Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 14 Mac 2016

CERITERA AKU DAN CINTA: BAB 11

PETANG itu, sengaja aku keluar bersiar-siar pusing taman kat kawasan perumahan aku tu. Dari pagi duk terperap dalam bilik, dah rasa macam orang bodoh aje aku rasa. Dengan seluar trek dan kemeja T lengan tiga suku, aku berjalan ke arah bangku di bawah sebatang pohon yang rendang. Tambah pula dengan cuaca yang tak panas dan angin sepoi-sepoi. Nyamannya!
Taman yang masih lengang dari orang awam aku pandang kiri dan kanannya. Aduhai. Kerja tak dapat-dapat lagi ni. Duit dalam bank ada berapa ajelah. Kalau duk kikis hari-hari, lama-lama kering jugak dalam tu. Bukit yang tinggi, kalau hari-hari ditarah akhirnya gondol juga. Aku mengeluh mengenangkan nasib diri.
Telefon bimbit di dalam poket tiba-tiba bergetar. Ni yang malas bawa telefon ni. Mesti ada aje yang mencari. Aku merungut di dalam hati.
“Ada apa Man?” Tanpa salam, aku terus menyoal Ashman.
“Akak, akak ada kat mana ni?”
“Ambil angin petang. Kenapa kau ni? Bercakap macam orang tak cukup nafas.” Aku menegur. Pelik betul Ashman ni. Aku dengar dia tercungap-cungap bernafas.
“Akak balik rumah sekarang!” Ashman mengarah.
“Balik? Apasal pulak? Tak pernah nak tengok orang senanglah kau ni.” Aku marah dia.
“Akak balik sekarang. Jangan banyak tanya. Ada orang datang rumah ni,”
“La… Umi kan ada. Suruhlah umi layan. Kenapa sibuk telefon akak pulak.”
“Masalahnya orang ni datang cari akak!”
Cari aku? Kenapa pula? Siapa?
“Yalah, yalah. Akak balik sekarang.” Putusku.
Aku menapak kembali ke rumah. Dalam kepala tak sudah-sudah berfikir. Aduhai. Aku ni memanglah. Perkara kecil pun aku akan fikir macam masalah dunia.
Sampai di depan pintu pagar, aku lihat ada ada tiga buah kereta bersusun. Banyaknya kereta. Siapa yang datang ni? Kata cari aku tapi apasal banyak sangat kereta ni? Dan semua kereta tu aku tak kenal langsung. Lambat-lambat kakiku melangkah masuk ke perkarangan rumah. Aku lihat banyak kasut bersusun di muka pintu utama.
Hati dah berdebar semacam ni. Sampai di muka pintu utama, umi terus menerpa ke arahku. Aku blur!
“Yaya,”
“Apa semua ni umi?” aku bertanya bersama getaran di dalam hati.
“Masuk dulu,” umi tarik tangan aku dan heret aku ke dapur. Semasa melintasi ruang tamu, mataku sempat menangkap susunan dulang hantaran. Wajah tetamu itu aku tak pandang tapi dulang-dulang itu yang menarik perhatianku. Mereka datang meminang? Meminang siapa? Aku? Yalah, takkan meminang Ashman pula.
“Umi,”
“Mereka datang bawa hajat,” umi mulakan mukadimahnya. Kepala umi dipanjangkan sedikit, menjenguk ke ruang tamu.
“Hajat?” jangan ditanya kenapa aku tersangat blur petang tu. Aku tak tahu kenapa.
“Mereka nak meminang Yaya,”
“Hah?” aku terperanjat. Telahan aku tadi tak menyimpang. Betul! “Siapa mereka tu?”
“La… Takkan dah tak kenal. Itukan mak cik yang Ashman tolong minggu lepas,”
Mak cik yang Ashman tolong? Maknanya emak Fayyadh? Allah! Aku kan dah cakap, batalkan rancangan bodoh ni. Ni memang sengaja nak cari penyakit. Aku tepuk dahi.
“Umi pergi cakap kat dia orang, Yaya tolak pinangan mereka!” di luar sedar, suaraku meninggi sedikit.
“Tapi kenapa? Dah elok-elok orang datang meminang macam ni, kenapa nak tolak? Yaya, umur Yaya bukannya makin muda. Kalau tolak pinangan ni, Yaya nak tunggu pinangan siapa? Pinangan anak raja?” umi menyoal bertalu-talu.
Umi buat macam aku ni tak laku sangat. Kalau aku terima pinangan ni, masalah akan menjadi bertambah rumit. Kes aku dengan Gina tak berkesudahan lagi, sekarang timbul kes ni pulak. Aduh! Bertimpa-timpa masalah yang datang.
“Orang tak nak, umi!”
“Tapi umi dah terima.”
Aku terpempam. Kenyataan apakah ini ya Allah!
“Umi!”
Aku terduduk. Terasa seperti kepalaku sedang dihempap dengan sebatang kayu balak. Sakitnya hanya Allah saja yang tahu. Aku tak dapat berfikir dengan waras. Akalku seperti beku untuk berfikir.
“Kak,”
Aku pandang ke kiri. Ashman berdiri di sebelahku. Aku pandang wajah Ashman dengan pandangan kosong. Aku tak tahu nak kata apa. Kalau dengan kak long boleh juga aku buka cerita. Tapi dengan Ashman lidahku jadi kelu. Mungkin kerana Ashman berlainan jantina denganku.
“Sabar kak.” Kata Ashman lagi.
Nak sabar macam mana? Umi kejam! Apa yang kak long lalui dulu kembali terjadi kepadaku. Bezanya kak long sempat larikan diri dari rumah sebelum dihalau terus dan dilarang memijak lantai rumah ini. Aku tak mahu sejarah kak long berulang kembali kepadaku. Cukuplah hanya kak long diharamkan dari pijak tanah rumah ini. Aku pernah berjanji untuk membawa balik kak long ke rumah ini. Kalau aku juga bertindak seperti kak long, maknanya janjiku hanya tinggal janji.
Dan Farish! Kata-kata yang pernah keluar dari bibirku dulu di depan Farish kembali berlegar-legar di dalam kepalaku.
“Saya bagi tempoh tiga bulan. Dalam tempoh tu, jika ada yang masuk meminang, saya terus terima. Tak kiralah encik atau siapa-siapa saja yang masuk meminang.”
Sekarang waktu yang tinggal kurang saja dari sebulan. Kalau aku terima pinangan ini, secara automatik aku akan terlepas dari gangguan Farish. Tapi dalam masa yang sama aku merampas hak milik Gina. Ah, kira serilah ni. Aku tolong Fayyadh. Fayyadh tolong aku. Aku menimbang keputusan yang telah sebulat suara di dalam hati.
Aku bangun dari duduk mendadak. Walau dengan rasa tak puas hati kepada umi, aku perlu kuat untuk kak long. Aku dah tak terasa nak fikirkan pasal masa depanku. Keutamaanku adalah kak long. Aku ke ruang tamu.
Tapi keadaan di ruang tamu tiba-tiba kecoh. Ada suara asing menyapa telingaku.
“Peminangan ini dibatalkan!”
“Syah!” Suara Puan Irdina terjerit.
Mummy!”
Puan Irdina meluru ke arah Fayyadh. Dia tarik lengan Fayyadh supaya mengekori langkahnya ke luar rumah. Aku pandang wajah umi yang tercengang. Tiba-tiba keadaan jadi kelam-kabut, memanglah umi terkejut.
“Apa semua ni Syah? Syah sendiri yang suruh mummy datang pinang Yaya. Tapi kenapa tiba-tiba nak batal?” walaupun sudah berada di luar rumah, telingaku masih dapat menangkap suara Puan Irdina menyoal Fayyadh keras.
Sorry mummy. Syah lupa nak cakap kat mummy supaya batalkan rancangan meminang ni.” Lemah suara Fayyadh.
“Tapi kenapa?”
“Semasa Syah cakap suruh hantar rombongan meminang tu, Syah dalam mood tak baik. Syah baru lepas bergaduh dengan Gina. Jadi spontan ia terkeluar dari mulut Syah.” Terang Fayyadh.
“Habis tu kenapa bawa Yaya balik ke rumah kita?” Puan Irdina masih tak puas hati. Bagi dia, penerangan Fayyadh masih tak lengkap kut.
“Syah tak sengaja.”
“Tak sengaja? Apa punya jawapan tu? Hari ni Syah dah memalukan mummy. Syah ingat satu perkara. Lepas ni jangan mengada nak suruh mummy masuk meminang Gina. Mummy takkan lakukan.” Keras suara Puan Irdina memberikan amaran.
Puan Irdina masuk kembali ke dalam rumahku dengan wajah yang sugul. Dia duduk kembali di kerusinya tadi. Semua mata terarah kepadanya.
“Akak minta maaf Mastura. Nampaknya peminangan ini terpaksa dibatalkan. Anak akak berubah fikiran pula.” Lemah suara Puan Irdina.
‘Tapi saya terima peminangan ni.” Entah kuasa apa yang telah merasuk aku hingga mulutku tiba-tiba bersuara.
Semua yang ada di ruang tamu itu tercengang. Terkejut dengan aku yang tiba-tiba bersuara. Semua mata tertumpu kepada aku.
“Yaya,”
“Isya,”
Umi, Puan Irdina dan Fayyadh serentak memanggil nama aku. Umi menerpa ke arahku.
“Yaya, tadi cakap lain. Kenapa berubah fikiran tiba-tiba ni?” Umi soal aku.
“Orang tak nak hampakan umi. Orang tak nak keluarga kita terus berpecah sebabkan orang. Jadi, biarlah orang korbankan diri orang.”
“Yaya,” sayu suara umi.
“Eh, kenapa nak sedih pula ni umi?” aku genggam tangan umi. Aku tepuk tangan umi perlahan. “Jangan buat keputusan kerana terpaksa, Yaya.”
Pandangan kami beradu. Aku gelengkan kepala. Menidakkan tanggapan umi. Tetapi secara zahirnya, umi tak tahu kisah sebenar.
“Tak, umi.”
Aku kalihkan mata. Aku memandang Fayyadh. Dahi lelaki itu berkerut tanda penuh dengan persoalan. Mesti dia pelik. Aku yang suruh dia batalkan rancangan meminang ni. Alih-alih aku sendiri yang bersetuju di saat-saat akhir. Aku lepaskan tangan umi dan melangkah merapati Fayyadh.
We need to talk. But not now.” Bisikku perlahan. Hanya kami berdua saja yang mendengar ayatku kerana Fayyadh berdiri jauh dari kalangan yang sedang berkumpul itu.
But why?”
I will tell you later,”
Aku tinggalkan Fayyadh yang masih kebingungan itu. Aku tahu, kepalanya sedang pening. Tak apa, biarkan dia dengan pening kepalanya dahulu. Aku mendapatkan umiku dan tetamu di dalam rumah.
“Yaya,” Puan Irdina memanggilku.
“Ya mak cik,”
“Betul ke keputusan Yaya ni?”
“Insya-Allah.” Jawabku bersama anggukkan kepala.
“Yaya,” umi berdiri di sebelahku sambil pegang lenganku.
“Tak apa umi. Ini keputusan Yaya. Insya-Allah, harapnya ini pilihan yang terbaik.” Pandai tak aku susun perkataan menjadi ayat? Nak buat macam mana. Aku terpaksa memaniskan ayat supaya tak nampak janggal.
“Jadi Mastura?” Puan Irdina menyoal umi. Aku ditengah-tengah menjadi pemerhati saja. Biarlah mereka yang lebih dewasa uruskan semuanya.
“Kalau sudah itu keputusan tuan badan, saya ikutkan saja kak.” Kata umi.
Dan petang itu telah mencipta sejarah yang tersendiri. Dengan seluar trek dan baju T di tubuh, aku menjadi tunangan orang. Siap ada sesi menyarung cincin di jari manisku dan sesi bergambar lagi. Aduhai. Bagai mimpi semua ini dan ia tersangat mendadak. Dhiya Delisya sudah ditempah!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan