Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Rabu, 6 Januari 2016

CERITERA AKU & CINTA : BAB 9

WHAT?! Uhuk, uhuk, uhuk!” Aku terbatuk. Terasa ada tangan yang menggosok belakang badanku. Tangan milik Puan Irdina.
“Alhamdulillah,” gumam Puan Irdina.
Alhamdulillah? Kenapa alhamdulillah? Kenapa tidak astaghfirullah alazim? Walaupun perlahan, telinga aku masih dapat menangkap bait kata syukur itu. Sudah mummy si Fayyadh ni duduk sebelah aku, memanglah aku dengar dengan jelas sekali.
“Yaya okey?” Puan Irdina soal aku.
“Err… ehem… okey,”
Puan Irdina bangun dan mendapatkan anaknya.
“Betul ke ni, Syah?” Puan Irdina bertanya pula dengan Fayyadh.
“Betullah mi. Takkan perkara macam ni nak buat main-main pula.” Selamba saja reaksi Fayyadh. Di wajah itu langsung tak terlukis riak bersalah. Nak senyum jauh sekali.
“Alhamdulillah. Mummy syukur sangat-sangat. Siapa pun pilihan Syah, mummy terima asalkan bukan Gina.” Girang sekali suara Puan Irdina.
Asalkan bukan Gina? Aku ulang kembali kata-kata Puan Irdina itu di dalam hati. Kenapa Puan Irdina cakap begitu? Seperti ada bau tak senang dengan insan bernama Gina. Tapi apa salah Gina? Tadi Fayyadh sudah marahkan Gina, sekarang Puan Irdina pula luahkan rasa tak senang dengan Gina. Haih! Pelik aku.
“Yaya duduk dulu ya, mak cik nak telefon anak mak cik sekejap,” kata Puan Irdina bersama senyumannya.
Aku diam. Nak senyum tapi tak terasa pun senyuman terukir di bibirku. Aku tak tahu nak bereaksi macam mana. Semua ini tersangat mengejut dan mendadak.
“Apa semua ni?” Aku menyoal lemah.
Fayyadh tak menjawab soalan aku. Sebaliknya dia menonong ke pintu utama. Aku mengikut. Hisy! Suka dia ni diam membisu macam tu.
“Awak! Saya tanya awak ni. Bukannya tanya dinding bisu ni.” Aku tunjuk rasa tak puas hati. Grrr… geram tau tak!
Fayyadh ke keretanya dan penggera kereta dia tekan. Pintu bahagian penumpang dia buka.
“Masuk.” Fayyadh mengarahkan aku masuk ke dalam keretanya.
“Nak pergi mana?” Soalan aku tak jawab lagi tapi dah sibuk ajak aku masuk kereta dia.
“Ikut aje boleh tak? Jangan banyak bunyi.” Aku pulak kena marah! Hisy!
Akhirnya aku akur walau terasa naksepak aje mamat ni.

KERETA diberhentikan berhampiran dengan taman rekreasi yang pernah aku kunjungi dulu. Alah, taman yang aku terjumpa dengan Fayyadh dulu tu. Sudah hampir lima minit dia duk main diam macam tu. Adoi la! Aku nak balik!
“Sampai bila nak jadi bisu macam ni? Kalau tak nak hantar saya balik, saya boleh balik sendiri.” Aku geram. Dia buat aku ni macam tak ada perasaan langsung.
Aku cuba tarik pemegang pintu. Tapi tak sempat aku tarik pembuka pintu, klik! Fayyadh lebih dulu mengunci pintu. Sudahnya aku dan dia terkurung dalam kereta mewah tu.
“Huh!” aku mendengus.
Aku berpeluk tubuh sambil pandang taman yang masih kosong, tak berpengunjung. Baru pukul 4.00 petang, manalah ada manusia yang sanggup berjemur tengah panas terik ni.
Sorry,”
Aku palingkan muka, memandang Fayyadh. Telinga aku tak pekak lagi. Memang dia ada sebut sorry tadi. Mata kami beradu seketika.
Sorry pasal apa yang saya cakapkan dengan mummy saya tadi.” Sambung Fayyadh.
“Apa motifnya? Kenapa awak libatkan saya?” Aku perlukan penjelasan.
“Saya tak sengaja,”
“Tak sengaja?” langsung tak boleh diterima akal jawapan dia tu.
“Sebab marahkan Gina, saya libatkan awak dalam masalah saya.” Fayyadh mendengus. Mungkin marahnya pada Gina masih belum surut. Apa kesalahan yang telah Gina lakukan, tak pula aku tahu dan aku tak terasa nak tanya. Masalah dia orang, biarlah dia orang selesaikan sendiri.
“Sampai kepada menghantar rombongan meminang? Itu kerja gila! Kita orang melayu. Meminang dan perkahwinan teramat besar maknanya. Jangan kerana marah, awak jadikan saya mangsa.” Aku lepaskan apa yang terbuku di dalam hati.
Sorry,”
“Saya nak awak bagi tahu kat mak awak, batalkan saja rancangan bodoh ni. Saya bukannya boneka, yang akan menurut saja segala arahan tuannya.”
‘Tapi….”
“Tak ada tapi-tapi. Saya tak mahu terlibat dalam masalah awak dan Gina. Cukuplah orang mengata di tempat kerja. Saya tak mahu seumur hidup dicop sebagai perampas. Sedangkan hakikatnya saya tak pernah merampas!” Aku pegang pembuka pintu kereta. “Bukalah. Kalau tak nak hantar saya balik, saya boleh balik sendiri.” Aku ulang kembali ayatku tadi. Menapak dari taman ini hingga ke rumah aku bukannya jauh mana.
Klik!
Aku buka pintu dan mahu melangkah. Pintu aku lepaskan perlahan. Baru dua langkah aku melangkah, suara Fayyadh menampan telinga.
“Bermula esok awak tak payah lagi pergi kerja. Saya dah telefon pengurus di sana yang awak dah berhenti.”
Dan aku terus mengatur langkah berlalu dari taman itu. Semua ini mendadak dan sangat memberatkan kepala. Aku tak mahu fikir. Tapi… lepas ni aku nak kerja apa? Takkan nak goyang kaki aje kat rumah? Siapa pula nak bagi aku duit belanja? Kusut, kusut! Dalam tak nak fikir, kepala aku terpaksa fikir juga. Umi, nak menangis boleh?

“KAK long!” aku panggil kak long dari corong telefon.
“Kenapa Yaya?”
“Kak long sibuk tak?”
“Sibuklah juga. Ada tender baru masuk. Eh, Yaya tak kerja ke hari ni?”
“Orang dah berhenti.”
“Berhenti? Kenapa pula? Sayangnya. Yaya dah lama kerja kat situ.” Kata kak long dengan nada terkilan. Memang dah lama pun aku kerja kat situ. Hampir sepuluh tahun. Tapi nak buat macam mana. Aku tak ada kuasa untuk menolak.
“Malaslah nak cerita.”
“Pulak dah.”
“Kak long….” Mendayu-dayu aku memanggil kak long. Hati tengah berserabut ni.
“Amboi! Panjangnya sebut nama kak long. Ada apa sebenarnya ni?”
“Kita jumpa boleh tak?”
“Bila tu? Sekarang?”
“Bukanlah sekatang, malam ni boleh? Tu pun kalau kak long tak sibuk.”
“Insya-Allah. Nanti kak long mesej pukul berapa dan kat mana ya.”
“Okey.”
Aku biarkan telefon bisu di sebelah bantal. Rambut separas pinggang aku main lilit dengan jari. Inilah kerja aku kalau tengah kepala berserabut. Dan akhirnya aku akan tertidur. Kepala tengah banyak masalah pun aku boleh tidur dengan mudah. Itulah aku.

LEPAS solat maghrib, aku dah tercongok kat depan warung ni. Nasiblah tak jauh dari rumah. Jadi, aku hanya menapak sajalah. Sambil menunggu kak long sampai, sambil itu mata aku sibuk bekerja. Sibuk memandang pelanggan lain yang memberikan pesanan dan juga yang lalu-lalang di depan warung itu
“Adik manis, mahu minum apa?” Mamat Bangla yang bekerja sebagai pelayan warung tiba-tiba menyoal aku. Kacaulah Bangla ni. Dengan adik manis segala.
“Teh O ais.”
“Makan?”
“Nanti order lagi,”
Ayoyo adik manis. Kalau muka tu kasi senyum sikit, banyak cantik.” Eh Bangla ni, sibuk nak komen orang. Sudahlah tu, tersenyum-senyum macam kerang busuk! Gatal! Aku terus memasamkan muka.
Sorry, sorry. Kak long lambat. Tadi bos besar tiba-tiba masuk pejabat.” Kak long berkata bersama nafas yang tercungap-cungap.
“Tarik nafas perlahan-lahan kak long,”
Kak long tarik dan hembus nafas.
“Fuh! Tak cukup tanah kak long berkejar ke sini.” Kak long mengibas-kibas mukanya yang sudah berpeluh.
“Nah tisu,” aku hulur tisu kepada kak long.
So, apa cerita?”
“Kita order dulu, boleh?”
“Okey,”
Aku memanggil pelayan Bangla tadi dan membuat pesanan.
“Hah, apa halnya? Macam hal penting aje. Eh, tadi Yaya cakap dah berhenti kerja kan? Apasal pulak berhenti? Dah lama kerja kat situ, ruginya.” Mulut kak long laju bersuara. Macam murai tercabut ekor. Masa tulah dia nak tanya, masa tu juga dia nak berikan pandangannya. Haih, kak long, kak long.
“Panjang ceritanya kak long,”
“Pendekkan.” Amboi kak long! Siap senyum lagi tu. Perli ke apa ni?
“Malaslah nak cerita.” Aku mengeluh.
“Tak baik mengeluh, Yaya. Cuba cerita kat kak long, apa sebenarnya yang mengganggu kepala Yaya?” lembut nada suara kak long. Memang aku mudah sangat cair kalau kak long yang memujuk.
“Sebenarnya kak long, orang bukan diberhentikan kerja tapi terpaksa berhenti.” Aku membuka cerita sambil memandang wajah kak long.
Pelayan datang menghantar minuman. Tak sempat kak long ajukan pertanyaan. Kak long tarik gelas berisi air sirap limau rapat dengannya. Disedut sekali air itu.
“Eh, tak diberhentikan tapi kena berhenti? Macam mana tu?” Jangan kata kak long, orang lain dengar pun rasa pelik. Kening kak long terjongket sama.
“Tu yang susah nak cerita tu. Nanti kak long fikir lain pula.” Aku sedut air teh O ais yang aku order tadi sedikit.
“Fikir lain apa pulak? Isy Yaya ni, macam-macam.” Omel kak long.
“Kak long jangan terkejut pula kalau dengar orang nak cerita ni.”
“Cerita ajelah.”
“Okey, ceritanya macam ni….”

Dan aku mula membuka cerita. Daripada mula hinggalah ke akhir. Tak tertinggal walau satu pun. Daripada mula Gina tak suka kat aku hinggalah tiba-tiba Fayyadh suruh emak dia hantar rombongan meminang ke rumah kami. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan