Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 21 Mac 2016

CERITERA AKU DAN CINTA : BAB 12



USAI solat maghrib, aku terus capai telefon dari atas meja belajar. Hatiku tak tenang. Solat pun tak khusyuk tadi. Ya Allah!

Nombor telefon kak long aku dail.Aku perlu bercakap dengan kak long. Hanya kak long tempat aku mencurah rasa hati. Dan hanya kak long yang memahami aku. Selepas menunggu beberapa saat, barulah panggilan bersambut.

“Kak long,” lemah suaraku memanggil kak long.

“Ada apa Yaya? Pelik saja kak long dengar suara tu.” Kak long memanglah tersangat faham adik dia yang seorang ni. nada suara aku berubah sedikit pun dia dah dapat kesan. Sebab tu aku sayang sangat kak long aku.

“Kak long sibuk ke?”

“Kak long baru habis kerja. Sekarang tengah drive nak balik rumah. Kenapa? Nak jumpa ke?”

“I don’t know how to tell you,” aku mengeluh.

“La…. Kenapa ni? macam masalah besar aje. Cuba cerita kat kak long,”

“Something happen today,”

“What happen?” laju kak long bertanya balas. Aku tahu, dia sedang berdebar-debar menantikan cerita aku.

“Orang kena pinang hari ni.”

“Kena pinang?!”

Streeett! Aku dengar bunyi itu. Bunyi brek mengejut.

“Kak long, kak long tak apa apa ke?” hatiku berdebar. Inilah bahananya kalau bercakap dengan orang yang sedang memandu kereta. Besar impaknya.

“Okey, kak long okey. Cuma terkejut saja. Nasib baik tak ada kereta kat belakang.” Aku dengar kak long terperti tercungap-cungap bernafas.

“Orang cerita bila kak long dah sampai rumahlah. Nanti jadi apa-apa, orang juga yang susah.” Aku risau. Manalah tahu cerita aku yang selanjutnya nanti akan tambah mengejutkan kak long.

“Tak apa, teruskan aje. Siapa yang masuk meminang tu? Farish?”

“Farish? Bukanlah!” Heh! Macam mana pula kak long boleh terfikirkan pasal Farish pula ni. Sedangkan aku dah malas nak fikir pasal mamat tu.

“Habis tu? Oh no! Jangan cakap Fayyadh yang masuk meminang pula.” Nada kak long sedikit jengkel. Aku tak tahu kenapa. Kak long macam kurang sukakan Fayyadh. Itu yang aku baca dari intonasi suaranya.

“Kak long, itulah kenyataannya.”

“What?!” terjerit kak long dan memeranjatkan aku. Tak sangka sampai begitu sekali reaksi kak long. Takut aku jadinya.

“Kenapa kak long?” hatiku gusar.

“Bukan ke Yaya cakap dah suruh dia batalkan rancangan meminang ni. Macam mana mereka datang meminang juga?”

“Fayyadh terlupa nak cakap kat emak dia supaya batalkan rancangan ni. Kecoh jugalah kat rumah petang tadi. Tapi…”

“Tapi? Apa yang tapinya?”

“Orang terima pinangan tu.” Mendatar nada suaraku. Pada masa yang sama, aku pandang cincin yang disarungkan oleh Puan Irdina di jari manisku sudah menjadi penghuni baru kotak kecil yang berisi barang perhiasanku. Aku memang tak pakai cincin. Jariku alahan apabila pakai cincin. Mesti gatal-gatal punya.

“Terima? Allah! Yaya betul-betul buat kak long sakit jantung kalau macam ni.” Gerutu kak long.

“Kak long,”

“Umi paksa Yaya terima ke ni? Tolonglah Yaya, tolong jangan biarkan orang tentukan hidup kita. Takkan selamanya Yaya nak ikut telunjuk umi. Betul, syurga seorang anak dibawah telapak kaki ibunya. Tapi sekarang ni berkaitan jodoh. Yang akan hidup dengan dia nanti bukan umi tapi Yaya. Kak long dah tak tahu nak kata apa.” Senafas kak long menuturkan hujahnya.

“Bukan kak long, bukan.” Aku menafikan.

“Bukan? Apa yang bukannya?”

“Bukan umi yang buat keputusan untuk Yaya. Tapi Yaya sendiri yang buat keputusan ni. Yaya sendiri yang terima pinangan tu.”

“Hah? Apa berbelit sekali Yaya cakap ni? Tak faham kak long. Kak long dah pening.”

Lalu, aku ceritakan semua yang berlaku petang tadi secara keseluruhannya kepada kak long. Tak tertinggal walau satu pun. Aku biarkan kak long nilai sendiri dari ceritaku.

“Yaya serius ke?”

“Entah. Orang ikut kata hati. Itu yang terlintas masa tu, jadi orang buat macam tu.” Perlahan suaraku.

“Kak long tak tahu nak kata apa. Kak long pun pelik.”

“Kak long, kalau orang jadi kahwin dengan Fayyadh, kak long balik tak?” dari tadi aku menunggu peluang untuk bertanyakan soalan ini. Inilah peluang untuk aku menyatukan kembali hubungan kak long dengan umi dan ayah.

Kak long di hujung talian diam. Aku tak tahu maksud membisu kak long itu. Sama ada kak long tak nak balik terus atau kak long tak ada jawapan untuk soalan aku tu.

“Kak long,” aku memanggil.

“Hmm….”

“Macam mana?”

“Yaya, kak long tak ada jawapannya sekarang.”

“Okey,”

“Yaya,”

“Ya kak long.”

“Yaya serius ke dengan keputusan Yaya ni?”

Aku diam. Soalan kak long tak susah tapi mulut aku kelu untuk memberikan jawapan. Bimbang nanti bila aku keluarkan rancanganku, kak long akan melenting. Akhirnya perbualan antara kami berakhir tergantung begitu.



PETANG itu. Aku duduk di bawah pohon besar di taman permainan itu sambil tangan bermain-main dengan daun-daun kering yang berguguran. Aku menunggu seseorang sebenarnya. Janji pukul 5.00 tapi sekarang dah pukul berapa ni. Aku pandang lagi jam dipergelangan tangan. Suku jam lagi akan menginjak ke pukul 6.00 petang.

“Janji Melayu!” Rungutku sendiri.

Aku pandang ke arah jalan raya yang lengang. Lima minit lagi kalau tak sampai jugak, aku blah! Bisik hatiku. Aku pun malas juga menunggu lama-lama. Baik balik sambung tidur dari menjadi penunggu tak bergaji ni.

“Streettt!” bunyi kereta di brek mengejut membuatkan kepalaku pantas mencari arah datangnya bunyi itu.

“Sampai pun,” gumamku perlahan.

“Sorry, sorry. Tadi ada hal kat bengkel.” Mohon Fayyadh selepas berdiri sebelah aku.

“Hmm…” aku hanya menggumam. Nak marah pun, siapalah aku pada dia.

“Apa cerita? Kenapa nak jumpa?” Fayyadh menyoal sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah aku.

“Pasal ni,” aku angkat tangan kiri dan cincin yang tersarung di jari manis aku tunjuk kepada dia.

“Hmm… kenapa awak terima? Dulu beria-ia suruh saya batalkan niat nak hantar rombongan meminang ni.” Komen Fayyadh. Muka dia penuh sekali minat nak tahu.

“I have a plan.”

“Plan?” kening Fayyadh terjongket.

“Begini, sekarang ni awak nak lepaskan geram kat Gina dan nak buat Gina cemburu kan?”

“Yup,” berterus-terangnya Fayyadh ni.

“Dan saya pula nak lepas dari Farish. Jadi sekarang ni win-win situation. Awak boleh jalankan rancangan awak dan saya ada sebab tersendiri. Saya tolong awak, awak tolong saya. Sebab tu saya tiba-tiba terima pinangan ni. Kita boleh teruskan hubungan ni sampai kahwin. Lepas beberapa bulan, kita cerai. Itu plan saya, kalau awak rasa nak ikut, kita boleh teruskan. Tapi kaalu awak tak nak, saya boleh pulangkan kembali cincin ni.” Aku membentangkan rancangan yang telah terangka di dalam kepala.

Fayyadh diam. Bagai tergamam. Lama aku tunggu reaksi dia.

“Apa sebabnya?”

“Adalah. Rasanya tak penting untuk awak tahu. Kalau tak nak terima rancangan saya, tak apa. Saya tak paksa. Tapi saya fikir, rancangan ni macam memudahkan kita. Apa-apa hal, awak fikir dulu. Saya tak nak keputusan sekarang. Fikirkan dulu. Kalau boleh secepat mungkin bagi jawapan kat saya.” Putusku. Aku bangun. Kesan dedaun kering yang melekat pada seluar aku sapu dengan tangan. Apa yang aku nak sampaikan sudah pun aku bagi tahu. Sekarang tunggu apa pula kata dia.

“Tak nampak seperti kita akan mempermainkan institusi perkahwinan tu sendiri ke? Kenapa kita tak guna cara lain? Mungkin ada cara lain lagi.” Fayyadh tiba-tiba bersuara.

“Saya hanya terfikirkan cara ni saja. Isu mempermainkan institusi perkahwinan atau tidak itu terpulang kepada niat kita. Kita bukannya nak buat jahat tapi niat kita nak selamatkan diri kita juga. Atau pun awak ada cadangan lain?” Keningku terjongket sambil menyoal Fayyadh.

“Saya fikirkan dulu,”

“Okey, saya tunggu keputusan awak. So, dah tak ada apa lagi. Saya balik dulu,” aku meminta diri. Kaki terus melangkah meninggalkan Fayyadh di bawah pohon besar.



SURAT khabar di tangan aku belek sehelai demi sehelai. Ruang iklan jawatan kosong yang aku cari. Aku kena cari kerja juga. Aku tak boleh terus bergoyang kaki macam ni. Tak masuk apa-apa. Makin menipiskan poket adalah.

“Kak,” Ashman menegurku.

“Hmm…”

“Tengah buat apa tu?”

“Makan nasi.” Jawabku spontan.

“Akak ni, beragaklah.” Protes Ashman.

“Dah nampak akak tengah belek surat khabar maknanya akak tengah baca surat khabarlah. Itu pun tanya,”

Pen merah di tangan kanan. Hah! Jumpa lagi. Laju tangan aku membulatkan iklan peluang kerja yang aku rasa mungkin sesuai dengan aku.

“Banyaknya main bulat-bulat.”

“Eh, sibuk budak ni. Pergi naik atas sana,” aku menghalau Ashman. Kacau betul budak ni sorang.

“Orang tegur pun tak boleh,” Ashman membebel.

Ashman naik ke bilik dengan beg sekolahnya. Aman sikit bila budak kecil tu dah naik ke bilik dia. Kalau tak, kerjanya asyik nak mengacau saja.

“Kak.” Ingatkan dah aman. Suara Ashman kembali terpekik.

“Apa lagi?” dengan geram aku menyahut panggilan Ashman.

“Akak masak tak? Man lapar.” Dah buat suara sedih dia dah.

“Tak.” Sengaja aku menjawab begitu. Aku dah masak sebenarnya. Saja aku sakat dia. Aku sembunyikan senyuman yang mula menguntum di bibir.

“Ala… Habis nak makan apa ni?”

“Dalam peti sejuk tu ada telur, pandai-pandailah goreng sendiri. Takkan nak harapkan akak aje,”

“Telur aje? Semalam dah makan telur.” Ashman merungut.

“Ololo… kesiannya adik aku ni. Pergilah kat dapur tu. Akak dah masak.” Tak sampai hati pula aku tengok budak sorang ni buat muka kasihan. Saja nak tarik perhatian aku tu.

“Yes! Berbaloi juga buat muka kasihan ni.” Ashman gelak kuat. Kan aku dah kata. Saja aje budak ni.

“Eii budak ni! Lain kali kalau buat macam tu, akak dah tak nak masak!” aku mengugut. Alah, ugut manja saja.

Kerana adik yang seorang itu, habis terbengkalai kerjaku. Hilang fokus aku mahu menanda ruangan iklan dalam surat khabar.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan