Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 28 Mac 2016

CERITERA AKU DAN CINTA : BAB 13

“SIAL punya driver teksi!” aku marahkan pemandu teksi itu. Kerana akal pendek, aku tanggalkan kasut dan dilontar ke arah teksi. Tak kena pun. Teksi tu dah menyusup ke mana-mana. Aku berangin bagai mahu berasap tubuh ni.
Mesti pelikkan, tetiba aku naik angin. Kisahnya macam ni. Pagi tadi aku keluar rumah tumpang umi. Hajat pagi ni nak pergi temuduga kat satu syarikat ni. Alah, kerja sebagai kerani aje. Jadi lepas habis temuduga tu, aku nak baik bas balik ke rumah. Tapi tunggu punya tunggu bas tak muncul-muncul.
Nampak saja teksi, aku terus sambar. Lenguh kaki ni berdiri tunggu bas. Sudahlah terpaksa pakai kasut bertumit. Fuh! Memang tak boleh jadi wanita Melayu terakhirlah aku ni. Dapat aje teksi aku terus naik. Tapi ingatkan dapat teksi ni kita beruntung sangat. Beruntung ke apanya! Dasar pemandu teksi gila seks! Sebab apa gila seks? Boleh pulak pemandu teksi tu sibuk ajak aku bercakap pasal seks! Mana aku tak naik angin. Terlupa aku nak ambil nombor plat teksi tu. Kalau tak tadi boleh lapor kepada pihak yang berkaitan.
“Isya!”
Siapa pulak yang panggil nama aku ni? Aku berpaling. Fayyadh berdiri di depan aku.
“Kenapa ni? Eh, mana sebelah lagi kasut awak?” Fayyadh pelik melihat aku.
Aku tak menjawab soalan dia tapi tanganku lurus menunjuk ke arah jalan raya, tempat di mana sandalku telah tersadai. Fayyadh pandang ke arah yang aku tunjukkan sebelum pandang aku. Kemudian bersilih ganti dia pandang jalan raya dan aku.
“Kenapa sampai boleh ke sana?” dia pelik dengan aku.
“Huh!” aku mendengus. Marah kat orang lain, lepas kat orang lain. Ha…. Bagus sangatlah tu Dhiya Delisya Durrani oi!
Aku lihat Fayyadh pula yang pergi ke arah kasut aku dan ambil kasut tu sebelum bawa kepada aku. Err…. Gentlemen ke?
“Nah.” Dengan muka yang membahang. Malu weh! Aku pakai juga kasut itu. “Awak dari mana sebenarnya ni?”
“Dari sana.” Aku tunjuk bangunan berbelas tingkat kat hujung jalan ni. Nasib baik aku sempat naik sekejap aje teksi tu. Tambang pun aku tak bayar. Angin punya pasal kan.
“Buat apa?” banyak pula soalan pak cik ni. Oh, lupa. Dia dah jadi tunang aku sekarang. Tunang ekspres.
“Temuduga.”
“Oh,” Fayyadh senyap seketika. Kalau senyap macam ni, aku nak blah la. Tiba-tiba dia paut lengan aku. “Jom ikut saya,” dia tarik lengan aku.
“Eh, nak pergi mana ni?” Aku cuba lepaskan pautan tangannya pada lenganku. Sakitlah. Tenaga lelakikan lagi kuat dari perempuan.
“Ikut saya sekejap aje. Takkan saya nak ajak tunang saya keluar pun salah.” Selamba dia berkata.
Tunang? Kepalaku ting tong sekejap. Dia mengaku aku ni tunang dia? Biar betul. Macam pelik pula. Aku tak sedar langsung dalam masa yang sama Fayyadh heret aku ke keretanya.
“Masuklah,takkan nak saya dukung pula.” Kata-kata Fayyadh mematikan anganku.
Aku masuk ke dalam kereta mewah itu. Aduhai. Janggalnya rasa. Fayyadh masuk ke dalam kereta dan terus memandu.
“Awak serius ke nak kerja?” Fayyadh tiba-tiba menyoal.
“Hmm…”
“Saya ada kerja untuk awak. Dah lama jawatan tu kosong.”
“Kat mana?” laju aku menyoal. Orang tengah lapar kerja, memang ginilah gayanya.
“Kondominium Anjung Damai.”
Kepalaku laju tertoleh memandang Fayyadh. Kondominium? Kerja sebagai apa? Bibik? Heh! Nak suruh tuan rumah tu keracunan ke apa?
“Sebagai apa?”
“Awak nak ke tak?” eh, eh. Aku tanya dia, dia tanya aku balik. Mana adil.
“Sebelum tu nak juga saya tahu kerja apa. Takkan nak suruh saya kerja tapi tak nak bagi tahu kerja apa.” Aku mengomel.
“Kalau saya cakap awak jangan terkejut pula.” Dia macam ragu-ragu aje.
“Cakap ajelah. Kenapa nak terkejut pula.”
“Kerja sebagai isteri saya,”
Aku tercengang. Sekali lagi aku pandang dia, laju. Sekali dengan mata membulat.
Don’t make a joke.” Tanpa nada aku menutur. Memang rasa tak selesa dah ni.
“Siapa pula buat lawak? Saya serius.”
“Awak terima rancangan saya?”
“Hmm… sounds like that. Tapi…”
“Tapi?”
“Tapi saya nak ubah sedikit rancangan awak tu.”
“Ubah macam mana?”
“Seperti rancangan awak tu, kita bertunang hingga kahwin. Tapi semasa dalam alam perkahwinan, kita tak perlu tetapkan tempoh untuk bercerai. Sebabnya, matlamat sebuah perkahwinan tu bukannya untuk bercerai. Kalau kita teruskan juga seperti rancangan awak tu, kita seperti menidakkan hukum Allah. Jadi kita biarkan masa saja yang tentukan perkahwinan kita nanti. Sama ada bercerai atau tidak, itu semua kerja Allah, bukan kerja kita. Faham?” Fayyadh membentangkan apa yang berada di dalam kepalanya.
Aku diam. Berfikir untuk seketika. Betul juga apa yang Fayyadh katakan itu. Ketika aku membentangkan rancanganku itu, aku tak sempat langsung berfikir panjang. Apa yang terlintas di dalam kepala aku terangkan kepada dia. Kemudian kepalaku mengangguk perlahan.
So, boleh kita teruskan rancangan ni?” Fayyadh tanya lagi.
Aku anggukkan kepala.
Good! So bila majlis kahwin tu?”
“Hah?!” aku terperanjat. Soalan Fayyadh teralu mendadak. Tak sampai seminggu kut bertunang, dah tanya pasal kahwin. Saja buat aku tercengang habis ni.
“Kata lepas bertunang nak kahwin, jadi kena fikirlah bila target nak kahwin. Bahaya bertunang lama-lama ni tau.” Fayyadh seperti memberi peringatan kepada aku.
Bahaya bertunang lama-lama. Aku ulang kembali kata-kata dia di dalam hati. Ini bukan kali pertama aku dengar ayat sebegitu. Dah banyak kali tapi dari mulut orang lain. Dari rakan sekerja di tempat kerja lama.
“Saya tak bincang lagi dengan keluarga saya,” kataku.
“Kalau macam tu, bincng dulu. Saya boleh aje bila-bila pun.”
Erk! Macam terdesak nak kahwin aje ayat mamat ni. Kataku di dalam hati.
“Dah sampai.” Oh dah sampai. Aku pegang pembuka pintu kereta dan mahu melangkah keluar dari perut kereta. “Sekejap,” langkahku terhenti. Aku pandang Fayyadh. Dia sedang seluk poket seluarnya. Dompet dia bawa keluar dari poket seluarnya.
“Nah,” sekeping kad dihulur kepadaku. “Ini nombor telefon saya. Senang-senang nanti mesej nombor telefon awak kat saya,” kata Fayyadh lagi.
“Err… okey,” aku sambut kad itu dan mahu melangkah turun dari kereta. Tapi sekali lagi langkahku terhenti.
“Lepas ni dah tak payah lagi nak cari kerja. Saya tak nak awak kerja.” Banyak pula pesanan penaja dari encik tunang saya ni.
“Ya, tau. Ada apa-apa lagi?” alang-alang dia nak memberi pesanan, baik aku tanya terus. Bosan aku bila dia duk atur satu-satu.
“Tak ada dah,”
“Okey, terima kasih.”
Aku keluar dari perut keretanya dan melangkah masuk ke dalam kawasan rumah sebelum keretanya menderu di atas jalan raya.

“MACAM mana dengan temuduga tu?” umi menyoal aku selepas sampai di rumah petang itu. Umi kan sentiasa sibuk. Tapi hari ni balik awal. Mesti nanti keluar lagi. Aku faham sangat dengan gelaran ahli perniagaan berjaya yang sedang umi sandang.
Jika dulu, umi cuma duduk dekat rumah saja. Senang sangat nak nampak umi kat rumah. Tak susah macam sekarang. Tapi lepas kawan umi perkenalkan satu peluang perniagaan, umi jadi makin taksub dan mula abaikan aku adik-beradik. Bila sudah berjaya, umi mula perkenalkan kami adik-beradik dengan kawan-kawannya yang jauh lebih kaya dari dia. Sebab itulah kak long kurang bersetuju. Umi seperti mahu mempergunakan kami adik-beradik sebagai umpan untuk mendapat ‘lombong’ yang lebih besar.
“Entah,” tak bersemangat aku menjawab.
“Kenapa?”
“Peluang macam tipis aje,” aku buka peti sejuk. Air masak aku keluarkan dari peti sejuk dan muk di rak aku capai.
“Kalau macam tu kerja dengan umi ajelah. Senang. Tak payah pening-pening fikir pasal kerja lagi.” Umi mempelawa.
Bukan sekali dua umi ajak aku kerja dengan dia. Dah banyak kali. Sejak aku masih bekerja di pasaraya lagi. Tapi aku menolak. Aku memang tak mahu bekerja dengan umi. Nanti tak pasal-pasal umi perkenalkan aku dengan orang itu, orang ini. Lepas tu mulalah carikan jodoh untuk aku. Oh please! Aku tak suka.
“Umi tahukan jawapan orang.” Dah berbuih kut mulut ni cakap tak nak. Sekali ni aku nak umi berfikir pula.
“Sampai bila Yaya nak tolak? Takkan selamanya Yaya nak kerja dengan orang. Sekarang pun mulut orang dah bising. Emak berjaya tapi biarkan anak kerja makan gaji dengan orang. Umi tak tahan nak tadah telinga dengar semua tu.” Umi tak puas hati.
“Umi, bukan mereka yang bagi kita makan. Kenapa kita nak kena dengar cakap mereka? Lagi pun orang buat kerja yang halal. Bukannya menjual tubuh,” kan dah tak pasal-pasal aku jadi mulut yang tak ada insurans. Aku bukan marahkan umi tapi aku geramkan mulut orang-orang yang suka menjaga tepi kain kami sekeluarga.
“Yaya, apa cakap macam tu.” Umi menegur.
“Maaf, mi.”
Aku lihat umi seperti mahu ke tangga.
“Umi,”
“Hmm…”
“Nanti umi keluar lagi ke?”
“Haah. Umi tunggu ayah balik. Ada majlis makan-makan sikit kat luar.” Beritahu umi. Kan betul seperti yang aku agak tadi.
“Okey,”
“Yaya dah masak kan?”
“Dah. Ashman aje yang tak balik lagi. Ada aktiviti kat sekolah katanya,” beritahuku.
Sejak dah jadi orang yang berjaya ni, umi semakin abaikan keluarga sendiri. Aku paling kasihankan Ashman. Adik bongsu aku tu masih lagi sekolah. Kecil-kecil dah terasa diabaikan. Nasib baik ada aku. Boleh juga tolong tengokkan dia. Hubungan Ashman dengan umi dan ayah sudah lama renggang.
“Okey, umi nak bersiap dulu.”
Aku hanya memandang kelibat umi yang mendaki tangga ke tingkat atas. Sebenarnya aku nak tanya umi pasal tarikh kahwin aku. Seperti mana pertanyaan Fayyadh kepada aku tadi. Nampaknya masa tak sesuai sekarang ni. Umi kan sentiasa sibuk dengan kerja-kerjanya. Rumah ni hanyalah persinggahan sementara untuk salin baju, mandi dan tidur.
Aku mengeluh. Sampai bila umi nak macam ni? Sampai bila umi nak abaikan kami?


1 ulasan: