. Tapi si adik yang tak makan pujuk. Sudah berkali-kali dia pujuk. Namun, semuanya tak jalan. Kerana peristiwa lama, Suriya tak bertegur sapa dengannya.
“Amboi, ralitnya tenung telefon tu. Awak baru sudah bergayut dengan pakwe mana?” Sergahan satu suara dari belakang mengejutkan Puan Jamilah. Sampai terhinjut bahunya.
“Abang ni. Tak boleh ke tegur elok-elok? Terperanjat saya.”
“Saya tengok awak asyik sangat tenung telefon tu, sebab tu saya tegur. Awak ingatkan siapa? Awak telefon siapa tadi?” Encik Razak kembali mengulang soalannya. Dia labuhkan punggung di atas sofa berhadapan dengan TV. Melepaskan lelah seketika di situ. Kipas yang sedang berputar di atas kepala bagai tak terasa apa.
“Saya telefon Wan tadi. Bagi tahu dia pasal majlis anak kak long tu,” Puan Jamilah labuhkan punggung di sebelah suaminya. Dia mengeluh di akhir ayatnya.
“Dia nak balik?”
Puan Jamilah menggelengkan kepala penuh kehampaan. “Wan cakap nak tengok jadual dia dulu. Takut masa tu dia kena terbang,” suara Puan Jamilah lemah sekali.
“Tak apalah. Biar marah Su reda dulu. Dia masih marah kat kita tu,” Encik Razak cuba mententeramkan perasaan isterinya. Dia gosok perlahan belakang isterinya. “Dari awal lagi abang sudah pesan, awak janganlah berharap sangat. Kita tahu marah Su belum surut lagi,” ujar Encik Razak lagi.
“Tapi saya rindukan Su.” Luah Puan Jamilah. Air matanya hampir-hampir menitis di tubir mata.
“Abang tahu, abang pun rindukan dia. Tapi, apa boleh buat. Kita kena banyakkan sabar, banyak berdoa.” Pujuk Encik Razak. Melihat muka isterinya yang mendung, pantas dia bersuara. “Hei, kenapa menangis pulak ni? Dah-dah, tak payah nak fikir sangat. Insya-Allah satu hari nanti dia akan terima semuanya dengan baik.” Encik Jamilah memeluk bahu isterinya.
Puan Jamilah kesat air mata yang mengalir membasahi pipi. Tiap kali berasa sedih dengan Suriya, hanya kata-kata itu yang dapat Encik Razak hidangkan kepada isterinya supaya tidak terus berasa sedih.
“Ma, kenapa ni?” Rabiatul, anak bongsu Puan Jamilah yang baru balik dari kerja tiba-tiba menegur mamanya.
“Tak ada apa-apalah. Mama aje yang tetiba sedih.” Jawab Encik Jamilah bagi pihak isterinya.
“Ke papa ada usik mama ni?” Serkap Rabiatul.
“Eh, apa papa pulak. Adik ni suka-suka aje tuduh papa. Dahlah, papa nak mandi,” Encik Razak bangun dan berlalu ke biliknya.

SURIYA kelam-kabut sekali. Mana lagi nak siapkan sarapan, nak tunggu Pak Mail lagi. Walaupun biasanya Rozairul yang akan hantar dia ke tempat kerja jika ada di darat. Tapi hari ni dia tak nak susahkan alongnya. Biarlah dia berdikari sendiri. Yang paling penting dia terlewat bangun hari ni! Adoi!
“Along, Su dah siap buatkan air Nescafe untuk along. Sarapan hari ni Su sempat buat roti bakar aje, kalau rajin along cari makanan kat kedailah ye.” Pesan Suriya sebaik ternampak kelibat Rozairul menuruni tangga. Dia menggelengkan kepala melihat telatah adiknya yang sangat kelam-kabut pagi itu.
Suriya mendapatkan beg tangan dan beg kerjanya. Serentak dengan itu bunyi hon kereta kedengaran dari luar rumah. Pak Mail dah sampai, ujar hatinya. Segera dia salam dan cium tangan Rozairul sebelum keluar ke pintu pagar. Tapi, langkah kakinya semakin perlahan apabila melihat bukan sebuah teksi milik Pak Mail yang menunggunya pagi itu. Sebuah kereta Mini Cooper S tersadai elok di depan pintu pagar.
Siapa pulak ni? Suriya sudah berkira-kira mahu masuk kembali ke dalam rumah. Mahu meminta pertolongan Rozairul menghantarnya ke tempat kerja. Namun, langkah kakinya mati apabila hon kereta itu berbunyi sekali lagi. Cermin di bahagian penumpang diturunkan sedikit.
“Anggerik,”
Suriya kembali menoleh memandang kereta warna biru itu. Suara itu! Dia kenal suara itu. Dan panggilan nama itu. Anggerik! Tiada orang lain lagi.
“Masuk.” Arah lelaki itu. Suriya teragak-agak. Tak tahu sama ada dia patut masuk atau tidak. Kepala kembali tertoleh ke arah pintu rumah yang sudah tertutup rapat. Nak naik dengan bos sendiri atau minta tolong dengan Rozairul? Kalau Rozairul tahu ni, pasti kena ceramah panjang! “Tunggu apa lagi tu? Cepatlah!” Gesaan Iddin mematikan lamunan Suriya.
Dalam kata terpaksa, Suriya ikut juga arahan bos besarnya ini. Dan kereta buatan Britain itu terus meluncur laju di atas jalan raya.
Tanpa Suriya sedari, Rozairul asyik sekali memerhatikan gelagat Suriya dan pemilik kereta biru itu. Hatinya sebagai abang terbakar. Adik yang selama ini dikawal rapi, dijaga batas pergaulan sudah berani keluar dengan lelaki hari ni. Sejak diberi kebebasan bekerja, Suriya semakin panjang kaki. Adik, along kawal adik bersebab. Along tak nak adik jadi macam ibu. Adik tak ingat ke peristiwa lama? Hati Rozairul berkata-kata.

DI DALAM kereta comel itu, mereka mengambil langkah berdiam diri. Iddin dengan tumpuan ke atas jalan raya, Suriya dengan berpeluk tubuhnya. Dia nak tunjuk tanda tak puas hati dan mahukan penjelasan tapi Iddin sikit pun tak layan. Bukan mereka tak ada modal untuk berborak, tapi Suriya sibuk menunjukkan tanda protes. Dalam kepala Suriya penuh dengan persoalan yang memerlukan jawapan.
“Ehem,” mamat sebelah Suriya tiba-tiba berdehem. Suriya buat-buat tak dengar. “Awak ni kenapa?” Iddin jeling Suriya. Dia berdehem, tak ada yang nak layan!
“Kenapa apa?” Laju mulut kecil itu menjawab!
“Senyap aje,”
Eh, memang selama ni aku tak mesra dengan dia. Dia yang dingin macam ais tu boleh pulak tanya aku kenapa senyap? Dia yang mulakan dulu, apa kes pulak tanya aku macam tu? Huh!
“Dia bukan pernah bercakap mesra-mesra dengan aku pun.” Bisik Suriya perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.
“Apa awak cakap?”
“Saya cakap apa pulak, mana ada saya cakap apa-apa.” Dalih Suriya. Alamak! Macam mana dia dengar pulak ni? Mati aku!
Hurm…” Iddin curious. Aku belum pekak lagi okey, aku dengar setiap patah kata dia tadi. Hatinya berkata.
“Alamak!” Suara Suriya yang mendadak mengejutkan Iddin.
“Kenapa?” Iddin toleh pandang Suriya.
“Jalan dah jam!” Keluh Suriya sambil pandang jam di tangan. Dah lewat ni!
“Biasalah waktu-waktu macam ni,” selamba Iddin membalas.
Dia memanglah tak apa masuk pejabat lewat. Tak masuk pun tak apa. Tapi aku ni kuli aje. Adoi! Mata Suriya sudah melilau memandang ke kiri dan kanan jalan raya.
“Awak ni kenapa? Gelisah semacam,” Iddin pandang Suriya tak ubah seperti kera kena belacan.
“Sampai bila nak terperangkap dalam traffic jammed ni? Saya dah lewat.” Buat-buat tanya pulak!
“Kalau awak lewat, saya pun lewat jugak. Kita sama-sama ada dalam kereta ni. Tak payah risaulah. I’m your boss. Remember that.” Selamba lagi Iddin menjawab.
Aduh! Macam manalah aku boleh lupa. Kerana kelam-kabut, Suriya terlupa dengan siapa dia berada ketika itu. Spontan dia tepuk dahi. Macam manalah aku boleh lupa siapa orang sebelah ni.
Sejam lebih mereka terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Pemandangan biasa di ibu kota besar. Shah Alam kan ibu negeri Selangor. Sejurus kereta Iddin berhenti di petak parkir bawah tanah, Suriya pantas mahu meloloskan diri dari perut kereta.
“Eh, sabarlah.” Iddin berlari anak mengejar langkah Suriya.
Dia cuba paut lengan Suriya tapi sempat ditepis wanita itu. Kali kedua dia buat begitu selepas kes diajak jumpa client tempoh hari. Mencerlung mata Suriya pandang Iddin. Ah, tak kiralah kau bos aku ke rakan sekerja ke, ada aku kisah. Jangan suka-suka nak ambik kesempatan! Dengus Suriya di dalam hati.
“Err… kita jalan sekalilah. Nanti kalau orang tanya, awak cakaplah awak pergi jumpa client dengan saya,” Iddin mengajar Suriya menipu.
“Encik ajar saya berbohong?” Langkah kaki Suriya terhenti mendadak.
“Bukanlah macam tu. Tipu sunat aje. Ataupun awak nak berterus-terang tentang perkara sebenar apabila orang tanya? Boleh, dipersilakan. Tapi… awak kena terima sebabnya nanti. Dan jangan marahkan saya jika tersebar kencang gosip kita bercinta.” Iddin selamba memberikan peringatan. Dia kembali dingin seperti sebelum-sebelum ni. Menonong dia berjalan mendahului Suriya.
Dia ni memang suka buat aku sakit hati! Suriya terasa nak hempuk aje kepala mamat ni. Kalau tak kerana pangkat yang lebih tinggi, memang dah lama beg tangannya sampai ke kepala Iddin! Sedar atau tak. Cara Iddin ni memaksa Suriya ikut cakapnya. Memaksa dalam diam. Huh!
Melangkah masuk ke dalam ruang pejabat, berpasang-pasang mata asyik memandang ke arah mereka. Apa main pandang-pandang ni? Tak pernah tengok orang ke? Suriya tak sukakan cara semua rakan sekerja pandang dia. Macamlah dia ada buat salah besar. Dia kegelisahan.
“Ehem… Dari mana ni Su, Encik Iddin?” Berani sungguh Kak Ani bertanya. Suriya bulatkan mata ke arah Noraini. Ni soalan perangkap ni! Pandai betul Noraini buat muka bodoh. Grr… geramnya hati!
“Erm… saya dengan Suriya pergi jumpa client pagi tadi.” Iddin menjawab sambil pandang wajah Suriya. Suriya pulak dah tak tahu nak letak kat mana muka tu. Dia pandang aku buat apa!
“Saya masuk bilik dulu kak,” ujar Iddin dan berlalu ke biliknya. Manakala Suriya cepat-cepat menapak ke mejanya. Malas dia nak main mata dengan Noraini. Bukan dia tak tahu. Ada makna pandangan mata Noraini tu.
Noraini angkat dua batang jari dan tunjuk kepada Suriya. Penuh makna! Suriya pulak tayang muka pelik. Apa entah Kak Ani ni!

5 ulasan:

  1. Iddin dh bekenan 2 anggerik.jgn jual mahal2 tau.calon suami misali 2.

    BalasPadam
  2. ruunna qizbal; tq dear.. tunggu sambungannya ye..:D

    lin ms; Iddin dah lama simpan perasaan kat Suriya. tapi malangnya Suriya buat bodoh aje. tak apa, kita tengok macam mana mereka nanti.:)

    BalasPadam
  3. fieyza buat akak teruja pula nak tau kisah silam mereka ni...ohoooo abis la anggerik tu Rozairol dah nampak lepas ni kena dengar ceramah panjang la........hehehe... amboi si Iddin ni pandai-pandai ja ya p ambik suriya huhuhu
    fieyza nak lagi..............

    alongnani

    BalasPadam
  4. hahahaha.... mmg kena basuh pun! Iddin suka2 hati aje datang ambil Suriya, tak cakap dulu.. tp pandai jugak dia.. kalau dia cakap dulu, sah2 Suriya keluar lagi awal dr tu.. hehehe
    tunggu n3 baru nanti... sy akan mention nama akak ye..:))

    BalasPadam