Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Rabu, 17 April 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 14


IDDIN capai kotak rokok dan lighter dari atas meja kecil di dalam biliknya. Kemudian dia menghilang di belakang rumah. Habis sebatang, sebatang lagi rokok dia keluarkan dari kotaknya. Selepas dinyalakan hujung punting rokok, dia sedut asap berpenyakit itu dalam-dalam. Dia bukan perokok tegar. Tapi apabila dilanda masalah, inilah jalan keluarnya. Sedangkan dia tahu, rokok tak boleh selesaikan masalah. Makin tambah penyakit adalah. Tapi nak buat macam mana, dia dah ajar dirinya dengan cara ini. Asal ada masalah, hisap rokok.
Dia tension kerana Suriya masih tak nak tegur dia. Masih lancar perang dingin. Dah masuk seminggu dah mereka begini. Dia tahulah silap dia sebab tengking Suriya tapi takkan selamanya nak lancar perang dingin. Dia dah minta maaf pun. Takkan tak nak maaf-maaf lagi?
“Din, ya Allah! Din merokok balik?” Sergahan suara Mak Yam mengejutkan Iddin. Asap rokok yang dihisap oleh Iddin telah membawa Mak Yam ke belakang dapur itu.
“Hmm… Mak Yam kan tahu, Din memang merokok.”
“Tapi, Din dah berhenti kan dulu,” Mak Yam masih ingat. Bertahun lalu, Iddin pernah berjanji dengannya mahu berhenti merokok. Nampaknya janji hanya tinggal janji.
“Din masih hisap rokok tapi kadang-kadang aje. Untuk release tension.” Perlahan Iddin menjawab. Dia sedar, dia yang salah.
“Din, Din. Kalau tension, bukan ini jalan keluarnya. Merokok bukan boleh selesaikan malasah tapi boleh bagi penyakit pula nanti. Isy, sudahlah tu. Mak Yam dah sesak nafas nak hidu bau rokok tu.” Mak Yam memberi nasihat seperti seorang ibu kepada anaknya. “Apa masalah Din sebenarnya?” Wajah sugul di hadapannya Mak Yam pandang lama.
“Din, Din tersilap tengking dia.” Lurus Iddin memberitahu.
“Dia?” Serius, Mak Yam blur.
“Din silap tengking Anggerik.”
“Laa… Kenapa pulak Iddin tengking anak dara orang tu?”
Sungguh Mak Yam terkejut. Iddin yang dia kenal amat-amat susah nak marah orang. Paling-paling teruk pun dia diamkan diri. Pendam masalah sorang-sorang. Tapi kalau dah sampai marah, tengking orang ni. Memang masalah serius!
Iddin pandang Mak Yam. Separuh punting rokok yang masih berbaki di celah jari, dia tenyeh pada astray. Lambat-lambat dia membuka mulut, menceritakan kembali detik permulaan pergaduhan antara dia dan Suriya. Semuanya diceritakan, tak tertinggal walau satu pun.
“Sekarang macam mana? Apa plan Din?” Mak Yam bertanya.
“Mak Yam, kalau Din tahu macam mana nak pujuk Anggerik, tak adalah Din lepas tension macam ni.” Geram pulak Iddin rasa.
“Oh, Mak Yam lupa.” Mak Yam berfikir. Sampai berkerut dahinya kerana berfikir. “Mak Yam tengok kat dalam TV, tak susah pun pujuk perempuan. Alah, Din bagilah bunga ke, coklat ke. Atau pun Din bagi hadiah. Tak kiralah hadiah apa pun. Asalkan sesuai. Janganlah bagi hadiah yang boleh buat dia tambah marah.” Tuu dia… Cadangan bernas sudah keluar dari mulut Mak Yam. Jangan pandang sebelah mata dengan Mak Yam, okey!
“Bunga? Hadiah? Boleh guna pakai ke Mak Yam? Macam idea lama aje,” Iddin musykil. Memanglah semua cadangan tu selalu ditayangkan dalam drama-drama tempatan. Tapi, boleh guna pakai ke untuk pujuk Anggerik? Perempuan sekarang bukan ke suka demand tinggi-tinggi?
“Boleh, apa tak boleh pulak. Atau pun Din boleh cuba satu cara ni. Tapi Mak Yam pesan awal-awal ya, plan ni nampak lagi berani dari cadangan yang tadi,”
“Lagi berani? Macam mana tu? Dengar pun dah rasa macam best aje,” tak sabar Iddin nak tahu rancangan Mak Yam.
“Din ajak dia keluar makan. Jangan sampai… Eh, apa orang putih panggil tu. Kandel dinner ke apa entah. Susah Mak Yam nak sebut.”
Candle light dinner? Tu maksud Mak Yam?”
“Haa… benda tulah. Tapi janganlah sampai ada lilin-lilin tu semua. Buat biasa-biasa aje. ajak dia keluar makan tanda minta maaf. Dalam masa yang sama, Din kenalah pandai main ayat gula-gula kat dia. Barulah nampak real!” Bersungguh Mak Yam membentangkan cadangannya. Macam dia pulak yang kena jumpa Suriya.
“Boleh jalan ke Mak Yam?”
“Tak cuba, Din tak tahu.”
Iddin termenung, memikirkan cadangan Mak Yam. Macam boleh guna pakai tapi… apa-apa pun dia kena cuba. Macam Mak Yam cakap, tak cuba tak tahu. Bagaimana pulak penerimaan Anggerik nanti? Ah, pasal penerimaan dia, kau tolak ke tepi dahulu. Yang penting kau cuba! Sahut kata hati Iddin.
“Eh, fikir apa lagi tu? Sudah-sudahlah tu.” Mak Yam bersiap-siap mahu beredar dari belakang rumah. “Dan lagi satu, Mak Yam dah tak nak tengok Din merokok lagi. Cara paling senang nak redakan tension, Din ambil wuduk dan solat. Insya-Allah, kita akan tenang selepas itu. Sudahlah, Mak Yam masuk dulu.” Mak Yam tepuk bahu Iddin sebelum angkat kaki.
“Okey, terima kasih Mak Yam.”
“Sama-sama.” Iddin pandang tubuh tua Mak Yam terkedek-kedek masuk ke dalam rumah. Walau dia tidak sempat melihat emak kandung, Allah kurniakan penjaga yang sangat baik hati untuknya. Yang menjadi pemberi semangat, penyokong yang kuat untuknya selama ni.

PUKUL 4.00 pagi. Rozairul bangun awal-awal pagi dan bersiap. Pakaian sudah dia letak di dalam beg kecil. Tak banyak dia bawa baju. Hanya semalaman saja dia akan bermalam di sana. Pagi ini dia akan bertolak pulang ke Terengganu. Suriya tak nak ikut, dia balik sorang. Tinggallah Suriya sorang diri. Memang dia tak bagi tahu Suriya. Hanya sekeping kertas dia selitkan atas meja makan. Pandai-pandai sendirilah Suriya nak hidup.
Hampir pukul 11.00 pagi, dia membelok masuk ke taman perumahan Telaga Daing. Tempat di mana terletaknya rumah keluarga angkat Rozairul dan Suriya yang dipanggil mama dan papa. Rozairul melangkah keluar dari kereta. Dia menghirup udara yang dirindukan selama ni. Dia rindukan bayu laut. Rindukan suasana perumahan di sini.
Selepas itu, dia pandang ke rumah yang pernah dia diami beberapa tahun dulu. Khemah sudah didirikan di hadapan rumah. Jika pulang beraya setiap tahun, rumah itulah yang mereka dua beradik tuju. Tapi selepas peristiwa lalu, Suriya sudah tak mahu pulang lagi ke Terengganu. Peristiwa di mana Puan Jamilah membawa mereka berjumpa dengan ibu kandung mereka.
Kerana peristiwa ditinggalkan oleh ibu sendiri sewaktu kecil dan pernah hidup merempat di bawah jambatan, Suriya bencikan ibunya. Baginya wanita itu tidak layak bergelar ibu. Dan kerana Puan Jamilah mempertemukan Rozaitul dan Suriya dengan ibu kandung mereka, Suriya mula bencikan Puan Jamilah.
“Eh, Wan. Bila sampai?” Tepukan pada bahu dan sapaan soalan itu mengembalikan Rozairul ke alam nyata. Pantas dia berpaling.
“Abang long. Wan baru aje sampai,” Rozairul salami tangan menantu lelaki sulung keluarga itu. “Meriah nampak tu?” Rozairul merujuk kepada suasana di depan rumah yang sudah siap berkhemah bagai.
“Hmm… mamalah punya plan tu. Eh, jom masuk dalam.” Arif sengih mendengar kata Rozairul.
“Kejap. Nak ambil beg kat dalam kereta.”
Usai mengeluarkan beg pakaian dari tempat duduk belakang, Rozairul mengikut langkah Arif, merapati pintu pagar rumah setingkat itu.
“Su tak ikut balik ke?” Arif bertanya. Baru dia teringat nak tanya.
Rozairul gelengkan kepala sambil senyum hambar. Kemudian dia mendekati Encik Razak. Tangan tua itu dia salami. Selepas itu, anak-anak Encik Razak mula menyerbu dia. Akhir sekali dia menyalami Puan Jamilah. Berderai air mata wanita itu luruh membasahi pipi.
“Su mana?” Itu soalan pertama yang keluar dari mulut Puan Jamilah. Meliar mata Puan Jamilah mencari kelibat Suriya. Serba-salah Rozairul jadinya.
“Err… Su tak ikut, ma.”
Puan Jamilah sudah mengagak akan jawapan itu. Daripada air muka Rozairul sendiri dia sudah dapat baca.
“Su masih marahkan mama, kan?” Sendu kembali berlagu di wajah itu.
“Ma, janganlah sedih sangat. Su tak marah mama.” Rozairul cuba untuk memberikan harapan yang manis-manis saja buat emak angkatnya. Dia tak mahu Puan Jamilah terus berperasangka buruk.
“Kamu jangan nak tipu mama, Wan. Mama tahu, Su masih marahkan mama. Kalau tak, dia mesti dah ada kat sini, bersama-sama kita.” Luah Puan Jamilah bersama esak tangisnya.
“Milah,” Encik Razak tiba-tiba bersuara.
“Abang, Su masih marahkan saya,” Puan Jamilah mengadu pada suaminya. Pantas Encik Razak peluk bahu isterinya. Puan Jamilah mengongoi di bahu Encik Razak. Hatinya tersangat sedih. Anak yang dijaga sejak kecil sekarang begitu marahkannya, membencinya. Ya Allah! Kau mengujiku lagi.
“Sabar, Milah. Ingat Allah.” Ujar Encik Razak sambil usap bahu isterinya. Seketika kemudian, tangisan Puan Jamilah terhenti dengan sendirinya.
“Hisy, apa ni. Menangis depan budak-budak,” usik Encik Razak sambil cuit hidung isterinya. Puan Jamilah laju alihkan wajahnya dari pandangan Encik Razak. Malulah tu. Desis hati Encik Razak. Mungkin Puan Jamilah baru sedar yang anak-anak sedang mengelilinginya. “Okey, dah. Tak naklah sedih-sedih macam ni.” Sambung Encik Razak lagi.
“Wan, masuklah berehat dulu. Baru sampai dari KL, mesti penat lagi. Pergi letak beg dalam bilik uda.” Suruh Arif selepas suasana yang tadinya gamat dengan tangisan Puan Jamilah sudah kembali reda.
Uda atau nama sebenarnya, Sabri, ialah anak kelima kepada pasangan Encik Razak dan Puan Jamilah. Sabri sudah berkahwin dengan seorang doktor. Mereka tinggal di kampung sebelah.
“Okey,” Rozairul menuruti arahan Arif.

ASALNYA Rozairul mahu sambung berehat dan tidur selepas mandi dan bersolat tengah hari itu. Tapi puas dia baring di atas katil. Pusing ke kiri dan ke kanan juga sudah. Rasa mengantuk seakan sudah dibawa pergi. Lalu, dia keluar dari bilik. Mendapatkan isi rumah yang sedang sibuk menyusun atur keperluan untuk esok hari.
“Eh, tak tidur ke?” Kak long atau Razinah menegur Rozairul sambil kendong anaknya.
“Tak boleh nak tidurlah kak long.” Rozairul sengih kepada Razinah. “Abang long mana?” Mata Rozairul melilau mencari Arif.
“Entahlah. Tadi kak long nampak kat belakang,”
“Okey, Wan cari abang long dulu,” Rozairul pinta diri sebelum berlalu ke belakang rumah.
Ada beberapa orang jiran tetangga yang datang membantu. Inilah hidup di kawasan kejiranan yang masih kuat mengamalkan amalam tolong-menolong. Di sini masih mengamalkan cara hidup kampung. Bukan seperti di bandar besar. Semuanya tempah katerer. Pemilik kediaman hanya tunjuk-tunjuk aje nak yang mana. Kemudian sedia duit. Sudah hilang sikap bergotong-royong.
Mama cakap majlis cukur jambul tapi gaya macam nak sambut menantu baru. Meriah kenduri. Bisik hati Rozairul.
Pada sebelah malamnya, sesudah menunaikan solat isyak, semua isi rumah berkumpul di bawah khemah. Banyak betul cerita yang keluar dari mulut mereka. Setiap orang sibuk nak bercerita. Sampai satu tahap sudah seperti langau pula. Bising sangat. Tapi suasana inilah yang Rozairul rindukan. Riuh-rendah apabila semua berkumpul. Macam hari raya pulak dia rasa.
“Ha, Wan. Lama tak dengar cerita orang jauh ni. Macam mana kerja sekarang, okey?” Rizal, anak kedua Puan Jamilah dan Encik Razak.
“Okey aje angah. Cuma sekarang ni tengah cuti panjang. Cuara buruk tengah landa Eropah dan beberapa negara lain. Kapal terbang pun tak boleh nak landing,” beritahu Rozairul.
“Oh. Angah dengar macam best aje orang kerja bawa kapal terbang ni,” ujar Rizal. Dia sisipkan secawan teh ke bibir.
“Kadang ada best. Kadang cuak juga. Nyawa penumpang di tangan kita. Itu yang bahaya.” Rizal menganggukkan kepala.
Ramai yang tak tahu. Risiko seorang pilot untuk menerbangkan sesebuah kapal terbang sangat tinggi. Segalanya berada di bahu pilot. Yang orang ramai tahu, best kerja jadi pilot. Risiko itu sudah dibelakangkan. Samalah dengan budak-budak zaman sekarang. Yang best itu yang dikejar. Langsung tak fikir kemungkinan yang lain. Dan lagi satu, mereka fikir, pilot ni gajinya memang tak habis dibuat makan sebulan.
“Angah, siapa yang handle Darul Hilmi sekarang ni?”
Sejak sampai tadi, hati Rozairul begitu membuak-buak mahu menjejak kembali tempat tinggalnya sejak kecil itu. Tapi melihatkan semua orang sedang sibuk, dia pendamkan seketika hasrat hati. Tersangat rindu akan tempat yang pernah menjadi rumahnya. Masih terbayang di ruang mata. Jika orang lain pulang ke rumah masing-masing, dia dan Suriya hanya mampu tengok saja. Kerana mereka tak pernah kenal cuti atau hari biasa. Bagi mereka itu semua sama saja. Hari sekolah mereka tinggal di situ. Hari cuti pun mereka tinggal di situ juga. Tiada rumah saudara-mara. Malah mereka tak pernah kenal saudara-mara sendiri. Mereka masih punya saudara-marakah? Kadang-kadang soalan itu terbit di benaknya.
“Ayah Chen yang uruskan Darul Hilmi sekarang.”
“Wan rasa nak pergi ke sanalah,”
“Bila? Sekarang ke?”
“Eh, taklah. Bukan sekarang. Maksud Wan mungkin esok.”
Rizal ketawa besar dengan jawapan Rozairul. Lurus sangat! Dia bergurau aje masa tanya tadi tu. Wan, Wan, kau masih tak berubah. Macam dulu-dulu jugak. Desis hati kecil Rizal.

5 ulasan:

  1. BEST....rasa macam nak jadi peminat Mak Yam la TERBAIK Mak Yam bg idea bernas gitu huhuhu......sedinya....kenapa Suriya masih marahkan mama dia tu :'((? Tak sabar nak tunggu kisah seterusnya

    BalasPadam
  2. Hahaha.... Seumur hidup, Mak Yam saja yg wanita yg paling rapat dgn Iddin... Tunggu next n3 ye kak.. ;))

    BalasPadam