Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 15 Januari 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 2


**salam semua.. selepas lebih 2 minggu ruang blog ini berehat, hari ini saya mulakan letak n3 baru.. semoga terhibur.. permulaan yg simple2 aje..:)


PINTU kereta Iddin tolak malas. Seharian di pejabat, badannya sudah keletihan. Terasa sangat lesu. Mana tak lesunya kalau selepas subuh dah keluar bekerja. Hampir tengah malam baru sampai kat rumah. Tak macam orang lain yang petang dah sampai kat rumah. Badannya dah macam robot. Asyik ingat kerja, kerja, kerja yang tak pernah habis.
“Baru balik Din?” Satu suara menyapa. Iddin mencari arah datangnya suara itu. Mak Yam rupanya. Senyuman dilemparkan ke arah Mak Yam, penjaganya sejak kecil. Wanita itu sudah dianggap seperti uminya sendiri. Abi sibuk dengan kerja. Umi pulak dah lama meninggal. Sejak dia kecil lagi.
“Haah. Mak Yam tak tidur lagi?”
“Tadi Mak Yam dah nak masuk tidur tapi terasa nak check pintu ni, takut-takut tak kunci lagi.”
“Oh. Din naik dululah Mak Yam.” Pinta Iddin dan menapak ke tangga.
Mak Yam memandang belas belakang anak majikannya itu. Dia sangat kasihankan Iddin. Sejak kecil tak pernah merasa kasih sayang seorang ibu. Abinya jauh sekali. Abinya lebih pentingkan kerja, sebab itulah hubungan mereka dua beranak tak berapa nak baik. Jika Iddin ada diruang tamu, Tuan Ikmal akan memerap di dalam bilik kerjanya. Masa makan pun susah nak nampak mereka dua beranak duduk semeja. Seperti dua orang musuh terperangkap di dalam sebuah rumah. Mak Yam mengeluh. Dia tak boleh berbuat apa-apa. Hanya sekadar memandang sahaja. Dia tidak punya hak untuk bersuara. Sekadar orang gaji di rumah besar itu, apalah sangat yang dia boleh suarakan. Mak Yam berlalu masuk ke dalam biliknya.
Di dalam bilik, Iddin melemparkan tubuhnya di atas katil. Dia baru saja mandi. Orang cakap mandi malam tak elok, tapi semua tu tak pernah dia percaya. Tubuh dia biarkan terdedah disapa penghawa dingin. Hanya sehelai boxer yang tersarung di pinggangnya. Selepas mandi, matanya terasa segar kembali. Sudah tak rasa mengantuk. Dia mencapai iPad dari atas laci kecil bersebelahan dengan katilnya.
Jarinya mula berlari di atas skrin sesentuh itu. Ikon Facebook dia buka. Dia bukanlah seorang yang fanatik dengan laman sosial sebegitu tapi sesekali jika tiada kerja dia buka juga. Sekadar melihat-lihat status orang lain. Nak harapkan status dia memang taklah. Dia malas nak buat status bagai ni. Entah, rasa macam tak selesa bila kehidupan peribadi diuar-uarkan kepada umum. Kemudian, dia letak kembali iPad di tempat asalnya.
Dia terpandangkan sesuatu. Laci ditarik keluar. Matanya merenung sekeping gambar. Gambar seseorang yang tidak pernah bertentang mata dengannya. Seseorang yang telah dijemput ilahi 27 tahun lalu. Dia, Puan Munirah, ibu kandung Iddin Amsyar. Dicapai gambar itu dan dia renung lama. Terasa rindu itu sangat membuak-buak. Gambar ditekap di dada, simbolik kepada memeluk tuan empunya gambar. Sungguh! Dia rindukan umi. Dia rindu untuk memanggil wanita itu umi. Air mata jantannya luruh setitis demi setitis, menuruni lekuk pipi dan terus mengalir hingga ke dagu.
Kepala diletakkan di atas bantal. Matanya sudah mengantuk. Dia tertidur sambil memeluk gambar itu. Esok dia ulang lagi buat aktiviti yang sama. Walau terasa bosan, terpaksa juga dia lakukan.

SURIYA bangun awal pagi itu. Memang selalu-selalunya dia bangun awal. Tapi tak tetap waktu aje. Selesai mandi, dia terus menapak ke dapur. Rambut yang masih basah sedang elok berbungkus dengan tuala. Kabinet dibuka, mencari apa-apa makanan yang boleh mengalas perut. Lapar ni. Rozairul pulak tak ada, dah terbang. Suriya tarik paket minuman cereal. Hmm.. Bolehlah dari tak ada langsung.
Sambil menunggu air masak, dia menekan butang on pada radio. Terdengar suara Fara Fauzana dan Faizal Ismail riuh berceloteh tentang isu semasa. Tersenyum panjang Suriya mendengarkan celoteh mereka berdua. Kelakar sangat!
Ting! Suriya mencapai cerek elektrik, air panas dituang ke dalam muk berisi cereal. Alamak, tersilap tuang banyak air panas pulak! Lambat lagilah nak sejuk ni. Bisik hati Suriya. Ah, tak apalah.
Sementara menanti air sejuk, Suriya panjat tangga, mahu ke bilik. Tuala di kepala dia cabut dan disidai dirak. Ketika mahu menyikat rambut, matanya terpandangkan telefon bimbitnya yang berkelip. Siapa pulak ni? Dahinya berkerut melihat nombor telefon yang terpapar di skrin. Nombor yang tak dikenali. Sedang berfikir, telefon bergetar sekali lagi. Tawakal ajelah. Mungkin orang silap nombor.
“Helo,”
“Helo, selamat pagi. Boleh saya bercakap dengan Cik Suriya Anggerik?” Sapa suara di hujung talian. Sah, memang orang ni call dia.
“Ya saya,” Suriya rasa macam orang salah pulak.
“Begini cik, saya Noraini, wakil dari syarikat IMIA Technology Sendirian Berhad. Minggu lepas, cik ada datang temuduga di syarikat kami kan?”
“Ya, saya.” Dada Suriya sudah berdebar kencang. Terasa macam peluangnya cerah. Tapi dia tak boleh terlebih teruja. Biar wakil syarikat tu bagi tahu keputusan dahulu.
“Selepas beberapa kali saringan, pihak atasan bersetuju memilih cik untuk mengisi kekosongan jawatan ini. Cik diminta lapor diri tiga hari dari sekarang.” Beritahu Noraini. Suriya terdiam. Dia tercengang sebenarnya. Masih tak percaya. “Cik, cik. Masih ada lagi ke?” Noraini kepelikan. Apasal senyap aje cik ni?
“Hah? Ya, ya. Ada lagi ni. Sorry, saya terkejut sekejap.” Gugup Suriya menjawab.
“Okey, cik datang ke pejabat kami tiga hari lagi ya. Terima kasih.”
“Sama-sama.” Ucap Suriya. Dia pandang kosong telefon yang telah senyap itu. Rasa terkejutnya masih belum hilang.
“Aku dapat kerja tu?” Suriya tepuk pipi sendiri. Sah! Dia tak mimpi. Memang betul, dia dapat kerja tu! Dia memang tak berharap sangat dengan kerja tu. Kalau tak dapat kira bagus juga. Pekerja kat situ pelik semacam aje. Hari dia pergi temuduga tu pun dah terasa mereka semua macam menyombong aje! Tapi dah dapat ni terima ajelah. Redahlah Suriya oi!
Dia mahu menelefon alongnya.
“Eh, along kerjalah!” Dia tepuk dahi. “Ha, call Nini ajelah.” Lalu, dia mencari nombor telefon Nini.
“Weh, apa hal kau call aku ni? Aku tengah kerjalah.” Suara Nini berbisik di hujung talian. Suriya ni telefon salah masa, hari ni ada rondaan dari orang atasan ke pejabatnya. Ini pun pegawainya sudah mencerlung tajam kerana dia sedang menjawab telefon.
“Ala kau ni, aku caru aje call dah kena sound.” Suara berjauh hati Suriya sudah keluar.
“Eh, aku tak ada masa nak dengar kau nak merajuk bagai. Lepas kerja hari ni aku pergi rumah kau, hari ni orang besar turun melawat ofis ni.” Cengeng sungguh anak bongsu ni! Cemuh Nini.
Belum pun sempat Suriya berkata, talian sudah dimatikan. Suriya mendengus. Orang ada juga masa sibuk. Aku aje yang tak pernah kenal apa itu sibuk. Dah nama pun penganggur terhormat, jadi nak sibuk ikut celah mana? Mestilah ada masa lapang je memanjang. Eh, silap-silap. Dia bukan lagi penganggur terhormat. Baru aje dapat kerja ni. Lepas ni, dia kenallah makna sibuk itu. Telefon diletak di atas almari di dapur. Cereal yang sudah sejuk sedikit dia hirup perlahan. Merasa nikmatnya minuman itu.

PETANG itu, seperti yang dijanjikan, Nini datang ke rumah Suriya.
“Nasib kau datang, kalau tak datang tadi, malas aku nak kawan dengan kau!” Jelas nada berjauh hati Suriya. Sambil tangan ligat membukakan pintu pagar.
“Eleh, kalau tak kawan dengan aku, kau nak kawan dengan siapa? Sembanglah kau ni!” kata Nini sambil melenggang masuk ke perkarangan rumah abang Suriya. “Oit! Kau masak apa ek? Aku laparlah, tak sempat nak rehat tengah hari tadi. Bos besar ada datanglah.” Nini gosok perut, tanda lapar yang amat.
“Amboi! Kau ingat aku ni tukang masak kau? Asal datang rumah aku, makan yang kau tanya awal-awal.” Rungut Suriya. Dia sudah bercekak pinggang.
“Habis tu, asal datang rumah kau aje, perut aku terus rasa lapar.” Balas Nini. Dia duduk di atas kerusi sofa di ruang tamu.
Suriya masuk ke dapur. Langsung dia tak hiraukan Nini di ruang tamu. Dia capai muk dan tangan menarik pintu peti sejuk. Air Ribena yang telah dia sediakan di dalam jag, terus dia tuang ke dalam muk.
“Weh! Ada makanan tak?” Suara Nini yang mendadak itu telah mengejutkan Suriya. Laju tangannya mengurut dada. Nasib baik muk di tangan kirinya tak terjatuh ke lantai.
“Hoi! Apa sergah aku tiba-tiba ni? Nasib baik aku tak ada sakit jantung!” Mencerlung mata Suriya memandang Nini. Geram sungguh dia.
Nini sikit pun tak heran dengan kata-kata Suriya. Sebaliknya, dia menonong menjengah periuk di atas dapur. Tunggu kawan baiknya ini pelawa, memang taklah! Mau kebulur aku menunggu! Omel hati Nini. Ada lauk asam pedas! Laju tangannya mencapai pinggan dan diisi nasi. Dia sudah terlebih hafal setiap selok belok rumah ni. Dia dah biasa sangat tidur kat sini kerana biasanya jika abang Suriya kerja, Suriya akan menyuruh dia tidur di rumah itu.
“Amboi! Laju aje bab makan!”
Nini buat bodoh aje. Dia terus menapak ke meja makan. Nini kalau dah makan, memang tak pandang kiri kanan. Ibarat kata, kalau mak mertua lalu, confirm dia tak nampak!
“Oit! Apa hal yang penting sangat kau nak cakap kat aku tu? Tak menyempat.”
“Aku dah dapat kerja,” beritahu Suriya. Dia pandang Nini yang sedang menjilat jarinya. Eii! Tak senonoh betul anak dara sorang ni!
“Serius? Kat mana?” Membulat mata Nini. Nampak sangat terkejut.
“Yang aku pergi temuduga minggu lepas tu. Tapi aku rasa macam nak tolak aje,”
“Hoi! Apa kes pulak kau nak tolak? Hii… Bukan senang nak dapat kerja sekarang ni. Isy, macam-macam hallah kau ni!” Nini tak puas hati. Dah dapat kerja tu kira bersyukurlah sikit.
“Aku tak berkenanlah dengan penemuduga tu, entah apa-apa entah.”
“Eh, mak cik. Kau bukannya kena kerja dengan dia nanti. Dia tu tukang interview kau aje. Yang kau susah hati sangat ni kenapa?”
“Habis tu?”
“Terima ajelah. Sekarang ni bukan senang tau nak dapat kerja. Tolak tuah tau kalau kau tolak tawaran ni. Dahlah syarikat besar. Kalau aku, dah lama aku rembat!” Nini bangun dan menghilang ke dapur.
Suriya mengeluh. Dia tenung lama almari hiasan di hadapannya. Dalam kepalanya sedang menimbang cadangan Nini dan juga rasa hatinya. Dia tak tahu nak ikut yang mana. ikut rasa hati atau ikut cadangan Nini. Hmm…
“Hoi, fikir apa lagi tu? Tak payahlah nak serabutkan kepala fikir sangat. Kalau aku jadi kau, aku terima aje. Senang. Tak payah nak bebankan kepala, fikir itu, fikir ini.” Nini tepuk bahu Suriya perlahan.
“Hmm… Nantilah aku fikirkan. Tapi… kalau aku terima tawaran ni, macam mana aku nak pergi kerja? Jauh jugak syarikat ni, kat Shah Alam sana.” Hampir-hampir dia terlupa pasal itu. Masalah terbesar tu.
“Hmm… Yang tu lagi satu masalah,” ada lagi satu masalah rupanya. Nini terfikir-fikir. Bukan dia tak kenal abang si Suriya ni. Itu tak boleh, ini tak boleh. Semua nak dikongkongnya. Kadang dia jatu kasihan dengan Suriya. Sesuatu terlintas dibenaknya. “Aha! Kau kenalkan jiran sebelah rumah aku tu. Pak Mail.”
“Pak Mail? Kenal, kenapa dengan Pak Mail?” Kening Suriya sudah berkerut. Apa ke pelik soalan kawan aku ni? Demam ke apa?
“Pak Mail kan driver teksi. Alah, Pak Mail okey, tak macam driver teksi yang lain tu. Macam ni, apa kata kau slow talk dengan abang kau. Aku slow talk dengan Pak Mail. Harap-harap semuanya okey.”
“Hmm… Bergeliga jugak otak kau ni.” Selamba Suriya menggosok kepala Nini. Tapi sempat ditepis oleh Nini.
“Heh! Kepala jangan main aa…”
Suriya ketawa lepas. Tahu sangat dengan Nini yang tak suka orang usik kepala dia. Setengah jam kemudian, kelam-kabut Nini meminta diri untuk pulang. Emaknya sudah bising menelefon bertanyakan kenapa dia masih belum pulang sedangkan hari sudah malam. Tinggallah Suriya keseorangan di rumah itu.

4 ulasan:

  1. Tq dear... Nantikan sambungan seterusnya...;)

    BalasPadam
  2. baru sempat baca, best akak dok ketawa sorang2..hehehe bestkan nini dapat kawan macam suriya tu.....baru sampai rumah tanya makan siap ada asam pedas tu huh terliur la pulak..teringat kawan lama...

    alongnani

    BalasPadam
  3. hahahahaha.... Nini ni kepoh skit... sebab tu meriah semacam dia ni.. bercakap pun ikut lepas aje...:)

    BalasPadam