Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Khamis, 22 Disember 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB19

HUJAN gerimis sedang turun perlahan menyembah bumi. Suasana sejuk menguasai tengah malam yang gelap dan sunyi. Namun itu semua tidak menghalang Syazril daripada duduk di balkoni rumahnya. Dia hanya memandang hujan itu tanpa perasaan. Cuma dia berharap hujan itu dapat mengurangkan bebanan masalah yang dia tanggung walaupun dia sedar hujan tersebut tidak dapat berbuat apa-apa.
Matanya memang terarah pada hujan yang turun tapi fikirannya tidak di situ. Dibenaknya masih terngiang-ngiang setiap patah kata yang keluar dari ulas bibir mamanya ketika dia singgah di rumah keluarganya semalam. Dia terkejut sebenarnya apabila dia melangkah masuk saja ke ruang tamu, dia sudah nampak dulang hantaran bersusun di ruang itu. Dia benar-benar hairan kerana majlis perkahwinan yang mamanya yang rancang tidak akan dilangsungkan kerana pengantin perempuannya sudah lari. Tetapi susunan dulang ini semua untuk apa? Pantas dia mendapatkan mamanya, inginkan penjelasan.
“Mama, kenapa dulang hantaran ni disusun di sini? Majlis kahwin tu kan tak jadi.”
“Siapa pulak cakap majlis tu tak jadi? Majlis tu akan dilangsungkan jugak walaupun Cellicia tak ada.” Selamba Datin Sharida menjawab.
“Ma, biar betul? Siapa yang akan jadi pengantin perempuannya nanti? Menggantikan Cellicia?” tidak sabar Syazril menyoal. Suaranya sudah sedikit meninggi.
“Adalah tu. Nanti kamu tahulah.” Datin Sharida masih berselindung.
“Siapa, ma?” tekan Syazril.
Namun, Datin Sharida mengambil langkah berdiam diri. Malah, dia pura-pura menyibukkan diri dengan menguruskan isi hantaran yang sudah disusun elok di kaki sofa, cuma tidak diletakkan di atas dulang hantaran saja.
“Huh!” Syazril melepaskan geram apabila melihat mamanya senyap, tak mahu menjawab soalan yang diajukan. “Okey, kalau mama tak nak beritahu siapa yang akan jadi pengantin perempuan nanti, mama jangan terkejut kalau Aril tak datang ke majlis tu!” ugut Syazril kemudiannya. Hatinya jadi geram melihatkan mamanya membisu seribu bahasa.
Pucat Datin Sharida mendengar ugutan yang baru keluar dari mulut anak lelakinya itu. Pantas dia berpaling ke arah Syazril. Membulat matanya merenung Syazril. Terus dia meninggalkan kerjanya.
“Kamu jangan buat hal. Kalau kamu nak susah, kamu buatlah! Jangan ingat mama nak berdiam diri. Walau apa pun ugutan kamu, walau apa pun yang kamu nak kata, mama tak akan berganjak dari keputusan mama!” ujar Datin Sharida lantang.
“Okey, fine!” putus Syazril sebelum berlalu keluar dari rumah agam itu. Rimas pula jika berlama-lama di situ.
“Huh!” Syazril melepaskan keluhan keras sambil matanya memerhatikan hujan yang semakin menggila di luar sana.
Bunyi telefon bimbit yang minta diangkat mengejutkan Syazril yang sedang enak melayan perasaan. Namun sedikit pun dia tidak berganjak dari duduk di balkoni. Dia tidak punya hati untuk menjawab panggilan tersebut. Apatah lagi jika panggilan itu daripada mamanya. Akhirnya bunyi deringan telefon terhenti sendiri.

“KAU ni kenapa? Sejak akhir-akhir ni aku tengok kau muram aje, kenapa? Kau ada masalah ke?” Sham bertanya pada sahabat baiknya itu ketika mereka sedang lepak-lepak di Dataran Syahbandar. Tempat riadah yang paling terkenal di Terengganu ini antara tempat lepak yang menjadi pilihan mereka lepak-lepak pada masa senggang.
“Huh,” hanya keluhan yang keluar dari bibir Syazril.
“Kenapa mengeluh pulak? Macam orang putus asa aje kau ni. Mengeluh bagai.” tanya Sham lagi. Dia mendepakan tangannya di belakang kerusi yang sedang dia duduki itu. Matanya asyik memerhatikan orang ramai yang sedang lalu-lalang.
“Kau tahu tak, Cellicia dah melarikan diri. Entah ke mana dia menghilang pun aku tak tahu,” ucap Syazril malas.
“Hah? Cellicia lari? Wow, berita gembira tu. Tapi kenapa kau bermuram durja ni? Kan kau yang nak sangat majlis perkahwinan tu tak jadi, sekarang ni kenapa pulak kau muram aje ni?” Sham jadi pelik. Kata tak setuju dengan pilihan Datin Sharida. Tapi bila Cellicia menghilangkan diri, muram pulak.
“Memang aku tak nak majlis tu terjadi. Dan aku ingatkan mama aku akan batalkan majlis tu apabila Cellicia lari. Tapi kau tahu tak apa kata mama aku? Dia nak teruskan jugak majlis tu dan dia tak bagitahu pun kat aku siapa pengantin perempuannya. Ni yang buat aku tambah bengang. Mama aku ingat aku ni apa? Boneka? Yang boleh ikut semua kehendaknya tanpa perasaan, begitu?” Syazril melepaskan rasa hatinya.
Mengucap panjang Sham sejurus mendengarkan luahan hati Syazril. Tidak disangka sampai begitu jadinya masalah sahabat baiknya ini. Dia ingatkan apabila pengantin perempuan bertindak melarikan diri, maka majlis yang mama Syazril rancangkan tu akan terbatal secara automatik! Tapi mama si Syazril ni mahu juga meneruskan majlis tu walaupun pengantin perempuannya bertukar.
‘Entah anak siapa pulak yang jadi pilihan mamanya kali ni? Haih.’ Desis hati Sham.
“Dah tu, macam mana sekarang?” soal Sham.
“Macam mana apa? Macam tulah. Kalau ikut hati aku, tak nak aku hadir pada majlis tu. Biar mama aku malu. Rancangannya untuk menyatukan aku dengan pilihannya tak jadi. Biar padan muka mama aku! Baru dia tahu langit tu rendah ke tinggi. Puas hati aku!” lepas mulut Syazril berkata.
“Sanggup ke kau buat macam tu?” laju bibir Sham mengutarakan soalan. Tersungging senyuman sinis di bibir itu. Dia bertanya sebab dia kenal sangat dengan perangai dan sikap Syazril. Tidak mungkin Syazril akan buat seperti apa yang dia ucapkan.
Syazril diam. Membisu seribu bahasa. Terasa tersindir dengan kata-kata Sham. Tapi memang itu kenyataannya. Syazril jenis yang di mulut cakap lain tapi dalam hati sebenarnya tak sanggup. Di mulut saja dia berani tak nak teruskan perkahwinan yang mamanya aturkan. Sedangkan dalam hati, dia memang tak akan sanggup buat begitu. Kerana Syazril bukan seorang anak yang suka menghampakan harapan mamanya, apatah lagi menderhaka.
“Huh,” sekali lagi keluhan keluar dari ulas bibirnya.
“Hmm… mulut memanglah senang cakap tapi nak buat tu yang payah.” Ujar Sham kemudiannya. Tambah lagi lama temannya itu membisu. Tiada jawapan untuk soalannya itu. 

p/s: bab 19 dah ada.. jemput baca.. tp x panjang la.. hehehe... so mcm biasa, komen2 anda, sangat di alu-alukan... tq..:)

6 ulasan:

  1. BEST BILA NAK SAMBUNG LAGI

    BalasPadam
  2. best...
    xpendek pun,sedang2..huhuu
    cpt smbng

    BalasPadam
  3. ahaha... apa komen syazril bila tau sapa isteri dia. jgn la dia nk hina plak. besar pengorbanan dia tu demi maruah keluarga syazril n datin. hope syazril tak buat sesuatu yg akan dia sesal kemudian.

    BalasPadam
  4. komen Syazril?? hhmmm.. berangin jugak.. mcm la xde perempuan lain kat dunia ni..-itu katanya.. hehehehe.. utk seterusnya tunggu next n3..:)

    BalasPadam