Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 8 Jun 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB16

SIAP mengenakan pakaian, Harith berlalu keluar dari bilik. Dia menyertai Syed Yusri di ruang tamu.

“Along tak nak ikut sekali ke?” Harith bertanya kerana melihat Syed Yusri duduk santai sekali di depan TV.

“Malaslah. Ikut perempuan keluar pasti bosan,” mendatar Syed Yusri menjawab. Harith diam selepas itu. Dah tak tahu nak bercakap topik apa lagi.

Puan Aini muncul di ruang tamu. “Dah siap Harith? Lys mana?”

“Dalam bilik lagi kut. Tak apalah, saya pergi panggil dia,” dan Harith berlalu ke bilik Arlyssa. Bukannya bilik mereka kerana Arlyssa tak pernah mengisytiharkan bilik itu sebagai ‘bilik kita’.

Pintu bilik yang tak tertutup rapat dia tolak perlahan. Alangkah terpegunnya dia melihatkan penampilan Arlyssa. Tiada lagi baju kurung. Arlyssa mengenakan seluar palazzo yang kembang di bahagian bawah kaki serta blaus corak abstrak. Mungkin ini yang dia beli semalam kat butik isteri Naim. Semalam dia tak tengok dan tak tanya pun apa yang Arlyssa beli. Tak terasa nak tanya sebenarnya.

“Kenapa awak tengok saya macam tu?” Sergah Arlyssa ketika terpandangkan Harith. Dia tak suka pandangan macam tu. Nampak macam gatal!

“Tak boleh ke?” Selamba Harith bertanya. Sengaja dia nak usik Arlyssa. Jelingan tajam Arlyssa hadiahkan kepada Harith. “Awak ni kenapa? Gelisah semacam je,” kali ni Harith serius, tak ada lagi usik-mengusik.

“Ni, macam mana nak pakai ni?” Arlyssa tunjuk sehelai selendang panjang di tangannya kepada Harith.

“La, selendang ni? Pakai kat atas kepalalah,” bagai orang bodoh Harith menjawab.

“Oh, saya ingatkan pakai kat lutut!” Arlyssa geram. Dah nama pun selendang, memanglah orang pakai kat kepala bukan kat kaki!

Harith galak ketawa. Kata-kata Arlyssa sangat-sangat lucu di pendengarannya. Arlyssa pandang Harith dengan wajah yang penuh rasa nak marah, geram dan pelik. Pelik sebab rasanya ayat dia tadi tak kelakar pun tapi boleh si Harith ni bantai gelak macam sedang tengok rancangan Raja Lawak. Heh, aku bukan pesertanya!

“Kalau awak sekadar nak gelakkan saya, baik tak payah!” Arlyssa mendengus geram. Selendang di tangan sudah dia gumpal-gumpal kerana terlampau geram.

Hiii… kalau orang lain dah lama aku sekeh-sekeh kepala tu. Tapi ingat si Harith ni berpangkat SUAMI jadi niat di hati tu terpaksa dipendam. Gumam hati kecil Arlyssa.

“Awak tak ada ke tudung lain? Semalam takkan awak beli selendang-selendang macam ni je?” Harith bertanya selepas ketawanya reda.

“Tudung? Tudung yang macam mana lagi?” Soalan Harith dirasakan pelik.

“Alah, tudung yang macam kat dalam TV tu. Apa ke namanya, Ariana, Ariani? Ha, Ariani. Tudung macam tu senang nak pakai,” bersungguh sekali Harith menunjukkan aksi macam mana tudung yang dia maksudkan itu.

“Oh, tudung Ariani. Sekejap,” Arlyssa mendapatkan beg kertas yang dia bawa balik dari butik Syafiza semalam.

“Yang macam ni adalah, okey ke?”

Tudung di tangan Arlyssa dia pandang bersilih ganti dengan baju yang Arlyssa pakai. Dan tanpa cakap banyak, Harith sarungkan tudung itu ke kepala Arlyssa. Tubuh Alyssa dia tarik menghadap cermin panjang.

Perfect, sayang!” Puji Harith sambil letak dagu di atas bahu Arlyssa. Keadaan mereka sangat rapat saat itu. Arlyssa seakan terbuai mendengar Harith menyebut perkataan ‘sayang’ tadi. Terasa sangat lain jika orang luar yang ucapkan. Dia sudah terbiasa jika mama atau along yang cakap ‘sayang’. Tapi dengan Harith terasa lain sangat.

“Harith, Lys, tak siap lagi ke? Pukul berapa nak bertolak ni?” Suara Puan Aini memanggil mengejutkan mereka. Kelam-kabut Harith berlalu keluar dari bilik itu dan Arlyssa mencapai beg tangan Guccinya.

“Okey, dah ma.” Ujar Harith dan berlalu keluar ke halaman rumah. Arlyssa pula berlagak macam tak ada apa-apa yang berlaku.

“Adik dah pakai tudung? Alhamdulillah,” Puan Aini memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Nampaknya banyak perubahan yang telah Harith bawa masuk ke dalam kehidupan Arlyssa. Lamtas dia menarik Arlyssa ke dalam pelukan. Kedua-dua pipi Arlyssa dia cium. Syed Yusri yang duduk tidak jauh dari mereka hanya tersenyum. Berjaya juga dia menggunakan kuasa Harith.

“Ni apa hal pulak buat drama ni,” Harith yang telah siap sedia di dalam kereta membebel sendiri. Hon dia tekan sekali, sekadar untuk menyedarkan dua beranak yang sedang berpelukan di dalam rumah.

“Eh, terleka pulak kita. Jom, dah lama Harith tunggu tu.” Ajak Puan Aini sambil menarik tangan Arlyssa.

KAKI Harith sudah terasa lenguh semacam sebab terlalu banyak berjalan. Ha, tulah akibatnya kalau gatal sangat nak ikut kaum Hawa keluar berjalan dan shopping. Sekarang rasalah akibatnya. Arlyssa dan Puan Aini sudah menjauh meninggalkan Harith. Apabila ternampak sebuah bangku di tepi sebuah deretan kedai, Harith terus duduk di situ. Terasa sedikit lega kakinya lepas dapat duduk macam tu.

Sambil berehat, sambil itu mata Harith bekerja. Orang-orang yang lalu-lalang menjamu mata Harith. Macam-macam gelagat dan macam-macam ragam. Ada yang datang dengan anak kecil, ada yang datang dengan kekasih. Haih, budak-budak sekarang. Sedang asyik dia meliarkan mata bekerja, sepasang mata milik Harith berhenti pada sebuah kedai. Dan tanpa menunggu lama, kaki Harith laju diatur masuk ke dalam kedai itu.

“Selamat datang,” sapa salah seorang pekerja kedai itu. Harith hanya senyum dan duduk di atas kerusi yang dah tersedia kat situ. Matanya sibuk menilik perhiasan di dalam meja kaca itu. Dia seakan terpukau dengan kilauan perhiasan-perhiasan yang ada di dalam kotal kaca itu.

“Encik nak yang mana?” Soal salah seorang pekerja kedai itu setelah agak lama Harith merenung perhiasan di dalam kotak kaca itu. Harith angkat kepala. Pekerja yang memakai tag nama Siti itu dia pandang dan senyum.

“Err.. saya nak tengok-tengok dulu,” jawab Harith.

Deretan cincin yang tersusun elok di situ menggamit pandangan matanya. Sejujurnya dia bukanlah penggemar barang-barang perhiasan sebegini. Tapi apabila terpandangkan kedai ni, dia teringat Arlyssa.

“Dik, nak tengok yang ni,” Harith menggamit Siti dan jarinya tertunjuk pada salah satu cincin yang terpamer di situ.

Harith membelek-belek cincin yang sudah berada di atas tapak tangannya. Kemudian cincin itu dia sarungkan ke jari kelingking sendiri. Dia selalu tengok, kalau orang lelaki yang beli cincin untuk perempuan pasti disarungkan ke jari kelingking sebab biasanya jari perempuan ni kecil je, dan biasanya padan. Yes! Memang padan. Kilauan berlian yang diikat pada cincin itu sangat memukau dan buat Harith tergoda. Dia tengok-tengok lagi koleksi cincin yang lain. Ah, kelabu mata sudah!

“Dik, yang ni.” Harith bersuara lagi. Siti patuh. Dia bawa keluar cincin yang Harith inginkan.

“Untuk siapa ni encik?” Lambat-lambat Siti menyoal. Manalah tahu kalau dia dapat tolong. Penjual lebih arif dari pembeli kan.

“Untuk isteri,” jawab Harith sambil senyum.

Untuk hari jadi mungkin. Siti membuat telahan sendiri.

“Oh,” Siti mencapai sebentuk lagi cincin. “Yang ni tak nak cuba? Cantik jugak ni dan yang paling latest.” cincin yang baru dikeluarkan dari meja kaca dia hulur kepada Harith.

Yang ni pun cantik jugak, desis hati Harith. Aduh. Dia dah pening. Tak tahu nak pilih yang mana satu. Ha, kan betul. Harith dah rambang mata!

“Aduh, banyak yang cantik-cantik. Dah keliru ni,” komen Harith.

Tiga bentuk cincin terletak elok di hadapannya. Secara tak sengaja kepala Harith tertoleh ke kanan dan dia lihat kelibat Arlyssa serta Puan Aini semakin hampir. Alamak! Mereka dah dekat. Lantas, tanpa menunggu lama Harith cepat-cepat membuat pilihan dan membuat bayaran. Siti hanya menurut walau hati terasa pelik. Selepas membuat pembayaran, Harith cepat masukkan kotak cincin ke dalam poket seluar dan dia mendekati Arlyssa dan Puan Aini.

“Banyaknya shopping,” tegur Harith.

“Haah, semua yang nampak di mata Lys berkenan. Tu yang banyak jadinya,” balas Puan Aini.

Seperti biasa, beg kertas berisi barang-barang yang Arlyssa beli tadi dia ambil. Sebelah tangan pegang beg kertas, sebelah tangan lagi genggam tangan Arlyssa. Mulanya isterinya protes juga tapi sebabkan Puan Aini ada sama, Arlyssa terpaksa ikut rentak Harith. Dalam hari Harith sudah bersorak kemenangan. “Ke mana pulak kita lepas ni?”

“Kita pergi makan dulu, dah tengah hari ni.” Puan Aini mengusulkan cadangan.

“Okey jugak tu,” dan mereka bertiga berlalu dari situ. Harith bercadang membawa mereka makan nasi biryani. Dah lama tak pekena nasi biryani.

SAAT hari menjengah maghrib barulah mereka sampai di rumah. Huh, memang tabik springlah cara dua beranak ni shopping. Hampir patah kaki Harith mengikut. Ingatkan lepas makan tengah hari tadi mereka akan terus balik tapi Puan Aini belum cukup puas membeli-belah. Mereka ke Pasar Kedai Payang pulak. Di sana, Puan Aini ligat membeli emas dan kain sutera. Lama jugak mereka kat sana.

Pintu bilik Harith tolak perlahan. Dia tak nampak pun kelibat Arlyssa. Dalam bilik air kut. Beg-beg kertas yang dibawa balik tadi tersadai di kaki katil. Alang-alang dah ada peluang, Harith merebahkan badan di atas katil empuk milik Arlyssa. Dah lama dia berhajat mahu baring atas katil ni. Ah, leganya segala urat-urat dalam badan bila dapat baring macam ni. Pintu bilik air di tolak mendadak tapi Harith mengeraskan badan, berpura-pura sedang nyenyak tidur.

“Awak, bangunlah.” Arlyssa menggerakkan Harith dari tidur. Tapi sedikit pun Harith tak berganjak. “Haih, tidur mati ke ni?” Arlyssa mengomel sendiri.

Harith mahu ketawa mendengarkan omelan isterinya. Tapi dia terpaksa buat-buat tidur agak dapat memantapkan lakonan.

“Harith, bangunlah. Dah nak masuk maghrib ni, tak elok tidur senja-senja macam ni,” Arlyssa sekali lagi cuba kejutkan Harith. Bahu lelaki itu dia cuit perlahan.

“Eh, mengada-ngada pulak dia ni,” Arlyssa geram. Aku gerak cara elok tak nak bangun, kang aku jerit bergegar satu rumah. Nanti tak pasal-pasal mama dengan along tahu rahsia yang dia sembunyikan.

“Awak nak saya jerit satu rumah ke baru nak bangun?” Bahu Harith Arlyssa goncang agak kuat. Dan suaranya juga sudah naik sedikit.

Harith buka sedikit matanya. Tangan Arlyssa yang mahu mendarat di bahu dia tarik dan secara tak sengaja, Arlyssa terdorong ke depan dan terjatuh di atas Harith. Mereka berdua sedang berbaring di atas katil yang sama. Mata saling bertatapan dan mulut terkunci rapat. Di luar sedar tangan Arlyssa berpaut pada leher Harith. Dia takut jatuh tergolek sebenarnya sebab tu tangannya spontan berpaut. Harith bertindak berani. Mukanya dia dekatkan dengan muka Arlyssa. Semakin rapat dan rapat dan rapat. Bibir mereka bercantum. Yang peliknya Arlyssa merelakan saja.

“Lys, Lys,” panggilan beserta dengan ketukan di pintu bilik mengejutkan mereka. Dan bagai tersedar dari lena yang panjang, Arlyssa pantas menolak tubuh Harith. Mukanya memerah. Belakang tangannya mengesat kasar bibir dan jelingan tajam dia hadiahkan untuk Harith sebelum menjawab panggilan Puan Aini. Jelingannya menghantar maksud, ‘ambil kesempatan!’.

Reaksi Harith? Senyum panjanglah dia. Kepala dia letak kembali di atas bantal dengan rasa puas. Dia tak sangka dan tak mahu ambil kesempatan tapi semuanya berlalu sepantas kilat.

“Ya, ma. Ada apa?” Kepala dia jengulkan selepas menarik sedikit pintu bilik.

“Mama nak tanya, malam ni kamu nak masak ke nak makan kat luar?”

“Err.. Makan kat rumahlah. Tapi mama masak boleh tak? Dah lama tak rasa masakan mama,” pinta Arlyssa, suara sengaja dia lunakkan. Senyuman manja meleret-leret di bibir khas untuk mamanya.

“Okeylah, mama nak tengok apa yang ada kat dapur tu.”

“Baiklah. Lys nak solat dulu, nanti dah selesai Lys ke dapur,” senyuman semanis mungkin dia ukir untuk Puan Aini. Menyembunyikan rasa hati yang sedang bergolak pelbagai rasa. Rasa marah pada Harith masih bersisa.

“Kejutkan Harith tu, tak elok tidur maghrib-maghrib ni,” tegur Puan Aini sebelum berlalu ke dapur.

Dia buka sikit je pintu ni tapi Puan Aini boleh nampak? Hisy, si Harith ni pun satu hal! Dia menghampiri katil.

“Tak payahlah nak berlakon sangat, bangun jelah!” Arlyssa dah malas nak layan. Dia berlalu ke bilik air, nak mandi. Malas dia nak layan si Harith ni. Makin dilayan, makin menjadi!

“LYS, esok ikut along boleh tak?” Syed Yusri bertanya ketika mereka sedang menjamu selera di meja makan.

“Ikut pergi mana?” Kening kiri Arlyssa sudah terangkat. Amboi, dah macam Ziana Zain pulak!

“Pagi esok along nak pergi melawat cawangan Hajra kat sini. Sambil-sambil tu boleh kita tengok-tengok apa yang berlaku kat sana,” beritahu Syed Yusri.

Spontan mata Arlyssa terarah kepada Harith. Ibarat macam sedang mintak izin tapi dengan bahasa mata. Mereka memang tak bercakap sejak peristiwa maghrib tadi. Ni Arlyssa nak pandang muka dia kira okey dah ni. Kalau ikut angin dia, memang taklah.

“Pergilah. Awak nak pergi tengok pejabatkan, bukannya nak ke kelab malam,” selamba Harith menyahut sambil menyuap nasi ke dalam mulut. Dia faham sangat kalau Arlyssa buat muka macam tu.

“Dah bagus tu. Tapi Lys kena ingat, kita pergi bukan sebagai tuan punya syarikat tapi sebagai wakil dari HQ.” Syed Yusri memberikan peringatan.

“Kenapa pulak?” Apa agenda along? Hatinya tertanya-tanya.

“Sebab cawangan kat sini ada masalah, jadi tujuan kita ke sana adalah untuk menyiasat siapa dalang yang telah membawa masuk masalah tu.” Bagi Syed Yusri, sekarang bukannya masa yang sesuai untuk dia terangkan satu-persatu masalah yang sedang mereka alami. Adalah lebih baik dia cuma memberikan maklumat secara kasar sahaja dahulu. Biar mereka melawat dahulu cawangan dan penilaian akan dibuat setelah melihat dengan mata sendiri.

“Okey,” balas Arlyssa tenang walau dalam hati sedang ditimpa pelbagai tanda soal. Ah, sabar wahai hati. Esok aku akan tahu semuanya.

6 ulasan:

  1. akhirnya ad gek entry..
    tq writer..senyum je kalu bace sal harith n lyssa ni..

    ~adda~

    BalasPadam
  2. tqsm dear krn sanggup menunggu.. mggu lepas mmg xde n3...

    BalasPadam
  3. yeay! how sweeeeeeeeeeeeeeeeeeeeet :)

    BalasPadam
  4. lama menanti rasa trhibur dgn gelagat harlyssa....nx n3 pls, jgn lama2 sngt yeeee

    BalasPadam
  5. adoyai.. tq dear.. insya Allah... ;)

    BalasPadam