Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Khamis, 1 November 2012

TEASER TERAKHIR NOVEL KAU YANG KUSAYANG


SIAP memasak dan menghidang di atas meja, aku tercari-cari kelibat Aril. Mana pulak mamat ni pergi? Di laman rumah tak ada, di ruang tamu juga tak ada. Ketika mengintai di belakang rumah, aku lihat hanya Abang Din sahaja yang ada di situ bersama kaki lembu yang dia baru bawa balik dari masjid. Di belakang pun tak ada. Kat mana pulak dia ni? Nak kata keluar, kereta dia elok aje terparkir di luar tu.
Aku menapak ke arah tangga. Mahu menjenguk ke dalam bilikku pula. Pintu bilik yang sedikit renggang aku tolak perlahan. Ya Allah, di sini rupanya dia. Puas aku melilau mencari tapi alih-alih sedap-sedap dia berbaring atas katil. Aku merapati katil. Punggung aku labuhkan di pinggir katil, betul-betul di sebelah Aril. Hidungku kembang kuncup, tercium sesuatu yang busuk. Bau apa ni? Hamis dan hanyir!
“Awak, bangun,” panggilku, mengejutkan dia daripada lenanya.
Tak ada reaksi. Dia ni kalau bab tidur memang johan. Payah betul nak bangun, omelku dalam hati.
“Awak, bangunlah. Nak makan tengah hari ke tak?” Bahunya aku tolak sedikit.
“Hmm… tak lapar,” jawabnya dengan suara yang serak.
Tak lapar tak apa. Tapi hidungku masih tercium bau yang kurang enak. Kembang kempis hidungku mencium bau. Tergerak-gerak hidungku mencari punca bau itu. Makin dekat aku merapati tubuh Aril, makin kuat bau itu.
“Bau apa ni? Hamis dan hanyir! Awak buat apa tadi?”
“Memanglah ada bau, saya tolong Abang Din tadi.” Selamba dia menjawab dengan mata yang masih terpejam.
“Tolong apa?” soalku laju. Hatiku sudah dapat mengagak kerana ada bau lembu.
“Tolong dia bersihkan perut lembu.” Langsung tak ada riak bersalah semasa dia memberitahuku.
What?!” Melengking suaraku mendengar jawapannya. “Bangun! Habis cadar saya. Awak pergi mandi!” Arahku sambil menariknya supaya bangun. Seperti sedang menyuruh budak berusia lima tahun supaya mandi pagi.
Bertuah sungguh! Dahlah busuk-busuk, boleh pulak dia landing atas katil aku. Siapa tak terbakar kalau macam ni. Ya Allah, kenapalah aku dapat suami yang sebegini rupa? Kalau dah tahu tolong Abang Din bersihkan perut lembu tadi, cepat-cepatlah mandi. Lepas tu, kalau nak baring sampai malam pun tak ada orang nak bising. Ini tak, harum sangat baunya sampai naik loya tekak aku!
“Bangun!” jeritku di tepi telinganya.
Spontan badannya tegak bangun dari perbaringan. Kelakar juga aku tengok dia. Manalah tak kelakarnya kalau kena jerit terus dia bangun mendadak. Dahlah tengah mamai lagi. Kalau tak kerana aku serius sekarang ini, pasti aku dah bantai gelak.
“Cepatlah,” gesaku selepas itu. Bingkas dia bangun dan turun dari katil. Tuala di dalam almari aku bawa keluar dan dihulurkan kepadanya.
“Nah, pergi mandi,” arahku kepada Aril yang masih diam membisu. Dengan langkah longlai, Aril menapak ke dalam bilik air.
Sementara Aril selesai mandi, aku menggumpal cadar dan sarung bantal yang telah berbau itu dan diletakkan di tepi pintu bilik. Cadar baru dari dalam almari aku bawa keluar. Siap memasang cadar, sekali lagi aku membuka almari. Baju Aril aku bawa keluar dan bentangkan di atas katil. Hanya seluar jean dan baju kolar bulat. Baju dia ini ada kat rumah emak kerana dia tertinggal semasa majlis kenduri kahwin kami dahulu. Nasib baik juga ada baju spare di sini. Tak payah dia pakai baju aku. Nak pinjam dengan Abang Din, saiz pula tak sama.
Cadar kotor aku bawa turun ke dapur. Aku menjenguk ke dalam mesin basuh. Kosong. Eloklah sangat. Lantas, aku mencampak cadar dan pili air aku buka. Sementara menanti mesin berhenti berputar, aku mendapatkan Kak Jiha dan Mia di ruang tamu.
“Kenapa dengan cadar tu?” soal Kak Jiha.
“Aril kotorkan,” jawabku.
“Aril kotorkan? Kena apa sampai kotor?” Aduhlah, banyak pulak soalan cik kak sorang ni.
“Fiza tak tahu pun Abang Din minta tolong dia. Masuk aje dalam bilik, Fiza dah berbau semacam. Puas Fiza cari tapi tak jumpa. Bila Fiza tanya kat Aril, barulah dia mengaku. Rupanya dia tolong Abang Din bersihkan perut lembu. Mana tak berbau satu bilik. Habis lekat kat cadar. Tu yang Fiza basuh tu,” beritahuku satu per satu.
Tergelak Kak Jiha mendengar ceritaku. Emak dan Abang Din yang baru masuk dari belakang rumah turut ikut ketawa.
“Fiza, memang bandarlah suami kamu tu. Abang suruh bersihkan kotoran kat perut lembu pun dia tak tahu. Dahlah tu, sepanjang dia tolong abang, leher bajunya pasti akan menekup hidung. Busuk sangat katanya.” Abang Din membuka cerita. Mengekek dia kerana ketawakan Aril.
Aku juga turut ikut ketawa. Memang lucu cerita Abang Din itu. Sedang enak kami semua mentertawakan Aril, kelibatnya tiba-tiba muncul di tepiku. Aku lihat dahinya berkerut penuh tanda tanya. Mungkin dia tertanya-tanya. Apa yang kelakar sangat hingga kami beria-ia ketawa dan siapa yang kami ketawakan? Mungkin itu semua sedang berlegar di fikirannya.
“Apa yang lucu sangat?” Aril bertanya. Ketawaku terus berhenti.
Abang Din yang ternampak kelibatnya terus ketawa lagi. Entah apa yang buat dia tambah ketawa pun aku tak tahu. Mungkin kerana dia lihat pakaian Aril telah berganti baru.
“Ha? Tak ada apa-apalah. Perkara biasa aje. Eh, jomlah kita makan tengah hari. Dah lewat ni,” ajakku kepada mereka semua memandangkan dah lewat sangat. Tambah lagi aku tak tidur di sini. Nanti petang sikit kami terus balik ke rumah sana.
“Sidai cadar? Kenapa pulak?” Soal Abang Din mendadak. Mungkin pelik kerana aku baru sampai beberapa jam yang lalu terus basuh cadar.
“Tadi ada seorang gembala lembu tertidur kat atas katil Fiza. Habis satu cadar berbau. Sebab tulah Fiza basuh,” jawabku berkias.
Abang Din melambakkan ketawanya sekali lagi.
Hadoi, Abang Din ni! Nak ketawa pun agak-agaklah. Aku perasan, muka Aril sudah bertukar warna. Mungkin dia tidak senang dengan ketawa Abang Din dan penjelasanku itu. Tak mahu berlama-lama di situ, aku terus ke ruang belakang. Nanti kalau lama-lama, macam-macam cerita yang keluar pula. Dan ada pula yang menjeruk rasa.

SEPANJANG perjalanan balik, dia membisu. Aku juga turut ikut senyap. Tak ada modal nak berborak. Sampai di pekarangan rumah, dia masih lagi membisu. Buat aku bertambah pelik. Hatiku digaru dengan persoalan. Kenapa pula dengan Aril ni? Tak sihat ke?
Kereta dia parkir elok di dalam garaj. Hanya kereta dia sahaja di situ. Keretaku masih lagi tak keluar wad, masih dirawat di bengkel. Entah bila siap pun aku tak tahu. Enjin dimatikan dan dia melangkah keluar dari perut kereta. Aku yang duduk di kerusi sebelah langsung dia tak hiraukan. Aduh, dia tengah lancar perang dingin ke? Walaweh! Aku tak pernah ada orang merajuk dengan aku. Nak pujuk macam mana ni? Gelabah pula aku rasa. Tanpa perlu menunggu dia mempelawa turun, aku dengan sendirinya menolak pintu kereta dan melangkah keluar.
Aku menapak ke arah tangga. Dia awal-awal lagi mendahuluiku. Haih, macam-macam angin orang ni. Nak suruh aku pujuklah tu. Hi… sorry banyak-banyak. Aku tak pandai nak pujuk orang. Menonong aku masuk ke dalam rumah. Ketika aku melintasi ruang tamu, aku tak nampak pula dia di situ. Dah masuk dalam bilik dia kut. Sebaik melangkah masuk ke dalam bilik, komputer riba adalah benda pertama yang aku cari.
Peluang yang ada terus aku gunakan untuk mengakses Internet sekejap. Laman YM aku buka. Baru sahaja aku daftar masuk, terus masuk mesej daripada M_Syazril.

M_Syazril: Assalamualaikum. Duk buat apa tu? Sibuk tak?
Sya_Khira: Waalaikumussalam. Tak ada buat apa pun. Baru balik dari rumah mak. Awak apa khabar kat sana?
M_Syazril: Alhamdulillah. Saya sihat seadanya di sini. Banyak ke dapat daging?
Sya_Khira: Bolehlah sikit-sikit. Macam mana perayaan hari raya haji kat sana?

Aku nak tahu juga macam mana sambutan hari raya haji di perantauan. Rasanya tak semeriah di sini.

M_Syazril: Kat sini sambutan tak semeriah di negara kita. Di sini serupa macam tak raya aje sebab tak ada cuti khas dan kami anak perantauan bekerja macam biasa. Cuma adalah kat Malaysia Hall buat majlis korban kecil-kecil. Taklah terasa sangat bila duduk jauh daripada keluarga ni. Jadi, awak macam mana kat sana? Dah okey dengan cik abang sayang? Hehehe.

Sama seperti apa yang aku agak. Cik abang sayang? Yark! Terasa tak tertelan air liurku. Apa kes cik abang sayang pula ni. Tak sampai dua hari berbaik, dah perang balik. Hatiku terasa meronta-ronta untuk memberitahu kepadanya.

Sya_Khira: Hmm… okey kut.
M_Syazril: Okey kut? Lain macam aje saya tengok. Ada masalah ke?
Sya_Khira: Awak nampak saya? Macam mana awak nampak saya? Kita tak pernah pun jumpa sebelum ni.

Sengaja aku menyakat dia. Lagi satu, aku sengaja nak lari daripada menjawab soalannya itu. Lama dia terdiam.

M_Syazril: Bukan macam tu. Maksud saya, cara awak tulis perkataan okey kut tu pelik aje saya tengok. Macam orang ada masalah. Awak ada masalah ke?
Sya_Khira: Eh, tak ada apa-apalah. Okeylah, saya nak keluar dulu. Assalamualaikum.

Pantas aku klik daftar keluar. Rasa tak selesa pula jika terus berlama-lama melayan dia. Aku takut aku tak dapat menahan diriku daripada bercerita benda yang tak sepatutnya dia tahu kerana dia orang luar. Dengan emak aku pun aku tak cakap, inikan pula aku nak beritahu orang yang masih aku tak kenal batang hidungnya.
Kemudian, laman Facebook milikku dibuka. Kumpulan re-union yang Farah tubuhkan aku buka. Ramai betul yang berbicara tentang re-union yang akan berlangsung esok. Hah? Esok? Terbeliak mataku memandang tarikh yang tertulis dalam kumpulan itu. Allah, macam mana aku boleh terlupa ni! Nasib baik hatiku tergerak untuk membuka laman kumpulan itu. Kalau tak memang sampai esok pun aku masih berlagak bagai tak ada apa yang berlaku.
Aku risik-risik juga kepada Farah, apa aktiviti yang akan dia adakan dalam majlis itu. Namun, dia mengambil langkah mengunci mulut. Yang pasti surprise, katanya. Sebelum menamatkan perbualan, aku sempat mengarah Farah menjemputku kerana keretaku masih di bengkel. Patah kaki aku kalau lama-lama macam ini. Payah betul kalau tak ada kereta.
Aku memang beria-ia sangat nak pergi majlis re-union tu. Tapi aku tak cakap lagi kepada bos besar itu. Nak ke mana-mana kena repot kepada bos dulu. Dahlah majlis tu buat malam-malam. Hadoi! Macam mana nak cakap kalau dia duk lancar perang dingin? Kepalaku ligat berfikir, mencari jalan supaya dapat ke majlis itu. Sedang berfikir, mataku tertangkap pada tingkap bilik. Gelap. Dah gelap ke kat luar sana? Aku bangun. Tingkap aku buka. Memang gelap di luar. Hujan lagi. Macam manalah dengan majlis esok kalau hujan tak berhenti macam ini?
Mataku tertancap pada jam di pergelangan tangan. Dah 6.45 petang. Tak lama lagi dah masuk waktu maghrib. Nak masak juga ke malam ni? Pagi tadi dah makan nasi minyak di rumah mama. Tengah hari pula emak buat sup tulang. Sampai bertambah aku makan sebab dah lama tak makan sup tulang. Jadi, perut aku masih kenyang lagi.
Dalam berkira-kira sendiri, aku tak sedar sudah masuk waktu maghrib. Tanpa lengah, aku mencapai tuala dan berlalu ke bilik air. Sampai di depan bilik itu, aku menarik nafas perlahan sebelum pintu bilik aku ketuk perlahan. Tiga kali aku mengetuk tapi tak ada respons. Dia dah tidur ke? soalku. Malas berlama-lama, tombol pintu aku pulas dan pintu itu aku tolak perlahan-lahan. Mataku melilau memandang ke kiri dan ke kanan. Ternyata bilik itu kosong.
Bunyi deruan air yang datang dari bilik air memberi jawapan kepadaku. Dia sedang mandi rupanya. Walaupun bilik lelaki tapi susunannya sangat kemas. Kalah bilik aku masa bujang dulu. Tapi sekarang dah okey. Setelah menilik susun atur bilik itu, barulah aku perasan. Bilik Aril sudah berubah susunan perhiasan. Ada yang ditambah dan ada yang dibuang. Susunan bingkai gambar di atas meja kecil yang terletak di tepi katil menarik perhatianku. Tanganku terasa gatal mahu menyentuh bingkai gambar itu. Tapi belum pun sempat aku menyentuh bingkai itu, bunyi pintu ditolak membantutkan niatku.
Pantas aku memandang Aril yang sedang melangkah keluar dari bilik air. Mataku terpaku pada susuk tubuh yang terdedah itu. Tambah lagi dengan lilitan tuala di pinggangnya, buat aku rasa tak senang duduk. Dia hanya memandangku sekilas sebelum berlalu ke almari. Tiada riak yang terlukis pada wajah itu. Hmm… merajuk lagilah tu. Teruknya kalau orang tua merajuk, omel hatiku.
“Err… awak nak makan apa malam ni?” Soalan pertama yang keluar dari mulutku.
Dia senyap. Diam.
Dah bisu ke? Aku dahlah nak keluar cepat-cepat dari bilik ni. Melihat dia membentangkan sejadah tanpa mempedulikan soalanku, aku melangkah keluar dari bilik itu. Berasap juga kepala aku dengan sikap berangin dia. Kaki aku atur ke dapur. Tak payahlah masak yang berat-berat. Aku andaikan yang dia juga sudah kenyang. Jadi, aku bawa keluar kepingan daging burger di dalam peti dan kuali di dalam kabinet aku capai. Buat burger ajelah sebab aku nampak ada roti di tepi susunan pinggan mangkuk tadi. Sementara menanti daging burger masak, aku meracik halus sedikit saja dan lobak merah. Daun salad yang masih belum terusik lagi aku ambil sedikit. Timun aje yang tak ada. Tak sampai lima minit selepas itu, siap sebiji burger.
Burger itu aku letak kat atas sepiring pinggan dan aku masukkan ke dalam microwave. Biasanya kalau ada makanan yang tak habis, aku memang akan masukkan ke dalam microwave. Kalau terasa nak makan, senang nak panaskan. Kemudian, aku capai sekeping kertas yang sentiasa ada kat dapur tu. Aku tulis sedikit nota di atas kertas itu sebelum aku selitkan di bawah pintu bilik Aril. Kalau terasa nak makan, cari sendiri. Aku dah mengantuk, nak tidur. Suis lampu dapur aku tutup dan pintu bilik aku tolak. Katil seakan-akan sedang memanggil-manggil aku.

BUNYI deringan jam loceng daripada telefon bimbit mengejutkan aku. Terpisat-pisat aku terjaga daripada tidur. Malasnya nak bangun. Terasa tak puas lagi tidur. Terasa sekejap sangat masa yang berlalu. Terasa seperti ada yang sedang menghalangku. Pandanganku jatuh pada pinggangku. La.. patutlah tak boleh bangun. Dia rupanya. Entah bila dia masuk bilik aku pun tak tak tahu. Dalam merajuk-merajuk, malam-malam cari aku juga.
“Awak, bangunlah. Dah subuh ni,” ujarku mengejutkan dia.
Dan seperti biasa, dia memang liat bab-bab bangun tidur. Tak tahu aku nak buat macam mana lagi. Eh, tapi ada satu cara. Dulu aku dah pernah buat. Aku pandang wajahnya yang sedang enak dibuai lena. Sepasang mata itu terpejam rapat bagai tak mahu dibuka. Perlahan-lahan aku merapati tepi telinganya dan menjerit.
“Awak! Bangun!” Aku menjerit betul-betul di tepi telinganya. Hanya ini satu-satu cara mengejutkan dia daripada tidur. Dia kalau dah tidur macam orang mati.
Spontan pelukan di pinggangku terlerai dan dia bangun serta-merta. Secara tak sengaja, sewaktu dia bangun, kepalaku berlaga dengan kepalanya.
“Aduh!” Bibirku mengaduh. Ni kepala ke besi? Keras semacam aje, bisik hatiku.
Sebaik pelukannya terlerai, aku mengambil peluang untuk bangun dan berlalu ke bilik air selepas mencapai tuala. Bibirku tersungging seulas senyuman kemenangan manakala wajahnya cemberut macam orang tertelan biji durian. Marah barangkali.
Keluar dari bilik air, kelibat Aril sudah tak ada di dalam bilik aku. Dah balik ke bilik sendiri kut. Sejadah aku bentangkan dan telekung aku sarung ke tubuh. Kemudian, aku menunaikan solat subuh dengan khusyuk. Aku nak ke butik pagi ini sekejap sebab nak pergi bungkus barang-barang tempahan pelanggan yang perlu aku pos esok.
Aku melangkah ke dapur dengan rambut aku lepaskan begitu saja. Cepat sikit kering. Pertama sekali, pintu microwave aku buka. Nak tengok sama ada masih ada isi atau dah kosong. Kosong! Makan juga walaupun tengah merajuk. Aduhai, suami siapalah macam tu? Depan aku tunjuk muka tak sudah, belakang aku makan juga apa yang aku masak. Nasib baik hatiku tergerak untuk memasak sesuatu semalam. Kalau tak, kebulurlah dia.
Tiba-tiba mataku tertancap pada sebuku roti keping yang berada di atas peti. Roti? Nak buat apa dengan roti? Aha! Dah dapat idea! Peti sejuk aku buka kembali. Telur dan sosej aku bawa keluar. Sosej aku letak ke dalam singki supaya cepat lembut. Pencanai doh dan roti keping aku capai. Roti aku canai supaya menjadi kepingan yang nipis. Kemudian, sebatang sosej aku letak di atas roti dan digulung sebelum dicelup ke dalam telur yang telah aku pukul sedikit. Akhir sekali goreng di dalam minyak panas. Dah siap. Simple.
Roti yang telah siap digoreng aku susun di atas pinggan dan aku letak di atas meja makan. Kemudian, giliran air pula. Tanpa berfikir panjang, aku mencapai teko. Saat aku sedang mengacau air Milo, terasa ada sepasang tangan sedang melingkari pinggangku. Bahuku terasa dicucuk dagunya. Sesekali terasa ciumannya hinggap di tengkukku. Dah hilang rajuk ke? Semalam bukan main lagi merajuk bagai, tapi senyap-senyap masuk dalam bilik aku. Dalam merajuk pun nak peluk aku juga. Haih, Aril, Aril!
“Hmm… wanginya,” ujarnya sambil mencium rambutku.
“Selama ni tak wangi ke?” Laju mulutku menyoal. Gatal!
“Tak adalah.” Pipiku pula dia cium. “Awak nak ke mana ni?” soalnya kemudian.
“Lupa nak cakap. Saya nak ke butik sekejap. Saya nak bungkuskan semua tempahan pelanggan yang dah buat bayaran. Dah lama tertangguh sepanjang cuti raya ni. Boleh tak?”
“Hmm…” sahutnya. Dia sudah dibuai keasyikan. Soalan aku mesti tak dengar. Aku tolak perlahan wajahnya yang terasa bagai menggangguku. Mana tak mengganggunya kalau sekejap bibirnya mendarat di pipiku. Kemudian tengkukku pula yang manjadi sasaran.
“Boleh tak?” Aku mengulang soalan tadi. Aku bergerak sedikit, menjauh daripadanya. Mata bertentang mata.
“Boleh apa?” Sah, soalan aku tadi dia tak dengar.
“Boleh tak saya nak pergi ke butik pagi ni?”
“Kan masih cuti lagi? Kenapa awak nak ke butik? Pekerja awak tak cuti ke?” Macam berat saja nak lepaskan aku ke butik. Hadoi! Takkan nak berkepit 24 jam!
“Mereka memang cuti, tapi saya nak pergi uruskan tempahan pelanggan, bukannya nak buka butik,” jawabku satu per satu.
Dia melonggarkan pelukan. Dan aku mengambil peluang dengan melangkah ke meja makan sambil menatang talam berisi teko dan set cawan.
“Dan saya nak pinjam kereta boleh? Saya pergi sekejap saja,” soalku sambil meletak talam di atas meja makan. Nak tak nak terpaksalah aku meminjam kereta dia. Aku menuang air Milo ke dalam cawan sebelum dihulurkan kepada dia.
“Apa ni?” Seketul roti yang aku goreng tadi dia ambil dan pandang pelik.
“Roti sosej bersalut telur. Tak pernah makan ke?” Laju bibirku menyoal.
Dalam pelik-pelik, makan juga. Habis seketul, dia capai seketul lagi. Sedap kut. Aku berlalu ke bilik selepas itu. Membiarkan dia sarapan sendirian. Tudung ekspres corak bunga besar aku capai dan disarung ke kepala. Kemudian beg bimbit dan beg komputer riba aku sangkutkan pada bahu. Aku berlalu ke ruang makan semula.
“Kunci?” soalku meminta kunci kereta.
“Sekejap.” Dia terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Tidak lama kemudian dia muncul kembali dengan kunci kereta di tangan.
“Nah, bawa kereta hati-hati,” ujarnya   berserta pesanan.
“Okey,” jawabku sambil menyarung sandal Poloku.
Ketika aku ingin berlalu, dia tiba-tiba mencium pipiku. Aku terpanar. Wajahnya aku pandang pelik. Kenapa pulak ni? Namun dia hanya tersengih, bagai kerang busuk. Sempat lagi ambil kesempatan. Tanpa menghiraukan dia, aku berlalu ke arah kereta Audi A5 Sportback warna hitam yang sedang tersadai di dalam garaj.

MALAM yang ditunggu-tunggu tiba jua akhirnya. Majlis akan bermula pukul 8.00 malam. Aku hanya mengenakan sehelai jubah moden yang mempunyai bukaan bentuk A dan mempunyai sedikit perincian sulaman manik di leher dan hujung lengan. Bolehlah nak melawa sikit-sikit. Selendang panjang yang emak saudaraku hadiahkan selepas pulang mengerjakan haji tahun lepas aku lilit di kepala. Sangat sesuai tudung ini dengan jubahku.
Oleh kerana pada pagi tadi aku tak sempat memberitahunya yang aku perlu menghadiri majlis pada sebelah malam, terpaksa aku memberitahu Aril melalui SMS. Takut bila sampai di rumah nanti terlupa lagi. Dia memberikan persetujuan, tapi dengan syarat aku tak boleh balik jauh malam. Selesai saja majlis terus balik ke rumah. Haila… sayang betul cik abang sorang ni kat aku. Bertuah badan. Hehehe…
Farah telah berjanji untuk mengambilku di sini setelah aku memberitahunya yang keretaku sekarang ini masih di bengkel. Perlahan-lahan daun pintu aku tolak. Dengan beg kecil yang hanya berisi kad pengenalan, lesen dan telefon bimbit, aku melangkah menghampiri pintu utama. Mahu menjenguk sama ada Farah sudah sampai atau belum. Takut juga aku kalau tak tersedar dia dah sampai.
“Awak dah nak pergi ke?”
Suara Aril yang tiba-tiba menegur mengejutkan aku. Tersentak aku. Kepalaku laju berpusing, mencari arah suara itu. Mataku terpaku pada susuk tubuh yang sedang duduk di atas kerusi satu dudukan sambil memegang majalah perniagaan. Sejak bila dia ada di sini? Tak sedar pun aku. Entah-entah semasa aku berjalan menghampiri pintu utama, dia dah ada di situ. Aku saja tak perasan.
“Ha’ah, dah nak pergi dah,” jawabku sedikit tergagap-gagap. Rasa terkejut masih menguasai diri.
“Awak pergi dengan apa? Nak saya hantar?” soalnya sambil meletak majalah di atas meja kopi. Dia bangun dan perlahan-lahan merapatiku.
“Kawan saya nak datang ambil. Saya tengah tunggu dia ni,” jawabku sambil kepala tak sudah-sudah menjenguk ke luar melalui tingkap kecil.
“Kawan awak? Perempuan ke lelaki?”
Hadoi! Apasal pulak dia jadi polis pencen malam ni?
“Kalau saya cakap lelaki macam mana?” Sengaja aku mahu menduganya. Nak tengok juga apa reaksi dia. Dalam hati aku sudah memasang senyuman lebar.
“Lelaki? Awak telefon dia, cakap tak payah datang ambil. Saya hantar awak. Atau awak tak payah pergi langsung.” Keras nada Aril. Dia dah tunjuk kuasa veto dia.
“Apa ni?! Saya dah janji dengan dia, mana boleh cakap tak pergi last-last minute,” balasku. Serentak dengan itu bunyi hon kereta mengejutkan aku. Lantas, tanpa menghiraukan pandangan tajam sepasang mata itu, aku merapati almari kasut dan sepasang kasut baji setinggi tiga inci. Kasut itu aku sarung ke kaki.
“Kawan saya tu perempuan, tak payahlah awak risau. Kalau lelaki pun kenapa? Takkan cemburu kut…” Dugaku. Wajahnya aku pandang sekilas dengan senyuman memenuhi ruang bibirku.
“Siapa cemburu, saya tanya aje,” jawabnya bersahaja.
“Eleh, tak cemburulah sangat. Kalau tak, takkan duk tanya itu, tanya ini. Dahlah, saya dah lewat ni,” ujarku. Tangan kanan aku hulur ke arahnya.
Dia menyambut huluranku dan aku kucup tangan itu. Saat aku mahu melangkah menuju ke arah kereta Farah yang sedang setia menanti, bibirnya sempat singgah di pipiku.
“Hati-hati,” pesannya sebelum melepaskan aku pergi.

** berjuta lemon terima kasih saya ucapkan kepada semua readers yang x jemu2 menunggu novel ini diterbitkan... untuk tahu selanjutnya, bagaimana hubungan Aril dan Fiza boleh jadi sebaik ini, dapatkan novel KYKS ni di pasaran.. insya-Allah minggu depan dah masuk pasaran... nak beli dgn sy pun boleh.. tp sila PM di FB sy.. love u all so much... muuahhhss...:D


4 ulasan: