Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Ahad, 28 April 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 15


HARI ni Suriya cuti. Bukan cuti hujung minggu tapi cuti yang sengaja dia minta. Sistem untuk sebuah syarikat penerbitan bahan bacaan sudah dia bereskan. Sebelum mulakan kerja baru, dia mahu rehat barang sehari dua. Sedang molek, dia minta cuti hari ni, bersambung terus dengan cuti hujung minggu esok dan lusa.
Matahari sudah meninggi di luar sana. Namun Suriya masih belum punya tanda-tanda mahu bangun dari pembaringan. Selimut masih utuh membalut tubuhnya. Suhu penghawa dingin pula memang sengaja direndahkan sejak semalam. Makanya, makin selesa dia berlingkar di dalam selimut.
BreepBreep
Bunyi penggera telefon bimbit mengejutkan Suriya. Dengan mata terpejam, tangannya meraba-raba ruang sebelah. Mencari di mana letaknya telefon bimbit tersebut. Sejurus jumpa, pantas diamatikan bunyi penggera yang telah mengganggu lenanya. Lantas dia menggeliat.
Huwargh!” Teruk benor bunyinya!
Lalu dia berlalu ke bilik air selepas mengambil tuala dari rak. Selesai mandi dan lengkap berpakaian, Suriya turun ke bawah. Perut yang berkeroncong membawanya ke dapur. Semasa melintasi meja makan, matanya seakan menangkap objek berbentuk sekeping kertas. Kaki berhenti melangkah.

Assalamualaikum dik. Ketika adik baca kertas ini, along dah tak ada kat rumah. Mungkin sudah sampai di Terengganu. Along balik ke rumah mama untuk beberapa hari. Adik tak nak ikut, terpaksalah along balik sorang diri. Jaga diri elok-elok sepanjang along tak ada kat rumah. Wassalam.

Suriya panggung kepala. Matanya tertancap pada ruang tamu. Sungguh lesu suasana dalam rumah itu. Dia kembali mendaki tangga, berlalu ke bilik. Perut yang tadinya tersangat lapar menjadi kenyang secara tiba-tiba. Kenyang selepas membaca surat tinggalan Rozairul. Telefon bimbit dia ambil dari atas katil. Jarinya ligat mencari sebaris nama.
“Ni, kau sibuk tak?” Tanpa salam, Suriya terus menyoal Nini di hujung talian.
“Sibuk jugak, kenapa?” Nini yang sedang menyiapkan kerjanya menyoal sambil jongket kening. Hati Nini tertanya-tanya dengan kemunculan mendadak temannya.
“Taklah. Aku boring. Kau keluar lunch tak hari ni?”
“Keluar kut,” hati Nini berbelah-bahagi sebenarnya. Dia tak pasti sama ada nak keluar makan tengah hari atau pun tidak. Kalau ikut kerjanya yang menimbun ni, malas pula dia nak keluar. Memanglah waktu rehat tengah hari untuk hari jumaat sedikit panjang dari hari biasa kerana memberi laluan kepada kaum lelaki mengerjakan solat jumaat.
“Ala… Tak payahlah kut-kut. Jom keluar,” Suriya merengek di hujung talian.
Oit, kau sanggup datang dari Shah Alam ke Kajang ni semata-mata nak lunch dengan aku? Kau sihat ke tak ni?” Serius! Nini rasa cadangan Suriya sangat luar alam!
“Apa pulak tak sihatnya. Aku cutilah. Jom la…”
“Yalah, yalah. Tunggu aku kat Plaza Metro.” Akur juga Nini.
Orait. Aku tunggu kau kat tempat biasa. Sayang kau, muah muah!” Girang suara Suriya.
Talian ditamatkan dan Suriya terus bersiap-siap untuk berjumpa dengan Nini. Dah lama tak keluar berdua dengan Nini.

“OIT! Kau apasal ni? Sejak aku sampai tadi, muka kau asyik monyok aje memanjang.” Nini menegur sambil cuit lengan Suriya. Mereka sedang lepak-lepak di bangku yang disediakan di sekitar pusat membeli-belah itu. Makan tengah hari sudah. Waktu rehat Nini masih berbaki kira-kira sejam lagi.
“Hah?” Suriya terpinga-pinga.
“Kau ni kenapa? Asyik termenung aje. Dah setengah jam aku tengok kau macam ni. Naik sakit mata aku tengok.” Nini merungut.
“Huh!” Suriya mengeluh. “Susah aku nak cakap dengan kau,”
“Apa yang susahnya? Cerita ajelah.”
“Aku gaduh dengan along aku.” Lambat-lambat Suriya memberitahu.
“Gaduh lagi? Apa kes pulak kali ni?” Haih, dua beradik ni. Tak habis-habis dengan gaduh.
“Along aku ajak aku balik kampung, tapi aku tak nak balik. Along aku marah.”
“Kau pun satu. Kenapa kau tak nak balik? Hari ni kau cuti, kan sia-sia aje buang cuti macam tu aje,” bebel Nini. Dan tak pasal-pasal kau heret aku sama dalam masalah kau. Sambung Nini di dalam hati.
“Kau kan tahu aku ada masalah dengan mak angkat aku. Aku memang tak bolehlah. Kalau balik, mesti aku rasa sakit kat dalam ni,” Suriya menunjukkan dadanya. Tempat yang dia rasakan sakit selama ini.
“Su, lagikan nabi ampunkan umat…” Belum sempat Nini habis memberikan nasihat, Suriya lebih dulu memotong.
“Itu nabi. Aku bukan nabi! Aku hanya manusia biasa. Yang akan rasa sakit apabila orang buat begitu!” Bangkang Suriya beremosi.
“Itu aku tau. Tapi takkan dalam hati kau tak ada langsung rasa bersalah?”
“Bersalah? Kenapa aku nak kena rasa bersalah?”
“Hei, memanglah kau bersalah. Kau buat mama kau macam tu. Kau tau tak hati orang tua ni lembut. Mudah terasa. Kau buat macam ni, maknanya kau bencikan mama kau. Kau tak maafkan mama kau. Niat dia baik, Su. Dia nak kau dengan ibu kau berbaik balik. Takkan kau tak terasa nak bermesra dengan ibu kau macam mana hubungan anak dan ibu yang lain? Pasal dosa dia, itu antara dia dengan Allah. Kau sebagai anak tak ada hak nak hukum dia, nak benci dia sungguh-sungguh macam sekarang!” Ha… Tu dia! Terkeluar sudah aura Nini tika membebel.
“Kau sama aje dengan along aku. Cakap senanglah. Yang tanggungnya aku. Cuba kau yang berdepan dengan semua ni. Huh!” balas Suriya, tak nak kalah.
“Ya, aku tak pernah rasa apa yang kau alami. Aku tau apa yang kau rasa. Kalau aku jadi kau pun, aku takkan buat ibu aku macam ni. Bagi aku, perkara lepas, biarlah lepas. Bukannya kita boleh putar balik masa supaya dia boleh perbetulkan salahnya. Memang tak boleh! Aku nak tanya kau, takkan dalam hati kau tak ada langsung sekelumit rasa sayang kat ibu kau?” kata-kata Nini diakhiri dengan soalan pedas.
Suriya diam. Dia kehabisan modal. Tak tahu nak jawab apa untuk soalan Nini itu. Hati Suriya jadi keras kini. Nasihat yang Rozairul hulurkan langsung tak jalan. Nasihat Nini lagilah. Bukan Nini tak kenal Suriya. Orangnya memang begini. Nampak lembut luarannya tapi hati di dalam, keras sekali.
“Eh, aku balik ofis dululah. Lunch hour dah nak habis ni.” Nini pandang jam seraya bersuara. Menunggu Suriya terus diam begitu sangat membazirkan masa. Selepas bersalaman dan melaga pipi, Nini berlalu meninggalkan Suriya di bangku itu. Biarlah dia fikir semasak-masaknya.

PAGI isnin itu, Suriya masuk pejabat macam pagi-pagi yang isnin yang lepas. Baginya tak ada yang istimewa pun. Cuma terasa malas nak bangun awal pagi. Selepas tiga hari bercuti dan selama tiga hari itu dia asyik berlingkar di atas katil, tiba pagi ini memang terasa tersangat malas. Mata pun susah nak celik.
Lengkap berpakaian, Suriya turun ke ruang dapur. Tak berniat pun nak buat sarapan sebab masa yang semakin suntuk. Bangun lewat, inilah padahnya. Saat melintasi peti sejuk, matanya terpandangkan sekeping kertas memo yang dilekatkan di situ. Ni mesti kerja along. Biasanya kalau nak pesan apa-apa, along akan buat macam ni. Bisik hati Suriya.

Selamat pagi dik. Along tak sempat nak inform kat adik. Malam semalam along sampai dari Terengganu. Tapi along terpaksa terus ke airport. Emergency. Along terpaksa ganti kawan along. Sorry okey. Nanti dah sampai Mumbai, along call adik ya. Bye, take care. Salam.

Haih. Susahnya kerja macam Rozairul. Sentiasa tak lekat kat rumah. Waktu kerjanya sentiasa stand by. Tunggu orang panggil aje. Telinga Suriya menangkap bunyi hon kereta. Mesti teksi Pak mail tu. Bergegas Suriya keluar dari rumah mendapatkan Pak Mail.
Haip, awal cik adik. Hari ni datang dengan cik abang ke?” Masuk saja dalam pejabat, Noraini terus mengusik dia.
“Cik abang? Siapa?” Cik abang mana pulak ni? Kepala Suriya tak sempat nak tangkap maksud soalan Noraini itu. Sampai di meja, dia letak beg kerja yang sangat memberatkan bahu.
“Alah, buat-buat tanya pulak. Su ni suka tau buat akak cakap kuat-kuat. Dari orang tak tahu, jadi tahu.” Rungut Noraini. “Su datang dengan pakcik yang duduk dalam bilik tu ke?” Noraini berbisik selepas matanya melilau pandang kiri dan kanan. Dia memang, kalau nak bercakap pasal Suriya dan Iddin, mesti mata tu sibuk bekerja jugak.
“Eh, taklah. Kenapa pulak saya kena datang dengan dia?”
Oh, itu rupanya maksud soalan Kak Ani tadi. Haih, kenapa aku mesti datang dengan dia? Lagi pun sejak kes dia tengking aku hari tu, kami tak pernah bertegur sapa. Iddin tak tegur Suriya, Suriya lagilah malas nak tegur Iddin.
“Manalah tahukan,” sahut Noraini.
“Tak ada maknanya Kak Ani oi.” Suriya segera berlalu ke pantri. Malas dia nak tahan telinga dengar kata-kata Noraini. Nanti apa pulak yang direpekkan tak tahulah. Lebih baik isi perut yang sedang bergendang ni dulu. Semasa nak keluar rumah tadi, dia tak sempat nak makan dahulu.

IDDIN masuk ke pejabat sedikit lewat. Dia sudah maklumkan kepada Badrul. Alasan yang diberikan adalah kerana ada urusan peribadi. Awal-awal pagi lagi kakinya sudah menapak ke deretan kedai hadiah di sini. Dia masih mempertimbangkan cadangan Mak Yam sebenarnya. Nak bagi bunga ke? Atau bagi hadiah? Tapi, boleh jalan ke cara tu?
Kalau bagi bunga, mesti Suriya cakap Iddin dah tak betul. Mana nak betulnya kalau tiba-tiba aje bagi bunga. Macam orang bercinta pula. Bagi hadiah? Tapi apa? Sambil menyoal diri sendiri, sambil itu kaki Iddin melangkah masuk ke dalam kedai yang menyediakan perkhidmatan penghantaran hadiah untuk yang tersayang.
“Err… Ada apa-apa yang boleh saya tolong encik?” Suara teguran itu mengejutkan Iddin. Habis terbang semua yang dilamunkan. Wajah seorang pekerja kedai menyapa pandangan matanya.
“Sebenarnya saya sedang mencari hadiah untuk seseorang sebagai tanda minta maaf. Err… Awak boleh suggestkan tak?”
“Oh. Untuk kekasih ke?” Pekerja itu senyum mesra. Kekasih? Hati Iddin menyoal.
“Taklah. Untuk kawan perempuan aje,” gugup Iddin menjawab.
“Hmm… Kami ada bermacam hadiah untuk perempuan. Ada minyak wangi, purse, handbag dan bermacam lagi. Seperti yang encik lihat sekarang ini, ada bermacam pilihan di dalam kedai kami. Atau jika encik mahukan kelainan, saya cadangkan ini.” Pekerja itu menunjukkan sebuah album gambar yang penuh dengan gambar-gambar reka bentuk coklat. “Ini adalah sample coklat handmade. Encik kena tempah dahulu kerana kami hanya buat apabila menerima tempahan. Jika encik tak berminat dengan design yang telah ada dalam album ni, encik boleh kemukakan design encik sendiri dan insya-Allah pihak kami akan sediakan.” Terang pekerja itu panjang lebar.
Terlopong mulut Iddin mendengarkan penerangan pekerja tersebut seraya tangan membelek album gambar di tangan. Cantik-cantik semuanya.
“Saya nak yang ni. Tapi awak tukar tulisannya kepada ‘I’M SORRY’. Awak decoratekan cantik-cantik tau. Agak-agak sempat tak siap hari ni?” Iddin cepat-cepat membuat keputusan sebelum dia rambang mata.
“Hadiah ni akan dihantar ke mana, encik?” Dalam masa yang sama pekerja itu memandang jam di dinding kedai.
Area Shah Alam ni jugak.”
“Hmm… Rasanya sempat siap. Dalam 12.00 tengah hari kami akan hantar. Encik ke kaunter dahulu, encik perlu isi borang untuk tujuan penghantaran. Encik nak selit kad ucapan?”
“Boleh jugak.”
Iddin mengikut langkah pekerja kedai itu berlalu ke kaunter pembayaran. Di sana dia perlu mengisi borang maklumat penghantaran hadiah sebelum melakukan pembayaran. Ini adalah prosedur biasa kedai tersebut.


9 ulasan:

  1. Best, I like. Can't wait the continue

    BalasPadam
  2. terima kasih semua.. sabar menanti sambungannya.. hehehehe
    ^_^

    BalasPadam
  3. BEST fieyza....keras hati juga ya Suriya ni..haishh..pandai Nini bg ceramah ya hehe..amboi kak Noraini sempat bergosip lagi ya..muahaha...ho ho ho ho Iddin nak hantar hadiah I AM SORRY sweetnya...CEPAT fieyza..BAB 16 pulak :))

    BalasPadam
  4. hehehehehehe... tq kak nani.. ini satu hal, naniti timbul hal lain pulak.. tungguuuu.. hehehe:))

    BalasPadam
  5. so sweet. Ala Fieyza penatlah asyik tunggu je.

    BalasPadam
  6. hihihihihihihi... sabar sayang...:D

    BalasPadam