Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 4 April 2016

CERITERA AKU DAN CINTA : BAB 14

“ISYA!” Suara dua orang makhluk Allah bertempik di tepi telinga aku. Aduh! Pekak juga telinga aku kalau selalu duk terpekik macam ni.
“Apa hal kau orang ni!” aku balas balik dengan rasa marah sambil menggosok telinga. Ini Zima dan Alia punya kerja. Bengang telinga aku ni wei!
“Kau dah bertunang kan? Senyap-senyap aje!”
“Kalau kau orang dah tahu ni, aku rasa dah tak senyap. Dah jadi bising ni.”
“Tapi kita orang tak tahu awalnya. Ni baru aje tahu.” Alia merungut.
“Alah kau orang ni. Bertunang je pun. Bukannya aku dah kahwin senyap-senyap kat Golok. Kalau dah kahwin, haruslah kau terpekik terlolong macam ni.” Selamba aku bidas balik.
“Ah, tak kira. Kalau kau kahwin kat Golok lagilah kami bising. Melampau sungguh tu!” Zima pula yang membidas.
“Kau orang buat loudspeaker ke?” aku mengagak. Sekejap dengar suara Zima, sekejap suara Alia.
“Haah!” serentak mereka berdua membalas. Kan aku dah cakap!
“Hoi, tak kerja ke?”
“Aku off day lah mak cik!” jawab Alia.
“Aku MC.” Zima pula yang mencelah.
“MC? Bunyi suara macam orang sihat walafiat je!” Aku bantai gelak. Si Zima ni panjang aje akalnya nak cuti. MC pun sanggup dia minta.
“Ah, tak kiralah sihat ke apa ke. Kita orang nak jumpa kau hari ni. Jangan nak bagi alasan. Kau tu bukannya kerja pun.” Belum sempat aku menjawab. Alia laju membidas. Nasiblah aku dapat kawan-kawan seperti mereka ni.
“Nak buat apa? Aku malaslah.” Aku bergolek ke kiri dan kanan katil sambil peluk bantal. Bila dah berhari-hari tak bekerja, aku seperti mengajar diri aku jadi malas. Malas nak bergerak. Malas nak keluar. Nak buat semua kerja jadi malas.
“Eh, jangan mengada nak malas sangat. Tak kira apa pun alasan kau, kita orang nak jumpa jugak kau. Pukul 11.00 pagi kat tempat biasa,” Zima berkata.
“Amboi. Mengada keluarkan arahan kat aku.”
“Jangan nak banyak cakap. Cepat siap.”
“Hmm…”
Dan talian terputus. Malas-malas pun kena keluar juga. Kalau Zima dan Alia serang aku kat rumah lagilah haru. Sekarang hanya Fayyadh yang tahu kat mana rumah aku. Kalau budak berdua tu tahu, lagilah haru. Mahu satu taman perumahan ni kecoh!
Pertama sekali buka almari dan keluarkan baju. Jeans dan baju T sudah. Bukan nak pergi ke mana pun. Aku sememangnya simple begini.

“HOI! Apa cer ni? Kau bertunang dengan siapa?” aku belum pun duduk tapi Zima dah serang aku dengan soalan-soalan dia.
“Kau ni, kurang-kurang bagilah aku duduk dulu. Ini tak, pelawa duduk pun tak, terus serang aku dengan soalan. Air aku dah order ke belum?”
“Banyak songehlah kau ni. Nak air apa?” Alia menyoal aku lagi.
“Macam biasa, buat-buat tanya pulak.”
“Mamak, order!” selamba badak Alia memanggil mamak, tukang ambil pesanan kat warung tu.
Mamak datang ke meja yang kami duduki dan aku biarkan Alia yang membuat pesanan.
“Hah, dah order dah. So sekarang mulakan cerita kau,” Alia pandang aku.
“Nak mula dari mana?” aku buat muka bodoh-bodoh alang.
“Kami nak tahu, dengan siapa kau bertunang? Farish?” Zima laju menyoal.
Nope!” apa ke hal nama mamat tu pula yang naik? Macamlah aku ni sengkek sangat sampai perlu bergantung dengan mamat tu aje.
“Habis tu?” dua-dua serentak menyoal.
“Dengan seseorang yang kau kenal juga,” aku sengaja berkias. Kasi kepala manusia dua orang ni berjalan sikit.
“Siapa?” serentak lagi. Mereka ni memang buat menyoal aku sambil berduet ke apa  ni?
“Hmmm….” Aku menggumam.
“Hoi cepatlah! Main rahsia-rahsia pula.” Alia menjerkah. Dah hilang sabar mungkin mak cik ni. aku tahan gelak dalam hati. Kesian sungguh mereka-mereka ni dapat kawan macam aku. Banyakkan bersabar, ya.
“Tak boleh nak sabar langsung.” Aku merungut.
“Eh, sabar pun ada had jugak. Aku dah berpeluh ketiak ni tunggu kau punya cerita. Aku balik kang.” Alia naik angin sudah.
“Yalah, yalah.” Aku sedut air yang baru sampai. “Aku bertunang dengan seseorang yang kau orang kenal.”
“Itu kau dah sebut tadi. Boleh tak straight to the point aje.” Belum pun aku habiskan ayat, Zima lebih dulu memintas. Memang tak sabar sungguhlah minah sorang ni.
“Aku nak sebut la ni. Aku bertunang dengan kekasih supervisor kat tempat kau kerja. Eh, eh. Bukan kekasih. Bekas kekasih.” Macam gedik aje ayat aku. Ah, apa aku heran. Bukan minah perasan bagus tu ada kat sini.
“Hah?!”
What?!”
“Hoi! Controllah suara tu. Menjerit bagai,” aku dah agak mereka memang terkejut. Tengok sajalah dari reaksi mereka tu.
“Kau jangan main-main. Betul ke tak ni?” Alia masih tak percaya.
“Bila masa pulak aku main-main? Aku cakap yang betul kau orang tak nak percaya. Aku baliklah macam ni.” Gelas di hadapanku aku tolak ke depan sedikit. Aku dah rasa nak bangun.
“Eh, nanti dulu. Duduklah dulu. Cerita kau tak habis lagi, takkan nak balik macam tu aje. Okey, sambung-sambung.” Zima pantas menahan aku. Siap paut tangan aku lagi. Main drama sungguh mereka ni. Aku kembali duduk mengenangkan yang mereka dah lama berkawan dengan aku. Tak sampai hati pula nak pergi macam tu aje.
“Jadi maksud kau, kau bertunang dengan Fayyadh?” Alia soal aku. Riak muka masih tak percaya tu.
“Hmm…” aku menggumam.
“Weh! Macam mana boleh jadi macam tu?”
“Panjang ceritanya.”
“Pendekkan,” serentak Alia dan Zima berkata.
Mengenangkan mereka saja kawan rapat aku, aku buka kisah petang itu. Kisah yang telah menukar statusku kini. Bergelar tunangan orang dan bakal berkahwin. Memikul tugas sebagai seorang isteri pula nanti.
“Macam mana boleh jadi macam tu?” Zima menyoal selepas mendengar kisahku.
“Tak tahu. Aku rasa Gina ada buat sesuatu kat Fayyadh sampai mamat tu dah berkerat rotan dengan Gina.” Itu cuma agakkan aku. Aku tak beranilah tanya tuan punya badan. Sebab aku tahu, mesti dia tak nak buka cerita.
So, bila kahwin?”
“Entah,”
“Kau ingat kerja nikah kahwin tu benda main-main ke? Sekarang ni kau mesti dah plan nak kahwin bila. Jangan ambil mudah,” Alia membebel macam mak-mak. Tapi kata-kata dia ada betulnya.
“Aku tak bincang lagi dengan umi aku,”
“Pulak dah.”
“Umi aku sibuk, sampai nak bercakap dengan aku pun dia tak ada masa.” Entah bilalah aku boleh berbincang pasal hal ni dengan umi. Sehari demi sehari makin pantas berjalan. “Dari siapa kau tahu aku dah bertunang ni?”
“Aku terdengar Gina bercakap dengan orang kanan dia kat bilik locker. Masa tu aku ke tandas. Lepas tu terdengar orang bercakap. Alang-alang dah ada kat situ, aku pun tadahlah telinga. Dia siap sebut nama kau tapi nama Fayyadh tak pula dia sebut. Siap menangis bagai lagi kau tau.” Zima bersemangat sekali bercerita.
“Oh,” kami terjeda seketika kerana makanan sampai di meja kami. Aku tak tahu pulak kawan-kawan aku ni dah pesan makanan sejak awal lagi. Tadi yang datang ambil pesanan minuman saja.
“Gina apa cerita?” tiba-tiba aku teringatkan minah perasan bagus tu.
“Cerita? Cerita apa yang kau nak dengar?” Alia tanya sambil suap mi goreng ke dalam mulutnya.
“Macam banyak aje bunyinya.”
“Banyak.”
“Ceritalah yang mana kau rasa nak cerita.” Orang gila glamour kat pasaraya tu memang. Kami semua dah kenal sangat dengan perangai dia. “Weh, aku punya mana?” amboi, sedapnya makan. Yang aku tak ada pula. Ingat aku ni pemerhati tak bergaji ke?
“Laa… kenapa kau tak order?” aku pula yang dipersalahkan.
“Apa punya kawanlah kau orang ni!”
Aku panggil mamak tadi dan terus membuat pesanan. Perut yang berkeroncong ni perlu diisi. Selepas itu aku paksa mereka buka cerita pasal Gina. Aku dah berhenti kerja kat sana, kira aku dah ketinggalan banyak cerita ni.

“UMI!” aku panggil umi yang sedang bersiap-siap mendandan diri. Nak keluar lagilah tu.
“Ada apa Yaya?” umi berpaling sekilas sebelum kembali memandang cermin.
“Orang ada benda nak bincang dengan umi,” ujarku.
“Kita bincang lepas umi balik nanti boleh tak sayang? Umi nak keluar ni. Ada majlis makan-makan di rumah Dato’ Harun.” Selamba umi berkata begitu.
Kan aku dah agak. Umi mesti nak keluar lagi.
“Dah banyak hari orang tengok umi macam ni. Keluar pagi balik petang. Lepas tu malam keluar lagi. Tanggungjawab umi kat rumah ni dah dilepaskan macam tu aje. Mentang-mentanglah orang dan Man dah besar, umi terus hanyut dalam dunia bisnes umi. Sampai bila umi nak macam ni? Apa lagi yang umi kejar kat luar sana? Pangkat? Wang ringgit?”
Aku lepaskan apa yang terbuku di dalam hati. Aku geram. Aku kecewa. Aku sedih. Keluarga aku tak macam keluarga orang lain. Keluarga orang lain sederhana aje tapi cukup bahagia. Tapi kami? Secara zahirnya kami kaya tapi kami miskin rasa bahagia. Apabila setiap ahli keluarga sibuk dengan haluan masing-masing, tanggungjawab dilupai terus.
“Yaya, kenapa cakap macam tu?” umi menegur dengan suara lembutnya. Umi memang. Bila kesalahan dituju kepada dia, mulalah dia lembutkan suara. Aku dah naik muak dengan semua ni.
“Umi, sudah-sudahlah sibukkan diri. Harta semua ni bukannya boleh bawa mati. Semua ni pinjaman sementara. Sampai satu masa, Allah akan tarik semua ni.”
“Yaya kena faham. Umi cari duit bukannya untuk umi seorang. Untuk kita semua. Bila kita senang, orang akan pandang tinggi kita. Cuba tengok dulu, kita susah, ada ke orang nak tolong? Tak ada. Pandang sebelah mata pun tak,” umi bersama hujahnya. Membandingkan hidup kami dulu dan kini.
“Orang tak rasa duit yang banyak tu penting. Walaupun kita susah dulu tapi orang rasa bahagia. Ada umi dan ayah kat rumah. Tak seperti sekarang, nak tengok ada kat rumah pun susah. Umi, kebahagiaan tu tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Wang yang banyak tak berguna langsung kalau hati kosong,” aku biarkan umi berfikir. Aku mahu angkat kaki, tapi…
“Yaya, kenapa cakap macam tu dengan umi?” ayah tiba-tiba menegur.

“Ayah tanya umi sendiri. Umi, jangan sampai satu tahap umi balik ke rumah ni, tak ada seorang pun anak umi kat rumah ni. Kak long dah pergi. Jangan sampai orang dan Man juga ikut angkat kaki.” Aku berlalu dengan rasa hampa yang menebal di dalam hati. 

1 ulasan: