Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 17 November 2014

CERITERA AKU & CINTA : BAB 4

AKU melepaskan lelah setelah balik berjoging. Dengan badan yang masih berpeluh, aku sandarkan belakang badan pada sofa. Fuh! Leganya. Tambah pula dengan deruan angin penghawa dingin. Nyamannya!
Haip! Apa ni. Badan berpeluh, suka-suka hati duduk atas sofa. Busuklah!”
Kak long yang entah datang dari mana tiba-tiba menepuk bahu aku yang tengah syok layan penghawa dingin.
“Kacaulah kak long,” aku merungut.
“Kacau tak kacau. Naik atas, pergi mandi.” Kak long mengeluarkan arahannya.
“Hmm…. Nantilah.” Aku siap pejamkan mata lagi. Hari ni aku cuti, makanya hari cuti perlu digunakan sebaik-baiknya. Sambung tidur pun best jugak ni. Aku memasang angan-angan di dalam hati.
“Eh…. tak adanya nanti-nanti. Sekarang!” Kak long sudah menjerit.
“Aduh kak long ni. Nak pekak telinga ni!” aku mengomel. Badan ditegakkan dan aku bangun. Tuala kecil yang tadinya melilit leher aku campak ke arah kak long. Nah! Ambik. Geram hati aku berbalas.
“Yaya!” kak long bertempik menahan geram. Manakala aku gelak kuat-kuat sambil berlari mendaki tangga ke bilik.
Mental kak long dapat adik macam aku! Hahaha…. Itulah aku. Kalau tak kenakan kak long tak sah. Dan kerana hal kecil, riuh satu rumah. Tambah riuh kalau Ashman ada sama. Adik beradik ada tiga orang je tapi lagak bila berkumpul macam ada tiga puluh adik-beradik. Meriah!

SUARA umi bising sedang membebel. Membebel kat siapa aku tak tahu. Sebabnya, bila aku keluar aje dari bilik air, baru lepas mandi ni ha, dah dengar suara umi.
“Membebel kat siapa pula umi ni?” aku menyoal diri sendiri sambil tangan ligat mengesat rambut yang basah dengan tuala.
Tuala aku sidai di rak dan sikat dari dalam laci aku capai. Usai menocang rambut seperti ekor kuda, aku buka pintu bilik. Niat di hati nak ke tingkat bawah. Sampai di tangga, telingaku masih menangkap suara umi. Seperti marah-marah. Aku tak tahu sebab apa. Aku amati setiap patah kata yang keluar dari ulas bibir umi.
“Sampai bila nak macam ni long? Kak long nak orang panggil kak long andartu ke? Cuba-cubalah cari jodoh kak long.” Kali ni suara umi rendah sedikit.
“Kak long cari jodoh? Perempuan cari lelaki?” kak long menyoal.
“Kenapa tidak? Zaman sekarang semuanya boleh kak long,”
“Tak naklah!”
“Kak long! Habis, takkan selamanya kak long nak macam ni?” Suara umi meninggi semula.
Aku jadi terpinga-pinga. Kakiku laju menuruni anak tangga. Sampai saja di ruang tamu, sudah tiada siapa di situ. Aku kepelikkan. Macam ribut! Tiba-tiba saja dah tak ada. Aku ke dapur kemudiannya. Makan pagi dulu. perut dah berdondang sayang ni!
Dalam masa yang sama, kepalaku asyik fikirkan pasal perbualan umi dan kak long tadi. Macam ada sesuatu aje yang berlaku. Dan topik umi menyuruh kak long bukanlah topik baru. Bagi aku ni, macam dah basi aje topik tu. Sebabnya, tiap kali umi dan kak long bertembung kat dalam rumah ni, mesti topik tu yang dibangkitkan.
Kahwin, kahwin, kahwin. Rasa macam dah letih aku dengat perkataan lima huruf tu. Tahulah umur kak long dah menghampiri 30, tapi umi tak boleh paksa kak long macam tu. Mungkin belum sampai jodoh kak long lagi. Jodoh tu kan dari Allah. Sampai sekarang topik ni tak habis lagi.
“Yaya,” bibik yang berusia lewat empat puluhan itu menegurku ketika aku melihat-lihat apa makanan yang terhidang di atas meja makan. Nasi lemak! Habislah peluh yang keluar pagi tadi. Sia-sia saja!
“Ya, bik.” Aku pandang bibik sekilas sebelum mencapai pinggan.
“Yaya ada dengar ibu sama mbak bertengkar tadi?”
“Dengar bik,”
“Bibik takut.”
“Tak payah takutlah, bik. Bukan tak biasa umi dengan kak long tu macam tu.” Selamba aku berkata sambil mengaup nasi lemak ke dalam pinggan. Aromanya, fuh! Betul-betul menggoda!
“Tapi…”
“Tak ada apalah bik. Sekejap aje tu umi dengan kak long macam tu. Baik bibik sambung buat kerja, ya.”
“Baiklah,” bibik berlalu ke ruang tamu, mahu mengemas barangkali. Sementara aku pula meneruskan misi melantak! Terukkan anak dara ni! Ada aku kisah? Hahaha….

GEDEGANG!
Aku terjaga dari tidur kerana bunyi itu. Aku kebingungan dan mamai. Apa hal pulak ni? Jiran sebelah rumah ke dalam rumah aku sendiri bunyi tu? Aku menyoal di dalam hati. Tangan laju aje menggaru kepala. Weng sekejap kepala ni aku rasa.
Suis lampu sebelah katil aku tekan. Mataku kabur-kabur memandang jam kecil sebelah lampu. 3.15 minit pagi! Awal lagi. Aku rebahkan kembali kepala di atas bantal dan mahu menyambung kembali lena yang terbantut itu. Tapi, tak sampai dua saat mata aku nak terlelap balik, suara riuh rendah pula kembali kedengaran. Bunyi macam orang bergaduh.
Ini tak boleh jadi. Lalu aku bangun dan tombol pintu pantas aku pulas. Kaki laju melangkah ke arah tangga. Ruang di tingkat bawah yang biasanya gelap-gelita waktu-waktu macam ni, terang benderang. Suara umi yang marah-marah makin menampan telinga aku. Kakiku terhenti di anak tangga terakhir.
“Susah-susah sangat, biar umi kahwinkan saja kak long dengan anak kawan umi. Senang cerita.” Suara umi kedengaran masih marah-marah.
“Tak nak!” suara kak long pula meninggi. Pertama kali aku dengar kak long meninggikan suara begitu dengan umi.
“Habis tu, sampai bila nak macam ni? Umi malu dengan kawan-kawan umi. Anak-anak mereka yang sebaya kamu dah ada anak, tapi kamu? Masih macam ni. Tahu bawa haluan sendiri saja. Umi naik malu bila orang cop anak umi sebagai andartu!” Suara umi tak kurang tingginya.
Dua-dua sedang dikuasai amarah dan aku hanya mendengar. Nak mencelah terasa tak sesuai pula. Nanti dikatakan menyibuk pula. Tiba-tiba ayah menuruni tangga. Pandangan aku dan ayah bertembung pandang seketika. Kemudian aku larikan mata.
“Suhana, kak long. Apa bising-bising ni? Tak malu ke jiran-jiran dengar kau orang bertekak pagi-pagi buta ni?” Ayah cuba menenangkan dua beranak itu.
“Abang, cuba nasihatkan anak abang ni. Kenapa payah sangat nak dengar cakap saya? saya suruh buat benda baik. Bukannya saya suruh pergi mencuri atau bunuh orang!”
“Sabar, Su. Bercakap guna akal, bukan hati.” Kata-kata ayah tertuju kepada umi.
Tiba-tiba kak long meluru ke arah tangga. Sempat bertembung dengan aku yang masih berdiri di anak tangga terakhir itu. Aku lihat muka kak long seperti mahu menangis. Aku tak tahu nak kata apa. Hanya mampu memandang. Kak long terus berlari mendaki tangga. Kemudian umi pula muncul dengan ayah. Muka umi aku tak tahu nak cakap macam mana. muka orang tengah marah dan bengang.
“Masuk tidur, Yaya.” Ayah suruh aku sambung tidur sedangkan mata aku dah tak mengantuk sebabkan drama sebabak tadi.
Selepas kelibat umi dan ayah menghilang di dalam bilik mereka, aku mendaki anak tangga ke tingkat atas. Niat hati mahu ke bilik tapi kakiku terhala ke arah bilik kak long. Pintu bilik itu tak tertutup rapat. Dari celah daun pintu aku lihat kak long duduk di atas katil dan… kak long menangis? Aku nampak kak long sapu pipi dengan tangan.
Patut ke aku masuk dalam bilik kak long? Tapi apa yang boleh aku bantu? Sekadar memandang saja. Aku mengeluh. Kenapa keluarga ni aku lihat semakin hari semakin berantakkan? Sudah lesap kemesraan antara kami.
Lalu aku kembali ke bilik sendiri. Tubuh dibaringkan kembali di atas katil tapi mata memang sudah tak mengantuk. Puas aku pusing ke kiri dan ke kanan. Mata tetap tak boleh lelap kembali.

PAGI itu gempar. Kak long sudah tiada di dalam biliknya! Kereta kak long tak ada di depan rumah dan almari baju kak long kosong! Suara ayah bising dan kelam-kabut menefon kawan-kawan kak long tapi tak seorang pun tahu ke mana kak long pergi.
Melarikan diri dari keriuhan itu, aku ke bilik kak long. Pintu bilik aku tolak perlahan. Masya Allah. Aku mengucap panjang. Bilik kak long macam tongkang pecah. Tak pernah-pernah bilik kak long jadi macam ni. Kak long yang aku kenal tak macam ni. Kak long seorang yang kemas dan dia tak pernah sepahkan biliknya. Aku mencari kalau-kalau kak long ada meninggalkan nota atau klu supaya aku boleh jejak dia tapi nampaknya tak ada.
Aku keluar dari bilik kak long dan masuk ke dalam bilik sendiri. Aku duduk di atas katil. Aku mengeluh. Telefon bimbit yang masih diset dalam mode senyap aku capai. Dah pukul 10.00 pagi? Aduh! Kena bersiap-siap pergi kerja ni.
Eh, tapi ada mesej masuk. Laju jari-jemariku bekerja di atas papan pemuka telefon.

From: Kak long
Salam Yaya. Kak long terpaksa pergi. Kak long dah tak tahan dengan umi. Yaya fahamkan maksud kak long. Kak long perlukan ruang untuk diri sendiri. Jangan cari kak long dan jangan hubungi kak long. Sampai masa nanti kak long akan pulang. Tolong tengokkan umi, ayah dan Ashman untuk kak long. Kak long sayang semua.

Aku tercengang. Tak tahu nak kata apa. Selepas berfikir sesaat dua, aku mula menaip mesej balasan untuk kak long. Mesej dihantar. Tapi malangnya. Mesej undelivered! Mesej tak sampai. Kak long tutup telefon mungkin. Aku mengeluh lagi.

SELEPAS seminggu berlalu. Aku berjalan melewati taman perumahan itu. Sampai di depan pintu pagar, aku lihat kereta kak long ada di depan rumah. Perasaan aku tak dapat dibayangkan ketika itu. Tersangat gembira barangkali. Dalam kepala sudah merangka pelbagai rancangan. Walau baru seminggu tapi aku rindukan kak long macam sudah berbulan tak jumpa. Aku berlari pintu utama rumah. Tapi…
“Siapa suruh kau balik? Buat apa lagi kau balik? Aku tak ada anak macam kau. Aku tak ada anak yang memalukan aku!” Angkuh sekali umi bersuara.
Umi campakkan beg pakaian kak long ke luar rumah. Aku tercengang. Kakiku mati melangkah. Bagai terpasak pada lantai simen. Kemudian umi heret kak long ke luar dari rumah itu. Kak long menangis.
“Pergi kau dari sini. Jangan balik-balik lagi. Mula dari hari ni, anak aku ada dua orang saja!” Suara umi meninggi.
“Kak long,” aku meluru ke arah kak long. Aku peluk kak long yang sedang menangis.
“Yaya, masuk!” Umi mengarah aku pula.
“Apa salah kak long, umi? Kenapa umi mesti halau kak long?” aku menyoal umi dengan air mata yang hampir gugur.
“Umi cakap masuk! Jangan degil!” aku pula yang terkena tempias amarah umi.
“Pergilah masuk, Yaya. Biarlah kak long pergi dari sini. Kalau itu yang umi mahukan, kak long sanggup.” Kata kak long kepada aku pula.
“Tapi, ini tak adil.” Aku memprotes.
“Yaya! Masuk!” umi melaung. Masih menyinga seperti tadi.
“Pegilah,” kak long pula cakap kat aku.
Aku pandang umi dengan rasa tak puas hati. Aku hentakkan kaki dan masuk ke dalam rumah. Ruang dalam rumah kosong. Ayah tak ada. Bibik juga tak ada. Patutlah umi berani sangat halau kak long. Kalau ayah ada, keadaan takkan jadi macam ni.
Dan mula dari hari tu, kak long dah tak jejakkan kaki ke rumah ni. Hubungan umi dan kak long terputus. Seperti mana kata umi tadi.
“Pergi kau dari sini. Jangan balik-balik lagi. Mula dari hari ni, anak aku ada dua orang saja!”
Sampai bila-bila aku akan ingat ayat itu!

“AKAK,” bahuku terasa ditepuk dan namaku dipanggil. Habis terbang semua yang aku angankan. Kenangan lama yang tersangat mengusik jiwa itu buat air mataku mahu mengalir keluar.
“Akak kenapa ni?” Ashman menyoal.
“Tak ada apa.” Bingkai gambar aku letak kembali di tempatnya dan aku kesat air mata ditubir mata. “Umi dan ayah tak balik lagi ke?” aku memesongkan topik.
“Belum. Mereka cakap ada dinner kat luar.” Jawab Ashman.
Umi dan ayah sudah lain sekarang ini. Jauh berbeza dengan umi dan ayah yang membesarkan aku dan adik beradik waktu kami kecil dulu. Sejak umi dan ayah ada perniagaan sendiri ni, mereka mula berubah. Tak lekat di rumah, asyik sibuk memanjang. Sampaikan aku dan Ashman terasa terabai. Kasih sayang mereka sudah tak terasa kini.
“Akak naik dululah, nak mandi.” Kataku kemudian.
Bersama rasa sedih di hati, aku tinggalkan Ashman di ruang tamu.




1 ulasan: