Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 6 Julai 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB19

HUJAN rahmat di pagi hari. Pintu balkoni dia buka. Sambil berdiri di palang balkoni sambil hidungnya menghirup udara segar. Sangat nyaman kerana udara pagi itu bersih ditambah pula dengan hujan. Sejuk. Kalau ikutkan hati, dia nak tidur bawah selimut balik tapi sebabkan tuntutan kerja, terpaksa dia kuatkan diri untuk ke tempat kerja. Bertimbun fail yang perlu dia semak dan banyak kes yang menanti giliran. Biasanya pagi-pagi begini dia dah menghilang ke gerai kuih-muih mencari nasi lemak tapi pagi tu terasa malas pulak. Ah, tak payah keluarlah. Makan je apa yang ada, bukan mati pun. Pintu balkoni dia tutup kembali dan menapak ke dapur.

Bau haruman nescafe 3 dalam 1 sudah menusuk ke rongga hidung. Harum banget! Tambah lagi si pembuatnya adalah nona manis. Amboi, gatal betul hati aku ni. Gerutu Harith walau hatinya sedang mekar berbunga.

“Saya nak roti dua keping,” pinta Harith sambil menarik kerusi.

Arlyssa menjongketkan kening. Roti? Aku silap dengar ke?

“Mana nasi lemak? Awak kan biasanya makan nasi lemak.” Tangannya menghulur dua keping roti yang sudah disapu mentega dan jem.

“Malas nak keluar,”

Kemudian mereka senyap. Menghayati sarapan yang hanya dua keping roti bakar dan semug nescafe mungkin. Usai mengisi perut, Arlyssa angkat punggung dan membawa mug ke singki. Mug dibasuh sepintas lalu sebelum mendapatkan beg laptop dan beg tangan di ruang tamu. Saat pintu utama dibuka, dia termanggu seketika. Macam nak lebat je hujan ni. Awan hitam yang menutupi ruang langit dia pandang lama.

“Awak tengok apa?” Harith kehairanan melihat Arlyssa yang masih terpaku di muka pintu.

Eh, sejak bila pulak duk berdiri kat sebelah aku ni? Arlyssa jeling orang sebelah.

“Hujan,” sepatah Arlyssa menjawab.

Memanglah hujan. Tak bagi tahu pun aku tahu. Tapi gaya dia ni macam tak pernah lihat hujan. Heh, tipulah kalau cakap tak pernah tengok hujan. Habis, yang selalu kena banjir kilat tu kat mana? Kat Kuala Lumpur kan? So, memang bohonglah kalau cakap tak pernah tengok hujan.

“Awak nak saya hantarkan ke?” Harith memberikan tawaran.

“Boleh ke?” Arlyssa pandang Harith. Macam tak percaya pulak Harith yang memberikan tawaran itu kepadanya.

Macam tahu-tahu je Arlyssa ni tak memandu kalau hari hujan. Sebenar dia memang tak memandu kalau hari hujan sebabkan kenangan silam. Dia fobia. Dulu Mellina dan dia pernah kemalangan di tengah-tengah hujan lebat. Lepas peristiwa tu, dia dah tak memandu dalam hujan. Dia sanggup tunggu hujan berhenti barulah keluar rumah.

“Kenapa tak boleh pulak? Jomlah, nanti jammed pulak. Faham-faham ajelah kalau hujan ni,” ujar Harith sebelum berlari anak ke arah keretanya.

Selepas mengunci pintu, Arlyssa terus masuk ke dalam kereta Harith. Sepanjang perjalanan mereka membisu, hanya diisi dengan bunyi hujan yang kadang kala lebat kerana ditolak angin. Bagai orang asing yang tak pernah kenal antara satu sama lain pulak. Semasa kereta memasuki pusat bandar, pergerakan kereta Harith mula perlahan. Dan mata Arlyssa asyik memandang jam di dashboard kereta. Lagi 15 minit pukul 9.00. Sempat ke tak ni? Aduh, lembabnya kereta ni bergerak! Lembab apanya, tak bergerak langsung ni. Arlyssa gelisah.

Dia pandang ke luar cermin kereta. Dah tak jauh ofis ni, seberang jalan je. Lalu, Arlyssa mencapai beg laptop yang diletak di tempat duduk belakang. Harith terkejut dengan kelakuan Arlyssa. Pemegang pada pintu sudah dia pegang. Eh, lupa pulak kat orang sebelah.

“Awak, saya turun kat sinilah. Ofis saya dah seberang jalan tu,”

“Tapi kat luar tu hujan lagi. Nanti kalau awak redah hujan, sakit pulak.” Bantah Harith. Dia bukan apa, dia bimbangkan Arlyssa.

“Tak apa, hujan dah tak lebat tu. Renyai-renyai je,” Arlyssa sudah mahu menolak pintu kereta tapi terhenti kerana suara Harith.

“Eh, sekejap. Awak pakai ni, nanti tak adalah basah sangat,” Harith hulur sehelai baju sejuk yang dia capai dari tempat duduk belakang. Nampak sedikit berkedut. Biasalah, lelaki kan.

“Hah? Hurm..” Huluran Harith bersambut juga. Usai menyarung baju itu, Arlyssa hairan melihat Harith tiba-tiba menghulur tangan.

Nak salam ke? Tak pernah-pernah nak salam aku sebelum ni. Sebabkan masa yang semakin suntuk, Arlyssa sambut tangan Harith dan mencium sekilas sebelum melepaskan genggaman. Spontan Harith mencium pipi kanan Arlyssa. Sempat jugak Harith ni walau sekejap je.

Ah, dah lambat. Laju Arlyssa meloloskan diri dari perut kereta dengan muka memerah. Kenapa merah? Jangan tanya! Dah lewat sangat-sangat ni. Langkah Arlyssa sudah sumbang gara-gara Harith. Hadoii.. Pagi-pagi Harith dah buat Arlyssa rasa semacam!

Dan Harith senyum sampai ke telinga hingga melangkah masuk ke dalam pejabat. Dah angau mamat ni!


“PUAN,” Arlyssa berpusing memandang Linda. Senyuman semanis gula dia lemparkan kepada Linda tapi wajah Linda seperti orang yang ada masalah besar.

“Ya, Linda?” Dia baru sampai kat pejabat. Bilik pun dia tak masuk lagi.

“Err.. Kita bincang kat dalam bilik.”

“Okey,”

Arlyssa berjalan di depan dan diekori dengan Linda dari belakang. Beg laptop dan beg tangan dia letak di tempat biasa.

“Duduk, Linda.” Suruh Arlyssa. “So, apa dia yang penting sangat tu?” Arlyssa menyoal setelah duduk di kerusi.

“Err.. sebenarnya puan, pelanggan yang kita jumpa minggu lepas tu bukan pelanggan pertama yang mengadu tentang dapat tiket tak wujud.” Linda mula buka mulut.

“Hah? Habis, macam mana kita selesaikan kes ni?” Arlyssa benar-benar terkejut. Maknanya kes sebegini memang dah pernah berlaku sebelum ni.

“Err.. Sebenarnya yang sebelum ni kes ni dah jadi kes polis sebab mereka yang dah terkena ni buat laporan polis,” Arlyssa terperanjat.

“Allah! Sampai dah jadi kes polis?” Arlyssa meraup muka. “Habis, takkan kita tak ambil apa-apa tindakan? Takkan kita nak diam macam tu je?” Dia geram betul dengan pegawai pemasaran sebelum ni. Suka lepas tangan!

“Entah, saya pun tak berapa pasti jugak sebab semua ni bawah seliaan Alin.” Jawapan Linda buat Arlyssa mengeluh. “Ni dia. Kita sudah dapat surat dari peguam mereka semalam,” surat di tangan Linda dia pandang kaku.

Isi surat dia baca sepintas lalu. Semuanya tertulis benda yang sama. Kes ini akan dibicarakan di mahkamah. Inilah yang mula-mula Arlyssa cuba elakkan. Kalau boleh selesai kat luar mahkamah, lagi elok. Tak adalah nama syarikat jadi busuk.

Dua hari lepas, pegawai kewangan, Fuad menghantar notis 24 jam berhenti kerja. Semua kerja-kerja Fuad diambil alih oleh Linda secara tak langsung. Makin bertambah kerja Linda. Arlyssa nak kesian pun tak boleh sebab kerja dia pun banyak yang terbengkalai. Eh, rasa macam boleh selesaikan masalah ni. Tiba-tiba Arlyssa mendapat akal.

“Sekarang ni awak yang ambil alih kerja Fuad kan?” Linda anggukkan kepala. “Okey, saya nak awak cari fail kewangan untuk lima tahun sebelum ni bermula tahun lepas,” Arlyssa mengeluarkan arahan.

“Boleh tu boleh tapi puan nak buat apa dengan fail tu?” Linda bertanya kerana Encik Fuad pernah berpesan yang fail itu sangat sulit. Bukan orang sembarangan yang tengok fail tu. Hanya pegawai kewangan dan pengurus besar sahaja yang boleh tengok.

“Saya nak siasat sikit. Rasanya macam ada yang tak kena dengan syarikat ni,” luah Arlyssa.

“Okey, sekejap saya cuba cari.” Linda menghilang di sebalik pintu. Dia tak yakin sebenarnya fail itu ada atau tidak kat dalam bilik pegawai kewangan sebab kemungkinan besar Encik Fuad bawa keluar sama semasa dia berhenti dua hari lepas.

Tambah buat Arlyssa pelik adalah kelakuan pengurus besar cawangan di sini. Encik Hairi selalu sangat tak masuk pejabat. Jawapan yang biasa dia terima kalau ditanya dengan setiausahanya, Encik Hairi ada kerja luar. Kerja luar apanya kalau syarikat pelancongan. Kalau syarikat perumahan tu bolehlah kata ada kerja luar ke, melawat tapak projek ke. Alasan tak munasabah langsung!

Sengaja dia minta Linda carikan dokumen kewangan beberapa tahun kebelakangan ni sebab dia nak buat perbandingan. Pada hari pertama dia masuk kerja dulu, dia dah buat perbandingan tapi itu cuma untuk setahun kerana Linda cakap hanya dokumen itu sahaja yang dia tahu. Surat yang Linda berikan tadi dia belek lagi. Yang pertama bertarikh 13 hari bulan, yang kedua 18 hari bulan dan yang ketiga 20 hari bulan. Arlyssa mengeluh lagi. Masalah baru yang buat dia bertambah runsing. Macam mana nak selesaikan semua ni? Semuanya berkaitan tuntutan. Pening, pening.

“Puan,” Arlyssa tersentak.

“Hah? Ya. Kenapa awak tak ketuk pintu dulu?” Tegur Arlyssa. Terkejut dia apabila melihat batang tubuh Linda sudah terpacak di depannya.

“Maaf puan, dah banyak kali saya ketuk pintu bilik tapi puan tak menyahut. Tu yang saya terus masuk.”

“Oh, tak apalah. Awak ada jumpa fail yang saya nak tu?” Arlyssa menyoal tanpa sabar. Dia kalau boleh nak selesaikan semua ni cepat dan bawa mereka yang terlibat dalam kerja jahat ni ditahan pihak berkuasa.

“Ini dia,” Arlyssa menyambut huluran Linda.

“Okey, terima kasih Linda. Nanti kalau saya perlukan apa-apa, saya panggil awak ya,” ujar Arlyssa.

Selepas matanya menghantar kelibat Linda hingga hilang di sebalik daun pintu, matanya terus terarah pada fail yang baru Arlyssa hulur tadi. Banyak kerja yang kena buat ni.


HARITH kegelisahan di dalam kereta. Sudah hampir sejam dia terpacak di depan ruang pejabat itu tapi batang tubuh Arlyssa tak jugak muncul-muncul. Dah balik ke dia ni? Kalau dah balik, dengan siapa dia balik? Lelaki ke perempuan yang hantar dia balik? Hati Harith digaru rasa cemburu tiba-tiba. Hisy, apalah aku ni. Fikir yang mengarut je! Tapi dia ada hak untuk cemburu kan?

Lantaran kebosanan menunggu di dalam kereta, Harith melangkah keluar. Jam di pergelangan tangan dia pandang sekilas. Sudah hampir pukul 7.00 malam. Bila-bila masa saja azan maghrib akan berkumandang. Nokia N8 dia bawa keluar dari poket seluar. Jarinya ligat mencari nombor telefon Arlyssa. Sebaik jumpa, nombor itu terus dia dail. Entah masuk kali ke berapa dia mendail nombor itu. Dan hanya suara operator yang menyapa telinga. Kenapa ni? Ada benda buruk ke yang berlaku? Sekali lagi hatinya berfikir yang bukan-bukan.

Harith meringankan kaki bergerak ke arah rumah kedai yang tertulis Hajra Travel & Tour itu. Tak ada pengawal ke? Pintu jeriji besi yang menjadi pintu masuk kepada syarikat pelancongan itu dia pandang. Mangga yang tergantung di situ menarik perhatiannya. Eh, tak kunci? Bahayanya! Dahlah tak ada pengawal.

Mangga dia cabut dan menarik pintu jeriji. Perlahan-lahan dia mendaki tangga. Kakinya berhenti di hadapan pintu yang tertulis nama syarikat mentuanya. Tombol pintu dia pulas. Tak berkunci jugak? Dia masuk dan pemandangan yang sangat samar menjamu mata. Mata Harith ligat bekerja mencari bilik Arlyssa. Tumpuannya terhenti pada sebuah bilik yang masih bercahaya. Langkah dia percepatkan ke arah sana. Tombol pintu dia pulas dan memang itu bilik Arlyssa. Dia masih ingat pakaian Arlyssa pagi tadi.

Dia merapati Arlyssa perlahan-lahan yang sedang menundukkan kepala. Sedang tidur mungkin.

“Lys, Lys.” Harith cuba panggil nama Arlyssa tapi tak bersambut.

Bahu Arlyssa dia goncang perlahan tapi Arlyssa masih statik begitu. Nama Arlyssa dia panggil lagi tapi Arlyssa masih juga kaku. Ah, tak boleh jadi ni. Tanpa lengah, Harith paut tubuh Arlyssa supaya bersandar di belakang kerusi. Pipi Arlyssa dia tepuk lagi.

“Lys, Lys.” Arlyssa kaku tak bergerak.

“Eh, kenapa ni?” Harith gelisah. “Aku kena buat apa ni?” Sudah datang angin serba salah dia. “Ha, call Madi!” Laju tangannya membawa keluar telefon dan mendail nombor telefon kawannya yang nama Madi itu.

“Madi, Madi. Kau kena tolong aku, aku dalam susah ni.” Tanpa salam, tanpa sapaan terlebih dahulu, Harith terus terjah.

“Apasal dengan kau ni?” Armadi menyoal pelik. Apa kena dengan kawan aku ni?

“Aku cuba kejutkan dia tapi tak bangun-bangun jugak. Aku dah tak tahu nak buat apa lagi ni.” Kelam-kabut Harith memberitahu Armadi.

“Okey, macam ni. kau cari air lepas tu kau renjiskan kat muka dia. kalau tak jadi jugak, kau kena bawa dia ke hospital. Aku takut melarat aje,” balas Armadi.

“Okey, okey.” Dan talian terputus. Tak sempat Madi nak tanya siapa yang pengsan, terus Harith letak telefon. Lahabau punya kawan!

Harith berlari anak mencari bilik air. Beberapa minit kemudian, dia muncul kembali di bilik dengan sebotol air. Air dituang sedikit di atas tapak tangan dan direnjis ke muka Arlyssa. Tiga kali dia mencuba barulah nampak mata Arlyssa sedikit bergerak. Alhamdulillah.

“Lys, Lys,” Harith panggil nama Arlyssa beberapa kali. Arlyssa nampak seperti masih mamai lagi. Beberapa kali dia mengedipkan matanya.

“Awak okey?” Harith bertanya untuk tahu tahap kesihatan Arlyssa. Manalah tahu kalau-kalau Arlyssa rasa tak sihat.

“Okey,” serak suara Arlyssa menjawab.

Tanpa menunggu lama, Harith mencapai beg komputer riba Arlyssa dan diisi komputer riba ke dalam beg itu. Meja Arlyssa yang berselerak dia kemaskan semana yang boleh. Takut tersalah kemas nanti ada yang bertukar jadi singa pulak.

“Jom,” Harith paut badan Arlyssa supaya dapat berdiri dengan betul. Arlyssa cuba berjalan dua langkah tapi badannya seakan mahu melayang. Pantas Harith pegang kembali tubuh Arlyssa supaya tidak jatuh.

“Awak tak okey ni. Kita pergi klinik ya?” Harith bimbang dengan Arlyssa yang macam ni. Dia jugak yang susah kalau Arlyssa sakit.

Arlyssa gelengkan kepala. “Tak nak,” dia masih mahu cuba berjalan walau masih terasa seperti di awangan. Dalam kepalanya cuma satu, mahu sambung tidur. Dia rasa penat sangat hari ni. Tenaganya terasa seperti sudah di tahap sifar.

Degil! Keras kepala! Rungut Harith di dalam hati. Bahu Arlyssa dia paut dan berjalan beriringan menuju ke kereta. Selepas menyuruh Arlyssa masuk ke dalam perut kereta dan meletak barang-barang Arlyssa kerusi belakang, dia mendapatkan kembali pintu pejabat Arlyssa yang masib belum berkunci. Selesai mengunci pintu itu, kepalanya tiba-tiba teringatkan sesuatu. Lantas telefon di dalam poket dia keluarkan. Nombor kawan yang bernama Madi dia dail. Usai berbual seketika, dia kembali mendapatkan Arlyssa di dalam kereta. Mata yang terpejam dan muka pucat itu dia pandang. Kalau cakap tak sihat kan senang. Tak payahlah nak berpura-pura sihat. Seksa diri betul!


“MACAM mana? Dia sakit apa? Teruk ke?” Tanpa sabar, Harith menyerang Armadi denga soalan yang bertubi-tubi.

“Kau ni, tanya satu-satulah. Semua kau tanya sekaligus, macam manalah aku nak jawab.” Bebel Armadi. Stetoskop di bahu dia alihkan dan di letak di dalam beg kerja.

“Okey, okey. Dia sakit apa?”

“Dia tak sakit apa pun cuma gastrik biasa. Aku rasa dia tak makan dari pagi sebab tu boleh pengsan kat pejabat petang tadi. Tapi kau jangan risau, aku akan bagi ubat kat kau nanti. Yang paling penting, malam ni kalau dia terjaga, kau kena bagi dia makan. Kalau dia tak nak, kau kena paksa. Kalau tak, gastrik dia akan bertambah teruk.” Ujar Armadi. Dia sudah bersiap-siap mahu pulang. Kelam-kabut dia kerana perlu berkejar ke rumah temannya ini selepas habis shift di hospital.

“Tapi aku nak bagi dia makan apa?” Terkeluar sudah soalan kurang cerdik dari mulut Harith.

“Aduhai kau ni! Tak pernah jaga orang sakit ke?” Armadi menggaru kepala yang tidak gatal. Malang betul dapat kawan macam yang sedang terpacak di tepinya kini. Nak kata tak pandai, dah berjaya jadi peguam syarie’.

Harith geleng kepala. Betul! Dia memang tak pernah jaga orang sakit.

“Kau ni, kecik-kecik dulu kenapa tak belajar. Orang sakit kenalah makan bubur. Tak kiralah demam ke gastrik ke. Perut yang kosong perlu diisi dengan makanan yang lembut macam bubur. Kau pandai masak bubur ke tak? Nak kena aku ajar jugak ke?” Soalan berbau perlian dituju khusus untuk Harith.

“Tahu. Kau ni, agak-agaklah kalau nak tanya pun,” Harith buat muka tak puas hati.

“Okeylah, aku baik dulu. Ubat tu jangan lupa bagi dia makan,”

“Yalah, terima kasih banyak-banyak. Susahkan kau je,” Harith menghantar kelibat Armadi hinggalah kereta Armadi hilang dari pandangan.

Pintu utama dia tutup. Memandangkan Arlyssa masih lagi tidur, dia mengambil keputusan untuk memasak bubur. Lengan kemeja dia sinsing hingga ke paras siku dan mula bersilat di dapur. Untung Arlyssa dapat dia sebagai suami, tahu jugak masuk dapur. Tak semua lelaki pandai masak tau. Senyuman perasan mula menghiasi pinggir bibir Harith. Kalau diri sendiri tak puji, siapa lagi yang nak puji. Biarlah orang nak cakap perasan ke apa ke.

2 ulasan: