Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Khamis, 7 Februari 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 5



**SALAM.... N3 DI POST MALAM-MALAM PULAK HARI NI.... JOM LAYAN, SEMOGA TERHIBUR...

SUDAH hampir sebulan Suriya bekerja di situ. Hurm… Kerja semakin bertimbun. Minggu pertama dulu, dia merungut tak ada kerja. Sekarang, tak menang tangan dia nak buat semuanya. Mana lagi kejar deadline. Aduh! Memang tak terkejar kalau semua nak cepat. Hari ni seperti juga minggu lepas. Suriya terpaksa pulang lambat lagi. Jam sudah menginjak ke pukul 8.00 malam. Nasib baik dia sedang bercuti dari solat. Jadi tak adalah rasa terkejar-kejar nak ke bilik solat. Sesekali matanya meliar memandang sekeliling ruang pejabat itu. Selain dia, ada dua orang lagi rakan sekerja yang turut membuat kerja lebih masa sepertinya. Paliza dan Yusof. Paliza bertugas di bahagian akaun, manakala Yusof di bahagian pembangunan sistem.
Suriya capai muk yang berada di tepi skrin PC. “La… dah habis pulak,” kalau ikut rasa hatinya, memang dia malas nak ke pantri. Tak buat air, dahaga pulak tekak ni. Akhirnya dia akur. Lambat-lambat dia menapak ke pantri.
Sementara menanti air masak, Suriya mengelamun seketika di kerusi yang tersedia di situ. Kerja banyak lagi tak siap. Satu saja yang dia fikirkan. Nanti nak balik dengan apa? Pak Mail tak dapat datang ambil hari ni sebab kurang sihat. Kawasan syarikat ni pulak susah nak dapat teksi. Kalau siang tu banyaklah teksi. Tapi sekarang sudah malam. Mintak tolong pada Nini? Sudah dua hari Nini ke Melaka kerana berkursus. Haih. Kan susah kalau tak ada lesen dan tak pandai pandu kereta. Semuanya kena bergantung dengan orang.
Ting!
Air sudah masak. Pantas tangan Suriya mencapai cerek elektrik dan air Nescafe dikacau di dalam muk. Sambil menatang muk di tangan, sambil matanya melilau memandang ruang pejabat. Yusof tiada di mejanya. Hanya lampu bilik Paliza saja yang masih terpasang. Yusof dah balik ke? Hatinya berdetik. Spontan kepalanya tertoleh ke kiri, ke arah bilik bos besar. Melalui cermin bilik, dia nampak ada biasan lampu dari dalam bilik itu. Dia tak balik lagi ke? Sekali lagi hatinya berdetik.
Biasanya Suriya balik pukul 7.00 malam. Itu waktu yang paling lewat sepanjang dia kerja kat pejabat tu. Tapi sekarang dah pukul 8.30 malam, dan bilik itu masih lagi terang. Memang selalu dia balik lewat ke? Soalan itu muncul dibenaknya.
“Kak Liza, Yusof dah balik ke?” Suriya pantas menyoal sebaik nampak kelibat Paliza.
“Haah, dah balik tadi. Su kenapa tak balik lagi?”
“Banyak kerja ni. Deadline dah dekat.”
“Oh macam tu. Akak dah nak balik ni, tak apa ke Su duduk sorang-sorang kat dalam pejabat ni?” Paliza gusar juga mahu biarkan Suriya seorang diri menyiapkan kerja di dalam pejabat itu.
“Tak apa kak, Su okey je duduk sorang-sorang kat sini. Hmm… Su cuba siapkan sikit lagi kerja ni. Lepas tu baru Su balik,” ujar Suriya, sekadar menyedapkan hati Paliza. Sedangkan hatinya hanya Allah saja yang tahu.
“Okeylah kalau macam tu. Akak balik dulu ya,”
Suriya menganggukkan kepala. Mata kembali memandang skrin. Dia tenggelam di dalam dunia kerjanya. Kerana terlampau asyik dengan kerja, dia tak sedar masa yang semakin pantas berjalan. Dia pandang jam diskrin PC.
“Allah! Dah hampir pukul 10.00 malam!”
Lantas dia capai segala barang-barangnya dan disumbat masuk ke dalam beg kerja. Kalau larat, dia akan sambung kat rumah nanti. Buru-buru dia bawa keluar beg tangan dari laci. Dia takut semakin lama di pejabat, semakin susah dia nak dapatkan khidmat teksi. Sejurus menutup semua lampu, dia bergegas  keluar dari bangunan itu.
“Lambat balik cik?” Pak Wahid yang bertugas sebagai pengawal bangunan menegur Suriya.
“Haah, banyak kerja pak cik. Saya pergi dulu ya pak cik,”
“Baiklah.”
Suriya perlu menapak ke perhentian bas kerana teksi dan bas hanya akan berhenti di situ sahaja. Lima minit Suriya berdiri tegak di situ. Tak ada sebuah pun teksi yang berhenti. Matanya tak berkelip memandang jalan dan jam di tangan bersilih ganti. Hatinya sudah berdetak tak enak. Tambah lagi ada sorang mamat mana entah kat belakang dia ni. Aduh! Mana pulak teksi ni?
Berdentum guruh di langit mengejutkan Suriya. Kepala laju mendongak ke atas. Kilat sedang memanah di atas sana. Allah! Nak hujan ke? Ya Allah, Kau janganlah turunkan hujan sekarang. Kalau nak turun pun, biarlah lepas aku dapat teksi. Suriya berdoa di dalam hati. Teksi ni pun satu, kat manalah sebanyak-banyak teksi kat Selangor ni sampai tak nampak satu pun malam ni. Dia orang mogok ke apa? Jam sudah hampir ke pukul 11.00 malam.
Pin, pin, pin.
Bunyi hon buat Suriya tersentak. Laju kepala diangkat. Sebuah kereta mewah berhenti di hadapannya. Siapa pulak ni? Sudahlah seluruh cermin kereta gelap, manalah nak nampak orang kat dalam tu. Sebabkan tak kenal pemandu itu, Suriya buat tak tahu ajelah. Beg kerja dia peluk rapat ke dada. Dalam hati tak sudah berdoa. Bimbang jika berlaku perkara yang bukan-bukan. Entah-entah orang jahat. Mana tahu kalau orang jahat ke.
Pin, pin, pin.
Eh, apa pulak duk main hon-hon ni? Rungut Suriya di dalam hati.
Tiba-tiba tingkap kereta diturunkan.
“Awak nak balik ke? Cepatlah masuk. Hari nak hujan ni,” wajah lelaki itu masih samar-samar di mata Suriya. Siapa pulak ni? Tak kenal batang hidung, tiba-tiba ajak naik kereta dia.
“Anggerik.” Kepala Suriya kembali menegak. Dia panggil aku ke? Rasanya tak ada orang lain lagi yang panggil aku dengan nama tu. “Cepatlah!” Gesa lelaki itu lagi. Hujan renyai-renyai mula membasahi bumi.
“Err… Siapa ni?”
“Ni sayalah, takkan dah tak kenal kut.” Iddin siap bukakan pintu lagi untuk Suriya. “Jom masuk.” Lambat-lambat Suriya menurut.
Sejurus punggungnya mencecah kusyen kerusi penumpang, Iddin terus memecut kereta membelah jalan raya. Dan hujan lebat mula turun menyembah bumi.
“Awak tinggal kat mana?” Sambil mata memandang jalan raya, sambil itu dia menyoal Suriya.
“Err… Kat Kajang,”
“Oh, sejalanlah kita. Saya pun tinggal kat Kajang jugak.”
“Oh,” balas Suriya pendek. Kalau ikutkan hatinya, dia nak jugak tahu kat mana bos dia ni. Tapi… ah, biarkan ajelah.
Ruang antara mereka kembali senyap. Suriya lebih suka melayan perasan sendiri. Manakala Iddin pula menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap jalan raya. Entah apa mimpi Iddin tidak pulak dia tahu. Mendadak ajak dia tumpang sekali. Sebelum ni mana pernah bos besar dia ni ajak tumpang bagai. Bercakap pun jarang-jarang. Ada tak ada pun masa nak serahkan tugasan kat Suriya. Itu pun dengan nada dingin yang amat. Tak pernah lagi mereka berbual mesra. Mungkin dia kasihan kut sebab Suriya sorang-sorang je tengah tunggu teksi kat situ. Malam pulak tu.
Jangan ditanya kenapa Iddin menumpangkan Suriya malam ini, Iddin tak punya jawapan untuk soalan itu. Hatinya tiba-tiba saja tergerak untuk menumpangkan Suriya. Kelibat Suriya menunggu teksi atau bas seorang diri di tengah-tengah malam begitu buat dia bimbang. Takut terjadi apa-apa ke atas Suriya. Bukan dia pinta tapi segala macam boleh berlaku. Tambah lagi ditempat sunyi dan di tengah malam.
Hujan lebat mula turun membasahi bumi sebaik saja kereta Iddin berhenti di simpang lampu isyarat. Kalau aku terus tunggu tadi, mau basah kuyup! Sah-sah esok terpaksa ambik MC. Desis hati Suriya. Guruh berdentum di langit.
“Rumah awak kat mana ni?”
“Hah?”
“Saya tanya, rumah awak kat mana? Kajang ni besar.”
“Err… Taman Puncak Saujana,”
Lima belas minit kemudian, Iddin kembali menyoal.
 “Hmm… yang mana satu rumah awak ni?”
Eh, dah masuk taman perumahan aku ke? Serius, Suriya masih bingung.
“Yang depan tu encik, yang pintu pagar kayu tu,” beritahu Suriya.
Iddin turuti kata-kata Suriya. Dia berhenti betul-betul di depan pintu pagar yang dikatakan itu. Tanpa menunggu lama, Suriya capai pemegang pintu kereta dan bersiap untuk keluar dari perut kereta.
“Awak tinggal dengan siapa kat rumah ni?” Iddin menyoal sambil memandang ruang dalam rumah yang gelap-gelita. Langkah kaki Suriya yang baru sebelah berada di luar kereta terhenti mendadak.
“Err… dengan abang saya.”
“Oh, ingatkan dengan suami,” gumam Iddin perlahan, lebih kepada diri sendiri.
“Apa dia encik?” Laju mulut kecil Suriya menyoal. Dia dengar apa yang bosnya katakan tadi.
“Apa, apa pulak? Tak ada apa-apalah,” gugup Iddin berselindung.
“Oh, okey. Terima kasih encik.” Ucap Suriya sambil melepaskan pintu kereta.
Suriya baru saja mahu melangkah merapati pintu pagar, tingkap kereta dibuka oleh Iddin.
“Esok awak pergi kerja dengan apa?” Ringan aje mulutnya menyoal.
“Saya naik teksi,”
“Oh. Okeylah saya gerak dulu, selamat malam.” Pamit Iddin. Dalam hati sudah membuak-buak mahu memberikan tawaran supaya Suriya menumpangnya esok. Tapi… sabar Iddin, sabar. Jangan gelojoh!
Suriya hanya memandang belakang kereta majikannya berlalu pergi. Terasa macam mimpi pula bos yang selama ni dingin macam ais tu, hantar dia balik hari ni. Walaupun masih terasa kedinginan itu tapi sekurang-kurangnya tidaklah sedingin ketika di dalam bilik pejabatnya. Ah, biarlah dia. Apa kes pulak aku asyik duk ingat pasal dia? Rungut Suriya di dalam hati. Dia cepat-cepat bergegas masuk ke dalam rumah. Tak boleh lama-lama kat luar rumah. Takut ada yang sedang perhatikan dia.

SEPANJANG perjalanan balik ke rumah abinya di Country Heights Kajang, senyuman tak lekang di bibir Iddin. Hatinya kembang setaman. Dia sendiri tak tahu untuk apa senyuman itu. Tapi apa yang dia rasakan adalah perasaan gembira yang amat. Gembira yang tak boleh digambarkan dengan kata-kata.
“Lalalala…” Spontan Iddin menyanyi kecil, menggambarkan rasa hatinya yang sangat gembira. Sehinggakan dia tak perasan ada sepasang mata yang asyik memandangnya.
“Amboi, gembiranya hati! Siap menyanyi bagai. Apa yang digembirakan sangat tu?” Suara orang bertanya tiba-tiba menyapa telinga Iddin. Pantas dia berpaling.
“Laa… Mak Yam rupanya. Nasib baik tak gugur jantung saya. Suka sungguh Mak Yam terkejutkan saya.” Sungut Iddin. Mak Yam ketawa kecil. Sebetulnya dia sangat suka melihat Iddin gembira begitu. Sudah lama dia tak melihat Iddin versi ini. Yang ada cuma Iddin versi masam, cemberut dan seangkatan dengannya.
“Dah kamu berjalan tak pandang kiri kanan, mana tak terkejut. Mak Yam dah lama berdiri kat pintu ni. Apa yang kamu gembirakan sangat tadi tu?” Mak Yam sengih.
“Oh, tak ada apalah Mak Yam. Kisah budak-budak,” Iddin senyum dan kenyit mata ke arah Mak Yam sebelum berlalu masuk ke dalam rumah.
“Isy, budak ni. Selalu nak berahsia,” Mak Yam menggelengkan kepala. Lantas dia turut sama masuk ke dalam rumah dan pintu utama dikunci.
Tanpa Mak Yam dan Iddin sedari, ada sepasang mata ralit memerhatikan tingkah mereka dari sebalik jendela kaca di tingkat atas rumah agam itu. Entah sampai bilalah hubungan mereka akan terus renggang begini. Iddin anaknya. Tapi jurang yang tercipta antara mereka sejak berbelas tahun lalu amat susah dipulihkan kembali. Sudah pelbagai usaha telah Tuan Ikmal lakukan tapi semuanya menemui jalan buntu.
Akhirnya dia menarik kembali langsir jendela dan badan direbahkan di atas katil.

6 ulasan:

  1. best..seram la pulak suriya..tu balik malam2 berani juga si suriya ni hehehe....best la pula dengar iddin panggil anggerik macam sweet ja...nampaknya dalam hatti iddin dah ada taman la.....

    alongnani

    BalasPadam
  2. @nurAtiza n @baby mio; tq dear..:)

    kak nani; hahahaha... iddin sejak awal memang dlm hati ada taman tapi sebba ego, semuanya jd slow... hehehehe... kita tunggu nanti langkah seterusnya...:)

    BalasPadam
  3. hahaha...fieyza cepat letakkan bab 6 muahahaha

    alongnani

    BalasPadam
  4. insya-Allah kak nani... nanti ada update lg...:)

    BalasPadam