Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 13 Julai 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB20

assalamualaikum n selamat mlm...... okey, bab baru dh ada... tp sy nak bgtau awal2 ni, minggu depan xde n3 ye sbb nk tumpukan pd manuskrip.. harap enjoy ye....:)

***************************************************************

BUNYI deringan telefon bimbit mengganggu lena Harith. Terpisat-pisat dia sambil membuka mata. Apasal cerah semacam je ni? Dah siang ke? Dia menggosok-gosok mata yang masih mamai. Bunyi deringan telefon itu sudah berhenti. Rasanya bukan telefon dia sebab bunyi ringtone tu pelik sangat. Milik siapa lagi kalau bukan Arlyssa. Arlyssa dan dia je yang tinggal kat rumah ni.

Harith cuba bangun tapi tak boleh. Seperti ada seketul batu yang besar sedang menindih dadanya. Kepala orang? Dia pandang sekeliling. Katil? Ah sudah! Macam mana pulak dia boleh tidur sebilik dan sekatil dengan Arlyssa. Tak pernah-pernah lagi ni. Aduh! Macam mana kalau Arlyssa tiba-tiba terjaga? Mahu mengamuk perempuan ni. Hisy!

Perlahan-lahan Harith menolak kepala Arlyssa. Dalam hati jangan cakaplah. Dah rasa nak meletup je sebab terlalu berdebar-debar. Baru je dia dapat tolak sikit tapi tiba-tiba kepala Arlyssa bergerak menjauh. Nasib baik mata dia tak terbuka sama. Fuh, selamat!

Harith cepat-cepat bangun dan mengambil tuala sebelum menghilang di dalam bilik air. Solat subuh memang dah sah-sah terlepas. Jaga orang sakitlah sangat. Akhirnya dengan dia-dia sekali yang tertidur.

Selesai mandi, dia terus memberitahu kepada Mastura yang dia masuk lewat sikit hari ni. Lewat macam mana pun dia perlu jugak jenguk pejabat. Ada beberapa fail kes yang perlu diteliti sebelum masuk mahkamah esok dan lusa. Batang tubuh Arlyssa yang masih terbaring di atas katil dia hampiri. Takkan tak rasa nak bangun lagi. Gumam Harith sendirian.

“Lys, Lys, bangunlah. Awak tak kerja ke hari ni?” panggil Harith cuba mengejutkan Arlyssa. Tapi Arlyssa diam tak terkutik. Ah sudah! Jangan jadi macam petang semalam pulak!

Tangannya laju menjamah dahi Arlyssa sebelum beralih pada leher jinjang Arlyssa yang terdedah. Panas!

“Lys, bangun Lys. Awak demam ni.” Suara dia kuatkan dan bahu Arlyssa digoncang.

Selepas beberapa kali dia menggoncang bahu Arlyssa, akhirnya Arlyssa menyahut perlahan dengan suara seraknya.

“Hmm...”

“Awak bangun, mandi. Dah lewat ni. Lepas tu kita ke klinik.” Harith mengeluarkan arahan.

“Klinik? Nak buat apa?” Dalam mamai Arlyssa menyoal.

Eh, eh. Diri sendiri sakit pun tak sedar. Hisy, tak boleh jadi ni. Lantas, tanpa banyak soal, Harith tarik tubuh Arlyssa dan dicempung. Dia dah malas nak layan kerenah Arlyssa yang macam-macam tu. Yang lebih penting, dia perlu ke pejabat petang hari ni walaupun sudah lewat petang. Banyak kerja yang masih terbengkalai. Arlyssa yang terkejut dengan tindakan drastik Harith cuba meronta tapi pautan Harith sangat kemas. Haruman tubuh Harith mengundang gelora di jiwanya. Bagai membuai perasaannya.

“Awak nak mandi sendiri ke nak saya yang mandikan?” soalan berbau gatal plus miang menampar cuping telinga Arlyssa. Tajam Arlyssa mencerlung pada Harith. Dalam aku tak berapa nak sihat ni pun nak ambil kesempatan. Huh, dasar lelaki!

“Saya mandi sendiri!” Agak tinggi nada suara Arlyssa.

“Saya tanya je, itu pun nak marah-marah. Tapi kalau awak nak saya mandikan, seribu kali saya sudi.” Balas Harith selamba. Mata kirinya sempat mengenyit dan bibir mengukir senyum gatal.

“Tak payah! Keluar!” lantang suara Arlyssa menjerit. Makin dilayan makin menjadi!

Harith melangkah keluar selepas Arlyssa menjerit dan tangan isterinya laju mencapai botol mandian, ura-ura mahu dilontar kepadanya. Bunyi ketawa Harith bergema mengisi ruang bilik air.

“Jangan kunci dari dalam,” sempat Harith berpesan. Bukan apa, dia takut Arlyssa tiba-tiba pengsan kat dalam bilik air tu.

MALIK pandang pintu bilik Harith yang masih tertutup rapat. Dia pandang jam tangan pula. Dah masuk pukul 10.00 pagi. Takkanlah pergi ke mahkamah terus. Tapi rasanya dia tak ada kes pagi ni. Hatinya berkira-kira sendiri.

“Kak Mas, Harith tak masuk lagi ke?” Akhirnya dia menyoal Mastura.

“Encik Harith masuk tapi lewat sikit. Pagi tadi dia telefon, katanya ada kecemasan,” jawab Mastura. Mastura ingatkan Malik dah tahu sebab tu dia tak bagi tahu pagi tadi.

“Oh, tak apalah kak,” Malik berlalu keluar dari ruang pejabat. Mastura pelik. Haih, macam-macamlah.

“Kak, kenapa tu?” Kamalia yang mejanya terletak di belakang Mastura laju menyoal.

“Entahlah Lia, angin aje pagi ni. Akak ingatkan dia dah tahu Encik Harith tak masuk hari ni, bila dia tanya tadi so akak jawablah. Angin tu tak tahulah kenapa,” jawab Mastura sambil membelek fail kewangan yang perlu dikemaskini, maklumlah dah akhir bulan.

“Hmm... Macam bergaduh je gaya mereka tu,” kening Kamalia berkerut sambil jari mengetuk perlahan dagu. Lagak bagai orang sedang berfikir. Berfikir tentang masalah orang lain.

“Hisy, jangan nak sangka buruk. Biarlah mereka nak macam mana pun, tak baik nak jaga tepi kain orang.” Tegah Mastura. Bukan dia tak kenal perangai Kamalia ni. Suka betul nak tahu hal tepi kain orang. Selagi dia boleh korek, dia akan korek!

“Isy akak ni, bukan nak buat apa pun. Nak tahu je,” balas Kamalia sambil memuncung.

“Nak tahu kamu tu bukan aku tak kenal,” gumam Mastura perlahan. Harap Kamalia tak dengar.

“APA kata doktor?” soal Harith tak sabar.

“Tak ada apa-apalah,” acuh tak acuh Arlyssa menjawab.

Harith pelik. Takkanlah tak ada apa-apa. Kalau tak ada apa-apa kenapa pagi tadi panas semacam tubuh Arlyssa.

“Nah,” Harith hulur beg tangan milik Arlyssa yang dia pegang sementara doktor memeriksa Arlyssa tadi.

“Oh ya, tadi ada orang call. Linda nama dia, budak pejabat rasanya. Saya dah bagi tahu kat dia yang awak tak masuk pejabat hari ni,” beritahu Harith. Nasib baik tak terlupa.

“Kenapa awak bagi tahu saya tak masuk pejabat pulak? Saya nak masuk pejabat nanti, banyak kerja yang saya kena selesaikan,” protes Arlyssa. Pandai-pandai buat keputusan sendiri. Sambung Arlyssa di dalam hati.

Harith diam. Malas nak jawab apa-apa sebab mereka berada di tempat awam. Air muka perlu dijaga jugak. Orang tolong jawab tu bukannya nak ucap terima kasih, ni tak. Nak marah-marah pulak.

Beberapa minit kemudian, jururawat memanggil nama Arlyssa untuk mengambil ubat. Selesai membuat pembayaran, mereka beriringan ke kereta.

“Awak nak masuk pejabat jugak ke?” tanya Harith.

“Hmm...” balas Arlyssa.

“Saya hantar terus ke macam mana?”

“Hantar balik je, saya pergi sendiri. Lagi pun ada dokumen penting dalam kereta saya,” jawab Arlyssa. Kepala dia rebahkan di atas kerusi kereta dan mata dipejam rapat. Terpaksalah Harith menghantar kembali Arlyssa ke rumah seperti mana yang Arlyssa arahkan.

“PUAN,” panggil Linda. Dia tertanya-tanya kerana tadi semasa dia menelefon Arlyssa tadi dan seorang lelaki yang menjawab panggilan itu mengatakan yang Arlyssa tak akan masuk pejabat. Alih-alih, terpacak Arlyssa di dalam pejabat ni.

Arlyssa pandang wajah Linda.

“Puan cutikan hari ni?” tanya Linda.

“Cuti? Tak adalah, saya masuk lambat sikit. Sorry, lupa nak inform kat awak.” Jawab Arlyssa mendatar.

“Tapi muka puan pucat,” Linda masih tak puas hati.

Pucat? Arlyssa raba wajahnya dengan tangan kiri. Raba saja memanglah tak dapat rasa apa-apa. Aku nilah!

“Tak ada apa-apa. Saya okey,” Arlyssa melangkah, mahu memasuki biliknya. “Kalau ada siapa-siapa cari saya awak cakap saya sibuk, saya tak nak diganggu hari ni,” pesan Arlyssa sebelum menolak pintu biliknya.

“Baik, puan,”

Beg tangan dan beg komputer riba Arlyssa letak di kaki meja. Badan dia sandarkan pada kerusi dan tangan memegang kepala. Tiba-tiba kepalanya terasa pusing dan berpinar-pinar. Aduh! Lantas, dia menggagau beg tangan, mencari paket ubat dari klinik tadi. Botol air mineral yang memang tersedia di dalam bilik dia capai. Ubat dia telan disulami dengan air. Kepala dia rehatkan seketika supaya kurang sedikit rasa sakit yang mencengkam kepala.

Tiba-tiba pintu biliknya dirempuh dari luar. Bunyi bising suara Linda menghalang si penceroboh membingitkan telinga Arlyssa. Mata yang semakin layu dia buka sedikit. Wajah seorang lelaki dan Linda berbalam-balam menyapa mata.

“Ada apa ni?” Arlyssa menyoal walau kepala sedang memberat.

“Puan, saya dah cuba halang dia tapi dia berkeras jugak nak masuk jumpa puan.” Beritahu Linda.

Arlyssa pandang lelaki di sebelah Linda. Najwan?! Dalam pandangan yang samar, dia masih dapat mengecam lelaki itu.

“Puan, saya keluar dulu,” Linda mahu meminta diri, tidak mahulah nanti dikata kacau daun pulak.

“Nanti dulu Linda, awak tak payah keluar.” Tegah Arlyssa. Dia kenal sangat dengan Najwan. Perangainya memang tak dijangka. Silap hari bulan, kalau Linda tak ada sama entah apa yang Najwan akan lakukan.

Linda mematungkan diri. Dia tak tahu nak lakukan apa selain sebagai pemerhati. Tingkah lelaki yang bernama Najwan ni sangat pelik. Memang dia pernah jadi pelanggan syarikat ni tapi segala urusan Najwan di syarikat ni sudah selesai setelah Arlyssa membayar ganti rugi minggu lalu.

“Lys, you tak kenal I ke? Atau you pura-pura tak kenal I?” Pantas Najwan menyoal Arlyssa. Kehadiran Linda yang lebih kepada pemerhati tidak dia hiraukan.

Nope! Sorry, saya memang tak kenal awak,” malas dia nak layan si Najwan ni. Rimas!

“Tipu! You’re liar! You kenal I tapi you pura-pura tak kenal I. Walaupun you dah tutup-tutup macam ni tapi I masih kenal you. I masih belum lupa setiap lenggok you!” Meninggi suara Najwan menyangkal kata-kata Arlyssa. Hatinya kuat mengatakan Arlyssa yang di hadapannya ini sama dengan Arlyssa yang dia kenal 7 tahun lalu ketika masih menuntut di Australia.

“Saya cakap tak kenal tu maknanya tak kenallah! Lebih baik encik keluar sekarang sebelum saya call polis!” ugut Arlyssa. Sebenarnya dia sudah hilang punca dan hilang sabar.

No! I takkan pergi selagi you tak mengaku you memang kenal I. Lyssa, I tahu you memang kenal I tapi you tak nak mengaku. Kenapa you tak nak mengaku? You dah jauh berubah sekarang ni,” Najwan masih tak putus asa. Dia melangkah mendekati Arlyssa.

“Linda, call polis! Suruh mereka datang sekarang!” Tanpa menghiraukan kata-kata Najwan, Arlyssa mengeluarkan arahan kepada Linda. Tahap kesabarannya sudah di paras kosong.

Linda sudah bersedia mengangkat ganggang telefon. Arahan dia turuti dengan rasa takut-takut. Dia tak pernah lagi lihat Arlyssa macam tu. Macam naik hantu!

“Baiklah, I akan pergi tapi lepas ni I akan tetap nak jumpa you. I nak you mengaku yang you ni memang Lyssa yang pernah I kenal dulu. See you!” Najwan melangkah longlai keluar dari bilik Arlyssa dan jari Linda terhenti mendail nombor telefon polis.

Whatever!” Tahu pun takut. Sambung hatinya.

Arlyssa daratkan kembali kepalanya di atas kerusi, menyambung kembali rehat yang terbantut tadi.

“Puan, puan okey?” Linda menyoal. Suaranya berbau kegusaran.

“Tak apa, saya okey. Awak boleh sambung buat kerja, saya nak rehat sekejap.” Arlyssa membalas dengan mata yang terpejam rapat. Bunyi derap tapak kaki yang semakin perlahan tanda Linda sudah beredar dari biliknya.

SEPERTI yang dijangka, Arlyssa balik lambat lagi hari tu. Ini menggusarkan hati Harith. Arlyssa tak pernah pun telefon dia atau mesej cakap nak balik lambat sebab kerja banyak ke, apa ke. Tanpa makluman sebegitu, makin besar jurang antara mereka. Hubungan antara mereka tak ubah seperti teman serumah. Sekejap Harith boleh dekat, sekejap Arlyssa jadi dingin seperti ais. Itu yang dia tak faham. Perempuan semua macam ni ke?

Tolakkan pintu mengejutkan Harith. Kepala dia panggung. Mata mereka bertemu.

“Lewat awak balik?”

“Hmm,” hanya itu yang Arlyssa jawab. Dia tak ada mood langsung nak bersoal jawab dengan Harith.

“Awak dah makan?” Makan? Ni dah terbalik. Biasanya isteri yang tanya suami dah makan ke belum tapi Arlyssa. Haih! Harith masih cuba mengumpan Arlyssa untuk bercakap.

“Dah,” Arlyssa tipu. Dia tak makan pun seharian kat pejabat. Dia hanya minum air mineral sahaja di pejabat. Dengan masalah yang semakin bertimpa-timpa telah menghilangkan selera makannya. Arlyssa menonong masuk ke biliknya. Wajah Harith yang masih tak puas hati dia tak hiraukan. Apa yang ada di fikirannya sekarang cuma mahu tidur.

Harith bingkas bangun. Dia dah tak tahan macam ni je, macam tak ada fungsi langsung. Dia bukan pemerhati. Dia ni suami! Bukannya anak kecil yang Arlyssa boleh buat tak kisah je. Buat acuh tak acuh. Pintu bilik Arlyssa dia tolak tanpa mengetuk atau meminta izin terlebih dahulu.

Mata Harith meliar mencari kelibat Arlyssa tapi tak jumpa. Mandi kut, teka Harith. Mak oi! Bersepahnya bilik. Ni bilik ke tongkang pecah? Sementara menunggu Arlyssa siap mandi, ringan je tangan Harith mengutip baju-baju yang bersepah di atas lantai bilik. Harith memang pantang tengok bilik bersepah. Jadi, walau tak dapat tolong banyak, dapat tolong sikit pun dah okey. Bukan sekadar baju. Yang dalam-dalam pun turut bersepah sama kat situ. Hisy!

Tiba-tiba mata Harith terpandang dua pucuk surat yang terkeluar sedikit dari beg komputer riba Arlyssa. Surat? Surat apa? Ringan tangan Harith mencapai surat itu. Urusan Seri Paduka Baginda. Itukan patah perkataan yang tertulis pada sampul surat. Ini tandanya surat itu surat rasmi. Tidak mahu terus dihantui perasaan ingin tahu, Harith keluarkan surat dari sampulnya. Bait-bait kata yang tertulis tambah mengejutkan Harith. Saman? Syarikat keluarga Arlyssa kena saman? Tapi kenapa? Atas sebab apa? Bertalu-talu soalan memenuhi ruang kepala Harith.

“Argh!” Jeritan spontan Arlyssa telah mengejutkan Harith. Hampir-hampir surat di tangan terlucut jatuh. Lantas dia lipat kasar surat itu dan cepat-cepat disembunyikan di dalam poket baju Melayu yang tersarung di tubuhnya.

Arlyssa sangat terkejut melihat Harith ada sama dalam biliknya. Apa kes pulak dia ada dalam bilik ni?! Aku dahlah berpakaian paling seksi sedunia. Arlyssa rasa mahu menjerit depan Harith. Tuala yang membalut tubuh dia pegang erat. Takut sangat kalau terlucut. Harith pulak, jangan cakaplah. Terlopong terus! Macam tak pernah tengok Arlyssa pakai macam ni. Padahal ni kali kedua.

“Awak nak apa?!”

“Err.. Hah?! Saya, saya...” Harith tergagap-gagap.

“Saya apa?!” Mata Arlyssa mencerlung memandang Harith.

“Err... saya nak tanya, awak nak makan tak?” Harith kalihkan wajah ke arah lain.

“Tadikan awak dah tanya. Dah, keluar!” Pekik Arlyssa kuat.

“Yalah, yalah. Macamlah luak saya tengok awak macam tu, hak milik saya jugak.” Sempat Harith menyindir sebelum berlalu keluar dari bilik Arlyssa.

Berdesing telinga Arlyssa mendengarkan sindiran Arlyssa. Pantas tangannya mencapai bantal dan spontan dilontar ke arah Harith. Sangkanya lontaran itu akan tersasar dari mengenai Harith tapi....

“Apa hal pulak ni?” Harith berpusing. Bantal yang telah mematikan langkahnya dia ambil. Matanya mencerun memandang Arlyssa. Apa pulak yang tak puas hati ni?

Harith merapati Arlyssa perlahan-lahan. Rasa di hati jangan cakaplah. Tercabar dengan reaksi Arlyssa.

Ah, kenapa pulak dia patah balik ni? Janganlah dia apa-apakan aku. Arlyssa gusar. Tulah, tadi berani sangat. Sekarang tahu pulak kecut perut. Harith berdiri betul-betul di hadapan Arlyssa. Hanya beberapa jengkal saja jarak yang memisahkan mereka. Tajam mata Harith membalas renungan takut-takut Arlyssa. Tuala yang membalut tubuh, Arlyssa tarik sedikit kerana terasa seperti mahu terlondeh. Wajah Arlyssa jangan cakaplah, sudah sehabis pucat.

“Err... Awak nak buat apa?” tergagap-gagap Arlyssa menyoal. “Awak, janganlah,” separuh merayu Arlyssa bersuara.

Bagai dirasuk, Harith mendaratkan tangannya di pinggang Arlyssa.

“Jangan apa?” Harith menyoal balas. Suara sengaja dia lunakkan. Biar Arlyssa makin gelabah.

Harith mendekatkan wajahnya ke wajah Arlyssa. Dekat dan dekat dan semakin dekat. Belum pun sempat Harith mendaratkan bibirnya di wajah Arlyssa, cepat-cepat Arlyssa menolak tubuh Harith.

“Melampau! Dasar lelaki!” sembur Arlyssa. Lantas dia masuk ke dalam bilik air kembali. Tindakan Harith sudah melampau.

Harith tercengang. Tak sangka pulak dia boleh buat macam tu. Tapi apa yang nak dihairankan. Lelaki bila dah nampak perempuan seksi begitu, pasti telan liur. Samalah dengan kucing. Mana ada kucing tolak ikan, kan? Bibirnya terukir senyum nipis. Tapi melihatkan reaksi Arlyssa yang telah berlalu ke bilik air, buat senyuman di bibir Harith pudar. Haih, masalah makin besar. Hubungan aku dengan dia baru nak baik, tapi jadi macam ni pulak. Nak menyesal pun dah tak guna, benda dah jadi. Lepas ni kenalah pandai-pandai pujuk Arlyssa.

7 ulasan:

  1. lys nie tolak ansur la sikit dengan harith..sbar ek harith

    BalasPadam
  2. lys ni, smp bile nak edup camni..harith kan suami..

    BalasPadam
  3. hope cepat bersatu ye diorg dua ni..

    BalasPadam
  4. Lyss ni still dengan keras kepala dia...-_-#

    BalasPadam
  5. sabar.. baru bab20.. perjalanan masih jauh.. kurang2 ada 60 bab... ape yg jd nanti kena tggu.. *prinsip Lys mmg xkan mudah nak menyerah..:D

    BalasPadam
  6. fatimatuzzahara fenz22 Julai 2012 pada 3:16 PTG

    cpt2 laa smbng....
    ble lyss nk baik2 ngan harith

    BalasPadam