Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 21 Ogos 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB23

**salam.... n3 kembali selepas bbrp minggu berehat..... harap enjoy dgn n3 ni... tq...<3<3<3

***************************************************************

“MAK, ini Arlyssa, isteri along dan menantu emak.” Perlahan bibir Harith bersuara.

Menantu? Puan Hasnah cebik bibir kepada Arlyssa.

Harith pandang Arlyssa. Matanya menghantar isyarat, menyuruh Arlyssa menyalami Puan Hasnah. Dalam takut, Arlyssa cuba juga menghulur tangan. Tapi jelingan tajam yang Puan Hasnah hadiahkan. Tangan Arlyssa dia biarkan disapa angin lalu.

“Kamu berzina ke along sampai kena tangkap basah?” Pedas soalan Puan Hasnah. Walaupun tonnya sudah turun sedikit tetapi masih kedengaran keras dan tegas.

“Hasnah! Mulut awak tu boleh tak jangan laju sangat! Jaga sikit mulut awak. Jangan sampai anak-anak hilang hormat dengan awak!” Tegas Haji Ahmad menegur. Mencerlung matanya merenung Puan Hasnah.

Puan Hasnah terdiam. Nampaknya kata-kata Haji Ahmad mampu buat mulut Puan Hasnah membisu seribu bahasa.

“Ha, tahu pun diam. Harith, kamu mulakan cerita kamu sekali lagi. Balkish, kamu duduk. Tak payah nak berdiri macam tugu negara pulak kat situ.” Ujar Haji Ahmad selamba.

‘Aku pun kena jugak?’ Omel Balkish perlahan. Dia duduk di sebelah emaknya.

Dan Harith memulakan sekali lagi cerita yang telah dia persembahkan kepada Haji Ahmad tadi. Seperti video di Youtube yang boleh diulang tengok berapa kali pun. Arlyssa menunduk kerana tak berani bertentang mata dengan Puan Hasnah. Sinaran garang mata tua itu menggerunkannya.

Puan Hasnah diam hinggalah Harith habis bercerita. Sebaik selesai Harith bercerita, tiba-tiba Puan Hasnah angkat punggung dan masuk ke dalam biliknya. Harith dan Arlyssa tercengang dengan tingkah Puan Hasnah. Harith tak sangka emaknya akan bertindak begitu.

“Biarlah emak kamu tenang dulu. Dia masih terkejut tu.” Ujar Haji Ahmad sambil menepuk perlahan bahu Harith. Dia faham perasaan anak sulungnya itu.

“Balkish, mana barang-barang yang kamu beli tadi? Haih, ni lagi sorang. Kamu dah dengar tadikan, ni isteri along kamu. Jadi kamu panggillah kak long ye. Lys dengan Balkish pergilah ke dapur. Seeloknya memasak terus sebab mak kamu memang tak keluar bilik tu. Ayah nak ke kebun sekejap.” Sabit yang tersandar di dinding rumah dia capai dan berlalu ke beranda rumah.

“Ayah, saya ikut ayah,” tiba-tiba Harith bersuara.

“Hmm.. cepatlah,”

Harith menuruti langkah Haji Ahmad ke kebun. Manakala Balkish berlalu ke kereta ayahnya, dibawa keluar semua keperluan dapur yang dia borong tadi. Dan meninggalkan Arlyssa termanggu keseorangan di ruang tamu seherdana besar itu. Arlyssa tak tahu nak buat apa. Dia serba salah. Dahlah di rumah orang. Nak usik barang sesuka hati nanti kang ada yang marah. Situasi yang sudah keruh jangan ditambah, nanti jadi semakin keruh. Mau ribut nanti.

“Err.. Kak long, jom kita masak,” suara ajakkan dari Balkish mengejutkan Arlyssa. Habis terbang semua yang dia fikirkan.

“Err.. okey,” lantas dia bangun dan ke dapur.

“Err.. Balkish nak masak apa?”

Ikan, daging, ayam dan sayur-sayur terhidang di depan mata. Arlyssa sekarang dah sedikit berbeza dari Arlyssa yang dulu. Sekarang Arlyssa dah pandai masak walaupun tak sehandal chef kat TV atau seperti ibu mertuanya itu. Tapi insya-Allah dapat mengenyangkan perut-perut yang menjamah hidangannya nanti.

“Kish rasa nak singgang aje ikan tongkol ni. Kak long tahukan along suka makan budu. Moleklah tu, singgang lawan dengan budu. Ulam-ulam pun ada Kish beli tadi.” Tangkas tangan Balkish melakukan kerja-kerja menyiang ikan. Sangat tak kekok dia mengeluarkan perut ikan. Sedangkan Arlyssa sudah menutup hidung. Tambah lagi Balkish mahu hidangkan budu. Budu? Yark! Dia memang tak sukakan budu! Busuk! Dan kotor!

“Eh, lupa nak tanya. Kak long makan tak budu?” Soal Balkish sambil tangan ligat mencuci isi ikan.

“Err.. tak makan,”

“Oh,” Balkish sudah perasan tadi. Kakak ipar yang baru dia kenali ini berkemungkinan besar tak makan budu kerana Arlyssa bercakap menggunakan loghat KL.

“Err.. Apa yang akak boleh bantu Balkish?”

“Panggil Kish aje kak. Balkish tu panjang sangat,” tegur Balkish sambil ketawa perlahan. “Hmm.. kalau akak tak makan budu, Kish masakkan kari ikan merah ni nanti.” Nasib baik Balkish ada beli kepala ikan merah. Ada jugak lauk penyelamat.

So, apa yang akak boleh tolong?”

“Okey, akak tolong hiriskan halia, bawang putih, bawang merah, lengkuas dan kunyit ni. Lengkuas tu jangan banyak sangat ya kak,”

“Okey,”

Sambil ligat menyediakan bahan untuk memasak, sambil itu mulut Balkish sibuk bercerita itu ini kepada Arlyssa. Tentang Harithlah, tentang kampung mereka tulah. Tingkah Balkish menjadikan Arlyssa sangat-sangat selesa. Seperti tiada jurang antara mereka. Sementelah lagi Arlyssa tak pernah ada adik. Sikapnya jauh berbeza dari sikap Puan Hasnah yang sepertinya mudah naik angin.

Apabila jam menunjukkan pukul 1.00 tengah hari, kelibat Haji Ahmad dan Harith kelihatan di hadapan rumah lama itu. Tidak lama kemudian, azan zohor berkumandang dari masjid. Atas saranan Haji Ahmad, mereka menunaikan solat secara berjemaah dahulu sebelum terus menjamah makan tengah hari. Dan dari pagi membawa ke petang, Puan Hasnah tidak langsung menjenguk ke ruang dapur mahu pun ruang tamu. Sehinggalah Harith dan Arlyssa mahu balik, Puan Hasnah terus-terusan mengurungkan diri di dalam bilik. Marah benar orang tua itu nampaknya.

Tapi Arlyssa tak boleh nak buat apa. Sudah terang-terang Puan Hasnah memarahinya. Sudah terang-terang Puan Hasnah tak sukakan dia. Huh! Dia mengeluh perlahan. Wajah Harith yang sedang memandu di sebelah dia pandang. Arlyssa perasankan muka Harith yang keruh. Sudah hilang senyuman yang biasanya menghiasi bibir itu. Tiada lagi gurauan dari Harith. Hanya kebisuan yang menemani perjalanan mereka kembali ke rumah.


POHON kelapa yang meliuk lintuk ditiup angin Puan Hasnah pandang sepi. Bermacam perkara yang sedang berlegar di dalam kepalanya. Tentang janjinya dengan Hajah Karimah, kawan lamanya tika sama-sama sekolah dahulu. Mulutnya sudah riuh berjanji mahu menyatukan Harith dengan anak Hajah Karimah, Husna namanya. Cantik budak tu. Dia sudah merancang untuk memperkenalkan Harith dengan Husna hujung minggu ni. Tambahan pula hujung minggu ni Husna yang bertugas di Johor pulang bercuti.

Tapi apabila sudah terjadi begini, Puan Hasnah jadi malu. Kat mana dia nak letak muka ni? Apa jawapan yang akan diberikan kepada Hajah Karimah? Anak yang disangka bujang selama ini rupa-rupanya sudah menyandang gelaran suami orang. Bukannya baru sebulan dua tapi sudah enam tahun!

“Puas hati awak sekarang?! Saya tahulah budak tu ada buat salah tapi bukan macam ni cara nak hukum dia. Nak menegur, nak mengajar tu ada caranya. Bukannya main serang, main sergah macam tu. Kalau saya kat tempat Harith tu, saya tak bawa Lys tu ke mari. Sebabnya perangai awak tu. Baru nak cakap sikit dah kena sergah!” Berapi-api Haji Ahmad memuntahkan amarah yang mengejutkan Puan Hasnah. Habis terbang semua yang dia angankan.

Sikap isterinya yang naik angin tak kena tempat itu buat hati Haji Ahmad panas. Paling buat dia terkilan apabila Puan Hasnah terus mengurungkan diri walaupun tika Harith dan Arlyssa mahu berangkat pulang.

“Siapa tak marah kalau tiba-tiba bawa balik perempuan? Dah jadi isteri pulak tu! Mana saya nak letak muka ni? Nanti mesti orang kampung sibuk duk mengata. Masa tu kita nak marah pun dah tak ada guna abang oii!” Bidas Puan Hasnah tak mahu kalah. Malu dengan orang kampung hanya alasannya sahaja. Dia lebih malu dengan Hajah Karimah sebenarnya.

“Itu saja modal awak. Malu, malu, malu! Apa awak kisahkan mulut orang tu? Bila letih, senyaplah mereka. Lagi pun mereka tu bukannya tak kahwin lagi, mereka dah kahwin! Awak tak dengar ke apa yang along cakapkan siang tadi? Mereka dah enam tahun kahwin! Bukannya baru semalam mereka kena tangkap basah tapi perkara tu dah enam tahun berlalu. Perkara dah basi kalau orang kampung nak buat kecoh. Sebelum ni along tak ada kekasih, awak bising. Sibuk awak carikan anak kawan-kawan awak tu nak kenenkan dengan along. Sekarang, bila dia dah kahwin, awak bising jugak. Kahwin salah, tak kahwin salah. Apa sebenarnya masalah awak ni?” Haji Ahmad musykil. Cara Puan Hasnah menolak kehadiran Arlyssa di dalam keluarga mereka menimbulkan rasa pelik di hati Haji Ahmad.

“Masalah? Masalah apa pulak? Ah! Enam tahun ke enam hari ke, perkara ni masih lagi akan jadi bualan mulut orang kampung!” Puan Hasnah cuba menutup rasa gugup di hati. Nampak gaya suaminya seperti dapat menghidu rancangannya.

“Yang awak ni kenapa? Dari tadi duk sibukkan mulut orang kampung tu kenapa? Ke awak ni ada buat rancangan sendiri?” Haji Ahmad memasang perangkap. Rancangan di dalam kepala isterinya itu bukannya boleh guna pakai sangat.

“Rancangan? Rancangan apa pulak abang ni? Mengarut aje! Malaslah nak layan abang ni, baik saya ke dapur!” Lantas Puan Hasnah terus angkat punggung. Terasa panas punggung pulak berlama-lama di dalam bilik tu.

“Hai, lapar jugak awak ya. Saya ingatkan perut awak kenyang lepas sepanjang hari berkurung dalam bilik ni. Macam budak-budak!” Sindiran pedas Haji Ahmad menampan telinga Puan Hasnah.

“Err... Mak nak makan ke?” Balkish menegur Puan Hasnah. Dia ternampak kelibat emaknya di dapur. Dia sebenarnya mahu minum air kerana tekaknya terasa haus.

“Hmm.. kamu nak apa pulak? Mengintip mak ke?”

“Eh, taklah. Kish nak minum aje mak.” Mengintip? Alahai mak aku ni. Aku bukan budak-budak nak mengintip bagai. Ketawa Balkish hampir terburai tapi ditahan.

Akhirnya keluar jugak emak dari bilik. Senyuman tersungging di tepi bibir Balkish. Macam anak-anak ragam emaknya ni. Haih.

BALKISH termenung memandang kepekatan malam. Banyak rumah di sekitar kediaman keluarganya sudah bergelap. Sedangkan matanya masih segar-bugar. Nyanyian lagu dari telefon bimbitnya menyentakkan lamunan Balkish. Along. Nama itu yang terpapar di skrin.

“Assalamualaikum, along.”

“Wa’alaikumussalam. Eh, Kish tak tidur lagi ke?”

“Tak ngantuk, long. Hmm.. Ada apa along call malam-malam ni?” Balkish rebahkan badan di atas katil.

“Err.. mak okey ke?” Balkish dah agak, mesti Harith nak tanya tentang Puan Hasnah. Memang alongnya itu jenis anak yang susah nak buat emak dan ayah marah. Tapi bila jadi macam ni, Pun Hasnah betul-betul marah.

“Along janganlah kisahkan dengan mak tu. Angin mak memang macam tu. Nanti lama-lama okeylah angin dia tu. Along tak payahlah risau ya,” tenang Balkish menenangkan Harith. Angin emak mereka memang macam tu, jadi mereka sebagai anak-anak kena pandai-pandai faham.

“Huh!” lemah Harith mengeluh. “Along risaulah dengan mak tu. Dia nampak betul-betul marah tadi,” hatinya gusar.

“Along ni, macamlah tak kenal mak tu macam mana. Insya-Allah, tak ada apa-apa tu. Sekejap aje mak marah tu.”

“Hmm.. harap cepatlah sejuk mak tu,”

“Tak ada apalah long. Tak lama mak nak marah macam tu. Err.. kak long dah tidur ke long?” Tiba-tiba Balkish teringatkan kakak iparnya itu.

“Kak long? Err.. tak tidur lagi,” gugup Harith menjawab. Arlyssa ada dalam bilik, manalah dia tahu dah tidur ke belum. Sebabkan lampu masih menyala, jadi dia beranggapan Arlyssa belum tidur lagi. “Bila Kish balik semula ke U?”

“Lusa kot. Dah final exam kan,”

“Okey, good luck for your exam. Baca bismillah tu penting.” Sempat Harith menitipkan pesan.

“Iya long. Dahlah, orang dah ngantuk ni.”

“Yalah, yalah. Pergilah tidur. Assalamualaikum,”

Balkish menjawab salam dan talian terputus. Lama dia pandang skrin telefon. Hmm.. kesian along aku. Sampai bilalah masalah ni akan selesai. Mak tulah. Keras hati sangat!

2 ulasan:

  1. Kesian Harith dan Lyss...-_-#

    BalasPadam
  2. Nak buat mcm mna.. Nasib la dpt mak mcm ni.... Huhuhu

    BalasPadam