Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 2 Oktober 2012

TEASER KYKS PART 3


**SALAM.. MASIH INGAT DENGAN NOVEL SAYA YG NI? NI ADA SEDIKIT TEASER.. HARAP BOLEH MENGUBAT RINDU MEREKA2 INI...:D

SUDAH dua minggu aku menjadi setiausaha Aril. Terasa sekejap sangat masa yang berlalu. Sama seperti hari pertamaku sebagai setiausaha, jika aku punya urusan di butik, aku boleh ke butik. Tapi yang penting mestilah dengan kebenaran Aril. Cuma aku dah tak pergi kerja dengan dia. Aku pergi sendiri dengan keretaku. Masa hari pertama dulu, itulah kali pertama dan terakhir aku memandu kereta mewah Aril. Dah tak nak aku bawa kereta itu. Tak selesa sebenarnya, sebab bukan hak milik sendiri. Kalau tercalar sikit nanti berbakul-bakul aku kena marah. Tak nak aku!
Aku tengah bosan sekarang ini. Tak tahu nak buat apa. Akhirnya aku membuka komputer riba. Kawasan bandar banyak ada line wi-fi percuma. Jimat, jimat! Aku terus membuka akaun Facebookku. Berderet mesej baru yang memenuhi ruang peti masuk. Tak kurang juga dengan jemputan ke pelbagai majlis rumah terbuka dan majlis kenduri kahwin. Ada yang telah berlalu tarikhnya dan ada juga yang akan datang dalam seminggu ini. Tapi yang paling menarik perhatianku adalah satu jemputan ke Majlis Bekas Pelajar SMKPA Bagi Sesi 1995-1999. Re-union.
Tanganku pantas mengerakkan tetikus. Aku nak tahu siapa yang menganjurkan majlis itu. Terpampang nama Farah Shatar sebagai penganjur majlis. Aku lihat ramai juga yang telah memberi persetujuan untuk hadir. Tarikh dan waktu majlis berlangsung aku pandang lama. 17 November. Pukul 8.00 malam. Bertempat di Dewan Besar SMKPA. Aku sebenarnya tak pernah pun menghadirkan diri ke majlis itu pada tahun-tahun lepas. Aku rasa kehadiran aku ke sana tidak penting!
Interkom di atas mejaku berbunyi tiba-tiba, minta diangkat. Ini memang tak ada orang lainlah. Siapa lagi kalau bukan bos besar yang berada di dalam biliknya itu. Huh, tak boleh tengok orang senang langsung!
“Helo.” Malas aku bersuara sebaik gagang diangkat.
“Masuk bilik saya sekarang.” Suara Aril mengeluarkan arahan.
Macam itulah hari-hari yang dilalui di pejabat ini. Selalu saja dia menefon. Aku dah kalis dengan arahan menyuruh aku masuk ke dalam biliknya. Selalu sangat dia suruh aku masuk ke dalam bilik dia, tapi untuk bertanya soalan-soalan yang tak masuk akal.
Aku berdiri di hadapan mejanya. Tak rasa pun nak duduk di kerusi yang tersedia di hadapan meja itu.
“Awak pergi ke butik tak petang ni?” tanya Aril tiba-tiba. Kepala langsung tak diangkat daripada melihat dokumen di atas meja.
Aril memang macam ini. Kerja dia memang tak pernah habis. Sebab itu sampai kena bawa balik ke rumah.
“Tak kut. Kenapa?” Pelik juga aku dengan soalan Aril. Tiba-tiba saja tanya aku ke butik ataupun tak. Selalunya tak pernah pun ambil kisah.
“Malam ni awak tak payah masak. Kita keluar jumpa klien pukul 8.00 malam,” ujarnya bersahaja.
Lagilah buat aku pelik. Sebelum ini tak pernah pun nak ajak aku keluar jumpa siapa-siapa. Alih-alih hari ini tiba-tiba ajak aku keluar jumpa klien. Mungkin sebab aku setiausaha dia kut.
“Kita?” Takut juga kalau aku tersalah dengar.
“Yalah, kita. Ada orang lain lagi ke dalam bilik ni selain saya dan awak?”
Perangai memang tak ubah. Suka betul perli-perli aku!
“Ada apa-apa lagi, Encik Aril?” soalku malas.
Melihat dia menggelengkan kepala, aku terus berlalu keluar dari bilik Aril.

AKU tersentak. Ketukan bertalu-talu pada pintu bilik mengejutkan aku yang sedang lena dibuai mimpi indah. Aku baru saja mimpi berjumpa mamat handsome, ada pula yang mengacau. Aku menggaru-garu kepala. Tindakan spontan apabila terjaga daripada tidur.
“Ada apa?” Mulut menyoal tapi badan masih terbaring dan mata masih terpejam. Bantal peluk aku capai dan dikepit di celah kangkang. Rasa mengantuk masih menguasai diriku.
“Awak dah siap ke belum?”
“Siap? Siap nak pergi mana?” tanyaku seperti orang bodoh.
“Kan saya dah pesan tadi, kita kan nak pergi jumpa klien malam ni. Awak dah siap ke belum?”
Soalan dia langsung aku tak hiraukan sebaliknya aku menyambung kembali tidur yang terbantut sebentar tadi.
“Hei! Saya suruh awak bersiap, tapi boleh pulak awak tidur. Bangun!”
Suara jeritan Aril terasa sangat dekat. Kalau dia laung dari luar bilik, suara dia pasti sayup-sayup jauh. Hidungku tercium bau minyak wangi lelaki. Sangat dekat bau minyak wangi itu. Pantas aku membuka mata. Membulat mataku memandang Aril yang sedang tercegat, berpeluk tubuh di tepi katil.
“Ma… Macam mana awak boleh masuk?” Tergagap-gagap aku menyoal. Terkejut punya pasal.
“Ini rumah saya, sudah tentu saya boleh masuk. Hmm… Sampai bila awak nak saya tunggu awak kat sini? Ke awak nak saya mandikan awak? Hmm… saya okey aje.” Sengihan gatal sudah terpamer pada bibir Aril.
Aku pelik. Kenapa pulak Aril cakap macam tu? Spontan aku memandang kiri dan kananku. Ya Allah! Pantas aku mengambil selimut dan menutup bahagian badanku yang terdedah. Aku ni kalau tidur suka sangat pakai seluar pendek dan baju tanpa lengan.
“Keluar!” tempikku. Aku naik angin kerana dia telah melanggar hak peribadiku.
Dia tak berganjak. Masih berpeluk tubuh di tempat dia berdiri tadi. Aku menyambar bantal di sebelahku dan dilempar ke arah Aril. Tepat mengenai sasaran.
“Apa ni main lempar-lempar bantal?” soalnya seakan-akan marah.
“Keluar! Saya cakap keluar, keluarlah!” jerkahku sekali lagi. Dia ini tak faham bahasa ke?
“Eleh, dia yang tunjuk, nak marahkan kita pulak,” omelnya sebelum berlalu keluar. “Cepat siap, sepuluh minit!” laung Aril dari luar bilik apabila pintu tertutup.
Huh! Dasar jantan! Aku melepaskan amarah pada bantal di riba. Bantal itu aku tumbuk semahu-mahunya. Geram yang tersarang dalam hati aku lepaskan pada bantal itu.
“Lapan minit lagi!” laung Aril.
Huh! Kiranya aku terpaksa pergi jugaklah ni?! Dia ni anak-beranak Adolf Hitler ke?
Lambat-lambat aku bangun dan menapak ke bilik air. Siap mandi, aku tercongok di depan almari. Nak pakai baju apa ni? Baju kurung ke? Hah, ini yang aku tak suka! Aku bukannya ada baju yang glamor-glamor. Alah, yang biasa dipakai oleh setiausaha tu. Setiausaha kan sinonim dengan gaya yang seksi-meksi, terbuka sana, terbuka sini. Kalau singgah di butik siang tadi boleh jugak cuci mata.
“Tiga minit lagi.”
Aril ni kan! Geram betul aku dengan dia ni!
“Huh!” Aku melepaskan geram. Akhirnya aku pantas mencapai sehelai blaus dan skirt kembang payung warna hitam.
“Sepuluh saat lagi.”
Tanpa sempat menyapu bedak ke muka, aku mencapai beg tangan dan menarik tombol pintu. Aril sudah terpacak menanti di hadapan bilikku. Dia memandang aku pelik. Dari atas ke bawah, dari bawah ke atas dia menilik penampilanku. Apa hal pula ni? Teruk sangat ke cara aku berpakaian? Aku pantas membelek-belek baju dan skirt yang aku pakai. Tak ada apa pun yang pelik. Baju aku tak ada pun terbuka sana, terbuka sini.
“Apa?” tanyaku. Pandangannya aku tentang.
“Nah, ambik ni, pakai,” ujarnya dan menghulurkan beg kertas di tangannya.
Apa benda pulak ni? Hatiku tertanya-tanya.
“Nah, cepatlah. Masa makin berjalan ni. Awak nak saya kehilangan projek besar ke? Kalau saya tak dapat projek ni, awak ada duit ke nak bayar balik ganti rugi?” Sinis Aril menyoal.
“Eh, kenapa saya kena bayar ganti rugi pulak? Bukan syarikat saya, syarikat awak. Yang rugi awak, saya tak rugi apa-apa.” Mulutku laju membidas.
“Tak payah nak cakap banyak. Cepat!” gesanya. Terkejut aku.
Malas bertekak, aku turutkan juga arahannya. Terpegun aku apabila dress labuh yang mengikut bentuk badan itu tersarung elok pada tubuhku. Sampaikan kakiku terpaku di hadapan cermin oleh kerana asyik sangat memandang wajah sendiri. Tak sangka pula aku ini cantik juga. Hehehe… Mulalah angin perasan datang!
“Cepatlah! Dah lewat ni! Awak nak bayar ganti rugi kat saya ke?” ugut Aril dari luar bilik.
Huh, dia ni! Suka betul paksa-paksa orang! Dengan wajah masam mencuka, aku menonong melangkah ke pintu utama. Sampai di anak tangga terakhir, aku membuka almari kecil yang menjadi tempat simpanan kasut. Sepasang sandal baji yang agak tinggi aku bawa keluar. Aku lebih suka menyarung sandal baji daripada kasut tumit tinggi kerana faktor badanku.

ARIL memberhentikan keretanya di hadapan ballroom Terengganu Ekuestrien Resort (TER). Dia menyerahkan kunci keretanya kepada seorang jokey. Aku terpaku di anak tangga pertama.
Tiba-tiba aku terasa tanganku ditarik dan aku bagai sudah tidak berjalan seperti biasa sebaliknya aku rasa diseret supaya mengikut langkah Aril. Aril membawa aku masuk ke dalam sebuah dewan besar. Aku lihat ramai orang memenuhi ruang dewan. Ada apa ni? Kenapa pulak ramai orang kat sini? Aril cakap nak bawa aku jumpa dengan klien, tapi takkanlah ramai sangat klien Aril? Rasanya tadi tak ada pula aku terima apa-apa temu janji Aril dengan mana-mana klien malam ini. Soalan demi soalan menerjah kepalaku.
Aril menarikku merapatinya. Aku hanya menurut bagai pak turut.
“Aril!” tegur seseorang yang tidak aku kenali.
Pantas aku dan Aril berpaling. Aril berjabat tangan dengan lelaki itu dan memeluknya seketika.
“Lama betul tak jumpa kau. Dah lama kau balik?” soal Aril.
Aku di sebelah hanya memerhati.
“Alah, penat-penat belajar, nak jugak tengok-tengok tempat orang. Aku baru sampai semalam. Letih pun tak hilang lagi ni. Kau tak nak ke kenalkan aku dengan si cantik manis kat sebelah kau tu?” Tersenyum-senyum dia memandang aku. Naik rimas pula aku.
“Oh ya, lupa pulak. Kenalkan, Syafiza Akhira. My wife. Sayang, ni kawan abang, Azwan,” perkenal Aril.
Azwan menghulurkan tangan untuk bersalam denganku tapi aku hanya menganggukkan kepala tanda hormat. Mintak maaf banyak-banyaklah. Aku tak pegang tangan bukan muhrim. Walaupun cuma untuk bersalam. Aku perasan dia pandang aku pelik. Ah, lantaklah kau nak pandang pelik, nak julingkan mata kau pun, ada aku kisah?
Kelat wajah Azwan sambil menarik perlahan tangan yang dia hulur ke arahku tadi.
Wife? Kau dah kahwin? Tak sangka aku. Dulu kau cakap kau nak kahwin dengan budak perempuan yang satu sekolah dengan kau tu. Ni apa cerita pulak?”
Telingaku dapat menangkap bait kata dan soalan yang Azwan tanyakan kepada Aril, sebelum mereka menjauh. Aku memandang ke sekeliling. Terasa sangat asing di tengah-tengah himpunan manusia yang tidak aku kenali. Aril pula semakin menjauh apabila dipanggil oleh kawan-kawannya.
“Hai. Seorang saja ke?” Suara seseorang menyapaku dari belakang. Pantas aku berpaling.
“Tak kenal ke?”
Siapa pulak ni? Tiba-tiba datang kat aku tanya tak kenal ke. Kalau datang-datang tadi, dia terus sebut nama dia barulah gentleman. Ni tak! Eh, tapi kan, siapa sebenarnya dia ni? Aku tak pernah jumpa pun mamat ni rasanya. Aku menggelengkan kepala tanda tak kenal.
“Ni akulah, Sapi. Kenal tak?”
“Err… Sapi mana? Maaf, kita pernah jumpa ke sebelum ni?” Teragak-agak aku menyoal. Sumpah! Memang aku tak kena lelaki ini.
“Safiudin. Aku sekelas dengan kau dulu. Kelas 5 sains 2 dan 4 sains 2. Aku pun pengawas macam kau jugak. Takkan kau tak ingat?”
Dahiku berkerut. Kepalaku ligat berfikir, mencari maklumat zaman persekolahan dahulu. Sapi? Sapi… Hmm… Safiudin. Ha, aku macam dah dapat sikit.
“Err… Bidin ke?”
“Ha. Betullah tu. Lama tak jumpa kau. Kau kerja kat mana sekarang?”
Yes! Betul juga tekaan aku. “Aku kerja biasa-biasa aje. Bolehlah buat makan sikit-sikit. Kau pulak?”
“Eleh, merendah diri pulak kau ni. Eh, jom ke sana. Banyak benda aku nak tanya kau ni,” ajak Safiudin.
Kami berjalan ke arah meja makan. Banyak betul makanan yang terhidang di atas meja panjang itu. Aku menyenduk serba sedikit makanan dan dibawa ke meja kecil yang telah tersedia. Aku memilih meja yang sedikit tersorok.
“Kau datang sengan siapa? Sorang?” Aku mula menyoal.
“Hmm… sorang ajelah. Siapalah nak temankan aku. Aku terpaksa wakilkan bos aku sebenarnya. Kalau ikutkan, malas jugak aku nak ke sini. Rimas dengan bunyi bising ni. Kau pulak, datang dengan siapa?”
“Eleh, dulu aku dengar kau couple dengan sorang tu, takkan dah putus kut?” Sengaja aku menyoal begitu. Nak mengelak daripada jawab soalannya itu.
“Kat mana kau dengar ni? Kita dah lama tak jumpa. Re-union tiap-tiap tahun pun kau tak datang.”
“Tak datang re-union tak bermakna aku tak tahu semua tu. Semua cerita budak-budak sekolah ada dalam poket aku ni. Alah, kau ni, dunia dah majulah. Dalam Facebook tu semua cerita ada,” ujarku.
“Wah, kau ni! Hebat jugak ya. Aku dah putuslah dengan Lina tu. Tak ada jodoh, nak buat macam mana. Aku tengah single ni. Tak ada pulak yang nak masuk line.”
“Hek eleh. Kaulah yang sepatutnya mencari, bukannya nak tunggu orang datang tackle kau. Ada ke perempuan mengurat lelaki? Ni bukan zaman cerita Ahmad Albab, perempuan masuk meminang lelaki. Kau ni pun agak-agaklah,” semburku.
Aku dengan Safiudin memang agak rapat masa sekolah dulu. Tambah lagi aku dan dia sekelas. Berbual dengan lelaki biasalah, gaya bercakap mestilah kasar. Tak macam perempuan. Silap cakap sikit dah terasa hati.
“Hai, rancak berbual.”
Suara teguran yang sangat aku kenal memeranjatkan aku. Pantas aku berpaling ke belakang.
“Boleh saya join?” tanya Aril kemudian. Tak sempat aku menjawab soalannya itu, dia terlebih dahulu menarik kerusi dan duduk di sebelahku.
“Awak tak nak kenalkan saya kat kawan awak ni ke?” Aril menyoal lagi.
Aku naik rimas dengan kehadiran Aril. Tadi dia best-best berborak dengan kawan dia, aku langsung dia tak hiraukan. Sekarang sibuk menempel di sini pula.
“Sapi, kenalkan, Aril. Err… ka…” Aku tak tahu nak perkenal Aril sebagai kawan atau suami.
Husband Fiza.” Aril lebih dulu memintas kata-kataku.
Aku sehabis boleh nak sorokkan statusku yang telah menjadi isteri orang. Tapi dia lebih dulu mendahuluiku.
“Safiudin,” balas Safiudin. Mereka berjabat tangan seketika.
Husband kau? Bila kau kahwin? Tak jemput pun aku,” soal Safiudin sambil kening terjongket meminta jawapan.
Aku serba salah. Tak tahu nak jawab apa.
“Baru lagi, dalam dua bulan macam tu. Tak terserempak dengan kau, macam manalah nak jemput,” jawabku.
“La, baru dua bulan. Kiranya pengantin baru lagilah ni. Tahniah,” ucap Safiudin.
Mereka berborak kemudiannya, perihal dunia lelaki dan aku tenggelam tanpa dihiraukan. Tanpa sedar mulutku menguap tanda aku sudah mengantuk. Jam yang tersarung di pergelangan tangan aku pandang sekilas. Pukul 11.00 malam. Bila dia nak balik ni? Aku dah mengantuk. Tanpa sengaja, mulutku menguap sekali lagi.
“Awalnya kau menguap, Fiza. Dah mengantuk ke? Hei, awal lagilah. Esok kan cuti?” tegur Safiudin.
“Esok memanglah cuti, tapi aku tak cuti, kerja tetap kerja,” balasku. Tanganku pantas menekup menutup mulut kerana mulutku menguap sekali lagi. Dah berair mataku menahan kantuk.
“Dah-dahlah tu. Nampak macam mengantuk sangat dah tu. Aril, kau bawaklah wife kau tu balik. Dah teruk sangat aku tengok tu,” saran Safiudin.
Hek eleh, ada-ada aje Sapi ni! Aku menjengilkan mata ke arah Safiudin.
“Jom,” ajak Aril sambil menghulurkan tangan ke arahku.
“Tapi, majlis tak habis lagi,” balasku. Aku susah hati juga nak tinggalkan majlis orang macam itu saja.
“Tak apa, majlis ni kalau tak sampai ke pagi memang tak akan habis. Tambah-tambah lagi esok cuti. Aku pun dah nak gerak ni. Bosan sangat majlis ni. Aku datang pun cuma nak tunjuk muka aje.” Safiudin bersuara.
Lambat-lambat aku menyambut huluran Aril. Berlakonlah weh depan Safiudin.
“Kami gerak dululah. Insya-Allah, nanti jumpa lagi,” ujarku dan Aril bersalam dengan Safiudin. Bibirku mengukirkan senyuman kepada Safiudin sebelum aku dan Aril berlalu keluar.
Aku pantas menarik tanganku daripada genggamannya. Keluar dari dewan maknanya lakonan dah tamat. Aku sedar, Aril memandangku saat aku menarik tangan daripada genggamannya.
Apabila punggung mencecah kerusi, mataku terus terlelap. Tambah lagi dengan mata yang mengantuk dan penghawa dingin yang dipasang di dalam kereta, makin cepatlah aku dibuai lena. Siap bermimpi lagi. Aku bermimpi seperti dibawa ke alam lain. Ditambah lagi dengan kehadiran bidadara yang kacak. Tersangat kacak! Sampaikan aku tergoda dengan kekacakan dia. Tiba-tiba bidadara itu menghulurkan tangan sambil tersenyum ke arahku. Wajahnya amat berharap agar aku mengikutnya. Tanpa berfikir panjang, aku terus membalas hulurannya itu. Entah kenapa hatiku terasa sangat gembira saat itu. Terasa di awang-awangan.

8 ulasan:

  1. Best.... Sambung lagi...

    BalasPadam
  2. hihi...bila la nk berbaik ni???
    nk lgi...=)

    BalasPadam
  3. tunggu versi cetakan ye.. 2-2 ni kepala angin.. hahahaha

    BalasPadam
  4. fiza nie suke sgt berangan ea.

    BalasPadam
  5. BILA VERSI CETAKAN X SABAR NAK TUNNGGU NI

    BalasPadam
  6. bastt
    akk smbung lg
    akk bla nk kluarkan novel ni???
    da tk sbar nk g bli ni
    heheh

    BalasPadam
  7. Fiza dlm ni mmg suka berangan.. hahahaha... insya-Allah akhir bulan ni keluar, itu pun jika xde aral... sabar mnunggu ye..:)

    BalasPadam