SIAP
memasak dan menghidang di atas meja, aku tercari-cari kelibat Aril. Mana pulak
mamat ni pergi? Di laman rumah tak ada, di ruang tamu juga tak ada. Ketika
mengintai di belakang rumah, aku lihat hanya Abang Din sahaja yang ada di situ
bersama kaki lembu yang dia baru bawa balik dari masjid. Di belakang pun tak
ada. Kat mana pulak dia ni? Nak kata keluar, kereta dia elok aje terparkir di
luar tu.
Aku menapak ke arah
tangga. Mahu menjenguk ke dalam bilikku pula. Pintu bilik yang sedikit renggang
aku tolak perlahan. Ya Allah, di sini rupanya dia. Puas aku melilau mencari
tapi alih-alih sedap-sedap dia berbaring atas katil. Aku merapati katil.
Punggung aku labuhkan di pinggir katil, betul-betul di sebelah Aril. Hidungku
kembang kuncup, tercium sesuatu yang busuk. Bau apa ni? Hamis dan hanyir!
“Awak, bangun,” panggilku,
mengejutkan dia daripada lenanya.
Tak ada reaksi. Dia ni
kalau bab tidur memang johan. Payah betul nak bangun, omelku dalam hati.
“Awak, bangunlah. Nak
makan tengah hari ke tak?” Bahunya aku tolak sedikit.
“Hmm… tak lapar,” jawabnya
dengan suara yang serak.
Tak lapar tak apa. Tapi
hidungku masih tercium bau yang kurang enak. Kembang kempis hidungku mencium
bau. Tergerak-gerak hidungku mencari punca bau itu. Makin dekat aku merapati
tubuh Aril, makin kuat bau itu.
“Bau apa ni? Hamis dan
hanyir! Awak buat apa tadi?”
“Memanglah ada bau,
saya tolong Abang Din tadi.” Selamba dia menjawab dengan mata yang masih
terpejam.
“Tolong apa?” soalku
laju. Hatiku sudah dapat mengagak kerana ada bau lembu.
“Tolong dia bersihkan
perut lembu.” Langsung tak ada riak bersalah semasa dia memberitahuku.
“What?!” Melengking suaraku mendengar jawapannya. “Bangun! Habis cadar
saya. Awak pergi mandi!” Arahku sambil menariknya supaya bangun. Seperti sedang
menyuruh budak berusia lima tahun supaya mandi pagi.
Bertuah sungguh! Dahlah
busuk-busuk, boleh pulak dia landing
atas katil aku. Siapa tak terbakar kalau macam ni. Ya Allah, kenapalah aku
dapat suami yang sebegini rupa? Kalau dah tahu tolong Abang Din bersihkan perut
lembu tadi, cepat-cepatlah mandi. Lepas tu, kalau nak baring sampai malam pun tak
ada orang nak bising. Ini tak, harum sangat baunya sampai naik loya tekak aku!
“Bangun!” jeritku di
tepi telinganya.
Spontan badannya tegak
bangun dari perbaringan. Kelakar juga aku tengok dia. Manalah tak kelakarnya
kalau kena jerit terus dia bangun mendadak. Dahlah tengah mamai lagi. Kalau tak
kerana aku serius sekarang ini, pasti aku dah bantai gelak.
“Cepatlah,” gesaku
selepas itu. Bingkas dia bangun dan turun dari katil. Tuala di dalam almari aku
bawa keluar dan dihulurkan kepadanya.
“Nah, pergi mandi,” arahku
kepada Aril yang masih diam membisu. Dengan langkah longlai, Aril menapak ke
dalam bilik air.
Sementara Aril selesai
mandi, aku menggumpal cadar dan sarung bantal yang telah berbau itu dan
diletakkan di tepi pintu bilik. Cadar baru dari dalam almari aku bawa keluar.
Siap memasang cadar, sekali lagi aku membuka almari. Baju Aril aku bawa keluar
dan bentangkan di atas katil. Hanya seluar jean dan baju kolar bulat. Baju dia ini
ada kat rumah emak kerana dia tertinggal semasa majlis kenduri kahwin kami
dahulu. Nasib baik juga ada baju spare
di sini. Tak payah dia pakai baju aku. Nak pinjam dengan Abang Din, saiz pula
tak sama.
Cadar kotor aku bawa
turun ke dapur. Aku menjenguk ke dalam mesin basuh. Kosong. Eloklah sangat.
Lantas, aku mencampak cadar dan pili air aku buka. Sementara menanti mesin
berhenti berputar, aku mendapatkan Kak Jiha dan Mia di ruang tamu.
“Kenapa dengan cadar
tu?” soal Kak Jiha.
“Aril kotorkan,”
jawabku.
“Aril kotorkan? Kena
apa sampai kotor?” Aduhlah, banyak pulak soalan cik kak sorang ni.
“Fiza tak tahu pun Abang
Din minta tolong dia. Masuk aje dalam bilik, Fiza dah berbau semacam. Puas Fiza
cari tapi tak jumpa. Bila Fiza tanya kat Aril, barulah dia mengaku. Rupanya dia
tolong Abang Din bersihkan perut lembu. Mana tak berbau satu bilik. Habis lekat
kat cadar. Tu yang Fiza basuh tu,” beritahuku satu per satu.
Tergelak Kak Jiha
mendengar ceritaku. Emak dan Abang Din yang baru masuk dari belakang rumah
turut ikut ketawa.
“Fiza, memang bandarlah
suami kamu tu. Abang suruh bersihkan kotoran kat perut lembu pun dia tak tahu.
Dahlah tu, sepanjang dia tolong abang, leher bajunya pasti akan menekup hidung.
Busuk sangat katanya.” Abang Din membuka cerita. Mengekek dia kerana ketawakan
Aril.
Aku juga turut ikut
ketawa. Memang lucu cerita Abang Din itu. Sedang enak kami semua mentertawakan
Aril, kelibatnya tiba-tiba muncul di tepiku. Aku lihat dahinya berkerut penuh
tanda tanya. Mungkin dia tertanya-tanya. Apa yang kelakar sangat hingga kami
beria-ia ketawa dan siapa yang kami ketawakan? Mungkin itu semua sedang
berlegar di fikirannya.
“Apa yang lucu sangat?”
Aril bertanya. Ketawaku terus berhenti.
Abang Din yang
ternampak kelibatnya terus ketawa lagi. Entah apa yang buat dia tambah ketawa
pun aku tak tahu. Mungkin kerana dia lihat pakaian Aril telah berganti baru.
“Ha? Tak ada
apa-apalah. Perkara biasa aje. Eh, jomlah kita makan tengah hari. Dah lewat ni,”
ajakku kepada mereka semua memandangkan dah lewat sangat. Tambah lagi aku tak
tidur di sini. Nanti petang sikit kami terus balik ke rumah sana.
“Sidai cadar? Kenapa
pulak?” Soal Abang Din mendadak. Mungkin pelik kerana aku baru sampai beberapa
jam yang lalu terus basuh cadar.
“Tadi ada seorang
gembala lembu tertidur kat atas katil Fiza. Habis satu cadar berbau. Sebab
tulah Fiza basuh,” jawabku berkias.
Abang Din melambakkan
ketawanya sekali lagi.
Hadoi, Abang Din ni!
Nak ketawa pun agak-agaklah. Aku perasan, muka Aril sudah bertukar warna.
Mungkin dia tidak senang dengan ketawa Abang Din dan penjelasanku itu. Tak mahu
berlama-lama di situ, aku terus ke ruang belakang. Nanti kalau lama-lama,
macam-macam cerita yang keluar pula. Dan ada pula yang menjeruk rasa.
SEPANJANG
perjalanan balik, dia membisu. Aku juga turut ikut senyap. Tak ada modal nak
berborak. Sampai di pekarangan rumah, dia masih lagi membisu. Buat aku
bertambah pelik. Hatiku digaru dengan persoalan. Kenapa pula dengan Aril ni?
Tak sihat ke?
Kereta dia parkir elok
di dalam garaj. Hanya kereta dia sahaja di situ. Keretaku masih lagi tak keluar
wad, masih dirawat di bengkel. Entah bila siap pun aku tak tahu. Enjin
dimatikan dan dia melangkah keluar dari perut kereta. Aku yang duduk di kerusi
sebelah langsung dia tak hiraukan. Aduh, dia tengah lancar perang dingin ke?
Walaweh! Aku tak pernah ada orang merajuk dengan aku. Nak pujuk macam mana ni?
Gelabah pula aku rasa. Tanpa perlu menunggu dia mempelawa turun, aku dengan
sendirinya menolak pintu kereta dan melangkah keluar.
Aku menapak ke arah
tangga. Dia awal-awal lagi mendahuluiku. Haih, macam-macam angin orang ni. Nak
suruh aku pujuklah tu. Hi… sorry
banyak-banyak. Aku tak pandai nak pujuk orang. Menonong aku masuk ke dalam
rumah. Ketika aku melintasi ruang tamu, aku tak nampak pula dia di situ. Dah
masuk dalam bilik dia kut. Sebaik melangkah masuk ke dalam bilik, komputer riba
adalah benda pertama yang aku cari.
Peluang yang ada terus
aku gunakan untuk mengakses Internet sekejap. Laman YM aku buka. Baru sahaja
aku daftar masuk, terus masuk mesej daripada M_Syazril.
M_Syazril:
Assalamualaikum. Duk buat apa tu? Sibuk tak?
Sya_Khira:
Waalaikumussalam. Tak ada buat apa pun. Baru balik dari rumah mak. Awak apa
khabar kat sana?
M_Syazril:
Alhamdulillah. Saya sihat seadanya di sini. Banyak ke dapat daging?
Sya_Khira:
Bolehlah sikit-sikit. Macam mana perayaan hari raya haji kat sana?
Aku nak tahu juga macam
mana sambutan hari raya haji di perantauan. Rasanya tak semeriah di sini.
M_Syazril:
Kat sini sambutan tak semeriah di negara kita. Di sini serupa macam tak raya
aje sebab tak ada cuti khas dan kami anak perantauan bekerja macam biasa. Cuma
adalah kat Malaysia Hall buat majlis korban kecil-kecil. Taklah terasa sangat
bila duduk jauh daripada keluarga ni. Jadi, awak macam mana kat sana? Dah okey
dengan cik abang sayang? Hehehe.
Sama seperti apa yang
aku agak. Cik abang sayang? Yark! Terasa tak tertelan air liurku. Apa kes cik
abang sayang pula ni. Tak sampai dua hari berbaik, dah perang balik. Hatiku
terasa meronta-ronta untuk memberitahu kepadanya.
Sya_Khira:
Hmm… okey kut.
M_Syazril:
Okey kut? Lain macam aje saya tengok. Ada masalah ke?
Sya_Khira:
Awak nampak saya? Macam mana awak nampak saya? Kita tak pernah pun jumpa
sebelum ni.
Sengaja aku menyakat
dia. Lagi satu, aku sengaja nak lari daripada menjawab soalannya itu. Lama dia
terdiam.
M_Syazril:
Bukan macam tu. Maksud saya, cara awak tulis perkataan okey kut tu pelik aje
saya tengok. Macam orang ada masalah. Awak ada masalah ke?
Sya_Khira:
Eh, tak ada apa-apalah. Okeylah, saya nak keluar dulu. Assalamualaikum.
Pantas aku klik daftar
keluar. Rasa tak selesa pula jika terus berlama-lama melayan dia. Aku takut aku
tak dapat menahan diriku daripada bercerita benda yang tak sepatutnya dia tahu
kerana dia orang luar. Dengan emak aku pun aku tak cakap, inikan pula aku nak beritahu
orang yang masih aku tak kenal batang hidungnya.
Kemudian, laman
Facebook milikku dibuka. Kumpulan re-union
yang Farah tubuhkan aku buka. Ramai betul yang berbicara tentang re-union yang akan berlangsung esok.
Hah? Esok? Terbeliak mataku memandang tarikh yang tertulis dalam kumpulan itu.
Allah, macam mana aku boleh terlupa ni! Nasib baik hatiku tergerak untuk
membuka laman kumpulan itu. Kalau tak memang sampai esok pun aku masih berlagak
bagai tak ada apa yang berlaku.
Aku risik-risik juga kepada
Farah, apa aktiviti yang akan dia adakan dalam majlis itu. Namun, dia mengambil
langkah mengunci mulut. Yang pasti surprise,
katanya. Sebelum menamatkan perbualan, aku sempat mengarah Farah menjemputku
kerana keretaku masih di bengkel. Patah kaki aku kalau lama-lama macam ini.
Payah betul kalau tak ada kereta.
Aku memang beria-ia
sangat nak pergi majlis re-union tu. Tapi
aku tak cakap lagi kepada bos besar itu. Nak ke mana-mana kena repot kepada bos
dulu. Dahlah majlis tu buat malam-malam. Hadoi! Macam mana nak cakap kalau dia
duk lancar perang dingin? Kepalaku ligat berfikir, mencari jalan supaya dapat
ke majlis itu. Sedang berfikir, mataku tertangkap pada tingkap bilik. Gelap.
Dah gelap ke kat luar sana? Aku bangun. Tingkap aku buka. Memang gelap di luar.
Hujan lagi. Macam manalah dengan majlis esok kalau hujan tak berhenti macam ini?
Mataku tertancap pada
jam di pergelangan tangan. Dah 6.45 petang. Tak lama lagi dah masuk waktu
maghrib. Nak masak juga ke malam ni? Pagi tadi dah makan nasi minyak di rumah
mama. Tengah hari pula emak buat sup tulang. Sampai bertambah aku makan sebab
dah lama tak makan sup tulang. Jadi, perut aku masih kenyang lagi.
Dalam berkira-kira
sendiri, aku tak sedar sudah masuk waktu maghrib. Tanpa lengah, aku mencapai
tuala dan berlalu ke bilik air. Sampai di depan bilik itu, aku menarik nafas
perlahan sebelum pintu bilik aku ketuk perlahan. Tiga kali aku mengetuk tapi
tak ada respons. Dia dah tidur ke? soalku. Malas berlama-lama, tombol pintu aku
pulas dan pintu itu aku tolak perlahan-lahan. Mataku melilau memandang ke kiri
dan ke kanan. Ternyata bilik itu kosong.
Bunyi deruan air yang
datang dari bilik air memberi jawapan kepadaku. Dia sedang mandi rupanya.
Walaupun bilik lelaki tapi susunannya sangat kemas. Kalah bilik aku masa bujang
dulu. Tapi sekarang dah okey. Setelah menilik susun atur bilik itu, barulah aku
perasan. Bilik Aril sudah berubah susunan perhiasan. Ada yang ditambah dan ada
yang dibuang. Susunan bingkai gambar di atas meja kecil yang terletak di tepi
katil menarik perhatianku. Tanganku terasa gatal mahu menyentuh bingkai gambar
itu. Tapi belum pun sempat aku menyentuh bingkai itu, bunyi pintu ditolak
membantutkan niatku.
Pantas aku memandang
Aril yang sedang melangkah keluar dari bilik air. Mataku terpaku pada susuk
tubuh yang terdedah itu. Tambah lagi dengan lilitan tuala di pinggangnya, buat
aku rasa tak senang duduk. Dia hanya memandangku sekilas sebelum berlalu ke
almari. Tiada riak yang terlukis pada wajah itu. Hmm… merajuk lagilah tu.
Teruknya kalau orang tua merajuk, omel hatiku.
“Err… awak nak makan
apa malam ni?” Soalan pertama yang keluar dari mulutku.
Dia senyap. Diam.
Dah bisu ke? Aku dahlah
nak keluar cepat-cepat dari bilik ni. Melihat dia membentangkan sejadah tanpa
mempedulikan soalanku, aku melangkah keluar dari bilik itu. Berasap juga kepala
aku dengan sikap berangin dia. Kaki aku atur ke dapur. Tak payahlah masak yang
berat-berat. Aku andaikan yang dia juga sudah kenyang. Jadi, aku bawa keluar
kepingan daging burger di dalam peti dan kuali di dalam kabinet aku capai. Buat
burger ajelah sebab aku nampak ada roti di tepi susunan pinggan mangkuk tadi.
Sementara menanti daging burger masak, aku meracik halus sedikit saja dan lobak
merah. Daun salad yang masih belum terusik lagi aku ambil sedikit. Timun aje
yang tak ada. Tak sampai lima minit selepas itu, siap sebiji burger.
Burger itu aku letak
kat atas sepiring pinggan dan aku masukkan ke dalam microwave. Biasanya kalau ada makanan yang tak habis, aku memang
akan masukkan ke dalam microwave.
Kalau terasa nak makan, senang nak panaskan. Kemudian, aku capai sekeping
kertas yang sentiasa ada kat dapur tu. Aku tulis sedikit nota di atas kertas
itu sebelum aku selitkan di bawah pintu bilik Aril. Kalau terasa nak makan,
cari sendiri. Aku dah mengantuk, nak tidur. Suis lampu dapur aku tutup dan
pintu bilik aku tolak. Katil seakan-akan sedang memanggil-manggil aku.
BUNYI
deringan jam loceng daripada telefon bimbit mengejutkan aku. Terpisat-pisat aku
terjaga daripada tidur. Malasnya nak bangun. Terasa tak puas lagi tidur. Terasa
sekejap sangat masa yang berlalu. Terasa seperti ada yang sedang menghalangku.
Pandanganku jatuh pada pinggangku. La.. patutlah tak boleh bangun. Dia rupanya.
Entah bila dia masuk bilik aku pun tak tak tahu. Dalam merajuk-merajuk,
malam-malam cari aku juga.
“Awak, bangunlah. Dah
subuh ni,” ujarku mengejutkan dia.
Dan seperti biasa, dia
memang liat bab-bab bangun tidur. Tak tahu aku nak buat macam mana lagi. Eh,
tapi ada satu cara. Dulu aku dah pernah buat. Aku pandang wajahnya yang sedang
enak dibuai lena. Sepasang mata itu terpejam rapat bagai tak mahu dibuka.
Perlahan-lahan aku merapati tepi telinganya dan menjerit.
“Awak! Bangun!” Aku
menjerit betul-betul di tepi telinganya. Hanya ini satu-satu cara mengejutkan
dia daripada tidur. Dia kalau dah tidur macam orang mati.
Spontan pelukan di
pinggangku terlerai dan dia bangun serta-merta. Secara tak sengaja, sewaktu dia
bangun, kepalaku berlaga dengan kepalanya.
“Aduh!” Bibirku
mengaduh. Ni kepala ke besi? Keras semacam aje, bisik hatiku.
Sebaik pelukannya
terlerai, aku mengambil peluang untuk bangun dan berlalu ke bilik air selepas
mencapai tuala. Bibirku tersungging seulas senyuman kemenangan manakala
wajahnya cemberut macam orang tertelan biji durian. Marah barangkali.
Keluar dari bilik air,
kelibat Aril sudah tak ada di dalam bilik aku. Dah balik ke bilik sendiri kut. Sejadah
aku bentangkan dan telekung aku sarung ke tubuh. Kemudian, aku menunaikan solat
subuh dengan khusyuk. Aku nak ke butik pagi ini sekejap sebab nak pergi bungkus
barang-barang tempahan pelanggan yang perlu aku pos esok.
Aku melangkah ke dapur
dengan rambut aku lepaskan begitu saja. Cepat sikit kering. Pertama sekali,
pintu microwave aku buka. Nak tengok
sama ada masih ada isi atau dah kosong. Kosong! Makan juga walaupun tengah
merajuk. Aduhai, suami siapalah macam tu? Depan aku tunjuk muka tak sudah,
belakang aku makan juga apa yang aku masak. Nasib baik hatiku tergerak untuk
memasak sesuatu semalam. Kalau tak, kebulurlah dia.
Tiba-tiba mataku
tertancap pada sebuku roti keping yang berada di atas peti. Roti? Nak buat apa
dengan roti? Aha! Dah dapat idea! Peti sejuk aku buka kembali. Telur dan sosej
aku bawa keluar. Sosej aku letak ke dalam singki supaya cepat lembut. Pencanai
doh dan roti keping aku capai. Roti aku canai supaya menjadi kepingan yang
nipis. Kemudian, sebatang sosej aku letak di atas roti dan digulung sebelum
dicelup ke dalam telur yang telah aku pukul sedikit. Akhir sekali goreng di
dalam minyak panas. Dah siap. Simple.
Roti yang telah siap
digoreng aku susun di atas pinggan dan aku letak di atas meja makan. Kemudian,
giliran air pula. Tanpa berfikir panjang, aku mencapai teko. Saat aku sedang
mengacau air Milo, terasa ada sepasang tangan sedang melingkari pinggangku.
Bahuku terasa dicucuk dagunya. Sesekali terasa ciumannya hinggap di tengkukku. Dah
hilang rajuk ke? Semalam bukan main lagi merajuk bagai, tapi senyap-senyap
masuk dalam bilik aku. Dalam merajuk pun nak peluk aku juga. Haih, Aril, Aril!
“Hmm… wanginya,”
ujarnya sambil mencium rambutku.
“Selama ni tak wangi
ke?” Laju mulutku menyoal. Gatal!
“Tak adalah.” Pipiku
pula dia cium. “Awak nak ke mana ni?” soalnya kemudian.
“Lupa nak cakap. Saya
nak ke butik sekejap. Saya nak bungkuskan semua tempahan pelanggan yang dah
buat bayaran. Dah lama tertangguh sepanjang cuti raya ni. Boleh tak?”
“Hmm…” sahutnya. Dia
sudah dibuai keasyikan. Soalan aku mesti tak dengar. Aku tolak perlahan
wajahnya yang terasa bagai menggangguku. Mana tak mengganggunya kalau sekejap
bibirnya mendarat di pipiku. Kemudian tengkukku pula yang manjadi sasaran.
“Boleh tak?” Aku mengulang
soalan tadi. Aku bergerak sedikit, menjauh daripadanya. Mata bertentang mata.
“Boleh apa?” Sah,
soalan aku tadi dia tak dengar.
“Boleh tak saya nak
pergi ke butik pagi ni?”
“Kan masih cuti lagi?
Kenapa awak nak ke butik? Pekerja awak tak cuti ke?” Macam berat saja nak
lepaskan aku ke butik. Hadoi! Takkan nak berkepit 24 jam!
“Mereka memang cuti,
tapi saya nak pergi uruskan tempahan pelanggan, bukannya nak buka butik,” jawabku
satu per satu.
Dia melonggarkan pelukan.
Dan aku mengambil peluang dengan melangkah ke meja makan sambil menatang talam
berisi teko dan set cawan.
“Dan saya nak pinjam
kereta boleh? Saya pergi sekejap saja,” soalku sambil meletak talam di atas
meja makan. Nak tak nak terpaksalah aku meminjam kereta dia. Aku menuang air Milo
ke dalam cawan sebelum dihulurkan kepada dia.
“Apa ni?” Seketul roti
yang aku goreng tadi dia ambil dan pandang pelik.
“Roti sosej bersalut
telur. Tak pernah makan ke?” Laju bibirku menyoal.
Dalam pelik-pelik,
makan juga. Habis seketul, dia capai seketul lagi. Sedap kut. Aku berlalu ke
bilik selepas itu. Membiarkan dia sarapan sendirian. Tudung ekspres corak bunga
besar aku capai dan disarung ke kepala. Kemudian beg bimbit dan beg komputer
riba aku sangkutkan pada bahu. Aku berlalu ke ruang makan semula.
“Kunci?” soalku meminta
kunci kereta.
“Sekejap.” Dia terus
melangkah masuk ke dalam biliknya. Tidak lama kemudian dia muncul kembali
dengan kunci kereta di tangan.
“Nah, bawa kereta
hati-hati,” ujarnya berserta pesanan.
“Okey,” jawabku sambil
menyarung sandal Poloku.
Ketika aku ingin
berlalu, dia tiba-tiba mencium pipiku. Aku terpanar. Wajahnya aku pandang
pelik. Kenapa pulak ni? Namun dia hanya tersengih, bagai kerang busuk. Sempat
lagi ambil kesempatan. Tanpa menghiraukan dia, aku berlalu ke arah kereta Audi
A5 Sportback warna hitam yang sedang tersadai di dalam garaj.
MALAM
yang ditunggu-tunggu tiba jua akhirnya. Majlis akan bermula pukul 8.00 malam.
Aku hanya mengenakan sehelai jubah moden yang mempunyai bukaan bentuk A dan
mempunyai sedikit perincian sulaman manik di leher dan hujung lengan. Bolehlah
nak melawa sikit-sikit. Selendang panjang yang emak saudaraku hadiahkan selepas
pulang mengerjakan haji tahun lepas aku lilit di kepala. Sangat sesuai tudung
ini dengan jubahku.
Oleh kerana pada pagi
tadi aku tak sempat memberitahunya yang aku perlu menghadiri majlis pada
sebelah malam, terpaksa aku memberitahu Aril melalui SMS. Takut bila sampai di
rumah nanti terlupa lagi. Dia memberikan persetujuan, tapi dengan syarat aku
tak boleh balik jauh malam. Selesai saja majlis terus balik ke rumah. Haila…
sayang betul cik abang sorang ni kat aku. Bertuah badan. Hehehe…
Farah telah berjanji
untuk mengambilku di sini setelah aku memberitahunya yang keretaku sekarang ini
masih di bengkel. Perlahan-lahan daun pintu aku tolak. Dengan beg kecil yang
hanya berisi kad pengenalan, lesen dan telefon bimbit, aku melangkah
menghampiri pintu utama. Mahu menjenguk sama ada Farah sudah sampai atau belum.
Takut juga aku kalau tak tersedar dia dah sampai.
“Awak dah nak pergi
ke?”
Suara Aril yang
tiba-tiba menegur mengejutkan aku. Tersentak aku. Kepalaku laju berpusing,
mencari arah suara itu. Mataku terpaku pada susuk tubuh yang sedang duduk di
atas kerusi satu dudukan sambil memegang majalah perniagaan. Sejak bila dia ada
di sini? Tak sedar pun aku. Entah-entah semasa aku berjalan menghampiri pintu
utama, dia dah ada di situ. Aku saja tak perasan.
“Ha’ah, dah nak pergi
dah,” jawabku sedikit tergagap-gagap. Rasa terkejut masih menguasai diri.
“Awak pergi dengan apa?
Nak saya hantar?” soalnya sambil meletak majalah di atas meja kopi. Dia bangun
dan perlahan-lahan merapatiku.
“Kawan saya nak datang
ambil. Saya tengah tunggu dia ni,” jawabku sambil kepala tak sudah-sudah
menjenguk ke luar melalui tingkap kecil.
“Kawan awak? Perempuan
ke lelaki?”
Hadoi! Apasal pulak dia
jadi polis pencen malam ni?
“Kalau saya cakap
lelaki macam mana?” Sengaja aku mahu menduganya. Nak tengok juga apa reaksi
dia. Dalam hati aku sudah memasang senyuman lebar.
“Lelaki? Awak telefon
dia, cakap tak payah datang ambil. Saya hantar awak. Atau awak tak payah pergi
langsung.” Keras nada Aril. Dia dah tunjuk kuasa veto dia.
“Apa ni?! Saya dah
janji dengan dia, mana boleh cakap tak pergi last-last minute,” balasku.
Serentak dengan itu bunyi hon kereta mengejutkan aku. Lantas, tanpa
menghiraukan pandangan tajam sepasang mata itu, aku merapati almari kasut dan
sepasang kasut baji setinggi tiga inci. Kasut itu aku sarung ke kaki.
“Kawan saya tu
perempuan, tak payahlah awak risau. Kalau lelaki pun kenapa? Takkan cemburu kut…”
Dugaku. Wajahnya aku pandang sekilas dengan senyuman memenuhi ruang bibirku.
“Siapa cemburu, saya
tanya aje,” jawabnya bersahaja.
“Eleh, tak cemburulah
sangat. Kalau tak, takkan duk tanya itu, tanya ini. Dahlah, saya dah lewat ni,”
ujarku. Tangan kanan aku hulur ke arahnya.
Dia menyambut huluranku
dan aku kucup tangan itu. Saat aku mahu melangkah menuju ke arah kereta Farah
yang sedang setia menanti, bibirnya sempat singgah di pipiku.
“Hati-hati,” pesannya
sebelum melepaskan aku pergi.
** berjuta lemon terima kasih saya ucapkan kepada semua readers yang x jemu2 menunggu novel ini diterbitkan... untuk tahu selanjutnya, bagaimana hubungan Aril dan Fiza boleh jadi sebaik ini, dapatkan novel KYKS ni di pasaran.. insya-Allah minggu depan dah masuk pasaran... nak beli dgn sy pun boleh.. tp sila PM di FB sy.. love u all so much... muuahhhss...:D
kiut.... tak saba nk beli nivel ni...heheheh
BalasPadamsabar.. hehehe
BalasPadamBila keluar pasaran?
BalasPadamInsya-Allah... Minggu depan masuk psaran..
BalasPadam