Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 12 Januari 2016

CERITERA AKU DAN CINTA : BAB 10

“ROMBONGAN meminang?” Sedikit terjerit suara kak long.
“Syy… Kak long ni. Janganlah sebut kuat-kuat.” Aku naik malu pula bila orang sekeliling mula memandang aku. Hisy kak long ni.
Sorry, sorry. Kak long terperanjat aje. Tapi betul ke ni?”
“Betul tu memanglah betul tapi orang dah suruh dia cakap kat emak dia, batalkan aje rancangan bodoh ni.” Luahku.
“Pulak dah. Kenapa? Isy Yaya ni, dah ada orang nak tu kira untung la. Jangan jadi macam kak long, sampai sekarang tak kahwin lagi.” Komen kak long. Nampaknya kak long masih tak faham. Susahnya nak terangkan kat kak long ni.
“Kak long, tujuan Fayyadh cakap macam tu hanya kerana nak lepaskan marah dia kat Gina. Kalau dia meminang orang, maknanya dia berjaya buat Gina cemburu. Nampak tak permainan dia kat situ? Nampak sangat nak pergunakan orang. Orang tak naklah.” Ujarku, membetulkan tanggapan kak long.
“Lelaki macam tu pun ada ke?”
“Adalah ni,” gumamku perlahan.
“Kalau dia nak masuk meminang Yaya, apa cerita dengan mamat sorang lagi tu? Apa ke namanya eh? Firash eh?” Kak long garu kepala yang tak gatal. Aduh! Pelupa juga kak long ni.
“Farish.” Gumamku perlahan.
“Haah, Farish. Apa cerita dengan mamat tu?”
“Entah.”
“Entah? Lain macam aje bunyinya.”
“Orang dah lama lost contact dengan dia. Malaslah nak ambil tahu hal orang macam tu,” aku silangkan tangan di atas meja.
“Tapi kalau Fayyadh betul-betul nak masuk meminang Yaya, umi mesti gembira. Kak long dapat bayangkan suasana kat rumah mesti meriah dan umi akan senyum selebar-lebarnya.” Sahut kak long. Aku pandang muka kak long, ada senyuman di bibir kak long tapi sepasang mata itu berkaca. Kak long menangis?
“Kak long,” aku genggam tangan kak long. Aku tahu dia sedang sedih tapi dia sengaja sembunyikan kesedihan itu disebalik senyuman tawarnya.
“Kak long dapat agak semua tu. Kak long tak dapat penuhi permintaan umi dan ayah. Dan Yaya pula dapat penuhi impian mereka, mesti mereka tersangat gembira kan.” Kak long tundukkan sedikit kepala dan aku nampak dia sapu air mata yang mula menitis perlahan.
Sorry, orang tak berniat buat kak long sedih.” Aku lihat kak long menangis, aku pula yang merasa sedih sama. Aduhai.
“Isy, tak adalah. Kak long aje yang terlebih emo malam ni. Dah, dah, jom makan. Dah sejuk makanan ni.” Kak long melarikan topik perbualan.
Kami menjamu selera dalam suasana hambar. Memang di kiri dan kanan meja kami punyalah bingit dengan suara para pengunjung lain dan suara pelayan menghantar pesanan. Tapi hati kami sudah dicemari dengan rasa sedih sebabak tadi.
“Betul ke tak nak kak long hantar ni?” kak long ulang kembali soalannya. Tika itu kami sudah pun menjamu selera.
“Ya, kak long. Orang dah besar, tak payahlah risau sangat.”
“Okey. Kalau ada apa-apa hal, bagi tahu kak long tau.”
“Okey.”
“Dan tolong jagakan umi dan ayah untuk kak long. Kak long hanya boleh pandang dari jauh saja.” Sayu nada kak long. Aku dapat mengesan riak sedih dalam suara kak long. Jelas sekali kasih seorang anak untuk ibu bapanya.
“Insya-Allah.”
Di hadapan warung, kami berpisah. Kak long ke kanan, tempat dia memakir keretanya dan aku ke kiri, menghala ke arah taman perumahan rumah keluarga kami.

OIT! Apasal kau tiba-tiba berhenti kerja?

Isi pesanan ringkas itu aku baca. Dihantar oleh Zima. Sebelah tangan memegang tuala dan digosok pada kepala. Sebelah lagi memegang telefon bimbit. Mesej dari Zima aku tak balas lagi sebaliknya aku capai sikat dari atas meja solek. Sikat rambutlah dulu. Bangun pun dah tengah hari buta. Bagusnya anak dara ni!
Tengah syok aku menyikat rambut, telefonku bergetar tanda ada panggilan masuk. Cepat-cepat aku dapatkan telefonku itu. Miza. Adoi! Tak sabar betul mak cik ni!
“Apa hal?” sejurus telefon dibawa ke telinga, aku pantas menyoal.
“Aku mesej kau tak balas.”
“Tak pandai nak sabar betul kau ni,” aku merungut.
“Lambatlah. Tu yang aku terus call. Eh, apa cer?”
Cer apa pula?” Aku ni kan johan bab buat-buat blur ni. Nasiblah Zima oi! Hahaha…
“Buat-buat tanya pula. Aku hempuk jugak kau ni!”
“Yalah, cer apa? Aku tak tahu sebab tu aku tanya. Itu pun nak marah. Cuba kau cakap terang-terang kau aku, tak adalah aku teraba-raba.”
“Aku dengar semalam ada perang besar kat sini, apa kes ha? Kau gaduh ke?”
Aku berfikir-fikir. Pap! Patutlah Zima tak tahu apa-apa. Zima cuti tiga hari, memanglah dia tak tahu apa yang jadi. Lupa sungguh aku.
“Pasal semalam tu? Ada drama swasta sikit kat sana. Eh, dari mana kau dengar semua ni?”
“Dari siapa lagi, mulut Alia la. Drama swasta? Cer citer kat aku. Tak sabar aku nak dengar ni.” Zima tersangat teruja nak tahu cerita yang sudah basi pada anggapanku.
“Kau ni, kan dah dengar dari mulut Alia. Dah-dah la tu. Aku dah malas nak cerita.” Aku mengeluh.
“Ala…. Cerita ajelah. Kau bukan tak tahu, Alia tu bila dah bercerita, banyak yang dia tokok tambahkan. Cepatlah Isya,” Zima mula merayu bagai.
“Isy!”
Dalam terpaksa, aku akur juga membuka kisah itu. Cumanya aku tak adalah cerita keseluruhan kejadian hari tu. Yang perlu-perlu saja. Kisah Fayyadh bawa aku ke rumah keluarganya dan pasal rombongan meminang tu aku tak ceritakan kepada Zima. Biarlah ia kekal menjadi rahsia. Bimbang nanti kecoh pula.
“Gina macam mana?” aku soal Zima. Nak tahu juga keadaan minah tu.
“Hari ni aku tak nampak lagi dia. Tak masuk kerja kut.” Jawab Zima. “Jadi, sekarang kau dah berhenti kerja, kau nak kerja apa pula lepas ni?”
“Entah. Aku tak tahu. Aku dah pening sekarang. Buat sementara waktu, aku jadi bibik kat rumah ni. Pengganggur tak bergaji kan.” Aku menghela nafas panjang.
“Isya,”
“Hmmm….”
“Kalau aku tanya kau jangan marah ya,”
“Apa dia?”
“Err… Macam mana hubungan kau dengan Farish?”
Semalam kak long dah sebut nama Farish. Hari ni Zima pula yang sebut. Aku dah tak tahu jawab apa lagi. Kalau ikut hati aku nak aje suruh mereka semua berhenti dari sebut nama Farish. Aku dah bosan, dah muak.
“Zima, sudah-sudahlah kau sebut nama dia. Aku dah malas nak fikir pasal dia. aku anggap dia dengan aku tak ada jodoh. Dah habis.”
“Sampai macam tu? Nampak gayanya kau dah berkerat rotan.”
“Tak kiralah berkerat apa pun. Aku dah malas nak fikir pasal hubungan yang tak berkesudahan ni.”
“Eh, aku chow dululah. Pembantu Gina dah jeling-jeling aku tu. Gina tak ada, dia pula yang berkuasa. Bosan aku.” Zima mendengus.
“Okey,”
Aku pandang telefon yang telah bisu itu.
“Selagi kau kerja kat situ, terpaksalah kau hadap dengan perangai minah perasan bagus tu. Ada hikmah juga aku berhenti kat situ. Aku tak perlu lagi susah-susah mengadap minah perasan and the gang tu. Horray!” aku bersorak. Siapa tak gembira bila terlepas dari cengkaman perempuan perasan cantik tu semua.

FAYYADH menghentikan kerja-kerjanya mendadak kerana telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Siapa pula yang mengacau petang-petang ni? Dia merungut di dalam hati. Tangan yang berbekas minyak hitam dia kesat pada kain buruk.
Telefon yang telah diam itu dia bawa keluar dari poket seluar. Sudah masuk kali ketiga telefon itu berdering. Kalau sekali dua aje tadi, dia tak hiraukan sangat. Tapi bila masuk kali ketiga, terpaksalah dia tengok siapa yang menelefon. Seperti penting saja.
Kak Fifi. Sebaris nama itu terpampang di skrin telefon. Kak Fifi telefon? Kenapa? Lalu, kerana mahu menghuraikan kekusutan di dalam kepala, Fayyadh pantas mendail kembali nombor telefon kakak sulungnya itu.
“Hel…” belum pun habis Fayyadh menyebut perkataan helo, Fifi lebih dulu menyoalnya.
“Kau kat mana ni? Acap kali akak call, asyik tak berangkat aje.” Fifi merungut.
“Kat bengkel ni kak. Kenapa kak?”
“Bengkel? Hujung minggu pun bengkel buka?” Fayyadh mengesan riak pelik pada pertanyaan kakaknya itu.
“Bukalah kak. Cari rezeki sendiri, macam nilah. Kalau buka bengkel, adalah rezeki tu. Tak buka, kosonglah poket ni.” Tangan Fayyadh sibuk membelek alat ganti kereta yang baru sampai. “Eh, kenapa akak telefon ni?” lupa terus dia soalan utama yang berlegar di dalam kepalanya tadi. Ini sebab Fifilah, sibuk sekali menyoal siasat dia.
“Allah! Lupa pula akak. Ni, kamu dah tahu ke rancangan yang tengah mummy atur untuk kamu ni?”
“Rancangan? Rancangan apa?”
“Apa yang akak dengar, mummy rancang nak hantar rombongan meminang petang ni.” Maklum Fifi. Tapi hatinya ragu-ragu. Fayyadh macam tak tahu apa-apa aje ni. Aduh! Masak aku nanti. Tapi mummy tak pun pesan apa-apa kat aku. Hati kecil Fifi berbisik.
Rombongan meminang? Petang ni? Fayyadh pandang jam di dinding bengkelnya. Sudah pukul 3.00 petang!
“Petang ni? Pukul berapa? Sekarang dah pukul 3.00 ni kak.” Fayyadhbernafas bagai tak cukup oksigen. Aduh! Mummynya bikin kecoh lagi!
“Err… Kami dah dalam perjalanan ni,” Fifi pandang suaminya yang menjadi pemandu kereta.
“Hah? Mummy ni! Perempuan mana yang mummy nak pinang kali ni? Kat mana rumah perempuan tu?” Hati Fayyadh jadi tak sabar. Fayyadh lupa sebenarnya. Dia sendiri yang menyuruh Puan Irdina masuk meminang Delisya.
“Entah. Akak pun tak tahu ni. Akak follow kereta mummy aje ni.”
“Pulak dah. Tak apalah. Syah cuba call mummy,”
Talian terputus dan jari Fayyadh laju mencari nama Puan Irdina di dalam telefon bimbitnya. Dua kali dia cuba telefon tapi talian tak bersambut. Hanya suara mel suara yang menyapa telinga.

“KENAPA Fi?” Adam pelik melihat isterinya sedang mengomel sendirian.
Mummy sengaja cari penyakit ni.” Balas Fifi.
“Kenapa?”
“Syah tak tahu pun yang mummy nak pinang anak orang hari ni. Masaklah.”
“Pulak dah. Habis tu macam mana ni?”
“Macam mana apa lagi bang, kita dah ada kat sini. Ikut sajalah rancangan mummy. Tapi kalau Syah mengamuk, saya tak nak masuk campur.” Awal-awal Fifi memberikan peringatan. Memang dia tak nak masuk campur.
“Hmm…” Adam hanya menurut. Dia tak tahu nak kata apa lagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan